Saturday, October 16, 2010

Azmin, Zaid sah tanding Timbalan Presiden PKR




2010/10/16

PETALING JAYA: Datuk Zaid Ibrahim dan Mohamed Azmin Ali mengesahkan bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), sebentar tadi.

Azmin tiba di ibu pejabat PKR, di sini untuk menghantar borang pengesahan bertanding kira-kira jam 11 pagi, diiringi rombongan penyokongnya, sementara Zaid hanya menghantar wakil calon jam 12.15 tengah hari.Seramai lapan calon layak bertanding jawatan Timbalan Presiden.Bagaimanapun, persaingan merebut jawatan nombor dua PKR itu dijangka menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Azmin, Zaid dan Ketua PKR Perak, Mustaffa Kamil Ayub. 

Sementara itu, laporan yang memetik sumber parti itu berkata, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan puteri reformasi PKR yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dijangka menolak pencalonan masing-masing bagi jawatan Timbalan Presiden.

Dipercayai anak ketua umum PKR dan presiden parti itu akan bertanding merebut satu daripada empat jawatan naib presiden yang dipertandingkan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, yang juga bekas Naib Presiden PKR dilaporkan memilih untuk tidak bertanding jawatan Timbalan Presiden meskipun mendapat lima pencalonan. 
sumber

Rumah baru Ambani 27 tingkat

MUMBAI: Lelaki terkaya di India, Mukesh Ambani sudah berpindah ke kediaman barunya setinggi 27 tingkat di Mumbai yang berharga £630 juta (RM3,150 juta).
BANGUNAN Antilia berdiri megah di bandaraya Mumbai.
BANGUNAN Antilia berdiri megah di bandaraya Mumbai.
Ambani, isteri dan tiga anaknya berpindah ke bangunan yang bernama Antilia, diambil sempena nama pulau khayalan. Ia mengandungi kelab kesihatan dilengkapi gimnasium, sekurang-kurangnya satu studio menari, dewan, beberapa bilik tetamu dan beberapa ruang istirahat serta panggung wayang 50 tempat duduk. Malah, terdapat taman tergantung dengan binaan siling untuk ditanam pokok kecil.
Bumbung bangunan dilengkapi tiga landasan pendaratan helikopter dan terdapat parkir bawah tanah yang memuatkan 160 kereta bagi kemudahan tetamu Ambani menghadiri parti rumah barunya.

Dari tingkat atas bangunan setinggi 173 meter itu dapat dilihat pemandangan indah bandaraya Mumbai dan Laut Arab.

Taikun berusia 53 tahun itu bukan saja lelaki paling kaya di India tetapi juga yang keempat terkaya di dunia. Secara keseluruhannya, dilaporkan terdapat 37,000 meter persegi ruang yang lebih luas daripada Istana Versailles.

Ia memerlukan 600 kakitangan untuk urusan penyelenggaraan.

Menurut majalah Forbes, Ambani memiliki industri minyak, peruncitan dan bioteknologi yang dianggarkan bernilai £18 bilion (RM90 bilion). Dahulu beliau membantu menguruskan perniagaan sebelum berselisih faham dengan adiknya. Kaca, keluli dan jubin yang digunakan untuk membina bangunan itu dikatakan diperolehi daripada sumber tempatan. Ambani tidak terpengaruh dengan seruan Perdana Menteri India, Manmohan Singh supaya pemimpin perniagaan menjadi model kesederhanaan’. - Agensi
sumber

Hidup bawah jambatan

MAKKAH: Walaupun pekerjaan menolak jemaah warga tua dan kurang upaya dengan kerusi roda bukan pekerjaan yang hebat tetapi sesetengah rakyat Saudi di Makkah menganggap ia pekerjaan halal untuk menyara kehidupan mereka dan keluarga masing-masing.
Berpusat di bawah Jambatan Misfala di tengah bendaraya Makkah, golongan ini mengenakan kadar bayaran yang rendah untuk membantu jemaah warga emas ke Masjidil Haram. Mereka tidur dan menukar pakaian di bawah jambatan, selain meminum air daripada bekas air minuman di jalan raya serta menggunakan bilik air di Masjidil Haram. “Saya tinggal di bawah jambatan ini sejak tiga tahun lalu,” kata warga Saudi, Saad Hussein, 38. Saya terpaksa tinggal di sini kerana tidak mempunyai pekerjaan. Kelulusan yang saya miliki setakat sijil sekolah rendah,” tambahnya yang memilih pekerjaan itu daripada hidup menganggur dan tidak kisah pandangan orang lain terhadapnya. “Hidup di bawah jambatan sangat susah. Saya tidak dapat banyak dan jarang sekali memperoleh 100 riyal (RM82) sehari. Saya juga berasa malu melakukan pekerjaan ini tetapi ia lebih baik daripada mencuri. Saya juga lihat ramai warga Saudi melakukan kerja seperti saya. Kami tinggal bersama di bawah jambatan pada waktu malam dan mencari wang pada waktu siang,” katanya lagi. Muhammad Al-Araaj, 49, pula sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak. Dia tinggal di kediaman usang dengan sewa 1,200 riyal (RM987) sebulan.
“Saya tidak mampu mendapatkan pekerjaan yang baik, jadi saya membeli kerusi roda untuk menyara hidup seperti ini,” kata Muhammad. “Saya membantu jemaah dan pelawat warga emas. Oleh kerana saya tidak dapat mengumpul banyak wang dan pekerjaan ini kurang terjamin, maka saya bekerja siang dan malam supaya dapat cukup wang untuk menyara keluarga dan membayar sewa rumah,” ujar Muhammad.

Bagi memudahkan urusan kerjanya, Muhammad terpaksa tinggal di bawah jambatan jauh dari rumah.

“Saya pulang melihat keluarga seminggu sekali. Semua orang yang tinggal di bawah jambatan ini punya kisah sedih tersendiri. Kebanyakannya mempunyai keluarga untuk disara,” tambah Muhammad memberitahu dia mampu mengumpul 40 (RM32) hingga 50 riyal (RM41) sehari dan 250 (RM205) hingga 400 riyal (RM328) ketika musim haji dan umrah. - Agensi
sumber

3 mohon bantuan tangan, kaki palsu

KUALA LUMPUR: “Saya perlu membesarkan anak dan bekerja keras agar mereka dapat menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi supaya tidak menjadi seperti saya, tetapi keadaan diri membantutkan segala-galanya,” luah Kamal anak Mihad, 29, yang memerlukan tangan palsu bagi memudahkan pergerakannya.
Menurutnya, kehilangan tangan kanan sejak kecil tidak pernah mematahkan semangatnya, malah dia turut bersyukur mempunyai isteri yang sudi menerima keadaan dirinya sehingga kini.
Dikurniakan enam cahaya mata, Kamal berharap dengan memiliki tangan palsu dia dapat melakukan urusan kerja dengan lebih mudah.

“Dua anak yang masih bersekolah juga memerlukan belanja dan saya bersyukur Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudi menghulurkan bantuan bulanan, walaupun tidak banyak namun ia dapatlah digunakan belanja anak,” katanya ketika ditemui di Balai Berita, di sini, semalam.

Kamal memerlukan RM7,900 bagi membeli tangan palsu. Dia selama ini berasa tidak selesa dengan kekurangan yang dimiliki sehingga membantutkan segala urusannya.

Sementara itu, seorang lagi kanak-kanak, Muhammad Izwan Mustapa, 10, yang memerlukan bantuan RM6,800 untuk membeli kaki palsu berkata kenangan bermain mesin jentolak pada awal tahun lalu benar-benar meninggalkan kenangan pahit dalam hidupnya apabila dia kehilangan kaki kanan.

Seorang lagi pemohon, Mohammad Firdaus Mohammad Hadz’romi, 14, memerlukan tangan palsu bernilai RM8,500 dan berharap dengan tangan yang dimiliki dia dapat ke sekolah seperti remaja biasa lain.

Orang ramai yang mahu menderma boleh menghantar cek dengan menulis nama pesakit di belakangnya dan dialamatkan ke Bahagian Kewangan/Unit kebajikan, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau menghubungi talian 03-22823131 sambungan 6659.
sumber

Jenazah Yalal Chin selamat dikebumikan

sumber

16/10/2010 7:34pm

KUALA LUMPUR – Jenazah pelakon filem dan drama Yalal Chin, 67, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kelemak, Alor Gajah, Melaka pagi tadi.
Beliau meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras di sini pada 12.15 tengah malam semalam kerana sakit jantung.
Allahyarham yang dimasukkan ke Unit Rawatan Jantung hospital berkenaan kira-kira dua minggu lalu, meninggalkan seorang balu iaitu Suriani Mohd Yusof.
Sepanjang penglibatan dalam industri seni, beliau pernah bergelar pengarah, pengurus produksi dan jururunding skrip, selain berlakon dalam filem Misteri Jalan Lama, Paloh dan Wanita Bertudung Hitam. – Bernama

Pelakon Yalal Chin meninggal dunia kerana sakit jantung

sumber

16/10/2010 2:44pm


KUALA LUMPUR 16 Okt. – Pelakon veteran, Yalal Chin, 67, menghembuskan nafasnya yang terakhir kerana sakit jantung di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras di sini pada 12.15 pagi ini.
Jenazah Allahyarham yang telah disembahyangkan di hospital itu pada pukul 3 pagi telah dibawa ke Melaka untuk dikebumikan di kampungnya. – Utusan

Yalal Chin
Nama Penuh :Yalal Abu Achin
Tempat Lahir :Melaka
Bangsa :Melayu
Bahasa :Bahasa Melayu
Kerjaya :Pelakon, Pengarah, Pengurus Produksi, Jururunding Skrip
Kemahiran :Berlakon
Lakonan
2010
:
  Misteri Jalan Lama - (Pelakon Pembantu)
2003
:
  Paloh - (Pelakon Pembantu)
1992
:
  Wanita Bertudung Hitam - (Pelakon Tambahan)
sumber

Ibrahim Ali dirawat di Hospital Ampang Puteri kerana masalah jantung

sumber
KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali dirawat di Hospital Pakar Ampang Puteri di sini kerana masalah jantung.
Timbalan Presiden Pertubuhan Hak Melayu (Perkasa), Datuk Abdul Rahman Abu Bakar berkata, Ibrahim dimasukkan ke hospital itu semalam dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
"Keadaannya stabil dan beliau dijadualkan menjalani pembedahan jantung pada Isnin ini," katanya ketika dihubungi, Bernama di sini hari ini.

Ibrahim, 57, yang juga Presiden Perkasa adalah wakil Bebas di Parlimen.

Abdul Rahman berkata, pihak hospital hanya membenarkan isteri dan anggota keluarga untuk melawat Ibrahim.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Ibrahim mengadu berasa tidak sihat sejak tiga minggu lalu, namun hanya membuat pemeriksaan kesihatan di hospital itu semalam.

"Selepas membuat pemeriksaan, doktor menasihatkan beliau supaya segera membuat pembedahan," katanya.

Abdul Rahman berkata walaupun mengetahui keadaan kesihatannya itu, Ibrahim masih ke Parlimen semalam untuk menghadiri pembentangan Bajet 2011 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, Ibrahim sepatutnya menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Nusantara yang akan disertai masyarakat Melayu Malaysia dan warga Indonesia yang menetap di Malaysia, di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, petang ini.

Abdul Rahman berkata, Perkasa akan mengadakan solat hajat dan bacaan surah Yassin di surau Hotel De Palma Ampang pada 6.30 petang esok bagi mendoakan kesejahteraan presiden persatuan itu.- Bernama

Ponteng kelas gagal jelas yuran

 sumber

LIMBONGAN - Gara-gara keluarga tidak mampu membayar yuran, seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah terpaksa ponteng kelas kerana tidak sanggup berdepan guru yang setiap hari menagih bayaran tersebut daripadanya. 

Keadaan itu, diluahkan bapanya, Azmi Lim Abdullah, 50, yang kini menderita selepas mengalami masalah ketumbuhan usus sejak Januari lalu dan kini hanya mampu duduk di rumah. 

Azmi berkata, dia yang dikurniakan lima anak, berusia antara 5 hingga 13 tahun kini hanya mengharap kepada hasil pendapatan menjual kuih yang diusahakan isterinya, Sahaniah Arshad, 32, di halaman rumah sewanya di Taman Limbongan Permai. 

“Sebelum ini, saya menetap di Kluang, Johor dan bekerja sebagai pemandu lori. Sebaik mendapat tahu saya mengalami ketumbuhan usus, saya berpindah ke Melaka pada Januari lalu dan menyewa rumah di taman ini dengan sewa berjumlah RM250 sebulan. 

“Punca saya dapat tahu penyakit ini setelah sering mengalami kesakitan di bahagian perut dan kerap membuang air besar setiap hari yang adakalanya bercampur darah, sehingga memaksa saya membuat pemeriksaan di hospital,” katanya. 

Azmi berkata, doktor menyarankannya supaya menjalani pembedahan untuk diambil sampel tisu usus tetapi dia enggan berbuat demikian kerana bimbangkan risikonya. 

“Sejak itu, saya hanya mengambil ubat-ubatan tradisional berikutan ubat hospital yang dibekalkan sebelum ini mendatangkan kesan pada telinga saya sehingga gagal mendengar dengan sempurna. 

“Bagaimanapun untuk membeli ubat berkenaan saya terpaksa mencari wang sekurang-kurangnya RM25 seminggu dan disebabkan saya tidak bekerja, saya tidak mampu sehingga terpaksa meminjam wang seorang rakan baik,” katanya. 

Azmi berkata, dia pasrah dengan nasib yang menimpanya sekali gus merentap segala impian kebahagiaan bersama keluarga tersayang. 

“Berikutan masalah kewangan yang terus menghimpit, saya tidak mampu bayar bil elektrik, bil air dan bayaran sewa rumah yang sudah lama tertunggak. 

“Kami juga masih belum mampu hendak jelaskan bayaran yuran beberapa orang anak yang sepatutnya dibayar pada awal tahun sehingga mereka berasa malu ke sekolah kerana sering ditanya guru,” katanya. 

Menurutnya, pendapatan bersih daripada hasil menjual kuih isterinya yang secara puratanya hanya sekitar RM10 sehari juga tidak banyak membantu berubah keadaan hidupnya. 

“Kesukaran hidup yang dilalui sekarang ini menyebabkan kami hanya makan apa sahaja yang mampu tetapi kami tidak berapa kisah dengan keadaan ini. 

“Apa yang membimbangkan kini adalah soal perbelanjaan anak seramai lima orang. Kami makan apa yang termampu sahaja kerana yang penting adalah soal persekolahan lima anak kami ini,” katanya.

Lelaki bunuh tiga anak kena 33 tahun


sumber

2010/10/16

MELBOURNE: Seorang lelaki tempatan dihukum penjara seumur hidup semalam kerana membunuh tiga anak lelakinya dengan membawa mereka ke kawasan tadahan air dan melemaskan mangsa pada Hari Bapa untuk menyakiti ibu mereka. 

Hakim Mahkamah Tinggi Victoria, Lex Lasry mengarahkan Robert Farquharson, 41, dipenjara sekurang-kurangnya 33 tahun sebelum dipertimbangkan mendapat parol.Farquharson membawa tiga anak lelakinya – Jai, 10, Tyler, 7, dan Bailey, 2 – ke rumah bekas isterinya apabila dia membelokkan keretanya ke kawasan tadahan dan membiarkan anaknya lemas pada September 2005.Dia mendakwa batuk dan pitam ketika memandu serta mengaku tidak bersalah atas dakwaan membunuh. 

Namun, pendakwa raya Andrew Tinney, memberitahu juri ketika perbicaraan tiga bulan bermula Mei lalu, Farquharson secara sengaja membunuh anak lelakinya kerana tidak dipedulikan dan marah dengan bekas isterinya, Cindy Gambino. 

Julai lalu, juri mensabitkan Farquharson bersalah atas ketiga-tiga pembunuhan itu buat kali kedua. Sabitannya pada 2007 dan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol ditolak tahun lalu oleh mahkamah rayuan yang mengarahkan perbicaraan semula. 

Tinney mempertikaikan bahawa Farquharson perlu dipenjarakan tanpa kemungkinan bebas membalas dendam ke atas Cindy. – AP 

Anak Sosilawati kesal hukuman tak setimpal

sumber

2010/10/16

KUALA LUMPUR: "Tujuh tahun hukuman penjara tidak setimpal langsung buat kami sekeluarga jika dibayangkan bagaimana ibu dan tiga individu lain mati dibunuh dengan kejam". 

Itu luahan Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, ketika mendapat tahu mengenai nasib dua pemuda yang dihukum penjara tujuh tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Banting atas tuduhan menghilangkan bukti dengan cara membakar dan membuang abu mayat jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.“Walaupun tertuduh itu tidak didakwa atas tuduhan membunuh, mereka bersubahat dan perlu dijatuhkan hukuman lebih berat,” kata anak sulung Sosilawati itu.Beliau mengakui terkejut dengan hukuman terhadap dua lelaki terbabit, berkata bukan niatnya mempertikaikan undang-undang, hanya tidak percaya dengan tahap hukuman dikenakan terhadap tertuduh yang melakukan jenayah kejam. 

“Perkara ini bukan hanya membabitkan perasaan kami sekeluarga, masyarakat juga rasa apa yang kami rasakan,” kata beliau di pejabatnya, di sini semalam. 

Mahkamah Majistret Banting semalam menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap dua lelaki selepas mengaku bersalah berhubung empat tuduhan menghilangkan bukti dengan cara membakar dan membuang abu mayat jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain. 

K Sarawanan, 19, mengaku menghilangkan bukti pembunuhan dengan membakar mayat Sosilawati; pemandunya, Kamaruddin Shansudin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, di Lot No 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam 30 Ogos lalu, manakala U Suresh, 26, mengaku membuang abu mayat keempat-empat mangsa ke Sungai Panchau di sini. 

'Saya tak maafkan mereka sampai bila-bila'

sumber
BATU PAHAT: “Saya tidak akan maafkan mereka sampai bila-bila. Hingga hari ini, saya tidak faham kenapa mereka sanggup buat anak saya macam tu,” kata Yatmah Abdul Rahman (gambar), 80, ibu kepada jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya yang dibunuh di Banting, Selangor, Ogos lalu, ketika ditanya hukuman penjara tujuh tahun yang dijatuhkan terhadap K Sarawanan, 19, dan U Suresh, 26, dua lelaki yang mengaku bersalah melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan itu.
Yatmah berkata, dia tidak tahu undang-undang, namun sebagai ibu yang melahirkan Sosilawati sukar baginya memaafkan mereka yang membunuh dan membakar anaknya itu.
Menurutnya, sejak kehilangan dan diberitahu mengenai pembunuhan anaknya itu, setiap hari dia berdoa supaya sesiapa yang melakukan jenayah itu mendapat balasan dan berharap ia setimpal dengan perbuatan mereka.

“Walaupun mereka meminta maaf, sebagai ibu saya tidak mungkin dapat memaafkannya,” katanya yang enggan mengulas lanjut kerana terlalu sedih.

Sarawanan, bekas mekanik mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Telok Datuk, Banting, Selangor, semalam, atas tuduhan menghilangkan bukti dengan membakar mayat Sosilawati, 47, pegawai bank CIMB Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pemandu, Kamaruddin Shansuddin, 44.

'Hukuman tak setimpal'

sumber
KUALA LUMPUR: “Hukuman yang diterima itu tidak setimpal dengan apa yang mereka lakukan ke atas mama dan tiga yang lain,” kata Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, anak jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, selepas dua lelaki dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Majistret Banting, Selangor, semalam.
Dia yang mesra dengan panggilan Rita mengaku berasa terkilan dengan keputusan itu, tetapi agak lega kerana pihak yang bertanggungjawab menerima pembalasan walaupun tidak setimpal.
Rita berkata, sepatutnya kedua-dua tertuduh yang mengaku bersalah menghapuskan bukti dengan membakar dan membuang abu mayat ibu dan tiga rakannya ke sungai, menerima hukuman lebih daripada tujuh tahun penjara.

“Kalau betul apa yang mereka lakukan itu, saya rasa semua orang pasti setuju jika hukuman yang lebih berat dikenakan terhadap tertuduh kerana tindakan menghapuskan bukti hingga tiada mayat dan hanya tinggal serpihan tulang memang tidak berperikemanusiaan terutamanya kepada semua keluarga mangsa.

“Tetapi kalau peruntukan undang-undang sudah sedemikian saya akur dan percaya dengan siasatan dilakukan pihak berkuasa terutamanya polis,” katanya yang ditemui di pejabatnya di Jalan Raja Bot, petang semalam.

Selain itu, ekoran daripada pembebasan beberapa suspek lain yang dikatakan mempunyai kaitan dalam kes berkenaan, dia meluahkan perasaan sedikit gusar kerana selepas apa yang menimpa ibu dan tiga yang lain atau mungkin ramai lagi, banyak perkara yang difikirkan boleh berlaku ke atas diri dan keluarga.

“Bila dengar ada yang sudah bebas, saya berasa agak takut juga kerana mungkin masih ada dendam yang terpendam dan mungkin juga tidak, tetapi kita tidak tahu.

“Apa yang boleh kami lakukan hanyalah mengambil langkah lebih berhati-hati dan kehidupan sosial kini terpaksa dikurangkan,” katanya.

Namun, dia tidak menafikan kalau sesuatu perkara itu ingin berlaku ia akan tetap berlaku walau macam mana pun langkah berhati-hati diambil.

“Tengok macam mama, dia bukan pergi berseorangan tetapi ditemani tiga lelaki, kalau benda hendak jadi macam mana pun akan jadi. Kita terima musibah ini, cuma ambil iktibar dari apa yang sudah berlaku,” katanya. Sementara itu, ditanya adakah dia masih lagi berharap ibunya bukan mangsa pembunuhan kejam itu, dia berkata selagi keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) tidak diumumkan selagi itu masih lagi ada harapan dan kalau betul ibunya sudah tiada dia terima takdir seadanya.

Belum 14 hari air kena potong

sumber
KUALA LUMPUR: “Jangan aniaya kami begini. Disebabkan sikap segelintir penduduk tidak membayar bil air, kami yang terpaksa menanggung susah,” kata G Selvakumar, 28, mengenai masalah penduduk yang mengalami gangguan bekalan air akibat dipotong Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).


ANGKAT...penduduk mengambil air yang dihantar DBKL.
ANGKAT...penduduk mengambil air yang dihantar DBKL.

Hampir 5,000 penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kondo Rakyat Desa Pantai, Pantai Dalam, dekat sini, terpaksa menggunakan air disediakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak Rabu lalu berikutan bekalan air mereka dipotong.
“Saya faham mungkin tindakan Syabas kerana bil yang terlalu banyak tertunggak, tetapi jika diikutkan mereka tidak boleh memotong sewenang-wenang sedangkan notis 14 hari belum tamat tempoh.

“Saya mengadukan hal ini kepada Biro Pengaduan Awam dan selepas siasatan mereka dapati tiada pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) menghubungi Syabas untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya.

Akibat daripada masalah itu, hampir semua penduduk tidak dapat melakukan kerja rutin, malah ada yang terpaksa mengambil cuti kecemasan serta ada elajar yang terpaksa mandi di sekolah.

Sementara itu, Pengurus JMB Kondo Rakyat, Yusri Ahmad, berkata dia terkejut dengan pemotongan terbabit kerana sebelum ini pihaknya menerima surat amaran bertarikh 6 Oktober lalu dengan memberi tempoh 14 hari daripada tarikh terbabit jika tidak mahu air dipotong.

“Saya hairan apabila ramai penduduk mengadu pada pagi 13 Oktober lalu rumah masing-masing tiada air dan berikutan itu saya terpaksa mengeluarkan notis Syabas kepada JMB bagi memaklumkan kepada mereka keadaan sebenar.

“Mengenai kenyataan Biro Pengaduan Awam mendakwa saya tidak menghubungi Syabas, apa yang berlaku saya cuba meneliti segala bil serta surat yang dikeluarkan dan sudah menghubungi Syabas bagi menyelesaikan perkara ini,” katanya.

Menurutnya lagi, petang kelmarin wakil Syabas datang mengadakan beberapa perbincangan bagi menangani masalah berkaitan serta air sudah dipasang.

'Kami mohon maaf, kami sudah insaf'

sumber
BANTING: Sambil memohon maaf kepada keluarga mangsa dan rakyat Malaysia, dua pekerja ladang mengaku mengangkat, membakar dan membuang abu mayat jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya; pemandunya, Kamaruddin Shamsudin; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad.


BERSALAH...Sarawanan (kiri) dan Suresh dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, semalam.
BERSALAH...Sarawanan (kiri) dan Suresh dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, semalam.

BUKTI...kenderaan yang digunakan untuk mengangkut abu mayat keempat-empat mangsa dibawa ke mahkamah, semalam.
BUKTI...kenderaan yang digunakan untuk mengangkut abu mayat keempat-empat mangsa dibawa ke mahkamah, semalam.
Dengan wajah tenang, K Sarawanan, 19, dan U Suresh, 26, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam, terhadap pertuduhan menghilangkan bukti dengan cara membakar mayat dan membuang abu mayat keempat-empat mangsa bagi mengelakkan tertuduh utama dalam kes pembunuhan itu dikenakan tindakan undang-undang.
Majistret Hurman Hussain menjatuhkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun kepada kedua-dua tertuduh bagi empat pertuduhan itu dan memerintahkan ia berjalan serentak mulai tarikh mereka ditangkap iaitu 9 September lalu.

Ketika diberi peluang bercakap, Sarawanan dan Suresh dengan nada perlahan dalam bahasa Tamil memohon maaf terhadap perbuatan mereka sebelum diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh jurubahasa mahkamah.

“Saya memohon maaf kepada keluarga mangsa dan masyarakat atas perbuatan saya. Saya sudah insaf,” kata kedua-dua tertuduh.

Sarawanan didakwa menghilangkan bukti yang menjadi satu kesalahan serius dengan sengaja membakar mayat keempat-empat mangsa dengan niat untuk mengelakkan N Pathmanabhan, T Thilaiyalagan, R Matan dan R Kathavarayan daripada seksaan undang-undang.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, pada jam 9.45 malam hingga jam 12 tengah malam, 30 Ogos lalu.

Berdasarkan fakta kes, Sarawanan didakwa melihat keempat-empat mangsa dibunuh Thilaiyalagan. Dia diarahkan Thilaiyalagan dan Matan untuk mengambil petrol dan diesel yang diletakkan di hadapan sebuah rumah pekerja ladang.

Tertuduh kemudian membawa dua tong putih dan menyerahkan kepada Thilaiyalagan dan Matan sebelum ketiga-tiga mereka mengangkat mayat semua mangsa untuk diletakkan di atas longgokan kayu yang sudah disusun.

Ketiga-tiga mereka juga menyusun kayu di atas keempat-empat mangsa sebelum mencurahkan minyak. Tertuduh bersama Matan membakar semua mayat itu.

Suresh pula didakwa menghilangkan bukti berkaitan kesalahan tertuduh utama dengan sengaja membuang abu mayat keempat-empat mangsa ke dalam Sungai Panchau, Jalan Morib, Banting, pada masa dan tarikh sama, juga bagi mengelakkan Pathmanabhan, Thilaiyalagan, Matan, dan Kathavarayan daripada seksaan undang-undang.
Berdasarkan fakta kes juga, ketika kejadian, Suresh yang berada di ladang milik Pathmanabhan didakwa melihat Thilaiyagan dan Matan memungut sesuatu di tempat pembakaran berhampiran pondok di ladang itu dan memasukkannya ke dalam tong biru.

Suresh bertanya kepada Thilaiyagan serta Matan dan diberitahu ia berisi abu mayat empat mangsa yang mereka bunuh dan bakar pada malam kejadian.

Pekerja ladang itu mendakwa melihat Kathavarayan membawa sebuah kenderaan pikap Isuzu D-Max ke tempat abu mayat itu dipungut. Setibanya di situ, Thilaiyagan dan Matan mengangkat tong biru yang mengandungi abu mayat ke dalam kenderaan berkenaan.

Selepas itu, dia bersama Thilaiyagan dan Kathavarayan pergi ke Sungai Panchau, untuk membuang abu mayat itu. Kathavarayan mencurah abu mayat itu ke dalam sungai bersama tong sekali.
Selepas selesai kerja pembuangan abu mayat pada jam 10 pagi, dia bersama Thilaiyagan dan Kathavarayan pulang semula ke ladang itu.

Suresh dan Thilaiyagan kemudian diarahkan Kathavarayan untuk membersihkan tempat pembakaran dengan membuang semua sisa kayu dan kepingan zink ke dalam lori sebelum membuang sisa kayu di tempat pembuangan sampah Sungai Arak, Kampung Kelanang, Banting manakala kepingan zink dibuang ke dalam sungai kampung itu.

Ketiga-tiga mereka balik semula ke ladang dan membuat kerja seperti biasa.

Bagi semua perbuatan itu, Sarawanan dan Suresh didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun penjara dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sebuah kenderaan Isuzu D-Max berwarna kelabu yang digunakan untuk mengangkut abu mayat keempat-empat mangsa sebelum dibuang ke dalam Sungai Panchau turut dibawa ke mahkamah sebagai barang bukti kes dan prosiding ditangguhkan seketika bagi membolehkan majistret, pihak pendakwaan dan pembelaan melihat kenderaan itu.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff dan dibantu Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abdul Ghani.

Sarawanan dan Suresh diwakili peguam M Puravelan, Mohd Naguib Abdul Malik dan Roslie Sulie.

Roslie ketika berhujah bagi pihak Sarawanan memaklumkan kepada mahkamah anak guamnya menanggung beban keluarga dengan menyara bapa yang menghidap sakit jantung serta ibunya yang hanya seorang suri rumah.

Menurutnya, Sarawanan tidak mempunyai kesalahan lampau dan pengakuan anak guamnya perlu diambil kira kerana ia menjimatkan masa mahkamah.

Sementara itu, Mohd Naguib dalam rayuan bagi meringankan hukuman terhadap Suresh berkata, anak guamnya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan perlu menyara adik serta menjaga ibunya yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan alahan kepada ubat.

Ishak dalam hujahnya membantah hukuman ringan dan memohon mahkamah mengenakan hukuman maksimum tanpa memberi diskaun kepada semua tertuduh selain meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang berjalan secara berasingan.

Menurutnya, hukuman maksimum perlu bagi memberi pengajaran bukan saja kepada tertuduh, tetapi memberi peringatan kepada orang lain.

Rabu lalu, peguam Pathmanabhan, 41, didakwa bersama-sama Thilaiyalagan, 19, Matan, 20 dan Kathavarayan, 30, membunuh Sosilawati, 47.

Selain itu, keempat-empat tertuduh turut didakwa membunuh pemandu wanita itu, Kamaruddin, 44; peguam, Ahmad Kamil, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham, 38.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, di sini, antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan. Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 Disember ini.

Mangsa ribut mahu bantuan

sumber

Nordin Mohd. Idrus bersama ahli keluarga terpaksa duduk di luar bagi berteduh daripada hujan dan panas di Kampung Galok Kecil, Kuala Krau, semalam.


KUALA KRAU 15 Okt - Sebahagian daripada mangsa ribut yang rumah mereka ranap dalam kejadian itu di sini bulan lalu mendakwa masih belum menerima bantuan untuk membaiki kediaman masing-masing.
Mereka mendakwa, meskipun mendapat perhatian Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang meninjau keadaan mangsa ribut itu, namun sehingga kini belum ada tanda-tanda bantuan disalurkan.
Sehubungan itu, mereka mahu bantuan tersebut disegerakan bagi mengurangkan kesulitan yang dialami mangsa dan ahli keluarga.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Galok Kecil, Nordin Mohd. Idrus, 70, yang juga merupakan mangsa ribut berkata, kejadian itu berlaku pada bulan lalu dan seharusnya rumahnya telah dibaiki.
''Kami hanya minta supaya bantuan itu disegerakan kerana kasihan pada anak dan cucu saya yang terpaksa berteduh di luar rumah pada siang hari dan sukar untuk mereka mengulang kaji pelajaran.
''Kami juga terpaksa membina bangsal atau khemah bagi tujuan memasak. Kami terasa sangat susah jika tiada rumah sebagai tempat untuk berteduh daripada panas dan hujan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam kejadian 21 September lalu, satu keluarga seramai 18 orang yang baru selesai mengadakan kenduri arwah terselamat apabila sebatang pokok menghempap rumah mereka dalam kejadian ribut yang melanda 22 kampung di daerah ini.
Selain rumah Nordin, dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang itu, 51 rumah lagi turut rosak teruk dilanda ribut berkenaan.
Nordin yang juga Ketua UMNO Cawangan Kampung Galok berkata, pihaknya berharap perkara itu diambil serius oleh pihak berkenaan.
''Saya ada 14 anak dan jika mereka pulang ke kampung, mereka terpaksa tidur dalam kereta. Saya sedih melihat mereka namun apa boleh saya lakukan. Saya cuma harap masalah kami ini mendapat perhatian segera.
''Paling menyedihkan apabila hari berangin atau tanda mahu hujan, cucu-cucu saya ini akan menangis kerana masih fobia dengan peristiwa hitam yang berlaku secara tiba-tiba itu," jelasnya.
Seorang lagi mangsa warga emas, Jalil Kadir, 79, dari Kampung Pulau Pasir Mandi, berkata, dengan keadaan usianya yang lanjut, sudah tentu tidak mampu untuk membaiki rumahnya itu dan terpaksa membiarkan bumbungnya terlopong.
Katanya, jika hujan, air masuk ke dalam rumahnya itu dan bimbang papan akan menjadi reput akibat panas matahari dan hujan yang silih berganti.
''Jika cucu-cucu saya balik, pasti kami tidak membenarkan mereka bermain di ruang tamu itu kerana sangat bahaya. Kami harap bantuan itu disegerakan kerana kami kini berasa susah hati," katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Dr. Sallehuddin Ishak ketika dihubungi berkata, pihaknya memahami masalah yang dihadapi semua mangsa ribut terutama rumah yang ranap dalam kejadian itu.
Katanya, pihaknya sedaya upaya membantu mangsa terbabit yang masih belum menerima peruntukan untuk membaiki kesemua rumah mangsa tersebut.
''Pihak pejabat daerah sedang berusaha bertungkus-lumus membantu mangsa ini namun peruntukan belum diterima. Kami harap mangsa ini dapat bersabar dalam sedikit masa lagi," katanya.
Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, pihaknya juga dalam usaha membantu mendapatkan bantuan itu segera dan harap keluarga mangsa bersabar.
''Dalam kejadian ribut itu, sebanyak enam rumah dilaporkan ranap dan pastinya ia memerlukan kos yang tinggi bagi membaiki kesemua rumah mangsa terbabit.
''Pihak saya bersama Pejabat Daerah Temerloh sedang berusaha mempercepatkan bantuan kerana memahami kesulitan yang mereka hadapi," katanya.