Tuesday, December 16, 2014

Anak Anggota Polis Bukit Kepong Sedih Kenyataan Mat Sabu

Diterbitkan: Ahad, 14 Disember 2014 2:52 PM

KUALA TERENGGANU: Anak kepada anggota polis yang terkorban dalam tragedi serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Muar 64 tahun lalu menyifatkan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu sebagai pengkhianat apabila menyentuh tentang nyawa 25 anggota polis dalam tragedi itu dalam ucapannya.
Azlas Jaafar, 65, anak kepada Allahyarham Konstabel Jaafar Hassan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, ucapan Mohamad yang juga dikenali Mat Sabu, memfitnah anggota polis dalam serangan di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Feb 1950 itu merupakan satu penghinaan kepada anggota polis berkenaan dan keluarga mereka.
"Mat Sabu pengkhianat. Saya tak pernah dengar apa dia (Mat Sabu) kata (dalam ucapan), tapi apa yang saya tahu (daripada orang) dia hina anggota polis termasuk Allahyarham ayah saya dengan perkataan tidak baik," katanya yang hadir dengan berkerusi roda.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Razali Che Ani yang bertanya dari manakah beliau mengetahui tentang ceramah itu pada perbicaraan Mat Sabu yang dituduh menfitnah anggota polis Bukit Kepong dan keluarga mereka di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi di sini, Ahad.
Perbicaraan kes yang sebelum ini berlangsung di Mahkamah Sesyen Butterworth terpaksa dijalankan di sini kerana Azlas yang merupakan saksi ke-10 pihak pendakwaan kini uzur dan tidak boleh jalan jauh.
Ketika ditanya peguam Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili Mat Sabu, adakah beliau sendiri yang membuat laporan polis, Azlas menjawab: "Saya tidak pernah membuat sebarang laporan polis, jiran saya yang buat sebab dia banyak tolong saya".
Apabila ditunjukkan salinan laporan polis berkenaan oleh peguam itu, wanita itu yang tidak tahu membaca berkata tandatangan itu bukanlah miliknya.
Dalam prosiding hari ini, Mat Sabu hadir bersama-sama peguamnya, Mohamed Hanipa, Nasar Khan Mirbas Khan dan Aminuddin Zulkifli, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Razali dan Yusaini Amer Abd Karim.
Mat Sabu yang duduk dalam kadang tertuduh dilihat tersenyum sepanjang prosiding berlangsung.
Mat Sabu, 59, didakwa memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Muar 64 tahun lalu dengan membuat tohmahan yang boleh merosakkan nama baik mereka.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu dalam ceramahnya di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Al Fahmi, Markas Tarbiyah Pas Padang Menora, Tasek Gelugor pada 21 Ogos 2011.
Tertuduh juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu memfitnah tiga anggota polis iaitu Konstabel Marin Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar Hassan dan Yusoff Rono serta ahli keluarga mereka pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Mat Sabu didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Hakim kemudian menetapkan 16 Jan depan untuk sambung bicara dengan saksi seterusnya di Mahkamah Sesyen Butterworth.

Saman Fitnah 'Pil Kuda' Oleh Ahli PKR Terhadap Hadi Ditolak


Mohd Shamsul ketika keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu di sini, Isnin.

Diterbitkan: Isnin, 15 Disember 2014 1:44 PM
KUALA TERENGGANU: Saman fitnah RM2 juta yang difailkan oleh ahli PKR Mohd Shamsul Mat Amin terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa juga memerintahkan Mohd Shamsul membayar kos RM10,000 kepada Abdul Hadi.

Ketika menolak saman itu, Mohd Yazid berkata plaintif gagal membuktikan bahawa kata-kata yang diucapkan oleh Abdul Hadi pada ceramah itu adalah fitnah.

Mohd Shamsul bertanding untuk PKR di Bukit Besi semasa pilihan raya umum ke-13.

Ahli perniagaan itu mendakwa Hadi telah memfitnah beliau dalam satu ceramah di Kampung Tebakang, Marang, pada 22 April 2013 apabila mendakwa salah seorang calon pilihan raya PKR adalah pengedar pil kuda (methamphetamine).

PAS akhirnya meletakkan calonnya Mohd Shamsul di Bukit Besi.

Ini bertentangan dengan persetujuan bersama Pakatan Rakyat yang mana parti komponennya tidak perlu bertanding antara satu sama lain.

Barisan Nasional memenangi pertandingan tiga penjuru itu pada 5 Mei tahun lepas.

Atlet tempur kudung

Matt Betzold
Matt Betzold
16 Disember 2014

 SEORANG atlet tempur kudung diberi peluang bertarung dengan atlet normal apabila dia menandatangani kontrak lumayan dengan Legacy Fighting Championship.

Matt Betzold sebelum ini memiliki rekod mengagumkan (6-3) dalam pertarungan seni mempertahankan diri atau Mixed Martial Arts (MMA).

Pemilik Legacy FC dan promoter, Mick Maynard berkata Betzold akan bertarung dalam kategori flyweight.

Difahamkan, Betzold kehilangan kaki kirinya ketika berusia enam tahun selepas mengalami keracunan gula-gula.

Doktor terpaksa membuang kakinya apabila darah beku terbentuk di kawasan itu.

Atlet tempur berusia 31 tahun itu kini mencatat kemenangan keempat berturut-turut dan memiliki rekod enam kemenangan dan tiga kalah, sejak debut pertamanya di MMA pada 2009.

Lima daripada kemenangan itu dicatat selepas lawannya menyerah kalah atau submission.

Dan kemenangan terbaharunya pada Julai lalu, ketika menentang Jimmy Marquez dalam pertarungan Xplode Fight Series turut dilakar menerusi gerakan submission di pusingan kedua.

Untuk rekod, Betzold bukan satu-satunya atlet cacat yang bertarung dalam sangkar MMA.

Sebelum ini, Nick Newell (kudung tangan kiri) bertarung di World Series of Fighting dengan mencatat rekod 11-1.

Betzold dijangka tampil pada pertarungan pertamanya di bawah Legacy FC pada Februari tahun hadapan. - Mirror

Clare Smyth chef wanita terbaik Britain

16 Disember 2014 BERGELAR ketua tukang masak di restoran milik salah seorang chef terkenal dunia, Gordon Ramsay, Clare Smyth merupakan wanita Britain pertama mengendalikan sebuah restoran dengan tiga bintang Michelin.

Baginya, pencapaian dan kejayaan yang dikecapi hari ini adalah pencapaian terbesar dalam hidupnya. Ia juga jelas menunjukkan keazaman serta kesungguhan untuk bersaing dalam dunia masakan yang biasanya dimonopoli golongan lelaki.

Sebelum pulang ke London pada 2007 sebagai Ketua Chef di Restoran Gordon Ramsay, Clare bekerja dengan Alain Ducasse di Le Louis XV by Alain Ducasse di Monte Carlo.

Kehidupan awal

Clare Smyth dilahirkan pada tahun 1978 di Ireland Utara dan membesar di Bandar Antrim, iaitu salah satu daripada enam daerah yang membentuk Ireland Utara.
Smyth bersama sekumpulan pelajar yang mengunjungi Restoran Girdon Ramsay.
Smyth bersama sekumpulan pelajar yang mengunjungi Restoran Girdon Ramsay.

Beliau merupakan anak bongsu daripada tiga adik beradik kepada pasangan William, seorang petani dan ibunya, Doreen, yang bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran tempatan.

Ketika berusia 15 tahun, Smyth sempat bekerja di sebuah restoran di bandar ketika musim cuti persekolahan. Pengalaman yang diperoleh itu sekali gus memberinya inspirasi untuk menjadi seorang tukang masak.

Setahun kemudian, beliau berhenti sekolah dan berpindah ke England untuk belajar dalam bidang kulinari di Kolej Highbury di Portsmouth, Hampshire di London.


Kerjaya

Semasa di kolej masakan, Smyth bekerja sambilan di Grayshott Hall, Surrey di England dan kemudian meletak jawatan untuk meneruskan kerjaya awal sepenuh masa di restoran Terrance Conran di Michelin House, London.

Di sana, beliau berpeluang menimba pengalaman bekerja dengan sebuah syarikat katering di Australia selama enam bulan dan sekembalinya ke United Kingdom, Smyth bekerja dengan beberapa buah restoran termasuk The Waterside Inn dan Gidleigh Park.

Selain itu, Smyth juga pernah bekerja di restoran St Enodoc Hotel di Rock, Cornwall di England sebelum dilantik menjadi ketua tukang masak. Ketika bekerja di sana juga, beliau memenangi gelaran Young Cornish Fish Chef of the Year.

Pada tahun 2002, Smyth menerima tawaran untuk bekerja di Restoran Gordon Ramsay. Namun, pada 2004, beliau bekerja di The French Laundry di California dan Per Se di New York untuk menambah pengalaman.

Pada 2007, beliau diumumkan sebagai ketua tukang masak baharu di Restoran Gordon Ramsay, sekali gus menjadi wanita pertama di Britain yang mengendalikan restoran bertaraf tiga bintang Michelin.

Ketika pelantikannya itu, terdapat tujuh orang sahaja wanita yang bergelar ketua tukang masak di restoran yang mempunyai pengiktirafan Michelin di seluruh dunia.

“Bekerja di sebuah restoran yang mempunyai pengitirafan Michelin, anda tidak boleh leka. Anda perlu sentiasa berikan yang terbaik dan setiap hidangan di atas pinggan yang dibawa keluar dari dapur perlulah sempurna.

“Ketika di dapur, kita perlu sentiasa bersedia menerima teguran untuk memperbaiki diri. Jika berlaku kesilapan, ia dirasai oleh semua orang dan kemarahan itu tidak disimpan di dalam hati,” katanya.

Selepas beberapa tahun bekerja dengan Ramsay, dan restoran Alain Ducasse’s Le Louis XV di Monaco, beliau kembali semula ke United Kingdom untuk mengendalikan restoran berasaskan Chelsea.

Tahun lalu, Smyth dilantik sebagai Ahli Perintah Empayar British atau dikenali sebagai (MBE) pada Ulang Tahun kepujian bagi perkhidmatan untuk industri hospitaliti pada 2013.


Pengiktirafan dan kerja kebajikan

Ogos lalu, Smyth melangkah setapak lagi apabila berjaya dianugerahkan markah penuh 10 oleh The Good Food Guide.

Pelbagai pengiktirafan dan gelaran yang diterima termasuk MBE, Smyth mencipta nama tersendiri dalam golongan tukang masak terhebat di dunia.

Sejak mengambil alih sebagai Ketua Chef di Restoran Gordon Ramsay, Smyth juga pernah bekerja dengan beberapa badan kebajikan seperti Action Against Hunger,

Scottish Spina Bifida, Bobbi Bear Foundation South Africa (Johannesburg) dan Who’s Cooking Dinner?

“Bagi saya adalah lebih mudah untuk lakukan sesuatu yang disukai walaupun terpaksa bekerja sehingga 18 jam sehari kerana setiap saat yang dihabiskan, dinikmati dengan sebaiknya,” katanya.

Remaja dihukum mati tidak bersalah


Ibu Huugjilt (kiri) gagal mengawal emosi selepas mahkamah mengisytiharkan anaknya tidak bersalah.
Ibu Huugjilt (kiri) gagal mengawal emosi selepas mahkamah mengisytiharkan anaknya tidak bersalah.
BEIJING - CHINA. Seorang remaja yang dihukum mati selepas didapati bersalah kerana merogol dan membunuh seorang wanita 18 tahun lalu, diisytiharkan tidak bersalah oleh mahkamah.

Agensi berita Xinhua melaporkan, Huugjilt dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Mongolia ketika berusia 18 tahun pada 1996.

Namun keraguan wujud dalam keputusan itu apabila seorang perogol bersiri, Zhao Zhihong mengaku atas jenayah tersebut pada 2005.

“Mahkamah Mongolia mendapati keputusan asal Huugjilt bersalah tidak konsisten dengan fakta-fakta dan tidak terdapat bukti yang mencukupi. Oleh itu, mahkamah mendapati Huugjilt tidak bersalah,"  menurut kenyataan mahkamah Hohhot.

Sebagai tanda kesal dan simpati, timbalan presiden Mahkamah Tinggi, Zhao Jianping menyerahkan 30,000 yuan (RM16,949) kepada keluarga Huugjilt. -  SCMP

Perjuangan belum selesai

Perjuangan belum selesai

PROTES disertai kira-kira 100,000 penunjuk perasaan sejak 26 September lalu sebagai membantah tindakan China mahu menapis calon pilihan raya 2017 di Hong Kong akhirnya berakhir tanpa mencapai tujuan dan matlamat yang diperjuangkan oleh kumpulan prodemokrasi tersebut.

Bagaimanapun, situasi terbabit dilihat bakal memberi cabaran besar kepada China untuk terus mentadbir Hong Kong selepas Britain menyerahkan kedaulatan pulau yang menjadi hab perdagangan serantau itu pada 1997.

Tindakan pihak berkuasa membersihkan tapak protes dan menahan lebih 200 penunjuk perasaan dilihat tidak akan menamatkan ‘usaha’ kumpulan pelajar meneruskan tuntutan mereka malah ia memberi ruang kepada golongan tersebut untuk merancang langkah seterusnya.

Tumpuan akan beralih kepada Majlis Perundangan, di mana Ahli Parlimen prodemokrasi sudah berikrar mahu menyekat rang undang-undang bertujuan untuk menetapkan prosedur untuk kepimpinan bandar tersebut pada 2017 melainkan satu perubahan besar telah dibuat. 

“Kami mahu kerajaan tahu bahawa kekuatan kumpulan prodemokrasi akan bertambah dan bakal mendapat lebih banyak sokongan pada masa akan datang.

“Perjuangan kami masih belum selesai,” kata Setiausaha Persekutuan Pelajar Hong Kong, Alex Chow.


Sokongan makin berkurangan?

Bantahan itu mula mendapat liputan luas media selepas pemimpin kumpulan pelajar bertindak menyerbu bangunan yang menempatkan ibu pejabat kerajaan.

Keadaan yang semakin tegang memaksa pihak berkuasa menggunakan gas pemedih mata sebagai langkah untuk menyuraikan mereka, namun tindakan itu telah mencetuskan kemarahan orang ramai.

Selepas beberapa minggu, sokongan terhadap kumpulan prodemokrasi itu mula berkurangan kerana ia telah melumpuhkan sektor perniagaan selepas laluan utama disekat.

Tinjauan yang dibuat pada Oktober lalu pula mendapati Persekutuan Pelajar Hong Kong telah menjadi kumpulan politik paling popular pada masa ini.

Sementara itu, kaji selidik lain yang dilakukan oleh Universiti Hong Kong pada pertengahan bulan lalu menunjukkan kira-kira 68 peratus daripada 513 responden berpendapat kerajaan perlu bertindak untuk menghentikan protes besar-besaran itu.

Gesaan supaya bantahan tersebut dihentikan didakwa meningkat selepas insiden keganasan tercetus ketika kumpulan prodemokrasi terbabit bertindak mengepung pejabat Ketua Eksekutif Hong Kong, Leung Chun-ying pada 30 November lalu.

Walaupun sokongan terhadap kumpulan itu dikatakan semakin berkurangan, ia secara tidak langsung telah membangkitkan kesedaran politik dalam kalangan golongan muda.

Ia berjaya membuka mata generasi muda di bandar tersebut supaya bangkit dan menuntut hak dalam politik, sosial serta peluang pekerjaan pada masa hadapan.

“Bantahan ini berjaya menyedarkan orang ramai mengenai kepentingan demokrasi. Ia telah mewujudkan saluran untuk orang ramai  untuk menzahirkan tuntutan mereka kepada kerajaan,” kata pelajar berusia 19 tahun, Tommy Yau.


Payung jadi simbol kebangkitan

Pada asalnya, payung yang menjadi simbol utama kumpulan protes tersebut digunakan sebagai ‘perisai’ untuk melindungi mereka daripada semburan gas pemedih mata dan penyembur lada yang dilepaskan oleh pihak berkuasa.

Penolong profesor di Universiti Hong Kong, Bryan Druzin memberitahu payung bukan hanya sebagai pelindung kepada kumpulan tersebut malah ia telah menjadi lambang penentangan pasif.

Artis tempatan, Kacey Wong turut mengadakan ‘pertandingan’ mencipta logo Revolusi Payung di media sosial.

“Payung mewakili kerjasama semua pihak untuk membentuk ‘perisai pertahanan’. Ia menjadi imej yang kuat kepada perjuangan kumpulan prodemokrasi terbabit,” tegasnya.

Selain itu, reben kuning dan kemeja T berwarna hitam turut menjadi simbol aspirasi demokrasi sepanjang 75 hari bantahan itu berlangsung.

“Reben kuning tersebut adalah salah satu cara untuk menyatakan sokongan kepada perjuangan mereka manakala kemeja T hitam pula mewakili simbol kegelapan dan kesedihan,” menurut Wong lagi.


Beri kesan kepada ekonomi

Protes yang berlarutan lebih dua bulan itu didakwa turut memberi kesan kepada sektor ekonomi tempatan.

Kaji selidik yang dilakukan HSBC terhadap Indeks Pembelian Pengurus (PMI) Hong Kong mendapati aktiviti sektor swasta menyusut kepada 47.7 peratus berbanding 49.8 pada September lalu dan ia juga telah menurun pada kadar paling pesat dalam tempoh tiga tahun.

Persatuan pengurusan runcit di bandar itu memaklumkan mereka menerima laporan penurunan dramatik dalam jualan pada awal Oktober lalu.

Difahamkan, ekonomi Hong Kong sememangnya sudah berada di bawah tekanan berikutan pertumbuhan di China terus perlahan.

Jualan runcit telah jatuh hampir sepanjang tahun dan beberapa ahli ekonomi berpendapat situasi tersebut sebenarnya berpunca daripada kebuntuan politik.

Bagaimanapun, laporan tahunan Kumpulan Bank Dunia pula mendapati protes tersebut tidak langsung memberi kesan kepada iklim perniagaan Hong Kong.

Pengurus Perdagangan dan Daya Saing di kumpulan tersebut, Wendy Werner berkata, Hong Kong menduduki tangga ketiga di belakang New Zealand sebagai negara paling mudah untuk menjalankan perniagaan.


Mengapa protes itu berlaku?

Awal tahun lalu, China menolak gesaan untuk membenarkan rakyat menamakan calon mereka sebaliknya ia dipilih oleh jawatankuasa pro-Beijing terdiri daripada 1,200 anggota.

Keputusan itu dilihat sebagai perlanggaran terhadap Perlembagaan bandar atau Undang-undang Asas Hong Kong kerana tindakan Beijing telah mengehadkan calon untuk bertanding jawatan Ketua Eksekutif Hong Kong pada pilihan raya 2017 dan pemilihan perwakilan pada Pilihan Raya Majlis Perwakilan pada 2020.


Siapa menyertai bantahan tersebut?

Ia disertai pelbagai aktivis daripada pelbagai lapisan umur dan dipimpin oleh beberapa remaja termasuk Joshua Wong, 17, yang pernah mengetuai kempen membantah pelaksanaan pendidikan patriotik oleh China pada 2002.

Ia turut mendapat sokongan daripada gerakan yang menggelarkan diri mereka sebagai Occupy Central with Love and Peace dan profesor universiti. Gerakan itu bertujuan untuk memberi tekanan kepada Beijing supaya melaksanakan sistem pilihan raya yang memenuhi standard antarabangsa berkaitan hak mengundi universal pada Pilihan Raya Ketua Eksekutif Hong Kong pada 2017 seperti terkandung dalam Perkara 45  di bawah Undang-undang Asas Hong Kong.

Mereka turut menggesa Ying-leung meletak jawatan, namun beliau yang mendapat sokongan kerajaan China enggan tunduk dengan tuntutan itu.

Rumah satu bilik tidur paling mahal di Britain

KEADAAN bilik tidur di sebuah rumah yang mempunyai sebuah bilik tidur di Mayfair di London, Britain.
LONDON – Sebuah rumah yang hanya memiliki sebuah bilik tidur di Britain diiklan untuk dijual pada harga £1.8 juta (RM9.8 juta) sekali gus menjadi kediaman sebuah bilik tidur termahal di negara berkenaan.
Rumah berkeluasan 726 meter persegi yang terletak di Mayfair, tengah London itu dilengkapi sebuah ruang tamu, bilik membaca, dapur, balkoni serta tempat menyidai pakaian.
Seorang ketua firma hartanah Pastor Real, Susan Cohen berkata, tawaran itu adalah peluang unik kepada pembeli untuk memiliki sebuah rumah kecil di Mayfair yang merupakan antara lokasi strategik di London.
Kediaman tiga tingkat itu adalah tiga kali lebih mahal berbanding harga purata sebuah rumah di England dan Wales serta hampir sama dengan harga sebuah rumah agam di bandar Clifton, Bristol.
Setakat ini, rumah berkenaan dianggap sebagai kediaman satu bilik tidur paling mahal di negara itu.
“Hartanah ini terletak di kawasan yang tenang dan amat sesuai kepada pembeli yang mahu mencari kedamaian,” kata Cohen. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1216&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3M0Vjumyf 
Hakcipta terpelihara 

Baju sejuk dipakai Putera George habis dijual



GAMBAR rasmi Putera George yang dirakamkan sempena perayaan Krismas tidak lama lagi.


LONDON – Sehelai baju sejuk kanak-kanak keluaran sebuah syarikat di sini habis dijual dalam tempoh beberapa hari selepas pakaian tersebut dilihat dipakai pewaris ketiga takhta diraja Britain, Putera George dalam satu sesi fotografi rasmi baru-baru ini.
Putera George yang berusia 17 bulan merupakan anak kepada pewaris kedua takhta diraja Britain, Putera William dan isterinya, Kate Middleton.
Dalam satu sesi fotografi rasmi sempena Krismas, Putera George dilihat memakai baju sejuk yang dikeluarkan oleh syarikat Cath Kidston.
Syarikat itu dalam satu kenyataan di laman Twitter berkata, mereka tidak tahu Putera George akan memakai baju sejuk tersebut dan mereka berasa sangat teruja.
“Baju ini telah habis dijual tidak lama selepas gambar Putera George itu tersebar.
“Kami akan berbincang dengan pasukan kami untuk mengeluarkan baju sejuk itu lagi dan akan memaklumkan perkembangan terbaharu tidak lama lagi,” katanya. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1216&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3M0Vc78Gv 
Hakcipta terpelihara 

Tiada lagi lokasi tunjuk perasaan di Hong Kong



KOMBINASI gambar menunjukkan sejumlah khemah yang didirikan penunjuk perasaan di sebatang jalan utama di daerah beli-belah Causeway Bay, Hong Kong pada Jumaat lalu dan satu lagi gambar selepas lokasi tunjuk perasaan dibersihkan.


HONG KONG – Pihak berkuasa pulau ini menangkap sebilangan aktivis prodemokrasi semalam selepas mereka membersihkan lokasi terakhir daripada tiga kem penunjuk perasaan sekali gus menandakan bantahan yang menghalang beberapa jalan utama di bandar raya ini sejak lebih dua bulan lalu, kini berakhir.
Kira-kira 100 anggota polis memasuki kawasan beli-belah popular, Causeway Bay untuk menanggalkan halangan selepas penunjuk perasaan bergegas mengambil barangan milik mereka.
Lokasi itu merupakan kem penunjuk perasaan yang paling kecil di sini.
Polis turut menangkap lebih 12 penunjuk perasaan temasuk beberapa warga emas selepas mereka berdegil untuk terus duduk dan enggan bersurai.
“Saya tidak fikir protes ini gagal. Ini bukan pengakhiran,” kata seorang penunjuk perasaan K.T Tang.
“Saya harap pada masa hadapan apabila kami berkumpul di jalanan, kami akan bergembira dan bukannya mengalirkan air mata kerana gagal mencapai apa-apa,” tambahnya.
Pihak berkuasa mengangkat sejumlah khemah dan barangan lain lalu dicampakkan ke dalam beberapa buah trak di lokasi itu. Polis kemudian membuka semula jalan raya tersebut.
Pada Khamis lalu, pihak berkuasa membersihkan hampir semua lokasi protes utama di daerah Admiralty, dekat ibu pejabat pemerintah dan menangkap berpuluh-puluh aktivis yang berhimpun secara aman.
Tindakan itu menyusul selepas polis membersihkan lokasi tunjuk perasaan di kejiranan Mong Kok yang membawa kepada pertempuran antara penunjuk perasaan dan anggota keselamatan selama beberapa malam pada akhir November lalu.
Hong Kong yang merupakan jajahan British dipulangkan kepada China pada 1997 di bawah formula satu negara, dua sistem pemerintahan yang memberikan pulau ini lebih banyak kebebasan dan kuasa autonomi berbanding Tanah Besar.
Kumpulan penunjuk perasaan menuntut pencalonan terbuka diadakan untuk pilihan raya 2017 bagi memilih pemimpin baharu pulau ini tetapi Beijing bertegas calon yang bertanding perlu mendapat kelulusannya. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1216&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3M0VQhcDI 
Hakcipta terpelihara 

Angela Merkel dalam dilema atasi sentimen anti-Islam


16 Disember 2014 12:52 AM
 

Beribu-ribu penunjuk perasaan menyertai bantahan antipendatang tanpa izin yang dianjurkan oleh PEGIDA di Dresden pada 8 Disember lalu bagi menggesa kerajaan menguatkuasakan peraturan yang lebih ketat bagi mengekang kemasukan pencari suaka politik dan pendatang Islam ke Jerman. – REUTERS

BERLIN 15 Dis. – Canselor Jerman, Angela Merkel berdepan tekanan daripada parti sekutu dan pembangkang untuk mengatasi peningkatan sentimen antipendatang tanpa izin yang turut mencetuskan perarakan anti-Islam setiap hari Isnin di negara ini.
Masalah tersebut sekali gus membuatkan Merkel berada dalam dilema apabila beratus-ratus ribu penunjuk perasaan dijangka berarak dalam bantahan tersebut walaupun pegawai keselamatan Jerman memberi amaran tentang peningkatan jenayah berbaur perkauman.
Malah, tinjauan awam menunjukkan sokongan majoriti rakyat yang mahu dasar yang lebih ketat dikuatkuasakan bagi mengekang kemasukan pendatang asing ke negara ini.
Ketua polis, Holger Muench berkata, sentimen menentang pendatang asing semakin jelas di seluruh negara diketuai kumpulan PEGIDA atau Patriotik Eropah Menentang Pengislaman Barat.
Jumaat lalu, Merkel menegaskan bahawa tiada sentimen anti-Islam di Jerman atau kebencian terhadap golongan minoriti lain.
Tetapi parti sekutunya, Parti Demokrat Sosial (SPD) selain Parti Greens mewakili pembangkang dan parti yang sedang meningkat naik, Parti Alternatif untuk Jerman (AfD) dilihat menjadikan isu tersebut sebagai peluang melemahkan populariti Merkel yang memperoleh sokongan sebanyak 76 peratus berdasarkan tinjauan oleh akhbar tempatan, Bild am Sonntag.
Pemimpin kanan SPD, Thomas Oppermann menyifatkan isu perkauman tersebut sebagai masalah terbesar yang dihadapi Merkel dan mencabar Canselor Jerman itu mengatasi krisis berkenaan.
Sementara itu, ketua Parti Greens, Cem Oezdemir yang akan menyertai tunjuk perasaan membantah sentimen antipendatang asing berkata, Merkel perlu lebih tegas untuk menjelaskan kebaikan pendatang asing kepada Jerman.
Namun sesetengah pemimpin parti yang diwakili Merkel, Parti Kesatuan Kristian Demokratik Jerman memberi reaksi berbeza apabila menggesa beliau memahami gerakan berbaur perkauman itu walaupun Parti SPD mengecam tindakan menganjurkan perarakan terbabit.
Perarakan antiimigran telah menular di banyak bandar utama Jerman terutamanya di Duesseldorf, barat negara ini yang mempunyai jumlah pendatang asing paling ramai berbanding di Dresden yang didiami kira-kira empat juta penduduk beragama Islam. 
– REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/angela-merkel-dalam-dilema-atasi-sentimen-anti-islam-1.36892#sthash.m5XIXKmE.dpuf

Peserta Afrika Selatan 
dinobat Ratu Cantik Dunia


LONDON 15 Dis. – Peserta Afrika Selatan, Rolene Strauss dinobatkan sebagai Ratu Cantik Dunia 2014 pada malam kemuncak pertandingan tersebut di London, semalam.
Rolene Strauss (tengah) diapit pemenang tempat kedua, Edina Klucsar (kiri) dan Elizabeth Safrit selepas dinobatkan sebagai Ratu Cantik Dunia 2014 di ExCel Centre timur London, kelmarin. –REUTERS
Strauss, 22, menewaskan peserta Hungary, Edina Klucsar dan peserta dari Amerika Syarikat (AS), Elizabeth Safrit yang masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Pertandingan Ratu Cantik Dunia Edisi Ke-64 kali ini disertai wanita dari 121 buah negara.
Strauss yang merupakan seorang pelajar perubatan menyatakan kejayaan yang dicapainya itu adalah untuk negara kelahirannya tersebut.
“Saya mahu membantu menyebarkan betapa pentingnya pendidikan di negara kelahiran saya dan pada masa sama membantu mereka mencapai impian masing-masing.
“Saya berada di sini kerana peluang yang saya peroleh dan saya ingin menyediakan peluang sama kepada orang lain termasuk menyediakan pelajaran, peluang untuk mengajar, membuat keputusan yang baik dan mencapai impian,’’ katanya.
Pertandingan jelitawan itu kali ini dibayangi pembunuhan Ratu Cantik Honduras, Maria Jose Alvarado, 19, bersama kakaknya, Sofia Trinidad yang ditembak mati pada bulan lepas. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/peserta-afrika-selatan-8232-dinobat-ratu-cantik-dunia-1.36878#sthash.1vytgApG.dpuf