Saturday, April 30, 2011

Maghribi diserang pengganas



ANGGOTA polis menyiasat bangunan Argana Cafe yang diletupkan oleh pengganas di dataran Djemma el-Fna, Marrakesh, Maghribi, kelmarin. - AP


MARRAKESH 29 April - Satu serangan bom ke atas sekumpulan pelancong di sebuah kafe di dataran utama bandar Maghribi malam tadi menyebabkan 16 terkorban dan ia mendapat kecaman daripada pemimpin dunia.
Menurut pegawai tempatan, letupan bom tersebut berlaku di sebuah kafe di dataran Jamaa el-Fna, kawasan warisan budaya yang menjadi tumpuan jutaan pelancong setiap tahun.
Serangan tersebut mendapat kecaman para pemimpin dunia, antaranya ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon yang menyifatkannya sebagai tindakan pengecut.
Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri Maghribi, Taib Cherkaoui berkata, daripada 16 orang yang maut itu, tiga adalah rakyat tempatan, 11 daripadanya adalah warga asing termasuk warga Perancis dan Belanda manakala 23 yang lain cedera.
Pegawai tempatan di wilayah Marrakesh menyatakan kemungkinan serangan tersebut merupakan angkara pengebom berani mati berikutan mereka menemui beberapa batang paku pada satu daripada mayat tersebut.
Penyiasat berkata, serangan tersebut mungkin didalangi oleh kumpulan militan al-Qaeda.
Sementara itu, Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy yang menghubungi Raja Maghribi IV, Raja Mohammed menerusi telefon menyifatkan serangan yang mengorbankan lapan rakyatnya itu sangat kejam.
Dalam pada itu, kumpulan perisikan dan pakar anti pengganas Perancis akan ke Marrakesh hari ini bagi membantu masalah yang tercetus.
Menurut Menteri Komunikasi Maghribi, Khalid Naciri, serangan tersebut merupakan perbuatan pengganas sambil menjelaskan negara ini sedang menghadapi ancaman pengganas sama seperti pada Mei 2003.
Kejadian tersebut terus mendapat kritikan apabila Setiausaha Luar Negara Britain, William Hague serta Menteri Luar Negara Jerman, Guido Westerwelle mengatakan ia perbuatan keji oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. - AFP

Rita Rudaini selamat lahirkan anak kedua





Rita Rudaini Mokhtar selamat melahirkan anak keduanya di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 29 April – Pelakon Rita Rudaini Mokhtar, 35, selamat melahirkan anak kedua di sebuah hospital swasta, di sini hari ini.
Bayi seberat 2.75 kilogram yang lahir sekitar pukul 1.26 petang itu diberi nama Airit Rafqa Arjuna.
“Keadaan Rita sudah stabil dan syukur kepada Allah kerana semuanya sudah selamat.
“Rita bersyukur kerana tidak berhadapan dengan sebarang komplikasi sewaktu melahirkan dan anak juga lahir dengan sihat,” kata Rita kepada Utusan Malaysia.
Pelakon itu juga berharap agar kehadiran Arjuna akan menambah lagi seri dalam kehidupan rumah tangganya dengan suami, Aidil Zafuan Abdul Radzak, 24.
Anak pertama pasangan ini, Airit Rayyan Rizqin kini berusia hampir dua tahun.
Mengenai makna di sebalik nama bayi berkenaan, kata Rita, dia suka kepada perkataan Arjuna yang berkaitan dengan sifat gagah perkasa dan kepahlawanan.
“Bayi inilah ‘wira’ yang menyelamatkan saya pada ketika dilanda pelbagai masalah selama mengandungkan dia.
“Apa juga dugaan dalam rumah tangga ayah dan ibunya, Arjuna tetap gagah dan bertahan di dalam kandungan saya. Sebab itu saya letak dia sebagai arjuna kepada kami sekeluarga,” kata Rita.
Rita didapati hamil anak kedua pada ketika rumah tangganya dengan pemain bola sepak kebangsaan itu berhadapan dengan banyak masalah sehingga membawa kepada perbincangan di peringkat mahkamah.
Ketika tempoh sembilan bulan mengandungkan anak keduanya, Rita beberapa kali dilaporkan berselisih faham dengan Aidil, sehingga membawa kepada kes tuntutan sulh di Mahkamah Syariah Seremban pada penghujung tahun lalu.

Majlis gilang-gemilang


WILLIAM menyarungkan cincin perkahwinan kepada Kate di hadapan Ketua Biskop pada upacara perkahwinan mereka di Westminster Abbey, semalam.

WILLIAM menyarungkan cincin perkahwinan kepada Kate di hadapan Ketua Biskop pada upacara perkahwinan mereka di Westminster Abbey, semalam.

LONDON: Putera William mengahwini Kate Middleton dalam suasana gilang-gemilang di Gereja Westminster Abbey di London, semalam, dengan jutaan rakyat jelata dan penonton televisyen di seluruh dunia menyaksikan acara perkahwinan diraja yang terbesar di Britain sejak tiga dekad lalu.
Kate memakai gaun pengantin satin putih gading yang kembang berjela dengan lengan panjang berenda dilengkapi vel jarang amat menawan ketika berdiri di altar bersama William, yang menduduki tangga kedua senarai pewaris takha di raja Britain.

“Saya setuju,” ucap bakal raja dan pemasiuri itu secara bergilir-gilir sebelum William menyarungkan cincin diperbuat daripada emas Wales pada jari Kate sebelum Ketua Biskop Canterbury, Rowan Williams mengumumkan mereka sebagai suami isteri. Majlis itu adalah upacara diraja yang amat gilang -gemilang sejak perkahwinan ibu William, Puteri Diana yang berkahwin dengan Putera Charles pada 1981 dan memberi kesempatan untuk keluarga diraja Britain memulihkan hubungan selepas perceraian Charles dan Diana.
Ketiadaan Diana yang mati dalam nahas kereta di Paris pada 1997 amat dirasai sepanjang majlis berlangsung dan muzik yang dimainkan pada hari perkahwinan 30 tahun lalu dan ketika majlis pengebumiannya di tempat yang sama dimainkan semula ketika majlis berlangsung, semalam.

Dua juta orang - satu pertiga penduduk dunia - didipercayai menonton majlis perkahwinan anak sulung Diana yang berkahwin dengan orang biasa, wanita yang berpacaran dengannya di Universiti St Andrews, Scotland sejak lapan tahun lalu. Sebaik beratus ribu orang mengibarkan Union Jack di London, Kate melambai ke arah mereka sejurus tiba di Abbey bersama bapanya, Michael dengan menaiki limosin Rolls-Royce. Dia mengambil masa empat minit untuk berjalan menuju ke altar yang dihiasi dengan pokok yang dibawa khas bagi menghidupkan suasana taman Inggeris.

William atau William Arthur Philip Louis - putera sulong Diana dan pewaris takhta kedua - tiba di Abbey 45 minit sebelum itu, diiringi adik dan juga pengiringnya Putera Harry. Selepas menjalani upacara perkahwinan pasangan pengantin baru itu menaiki kereta kuda dari Abbey menuju ke Istana Buckingham di mana mereka muncul di balkoni sambil berkucupan dengan disertai anggota keluarga diraja yang lain. - AFP

Minta bantuan dukun


BANDAR BAHARU: Seorang ketua keluarga kini kehilangan sumber pendapatan apabila tidak mampu menjalankan tugas hakiki sebagai penoreh getah apabila mendakwa diserang penyakit misteri sejak dua bulan lalu.
Isa Ibrahim Sam Hamat, 30, dari Kampung Cherok Meranti, di sini, mendakwa dia mula menyedari diserang lemah badan ketika sedang menoreh getah pada Februari lalu menyebabkannya tidak mampu bergerak dengan kuat.

Menurutnya, dia tidak mengetahui jenis penyakit yang dialaminya, tetapi doktor yang memberi rawatan di Hospital Kulim memaklumkan dirinya tidak mempunyai sebarang penyakit sebaliknya mengalami kekurangan kalsium dalam badan.

Katanya, dia berasa agak pelik kerana keadaan badannya begitu lemah sehingga tidak mampu bekerja menoreh getah sedangkan mempunyai empat anak berusia antara dua bulan hingga 10 tahun yang perlu ditanggung disebabkan isterinya, Salmiah Abdul Rahim, 31, hanya suri rumah.

“Sejak diserang penyakit ini, saya tidak lagi mampu bekerja kerana badan rasa terlalu lemah, malah untuk bangun pun rasa sukar. Malah, saya juga hairan kerana keadaan masih sama walaupun saya makan dalam jumlah banyak.

“Apa yang pelik ialah ketika masuk waktu Maghrib, penyakit ini akan menyerang sehingga saya berasa lemah pada bahagian kiri badan.


“Sebelum ini saya menyara keluarga dengan pendapatan sebagai penoreh getah untuk perbelanjaan dapur dan persekolahan. Namun, selepas diserang penyakit misteri ini, kami kehilangan pendapatan kerana saya tidak boleh bekerja seperti biasa,” katanya.

Isa Ibrahim berkata demikian ketika ditemui selepas dikunjungi wakil Penyelaras Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Helmy Abdul Khan yang turut memberi sumbangan.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Cherok Meranti, Shamsul Mat Arif. Menceritakan semula kejadian menimpa dirinya, Isa Ibrahim berkata, dia sedang menoreh getah tiba-tiba berasa pening lalu terus terduduk di pangkal pokok getah tetapi sempat menghubungi abang iparnya menggunakan telefon bimbit yang dibawa.

Menurutnya, abang ipar bersama bapa mentuanya, Abdul Rahim Abu Bakar, 69, pergi ke kebun getah yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya untuk melihat kejadian menimpa dirinya.

“Mereka kemudian memapah saya dan membawa ke rumah sebelum dihantar ke Hospital Kulim untuk pemeriksaan kesihatan dan apa yang pelik, doktor memaklumkan saya tidak mempunyai apa-apa penyakit.

“Sejak kejadian itu, saya tidak boleh berdiri lama kerana akan berasa pening menyebabkan tidak boleh keluar bekerja. Kami sudah berusaha pelbagai cara termasuk menggunakan perubatan secara tradisional, namun penyakit ini masih belum sembuh.

“Justeru, saya berharap ada pihak terutama pengamal perubatan sudi membantu untuk memulihkan penyakit ini kerana menjadi tempat keluarga bergantung,” katanya.

Sementara itu, Helmy berkata, pihaknya akan mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan beban keluarga terbabit, dan mereka yang ingin membantu boleh menghubungi talian 017- 5423245 atau menyumbang ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 08221-29- 00014455-9.

Ibu daif perlu bantuan


KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal bersama tiga anaknya terpaksa meneruskan kehidupan mereka berbekalkan sumber pendapatan kira-kira RM300 sebulan yang diberikan Baitulmal dan mengharapkan simpati jiran tetangga untuk meringankan bebannya.
Lebih menyedihkan, anak bongsunya yang berusia tiga tahun terpaksa minum air kosong saja untuk menggantikan susu formula yang sepatutnya menjadi keperluan kanak-kanak itu berikutan ibu mereka tidak mampu membelinya.

Ibu tunggal itu, Rampairos Abdul Rahim, 36, berkata, dia tidak mampu melakukan sebarang pekerjaan selepas mendapat pengesahan daripada doktor yang memaklumkan dia menghidapi penyakit asma dan kesukaran bernafas.

Katanya, dia cuba untuk bekerja dengan melakukan tugas ringan tetapi ternyata tidak mampu akibat penyakit kronik itu dan kini dia hanya duduk di rumah saja tidak mampu berbuat apa-apa.

“Perbelanjaan seharian kami hanya bergantung kepada bantuan yang diberikan Baitulmal dan simpati orang ramai dan setakat ini, saya amat berterima kasih kepada jiran tetangga yang tidak jemu memberi bantuan sama ada wang ringgit mahupun keperluan dapur.

“Walaupun begitu, ia masih tidak mencukupi berikutan kos sara hidup di sini lebih tinggi dan saya tidak tahu untuk ke mana selain berikhtiar untuk meneruskan kehidupan membesarkan anak-anak,” katanya ketika ditemui Harian Metro.


Katanya, dia bimbang faktor ekonomi keluarganya akan mengganggu pembelajaran anak sulungnya, Mohd Raihan Yasni, 12, yang akan menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam masa beberapa bulan lagi.

Sebelum ini, rumah keluarga berkenaan pernah disita Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berikutan tunggakan kediaman mereka lebih RM4,000 dan terpaksa tinggal di pondok untuk beberapa hari sebelum DBKL membenarkan keluarga itu tinggal di rumah mereka semula.
Sementara itu, Pengurus Komunikasi Korporat DBKL, Anwar Mohd Zin berkata, pihaknya amat prihatin dengan masalah kemiskinan yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan terutama ibu tunggal.

“Sebagai pihak yang bertanggungjawab, kami akan menyalurkan maklumat berhubung sesiapa saja yang menghadapi masalah ini kepada pihak Baitulmal untuk memohon bantuan daripada mereka dan kadar bantuan akan ditentukan Baitulmal.

“Saya dimaklumkan kadar bantuan itu ditentukan mengikut jumlah isi rumah keluarga berkenaan dan bantuan itu turut merangkumi sewa rumah, perbelanjaan makanan dan sekolah anak-anak,” katanya.

‘Istana’ sembilan beranak


KUALA TERENGGANU: “Ini istana buat kami sembilan beranak berteduh sejak enam tahun lalu dan ia tidak mempunyai bilik tidur, bilik air serta tidak mempunyai tandas selain tiada kelengkapan perabot seperti kebiasaan rumah lain,” kata Hamdan Mohd Zin, 49, dari Batu Empat Lorong Cempaka, Kuala Ibai.
Menurutnya, dia membina rumah yang dianggapnya istana itu di atas tanah rizab milik kerajaan berikutan tidak mempunyai tanah bagi mendirikan rumah, selain tidak mampu menyewa kediaman lain kerana pendapatannya tidak menentu. Katanya, pendapatannya bergantung kepada hasil memungut barangan lusuh seperti besi, plastik, botol dan kertas di sekitar bandar raya itu setiap hari.

Hamdan berkata, sekiranya barangan lusuh sukar diperoleh di bandar raya ini, dia berbasikal atau menunggang motosikal milik rakannya ke kawasan pedalaman negeri itu seperti ke Kampung Kuala Telemong, Pasir Tinggi Hulu Terengganu dan Bukit Payong, Marang mencari barangan lusuh.

“Biar tidak ada duit, namun prinsip saya tidak sesekali mengambil barangan lusuh milik seseorang kecuali diizinkan pemiliknya dan kerja saya mencari barangan lusuh hanya di kawasan pembuangan sampah dan tong sampah,” katanya yang mempunyai tujuh anak berusia antara dua hingga 14 tahun.

Hamdan berkata, tiga anaknya berusia 7, 9 dan 12 tahun belajar di Sekolah Kebangsaan Kuala Ibai manakala dua anaknya berumur 13 dan 14 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Budiman. Menurut Hamdan, keluarganya hanya menjamah nasi pada sebelah petang selepas dia memperoleh wang hasil menjual barangan lusuh.

Katanya, jiran yang prihatin dengan kehidupannya yang serba kekurangan turut membantu menghulurkan bantuan terutama makanan kepada keluarganya. “Saya tidak senang seperti orang lain. Dalam sebulan hendak makan lauk gulai pun payah dan kami kebiasaannya menjamah lauk ikan kering, telur dan ikan goreng,” katanya.


Namun, dia bersyukur kerana isterinya, Zaharah Ismail, 43, memahami kesusahan dan kepayahan hidupnya dan tabah menjaga anak ketika dia keluar bekerja mencari barangan lusuh.

Terima hidayah dalam lif


JOHOR BAHRU: “Saya berniat terjun bangunan dari tingkat 14 kerana tertekan dengan tindakan suami berhutang RM100,000 daripada along hingga kehidupan saya diganggu setiap hari.
“Ketika itu saya sarat mengandung tujuh bulan dan tidak tahu ke mana hendak mengadu, tetapi ketika berada di dalam lif hati berdetik supaya Tuhan tunjukkan jalan sebelum terlintas satu cahaya putih dan bisikan menasihati saya pulang ke rumah serta minum air kosong, tidur dan masalah akan selesai,” kata mualaf, Nurul Hidayah Abdullah, 40.
Dia yang juga ibu tunggal lima anak itu berkata, selepas itu niat untuk terjun bangunan dilupakan, sebaliknya keajaiban berlaku apabila fikirannya kosong manakala hati tenang sebaik terjaga daripada tidur keesokannya.

“Sejak itu hati bertambah yakin mengenai kebesaran Tuhan kerana sewaktu meminta petunjuk, saya menyebut nama Allah kerana sejak kecil mengetahui sedikit sebanyak mengenai Islam melalui pelajaran di sekolah.


“Selepas yakin dengan jalan yang dipilih saya nekad memeluk Islam walaupun ibu dan ayah serta adik-beradik menentang keras,” katanya.

'Aku dan Anwar berada dalam paparan video'

29 APRIL 2011: Datuk Shazryl Eskay Abdullah (tengah) ditemani Tan Sri Rahim Thamby Chik (kiri) dan Datuk Shuib Lazim melafazkan sumpah laknat sambil memegang al-Quran berhubung rakaman video seks melibatkan seorang pemimpin kanan pembangkang, di ruang solat Masjid Amru Al As, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur. - Utusan/ISMAIL KAMADIN
KUALA LUMPUR - Datuk Shazryl Eskay Abdullah meneruskan niatnya melakukan sumpah laknat walaupun terdapat cubaan sabotaj para penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menggagalkan niat ahli perniagaan itu untuk membuktikan bahawa Anwar merupakan pelaku lelaki dalam rakaman video seks dengan pelacor yang mula tersebar sejak 21 Mac lalu.
Upacara sumpah laknat selama kira-kira lima minit itu dilakukan oleh Shazryl yang turut mewakili bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Agung Perkasa, Datuk Shuib Lazim di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul di sini semalam.
Rahim dan Shuib duduk bersama Shazryl ketika sumpah laknat itu dilafazkan.
Sumpah laknat itu terpaksa dilakukan pada pukul 4.20 petang selepas ditunda dari pukul 2 petang kerana berlaku ketegangan yang dipercayai membabitkan kumpulan penyokong parti pembangkang.






Shazryl melakukan sumpah laknat tersebut selepas seorang pendakwah bebas, Firdaus Supri memberi penerangan kepada trio Datuk T tentang risiko bagi orang Islam yang melakukan sumpah laknat jika perkara itu tidak benar.
Sumpah laknat itu bersaksikan Timbalan Imam Masjid Amru Al-As, Ezhan Shahril Md. Piah.
Selain itu, terdapat kira-kira 200 orang menyaksikan Shazryl melafazkan sumpah laknat tersebut.
Anwar yang dicabar oleh trio Datuk T untuk sama-sama melakukan sumpah laknat itu bagaimanapun tidak hadir ke masjid tersebut.