Showing posts with label lemas. Show all posts
Showing posts with label lemas. Show all posts

Sunday, November 4, 2012

Mayat buruh lemas dijumpai



KUANTAN 3 Nov. - Mayat seorang buruh binaan yang dikhuatiri lemas selepas tergelincir ke dalam Sungai Semantan di Kampung Lompat, Temerloh, ketika pergi menjaring ikan bersama rakannya, tengah malam semalam ditemui tersangkut di sebuah sangkar ikan di sungai tersebut pagi ini.
Mayat mangsa, Mohd. Khairul Mohd. Zain, 32, ditemui pukul 8 pagi oleh sepasukan anggota penyelamat tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Pemangku Ketua Polis Daerah Temerloh, Supritendan Zundin Mahmood berkata, laporan bedah siasat yang dijalankan Hospital Haji Ahmad Shah Temerloh mengesahkan mangsa yang tinggal di kampung tersebut mati lemas.
Difahamkan, mangsa terlebih dahulu turun ke sungai tanpa menggunakan sampan atau bot untuk memasang jaring ikan sebelum bergerak kira-kira 50 meter dari tempat rakannya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20121104/wp_03/Mayat-buruh-lemas-dijumpai#ixzz2BE02l5dR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sunday, September 4, 2011

6 pelajar cari bunga lemas di sungai

HANOI 3 Sept. - Seramai enam pelajar perempuan di Vietnam lemas apabila sebuah bot bambu yang mereka naiki terbalik di sungai Merah, Hanoi, semalam.
Mangsa yang kesemuanya berumur 12 tahun dilaporkan menaiki bot untuk memetik bunga yang terapung di sungai itu, menurut seorang pekerja perubatan.
"Terdapat tujuh pelajar perempuan di atas bot itu ketika kejadian, tetapi seorang berjaya diselamatkan selepas dia berenang ke tepi sungai dan menjerit meminta tolong," katanya. -

Sunday, August 28, 2011

Tujuh maut feri tenggelam

MAKASSAR: Tujuh orang maut dan beberapa lagi dipercayai hilang selepas sebuah feri tenggelam di perairan Indonesia, semalam, kata pihak berkuasa tempatan.
Feri itu tengggelam 24 kilometer dari Kolaka di tenggara wilayah Sulawesi, kata Ketua Pelabuhan, Zainuddin sambil menambah 93 orang berjaya diselamatkan. “Kami berjaya menyelamatkan 61 orang dewasa, 13 kanak-kanak dan 19 pekerja feri,” katanya. - AFP

Friday, August 19, 2011

2 kanak-kanak lemas dalam kolam takungan

Mangsa terjatuh ketika bermain berhampiran kediaman

PUTRAJAYA: Tindakan tiga bersaudara berusia empat hingga enam tahun yang keluar bermain bersama tanpa pengawasan orang dewasa berhampiran sebuah kolam takungan air berhampiran kediaman mereka diakhiri dengan tragedi apabila dua daripada kanak-kanak itu ditemui lemas Pulau Meranti, dekat sini, kira-kira jam 4 petang, semalam.
Sebelum kejadian itu, Amir Fariz Mohd Fozli, 6, dan sepupunya, Nor Shafiza Batrisya Ahmad Syukri, 4, dikatakan bermain di tepi kolam bersama abang Nor Shafiza, Mohd Fikri, 6, kira-kira jam 3 petang. Ibu Nor Shafiza Batrisya yang terkejut dengan berita itu, kemudian memaklumkan kejadian menimpa anak perempuannya itu kepada suaminya Ahmad Syukri Ismail, 41, sebelum meminta bantuan jiran untuk mencari kedua-dua mangsa. - Maznah Mat Noor, Ibu saudara mangsa Ibu saudara mangsa, Maznah Mat Noor, 39, berkata selepas sejam keluar bermain Mohd Fikri pulang ke rumah seorang diri dalam keadaan seluar dan kakinya kotor memberitahu ibunya, Faridah Mat Noor, 38, adiknya dan Amir Fariz terjatuh ke dalam kolam.

“Ibu Nor Shafiza Batrisya yang terkejut dengan berita itu, kemudian memaklumkan kejadian menimpa anak perempuannya itu kepada suaminya Ahmad Syukri Ismail, 41, sebelum meminta bantuan jiran untuk mencari kedua-dua mangsa.

“Bagaimanapun, sejurus tiba di tempat kejadian adik ipar saya terkejut apabila melihat keadaan Amir Fariz dan Nor Shafiza Batrisya sudah terapung di permukaan air dipercayai akibat lemas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Serdang di sini, malam tadi.

Maznah berkata, mereka kemudian membawa kedua-dua mangsa ke Hospital Serdang untuk mendapatkan bantuan kecemasan, sebelum doktor bertugas di situ mengesahkan Amir Fariz dan Nor Shafiza Batrisya sudah meninggal.
Sementara itu, Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat, sebelum diserahkan kepada ahli keluarga terdekat untuk urusan pengebumian. -bharian

Tuesday, June 7, 2011

Pusat jagaan kanak-kanak tanpa lesen diarah tutup


GEORGE TOWN: Pusat jagaan kanak-kanak yang tidak mempunyai lesen di sini, telah diarah untuk menghentikan operasi berikutan insiden seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditemui lemas dalam besen bilik air semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang Phee Boon Poh berkata pihaknya telah menyerahkan surat kepada pemilik pusat jagaan itu agar menghentikan operasinya.

"Siasatan awal pihak kami mendapati pusat jagaan kanak-kanak yang terletak di Paya Terubong itu tidak memiliki lesen untuk mendirikan pusat berkenaan dan tidak mempunyai permit untuk beroperasi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata kesemua pusat jagaan, tabika dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) seharusnya memohon permit dan lesen daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendidikan atau kerajaan tempatan.

"Pihak JKM masih menjalankan siasatan dan satu laporan lengkap berkenaan pusat itu akan siap selewat-lewatnya akhir minggu ini," katanya.myMetro | Pusat jagaan kanak-kanak tanpa lesen diarah tutup

Thursday, June 2, 2011

Jurumudi bot jumpa mayat lelaki warga asing dalam Sungai Melaka




ANGGOTA polis mengusung mayat seorang lelaki dijumpai mati di Sungai Melaka berhampiran Taman Rempah di Melaka, semalam.


MELAKA 1 Jun - Seorang jurumudi bot Melaka River Cruise terkejut apabila objek menyerupai patung besar yang ditemuinya di Sungai Melaka pagi ini rupa-rupanya mayat seorang lelaki warga asing.
Rosmah Yassin, 28, berkata, mayat itu ditemui ketika dia dalam perjalanan ke bengkel membaiki bot kira-kira pukul 8.30 pagi.
"Saya nampak satu objek seperti patung dan tidak ambil peduli sangat. Tetapi sewaktu dalam perjalanan balik selepas membaiki lampu hadapan bot, saya menghampiri 'patung' itu.
"Saya terkejut apabila mendapati objek yang saya sangka patung itu rupanya mayat seorang lelaki sedang dikerumuni dua ekor biawak," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.
Menurutnya, selepas itu, tubuhnya terus menggigil dan berpatah balik ke bengkel untuk memaklumkan mengenai penemuan mayat tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman berkata, mayat lelaki berkenaan dipercayai warga asing berusia 22 tahun dan telah mati kira-kira dua hari sebelum ditemui.
"Polis turut menemui satu dokumen menyerupai permit kerja pada mayat, namun semakan mendapati tiada permit sebegitu pernah dikeluarkan Jabatan Imigresen.
"Sehubungan itu, polis percaya dokumen yang tertera mangsa merupakan warga Myanmar ini merupakan permit palsu," katanya.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati terdapat beberapa kesan lebam namun tidak dapat dipastikan sama ada ia berpunca daripada gigitan haiwan atau cedera dipukul.
Katanya, pihaknya menunggu hasil laporan bedah siasat sebelum dapat mengklasifikasikan kes berkenaan.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Thursday, May 12, 2011

Operasi cari Nur Syaza Sakinah dihentikan



SEREMBAN 11 Mei – Operasi mencari dan mengesan kanak-kanak, Nur Syaza Sakinah Said Ahmad, 2, yang hilang selepas dihanyutkan arus deras di kawasan perkelahan Hutan Lipur Ulu Bendul, dekat sini minggu lalu dihentikan hari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima pandangan serta nasihat daripada ketua gerakan operasi dan anggota keselamatan selepas usaha tersebut dilihat menemui jalan buntu.
‘‘Kita sudah putuskan perkara ini dalam mesyuarat bahawa kemungkinan untuk kita menemui mangsa yang telah hilang masuk hari kelapan, amat tipis,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Jelasnya, pelbagai inisiatif dan pendekatan diambil bagi mengesan kanak-kanak itu termasuk memanggil Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (SMART) serta unit anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Mohamad berkata, pihaknya berharap keluarga mangsa dapat menerima keputusan itu dengan tabah.
‘‘Ini amat mendukacitakan kita dan saya telah meminta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) untuk mengadakan sembahyang jenazah ghaib di Masjid Bandar Baru Senawang, memandangkan kita tidak menemui mangsa,” katanya.
Tambahnya, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memaklumkan perkara tersebut kepada keluarga mangsa lewat hari ini.
Nur Syaza Sakinah bersama dua kakaknya dihanyutkan air deras ketika sedang mandi-manda di hutan lipur tersebut Selasa lalu.
Kakaknya, Allahyarham Nur Syaza Alisa, 5, dan Allahyarham Nur Syaza Azira, 4, ditemui lemas dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang, Seremban, sehari selepas kejadian.
Dalam kejadian itu, bapa kanak-kanak terbabit, Said Ahmad dan kenalan wanita, Alwani Abu Hassan, 18, yang turut hanyut dalam insiden kepala air di hutan lipur itu berjaya diselamatkan oleh orang ramai.-utusan

Tuesday, May 10, 2011

Sikap aneh ajak ke rumah datuk - Kartika



Kartika Sari Dewi Shukarnor (kiri) menyiramkan air ke pusara anaknya, Mohd. Azfar M. Afandi yang meninggal dunia akibat lemas di Sungai Perak, Sungai Siput, semalam. - utusan/Roy Azis Abd Aziz


SUNGAI SIPUT 9 Mei - Bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor tidak menyangka, sikap anaknya yang beria-ia mengajaknya pulang ke rumah datuk baru-baru ini menjadi petanda dia akan pergi buat selama-lamanya.
Kartika, 34, berkata, dia membawa anaknya Mohd. Azfar M. Afandi, 9, ke rumah bapanya di Resort Lang Buana, Kampung Jawang pada Sabtu lalu setelah diminta oleh arwah.
"Saya agak pelik dengan perubahan sikap Azfar kerana sebelum ini dia tidak begitu. Mungkin juga dia terlalu rindu dengan datuknya.
"Malah, sebelum ini saya bermimpi, anak saya tenggelam dalam satu lubang air dan saya tidak dapat menariknya keluar," katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Sungai Siput (HSS) di sini hari ini.
Anak sulung Kartika itu dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu dan mayatnya ditemui kira-kira satu kilometer dari resort tersebut awal pagi ini.
Kartika sudah berpisah dengan suaminya, Afandi Amir sejak dua tahun lalu dan kini tinggal dengan dua anaknya di Taman Anggerik dekat sini.
Sementara itu, abang Kartika, Mohamad Hatta, 37, berkata, semasa menyusuri sungai dengan bot bersama penduduk kampung kira-kira setengah jam, dia ternampak tubuh anak saudaranya terapung- apung, manakala separuh lagi badannya tersangkut pada kayu.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jawang selepas solat Zuhur.

Majlis doa untuk Nur Syaza Sakinah



KUALA PILAH 9 Mei - Satu majlis bacaan doa diadakan di Hutan Lipur Ulu Bendul, dekat sini hari ini, bagi memohon petunjuk agar Nur Syaza Sakinah Said Ahmad, 2, yang hilang selepas dihanyutkan arus deras di kawasan perkelahan itu minggu lalu, ditemui.
Selain anggota pasukan mencari dan menyelamat, majlis itu disertai anggota keluarga dan saudara mara pihak bapa mangsa, Said Ahmad Ibrahim, 28, dan ibu mangsa, Wan Azlela Wan Abdullah, 32.
Bapa saudara mangsa, Wan Aziz Wan Abdullah berkata, usaha mencari Nur Syaza Sakinah diteruskan hari ini dan pihaknya masih menaruh harapan tinggi untuk menemui mangsa dalam keadaan apa sekali pun.
Katanya, kali ini kira-kira 40 ahli keluarga Said Ahmad dan Wan Azlela bergabung tenaga meneruskan usaha itu dengan dibantu pasukan daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.
"Tidak ada perselisihan faham di antara kami, malah kami semua bertekad bersatu demi Nur Syaza Sakinah dan berharap keadaan ini akan berkekalan sampai bila-bila," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Nur Syaza Sakinah adalah salah seorang daripada tiga beradik yang dihanyutkan air deras ketika sedang mandi-manda di hutan lipur tersebut Selasa lalu.
Kedua-dua kakaknya, Allahyarham Nur Syaza Alisa, 5, dan Allahyarham Nur Syaza Azira, 4, yang ditemui lemas telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang, Seremban, sehari selepas kejadian.
Dalam kejadian itu, Said Ahmad dan kenalan wanita, Alwani Abu Hassan, 18, yang turut dihanyutkan kepala air berjaya diselamatkan oleh orang ramai.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Jaafar Baba berkata, operasi mencari akan diteruskan dan semua pihak yang menyertai usaha tersebut memberikan komitmen yang tinggi bagi menjayakannya.

Monday, May 9, 2011

Ibu ‘keringkan hati’ cari jasad anak dalam sungai


TABAH...Wan Azleela menenangkan anak sulungnya Mohd Adib Norazman.

TABAH...Wan Azleela menenangkan anak sulungnya Mohd Adib Norazman.
Ibu ‘keringkan hati’ cari jasad anak dalam sungai

KUALA PILAH: Sambutan Hari Ibu tidak bermakna bagi seorang wanita apabila kehilangan tiga puterinya sekali gus dalam kejadian arus deras di Hutan Lipur Ulu Bendul, di sini, Selasa lalu.
Lebih meruntun jiwa apabila jasad seorang anaknya belum ditemui sehingga kini.

Keadaan itu menyebabkan Wan Azleela Wan Abdullah, 33, masih tekad berusaha mencari jasad anak bongsunya, Nurshaza Shakinah Said, 2, walaupun kejadian masuk hari keenam, semalam.

Malah, ibu berjiwa kental itu mengetepikan kesedihan kehilangan tiga anak kesayangannya serentak dalam kejadian fenomena ‘kepala air’ itu untuk turut serta turun ke sungai bagi mencari anak bongsunya.

Menurut Wan Azleela, dia amat sedih kerana tidak berpeluang menyambut Hari Ibu bersama anak-anaknya.

“Tiada lagi kucupan dan rengekan manja mereka. Hanya Tuhan tahu perasaan ini dan saya nekad mahu memastikan anak bongsu saya itu mempunyai pusara.


“Saya amat berharap Shakinah ditemui kerana bila ada jasad bermakna akan ada kubur mereka. “Saya boleh melawat kubur untuk mengubat kerinduan terhadap mereka,” katanya.

Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek dan isterinya, Datin Norainee Mohd Yatib meluangkan masa menziarah keluarga mangsa di lokasi kejadian, semalam.
Wan Azleela berkata, air matanya sudah kering menangisi pemergian tiga anaknya itu termasuk Nurshaza Alisa, 5, Nurshaza Azira, 4.

“Sejak anak-anak hilang, saya menyertai gerakan mencari tidak kira siang atau malam tanpa mempedulikan kesejukan air sungai.

“Namun, saya tahu mereka gembira dan riang di sana. “Apabila bersendirian, saya sentiasa melihat Shakinah tersenyum ke arah saya.

“Saya berdoa mereka dirahmati Allah. Saya juga berharap mereka mendoakan saya tabah menjalani hidup ini di dunia tanpa kehadiran mereka di sisi,” katanya.

Sementara itu, Hasan berkata, seorang kaunselor Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Pilah ditugaskan memberi khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa supaya dapat menerima hakikat kejadian berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba berkata, pihaknya kini membahagikan kumpulan mencari dan menyelamat (SAR) kepada dua kumpulan membabitkan kawasan sungai yang dalam dan tempat berkelah.

Mayat anak Kartika Sari ditemui


KARTIKA Sari Dewi membaca surah yasin ketika menunggu anaknya, Muhammad Azfar Affandi yang hilang di Kampung Jawang dijumpai semula, semalam. Kuala Kangsar 8 Mei 2011. UTUSAN/ROY AZIS

SUNGAI SIPUT 9 Mei - Mayat anak sulung bekas model sambilan Kartika Sari Dewi yang dilapor hilang dua hari lepas, ditemui terapung di Sungai Perak di sini awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Supritendan Azman Salim berkata, mayat Muhammad Azfar Mohamad Afandi, 9, ditemui pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 1 pagi tadi, kira kira satu kilometer dari tempat mangsa dipercayai terjatuh.
Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat dan dijangka dituntut keluarganya tengahari ini untuk dikebumikan di Kampung Jawang, Karai dekat sini, katanya ketika dihubungi.
Azman berkata kanak-kanak itu disedari hilang oleh keluarganya pada pukul 12 tengah hari Jumaat lepas, ketika tinggal di inap desa milik keluarga mereka di sini yang terletak berhampiran sungai tersebut.
Gerakan mencari dengan bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Rela dan penduduk kampung dilakukan sejurus menerima laporan kehilangannya, kata beliau. - Bernama

'Hadiah' untuk ibu





WAN AZLEELA  memeluk anak sulung hasil perkongsian hidup dengan suami pertama.
WAN AZLEELA memeluk anak sulung hasil perkongsian hidup dengan suami pertama.




Belum putus asa: Wan Azleela Wan Abdullah (depan) menyertai gerakan mencari mayat anak bongsunya, Nurshaza Sakinah Said Ahmad, 2, yang lemas dalam kejadian fenomena 'kepala air' di Hutan Lipur Ulu Bendul dekat Kuala Pilah, Selasa lalu. - Foto Owee Ah Chun ,bharian





Wan Azleela redah sungai cari puteri bongsu
 



KUALA PILAH: Ketika ibu lain di seluruh dunia bergembira menerima pelbagai hadiah daripada anak masing-masing sempena Hari Ibu semalam, Wan Azleela Wan Abdullah, 33, hanya mengharapkan satu 'hadiah' – menemui semula jasad anak bongsunya, Nurshaza Sakinah Said Ahmad, 2, tidak kira dalam apa keadaan sekali pun.
Malah, dia kini mengetepikan kesedihan kehilangan tiga anaknya serentak dalam kejadian fenomena 'kepala air' di Hutan Lipur Ulu Bendul di sini, Selasa lalu, untuk turut sama turun ke sungai bagi mencari anak bongsunya yang belum ditemui.
Walaupun perit hatinya menerima hakikat tiada lagi kucupan Hari Ibu serta tidak lagi dapat mendengar ketawa dan rengekan manja mereka selepas ini, Wan Azleela bertekad mahu memastikan kematian anaknya itu berpusara.

“Saya berharap sangat jasad Sakinah ditemui. Bila ada jasad, maksudnya akan ada kuburnya... saya boleh pergi melawat kubur untuk mengubat kerinduan saya yang mendalam terhadap mereka,” katanya menahan kesedihan.

Wan Azleela semalam kelihatan berbeza daripada beberapa hari lalu dengan keazaman untuk menemui Nurshaza Sakinah jelas terpancar pada wajahnya yang sugul dan bengkak akibat terlalu banyak menangis.

Sebelum ini, dia lebih kerap termenung dan menghabiskan masa merenung ke sungai, namun kini saudara mara memberitahu sifat keibuannya yang sebenar sudah mengambil alih dirinya untuk mula bertindak daripada pasif menunggu berita tanpa melakukan apa-apa.
Ketika menerima lawatan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek dan isterinya, Datin Norainee Mohd Yatib, Wan Azleela berkata, sudah kering air matanya menangisi pemergian ketiga-tiga anaknya termasuk Nurshaza Alisa, 5 dan Nurshaza Azira, 4.

Justeru, sejak kelmarin, dia menyertai gerakan mencari Nurshaza Sakinah, tidak kira siang atau malam tanpa mempedulikan kesejukan air sungai yang mencengkam tulang demi membuktikan kasih sayangnya.

"Saya sentiasa mendoakan arwah tiga anak ditempatkan di tempat yang elok dan baik... saya juga berharap, mereka mendoakan saya tabah menjalani hidup di dunia ini tanpa kehadiran mereka di sisi," katanya yang kemudian memeluk anak sulungnya hasil perkongsian hidup dengan suami pertama, Mohd Adib Norazman, 11.

Hasan pula berkata, seorang kaunselor Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Pilah ditugaskan memberi khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa supaya dapat menerima hakikat kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba, berkata pihaknya kini membahagikan kumpulan mencari dan menyelamat (SAR) kepada dua kumpulan membabitkan kawasan sungai yang dalam dan tempat berkelah.

"Selain meluaskan kawasan pencarian kepada 15 kilometer, kita turut mencari semula di kawasan pernah dilalui sebelum ini kerana berdasarkan pengalaman beberapa kejadian lain, mayat selalunya ditemui di kawasan yang pernah dilalui beberapa kali," katanya.
bharian

Sunday, May 8, 2011

Keluarga Sakinah belum putus asa



KUALA PILAH 7 Mei - Keluarga kepada Nur Syaza Sakinah Said Ahmad, 2, kanak-kanak yang hilang selepas dihanyutkan arus deras di Hutan Lipur Ulu Bendul di sini, Selasa lalu, belum berputus asa untuk menunggu meskipun usaha mencari dan menyelamat telah memasuki hari keempat.
Bapa saudara mangsa, Wan Adnan Wan Abdullah, 37, berkata, dia bersama anggota keluarganya yang lain terus berusaha menyusuri setiap ceruk sungai tersebut untuk mencari mangsa.
Katanya, mereka sama sekali tidak akan berputus asa meneruskan pencarian kerana yakin usaha yang dijalankan akan menemui hasil.
"Semua ahli keluarga termasuk rakan-rakan kami sanggup mengambil cuti semata-mata untuk turut sama membantu mencari anak saudara saya itu.
"Saya yakin kami akan menemuinya dalam apa keadaan apa sekalipun kerana setiap yang pergi haruslah 'bertanda'," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 4.30 petang Selasa lalu, tiga kanak-kanak hanyut dibawa arus deras ketika sedang mandi-manda di kawasan perkelahan popular itu.
Selain Nur Syaza Sakinah, turut dihanyutkan ialah dua kakaknya, Nur Syaza Alisa, 5, dan Nur Syaza Azira, 4. Mayat kedua-dua kakaknya itu sudah ditemui dan selamat dikebumikan.utusan

Friday, May 6, 2011

Shakinah mungkin ditimbus pasir


SEREMBAN: “Kami sekeluarga tidak pernah sesekali berputus asa untuk mencari dia (Shakinah) dan sentiasa sabar menanti walaupun sudah beberapa hari tragedi ini,” kata Wan Aziz Wan Abdullah, 38, bapa saudara kepada tiga beradik yang dihanyutkan arus deras ketika mandi di Hutan Lipur Ulu Bendol, di sini, Selasa lalu.
Kelmarin, mayat Nur Syaza Alisa Said Ahmad, 5, ditemui pada jam 3.15 pagi, manakala mayat adiknya, Nur Syaza Azera, 4, ditemui pada jam 10.20 pagi, masing-masing kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian dan berdekatan Sekolah Kebangsaan Ulu Bendol.

Bagaimanapun, hingga petang semalam, Nur Syaza Shakinah, 2, belum ditemui dan operasi pasukan mencari serta menyelamat masih diteruskan.

Menurut Wan Aziz, selain berusaha meneruskan operasi mencari bersama pihak berkuasa, mereka sekeluarga turut menggunakan kaedah alternatif lain seperti merujuk kepada pakar perubatan tradisional.

“Berdasarkan firasat seorang pakar perubatan tradisional yang ditemui, Shakinah berkemungkinan ditimbus oleh pasir atau berada di celahan batu di sekitar kawasan hutan lipur berkenaan.

“Ia berikutan saiz tubuhnya yang lebih kecil berbanding dua kakaknya. Pasukan penyelamat sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan sedang berusaha mencari mangsa di merata tempat di seluruh kawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Ixora Senawang di sini, semalam.


Turut hadir isteri Menteri Besar, Raja Datin Seri Salbiah Tunku Nujumuddin yang meluangkan masa menziarah ibu mangsa, Wan Azlela Wan Abdullah, 33.

Wan Aziz berkata, walaupun masih tiada sebarang tanda diketahui, mereka sekeluarga sentiasa berdoa kepada Allah supaya Shakinah dijumpai secepat mungkin.
Sementara itu, Wan Azleela yang kelihatan sebak berkata, dia sememangnya tidak menyangka akan kehilangan ketiga-tiga anak perempuannya dalam keadaan ngeri seumpama itu.

“Saya masih terbayang saat terakhir menemui mereka yang sempat memeluk tubuh sambil mencium pipi saya beberapa kali.

“Apa yang paling menyedihkan adalah ‘Adik’ (Shakinah) sempat meronta-ronta supaya tidak ditinggalkan dan saya berjanji untuk datang semula serta membelikannya aiskrim. Namun, saya kesal dan terkilan kerana tidak gagal berbuat demikian,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba berkata, pihaknya kesal tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab membuat panggilan palsu berkaitan penemuan mayat mangsa sejak hari pertama kejadian.

Sunday, March 27, 2011

Bayi lemas apabila rumah dinaiki air




SAYU: Cik Norazilawati Ibrahim tidak dapat menahan kesedihan melihat tempat kejadian yang meragut nyawa anak bongsunya, Nur Hasniatul Nabila Zaidi, 13 bulan, yang dipercayai terjatuh dari rumahnya yang dinaiki air. - Foto HARIAN METRO


KUALA TERENGGANU: Seorang bayi berusia 13 bulan, Nur Hasniatul Nabila Zaidi, mati lemas apabila pekarangan rumah keluarganya di Kampung Raja Baram, Chendering, dinaiki air 0.2 meter kira-kira 8 pagi kelmarin.
'Apabila tengok anak bongsu tiada di sisi ketika bangun tidur, saya bingkas mencarinya. Sebaik membuka pintu depan, luluh hati saya apabila nampak dia terapung-apung dalam air dengan sebelah tangannya memegang anak tangga,' kata ibunya, Cik Norazilawati Ibrahim, 30 tahun.Cik Norazilawati berkata, sebaik melihat anaknya dalam keadaan demikian, beliau terus mengangkat bayi itu dan memanggil suaminya, Encik Zaidi Mamat, 32 tahun, seorang nelayan.Namun, usaha mereka menyelamatkan anak bongsu dua beradik itu dengan memberi pertolongan cemas, gagal.Cik Norazilawati menambah, sebelum kejadian itu, beliau bersama anak dan suaminya tidur di ruang tamu berhampiran pintu depan kerana khuatir air semakin naik, selepas pekarangan rumah dinaiki air akibat hujan lebat sejak petang Khamis lalu.Katanya, kira-kira 2 pagi, beliau terjaga dan mengalihkan Nur Hasniatul Nabila dari buaian untuk tidur di sebelahnya sebelum bayi itu merengek minta susu kira-kira 4 pagi.'Saya tidak sangka itu kali terakhir melihat wajah anak yang menangis mahukan susu sebelum menemuinya terapung-apung dalam air pagi tadi (kelmarin),' katanya. -- Harian Metro.



Monday, March 14, 2011

Jasad anak dalam parit




ANGKAT...anggota penyelamat mengangkat mayat Razif selepas ditemui mati lemas, petang kelmarin.
ANGKAT...anggota penyelamat mengangkat mayat Razif selepas ditemui mati lemas, petang kelmarin.


RASHIAH...tidak dapat menahan kesedihan
RASHIAH...tidak dapat menahan kesedihan

JERANTUT: “Saya sangka anak bongsu bermain di rumah jiran, tetapi saya gagal menemuinya sebelum seorang rakannya memberitahu bahawa dia ternampak anak saya terjatuh ke dalam parit besar depan rumah,” kata ibu kanak-kanak berusia tiga tahun, Raziq Azmi, yang lemas apabila terjatuh ke dalam saliran air itu sedalam dua meter di Taman Wira, Jumaat lalu, sebelum mayatnya ditemui pagi kelmarin.
Mengimbas semula kejadian, Rashiah Mohd Ali, 45, berkata, dia tiada di rumah kerana menjemput anak sulungnya berusia 17 tahun di asrama sebuah sekolah pada kira-kira jam 2.30 petang.

Mangsa yang anak bongsu daripada lima beradik tidak mahu mengikutnya dan ditinggalkan bersama suami, Azmi Ismail, 45, dan tiga lagi anaknya berusia 14,12 dan 9 tahun.
“Sebaik sampai di rumah saya mencari Raziq kerana tidak melihat kelibatnya di rumah dan ke rumah jiran yang dia selalu bertandang serta bertanya jika mereka ternampak anak saya.

“Hancur luluh hati saya apabila seorang budak kecil berkata, ternampak Raziq bermain di tepi parit dan mungkin terjatuh ke dalamnya sebab dia melihat semula anak saya sudah tiada di situ,” katanya.

Katanya, dia dan keluarganya memohon bantuan jiran mencari Raziq tetapi gagal menemui sebelum menghubungi pihak berkuasa.
“Tiada apa yang boleh kami lakukan lagi berikutan arus deras selain berdoa Raziq dapat ditemui semula dengan selamat. “Tidak tergambar perasaan saya yang kehilangan anak bongsu yang manja ini. Tambah lagi, ulang tahun kelahirannya akan tiba tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Zakaria Kassim, berkata mayat kanak-kanak itu ditemui pasukan mencari pada jam 9.15 pagi.
myMetro

Sunday, January 16, 2011

Budak lemas dalam besen

KULAIJAYA: Kelekaan dua beradik bermain tanpa menghiraukan adik bongsu mereka berusia dua tahun berakhir dengan tragedi apabila kanak-kanak itu ditemui lemas dalam keadaan tertonggeng di dalam besen di bilik air rumah keluarga terbabit di Kampung Baru Senai. di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 7.40 malam, kanak-kanak berkenaan ditinggalkan bersama abangnya berusia tujuh tahun dan kakak berusia lima tahun oleh ibunya kira-kira 10 hingga 15 minit di bilik tidur utama sementara suri rumah itu menyediakan hidangan makan malam keluarga di dapur rumah.

Bagaimanapun, adik-beradik mangsa yang leka bermain di ruang tamu di tingkat dua dan membiarkan kanak-kanak itu bersendirian akhirnya meragut nyawa mangsa yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam besen di tandas bilik tidur utama.

Difahamkan, ibu mangsa berusia 40-an hanya menyedari kejadian malang menimpa anak bongsu daripada tiga beradik itu selepas kanak-kanak berkenaan gagal menyahut panggilannya beberapa kali hingga dia berasa bimbang terhadap keselamatannya.

Dia kemudian terperanjat melihat keadaan anaknya yang kebiruan akibat lemas di dalam besen dipenuhi air.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, ketika kejadian berlaku, empat beranak itu berada di rumah manakala bapa mangsa berusia 40-an keluar bekerja.

Katanya, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Kulaijaya, di sini, untuk mendapatkan rawatan kecemasan namun disahkan meninggal dunia akibat lemas.

“Hasil siasatan awal, mangsa dipercayai terendam dalam besen terbabit selama 10 hingga 15 minit sebelum ditemui oleh ibunya.

“Abang dan kakak mangsa juga dikatakan tidak menyedari kejadian menimpa adik bongsu mereka berikutan leka bermain di ruang tamu di tingkat atas.

“Ketika kejadian mangsa dipercayai cuba keluar dari besen terbabit namun gagal dan tertelan air, menyebabkannya lemas,” katanya.

Zulkefly berkata, hasil bedah siasat di jabatan forensik di hospital berkenaan mendapati badan kanak-kanak itu dipenuhi air.

“Siasatan lanjut mendapati kematian mangsa tidak mempunyai unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, usaha Metro Ahad untuk menemubual keluarga mangsa menemui jalan buntu apabila mereka enggan bekerjasama.

Thursday, December 16, 2010

Bot pelarian karam di Pulau Christmas

BERKEJAR HULUR BANTUAN: Penduduk Pulau Christmas berkejar ke pantai bertubir batu dalam usaha hendak menyelamatkan penumpang sebuah bot pelarian yang pecah selepas terhempas di tubir berkenaan akibat pukulan ombak besar semalam. -- Foto AP
LUAR NEGARA



SYDNEY: Sebuah bot kayu yang sarat dengan pencari suaka terhempas di pantai bertubir tinggi di Pulau Christmas, Australia, menyebabkannya karam dan sekitar 70 hingga 80 penumpang, termasuk wanita dan kanak-kanak, terhumban ke laut bergelora.
Sorotan televisyen menunjukkan haluan bot merempuh tubir batu menyebabkan ia pecah lalu karam, dan para penumpang tercampak ke batuan bersegi tajam.'Mereka yang terhumban ke laut menjerit meminta tolong. Ia satu tragedi,' kata pegawai pentadbir Pulau Christmas, Encik Gordon Thomson, kepada pemberita.Penduduk pulau itu, yang berada di atas tubir, menyaksikan tragedi tersebut tanpa dapat berbuat apaapa sewaktu bot itu pecah dan karam.Operasi menyelamat sudah dilancarkan tetapi para pegawai berkata mereka belum tahu berapa ramai penumpang yang terkorban.Sebuah bot tentera laut Australia dan sebuah kapal kastam sedang membantu operasi menyelamat.Media setempat berkata 41 orang sudah diselamatkan, tetapi 30 lagi masih dilaporkan hilang selepas bot itu karam sekitar 6 pagi.Seorang mangsa yang diselamatkan memberitahu polis Australia bahawa terdapat antara 70 dengan 80 penumpang dalam kapal itu.Polis percaya kebanyakan pe- numpang kapal itu rakyat Iraq.Perkhidmatan Flying Doctors di Australia berkata angka korban mungkin sekitar 50 orang manakala 33 lagi cedera.'Kami lempar tali dan beratus jaket pelampung lewat tebing tinggi. Sekitar 15 atau 20 orang berjaya mendapat jaket pelampung, tetapi banyak mayat terapung di laut,' kata seorang penduduk Pulau Christmas yang tidak mahu namanya disiarkan kepada akhbar Australia.'Ada banyak mayat bayi dan wanita di dalam air,' tambahnya.Ketua Menteri Australia Barat, Encik Colin Barnett, berkata:'Meskipun butir lanjut tragedi ini belum diketahui, saya difahamkan bahawa ramai mangsa yang terkorban dan cedera, termasuk wanita dan kanak-kanak.'Pemangku Perdana Menteri Australia, Encik Wayne Swan, berkata bot tersebut adalah sebuah bot penyeludup. Tetapi masih belum jelas berapa ramai penumpang dan dari mana mereka datang.'Sejumlah penumpang telah diselamatkan, dan beberapa mayat sudah ditarik naik,' kata beliau.Perdana Menteri Australia, Cik Julia Gillard, yang sedang bercuti, berkata beliau akan segera kembali untuk menangani keadaan. -- AP, AFP, Reuters.

Friday, December 10, 2010

Nyata hasrat pergi jauh

MASJID TANAH: “Pagi tadi, saya pelik kerana dia beriya-iya mencari surah Yasin dan membacanya, malah, ketika bersarapan, arwah kelihatan termenung dan saya tidak sangka itu petanda dia akan pergi meninggalkan kami selama-lamanya,” kata pekerja kilang, Mohd Nizam Ab Gani, 24, yang kehilangan adik lelaki lemas ketika mandi di Pantai Tanjung Bidara, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa, Md Sarol Ab Gani, 23, seorang penganggur, dipercayai lemas ketika berenang di laut kira-kira 15 minit sebelum disedari lima rakan lain.

Mohd Nizam berkata, dia tidak bertanya apa-apa apabila melihat perubahan sikap arwah yang juga anak kesembilan daripada 13 beradik, sebaliknya terus menuju ke tempat kerja di sebuah kilang berdekatan rumah mereka di Lorong 30, Taman Seri Aman, dekat sini.

“Ketika di tempat kerja, saya tiba-tiba tidak sedap hati memikirkan perubahan sikapnya sebelum menerima panggilan polis menyatakan arwah ditemui lemas ketika mandi di Pantai Tanjung Bidara,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, kejadian itu masih dirahsiakan daripada pengetahuan ibunya yang menghidap sakit jantung.

“Saya terkilan sikap arwah mudah terpengaruh dengan rakan. Saya kesal kerana pernah menasihatinya sebelum ini supaya lebih bertanggungjawab dan tidak melakukan perbuatan tidak baik.




“Begitupun saya reda dan menerimanya sebagai suratan,” katanya.

Seorang rakan mangsa, Faidhi Abdul Razak, 15, berkata, arwah memberitahu mahu pergi jauh ketika mereka membonceng motosikal dari rumah ke pantai peranginan itu.

Katanya, mereka bersama empat rakan lain ke pantai itu kira-kira jam 1 tengah hari melepak sambil melihat pemandangan.

Menurutnya, sebaik tiba, dia bersama rakan lain duduk atas batu sebelum Md Sarol tiba-tiba pergi ke laut seorang diri.

“Tiba-tiba dia menanggalkan baju dengan seluar pendek terus berenang. Kira-kira 15 minit, kami tidak melihat kelibatnya.

“Kami terkejut dan tidak tahu apa hendak dibuat dan cuba mencari memanggil namanya tetapi tiada jawapan.

“Selepas gagal mencarinya, seorang rakan wanita, Norhafizah (Norhafizah Ahmad Jailani, 16) pergi ke pejabat JPAM di kawasan itu membuat laporan,” katanya yang masih terkejut.

“Petang semalam (kelmarin), arwah beritahu mahu mencari sejadah dan hendak menunaikan solat Subuh setiap hari,” katanya.

Sunday, November 7, 2010

Pengantin baru lemas




2010/11/07

NOR FARIDAH  (kanan) ditenangkan ahli keluarganya selepas melihat jenazah suaminya di Sungai Lembing,  semalam.
NOR FARIDAH (kanan) ditenangkan ahli keluarganya selepas melihat jenazah suaminya di Sungai Lembing, semalam.
KUANTAN: Seorang kakitangan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang baru sebulan berkahwin lemas ketika mandi di Kawasan Perkelahan pasir Kubur, di Sungai Lembing, semalam. 

Dalam kejadian pada jam 12 tengah hari Mohd Hazrul Abdul Jalil, 26, dikatakan tergelincir bersama isterinya, Nor Faridah Mamat Amin, 26, sebelum mereka dihanyutkan arus deras ketika mandi di sungai itu.Adik mangsa, Mohd Helmi Abdul Jalil, 25, berkata, ketika kejadian, dia dan ibunya, Zaidah Abdul Aziz, 55, mandi di kawasan air cetek manakala mangsa dan isterinya mandi di kawasan lebih dalam tidak berapa jauh dari mereka.
"Arwah bersama isterinya dipercayai tergelincir sebelum dihanyutkan arus kira-kira sejauh 50 meter sebelum mereka berjaya dibawa naik ke tebing dengan bantuan seorang pengunjung yang menghulurkan tali pancingnya. 

"Namun ketika itu, arwah dikatakan cuba menyelamatkan isterinya daripada lemas dengan mengangkatnya ke permukaan air ketika mereka berdua tenggelam dan dihanyutkan arus. 

"Malangnya, usaha kami untuk menyelamatkan arwah dengan memberi bantuan pernafasan (CPR) kira-kira 30 minit gagal dan dia disahkan sudah meninggal dunia ketika bantuan tiba," katanya. 

Beliau berkata, mangsa yang bertugas di Padang Rengas, Perak pulang bercuti di kampung dan dijadualkan menghadiri kursus di Terengganu pada minggu hadapan. 
"Arwah akan dikebumikan di Pekan iaitu di tanah perkuburan berdekatan kampung selepas ayah (Abdul Jalil Hassan, 54) pulang dari Sarawak," katanya yang juga anak kedua dari dua beradik. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu dan polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati lemas.