Wednesday, July 29, 2015

Pembangkang sokong tubuh kerajaan peralihan

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu
Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu

PETALING JAYA - Pemimpin PKR, DAP dan Gerakan Harapan Baru (Harapan Baru) menyeru semua ahli parlimen mengambil tindakan drastik menyokong penubuhan sebuah kerajaan peralihan.

Jurucakapnya, Mohamad Sabu berkata,  perlu ada satu kepimpinan yang tegas dari parti-parti pembangkang agar kemelut akibat pergolakan dalaman Umno dan kontroversi membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat dihentikan serta merta untuk mengembalikan urus tadbir negara yang mengutamakan kebajikan rakyat.

“Sejak pendedahan mengenai keterlibatan Najib berhubung tuduhan salah laku pengurusan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dibuat, seluruh negara menjadi mangsa apabila urusan pentadbiran dan pembangunan dikorbankan demi percaturan politik beliau.

“Keadaan menjadi parah kebelakangan ini sejak pendedahan The Wall Street Journal (WSJ) mengenai pemindahan wang berjumlah RM2.6 bilion ke akaun yang ditubuh milik Najib,” katanya dalam sidang media, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Harapan Baru berkata, kerajaan peralihan dapat ditubuhkan dengan merujuk kepada beberapa terma khusus seperti pelantikan seorang perdana menteri dari kalangan pemimpin kanan bagi tempoh satu tahun sehingga PRU14 yang dipanggil di akhir tempoh tersebut.

“Reformasi institusi-institusi penting untuk memastikan PRU14 akan berjalan dengan adil dan keluhuran perlembagaan serta undang-undang dikembalikan.

“Penyelesaian kepada skandal-skandal utama negara termasuk 1MDB dengan matlamat memastikan mereka bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Katanya, penubuhan kerajaan peralihan boleh dilakukan dalam masa terdekat sekiranya ahli-ahli parlimen menyokong satu usul tidak percaya terhadap Najib.

“Usul ini boleh dibuat di luar sidang parlimen atau semasa sidang parlimen akan datang.

“Sudah tiba masanya Muhyiddin dan kumpulan beliau menyokong satu usaha menubuhkan kerajaan peralihan melalui satu undi tidak percaya kepada Najib,” katanya.

Jelasnya, beberapa minggu ini, seluruh negara diheret dengan pelbagai desas-desus pergolakan politik dalam Umno.

“Perpecahan dalaman Pasukan Khas yang diamanahkan menyiasat penglibatan Najib kepada kepada dua kumpulan. Satu kumpulan yang ingin menyelamatkan Najib dan satu lagi ingin mendakwa Najib. Perkara ini disahkan dengan berita penamatan khidmat Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

“Kedua adalah pengguguran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa menteri kanan dari Umno untuk mengukuhkan kedudukan Najib,” katanya.

Tambah Mohamad, pihaknya memberi amaran kepada Najib supaya tidak mengambil peluang pergolakan dalaman Umno untuk terus menyalahgunakan kuasa dengan menahan pemimpin-pemimpin pembangkang, pengamal media dan mereka yang mengkritik pentadbiran beliau.

Penghantar surat bebas tahanan reman

Penghantar surat bebas tahanan reman
Penghantar surat diiringi Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dibebaskan dengan jaminan RM50,000 dan dua penjamin selepas direman sejak Ahad lepas berkaitan siasatan 1MDB di Mahkamah Majistret hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Mahkamah Majistret di sini, hari ini memerintahkan seorang penghantar surat dibebaskan selepas ditahan reman empat hari sejak Ahad lepas bagi membantu siasatan berhubung 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahim membenarkan lelaki berusia 27 tahun itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM50,000 iaitu RM10,000 daripadanya didepositkan dan baki RM40,000 jaminan secara lisan oleh dua penjamin.

Penghantar surat itu yang tidak diwakili peguam, bagaimanapun merayu agar jaminan dikurangkan tetapi majistret mengekalkan jaminan itu.

Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazalie Abdul Khairi.
Penghantar surat itu ditahan di kediaman keluarganya di Bentong, Pahang pada 6 petang Sabtu lepas untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.
Dengan pembebasan lelaki itu, kesemua lima individu yang ditahan SPRM untuk membantu siasatan berhubung 1MDB sebelum ini telah dibebaskan dengan jaminan suruhanjaya itu.
Pada Jumaat lepas, seorang pengarah sebuah syarikat pembinaan berusia 39 tahun, yang merupakan merupakan individu pertama ditahan untuk membantu siasatan itu, dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM100,000 dengan RM20,000 dalam bentuk wang tunai dan RM80,000 atas jaminan lisan dua penjamin.

Pada Sabtu lepas, Pengarah Urusan sebuah syarikat berusia 54 tahun bergelar 'Datuk' dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM100,000 dengan mendepositkan RM20,000 tunai dan RM80,000 atas aku janji lisan dua penjamin.

Pada Isnin, seorang pemilik tunggal sebuah syarikat perdagangan berusia 28 tahun dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM50,000 iaitu RM10,000 dalam bentuk wang tunai dan baki RM40,000 atas jaminan lisan dua penjamin.
Semalam, seorang pengarah urusan sebuah syarikat bergelar 'Datuk' turut dibebaskan atas jaminan SPRM sebanyak RM100,000 iaitu RM20,000 daripadanya dalam bentuk tunai dan baki RM80,000 dengan jaminan lisan dua penjamin. - Bernamaa

Penyingkiran Muhyiddin, Gani beri gambaran buruk

Azmin Ali
Azmin Ali

SHAH ALAM - Penyingkiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dari barisan Kabinet baharu selepas beberapa hari beliau ‘menegur’ kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan Perdana Menteri itu perlu menjawab kepada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali sambil menyifatkan pengguguran dalam rombakan kabinet Najib itu hanya menjerumuskan Malaysia ke dalam gaung krisis susulan kontroversi syarikat pelaburan negara itu.

Beliau berkata, penamatan Tan Sri Abdul Gani Patail daripada jawatan Peguam Negara sebagai salah seorang anggota panel siasatan skandal 1MDB juga memberi gambaran buruk terhadap Najib.

“Ia memberikan gambaran (bahawa) Perdana Menteri bertindak untuk mempertahankan kedudukan dan regimnya dari disiasat oleh panel bebas atas pelbagai salah guna kuasa dan rasuah yang melibatkan berbilion ringgit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas rombakan kabinet hari ini yang menyaksikan pengguguran Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan ia digantikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Terdahulu, Muhyiddin semasa berucap pada majlis penutup mesyuarat Umno Bahagian Cheras di Kuala Lumpur pada Ahad mempersoalkan kepimpinan Najib yang masih gagal memberi penjelasan terhadap skandal 1MDB.

Beliau juga menyarankan supaya laporan awal 1MDB yang disediakan Ketua Audit Negara supaya dijadikan sebagai dokumen awam.

Sehubungan itu, Azmin selaku Timbalan Presiden PKR juga menyeru semua ahli Parlimen tanpa mengira parti politik supaya bersatu padu untuk menyelamatkan Malaysia daripada gaung krisis itu.

“Negara memerlukan reformasi menyeluruh untuk memulihkan keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa demi menyelamatkan ekonomi negara dan menjamin kesejahteraan rakyat.

“Rakyat tidak memberikan dukungan kepada mana-mana ahli parlimen untuk duduk diam dan membiarkan negara menjunam ke dalam gaung krisis yang semakin parah,” katanya lagi.

Kenapa gugur Muhyiddin? Rakyat tanya Najib

Muhyiddin Gugur
Muhyiddin

SHAH ALAM – Pengumuman rombakan barisan Kabinet yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menggugurkan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menimbulkan tanda tanya rakyat meskipun ada yang menjangka perkara itu akan berlaku.

Sinar Online mendapatkan reaksi orang ramai sejurus pengumuman dibuat, hari ini.

Menurut Arman Putera Asmuni, 42, Najib perlu menyatakan alasan menggugurkan Muhyiddin kepada rakyat supaya rakyat dapat menerima keputusannya itu.

“Mudah sahaja. Kenapa (gugur Muhyiddin)? Jika dia (Najib) boleh jawab kenapa, kita boleh terimalah rasionalnya keperluan menukar timbalan perdana menteri. Sebab (Muhyiddin) tidak sakit atau masalah kesihatan dan tidak ada kes besar yang dilaporkan secara rasmi terhadapnya, jadi, soalan saya, kenapa?

“Yang lain-lain juga kenapa ditukar portfolio dan digugurkan? Jika beliau boleh tampil dan jelaskan ‘saya gugurkan pemimpin yang ini kerana alasan ini’, rakyat boleh terima,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Najib dalam sidang media secara langsung menjelaskan tindakan beliau menggantikan Muhyiddin itu sememangnya 'sukar' namun keputusan dibuat demi memperkuatkan lagi jemaah menteri sebelum menghadapi Pilihan Raya ke-14.

Namun, desas-desus menyebut pengguguran itu ada kaitan dengan kelantangan Timbalan Presiden Umno itu dalam mengkritik skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Namun, Arman Putera dilihat tidak terkejut dengan keputusan itu dan sudah menjangkakan ia akan berlaku susulan beberapa tindakan Muhyiddin sebelum ini yang mengkritik 1MDB.

“Jangkaan itu ada. Saya tidak terkejut, cuma seperti saya kata tadi, mesti ada alasan kenapa gugurkan, kenapa ditukar?,” katanya.

Perkara sama turut disuarakan Vanishree Radha Krishna, 37, yang mengakui tidak terkejut langsung dengan rombakan itu dan sudah pun menjangkakan perkara itu.

Namun katanya, Najib tidak sepatutnya terus ‘menghapuskan’ Muhyiddin apabila pemimpin itu dilihat tidak memihak kepadanya dalam skandal 1MDB.

“Sepatutnya Muhyiddin daripada awal kena bela rakyat bukan hanya pada masa ini sahaja (melibatkan skandal 1MDB). Sebelum ini pun, ada banyak lagi isu lain tapi masih belum terlambat. Mungkin sekarang beliau dah sedar. Terlalu banyak isu timbul dia rasa makin lama rakyat Malaysia dianaktirikan.

“Mungkin suara hati dia merasakan ini semua tak betul dan dia mula bersuara. Sepatutnya beliau diberikan kebebasan, tak bolehlah terus ‘shut him off’. Apa yang Najib buat sekarang ini memang ‘very clear cut’,” katanya.

Vanishree juga kesal apabila isu perkauman dibangkitkan sejak kebelakangan ini yang didakwanya bagi menutup isu atau skandal yang didedahkan.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini banyak isu perkauman dibangkitkan tapi realitinya ketiga-tiga bangsa utama di negara ini tidak ada gaduh. Saya tak pernah gaduh dengan Melayu atau Cina malah saya tinggal di kawasan yang pelbagai kaum.

“Saya lihat kes-kes perkauman seperti diadakan. Kami sayang negara ini dan nak tinggal di sini dengan menyayangi kaum lain seperti adik-beradik. Boleh dikatakan ahli politik di negara ini... tapi bukan semua, tidak cintakan negara ini. Mereka ‘money minded’. Kalau betul mereka cintakan negara ini, mereka tidak akan rosakkan negara,” katanya.

Sementara, Ahmad Razif, 27 pula memilih untuk menyerahkan semua keputusan rombakan itu kepada pihak yang berkaitan dan menanti keputusan siasatan berhubung 1MDB yang sedang berjalan.

“Isu yang melibatkan 1MDB itu sepatutnya diselesaikan secara dalaman dan tidak didedahkan kepada umum sangat tapi memandangkan dunia sekarang yang menggunakan teknologi yang pelbagai, jadi, maklumat dapat lebih cepat.

“Perkara ini dalam siasatan lagi, saya pun tak tahu nak komen positif atau negatif. Saya serahkan semua kepada Kabinet. Kita tunggulah kata putus selepas siasatan selesai nanti,” katanya.

Gugur TPM: Muhyiddin tanya, Najib hanya angguk

Gugur TPM: Muhyiddin tanya, Najib hanya angguk
Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isterinya dalam sidang media di kediamannya, sebentar tadi. - Foto Sinar Online

KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mendedahkan telah mengetahui pengguguran jawatannya sebelum pengumuman dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam.
 
Menurutnya, ketika diminta kepastian tentang penggugurannya, Najib hanya mengangguk.
 
"Beliau (Najib) beritahu (pengguguran Muhyiddin) selepas perbincangan dan berikan pandangan serta pendapat beliau dan saya juga jelaskan apa-apa yang patut saya jelaskan.
 
"Kemudian saya tanya, apa tujuan saya dijemput, adakah ada kaitan dengan rombakan jemaah menteri? Beliau mengangguk.
 
"Kemudian saya tanya, adakah 'you' nak cakap apa-apa dengan saya, dia rasa susah nak cakap. Adakah bermakna nama saya tidak tersenarai? Apabila dia mengangguk, saya kata terima kasih," katanya pada sidang media di kediamannya, di sini hari ini.

Anak lelaki Muammar Gaddafi dihukum mati


TRIPOLI 28 Julai – Anak lelaki pemimpin Libya, Saif al-Islam dihukum mati oleh skuad penembak bersama beberapa pemimpin penting yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran ayahnya, Muammar Gaddafi.
Saif al-Islam
Menurut rangkaian berita Al Jazeera, hukuman terhadap Saif dilaksanakan hari ini di Tripoli selepas dia didapati bersalah melakukan jenayah perang dan menggunakan kekerasan bagi menghalang perhimpunan aman untuk menuntut revolusi pada 2011 yang menyaksikan kerajaan Muammar digulingkan.
Jelas laporan itu, perbicaraan kes anak kedua Muammar terbabit bermula pada April tahun lalu dan telah mencetuskan perbalahan antara puak dan pergolakan politik sehingga mewujudkan dua kerajaan berbeza yang memerintah Libya iaitu di Tripoli dan satu lagi di Tobruk.
Keputusan hukuman mati itu dibuat tanpa kehadiran Saif ke mahkamah.
Saif, 43, ditahan sejak 2011 oleh bekas kumpulan pemberontak di Zintan yang menentang kerajaan Tripoli.
Selain Saif, bekas ketua perisikan, Abdullah Senussi merupakan antara bekas pegawai kerajaan Muammar yang dihukum tembak mati dan bekas Perdana Menteri, Baghdadi Ali Mahmudi.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/anak-lelaki-muammar-gaddafi-dihukum-mati-1.118063#sthash.ggov1zFm.dpuf