Adik Apex meninggal dunia akibat demam panas
ADIK penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat meninggal dunia akibat demam panas di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

Mohd Izat, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Mek Zainab II, di sini, meninggal dunia selepas lima hari dimasukkan ke Wad 2 Delima, HUSM.

Khairul Fahmi berkata, beliau sedih dengan pemergian adiknya dan kali terakhir bertemu arwah sebelum Aidiladha, baru-baru ini.

“Saya dimaklumkan oleh keluarga keadaannya bertambah teruk dan dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) sehingga tidak sedarkan diri ketika saya menghadapi Sukan Sea di Jakarta.

“Kali terakhir saya sempat melawatnya selepas dia dipindahkan ke HUSM Khamis lalu dan ketika itu arwah tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Pohon Tanjung, Wakaf Mek Zainab, di sini, semalam.

Khairul Fahmi berkata, biarpun berlai­nan ibu, namun mereka adik-beradik tetap akrab dan arwah meminati bola sepak, namun kurang aktif dalam sukan itu.

Sementara itu, bapa arwah, Che Mat Husin, 58, terkilan kerana tidak membenarkan anak sulung daripada isteri keduanya itu meminjam keretanya.

“Dua hari sebelum arwah demam panas dan dimasukkan ke hospital, dia pernah menyatakan hasratnya meminjam kereta saya untuk membeli makanan di kedai berdekatan.

“Saya terkilan kerana tidak membenarkan arwah menggunakan kereta itu memandangkan sudah lewat (jam 1 pagi) dan biasanya saya benarkan dia menggunakan kereta itu,” katanya.

Jenazah Mohd Izat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Wakaf Mek, di sini kira-kira jam 5 petang sejurus selepas ketibaan Khairul Fahmi di rumah keluarganya di Wakaf Mek Zainab.Adik Apex meninggal dunia akibat demam panas - Liga Malaysia - Sinar Harian: