Saturday, December 11, 2010

Saya nak berubah, tapi sukar

BIASA MEWAH...Suzie (kiri) menerima bimbingan isteri pengasas Kewaja, Ruzitah Baharum.
BIASA MEWAH...Suzie (kiri) menerima bimbingan isteri pengasas Kewaja, Ruzitah Baharum.


KUALA LUMPUR: “Saya hanya tahu layan lelaki. Saya tak minta untuk menjual tubuh, tetapi itu saja pekerjaan mampu saya lakukan kerana saya tak bersekolah tinggi,” kata Suzie kepada Harian Metro ketika ditemui di Rumah Kebajikan Wanita dan Remaja (Kewaja), Gombak, di sini, semalam.
Pelayan pelanggan (GRO) berusia 22 tahun itu diselamatkan wartawan Harian Metro Rabu lalu apabila dia yang sarat mengandung sembilan bulan mahu menjual bayinya kepada satu pasangan bukan Islam yang menawarkan bayaran RM22,000.

Bagaimanapun, dia dapat dipujuk wartawan supaya tidak meneruskan niat itu dan bersetuju memasuki Kewaja untuk mendapatkan perlindungan dan bimbingan sebelum melahirkan bayinya.

Suzie berkata, sejak berusia 17 tahun dia sudah terjebak dengan kancah maksiat dan mampu hidup selesa, namun mungkin ada hikmah di sebalik kejadian dia hamil anak luar nikah kerana kini hatinya lebih terbuka untuk mengingati Tuhan dan mendalami Islam.

“Sebenarnya saya nak berubah, tapi kehadiran anak ini mengubah fikiran saya. Bagaimana saya mahu menyara anak ini nanti, jadi pilihan yang ada hanya kembali ke pekerjaan asal sebagai GRO,” katanya.

Ketika ditemui semalam Suzie tidak dapat menggambarkan bagaimana kehidupannya kelak jika anak yang bakal lahir itu mengetahui pekerjaannya.

Katanya, dia tidak mahu terus bergelumang maksiat dan dosa, tetapi tidak tahu bagaimana cara mahu menyara anaknya kerana hanya pekerjaan sebagai GRO mampu memberi pendapatan lumayan.

“Bayangkan dalam seminggu saya mampu mendapat RM3,000 hanya dengan melayan beberapa lelaki. Jika saya mencari pekerjaan lain, saya takut anak ini akan menderita tak cukup makan,” katanya.

Anak bongsu daripada dua beradik dari Selayang di sini, tidak tahu bagaimana cara untuk kembali ke pangkal jalan kerana sudah selesa hidup mewah dengan bergelumang maksiat.

“Setiap kali melihat wanita bertudung, terdetik hati untuk berubah, tapi sukar mengenangkan pekerjaan saya lakukan ini, malah kebanyakan rakan saya juga GRO dan hidup kami sudah sebati dengan dosa.

“Saya akan cuba menipu anak ini nanti dengan mengatakan saya kerja kilang atau apa-apa saja, asalkan dia tak tahu pekerjaan sebenar saya,” katanya.

Suzie juga berharap ada pihak sudi membantunya keluar dari kancah hina itu. Katanya, di Kewaja dia digalak memperbanyakkan amal ibadat dan mengingati Tuhan memandangkan rasa sakit untuk bersalin diibaratkan seperti bertarung dengan maut.

“Saya lebih tenang di sini, tidak lagi diganggu panggilan daripada 'ibu ayam' yang minta saya melayan pelanggan yang ketandusan kasih sayang itu, malah saya berharap hidup akan lebih bererti apabila anak ini lahir kelak,” katanya. Dia yang masih menyimpan hasrat untuk kembali menjadi GRO masih dipujuk pihak Kewaja supaya tidak mengulangi dosa silamnya selain memberi dorongan agar mencari pekerjaan lebih baik.

Ini berikutan dia malu dan menganggap masyarakat tidak dapat menerimanya lagi walaupun jauh di lubuk hatinya ingin memulakan kehidupan baru bersama bayi yang bakal dilahirkan.

Pasangan kekasih dihukum sebat 8 kali kerana bercium

JANTHO: Pihak berkuasa Aceh menjatuhi hukuman sebat ke atas dua penduduk tempatan, semalam, selepas didapati bersalah bercium.
Pegawai pendakwa, Deby Rinaldi, berkata kedua-dua tertuduh sudah mempunyai isteri dan suami ketika kesalahan itu dilakukan di satu kawasan hutan.

“Mereka hampir melakukan hubungan seks ketika ditahan,” katanya. Ratusan orang berkumpul di kawasan masjid di bandar Jantho untuk menyaksikan hukuman sebat dijalankan ke atas Anis Saputra, 24, dan Kiki Hanafilia, 17.

Kata Deby, ketika hubungan sumbang itu dilakukan, isteri Anis yang hamil tujuh bulan, berada di luar kawasan.

“Kiki pula sudah berkahwin dengan lelaki lain sejak dua tahun lalu,” katanya. Selepas dibicarakan, kedua-dua mereka dikenakan hukuman sebat lapan kali.

Oktober lalu, pihak berkuasa mengenakan hukuman sebat ke atas dua wanita kerana mencuri makanan pada Ramadan lalu.

Aceh yang terletak di utara Pulau Sumatera melaksanakan undang-undang Islam dalam kehidupan sehariannya. - AFP

Beri dia masa, bukan paksaan

KUALA LUMPUR: “Jangan memaksa dia (Suzie) terus berhenti daripada pekerjaannya sebagai pelayan pelanggan (GRO), sebaliknya beri masa untuk dia berubah,” kata pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Fadzilah Kamsah (gambar) ketika mengulas laporan mengenai seorang GRO yang kini sarat mengandung ingin kembali ke pekerjaan asal sebaik bersalin kerana mendakwa hanya itu pekerjaan mampu dilakukan bagi menyara anaknya itu.
Beliau berkata, dalam kes seperti ini, paksaan untuk berubah bukanlah jalan penyelesaian terbaik untuk membantu wanita itu. “Suzie boleh meneruskan pekerjaannya sebagai GRO, tetapi dalam masa sama dia hendaklah tidak reda melakukan kerja itu hingga mendatangkan kebosanan dan tidak seronok untuk bekerja lagi.

“Dengan cara itu, dia boleh berubah sedikit demi sedikit, kemudian mencari pekerjaan halal yang lain, sebaik mendapat pekerjaan lain, dia perlu berhenti terus melakukan kerja lamanya itu. “Suzie perlu menganggap kerja dilakukannya itu kerana sedang berada dalam keadaan darurat dan perlu cepat-cepat menukar pekerjaan. “Sebaliknya, pihak yang membantu pula perlu memberi bimbingan. Sebagai contoh nasihat yang baik dan mengingatkan dirinya mengenai setiap yang hidup pasti akan mati supaya dia tidak terus melakukan dosa,” katanya.

Menurutnya, wanita itu memerlukan kumpulan penyokong yang kuat yang akan terus memberi semangat untuk dia berubah seperti rakan, jiran dan kewaja sendiri.

“Siapa kita untuk menghukum kesilapan dilakukan Suzie. Jika dia bertaubat nasuha, dosanya semua akan kosong dan dia akan jadi seperti bayi yang baru lahir. Itu janji Tuhan kepada kita.

“Oleh itu, masyarakat tidak boleh menuding jari kepadanya, sebaliknya sama-sama memberi dorongan untuk berubah,” katanya.

Beliau turut menasihati pembaca sama ada yang bersimpati atau yang membenci Suzie mendoakan dia berubah dan kembali ke jalan diredai.

“Saya percaya wanita ini mempunyai masalah dalaman yang agak sukar diungkapkan kerana berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, masyarakat sekeliling harus membantunya keluar dari pekerjaannya ini dengan memberi sokongan dan dekati diri mereka sebagai rakan akrabnya,” katanya.

Keluarga tiada tempat berteduh



WAN ZAINI mencuci pinggan mangkuk sambil diperhatikan anak-anaknya di sebuah bengkel yang menjadi tempat tinggal mereka di Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Sebuah keluarga yang tinggal di bengkel kereta di Jalan Datuk Kumbar di sini sejak setahun lalu bakal kehilangan tempat berteduh.
Ia ekoran bengkel tersebut akan diambil alih oleh pemiliknya yang selama ini membenarkan mereka tinggal di situ.
Menurut Wan Zaini Shaari, 36, dia dan suami, Asiedan Mat, 32, serta tiga orang anak yang berusia di antara satu hingga lapan tahun menumpang di bengkel itu secara percuma.
“Bagaimanapun selepas 15 Disember ini, kami tiada tempat tinggal kerana tidak mampu menyewa sebuah rumah dengan pendapatan suami kira-kira RM15 hasil mengambil upah memotong rumput.
“Saya tidak bekerja dan kesemua perbelanjaan rumah serta persekolahan anak-anak ditanggung oleh suami,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Malam pertama pengantin di hospital



KAMSIAH mengucup pipi suaminya, Asmani selepas majlis akad nikah di Wad D2, Hospital Melaka semalam.


MELAKA – Malam pertama adalah momen paling indah yang tidak akan dilupakan oleh setiap pasangan yang baru berkahwin sehingga ke akhir hayat.
Namun bagi pasangan Asmani Aziz, 32, dan Kamsiah Abd. Majid, 21, mereka terpaksa meraikan malam pertama mereka di Wad D2 di Hospital Melaka di sini malam tadi.
Ia gara-gara Asmani yang masih menerima rawatan selepas terlibat dengan kemalangan apabila kereta yang pandunya berlanggar dengan sebuah treler di Bukit Rambai dekat sini pada tiga hari lalu.
Sebelum itu, majlis perkahwinan termasuk akad nikah juga diadakan di wad yang sama dan dihadiri kira-kira 100 tetamu.
Majlis tersebut bermula kira-kira pukul 9 pagi apabila rombongan pengantin perempuan diarak bersama bunga manggar dari tingkat bawah hospital hingga ke wad untuk bertemu dengan pengantin lelaki.
Menurut Kamsiah, majlis pernikahannya yang ditetapkan semalam tetap diteruskan selepas mendapat persetujuan pihak hospital.