Friday, November 5, 2010

Kerajaan Kedah dakwa projek landasan berkembar punca banjir buruk



ALOR SETAR - Kerajaan PAS Kedah mendakwa banjir buruk yang kini melanda negeri ini adalah disebabkan kerja pembinaan landasan kereta api berkembar yang sedang berjalan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menggesa kontraktor landasan kereta api berkembar itu, MMC-Gamuda Joint Venture (Gamuda) membesarkan saliran air supaya air banjir dapat disalirkan ke sungai dengan cepat.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, semasa banjir besar lima tahun lepas, kawasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim dan beberapa kawasan lain tidak pernah ditenggelami air, tetapi sejak pembinaan landasan kereta api berkembar, banjir yang melanda Kedah semakin buruk.

"Kami panggil mereka (Gamuda) datang mesyuarat dengan kita hari ini, tetapi mereka tidak datang. Jika mereka tidak datang juga, saya akan arahkan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran untuk membuka laluan air itu dengan segera. 

"Kami mahu berbincang dengan pihak Gamuda tentang perkara ini supaya masalah ini dapat diatasi dengan segera," katanya selepas mesyuarat perkembangan banjir di Wisma Darulaman di sini, hari ini

Saman ekor aniaya pengguna



KUALA LUMPUR – Pelaksanaan saman ekor dilihat tidak mampu meningkatkan kesedaran pengguna untuk mematuhi peraturan lalu lintas, sebaliknya hanya membuatkan pengguna merasakan diri mereka dianiaya.
Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr. Ahmad Zaki Ismail berpendapat, saman ekor adalah saman yang tidak adil kerana dikeluarkan tanpa pengetahuan pengguna.
“Saman seharusnya dibuat secara terang-terangan dan dikeluarkan di tempat kejadian, bukannya mengambil kesalahan orang lain secara sorok-sorok, kemudian dihantar melalui pos.
“Saman yang diambil dengan cara menyorok ini dilihat seperti hendak menganiaya, bukannya memberikan kesedaran kepada pengguna dan ini sangat tidak adil,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Akhbar semalam melaporkan bahawa kerajaan tidak bercadang menghentikan tindakan mengeluarkan saman ekor kepada pesalah trafik.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, saman ekor adalah notis saman yang dikeluarkan oleh mahkamah kepada pesalah jalan raya yang ingkar terhadap Notis POL 170A yang dikeluarkan ke atas mereka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Penerbangan ihsan bawa 15 pesakit



Pesakit buah pinggang dari Perlis diterbangkan ke Pulau Pinang bagi menjalani rawatan dialisis di Georgetown, semalam.


PULAU PINANG 4 Nov. - Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat hari ini melakukan penerbangan ihsan membawa 15 pesakit buah pinggang dari Perlis untuk dirawat di negeri ini ekoran banjir yang melanda negeri itu.
Kesemua mereka merupakan pesakit dari Pusat Dialisis Tuanku Syed Putra, Kangar yang mula dinaiki air sejak pagi ini.
Pengurus pusat dialisis tersebut, Fatimah Hasin berkata, meskipun air baru mencecah sekitar lima centimeter, pesakit berkenaan terpaksa dipindahkan kerana dikhuatiri keadaan akan menjadi lebih teruk dan membahayakan mereka.
Selain itu, jelas beliau, pemindahan itu dibuat berikutan laluan utama ke pusat tersebut ditutup akibat banjir teruk di kawasan sekitarnya.
''Sudah tiga hari mereka tidak dapat menjalani rawatan dialisis dan keadaan ini tidak elok untuk kesihatan.
''Justeru, kami membuat keputusan memindahkan mereka ke Pusat Rawatan Dialisis Fo Yi di sini untuk membolehkan mereka menjalani rawatan.
"Alhamdulillah, operasi pemindahan berjalan lancar meskipun ada antara mereka sudah uzur," katanya di sini.
Helikopter terbabit yang dipandu oleh dua juruterbang dan diiringi dua anggota bomba berlepas dari Kangar kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Sejurus selepas mendarat pada pukul 1.50 petang, empat buah ambulans dari Hospital Pulau Pinang dan Pusat Rawatan Dialisis Fo Yi memindahkan para pesakit ke pusat itu.

Petani kecewa kebun dimusnahkan





KAMALA Devi bersama anaknya, S. Ravi menunjukkan sebahagian daripada hasil tanaman yang didakwa dimusnahkan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang semasa ditemui di Seberang Jaya, semalam.


BUKIT MERTAJAM 4 Nov. - Selama lebih 12 tahun, A. Kamala Devi, 47, menyara keluarganya dengan membanting tulang mengusahakan kebun buah dan sayur-sayuran di atas sebidang tanah rizab di Seberang Jaya di sini.
Melalui hasil tanaman di kebun itu, wanita gigih itu dapat membantu suaminya, N. Sathy, 49, yang bekerja sambilan sebagai kelindan lori untuk membesarkan serta memberi pendidikan kepada dua anaknya yang kini berusia 17 dan 12 tahun.
Bagaimanapun, usaha gigih wanita itu mengusahakan tanah kebunnya selama bertahun-tahun hancur begitu sahaja apabila semua hasil tanamannya seperti pisang, tebu, nangka, mangga, rambutan dan tebu dimusnahkan dalam satu operasi, semalam.
Lebih menyedihkan, operasi atas arahan kerajaan negeri itu dilakukan ketika Kamala Devi dan keluarganya sedang dalam persiapan merayakan Deepavali yang akan disambut esok.
Kamala Devi yang mengusahakan tanaman di atas tanah milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri berkata, dia amat terkejut melihat semua hasil tanamannya musnah ketika datang ke kebun itu petang semalam.
''Ini semua (hasil tanaman) saya anggap seperti anak-anak saya kerana dengannya saya dapat menyara keluarga dan besarkan dua anak tetapi sekarang semua sudah habis (dimusnahkan). Mereka sudah 'membunuh' anak-anak saya.
''Kerajaan negeri tidak fikir langsung nasib keluarga saya. Semua tempahan buah-buahan daripada pelanggan sempena Deepavali tahun ini semua habis dimusnahkan," katanya sebak ketika ditemui bersama Ketua Pemuda MIC negeri, J. Thinagaran di sini hari ini.
Menurut Kamala Devi, sebelum ini dia mendapat kebenaran lisan daripada JPS untuk bercucuk tanam di tanah tersebut yang berkeluasan kira-kira 0.4 hektar dan turut dinasihatkan supaya mendapatkan kebenaran Pejabat Tanah Seberang Perai Tengah (SPT).
Kamala Devi mendakwa, dia juga ada menghantar surat meminta bantuan daripada Timbalan Ketua Menteri II, P. Ramasamy tetapi tidak mendapat perhatian sewajarnya walaupun sudah tiga kali cuba menemui pemimpin tersebut.
''Pihak JPS tiada halangan kerana tiada apa-apa projek hendak dilakukan dan saya ada mengutus surat untuk dapatkan kebenaran daripada pejabat tanah tetapi sehingga hari ini tiada sebarang jawapan," katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah SPT, Roslan Yahya yang dihubungi menjelaskan, pihaknya sudah mengeluarkan notis meminta supaya Kamala Devi mengosongkan tanah tersebut.
''Tanah tersebut adalah milik JPS dan operasi memusnahkan terpaksa dijalankan kerana keperluan untuk menggunakan tanah tersebut. Ia juga berhampiran Balai Polis Seberang Jaya dan ia ada kaitan dengan soal keselamatan," katanya.
Roslan bagaimanapun tidak menjelaskan tarikh sebenar notis berkenaan dikeluarkan dan tujuan tanah itu ingin dikosongkan kerajaan negeri.
Pengarah JPS negeri, Anuar Yahya yang dihubungi bagaimanapun memberitahu, pihaknya tidak ada keperluan untuk menggunakan tanah tersebut buat masa ini dan tidak tahu menahu mengenai operasi memusnahkan kebun milik Kamala Devi.
''Kebiasaannya, kita akan maklumkan kepada pihak terlibat sekiranya hendak menggunakan tanah milik JPS dan akan mendapatkan nasihat daripada pejabat tanah tetapi dalam kes ini kita sebenarnya tidak ada apa-apa rancangan untuk tanah tersebut," jelasnya.

Debu Gunung Merapi kini sampai ke Jawa Barat





Debu panas yang dihamburkan oleh Gunung Merapi dapat dilihat dari daerah Klaten di Jawa Tengah, semalam. – AFP


JAKARTA 4 Nov. – Gunung Merapi semakin aktif dan letusannya semakin kuat setiap hari dan pagi ini gunung berapi itu menghamburkan debu panas setinggi kira-kira 4,000 meter dan tersebar hingga ke beberapa kawasan di Jawa Barat.
Letusan kuat gunung berapi yang terletak di Yogyakarta, Jawa Tengah itu direkodkan pada pukul 5.55 pagi ini dan letusan tersebut lebih kuat berbanding letusan pertama pada 26 Oktober lalu.
Pengarah Pusat Kajian Gunung Berapi Indonesia, Surono berkata, letusan itu mengarah ke barat dan menyebabkan daerah berdekatan Magelang mengalami hujan debu.
“Sehubungan itu penerbangan yang menuju atau berlepas dari Lapangan Terbang Adi Sutjipto, Yogyakarta supaya berhati-hati dengan situasi itu,” katanya.
Selain awan panas, batu panas turut dihamburkan sehingga semua petugas pos pengawasan Gunung Merapi diarah meninggalkan lokasi masing-masing.
Semalam, debu panas meluncur sejauh sembilan kilometer dan berikutan itu penduduk telah dipindahkan 15 kilometer radius dari gunung itu bagi mengelakkan terkena debu panas tersebut.
Sementara itu, dilaporkan debu Gunung Merapi telah sampai ke Tasikmalaya di Jawa Barat atau kira-kira 300 kilometer dari Yogyakarta.
Rumah-rumah di Tasikmalaya dilitupi debu sejak malam tadi menyebabkan penduduk di kawasan berkenaan terkejut. Selain itu debu merapi juga menjejaskan cuaca di Ciamis Selatan. – Utusan

BN kekal kerusi Batu Sapi dengan majoriti besar



Linda Tsen Thau Lin mengangkat tangan setelah diumumkan menang oleh Pengurus Pilihan Raya Batu Sapi, Mohamad Hamsan Awang Supain (dua kanan) sambil diperhatikan calon PKR, Ansari Abdullah dan calon SAPP, Yong Teck Lee di Dewan Masyarakat Sandakan, Sabah, malam tadi.


SANDAKAN 4 Nov. - Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi dengan majoriti besar, 6,359 undi, walaupun terpaksa berdepan dengan dua parti lawan, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin memperoleh 9,773 undi mengalahkan calon SAPP, Datuk Yong Teck Lee 2,031 undi dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ansaari Abdullah 3,414 undi.
Keputusan diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Batu Sapi, Mohamad Hamsan Awang Supain pada pukul 8.33 malam di Dewan Majlis Perbandaran Sandakan di sini hari ini.
"Dengan ini saya mengumumkan Ahli Dewan Rakyat yang dipilih bagi kerusi P.185 Batu Sapi ialah Datin Linda Tsen Thau Lin daripada Barisan Nasional (BN)," katanya.
Sebanyak 372 undi rosak manakala 61.47 peratus atau 15,774 daripada 25,582 pengundi telah keluar mengundi.
Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong selepas penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah meninggal dunia pada 9 Oktober lalu setelah terbabit dalam kemalangan maut di Kota Kinabalu.
Proses pengiraan 46 kotak pembuangan undi termasuk undi pos di 12 pusat pengundian selesai pada pukul 7.45 malam sebelum pengumuman calon yang menang dibuat oleh Mohamad Hamsan.
Kemenangan Linda Tsen turut diraikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan pemimpin parti komponen BN lain.
Kemenangan itu sekali gus membuktikan rakyat Sabah masih berdiri teguh di belakang kerajaan BN dan menyokong gagasan 1 Malaysia.
Keupayaan calon BN mengumpul majoriti besar, walaupun jumlah peratusan mengundi rendah, hanya 61.47 peratus berbanding 63.06 peratus pada Pilihan Raya Umum 2008 membuktikan rakyat di Batu Sapi masih setia bersama BN.
Pada pilihan raya umum 2008, calon BN, mendiang Edmund menang dengan majoriti 3,708 setelah mendapat 9,479 undi menewaskan calon Bebas, Chung Kwong Wing (Bebas) yang hanya mengumpul 5,771.

BN rampas semula kerusi Galas





DARI kiri: Datuk Ahmad Maslan, Datuk Seri Ng Yen Yen, Abdul Aziz Yusoff, Mustapa Mohamed dan Datuk Dr. Awang Adek Hussin meraikan kemenangan Barisan Nasional selepas pengumuman keputusan Pilihan Raya Kecil DUN Galas di Dewan Sivik, Gua Musang, semalam.


GUA MUSANG 4 Nov. - Barisan Nasional (BN) merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dengan majoriti 1,190 undi pada pilihan raya kecil kawasan itu, hari ini.
Calon BN, Abdul Aziz Yusoff memperoleh 5,324 undi manakala calon Pas, Dr. Zulkefli Mohamed mendapat 4,134 undi.
Ini merupakan kekalahan ketiga bagi Dr. Zulkefli yang sebelum ini sudah tewas dua kali dalam pilihan raya umum iaitu pada 2004 dan 2008 kepada Tengku Razaleigh Hamzah bagi merebut kerusi Parlimen Gua Musang.
Peratusan keluar mengundi juga meningkat iaitu 83 peratus berbanding 81.1 peratus pada 2008, manakala sebanyak 132 undi rosak.
Keputusan Pilihan Raya Kecil DUN Galas itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Wan Mustapha Wan Abdul Hamid di Pusat Sivik, di sini pada pukul 8.55 malam.
Selain faktor kepimpinan dan pengaruh Tengku Razaleigh yang juga Pengarah Pilihan Raya BN bagi DUN Galas, kejayaan BN juga didorong oleh kerja keras jentera parti itu dalam tempoh 48 jam sebelum kempen berakhir.
Ia termasuk tindakan jentera BN menggempur kawasan yang dianggap kubu kuat Pas seperti Bandar Bharu, Kampung Baru dan Sungai Terah pada hari terakhir kempen.
Walaupun Pas dengan bantuan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP cuba memainkan isu-isu nasional namun ia tidak mendatangkan hasil, sebaliknya Pas yang jentera partinya diketuai oleh Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman terpaksa berhadapan pelbagai isu membabitkan pentadbiran Kerajaan Pas Kelantan.
DUN Galas yang dianggap kubu kuat BN dirampas oleh Pas melalui Allahyarham Chek Hashim Sulaima pada Pilihan Raya Umum 2008 selepas menewaskan calon BN, Saufi Deraman dengan majoriti tipis 646 undi. Dua lagi kerusi DUN di dalam Parlimen Gua Musang adalah Paloh dan Nenggiri yang kedua-duanya milik BN.