Showing posts with label MASJID. Show all posts
Showing posts with label MASJID. Show all posts

Thursday, December 8, 2011

Pas mengaku hanya bina sebuah masjid


MASJID Jubli Emas Sultan Ismail Petra yang terletak di Rantau Panjang, Kelantan.


RANTAU PANJANG - Kerajaan Pas Kelantan mengakui hanya membina sebuah masjid iaitu Masjid Jubli Emas Sultan Ismail Petra di sini daripada wang sendiri tanpa bantuan kerajaan Pusat sejak mentadbir negeri itu lebih 20 tahun lepas.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Abdul Fatah Harun berkata, masjid lain di seluruh negeri dibina oleh kerajaan Pusat.
"Masjid Jubli Emas atau lebih dikenali Masjid China yang menjadi kebanggaan Pas ini dibina dengan perbelanjaan kerajaan negeri sendiri tanpa satu sen daripada kerajaan Pusat," katanya kepadaBernama di sini semalam.
Katanya, bagi masjid mukim yang lain di seluruh negeri, kerajaan negeri hanya bertanggungjawab mengeluarkan peruntukan untuk kerja-kerja pembaikan dan pengubahsuaian.Kosmo! Online - Negara:

Wednesday, August 3, 2011

Masjid di Kanada tingkat keselamatan

MONTREAL 2 Ogos - Walaupun fanatik Kristian yang melancarkan serangan berkembar di Norway, Anders Behring Breivik telah ditahan, namun amaran dan langkah berjaga-jaga terhadap serangan anti-Islam tetap dikeluarkan di masjid-masjid di Kanada.
Sebuah pertubuhan hak asasi penganut Islam kebangsaan menasihati pihak berkuasa masjid-masjid menilai semula pendekatan keselamatan ekoran serangan Breivik, pengakuannya dan manifestonya setebal 1,500 muka surat berhubung kebenciannya terhadap Islam.
Pengarah Eksekutif Majlis Hubungan Amerika-Islam Kanada, Ihsaan Gardee berkata, kedatangan Ramadan menyaksikan jumlah penganut Islam pergi ke masjid meningkat dan pentadbir harus mengambil langkah berjaga-jaga dengan memeriksa tahap keselamatan dan melaporkan kepada polis tentang aktiviti mencurigakan.
Beliau berkata, pertubuhan itu tidak menjangka berlaku serangan balas terhadap masyarakat Islam secara besar-besaran, namun kejadian sebelum ini mengajar perlunya langkah berwaspada diambil.
''Berdasarkan pengalaman kami terhadap kejadian berprofil tinggi sama ada di peringkat nasional atau antarabangsa, akan berlaku kesan lanjutan seperti retorik anti-Islam dan Islamofobia, selain kejadian gangguan, jenayah berunsur kebencian dan diskriminasi,'' ujarnya.
Beliau berkata, sejak 2010, masjid-masjid di Hamilton, Montreal, Vancouver dan Waterloo telah menjadi sasaran vandalisme.
Justeru, katanya, pihaknya baru-baru ini mengeluarkan alat kit keselamatan masyarakat dan ia dihantar ke masjid-masjid di seluruh negara ini.
''Ia menawarkan nasihat pembangunan hubungan positif dengan pegawai polis, ahli politik dan guru besar sekolah, selain membentuk kerjasama dengan agama lain dan kumpulan minoriti serta pembentukan jawatankuasa keselamatan.
''Ia juga menawarkan nasihat berguna dalam kehidupan seperti bagaimana untuk memotong pokok, memasang sistem lampu di luar rumah dan sistem amaran di rumah.
Jenayah berunsur kebencian di Kanada meningkat pada 2009 dengan data statistik baru-baru ini menunjukkan peningkatan 42 peratus terhadap semua komuniti termasuk penganut Islam. - Agensi
http://www.utusan.com.my

Wednesday, December 15, 2010

Dua masjid di Besut solat Jumaat dua kali


15/12/2010 7:30pm

KUALA TERENGGANU 15 Dis. — Dua buah masjid di negeri ini iaitu di daerah Besut dikesan menunaikan solat Jumaat dua kali dalam satu kariah.
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat berkata, sebelum ini dilaporkan ada 10 buah masjid yang mengalami keadaan sama, namun dapat diatasi dengan penyokong parti pembangkang kembali bersama menunaikan solat Jumaat bersama-sama di masjid yang ditauliahkan kerajaan.
"Keadaan pemulauan mengerjakan solat Jumaat di masjid kerajaan akan terus berlaku jika pemimpin Pas di negeri ini tidak menasihati penyokong mereka supaya menunaikan solat Jumaat di masjid-masjid kerajaan dalam kariah masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Nawi Mohamad (BN-Hulu Besut) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini hari ini yang mahukan penjelasan bila masalah solat dua jumaat dalam satu kariah akan diatasi.
Katanya, hasil siasatan yang dilakukan juga mendapati kebanyakan penyokong parti pembangkang enggan menunaikan solat Jumaat di masjid kerajaan kerana tidak mendapat keizinan daripada pemimpin parti itu.
"Apabila ditanya, mereka menjawab yang mereka tak ada masalah solat Jumaat di masjid kerajaan tapi kena tanya pemimpin mereka dulu,” katanya.
Beliau berkata keadaan itu jelas menunjukkan penyokong Pas tidak mempunyai masalah untuk menunaikan solat Jumaat di masjid kerajaan, namun tidak dapat berbuat demikian kerana tidak mendapat keputusan daripada pemimpin mereka.
Sehubungan itu, katanya sudah tiba masa bagi pucuk pimpinan parti tersebut supaya menasihati penyokongnya agar kembali menunaikan solat Jumaat di masjid asal bagi memastikan umat Islam terus bersatu dan teguh walaupun mempunyai idealogi politik yang berbeza.
Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) kemudian bangkit mengemukakan soalan tambahan dengan menyatakan masalah solat dua jumaat dalam satu kariah tidak pernah menjadi isu, terutama di negara Arab termasuk Arab Saudi.
Khazan berkata, situasi itu jauh berbeza kerana penduduk Islam seperti di Madinah (Arab Saudi) terlalu padat dan munasabah mereka menunaikan solat Jumaat di masjid berasingan. - Bernama

Tuesday, November 23, 2010

Sinar di Masjid At-Taqwa






Pemandangan dari luar Masjid At-Taqwa di Kampung Paroi, Seremban.


SEREMBAN 22 Nov. - Umat Islam di negeri ini wajar bersyukur apabila terbinanya sebuah masjid moden yang mampu memuatkan 3,000 jemaah pada satu masa.
Masjid At-Taqwa, Kampung Baru Paroi dekat sini juga merupakan masjid tiga tingkat yang pertama dibina seumpama itu di negeri ini dengan ciri dalamannya mesra jemaah sekali gus berperanan besar sebagai pusat keagamaan yang sarat dengan aktiviti.
Masjid yang dibina dengan kos RM7.4 juta itu mula dibina sejak tahun 2008 dan siap sepenuhnya pada 15 Oktober lalu sebelum digunakan secara rasmi pada solat Maghrib, 15 November lalu dengan dirasmikan Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Seri Mohamad Hasan.
Penggunaan dan izin mengerjakan solat termasuklah solat Jumaat di masjid berkenaan diisytiharkan oleh Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Yusuf Ahmad baru-baru ini.
Dengan ciri pembinaan yang moden serta ruang dalam lebih selesa, Masjid At-Taqwa kini menjadi satu lagi mercu tanda dan kebanggaan umat Islam di negeri ini terutama jemaah di sekitarnya serta mereka yang melalui jalan Seremban-Paroi-Kuala Pilah.
Masjid yang mempunyai keluasan tanah kira-kira 1.4 hektar dan keluasan lantai 2,890 meter persegi, menjadikan ia masjid terbesar di negeri ini.
Apa yang lebih menarik, masjid itu turut menyediakan pelbagai kemudahan moden termasuk perpustakaan, bilik komputer dan tempat mengambil wuduk bagi golongan orang kurang upaya (OKU).
Turut disediakan adalah dewan seminar yang dilengkapi peralatan elektronik moden, bilik mesyuarat, pejabat, ruang untuk aktiviti masyarakat dan kawasan letak kereta yang luas.
Mohamad yang juga Menteri Besar berkata, dengan terbinanya masjid moden itu maka peranan menyiarkan dakwah perlu lebih agresif sekali gus menjadikan Islam, agama yang dihormati semua.
''Masjid hendaklah dijadikan pusat harian masyarakat, bukan sekadar tempat bersembahyang atau melakukan ibadah lain tetapi hendaklah menjadi pusat komuniti dengan program yang dianjurkan secara berterusan.
''Ini termasuklah menarik minat golongan muda untuk datang ke masjid, melakukan aktiviti keagamaan serta kelas-kelas pengajian yang boleh dimanfaat seluruh umat Islam.
''Memang masjid ini moden, tiga tingkat dan serba baru. Walaupun di luar ia kelihatan gagah, pengisian dalamannya juga hendaklah segagah bangunan ini," katanya di sini baru-baru ini.
Mohamad juga mahu melihat peranan besar masjid, di mana ia merupakan sebuah institusi yang mempunyai pelbagai fungsi dan kegunaan.
''Pada masa ini semakin banyak masjid yang memperluaskan fungsinya sebagai tempat memberi manfaat kepada komuniti setempat, bermula dari Nazir, Imam dan ahli jawatankuasanya sehinggalah ahli jemaah masjid, semuanya memberi sumbangan kepada tahap kemakmuran dan pengimarahan masjid," ujarnya.
Justeru dalam skop lebih besar, masjid juga katanya, hendaklah menjadi pusat pendidikan yang tidak hanya tertumpu pada soal kuliah mahupun pengajaran takmir semata-mata tetapi juga menjadi tempat pendidikan prasekolah anak-anak.
''Pihak pengurusan masjid yang bagus akan sentiasa menganjurkan aktiviti ilmiah di masjid, tidak kira harian, mingguan, bulanan mahupun tahunan," katanya.
Pada masa yang sama juga, Mohamad mahu melihat masjid menjadi satu kawasan pusat ekonomi, di mana boleh diwujudkan satu koperasi masjid yang menjual produk makanan kering dan barangan runcit.
''Ini dapat meningkatkan pendapatan umat Islam serta menjana dana bagi pihak pengurusan masjid dalam menganjurkan aktiviti dari semasa ke semasa," katanya.
Dalam pada itu, orang ramai juga mahu melihat peranan masjid diperluaskan sehinggalah diadakan majlis kenduri sama ada berkaitan perkahwinan, doa selamat, tahlil dan sebagainya agar ia dapat mengeratkan hubungan sesama ummah.
Apa yang penting, golongan belia diajak bersama mengimarahkan masjid dan kanak-kanak pula disediakan ruang lebih sempurna dengan aktiviti khusus untuk mereka supaya kehadiran di masjid menjadi satu keseronokan yang kekal abadi.

Friday, November 12, 2010

Masjid pasang siap dibuka


MASJID pertama di Artik Kanada pada hari perasmiannya di Inuvik, kelmarin. - AFP


OTTAWA 11 Nov. - Masjid pertama di Artik Kanada dibuka semalam di Inuvik sebagai tempat ibadah bagi komuniti kecil Islam di sini, kata ahli jawatankuasa majid berkenaan ketika dihubungi melalui telefon dari Inuvik.
Bangunan masjid pasang siap itu tiba di bandar kecil di utara negara ini pada bulan lalu setelah menempuh perjalanan sejauh 4,000 kilometer melalui jalan darat dan air.
Sebahagian wartawan termasuk pemberita televisyen Arab menyertai masyarakat Islam tempatan dalam majlis pembukaan rasmi yang meriah itu.
Jumlah penduduk Islam di Wilayah Barat Laut Kanada kini telah meningkat kepada 80 orang sejak beberapa tahun lalu. Mereka menunaikan sembahyang di dalam karavan sebesar tiga kali tujuh meter sehingga ia tidak lagi dapat menampung pertambahan jemaah.
Ahli jawatankuasa masjid itu, Amer Suliman berkata, masjid baru yang digelar 'masjid kecil di tundra' oleh media Kanada itu mempunyai sebuah dewan solat utama dengan permaidani merah, sebuah perpustakaan dan ruang dapur.
Kariah bandar ini menempah masjid pasang siap itu menggunakan kapal dari Manitoba, yang mana kos tenaga kerja dan bahan binaan jauh lebih rendah daripada di utara Kanada.
Perjalanan masjid kuning yang kecil itu bermula pada akhir Ogos lalu menggunakan trak melalui jalan berliku-liku merentasi padang rumput dan hutan di barat Kanada diikuti laluan air melalui Sungai Hay di pinggir Great Slave Lake di wilayah barat laut negara itu.
Dari situ, masjid berkenaan dipindahkan pula ke atas tongkang dan dibawa mengikut aliran Sungai McKenzie untuk di bawa ke Inuvik yang terletak kira-kira 200 kilometer dari utara kawasan lingkaran kutub Artik. - AFP

Wednesday, September 8, 2010

Penduduk mahu masjid



Oleh Abu Bakar Al Sidek
bhnews@bharian.com.my
2010/09/08


SURAU di Taman Perumahan Desa tidak mampu menampung jemaah.
SURAU di Taman Perumahan Desa tidak mampu menampung jemaah.

Surau tak dapat tampung jemaah daripada tujuh taman perumahan
 

SUNGAI MANIK: Penduduk Taman Perumahan Desa Maju Perak, Langkap, dekat sini berharap sebuah masjid dibina di taman itu berikutan surau sedia ada tidak lagi dapat menampung kariah yang datang solat berjemaah khususnya setiap Jumaat, selain solat sunat Aidilfitri atau Aidiladha.
Pengerusi surau, Abdullah Tabab Tertomejo, berkata surau kecil sedia ada terpaksa menampung jemaah daripada tujuh taman perumahan, selain penduduk Kampung Tersusun Alor Bakong dan kawasan sekitarnya.
Katanya, keadaan itu menimbulkan suasana tidak selesa di kalangan jemaah, terutama ketika menunaikan solat Jumaat dan raya. 

"Surau ini hanya mampu menampung 500 jemaah tetapi ada ketika kalanya bilangan jemaah datang berganda hingga menyebabkan mereka terpaksa bersolat di luar surau dan bawah khemah,” katanya di sini, baru-baru ini. 

Beliau berkata, masalah pembinaan masjid baru pernah dikemukakan kepada tiga wakil rakyat sebelum ini, tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas sehingga kini. 

Sehubungan itu, Abdullah berkata, penduduk berharap wakil rakyat sekarang memberi perhatian serius terhadap keperluan itu. 
"Jawatankuasa yang ditubuhkan bagi pembinaan masjid ini akan berusaha keras mengumpul derma daripada orang ramai. 

"Kami juga akan mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri dan Pusat untuk mendapatkan dana," katanya. 

Sementara itu, seorang jemaah, Mohd Akob Sulaiman, 65, berkata pihaknya berharap pihak yang berkaitan prihatin terhadap keperluan penduduk di situ untuk mendapatkan sebuah masjid yang lebih besar dan selesa. 

Katanya, surau sedia ada memang tidak dapat menampung bilangan jemaah, terutama solat Jumaat dan raya. 

"Jika hujan, jemaah yang menunaikan solat di bawah khemah akan terkena tempias hujan," katanya.

Tuesday, August 31, 2010

Ahli politik cuba eksploitasi masjid


IMAM Feisal berdialog dengan jemaah selepas mengimamkan solat Zuhur di sebuah masjid di Bahrain.
IMAM Feisal berdialog dengan jemaah selepas mengimamkan solat Zuhur di sebuah masjid di Bahrain.

Pilihan raya pertengahan penggal beri kesan besar 


DUBAI: Protes terhadap pembinaan pusat Islam dekat lokasi 9/11 di New York ada hubungan rapat dengan pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat, November depan, kata Imam Feisal Abdul Rauf yang mengetuai usaha berkenaan, semalam.
“Tidak syak lagi, musim pilihan raya memberi kesan besar kepada bentuk perdebatan isu ini,” kata Feisal yang dipetik akhbar di sini, The National, yang mewawancara beliau mengenai lawatannya ke Teluk dengan ditaja Jabatan Negara Amerika.
Feisal tidak merujuk kepada mana-mana jentera politik kerana sekadar menyatakan sebab mengapa protes itu meletus ketika ramai ahli politik membantah pembinaan pusat bernilai AS$100 juta (RM320 juta) itu termasuk sebuah masjid dan pusat budaya Islam.

Ada ahli perundangan Republikan yang bertanding dalam pilihan raya kali ini menjadikan pembinaan Park51 yang sebelum ini dipanggil ‘Rumah Cordoba’ sebagai isu selepas pemimpin seperti Newt Gingrich dan Sarah Palin menyatakan tentangan.

Kevin Calvey, ahli Republikan yang bertanding kerusi Kongres di Oklahoma, berkata pemimpin Muslim yang menyokong pembinaannya ‘jelas penyokong pengganas.’
Malah, ahli Demokrat juga berasa tertekan supaya memberi pandangan balas dalam perbahasan berkenaan.
Anggota Demokrat paling kanan di Senat, Harry Reid, yang menghadapi tentangan hebat di Nevada, berkata masjid itu perlu dibina lebih jauh dari lokasi ‘Gound Zero.’

Malah, Presiden Barack Obama yang berkata penduduk Muslim berhak mengamalkan agama mereka dan membina masjid itu di Manhattan, kemudian mengubah pendirian dengan menyatakan beliau tidak menyokong pelan itu sepenuhnya.

Feisal membandingkan keadaan Muslim Amerika sekarang dengan prejudis berasaskan agama serta serangan terhadap kumpulan lain termasuk imigran Yahudi dan Roman Katolik.

Apapun, katanya, penduduk Islam Amerika adalah sebahagian daripada identiti Muslim Amerika.

“Selepas beberapa waktu berlalu dan generasi kedua (Muslim) terbentuk kukuh di Amerika, mereka membincangkan identiti Islam di Amerika yang semakin dilihat sebagai terasing daripada penduduk tempatan.

“Golongan radikal wujud dalam dunia Islam. Ia juga ada di kalangan pengikut agama lain. Mereka kuat kerana saling memerlukan. Kita perlu tentang mereka.

“Itu saja cara untuk menang dan mewujudkan suasana yang selamat di seluruh dunia, itulah yang semua orang mahu sebenarnya.” kata Feisal. – AP

Monday, August 23, 2010

Anggota demokrat juga bantah bina masjid dekat lokasi 9/11




2010/08/23

NEW YORK: Semakin ramai anggota Parti Demokrat Amerika Syarikat khususnya di New York dan sekitarnya tidak menyokong pandangan Presiden Barack Obama minggu lalu bahawa orang Islam berhak membina masjid dan menjalankan kegiatan keagamaan dekat lokasi 9/11. 

Penganalisis percaya, lapan anggota Demokrat mungkin kalah dalam pilihan raya separuh penggal tahun ini sekali gus hilang majoriti di Kongres. Parti Demokrat menguasai 27 kerusi Senat dan 29 kerusi Kongres di New York.Bermula dari timur Long Island hingga ke kawasan pedalaman lebih mewah, anggota Demokrat menentang pembinaan bangunan diberi nama Pusat Cordoba menempat masjid, gimnasium, kolam renang dan pusat budaya bernilai AS$100 juta (RM320 juta), dua blok dari lokasi 9/11.Kira-kira 2,700 orang terbunuh dalam kejadian pada September 2001 meskipun 300 daripadanya adalah orang Islam jarang disebut. 

Anggota Demokrat terbaru tidak menyokong pandangan Obama ialah John Hall yang sudah dua penggal berkhidmat di daerah ke-19 di utara New York dan bakal menghadapi tentangan pencabar Republikan, Nan Hayworth. 

Dalam kenyataannya, beliau berkata, kebebasan beragama adalah asas demokrasi tetapi berharap projek itu dibina di tempat lain. 

Saya berpendapat, langkah terbaik ialah membina pusat itu di tempat lain sebagai menghormati mereka yang terbunuh dalam insiden 11 September selain menunjukkan kita sensitif kepada keluarga mangsa, katanya. 
Hall menyertai tiga anggota Demokrat lain yang dipercayai berkedudukan goyah menghadapi pilihan raya November depan, membantah pembinaan Pusat Cordoba. 

Di Long Island, seorang lagi anggota Demokrat, Tim Bishop, berkata pengusaha pusat Islam patut memindahkan pembinaan ke tempat lain kerana lokasi 9/11 wajar menjadi simbol persefahaman antara agama. Perwakilan Demokrat di Staten Island, Mike McMahon juga berharap projek itu dibina di tempat lain. 

Pandangan mereka sedikit sebanyak dibantu kenyataan Ratu Amerika Syarikat 2010, Rima Fakih, berketurunan Lubnan yang dilaporkan berkata bahawa Pusat Cordoba terlalu hampir dengan tempat berlakunya serangan terburuk dalam sejarah Amerika. Agensi 

Thursday, July 15, 2010

Masjid ditukar jadi rumah

AL-BAHA: Pihak berkuasa tempatan sedang menyiasat seorang lelaki yang dikatakan menjadikan sebuah masjid di taman awam sebagai kediamannya sejak lima tahun lalu.
Lelaki yang juga kakitangan pejabat pentadbiran Qulwa itu dipercayai menggunakan jawatannya di pejabat berkenaan untuk tinggal di masjid terbabit.
Surat rasmi daripada pejabat amir Al-Baha mengarahkan ketua pentadbiran Qulwa, Muhammad Al-Ghamdi supaya mengerahkan kakitangannya berpindah daripada masjid berkenaan kerana ia untuk kegunaan awam.

“Masjid kecil di daerah Al-Kadama yang terletak di hadapan bangunan pejabat Qulwa itu dibina selepas mendapat kelulusan majlis perbandaran berikutan tiada masjid di kawasan itu,” lapor kandungan surat berkenaan.

Masjid itu kemudian dijadikan tempat menyimpan barang kebajikan sebelum kakitangan Qulwa terbabit tinggal di situ.

Amir Al-Baha mengarahkan supaya masjid itu dikosongkan segera dan fungsinya untuk kegunaan awam dikekalkan. - Agensi