Sunday, September 18, 2011

Video seks: AMK buat laporan polis


Pemuda PKR (AMK) hari ini membuat laporan polis terhadap penulis blog pro-BN dikenali Papa Gomo kerana memuat naik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikatakan menunjukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di tempat berlaku aksi seks.

Laporan itu dibuat timbalan ketua penerangannya Rozan Azen Mat Rasip di balai polis Jalan Dang Wangi di ibu negara hari ini.

Dalam laporannya, Rozan mendesak polis meyiasat dan bertindak segera kerana beliau bimbang pendedahan video "bersifat pornografi" itu akan memberikan kesan buruk kepada masyarakat.

Katanya, pendedahan video itu juga menyebabkan kekeliruan di kalangan orang awam, mempermainkan undang-undang shariah, berniat jahat (mala fide) dan bersifat ancaman apabila dinyatakan akan ada video susulan yang berkaitan isu ini.

"Adalah jelas bahawa beliau secara terus tetang menuduh dan mengaibkan nama baik Datuk Seri Anwar Ibrahim," laporan polis itu dipetik.

"Tambahan juga, pada pandangan saya, beliau harus disiasat segera daripada sumber mana beliau mendapat rakaman video berkenaan kerana menyatakan mempunyai bahan yang laing didakwa sebagai bahan bukti dan akan didedahkan kelak."
http://www.malaysiakini.com

Pak Samad: Pemansuhan ISA 'kemenangan ghaib'


Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said menganggap pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang diumum Datuk Seri Najib Razak sebagai suatu "kemenangan ghaib".

Beliau berkata, perdana menteri itu tentunya tidak akan mengakui hal berkenaan tetapi pastinya ada usaha yang menggerak dan mendesak ke arah itu.

"Selama 54 tahun tidak terfikir ISA harus dihakis, tiba-tiba sahaja dapat ilham dan (mereka) harus mengakui kelompok anak muda tidak tahan lagi (dengan ISA).

Beliau juga tidak terkejut berikutan keengganan kerajaan mengakui pemansuhan ISA itu disebabkan tekanan berterusan dari pelbagai pihak khususnya anak muda.

"Tidak pula diceritakan bahawasanya desakan itulah yang mendorongnya untuk berubah. Kalau tidak ada desakan, saya tidak fikir ia akan mansuh kerana ISA sangat mujarab untuk menekan," katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran antologi sajak Puisi Jadi Senjata yang diterbitkan sehari sebelum himpunan BERSIH 2.0 sebagai tanda sokongan anak muda kepada sasterawan itu.

Perubahan regim


Sinonim dengan gelaran sasterawan rakyat, beliau berharap antalogi puisi itu turut disebar di pedalaman di semua negeri dan tidak hanya berlegar di kawasan kota.

Pada majlis pelancaran itu, beliau mengingatkan betapa perubahan regim hanya mampu dilakukan golongan anak muda.

"Saya sangat yakin hanya suara muda boleh merubah. Orang tua kebanyakannya sudah bersikap (mengambil pendirian), maksudnya mereka tidak mahu diganggu," katanya.

Mengulas lanjut, beliau yakin penerbitan antologi sususan penggiat seni, Fazallah Pit, membuktikan seni bukan hanya hiburan kerana di tangan anak muda, puisi menjadi senjata.

"Selama ini seni hanya dianggap hiburan tapi di tangan anak muda, puisi jadi senjata.

"Yang berjuang orang lain, yang menyambut kemerdekaan orang lain. Yang berjuang, yang berkuasa orang lain dan kuasa itu berlanjutan sampai 54 tahun.

"Sudah waktunya, setidak-tidaknya untuk satu term (penggal) kita berikan kelainan," katanya yang sering berkempen supaya ditumbangkan BN dalam pilihan raya akhir-akhir ini.http://www.malaysiakini.com

Bebaskan tahanan ISA sekarang jika ikhlas

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
KUALA LUMPUR, 17 Sept ─ Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak digesa membebaskan kesemua tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekarang sebagai langkah keikhlasan pertama ekoran pengumuman beliau untuk menghapuskan undang-undang tersebut.
Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, amat dikesali apabila kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang sekali lagi mengikut langkah melawan arus seperti dalam hal menangani perhimpunan Bersih 2.0 dengan mengumumkan bahawa tahanan ISA akan kekal sehingga dua akta baru menggantikan ISA siap.
“Dua akta itu pula hanya akan dibentangkan tahun depan mengikut kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz dan semua ini menambah perit kepada ahli keluarga tahanan ISA yang menaruh harapan tinggi sejak pengumuman Najib (kelmarin),” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Tuan Ibrahim menambah, seharusnya Menteri Dalam Negeri bertindak lebih bijak dalam hal ini dengan membebaskan semua tahanan ISA secepat mungkin sebagai langkah ikhlas dan demi membantu Najib mendapatkan kembali keyakinan dan kepercayaan rakyat bahawa pengumuman melakukan reformasi untuk kebaikan negara bukanlah hangat-hangat tahi ayam seperti apa yang melanda siri reformasi ekonomi yang diwar-warkan.
Malah katanya, jika tidak dapat dibebaskan dengan serta-merta pun, PAS menggesa agar tahanan tanpa bicara ini dapat dihadapkan di mahkamah serta-merta supaya mereka dapat membela diri sekiranya kerajaan mendakwa mempunyai bukti kukuh mereka adalah golongan pengganas.
Pesuruhjaya PAS Pahang ini yakin terdapat puluhan lagi yang ditahan dalam kem Kamunting sekarang dengan pelbagai tuduhan yang mungkin hanya berpunca daripada sangka buruk, dendam dan politik seperti yang berlaku ke atas enam ahli PSM yang ditahan di bawah Ordinan Darurat baru-baru ini.
“Najib mesti memilih antara dua pilihan ini - sama ada mereka mesti dibebaskan atau dibicarakan,” kata beliau lagi.
Di samping itu, katanya, PAS juga menuntut kerajaan memohon maaf kepada tahanan ISA yang ditahan tanpa bicara, ekoran Perdana Menteri mengakui terdapat kepincangan dalam akta ‘draconian’ tersebut sekiranya beliau betul-betul ikhlas dalam reformasi ini.
“Janganlah pula cepat menolak tanggungjawab untuk memohon maaf kepada bapa-bapa negara yang lalu kerana mereka yang menggubal akta yang zalim ini,” kata Tuan Ibrahim sambil menambah, “sebaliknya Najib patut mewakili bapa-bapa negara yang lalu untuk memohon maaf kepada semua tahanan ISA kerana mereka adalah daripada rumpun yang sama iaitu Barisan Nasional.”
“Sebagai tanda keikhlasan juga, kerajaan tidak boleh berlepas tangan begitu sahaja kerana mangsa kekejaman ISA terus tertekan sama ada dari sudut mental, fizikal maupun spiritual. Nama mereka mesti dibersihkan akibat akta zalim ini,” kata beliau.
Dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia kelmarin, Najib mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.
Katanya, dua undang-undang baru itu akan digubal di bawah “semangat serta payung” Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.
Perdana Menteri menegaskan bahawa undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini.
Kerajaan juga menjamin bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.
Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kerajaan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.
Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan, kata Najib.
Kerajaan juga akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.
Beliau juga berkata kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.
http://razali01.blogspot.com

Nama lain tapi ‘maksudnya’ ISA – Anwar



18 September 2011
PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat supaya tidak terlalu ghairah dengan pengumuman mengenai pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana undang-undang baru bakal menyusul.
Ketua Pembangkang itu berkata, langkah Datuk Seri Najib Razak itu wajar dibimbangi kerana Perdana Menteri bakal menggantikan akta yang sama dengan nama berbeza.
“Langkah Najib membatalkan ISA, kita alu-alukan, cuma kita harus waspada  sebab pembatalan itu berlapik kerana Najib akan perkenalkan dua undang-undang baru dan tidak diketahui secara terperinci.
“Menteri Dalam Negeri (KDN) mengatakan dia akan kaji undang-undang sedia ada yang ada dalam negara lain, maknanya mungkin perkenal beberapa cara tahanan tanpa bicara.
“Kalau ada undang-undang baru, mempertahankan prinsip yang sama, namanya mungkin lain tapi maksudnya ISA,” katanya pada sidang media di ibu pejabat hari ini.
Pada 15 September lalu, Najib yang terdesak untuk mengekalkan kuasa akibat tekanan pembangkan dan puak dalaman Umno membuat pengumuman untuk memansuhkan ISA yang akan diganti dengan dua akta baru tetapi tidak memberi perincian.
Anwar berkata, dua akta baru itu tidak akan mengubah sistem autokrasi yang sedia ada, malah meneruskan amalan penindasan terhadap rakyat.
“Bahayanya kerana undang-undang baru yang akan diperkenalkan dan ini hanya satu sudut sistem penindasan autokrasi ada.
“Kita minta batalkan ISA, timbulkan suasana yang lebih lunak menghormati prinsip demokrasi, maka ia harus ada ruang yang lebih terbuka,” kata Ketua Umum KEADILAN itu.
Berkaitan isu sama, Anwar menyebut tanpa menghalang pihak lain menuntut ganti rugi, tidak akan menuntut pampasan walaupun dua kali tahan mengikut ISA.
http://razali01.blogspot.com

Tidak perlu layan permintaan maaf Mat Sabu berhubung tahanan ISA



KLUANG - Kenyataan Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu yang mahukan kerajaan meminta maaf terhadap mereka yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak perlu dilayan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu kini dibelenggu pelbagai isu berikutan kenyataan kontroversinya tentang komunis.

"Dia (Mohamad Sabu) sudah tidak tahu nak kata apa lagi. Dia sudah banyak isu, Polis pun marah kat dia. Saya tidak mahu layan lagi Mat Sabu," katanya ketika majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen
Sembrong di Taman Sri Lambak di sini.

Menurutnya, pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung keputusan kerajaan memansuhkan ISA baru-baru ini bukan suatu retorik tetapi adalah sebahagian daripada pelan transformasi politik.

Hishammuddin yang juga Anggota Parlimen Sembrong berkata, Jabatan Peguam Negara sedang menggubal dua undang-undang baru yang akan menggantikan ISA yang digubal ketika negara sedang menghadapi ancaman pengganas komunis.

Beliau berkata, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar telah pun mengeluarkan kenyataan bahawa keselamatan negara berada di dalam keadaan terjamin walaupun kerajaan memutuskan untuk memansuhkan ISA.

Tindakan Mat Sabu sebelum ini menimbulkan kemarahan sebahagian besar penduduk negara ini apabila melabel penganas komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong sebagai pejuang kemerdekaan yang sebenar.

Kejadian serangan Balai Polis Kepong yang berlaku pada 1950 itu telah mengorbankan 25 orang termasuk anggota polis, anggota keselamatan kampung dan isteri serta anak anggota polis terbabit.

Sementara itu Hishammuddin mengucapkan terima kasih kepada lebih daripada 10,000 rakyat pelbagai kaum yang mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri Parlimen Sembrong, yang mengambarkan kejayaan gagasan 1Malaysia.

Beliau juga berkata, helikopter yang membawanya daripada Kuala Lumpur untuk menghadiri majlis rumah terbuka itu terpaksa membuat pendaratan cemas di Bangi, akibat keadaan cuaca yang buruk.

Berikutan kejadian itu, beliau dan isteri terpaksa menaiki kereta peronda polis daripada Bangi ke Kluang, menyebabkan beliau lewat tiba kira-kira empat jam.- Bernama

Protes kenyataan pakar sejarah



LEDANG - Dewan Pemuda Pas Kawasan Ledang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang sebagai memprotes kenyataan dikeluarkan Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya, Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr Zainal Keling.

Ia berikutan kenyataan yang beliau keluarkan pada satu sidang akhbar di Putrajaya pada 9 September lalu, yang mengatakan Tanah Melayu tidak pernah dijajah, sebaliknya hanya dilindungi dan dinaungi British.

Justeru, Dewan Pemuda Pas Kawasan Ledang menggesa pihak berkuasa supaya segera menyiasat dan mendakwa Dr Zainal Keling di mahkamah.

Dr Zainal turut mengatakan, “jangan kita sebut kita terjajah selama 400 tahun. Itu adalah kesalahan yang sangat besar”.

Ketua Pemuda Pas Kawasan Ledang, Mohd Rasul Amat berkata, Dewan Pemuda Pas Kawasan Ledang sangat terkejut dengan kenyataan itu apabila dikeluarkan seorang yang berpengaruh.

Menurutnya, beliau juga dikatakan pakar dalam bidang sejarah serta mewakili MPN.

“Kenyataan tidak bertanggungjawab ini mengganggu gugat kestabilan dan mengelirukan segenap lapisan masyarakat.

“Sedangkan masyarakat telah sekian lama diajar dan difahamkan bahawa British adalah penjajah negara dan kemerdekaan yang dicapai pada 31 Ogos 1957 adalah kemerdekaan dari penjajahan British,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Rasul berkata, kenyataan tersebut sekali gus menafikan pengorbanan pejuang kemerdekaan tanah air yang telah mempertaruhkan nyawa seperti Toj Janggut, Mat Kliau, Datuk Bahaman, Dol Said dan Rosli Dobi.

“Kami merasakan terdapat agenda tersembunyi yang dirancang oleh pihak tertentu di sebalik kenyataan yang bertujuan menggugat keharmonian.

“Pada masa yang sama cuba mewujudkan kegusaran dalam masyarakat bagi mengalih perhatian rakyat terhadap isu-isu lain yang gagal ditangani oleh pihak berwajib,” katanya.

Menurutnya, kenyataan tersebut mencerminkan seolah-olah rakyat telah ditipu selaa 54 tahun apabila menyambut Hari Kebangsaan setiap tahun sebagai ulang tahun kemerdekaan negara daripada cengkaman penjajah British.

Nik Aziz minta Najib benarkan hudud




KOTA BHARU – Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempertimbangkan hasrat Kerajaan Negeri Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud.

Menteri Besar itu berkata, pelaksanaan undang-undang Islam berkenaan sebelum ini mendapat tentangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan mengugut bertindak jika Pas Kelantan melaksanakannya.

“Kerajaan Negeri setiap masa hendak kepada hudud, apabila tiada hudud inilah jadinya,
rasuah, zina, pecah rumah dan sebagainya. Hudud ini perlu disegerakan, Pas Kelantan sudah lulus, semua Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) tidak kira, Pas atau Umno sokong 100 peratus.

“Selepas hudud diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri (Dun), Perdana Menteri datang Kelantan dan cakap kalau Kelantan laksana hudud kami akan bertindak.

Jadi Pas Kelantan hentikan hudud walaupun semua dah siap. Akhirat kelak kalau ALLAH tanya kenapa tidak laksana hudud saya kata tanya Tun Dr Mahathir. Insya-Allah harap terbuka pintu hati Najib untuk laksanakan hudud,” katanya.

Kenyataan Nik Aziz itu sebagai mengulas laporan Yayasan Aids Malaysia yang merumuskan Kelantan mencatatkan angka tertinggi penghidap HIV, tahun lalu, selepas Pahang, Wilayah Persekutuan dan Johor.

Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud) diluluskan Dun Kelantan pada 1993, berikutan janji Pas dalam manifestonya akan melaksanakan hukum hudud pada Pilihan Raya Umum 1990.