Friday, April 15, 2011

Lelaki letup diri dalam masjid di Indonesia

JAKARTA – Seorang lelaki meletupkan diri dengan bom di badannya dalam sebuah masjid di kompleks polis daerah di Cirebon, Jawa Barat, mengakibatkan lebih 20 cedera termasuk Ketua Polis Daerah Cirebon.

Polis berkata, keadaan tubuh lelaki itu hancur akibat ledakan bahan letupan itu.

Media tempatan memetik saksi-saksi sebagai berkata bahawa solat Jumaat hendak dimulakan, seorang lelaki berpakaian hitam yang berada di barisan ketiga dilihat membuka jaketnya dan bom itu terus meletup.

Kebanyakan yang cedera itu terkena serpihan paku daripada bom itu.

Seorang saksi, Ahmad Fauzan, berkata keadaan dalam Masjid At-Taqwa itu amat memgerikan sekali dengan ramai orang yang cedera dan berlumuran darah selepas kejadian itu.

Polis belum mengenal pasti siapa pengebom itu atau motif serta sama ada dia mempunyai jaringan dengan mana-mana kumpulan.

Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono mengutuk perbuatan itu. - Bernama

Mangsa bakar diri di Yan Rabu lepas meninggal

ALOR SETAR 15 April — Seorang lelaki yang membakar diri dipercayai akibat kemurungan Rabu lalu, meninggal dunia hari ini, dua hari selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Pengarah HSB Datuk Dr Juita Ghazalie berkata Zinol Ismail, 51, yang dirawat di Unit Rawatan Kebakaran HSB meninggal dunia pada pukul 10.25 pagi akibat melecur 100 peratus.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi Rabu, Zinol yang dikatakan berubah menjadi murung sejak dua bulan lalu bertindak membakar diri di rumahnya di Kampung Ruat, Yan, dekat sini.

Dua anaknya, Amirul Hadi, 12 dan Badrul Amin, 14, yang cuba menyelamatkan Zinol melecur di bahagian tangan serta kaki, dan kedua-dua mereka masih dirawat di HSB.

— BERNAMA

Waran tangkap terhadap Norman, Memey

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini memerintahkan waran tangkap disempurnakan terhadap pelakon Norman Hakim dan pasangannya, Memey yang menghadapi pertuduhan berkhalwat tiga tahun lalu selepas mereka gagal hadir ke mahkamah hari ini.

Hakim Salehan Yatim mengarahkan waran itu dikeluarkan selepas pasangan itu tidak mengemukakan alasan atau sebab yang kukuh kenapa mereka tidak hadir.
Dalam prosiding itu, peguam Munirah Abu Bakar yang mewakili pasangan itu, memberitahu mahkamah beliau menerima panggilan telefon daripada Norman pagi tadi memberitahu beliau tidak dapat hadir ke mahkamah kerana tidak sihat.
Bagaimanapun, katanya, Norman tidak memberi sebarang sijil cuti sakit.

Katanya, Norman turut memberitahu beliau bahawa Memey berada di luar kawasan yang menyebabkan dia tidak boleh hadir ke mahkamah.

Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 35, dan Memey atau nama sebenarnya, Suhaizah Suhaimi, 23, yang juga seorang pelakon, didakwa berkhalwat di pejabat 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, pada 3 pagi 30 Oktober 2008.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) dan Seksyen 29(1)(b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Salehan menetapkan 29 Julai ini bagi keputusan sama ada pasangan itu didapati bersalah atau tidak terhadap tuduhan itu dan memerintahkan kedua-duanya hadir pada tarikh berkenaan.

Pihak pendakwaan menutup kes itu pada Oktober tahun lalu selepas hampir dua tahun perbicaraan kes berkenaan yang memanggil lapan saksi pendakwaan termasuk bekas pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor, Azhar Noordin, 42.

Terdahulu, pendakwa Hasrul Hafiszi Ahmad Kamal memohon waran tangkap terhadap pasangan itu dikeluarkan atas alasan mereka sepatutnya mengutamakan kes mahkamah berbanding perkara lain. - BERNAMA Berita Harian Online | Waran tangkap terhadap Norman, Memey

Pembangkang utama gesa PM Jepun letak jawatan



TOKYO: Kedamaian politik sementara selepas bencana di Jepun terurai semalam apabila ketua parti pembangkang utama menggesa Perdana Menteri Naoto Kan meletak jawatan ekoran cara beliau menangani bencana gempa bumi, tsunami dan krisis nuklear itu.
Di loji Fukushima Daiichi yang rosak akibat tsunami 11 Mac lalu, para jurutera masih bertungkus lumus mencari kaedah baru bagi menyejukkan salah sebuah reaktor yang rosak, sedang air beradioaktif yang terlalu banyak telah menghalang pekerja mendekati sistem penyejukan dalaman bagi disambung kembali.Encik Kan telah cuba mendapatkan satu pergabungan besar bagi membantu negara itu pulih daripada bencana paling teruknya, serta menggubal undang-undang mengeluarkan belanja bagi projek pembinaan semula terbesar sejak Perang Dunia Kedua.Parti Demokratik Encik Kan menguasai Dewan Rakyat (dewan rendah parlimen) tetapi memerlukan bantuan pembangkang untuk menggubal undang-undang kerana ia kekurangan majoriti dalam Dewan Senat (dewan tinggi parlimen), yang boleh menghalang penggubalan.Namun ketua pembangkang utama, Parti Demokratik Liberal (LDP), yang minggu lalu menolak kemungkinan bergabung, semalam menggesa Encik Kan berundur.Lima minggu lalu satu gempa bumi besar dan tsunami menyebabkan 28,000 orang mati atau hilang, memusnahkan sebahagian besar pantai timur laut dan merosakkan loji nuklear di Fukushima itu.Agensi keselamatan nuklear berkata satu rancangan baru bagi menyejukkan sebuah daripada enam reaktor di loji itu mungkin diperlukan ekoran banyaknya air beradioaktif terkumpul di situ. Ujian juga perlu dilakukan bagi menentukan apakah batang bahan api terpakai ada mengeluarkan radiasi.'Mungkin sukar mengeluarkan semua air tercemar itu dan membolehkan kerja diteruskan. Kami perlu fikirkan pilihan lain,' kata timbalan ketua pengarah Agensi Keselamatan dan Perusahaan Nuklear, Encik Hidehiko Nishiyama. -- Reuters, cyberita

Tidak putus berzikir

KANGAR: Seorang guru agama yang menghadapi tuduhan membunuh murid lelaki, Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, kelihatan berzikir berdasarkan keadaan mulutnya terkumat-kumit sepanjang prosiding kes berlangsung di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Tertuduh, Hanif Mohammud Ali, 26, memakai seragam lokap berwarna ungu kelihatan sugul dan ada kalanya mengangkat kepala untuk memerhati orang ramai yang penuh sesak di dalam mahkamah ketika berhadapan pertuduhan berkenaan.

Hanif didakwa menyebabkan kematian Saiful Syazani dalam bilik warden asrama putra di Sekolah Rendah Islam Al-Furqan, Jejawi antara jam 6 petang hingga 12 tengah malam pada 31 Mac lalu.
Dia yang juga warden asrama menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati mandatori kelihatan mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Azman Abu Hassan di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh sepanjang prosiding terbabit. Hanif diwakili peguam, Mohd Fikri Abdul Rahman dan Zulmi Sabri.

Sejurus pertuduhan dibacakan, Mohd Fikri memohon mahkamah agar menetapkan larangan terhadap media daripada membuat liputan terhadap prosiding membabitkan anak guam mereka sebelum dibantah pihak pendakwa.
“Saya pohon mahkamah tetapkan satu bentuk larangan yang mungkin boleh dipatuhi tentang penulisan atau penyiaran supaya ia tidak subjudis terhadap prosiding kes.

“Kes ini boleh diklasifikasikan sebagai ‘sensasi’ dan dalam keadaan OKT (orang kena tuduh) yang belum disabitkan, dikhuatiri laporan dibuat media akan membuka ruang kepada ‘public trial’ (perbicaraan umum),” katanya.
Sementara itu, Azman ketika bangkit menyatakan bantahan kerana menganggap ia sebagai suatu yang tidak adil terutama dalam konteks kebebasan media.

“Saya yakin media cukup matang untuk mempertimbangkan perkara yang boleh menyebabkan subjudis dalam laporan dibuat walaupun tanpa sebarang arahan khusus diperuntukkan mahkamah,” katanya.
myMetro | Tidak putus berzikir

Tak pernah jumpa ayah sejak lahir


MASJID TANAH: Seorang lelaki berusia 28 tahun amat berharap dapat bertemu bapanya yang menghilangkan diri ketika dia masih dalam kandungan ibunya.
Lelaki terbabit, Mohd Zaidi Hamid berkata, bapanya, Hamid Salim, 50-an, yang juga seorang anggota tentera meninggalkan ibunya yang ketika itu mengandungkannya tiga bulan.

“Ayah tinggalkan saya dan arwah abang (ketika itu usia tiga tahun) bersama ibu sejak 1983 dan tidak dapat dikesan walaupun pelbagai usaha dilakukan.

“Ibu (Sapiah Jaafar, 49) memberitahu bapa berkahwin dengan seorang wanita, Siti Fatimah dari Raub, Pahang, sebelum menghilangkan dirinya,” katanya yang kini menetap bersama ibunya di Taman Pengkalan Balak,” dekat sini.

Beliau berkata, bapanya pernah berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Rejimen Askar Melayu Diraja pada 70-an sebelum berkahwin dengan ibunya dan bertugas di Pahang.

“Ibu beritahu selepas beberapa tahun berkahwin, ayah berkahwin lagi dan selepas itu tidak pulang ke rumah. Selain itu, pasukan tentera mencari ayah kerana melarikan diri daripada tugas.a 28 tahun membesar, saya belum pernah menatap wajah ayah kerana ibu tidak menyimpan gambarnya,” katanya.

Menurutnya, hingga sekarang dia belum berpeluang menetap wajah bapanya dan amat teringin untuk bertemunya.

Catherine masuk wad


PASANGAN BAHAGIA...Catherine bersama suaminya, Douglas, di New York pada 14 Mac lalu.
PASANGAN BAHAGIA...Catherine bersama suaminya, Douglas, di New York pada 14 Mac lalu.

LOS ANGELES: Catherine Zeta-Jones dilaporkan menjalani rawatan kerana kemurungan melampau akibat tekanan dengan keadaan suaminya, Michael Douglas, berjuang melawan kanser.
Aktres berusia 41 tahun itu dimasukkan ke Hospital Psikiatrik Silver Hill di New Canaan, Connecticut, semalam dan dia akan berkongsi wad dengan penagih arak serta dadah.

Ketika dihubungi, ejen Catherine mengesahkan aktres itu menerima rawatan bagi membantunya menghadapi trauma dalam kehidupan peribadi.

Katanya, Catherine akan berada di hospital itu selama lima hari.

Ejen Catherine berkata, selepas berdepan dengan tekanan tahun lalu, aktres terbabit membuat keputusan menjalani rawatan mental dalam tempoh pendek.

“Kini dia semakin sihat dan tidak sabar memulakan penggambaran bagi dua filem terbarunya tidak lama lagi,” katanya.

Douglas disahkan menghidap kanser kerongkong tahap empat tahun lalu dan terpaksa menjalani rawatan bagi memulihkannya.

Hasil perkahwinannya dengan Catherine, pasangan itu memperoleh dua anak.

J-Lo wanita tercantik didunia


NEW YORK: Majalah People memilih Jennifer Lopez sebagai wanita tercantik di dunia, meletakkan dirinya sebaris dengan sejumlah selebriti lain sebelum ini, termasuk Halle Berry, Jennifer Garner dan Beyonce Knowles.
Penyanyi dan pelakon kelahiran New York City itu kini menjadi juri program realiti televisyen American Idol.

Kata Jennifer, dia sangat gembira dan bangga dengan pemilihan itu.

“Lebih membanggakan, saya bukan berusia 25 tahun!” katanya.

Kini berkahwin dengan penyanyi Marc Anthony, Jennifer, 41, dijangka melancarkan album terbarunya, Love?, di Amerika Syarikat bulan depan.

Jennifer juga memberitahu, dia lebih gembira kini berbanding ketika berusia 20-an. - Reuters

Aksi liar Berlusconi


ROME: Penari separuh bogel dilaporkan membuat pelbagai aksi lucah, termasuk melakukan seks oral pada patung ketika mereka menyertai permainan di kediaman mewah Silvio Berlusconi, kata sumber pendakwaan Itali, semalam.
Kata sumber itu, dua remaja perempuan itu, Chiara Danese dan Ambra Battilana, kedua-duanya 18, memberi keterangan kepada pejabat pendakwa raya yang menyiasat kes salah laku Perdana Menteri Itali itu.

Katanya, saksi terbabit mendakwa, majlis ‘makan malam’ itu jauh lebih liar berbanding digambarkan Berlusconi sebelum ini.

Menurut Ambra, sesetengah penari itu mendedahkan buah dada dan menawarkan untuk dicium Berlusconi.

“Penari terbabit menyentuh bahagian sulit Berlusconi dan membiarkan ahli politik itu melakukan perkara sama kepada mereka,” katanya yang dipetik media Itali, semalam.

Chiara dan Ambra juga mengaku terkejut apabila mendapati penari separuh bogel itu memanggil Berlusconi sebagai daddy sambil menyanyikan lagu rasmi parti diwakilinya, Parti Kebebasan Rakyat.

Selepas pelbagai jenaka lucah dilakukan beberapa ketika, kata Chiara, Berlusconi membawa masuk patung lelaki dengan kemaluan besar melampau.

“Dia menyuruh penari terbabit mencium kemaluan patung berkenaan, sebaliknya mereka melakukan seks oral ke atasnya,” katanya.

Lelaki China tubuh unit tentera palsu


LOS ANGELES: Seorang lelaki China ditahan kerana menubuhkan satu unit tentera Amerika Syarikat palsu dan meyakinkan orang ramai bahawa penyertaan itu akan memudahkan mereka mendapat status kewarganegaraan.
Yupeng Deng, 51, didakwa memberi peserta unit itu pakaian seragam tentera dan mengarahkan mereka berarak di pinggir Los Angeles.

Dia juga membawa mereka melawat sebuah kapal pengangkut USS Midway, yang kini dijadikan muzium.

Bagi setiap penyertaan warga China itu, Deng mengenakan bayaran sehingga RM1,400. - Reuters

Guru pukul murid sampai mati hadapi tuduhan membunuh




HANIF dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kangar, semalam.
HANIF dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kangar, semalam.


KANGAR: Guru agama, Hanif Mohd Ali, 26, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan membunuh seorang murid Tahun Satu, Saiful Syazani Saiful Sopfidee di asrama putra Sekolah Rendah Islam Al-Furqan, Jejawi dekat sini, pada 31 Mac lalu. 


Hanif yang juga warden asrama dituduh melakukan perbuatan itu dalam bilik warden asrama putra sekolah agama milik persendirian berkenaan antara jam 6 petang dan 12 tengah malam.
Tertuduh kelihatan sugul sepanjang prosiding, bagaimanapun kelihatan tenang dengan seragam lokap ungu, sambil sesekali mulutnya dilihat berkumat-kamit dipercayai melafazkan zikir.
Dia yang banyak menundukkan muka, mengangguk faham terhadap pertuduhan dibacakan kepadanya, termasuk hukuman mati mandatori yang diperuntukkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan. 


Pertuduhan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Azman Abu Hassan di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim, manakala Hanafi diwakili peguam Mohd Fikri Abdul Rahman dan Zulmi Sabri. 


Sejurus pertuduhan dibacakan, keadaan dalam mahkamah yang dipenuhi media serta rakan dan ahli keluarga tertuduh, menjadi kecoh berikutan perbezaan pendapat antara peguam bela dan pendakwa raya berhubung permohonan larangan terhadap media membuat liputan kes itu yang dibuat Mohd Fikri. 


“Saya mohon mahkamah tetapkan satu bentuk larangan yang mungkin boleh dipatuhi mengenai penulisan atau penyiaran supaya ia tidak subjudis terhadap prosiding kes. 
“Kes ini boleh diklasifikasikan sebagai sensasi dan dalam keadaan OKT (orang kena tuduh) yang belum disabitkan, dikhuatiri laporan media akan membuka ruang kepada ‘public trial’ (perbicaraan umum),” katanya. 


Azman membantah permohonan Mohd Fikri kerana menganggap ia suatu yang tidak adil terutama dalam konteks kebebasan media. 


“Saya yakin media cukup matang mempertimbangkan perkara yang boleh menyebabkan subjudis, walaupun tanpa sebarang arahan khusus mahkamah,” katanya. 


Nurshahida bagaimanapun memutuskan tiada larangan terhadap media membuat liputan kes itu, sekali gus menolak permohonan peguam bela. 


Mahkamah juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 13 Mei ini untuk sebutan semula kes. 

Bapa tak tahu anak keluar bersiar-siar dengan rakan


TANAH MERAH: Seorang bapa yang tidak mengetahui anak perempuannya yang menuntut di Bachok, Kelantan ke Kuala Terengganu untuk bersiar-siar, menerima berita amat mengejutkan apabila anaknya itu maut dalam kemalangan pagi semalam.


Abdul Jaabar Hussain, 52, bapa kepada Nurul Shahidah Abdul Jaabar, 19, berkata, beliau hampir pitam apabila dihubungi seorang anggota Bomba dan Penyelamat yang memaklumkan kereta dinaiki anaknya terbabit dengan kemalangan membabitkan lori tangki.
“Bermacam-macam tanggapan dalam fikiran saya memandang kejadian berlaku ke atas arwah yang juga anak kelima daripada tujuh beradik itu.
“Namun saya gagahi juga ke sana (Hospital Besut) dan menerima ketentuan Allah bahawa anaknya saya sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, tiga daripada lima pelajar jurusan kejururawatan Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) Cawangan Bachok terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 104 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Kampung Gerai, Besut.

Mangsa yang terbunuh ialah Noor Diana Mohd Noor, 22, dari Kota Tinggi, Johor; Zur Irah Zakaria, 19, dari Kampung Titian Baru Atas Tol, Kuala Terengganu, dan Nurul Shahidah.

Abdul Jaabar berkata, kali terakhir beliau bertemu Nurul Shahidah adalah dua minggu lalu dan anaknya itu ada menghubunginya petang kelmarin tapi tidak memberitahu pemergiannya ke Kuala Terengganu. 
Sementara itu, Timbalan Ketua Bahagian UMNO Tanah Merah, Baharuddin Yusof, yang melawat rumah mangsa, turut menyampaikan sumbangan RM500 kepada keluarga Nurul Shahidah.

“Saya sebagai rakan kepada bapa mangsa dan juga mewakili UMNO Bahagian mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah dan berharap mereka bersabar dan menerimanya dengan hati yang lapang walaupun cukup berat menghadapinya.

“UMNO Bahagian akan membantu dari segi pengurusan Majlis Tahlil bagi memudahkan dan meringankan beban keluarga mangsa,” katanya.

Di JERTIH: Bapa Zur Irah, Zakaria Muda, 49, terkilan kerana pengurusan kolej membenarkan pelajarnya keluar pada waktu malam sehingga awal pagi.

Ketika ditemui di Hospital Besut untuk menuntut mayat anaknya, Zakaria berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada seorang rakan anaknya kira-kira jam 8.30 pagi memaklumkan Zur Irah terbabit dalam kemalangan.

“Saya terkejut sebaik sampai di HB kemudian dimaklumkan anak saya adalah seorang daripada tiga mangsa yang terbunuh,” katanya. 

Nelayan tuntut hak milik rumah


SEBAHAGIAN nelayan menunjukkan surat tuntutan tunggakan sewa beli rumah di Program Penempatan Semula Nelayan Seberang Kota, Kuala Kedah semalam.


ALOR SETAR – Kira-kira 700 keluarga yang terlibat dalam Program Penempatan Semula Nelayan Seberang Kota, Kuala Kedah dekat sini menuntut hak milik rumah dan tanah bagi memastikan nasib mereka terbela selepas berpindah ke situ tujuh tahun lalu.
Mereka bimbang dikenakan tindakan termasuk mengosongkan rumah apabila kerajaan negeri mengeluarkan notis peringatan menjelaskan tunggakan dan sewa beli rumah yang mencecah sehingga RM7,500 setiap keluarga.
Bagaimanapun menurut penduduk, mereka tidak mampu menjelaskan bayaran itu kerana sebahagian besar penghuni di situ adalah nelayan yang memperoleh pendapatan sekitar RM450 sebulan.
Wakil penduduk, Ismail Bakar (gambar kecil), 47, berkata, mereka wajar mendapat hak milik rumah dan tanah kerana diarah berpindah ke situ pada 2004 dalam usaha kerajaan mewujudkan penempatan baru nelayan yang lebih tersusun dan terancang.
Katanya, ketika itu, penduduk dijanjikan hak milik dan pampasan ganti rugi tetapi masih belum mendapatnya sehingga kini.

Zeta-Jones dirawat di hospital mental



GAMBAR fail menunjukkan Michael Douglas and isterinya, Catherine Zeta-Jones di Hotel Beverly Hills, California pada 16 Januari lalu.


NEW CANAAN - Pelakon terkenal, Catherine Zeta-Jones menjalani rawatan kemurungan di sebuah hospital mental di New Canaan, Connecticut, Amerika Syarikat pada Rabu lalu, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia dimasukkan ke hospital itu selepas menghadapi tekanan akibat suaminya yang merupakan aktor hebat, Michael Douglas bergelut untuk memulihkan penyakit kanser yang dihidapinya.
Aktres berusia 41 tahun itu dimasukkan ke Hospital Silver Hill di sini dan dia ditempatkan di wad pesakit yang mengalami masalah alkohol dan dadah.
Dia yang terkenal dengan filem The Mask of Zorro dirawat di hospital tersebut bersama 10 hingga 15 pesakit lain selama lima hari.
Bayaran rawatan di hospital itu ialah AS$1,258 (RM3,805) sehari.
Jurucakap aktres itu mengesahkan bahawa Zeta-Jones menerima rawatan kesihatan mental bagi membantu dirinya menghadapi trauma dalam kehidupan peribadi.
"Selepas bergelut dengan tekanan sejak beberapa tahun lepas, Zeta-Jones mengambil keputusan untuk menjalani rawatan mental selain tinggal di hospital selama beberapa hari.
"Keadaan aktres itu semakin baik dan dia tidak sabar untuk memulakan penggambaran dua filem baharu tidak lama lagi," jelas seorang jurucakap Zeta-Jones.
Pelakon kelahiran Wales itu melangsungkan perkahwinan dengan Douglas, 66, pada tahun 18 November 2000 dan dikurniakan dua cahaya mata.
Douglas disahkan menghidap kanser tahap keempat pada tahun lalu dan menjalani rawatan kemoterapi.
Doktor bagaimanapun memberitahu bahawa Douglas bebas daripada penyakit itu Januari lalu selepas melakukan rawatan selama enam bulan.
Menurut majalah National Enquirer, Douglas menemani isterinya itu semasa dia mendaftar masuk ke hospital tersebut dengan menggunakan nama Terrie Kirny.
Seorang saksi di hospital itu memberitahu majalah berkenaan bahawa Zeta-Jones kelihatan gembira semasa dia berada di hospital berkenaan.
Zeta-Jones dilihat menyertai pesakit lain makan, joging dan bermain poker sebelum tidur.
Satu sumber keluarga aktres itu menyatakan bahawa tekanan yang dihadapinya hampir tidak dapat ditanggungnya. - Agensi, Kosmo

Gula-gula ada wajah seperti tunang Putera William



WAJAH mirip Kate Middleton yang terdapat pada gula-gula milik Wesley Hosie.


LONDON - Seorang pelatih akauntan, Wesley Hosie, 25, menemui gula-gula yang mengandungi wajah mirip tunang Putera William, Kate Middleton, lapor sebuah akhbar semalam.
Hosie kini merancang untuk menjual gula-gula itu sehingga pada harga £500 (RM2,467) di laman lelongan di Internet, eBay.
Dia dan kekasihnya, Jessica White, 24, mendapati wajah pada gula-gula itu mirip Middleton pada Selasa lalu di rumah mereka di Taunton, Somerset, Britain.
Hosie mengesan wajah itu semasa dia mahu memakan gula-gula yang disimpan dalam sebuah balang.
"Semasa Jessica membuka balang itu, saya dapat melihat gula-gula yang mengandungi wajah Middleton itu dengan serta-merta. Dia (Middleton) seolah-olah memandang ke arah saya," kata Hosie.
Middleton akan berkahwin dengan William yang merupakan pewaris kedua takhta Britain dan cucu pemerintah diraja Britain, Ratu Elizabeth II pada 29 April depan. - Agensi, Kosmo