Habiskan masa bersolek kerana minat anime Amber Harding
PERTH - AUSTRALIA. Seorang gadis sanggup menghabiskan masa selama beberapa jam semata-mata mahu memiliki wajah mirip watak anime Jepun.
Menurut Dailymail, Amber Harding, 18 lebih rela bersolek dari melakukan pembedahan dan mengubah fizikalnya secara kekal untuk mendapatkan penampilan sempurna watak anime.
"Menghias diri sebagai watak anime adalah cara tersendiri saya untuk meluahkan keperibadian saya," kata Amber.
Menurut Amber, dia berpendapat semua watak anime yang merupakan genre paling popular di Jepun adalah menyeronokkan dan comel.
"Saya suka dengan mata yang bulat dan hidung kecil. Baju yang mereka (watak anime) pakai juga sangat comel.
"Orang selalu bertanya tentang adakah mata saya asli, dan saya beritahu mereka saya bernasib baik kerana bermata yang betul-betul bulat," jelas Amber yang bekerja di sebuah hospital.
Apa yang menakjubkan adalah Amber tidak pernah melalui sebarang pembedahan, malah beliau mempraktikkan teknik solekan yang hebat untuk mendapatkan penampilan wajah yang berbeza.
Amber yang berdarah kacukan English (Britain) dan Scotland juga sudah lali apabila orang ramai mengatakan beliau lebih kelihatan 'Asian'.
"Orang tidak anggap saya sebagai Caucasian, sebaliknya mereka fikir saya dari Jepun," kata Amber.
"Saya berminat untuk ke Jepun satu hari nanti dan mempelajari tentang budaya pop mereka dan membeli belah.
"Keluarga dan teman lelaki juga menyokong saya dan mereka juga suka apabila saya gembira," kata Amber yang berketinggian hanya 5 kaki.
Difahamkan, kegilaan Amber terhadap anime bermula ketika usianya 13 tahun ketika menonton filem anime pertamanya.
Sejak itu, dia hidup sebagai 'gadis anime' selama hampir lima tahun.
Disebabkan cuaca Australia yang panas, Amber juga mengelak berjemur di bawah sinaran matahari untuk mengekalkan warna kulitnya yang cerah.