Saturday, August 13, 2011

Artikel fitnah: Utusan buat laporan polis


KUALA LUMPUR 12 Ogos - Jabatan Pengarang Utusan Malaysia hari ini membuat satu laporan polis berhubung penyiaran artikel fitnah oleh sebuah laman web menggunakan kepala akhbar (masthead) Utusan Malaysia palsu bagi mengelirukan pembaca.
Laporan polis itu dibuat berikutan tindakan laman web tersebut menyiarkan artikel bertajuk 'Kontroversi Cincin Rosmah: Beli sendiri guna duit menabung dari kecil' yang diterbitkan sejak 15 Julai lalu.
Menurut Penasihat Undang-undang, Jabatan Pengarang Kumpulan Utusan, Mohd. Jefri Daman, penerbitan berita itu tidak ada kena-mengena dengan Utusan Malaysia.
"Pengendali laman web tersebut cuba mengelirukan pembaca kononnya berita itu disiarkan di muka depan akhbar Utusan Malaysia.
"Sejak 15 Julai sehingga petang ini, seramai 721 pengikut telah melayari laman web tersebut dan apa yang membimbangkan orang ramai akan terpedaya dengan taktik kotor pihak tidak bertanggungjawab itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Laporan polis itu dibuat oleh Mohd. Jefri mewakili akhbar ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras kira-kira pukul 5 petang tadi.
Beliau berharap polis akan menyiasat motif dan identiti pengendali laman web terbabit.
"Ramai pembaca menghubungi pihak Utusan Malaysia memaklumkan keliru dengan artikel yang disiarkan melalui laman web tersebut," katanya.

Britain sasar samseng jalanan




JALAN utama di Tottenham, utara London yang menjadi lokasi pertama rusuhan Sabtu lalu, masih ditutup oleh polis daripada dimasuki orang ramai, semalam. – Agensi


LONDON 12 Ogos – Perdana Menteri Britain, David Cameron berkata, pihaknya akan menimbangkan pendekatan Amerika Syarikat (AS) dalam berdepan dengan keganasan geng-geng jalanan yang mencetuskan rusuhan terburuk dalam tempoh beberapa dekad di negara ini.
Beliau turut mengumumkan pendekatan baru bagi menamatkan rusuhan yang telah mengorbankan lima orang setakat hari ini, termasuk meminta bantuan tentera, selain berjanji memberikan lebih banyak kuasa kepada pihak berkuasa bagi mengelak kejadian ini berulang.
Ketika pasukan polis mengawal keadaan dan hujan lebat menghalang kejadian huru-hara di hari kelima, Cameron memaklumkan sidang Parlimen bahawa kuasa tambahan akan diberikan kepada polis, termasuk membenarkan mereka mengarahkan suspek menanggalkan penutup muka, mengusir perusuh dari kawasan perumahan dan menggantung perkhidmatan telefon sementara waktu.
Menurutnya, Britain perlu menunjukkan imej yang lebih positif kepada dunia selepas insiden rusuhan tersebut, menjelang penganjuran Sukan Olimpik tahun depan.
“Kita tidak akan berhenti selagi keganasan dan kegiatan samseng ini tidak dihapuskan dan keadaan pulih sepenuhnya di jalan-jalan di negara ini,” katanya.
Britain masih dalam keadaan rapuh selepas empat hari dilanda rusuhan terburuk dalam tempoh beberapa dekad yang bermula di London dan kemudiannya merebak ke bandar-bandar utama lain seperti Manchester dan Birmingham.
Cameron berkata, beliau akan mendapatkan nasihat AS untuk menentang geng samseng jalanan, terutamanya daripada bekas ketua polis Los Angeles, New York dan Boston, William Bratton.
Beliau dalam pada itu mengakui polis tidak dapat mengawal kegiatan kecurian pada malam pertama rusuhan berlaku.
Perkara itu turut disahkan oleh Timbalan Penolong Pesuruhjaya Polis Metropolitan, Steve Kavanagh yang memberitahu mereka kini tidak mempunyai anggota yang cukup untuk mengawal keganasan yang tercetus.
Lebih 1,200 orang ditangkap semasa kekacauan dan seorang daripada pencuri, Natasha Reid, 24, menyerah diri kepada polis setelah tidak dapat melelapkan mata disebabkan rasa bersalah selepas mencuri sebuah televisyen, kata peguamnya.
Dalam satu kes, Chelsea Ives, 18, yang merupakan antara ribuan orang yang mendaftar sebagai ‘duta’ bagi membantu pelawat ke temasya Olimpik 2012, telah dikenal pasti oleh ibunya semasa menonton berita menunjukkan dia membaling bata ke arah kereta polis. Ives menafikan tuduhan merompak dan berkelakuan ganas.

Mahkamah telah bersidang sehingga ke malam bagi memproses mereka yang didakwa atas kesalahan jenayah daripada serangan hinggalah mencuri sebotol air minuman.
Tertuduh termasuk anak seorang jutawan, pekerja kebajikan dan pelajar kewartawanan, walaupun kebanyakannya adalah belia penganggur.
Dalam apa yang disifatkan sebagai tindakan tegas menegakkan keadilan, akhbar The Guardian mendapati dalam sampel lebih 150 kes yang dibicarakan, kebanyakan defendan kekal dalam tahanan, walaupun mereka mengaku bersalah kepada kesalahan kecil.
Sementara itu, penempatan 16,000 anggota polis di jalan-jalan London akan diteruskan sehingga hujung minggu lalu.
Polis London semalam turut mengumumkan kematian mangsa kelima, Richard Mannington Bowes di hospital selepas dia diserang ketika cuba menghalang perusuh di daerah barat London, Ealing, Isnin lalu. – AP/AFP/Reuters
-utusan

Fatwa melulu

Larangan baca al-Quran guna pembesar suara waktu Subuh boleh jadi isu pecah belah umat Islam 
KUALA LUMPUR: Majlis Fatwa Kebangsaan meminta Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang menimbangkan sehalus-halusnya larangan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu Subuh di masjid dan surau di negeri itu kerana ditakuti mendatangkan kesan kepada penyatuan Umat Islam di negara ini.

Pengerusinya Prof Datuk Dr Abd Shukor Husin, berkata larangan itu sebenarnya tidak perlu diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri, sebaliknya ditentukan mengikut budi bicara dan disesuaikan dengan keadaan sesuatu tempat.
Beliau berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri seharusnya mengadakan perbincangan dulu bersama mufti di negeri lain melalui Majlis Agama Islam kerana larangan itu dibimbangi akan menjadi asas hukum kepada larangan sama di negeri lain.

Katanya, pertemuan dengan masyarakat setempat perlu diadakan bagi memperoleh kata sepakat sama ada mereka bersetuju jika dilaksanakan larangan itu atau tidak.

"Sepatutnya tak payah keluarkan fatwa dulu, fatwa itu harus berhemah dan berhikmah, kena kaji sama ada tempat itu memerlukan larangan atau tidak, kerana bila sudah difatwakan ia akan menjadi isu yang boleh menjadi punca masyarakat Islam tidak bersatu.

"Contohnya satu kes masjid berdekatan dengan hospital, bila nak masuk waktu solat, imam baca al-Quran sehingga mengganggu pesakit, jadi mereka jumpa dengan mufti dan larangan itu boleh dipertimbangkan mengikut kawasan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini semalam.
Akhbar ini, semalam melaporkan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mengeluarkan larangan selaras dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri itu kerana amalan berkenaan dikatakan bercanggah dengan hukum syarak dan boleh mengganggu orang lain di dalam dan luar masjid.

Mengenai tindakan Jawatankuasa Fatwa Negeri yang memutuskan larangan itu adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan Abi Sa’id al-Khudri menerusi kitab Sunan Abi Daud, Abd Shukor berkata sabda itu diiktikaf oleh Nabi Muhammad SAW bertujuan untuk tidak mengganggu bacaan al-Quran yang dibaca oleh jemaah lain pada waktu sama di masjid.

"Sama juga ketika membaca khutbah, jika kita berbual di belakang adalah dilarang, tetapi masjid sekarang kosong ketika waktu sebelum subuh jadi kita kena mengimarahkan dengan bacaan al-Quran.

"Dan bacaan al-Quran di satu kawasan yang majoritinya diduduki umat Islam tanpa ada faktor penghalang adalah digalakkan,” katanya.

Katanya, beliau ada menghubungi Jawatankuasa Fatwa Negeri, tetapi sehingga kini masih tidak dapat maklum balas daripada pihak berkenaan berkaitan hal terbabit.
Sementara itu, Presiden Jaringan Melayu Malaysia, Azwanddin Hamzah menggesa supaya Jawatankuasa Fatwa Negeri menarik balik larangan berkenaan sebelum badan itu mengambil tindakan.

“Kita sudah membaca al-Quran sebelum waktu subuh berpuluh-puluh tahun lamanya dan tidak sepatutnya baru sekarang ia ditimbulkan,” katanya. -bharian

Tentera laut Korea Selatan selamatkan nelayan Korea Utara

SEOUL: Tentera laut Korea Selatan menyelamatkan sekumpulan nelayan Korea Utara selepas dua bot menangkap ikan ditemui karam berdekatan sempadan Laut Kuning, lapor jurucakap ketenteraan.

Usaha menyelamat itu dijalankan semalam sehari selepas Korea Selatan bertindak terhadap dakwaan kegiatan menangkap ikan di sempadan dengan melepaskan tembakan amaran.
Korea Selatan menyoal empat warga Korea Utara selepas mereka diselamatkan dari dua bot menangkap ikan di Pulau Baengnyeong dekat sempadan. - AFP, bharian

Pelajar bedah lidah fasih bahasa Korea

RHIANNON menunjukkan lidahnya selepas dibedah.
RHIANNON menunjukkan lidahnya selepas dibedah.

Jalani prosedur atasi masalah sebut abjad L

LONDON: Seorang pelajar, Rhiannon Brooksbank-Jones, 19, sanggup menjalani pembedahan memanjangkan lidah bagi membolehkan beliau mengusai dan mampu bertutur bahasa Korea dengan fasih berikutan minatnya yang mendalam terhadap budaya dan bahasa negara itu.
Rhiannon adalah pelajar yang berhasrat untuk bekerja di Korea berikutan tertarik dengan kebudayaan dan bahasa itu.
Saya belajar bahasa Korea selama dua tahun tetapi tahap penguasaan saya tak begitu baik. Saya terpaksa berusaha keras mengeluarkan bunyi tertentu supaya ia tak kedengaran pelik. - Rhiannon Brooksbank-Jones, Pelajar
“Saya belajar bahasa Korea selama dua tahun tetapi tahap penguasaan saya tidak begitu baik. Saya terpaksa berusaha keras mengeluarkan bunyi tertentu supaya ia tidak kedengaran pelik,” katanya kepada akhbar Daily Mail.

“Saya mengalami masalah menyebut abjad Korea L yang lazimnya mempunyai bunyi lebih tinggi berbanding bahasa Inggeris L dan lidah saya terlalu pendek,” tambahnya.

Bagi menyelesaikan masalah itu, beliau berjumpa doktor dan mendapati lidahnya terlalu pendek.

Walaupun tidak mempunyai masalah berbahasa Inggeris, Rhiannon tetap menjalani pembedahan untuk menguasai bahasa Korea.
Dalam pembedahan frenectomi bahasa, sebahagian tisu menghubungkan lidah dengan bahagian bawah mulut dipotong.

Pada 2002 akhbar Korean Herald melaporkan, beberapa kanak-kanak di Gangnam, Korea Selatan menjalani prosedur sama untuk membantu mereka berbahasa Inggeris.

Gadis itu berharap dapat mendalami pengajian Pengurusan Perniagaan dan Pengajian Korea di Universiti Sheffield, sebelum memohon melanjutkan pengajian di Universiti Yonsei di Seoul.

“Orang Korea pemalu tetapi apabila kita mengenali mereka, mereka sangat mesra dan baik hati.

Mereka bersedia lakukan apa saja untuk anda,” katanya.

Beliau berkata, ibunya turut bangga dan mengalu-alukan minatnya terhadap kebudayaan negara lain di dunia. – Agensi , bharian

Rugi lepas peluang beramal bulan puasa

RAMADAN yang datang mengunjungi setiap tahun benar-benar terkesan apabila dapat memperbaharui semula iman dalam jiwa yang telah pudar dimamah detik selama sebelas bulan. Kemanisan iman semakin terasa apabila ibadat puasa dilakukan dengan penuh keikhlasan serta kesungguhan.
Hasil kesungguhan inilah akan dapat menghapuskan dosa kesalahan kita yang lalu. Sabda Baginda SAW: “Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan serta kesungguhan, maka Allah akan mengampunkan dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Bukhari).

Ibadat puasa dilakukan dengan sempurna akan melahirkan kegembiraan, kekuatan dan seterusnya membina roh serta jiwa kuat dan jitu. Sabda Rasul SAW bermaksud: “Orang berpuasa akan menikmati dua kegembiraan, iaitu ketika berbuka dan ketika bertemu tuhannya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan serta kesungguhan, maka Allah akan mengampunkan dosanya yang telah lalu. - Riwayat Bukhari
Doa dipersembahkan pada Ramadan akan diberi keutamaan oleh Allah SWT kerana kita berdoa dalam keadaan berpuasa. Sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya orang yang berpuasa ada kelebihan tersendiri di mana doa mereka akan terus diangkat kepada Rabbul Jalil.” (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Malam Ramadan akan menyaksikan ganjaran besar dari Allah SWT dengan solat didirikan serta pembebasan daripada api neraka. Diserikan pada setiap malam Ramadan dengan seruan: “Wahai pencinta kebaikan, majulah ke hadapan dan pencipta kejahatan silalah undur ke belakang.” (Hadis riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim).

Rasul SAW sentiasa berpesan kepada sahabat supaya memperbaharui taubat dan memperbanyakkan amalan kebajikan pada Ramadan. Sabda Baginda SAW bermaksud: “Pada bulan ini adanya malam yang lebih baik daripada seribu bulan, malamnya disediakan pahala ibadat sunat yang sangat banyak, satu kebajikan akan digandakan sehingga 70 kali.” (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah).

Jika dilihat kepada apa dilakukan oleh Baginda SAW, jelas bahawa gandaan usaha dipertingkatkan khususnya pada Ramadan. Ibnu Abbas menceritakan bahawa Nabi SAW adalah orang yang paling pemurah pada Ramadan.
Berdasarkan Ibnu Abbas, kita dapati ramai yang menganjurkan program berbuka puasa setiap hari dengan mengundang fakir dan miskin. Ini adalah suatu perkembangan sihat pada Ramadan.

Sabda Nabi SAW bermaksud: “Sesiapa yang memberi makan pada yang berpuasa akan mendapat ganjaran sama seperti mereka yang berpuasa.” (Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi).

Amalan bertambah dengan tilawah al-Quran bertepatan bulan yang diturunkan al-Quran sehingga Ramadan juga disebut bulan al-Quran.

Bagi mereka yang tidak menggunakan peluang ini dan berterusan melakukan dosa pada Ramadan, Nabi SAW menyebut dalam sabdanya bermaksud: “Sesiapa yang tidak dapat meninggalkan kejahatan dan kemaksiatan pada Ramadan, maka Allah tidak memerlukan apa-apa daripada puasanya.” (Hadis riwayat Bukhari).

Pernah Baginda SAW menyebut ‘amin’ ketika naik mimbar pada satu Jumaat. Apabila ditanya Baginda SAW menjawab: “Sesungguhnya aku mendengar Jibrail menyebut: Amat rugilah mereka yang mendapat peluang Ramadan sedangkan dia tidak mendapat keampunan daripada Allah SWT.”

Ramadan adalah peluang sekali dalam setahun untuk meraih keuntungan besar daripada tawaran diberikan Allah SWT.

Kata-kata hikmah menyebut: “Mereka yang paling rugi ialah orang yang melepaskan peluang terbaik mereka dan sesiapa yang terlepas satu peluang, dia akan mencipta angan-angan yang berpanjangan.”

Penulis ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) -bharian

Isu murtad bongkar kepincangan agensi kebajikan, Baitulmal

Umat Islam patut buka mata pihak pesong akidah menerusi kerja amal kebajikan
PEMBONGKARAN kes sekumpulan umat Islam yang terpaksa menerima perlindungan di sebuah gereja di Selangor kerana kesempitan hidup minggu lalu mengingatkan penulis kepada keputusan diambil pengurusan Pertubuhan Kebajikan Baitul Fiqh Subang Jaya sekitar dua tahun lalu.

Pusat ini menerima lapan pesakit HIV Muslim yang sebelum itu bernaung dalam gereja di Petaling Jaya bagi menyelamatkan akidah mereka. Menurut pesakit, ada di kalangan mereka dibaptiskan ketika nazak dan dikuburkan sebagai Kristian. Kebanyakan pesakit sudah lama terputus hubungan dengan keluarga. Apabila mati, tiada waris menuntut. Seorang pesakit memberitahu, dia nekad keluar dari gereja itu selepas melihat rakannya meninggal dunia akibat tibi.
Memang banyak rumah perlindungan untuk pesakit HIV lelaki, tetapi semuanya diuruskan gereja Katolik, sedangkan ramai pesakit ialah Melayu-Islam. Saya percaya ramai lagi rakan sebangsa ingin keluar dari gereja itu, namun tiada tempat lain dituju. Hendak balik kampung, keluarga sudah buang mereka
“Jenazahnya yang tidak dituntut keluarga diuruskan ikut cara Kristian, sedangkan dia Muslim. Memang banyak rumah perlindungan untuk pesakit HIV lelaki, tetapi semuanya diuruskan gereja Katolik, sedangkan ramai pesakit ialah Melayu-Islam. Saya percaya ramai lagi rakan sebangsa ingin keluar dari gereja itu, namun tiada tempat lain dituju” katanya yang berasal dari Kuala Selangor.

Berdasarkan maklumat, tempat perlindungan dikelola mubaligh dan aktivis Kristian tidak semestinya gereja. Banyak yang dipanggil rumah kebajikan masyarakat atau WCH (welfare community homes). Hari ini, dianggarkan 3,000 pesakit HIV lelaki Islam tinggal di gereja dan WCH sekitar Lembah Klang.

Bagaimanapun, ada pandangan bahawa Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan juga memberi hak kepada warga negara Malaysia yang cukup umur, iaitu 18 tahun memilih sendiri agamanya, termasuk menukar agama. Hujah ini diperkuat kes gadis Cina Kelantan, Suzie Teoh yang mengaku masuk Islam pada umur 16 tahun. Ibu bapanya memohon perintah mahkamah untuk mengisytihar tindakan anak mereka tidak sah. Dalam tangisan, Allahyarham Tun Salleh Abas yang mengadili kes itu mengesahkan Teoh kekal dalam agama asalnya. Namun, dua tahun kemudian, kes dibuka semula dan dalam tangisan, Teoh memberitahu mahkamah: “Saya Yang Arif, kekal dalam agama saya, saya masih dengan nama Nur Aini”.

Jadi, apakah kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan? Adakah ia berfungsi secara politik atau perundangan atau sekadar untuk acara rasmi saja? Beberapa peguam melahirkan keresahan kerana apabila berlaku pertembungan antara hukum syarak dan sivil, hukum syarak ‘kena’ beri laluan kerana Perkara 4 Perlembagaan menyebut mana-mana undang-undang yang bertentangan atau bercanggah dengan Perlembagaan adalah terbatal dan tidak sah. Ini termasuklah hukum syarak.

Sekitar 1987, Jamaludin Othman yang menjadi Kristian dengan nama Jeshua, ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana memesongkan akidah ramai anak Melayu. Namun, dia dibebaskan mahkamah atas alasan kebebasan beragama, berdasarkan peruntukan Perlembagaan.

Sementara pakar undang-undang membincangkan hal ini, hakikatnya ramai orang Islam yang murtad. Rekod rasmi menunjukkan pada 1989 ialah 4,776 Islam murtad, manakala pada 1997 hingga 1998, bilangan orang Islam yang mohon menukar kepada agama Kristian ialah 3,516. Tidakkah ini menggerunkan?

Gerakan mengkristiankan orang Islam di Malaysia bermula sejak kedatangan Portugis dan Belanda ke Nusantara, kemudian dijalankan penjajah Inggeris sehingga kepada kumpulan mubaligh dan gereja Kristian hari ini. Gereja Merah di Melaka, kubu A Famosa dan tugu St Francis Xavier antara peninggalan sejarah kristianisasi di negara ini. Menurut Pusat Islam California, pendakwah Kristian menjadikan Malaysia sasaran mereka. ‘Window 10/40’ adalah singkatan kepada usaha mengkristiankan penduduk negara di antara garis lintang 10 dan 40 darjah di peta dunia.

Antara kes bersejarah ialah membabitkan Natrah, anak gadis Belanda beragama Islam yang dimurtadkan. Peristiwa yang berlaku enam dekad lalu menyebabkan orang Melayu-Islam merusuh satu negara. Kes lain dalam ingatan termasuk Lina Joy, Nor Aishah Bokhari yang kahwin lari dengan pemuda bukan Islam dan Hartina Kamaruddin, wanita Perak yang menukar nama kepada Nivasni Rajeswari.

Sebelum kecoh pasal penahanan kitab Injil dalam bahasa Melayu cetakan Indonesia baru-baru ini, timbul peristiwa sama pada 1997. Jabatan Agama Islam Johor dan Kementerian Dalam Negeri merampas 250 buku ajaran Kristian berbahasa Melayu, termasuk bertajuk Kaabah, Wahyu Ilahi dan Mengenali Rasul.

Di dalamnya ada kalimah ‘Allah’, ‘imam’ (untuk paderi), ‘nabi’, ‘malaikat’ dan istilah lain yang lazim kepada Muslimin. Sekali pandang, macam buku agama Islam. Ini adalah taktik, termasuk menggunakan nama penulis Melayu, misalnya buku Circumcised Heart karangan Hilmy Nor (Kairos Research Centre).

Dalam kes di DUMC, kitab Injil yang sama didapati diberikan kepada 12 orang Islam yang kononnya beriftar di situ. Ada gesaan daripada beberapa pihak agar polis siasat wujudnya kertas kuiz mengenai Islam ketika pemeriksaan JAIS. Antara soalannya bertanyakan maksud perkataan Islam, Muslim dan Quran. Juga ditanya malaikat yang menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad. Selain itu, ada juga nyanyian ‘Alhamdulillah’ dan ‘Allahuakbar’ pada majlis itu. DUMC dikatakan sering dikunjungi sehingga 100 ibu tunggal Muslim yang melarat.

Ada pihak membangkitkan apa salahnya orang Islam ke gereja seperti bukan Islam ke masjid. Ada juga menentang tindakan JAIS kerana berlawanan dengan semangat 1Malaysia, malah ada yang mahu Perlembagaan dipinda agar orang Islam juga bebas memilih agama.

Ketika perpaduan nasional dan keharmonian kaum menjadi matlamat negara, soal utama ialah kesucian dan kedaulatan Islam. Bagi Muslimin, ini adalah perkara wajib. Tidak ada kompromi kerana mendaulatkan kedudukan Islam adalah jihad. Penganut agama lain dan warga negara Malaysia harus memahami prinsip ini.

Satu lagi perkara berbangkit ialah keberkesanan kementerian dan agensi yang diwajibkan untuk membantu golongan yang miskin dan memerlukan. Apabila kes ini dibawa ke mahkamah kelak, pihak berwajib perlu mengkaji semula mekanisme dan kecekapan mereka menyalur bantuan agar tidak ada lagi orang Islam yang mengemis kepada gereja. Ini sangat memalukan.

Jika dibaca Buku Jingga, sepatutnya tidak ada lagi ibu tunggal yang daif di Selangor tetapi kerana janji ditabur dan tidak dikota, orang Islam miskin negeri ini terpaksa merempat di gereja. Dilaporkan juga kementerian bertanggungjawab memperuntukkan RM1.2 bilion untuk membantu 450,000 orang , tapi yang pasti ia tidak dapat dinikmati ibu tunggal Muslimin yang ke gereja untuk mendapat makanan. Jika kita yakin zakat dan Baitulmal ialah sistem Islam terbaik bagi mengatasi kemiskinan dan mewujudkan keadilan sosial, kenapa ini tidak berlaku dalam masyarakat kita?

Penulis ialah Yang Di Pertua Pertubuhan Kebajikan Baitul Fiq-bharian