Showing posts with label air. Show all posts
Showing posts with label air. Show all posts

Tuesday, February 19, 2013

14 Hari Tamat : Kerajaan Negeri Umum Langkah Seterusnya Ambilalih Industri Air.



Dua minggu lepas, Kerajaan Negeri telah menghantar surat tawaran harga untuk mengambilalih empat syarikat konsensi yang mengurus perkhidmatan air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dan tempoh tawaran telah tamat hari ini.

Di bawah sesuatu perjanjian pada 2004, perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya diswastakan dan diuruskan oleh Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash), dan Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abass).

Ketiga-tiga syarikat diatas mengurus loji rawatan air manakala Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dipertanggungjawabkan untuk mengurus pengedaran air terawat.

Walaubagaimanapun, penerimaan tawaran tertakluk kepada kata putus Kerajaan Persekutuan.

Minggu lepas, Kerajaan Negeri berkata ia akan memohon semakan kehakiman sekiranya Kerajaan Persekutuan enggan memberi kerjasama dengan meluluskan pengambilalihan tersebut.

Hari ini Abdul Khalid berkata, sekiranya tawaran harga kepada empat syarikat konsensi ditolak, pihaknya akan membawa perkara itu ke badan timbang tara antarabangsa.

Pengumuman tentang langkah-langkah tersebut akan dibuat selepas majlis mesyuarat kerajaan negeri Rabu ini
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

P/S : Rakyat boleh menilai sendiri apa itu isu air di Selangor.. Kerajaan Persekutuan terus bisu..

Thursday, October 25, 2012

20 tahun tiada bekalan air

20 tahun tiada bekalan airPenduduk terpaksa menggunakan air telaga untuk membasuh pakaian.

ROMPIN - Kira-kira 20 tahun lalu, penduduk Kampung Kurnia, Setajam di sini, tidak pernah menikmati bekalan air paip, namun sejak setahun lalu bekalan air di kampung itu mula disalurkan di kawasan itu.
Bagaimanapun, kegembiraan kira-kira 30 penduduk di situ menikmati bekalan air tidak bertahan lama apabila mereka sekali lagi berdepan masalah apabila bekalan air bersih tidak sampai ke rumah penduduk sejak sebulan lalu.

Penduduk meluahkan rasa kesal berikutan masalah terputus bekalan air itu berlaku terlalu lama sekali gus menjejaskan urusan seharian.
Sehubungan itu, Pengurusan Air Pahang (Paip) Berhad digesa menangani masalah itu segera, apatah lagi hanya tinggal tiga hari saja lagi umat Islam bakal menyambut ketibaan Aidiladha.
Seorang penduduk, Siti Zaiton Husin, 43, berkata, penduduk terpaksa menadah air hujan dan menggunakan air telaga apabila bekalan asas itu tidak sampai ke rumah penduduk seperti kebiasaannya.
“Bukan sehari dua masalah bekalan air di kampung ini terputus, tetapi masalah ini berterusan sejak sebulan lamanya,” katanya kepada Sinar Harian.
Siti Zaiton berkata, penduduk naik bengang dengan masalah itu kerana mereka terpaksa mendapatkan air telaga dan menadah hujan bagi membasuh pakaian dan mencuci pinggan mangkuk.

“Sejak dahulu lagi kami memang berharap mendapatkan air bersih, sudah dapat air timbul masalah lain pula hingga kami terpaksa hidup seperti dahulu, sekali gus menyukarkan urusan harian,” katanya.
Alahan pada kulit
Selain itu, Siti Zaiton berkata, akibat menggunakan air tercemar, seorang anaknya mengalami alahan pada kulit selepas menggunakan air telaga yang sudah lama tidak dirawat.
“Dahulu kami memang gunakan air telaga, tetapi sejak bekalan air paip disalurkan dari rumah ke rumah penduduk, telaga air sudah lagi tidak digunakan, malah saya sendiri menimbus telaga itu.

“Kami terpaksa menumpang rumah jiran yang mempunyai telaga untuk keperluan mandi dan basuh pakaian, namun sampai bila keadaan ini akan berterusan kerana kami memerlukan sumber bekalan air bersih,” katanya.

Ropisah Mohamad, 42, berkata, jika dahulu penduduk berdepan dengan masalah tekanan air rendah, namun sejak sebulan lalu setitik air paip pun tidak sampai ke kampung itu.

“Bukan saya seorang saja berdepan masalah ini, tetapi semua penduduk di sini mengeluh kerana biasanya jika tiada air pun ia tidak berlarutan sampai dua atau tiga hari, tapi kali ini sudah sampai sebulan,” katanya.
Menurutnya, dia terpaksa membasuh baju dan pinggan mangkuk di telaga belakang rumah sementara berharap air tangki yang dibekalkan Paip seminggu sekali bagi kegunaan makan dan minum.

“Kadang-kadang sampai seminggu baru kami peroleh bekalan air dari Paip dan keadaan ini sungguh membebankan, apatah lagi bagi kami yang mempunyai keluarga yang ramai,” katanya.

Ropisah berkata, bekalan air amat diperlukan terutama hanya tinggal beberapa hari saja lagi umat Islam akan menyambut ketibaan Aidiladha.

Sambutan raya hilang seri

Menurut Ropisah, jika tahun lalu mereka berasa lega kerana memperoleh bekalan air yang disalurkan terus ke rumah, namun untuk tahun ini mereka mungkin sekali lagi terpaksa berdepan situasi ketiadaan bekalan air seperti tahun sebelumnya.

“Kalau masalah ini berterusan sehingga Aidiladha ini mungkin sambutan raya haji kali ini hilang serinya, apatah lagi pada waktu itu anak-anak mula pulang ke kampung dan sanak saudara pastinya akan berkunjung ke rumah,” katanya.
Selain itu, katanya, penduduk yang mengadakan majlis perkahwinan anak mereka pula juga terpaksa membeli air daripada Paip bagi mendapatkan sumber bekalan air bersih.

“Mujur dalam sebulan ini tidak ada berlaku kes kematian, jika tidak sudah tentu jenazah si mati juga terpaksa dimandikan di kampung lain,” katanya.
Mohamad Amril Syafiq Mohamad Zaini, 19, berkata, masalah itu sudah lama dihadapi penduduk dan ia amat membebankan mereka.
“Saya tidak tahu punca sebenarnya, tapi masalah tiada air ini sudah lama dan selalu berlaku. Memang menyusahkan kami, jangan katakan hendak mandi, hendak menadah air segayung pun belum tentu ada,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, masalah itu perlu ditangani segera bagi memastikan penduduk kembali menikmati kemudahan itu semula.
“Tiap-tiap bulan kami bayar bil air, jadi kami berharap agar masalah ini dipandang serius kerana tidak mahu masalah ini terus berlarutan tanpa ada jalan penyelesaian,” katanya.

Friday, September 28, 2012

Sengsara tiada bekalan air

Sengsara tiada bekalan air
Penduduk terpaksa menakung air yang memakan masa lama
untuk penuh kerana tekanan air rendah
JERANTUT - Lebih 500 penduduk di Felcra Tembeling Tengah, Kuala Tahan dekat sini menghadapi kesulitan mendapatkan air bersih sejak lima hari lalu apabila paip besar yang menyalurkan air ke kawasan perumahan itu dikatakan pecah.

Lebih merunsingkan penduduk, bekalan air tidak dapat disalur dalam masa terdekat kerana kerja membaiki dilihat dihentikan oleh kontraktor yang mendakwa tidak mempunyai alat ganti.

Seorang penduduk, Shaharuddin Abdul Karim, 47, berkata, masalah itu sudah berlarutan sejak lima hari lalu, tiada alasan mengapa kontraktor terbabit masih belum dapat membaikinya.

“Isu bekalan air yang berlarutan ini sudah tentu menyusahkan penduduk, bayangkan hidup kami tanpa bekalan air?. Penduduk berasa tidak tenteram ekoran banyak kerja seharian terbengkalai," katanya.


Tekanan air rendah

Seorang lagi penduduk, Abdullah Abdul Raffar, 59, berkata, bagi keluarga yang mempunyai bilangan anak ramai sudah tentu menyukarkan kehidupan mereka.

Menurutnya, segala tugasan rumah seperti mengemas, membasuh dan memasak semuanya memerlukan air.

“Pada masa kini, kami terpaksa menggunakan saluran paip lama yang menyalurkan air bukit ke rumah kerana terdesak mendapatkan bekalan air. Bagaimanapun, tekanan air tidak kuat menyebabkan kami terpaksa menakung air yang hanya meleleh dari paip," katanya.

Dia berkata, keadaan ini menyukarkan penduduk mengadakan majlis seperti kenduri kahwin pada hujung minggu.

“Penduduk terbeban kerana pelbagai kerja tergendala terutama apabila ingin membuat persiapan kenduri kahwin. Penduduk berasa susah hati sekiranya bekalan air terputus pada saat genting seperti ini kerana banyak kerja perlu dibereskan dan rumah pula dipenuhi ramai tetamu yang hadir memeriahkan majlis," katanya.


Paip beri banyak alasan

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Perumahan Felcra Tembeling, Zamri Mohd Amin, 46, berkata, penduduk tidak berpuas hati kerana Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) tidak serius tangani isu air ini.

Menurutnya, walaupun sudah berkali-kali aduan dibuat kepada pihak terbabit namun maklum balas yang diterima amat mengecewakan.

“Saya sudah beberapa kali menghubungi mereka tetapi pelbagai alasan diberikan, malah panggilan telefon juga tidak dijawab walaupun dihubungi beberapa kali.

“Kalau mereka mengambil masa sehari dua untuk menjalankan kerja membaiki, kami masih boleh terima tetapi kini dah masuk lima hari, takkan paip bocor itu masih tidak dapat dibaiki,” katanya.

Bagi mengatasi masalah itu, menurutnya, penduduk terpaksa kembali menggunakan air bukit bagi menjalani rutin harian.

“Penduduk terpaksa masuk hutan untuk melihat saluran paip itu dan mendapati terdapat empat tempat berlaku kebocoran. Kami terpaksa meredah hutan untuk membaiki sendiri kebocoran itu dan membersihkan kawasan takungan bagi mengatasi masalah saluran tersumbat,” katanya.

Zamri berkata, walaupun kerja itu dijalankan secara gotong royong, kami dapat membaikinya dalam masa sehari berbanding Paip yang menggunakan peralatan lengkap namun masih lagi belum dapat membaiki kebocoran itu.

Justeru itu, penduduk minta Paip bertindak lebih proaktif dan profesional dalam usaha menyelesaikan masalah air ini memandangkan masalah paip bocor ini adalah di bawah tanggungjawab pihak terbabit.

Monday, August 6, 2012

Pegawai SYABAS mempersetujui bahawa Selangor tidak mengalami krisis air sebagaimana yang didakwa sebelum ini



Pegawai SYABAS mempersetujui bahawa Selangor tidak mengalami krisis air sebagaimana yang didakwa sebelum ini, perkara tersebut dimaklumkan didalam satu taklimat oleh jawatankuasa menyemak yang dibentuk oleh kerajaan negeri. 

“Hanya dua orang yang tidak hadir (dalam mesyuarat) – orang yang kita bayar RM400,000 sebulan dan ketua pegawai eksekutif Ruslan Hassan. Semua profesional tertinggi hadir," Ujar Khalid Ibrahim. - Apek
___
http://alturl.com/t8yzm

Thursday, August 2, 2012

Khalid bimbang isu air jadi punca rakyat tolak kerajaan PKR


Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
HULU LANGAT - Kerajaan Selangor pimpinan pembangkang menjadikan masalah air sebagai isu politik kerana bimbang rakyat sedar Menteri Besar Tan Sri Abd Khalid Ibrahim sebenarnya gagal menangani isu itu sejak tiga tahun lepas, kata Pengerusi Gabungan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) Datuk Sohaimi Shahadan.

Beliau berkata oleh kerana masalah itu kini semakin kritikal sehingga menyebabkan selatan Selangor terputus bekalan air, kerajaan pembangkang mendakwa bahawa kerajaan persekutuan berkonspirasi dengan Puncak Niaga Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), yang menjadi syarikat pengendali rawatan air.

"Saya lihat kerana isu air ini tidak berjaya ditangani dengan baik maka rakyat akan buka mata. Jadi kerana itu kerajaan negeri berdolak-dalik dan kambing hitamkan pihak-pihak lain," katanya kepada pemberita selepas melawat loji pembekalan air Sungai Langat di Batu 10, Hulu Langat bersama pemimpin setempat di kawasan selatan Selangor hari ini.

Sohaimi berkata krisis air bukan disebabkan tiada air di loji dan sungai tetapi kerana tiada persetujuan di antara tiga pihak iaitu Puncak Niaga (sebagai pihak yang memproses air), Syabas (yang membekal air) dan kerajaan negeri Selangor (yang sepatutnya menyediakan infrastruktur).

Beliau turut meminta menteri besar Selangor itu mengeluarkan kenyataan rasmi kepada rakyat berhubung isu itu dan bukan menyerahkan kepada anggota exco untuk memberi pendapat masing-masing sehingga bercanggah dan mengelirukan orang ramai. - Bernama

Friday, November 25, 2011

Kelantan: BN tahu ambil, tak pandai beri


Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 25 Nov: “Ketika hendak ambil hasil mereka teringat Kelantan, ketika hendak memberi mereka lupa Kelantan,” kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.
Belia menyatakan demikian sebagai respons kepada isu air di Kelantan, seolah-olah negeri itu bukan sebuah negeri yang terdapat di Malaysia.
Pada hal, katanya Kelantan masih lagi di dalam peta Malaysia, bukan sebuah negeri yang terpisah daripada Malaysia atau sebuah republik.
Malahan, ujarnya banyak hasil yang kerajaan pungut di bumi Kelantan tetapi dibawa kepada kerajaan pusat.
Contohnya, kata beliau banyak bayaran pasport antarabangsa, setem, cukai kastam, cukai pendapatan, saman trafik yang dipungut daripada bumi Kelantan.
“Nampaknya otak pemimpin BN hanya pandai ambil tetapi tidak pandai memberi.
“Ketika hendak ambil hasil mereka teringat Kelantan, ketika hendak memberi mereka lupa Kelantan,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Malah, katanya selama 13 tahun Kelantan diketepikan dari mendapat sebarang peruntukan atau pinjaman bagi meningkat bekalan air.
Tambahnya, hanya pada pada 2011 pinjaman mudah di bawah RMK8 sebanyak RM36 juta baru diberi kepada Kelantan dengan kontraktor dan kerja-kerja pembinaan dilantik dan dilaksanakan kerajaan pusat.
“Kenapa perlu ugut rakyat, jika BN menang masalah air di Kelantan selesai? Kenapa tidak dibantu sekarang?” soalnya.
Justeru, beliau menyeru pemimpin BN menghormati keputusan rakyat Kelantan yang telah memilih PAS.
“Apakah Umno sudah kehabisan modal pilihan raya di Kelantan, hanya modal air sahaja yang ada?” tanya beliau lagi.
Pada hal, katanya di negeri yang BN perintah masalah air masih tidak selesai seperti di Sarawak dan Sabah.
Baginya, pemimpin Umno Kelantan khususnya cemburu melihat pencapaian kerajaan Kelantan sama ada dari segi pembangunan dunia dan agama.
Katanya, ketika negeri BN mengalami masalah untuk mengatasi kemiskinan Kelantan berjaya menurunkan kadar kemiskinan daripada nombor dua pada tahun 1990 kepada nombor enam.
“Percayalah jika Umno memerintah Kelantan, maka kadar kemiskinan akan naik balik ke tempat asal, seperti di Terengganu setelah turun nombor empat zaman PAS memerintah kemudian naik kembali di tempat kedua pada tahun 2004,” katanya.
Beliau menambah, walaupun dikekang dengan kewangan, Kelantan tetap menunaikan hutang lapok yang ditinggal oleh kerajaan BN sebanyak RM718 juta.
Setakat 2010, jelasnya telah melunaskan sebanyak RM220 juta, sekarang berbaki hanya RM498 juta kerana Kelantan tetap menunaikan tanggunjawab kepada rakyat dengan membuat pinjaman RM5 juta bagi membina telaga jejari sebagai alternatif membekal air bersih.
Beliau jga mempersoalkan kenapa pemimpin Umno terlalu busuk hati sehingga sanggup mendera Kelantan yang dipilih oleh rakyat secara demokrasi.
Demokrasi bukan revolusi
Katanya, Tuan Guru Nik Aziz menjadi Menteri Besar dilantik melalui proses demokrasi, bukan revolusi.
Nampaknya, ujar beliau pemimpin Umno hanya boleh menerima demokrasi apabila Umno sahaja yang perlu menang, lain daripada Umno maka keputusan rakyat tidak perlu dihormati.
Beliau menambah, pemimpin pusat sudah banyak mencabul demokrasi sejak PAS menang di Kelantan pada tahun 1990.
Ujar beliau, bermula dengan penubuhan Pegawai Persekutuan, penghulu persekutuan, memberi amaran kepada pegawai persekutuan jangan terlibat dengan program negeri seperti yang pernah diarahkan kepada pegawai pertanian yang bekerja di negeri Pakatan Rakyat, terakhir wang royalti tidak diberi kepada Kelantan.
“Sebenarnya ini cara politik zaman batu, yang tidak layak memerintah di zaman langit terbuka.
“PAS yakin bahawa rakat Kelantan yang berjiwa merdeka tidak rela negeri mereka diperlakukan demikian rupa oleh orang sebangsa dan senegeri dengan mereka yang berada di peringkat pusat, insya Allah mereka akan ajar sikap pemimpin seperti begini di dalam pilihanraya akan datang,” ujarnya.
Air Kelantan: BN tahu ambil, tak pandai beri:

'via Blog this'

Thursday, September 1, 2011

Selepas 50 tahun, Singapura serah kemudahan loji air


JOHOR BAHRU 31 Ogos – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan menyaksikan majlis penyerahan kemudahan loji rawatan air dan rumah pam secara rasmi oleh Lembaga Perbekalan Awam Singapura (PUB) kepada kerajaan negeri Johor.
Majlis menandatangani penyerahan dua loji rawatan air dan dua rumah pam milik PUB disempurnakan secara bersama oleh Pengerusi PUB, Tan Gee Paw dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Obet Tawil di Loji Air Gunung Pulai di sini.
Turut hadir pada majlis bersejarah itu ialah Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Menteri Sekitaran dan Sumber Air Singapura, Dr Vivian Balakrishnan.
Selain Loji Air Gunung Pulai, PUB menyerahkan Loji Air Sungai Skudai, Rumah Pam Tebrau dan Rumah Pam Pontian berikutan kontrak bekalan air selama 50 tamat antara PUB dan kerajaan negeri Johor di bawah Perjanjian Air 1961 hari ini.
Dalam ucapan pada majlis itu, Abdul Ghani mengucapkan terima kasih kepada PUB kerana mengurus dan menjaga semua kemudahan loji rawatan air dan rumah pam berkenaan dalam keadaan baik sepanjang tempoh perjanjian tersebut.
"Loji rawatan air Gunung Pulai adalah berkualiti tinggi dan kerajaan Johor bercadang meneruskan usaha baik PUB itu,” katanya.
Beliau juga berkata, kerajaan negeri menimbang untuk menaiktaraf semua kemudahan berkenaan demi menampung permintaan bekalan air bagi penduduk Johor Bahru dan Pontian. – Bernama, utusan

Monday, August 15, 2011

Dua bulan tiada air




YOKE LAN (tengah) dan Su Kuan menunjukkan masalah bekalan air yang dihadapi sambil diperhatikan oleh Nadchatiram di Taman Taynton, Cheras semalam.


KUALA LUMPUR – Sejak siap dibina enam tahun lalu, penduduk di 38 unit rumah di Taman Taynton, Cheras terpaksa bergantung kepada air yang dibekalkan oleh pemaju gara-gara ketiadaan sijil layak menduduki (CF).
Nasib mereka bertambah malang apabila bekalan tersebut dipotong oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) selepas pemaju didakwa membekalkan air secara tidak sah dan gagal menjelaskan bil air menyebabkan penduduk terputus bekalan sejak dua bulan lalu.
Pengarah Pusat Perkhidmatan MCA Cheras, John Hon Su Kuan, berkata, akibat masalah itu, kira-kira 190 orang penduduk hidup dalam kesulitan dan terpaksa mengharap bekalan dari rumah jiran di fasa perumahan lama.
“Syabas dikatakan terpaksa memotong bekalan air kerana pemaju juga gagal menjelaskan bil air tertunggak yang mencecah RM8,000,” katanya pada sidang akhbar yang dihadiri 20 orang penduduk di sini semalam.
Dalam pada itu, seorang penduduk, Yeoh Lee King, 52, kecewa dengan tindakan pemaju yang seolah-olah memperdaya penduduk dan melewat-lewatkan permohonan mendapatkan CF.-kosmo

Tuesday, April 26, 2011

10 tahun alami masalah air



KAMPUNG BINTANG- Penduduk kampung minta pihak Jabatan Bekalan Air (JBA) menggantikan paip air lama di kampung itu kerana dikatakan tidak relevan serta tidak mampu menampung jumlah pengguna yang kian bertambah.

Salasiah Hanafiah, 62, berkata, paip air di kampung itu dikatakan dipasang pada tahun 1988 dan kini ia tidak mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk terutama empat keluarga di kampung ini yang rumah mereka terletak di atas bukit.

Menurutnya, masalah air yang agak serius ini dikatakan bermula pada tahun 2001 apabila penduduk di rumah atas bukit hanya mampu menerima bekalan air pada waktu malam sahaja.

“Penduduk di bawah bukit dapat menerima bekalan air tetapi dalam kuantiti yang sedikit, tetapi penduduk di atas bukit langsung tidak menerima bekalan air.

“Kami di atas bukit ini hanya mampu menerima bekalan air pada waktu malam kira-kira jam 3 pagi selama dua jam sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, masalah bekalan air di kampung ini dikatakan makin kritikal apabila mereka sudah dua minggu tidak menerima bekalan air walaupun pada waktu malam. P

Salasiah berkata, dia sudah berkali-kali menghubungi JBA dan pihak berkenaan memberitahu tidak tahu punca sebenar ketiadaan air itu.

Menurutnya, tekanan air itu yang rendah menyebabkan mereka di empat buah rumah atas bukit itu tidak menerima bekalan air dan keadaan itu mendatangkan masalah kepada mereka.

“Sebelum ini kami menerima air sebelah malam tetapi dua minggu kebelakangan air langsung tidak ada air. Kalau ada air sebelah malampun tidak mengapa kerana boleh kami kumpul air bagi tujuan membasuh pakaian, mandi, solat dan sebagainya.

“Cucu-cucu saya terpaksa menumpang air di surau untuk membasuk kasut sekolah mereka. Sampai bila masalah ini akan berlaku sedangkan kami sebagai rakyat memerlukan bekalan air dan perkhidmatan yang terbaik daripada JBA,” katanya.

Tambahnya lagi, untuk mengatasi masalah itu dia terpaksa meminta bantuan anak-anaknya yang tinggal berjauhan untuk pulang bagi membina kolah air di bilik mandi dan membina takungan air di atas bumbung.

“Kolah air yang dibina tahun 2001 itu juga tidak mampu menampung keperluan seharian. Saya harap kerajaan negeri dapat melihat permasalahan ini dan menggantikan semula paip lama kepada paip yang lebih besar untuk kemudahan penduduk di sini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Noranita Abdul Jabar, 40, berkata, dia terpaksa meminta bantuan daripada jiran-jiran di bahagian bawah bukit untuk menumpang mengambil air.

Menurutnya, sampai bila keadaan ini harus berlaku dan mereka tidak mampu untuk memunggah air dari Sungai Pahang yang terletak agak jauh dari rumah mereka.

“Saya kasihan pada warga emas yang terpaksa memunggah air setiap masa semata-mata untuk mandi, membasuh dan mengambil wuduk. Kami harap JBA dapat segera mencari penyelesaian kepada masalah yang berlaku sekian lama ini.

“Dengan adanya paip baru saya yakin masalah ini dapat diatasi dan mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk,” katanya.

Menurutnya, mereka mengharapkan hujan bagi membantu menadah air tetapi hujan juga tidak turun sekian lama menyebabkan kesukaran mereka kian bertambah.

Thursday, October 21, 2010

Mandi dalam ladang




KOTA TINGGI – Malang bagi hampir 2,000 penduduk Felcra Sungai Ara di sini yang masih terpaksa menjalani kehidupan seperti zaman sebelum merdeka. 

Masalah air yang masih membelenggu penduduk di sini sejak 20 hari lalu menyebabkan mereka berasa sangat terbeban dalam menjalani kehidupan harian terutama golongan ibu yang perlu menyelesaikan tanggungjawab membersih dan menyediakan makanan kepada isi rumah. 

Sebelum ini, Sinar Harian ada melaporkan gangguan bekalan air selama seminggu dan rungutan penduduk di sini namun masalah tersebut masih belum dapat diselesaikan. 

Seorang suri rumah, Bedah Karson, 55, berkata, dia berasa sangat penat kerana aktiviti membasuh pakaian mahupun pinggan-mangkuk kotor terpaksa dilakukan walaupun kuantiti air yang tidak mencukupi di rumahnya. 

“Dalam rumah saya ada enam orang kesemuanya jadi banyak pinggan-mangkuk dan baju kotor yang perlu dibersihkan, dan saya terpaksa mengambil inisiatif lain dengan menggunakan punca air dari parit yang terletak kira-kira 60 meter dari rumah. 

“Mujurlah anak saya meletakkan beberapa bungkus pasir di dalam parit dapatlah saya membasuh baju dan mandi setiap hari bersama anak-anak,” katanya kepada Sinar Harian. 

Menurutnya, kekurangan air menyebabkan anaknya tidak dapat mandi pada waktu pagi untuk ke sekolah dan hanya boleh membasuh muka dan menggosok gigi.

Thursday, September 30, 2010

Dah lama merdeka tapi masih ada lagi yang minum air paya


'Keluarga penoreh minum air campur berudu'


2010/09/30

JEMPOL: Seramai 50 keluarga yang kebanyakannya penoreh getah di Ladang Sebaling terpaksa menerima hakikat kemungkinan terminum dan termakan telur katak atau berudu. 

Ini disebabkan mereka dibekalkan dengan air dari satu kawasan paya yang terletak di pinggir hutan tidak jauh dari kawasan penempatan ladang itu, yang pemprosesan airnya dilakukan pekerja Indonesia yang bertugas menjaga alat pam dan rumah rawatan air yang sudah usang.
M Kalimmah, 52, berkata mereka dibekalkan air percuma tetapi kualitinya tidak dijamin bersih.
Ia kotor dan kadang kala berwarna coklat dan jika musim hujan, ia berlumpur dan pernah keluar anak berudu dari paip rumah saya, katanya kepada BERNAMA. 

Beliau yang berpendapatan RM600, kurang senang dengan bekalan air di situ walaupun rumah yang disediakan kepada mereka oleh pihak ladang agak selesa. 

Rakannya, K Sivakolunthu, 62, sanggup menunggang motosikal setiap hari ke Ladang Geddes berhampiran bagi mendapatkan bekalan air lebih bersih. 

Setiap hari, saya bawa balik air paip dari Ladang Geddes dalam tiga bekas botol besar kerana saya tidak boleh minum air di rumah ini yang berbau dan ada banyak mendapan, katanya. 
Beliau sudah lapan tahun tidak menggunakan air di rumahnya untuk minum tetapi isterinya terpaksa menggunakan air itu untuk memasak, mandi dan mencuci. 

Tinjauan BERNAMA di kawasan paya yang dijadikan bekalan air untuk penduduk ladang itu mendapati, semua proses rawatan air dibuat menggunakan tenaga manusia dengan setiap hari pekerja akan memasukkan klorin. 

Difahamkan, ladang itu diambil alih pengurusan baru dan mereka berjanji membekalkan air lebih bersih kepada penduduk tetapi projek itu belum dilaksanakan.

Tuesday, May 25, 2010

Singapura tidak lagi sambung perjanjian air



SINGAPURA 24 Mei - Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata, negaranya akan menyerahkan semua kemudahan air yang terkandung di bawah Perjanjian Air 1961 kepada pihak berkuasa air Johor secara percuma dan dalam keadaan berfungsi dengan baik selepas 1 Julai 2011.
"Selain itu, Singapura turut mencadangkan projek bersifat "mercu tanda" bagi Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), yang melibatkan kawasan pembangunan seluas 500 ekar.
"Kedua-dua pemimpin telah bersetuju menyokong sebuah perbandaran yang dibina mengikut konsep 'menetap bekerja bersantai' (live work play), yang mana ia akan menawarkan kemudahan serta perkhidmatan yang berasaskan kesejahteraan hidup," jelas Hsien Loong pada sidang akhbar bersama dengan rakan sejawatnya, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.
Perjanjian pertama pembekalan air dari Malaysia untuk Singapura itu melibatkan penjualan air mentah dari Loji Air Skudai di Johor Bahru yang diurus oleh syarikat Public Utilities Board (PUB) Singapura untuk pembekalan air bersih kepada Johor dan Singapura.
Perjanjian itu dijadualkan akan berakhir pada 1 Julai 2011 dan Singapura telah menyatakan bahawa negara pulau itu tidak berhasrat untuk menyambung perjanjian berkenaan.
Mengenai projek "mercu tanda" untuk Iskandar Malaysia, Hsien Loong berkata, ciri unik projek tersebut ialah ia akan merangkumi segala aspek "kesejahteraan hidup" menerusi pelbagai aktiviti dalam sebuah perbandaran, seperti kaedah-kaedah rawatan tradisional, perubatan alternatif yang saling melengkapi dan rawatan-rawatan serba moden.
"Kedua-dua Perdana Menteri juga bersetuju Khazanah Nasional Bhd. dan Temasek Holdings Ltd. akan membentuk sebuah syarikat usaha sama dengan ekuiti 50-50 bagi melaksanakan projek pembangunan itu.
"Pastinya projek itu akan melibatkan penyertaan sektor swasta dari kedua-dua negara dan kami (Hsien Loong dan Najib) harap untuk melihat pelancaran projek berkenaan dalam tempoh satu tahun," ujarnya.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Singapura dan Malaysia turut bersetuju untuk berkongsi pengalaman dan sama-sama merencanakan pelan pembangunan bersama untuk pembersihan sungai, yang selari dengan usaha-usaha yang kini dilakukan di Iskandar Malaysia.
Kedua-dua negara juga akan melihat kemungkinan melakukan program berkembar bagi produk-produk pelancongan khususnya ekopelancongan. - Utusan

Monday, May 3, 2010

Kalau tidak kerana pilihanraya belum tentu dapat air


Sekolah Tamil Di Hulu Selangor Dapat Bekalan Air Selepas Lebih 50 Tahun
HULU SELANGOR, 3 Mei (Bernama) -- Selepas lebih 50 tahun menggunakan baldi untuk mengangkut air bukit, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJK) Ladang Escot akhirnya dapat menikmati bekalan air bersih paip Isnin.

SJK Tamil Ladang Escot mempunyai 60 murid yang rata-ratanya anak peneroka ladang kelapa sawit, manakala 11 guru mengajar di sekolah tersebut.

Pemasangan saluran paip itu dilakukan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) selepas mengetahui masalah sekolah itu semasa kempen pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.

Sebelum ini, sekolah itu yang berdekatan estet terpaksa menggunakan air bukit berhampiran sumber bagi kegiatan harian seperti minum dan menggunakan tandas.

Pengerusi Eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail berkata Syabas telah memasang paip sepanjang 1,500 meter dari Ulu Bernam ke sekolah itu dengan anggaran kos RM600,000.

"Ini juga sebagai menunaikan janji jika pihak Barisan Nasional menang pilihan raya kali ini, ini kerana kami sebagai badan kerajaan akan menyokong hasrat kerajaan itu," katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak pemasangan paip itu.

Hadir sama di tapak pemasangan air berkenaan adalah Anggota Parlimen Hulu Selangor, P.Kamalanathan yang mengucapkan terima kasih kepada Syabas.

"Semua kemudahan yang kami sediakan ini adalah untuk rakyat, dan saya berpegang kepada kata-kata Perdana Menteri, di mana kebajikan rakyat perlu diberi keutamaan," kata Kamalanthan.

Guru besar sekolah tersebut, Menon Murugayee, berkata: "Kami berasa amat bersyukur dan gembira apabila kini dapat menikmati bekalan air bersih, dan kami tidak sangka kami akan mendapat kemudahan ini dengan begitu cepat sekali. Ini bagai satu peluang keemasan."

Vijaya Armugam, ibu kepada salah seorang pelajar, juga bersyukur kerana anaknya tidak akan bersusah payah lagi untuk membawa bekalan air dari rumah untuk minum.

"Ini suatu perkara yang sangat baik yang dilaksanakan oleh kerajaan, kerana sebelum ini pelajar-pelajar bergantung kepada air takungan yang adakalanya kotor yang boleh membawa kepada penyakit berbahaya jika meminumnya," katanya.

-- BERNAMA