Friday, July 4, 2014

Pondok militan: Dewan Ulama PAS sangkal Mashitah


SITI UMI KALSOM | .
KUALA LUMPUR: Dewan Ulama PAS Pusat melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan  Pengerusi Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) Datuk Dr Mashitah Ibrahim apabila mengaitkan institusi pondok dengan fahaman ekstremis dan gerakan militan.

Menurut Pemangku Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Nik Zawawi Salleh, apabila menyebut pelajar pondok ini terlibat dengan militan dan ia melahirkan kumpulan-kumpulan militan, ia sekali gus memberi memberi gambaran buruk terhadap institusi pondok.

"Apa yang dituduh oleh Dr Mashitah ini adalah fitnah yang sangat besar, yang beliau sendiri tidak boleh mengemukakan bukti dengan cara yang lengkap.

"Kita rasakan ini adalah satu tuduhan yang sangat besar kepada masyarakat pondok dan pelajar-pelajar pondok," katanya kepadaHarakahdaily.

Nik Zawawi berkata institusi pondok telah melahirkan ulama-ulama yang banyak menyumbang ilmu kepada negara apatah lagi ia merupakan satu-satunya institusi yang menjaga kepentingan agama Islam negara ini.

Ia termasuk bekas Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri, ujarnya.

Beliau juga menolak dakwaan mengatakan institusi pondok mempunyai dana yang besar sehingga boleh berdiri sendiri bahkan menyalurkan dana kepada gerakan pemisah seperti di Thailand.

Hakikatnya, kata beliau institusi pondok mempunyai kewangan yang tidak mencukupi dan mustahil boleh menyalurkan kepada pihak lain.

"Ini benda yang sangat tidak logik dan tuduhan yang jahat, daripada seorang yang penuh muslihat. Beliau sekadar merapu sahaja.

"Beliau hendak mengadakan-adakan perkara yang tidak ada supaya menampakkan dirinya macam menyebelahi kerajaan. Padahal apa yang disebut ini langsung tidak ada asas kebenarannya," kata Nik Zawawi lagi.

Beliau berkata, sepatutnya Mashitah patut berfikir bagaimana kerajaan boleh menyumbang kepada institusi pondok yang dimiliki oleh rakyat, bukannya cuba mematikan institusi pondok pada hari ini dengan menarik balik bantuan berkapita seperti mana berlaku di Kelantan.

Terdahulu, Mashitah mencadangkan kerajaan menggubal undang-undang bagi memantau dan menapis kewujudan sekolah pondok yang kononnya ada menyebarkan fahaman ekstremis.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan tidak perlu undang-undang baru kerana pihak berkuasa agama negeri mempunyai kuasa untuk memantau perkara itu mengikut peraturan yang sedia ada.

Bahkan tegas Jamil Khir, berdasarkan maklumat di peringkat kementerian tiada mana-mana sekolah pondok yang dikaitkan dengan gerakan ekstremis. - HARAKAHDAILY 4/7/2014

*Penulis ialah pelajar KUIZM yang menjalani latihan praktikal di Harakahdaily.

Tengku Adnan: Bukan itu niat saya...


  • Tengku Adnan Tengku MansorTengku Adnan Tengku Mansor

SHAH ALAM - Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sedia memberi penjelasan termasuk membuat pindaan terhadap undang-undang berkaitan kegiatan mengemis di ibu negara yang menjadi kontroversi mutakhir ini.

Menerusi laman sosial Facebook miliknya, Tengku Adnan berkata, niat sebenar beliau adalah untuk memperbetulkan keadaan di ibu kota dan sedia untuk memberi penerangan kepada pihak yang salah tanggap terhadap kenyataannya.

"Saya tak menidakkan usaha-usaha murni mana-mana pihak yang membantu gelandangan dan fakir miskin di ibu kota. Saya juga telah terbaca kata-kata kesat yang telah dilemparkan kepada saya.

"Saya nak maklumkan bahawa niat saya tak sedemikian. Saya harap masyarakat dan orang ramai faham masalah yang sedang dihadapi. Niat saya nak jadikan ibu kota bersih. Untuk itu, saya sedia mendengar dan buat pindaan terhadap apa-apa yang perlu," ujar Tengku Adnan.

Beliau sebelum itu menerima kritikan hebat masyarakat di media sosial susulan kenyataan meminta NGO yang bergerak aktif menyalurkan bantuan makanan kepada golongan gelandangan di ibu kota supaya berhenti berbuat demikian.

Menurut Tengku Adnan, pihaknya bukan menghalang sebarang aktiviti kebajikan sedemikian, namun ia sebagai inisiatif dalam memastikan ibu kota tidak terus tercemar baik dari segi keberadaan golongan itu, mahupun daripada aspek kebersihan.

Tambahnya lagi, pihaknya dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengenalpasti pusat pengagihan makanan yang sesuai supaya NGO terbabit boleh meneruskan aktiviti sukarelawan mereka.

“Aktiviti seperti ini hanya menggalakkan orang ramai untuk menjadi gelandangan dan menganggur. Terdapat ramai orang seperti itu yang kami bantu untuk dapatkan pekerjaan tetapi kembali ke tabiat lamanya kerana mereka menyifatkan ia lebih mudah," ujar Tengku Adnan.

Terdahulu, beliau dipetik sebagai berkata, pemberi dan peminta sedekah bakal berdepan hukuman seperti denda apabila undang-undang berkaitan kegiatan mengemis di ibu negara diperketat.

Tak percaya suami terlibat militan

Rumah Mohd Najib, salah seorang suspek dipercayai terlibat dengan militan.
Rumah Mohd Najib, salah seorang suspek dipercayai terlibat dengan militan.
DAMANSARA - Isteri kepada Mohd Najib Husen atau Abraham, 36, salah seorang suspek dipercayai terlibat kegiatan militan terkejut apabila mendapat tahu suaminya kini menjadi buruan polis.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Nur berkata, dia hanya mendapat tahu berita tersebut apabila media mendedahkan wajah suaminya melalui televisyen dan akhbar.

“Apa yang saya tahu, dia hanya pergi ke Filipina untuk melakukan akikah dan korban pada April lalu, tidak sampai ke tahap menjadi anggota militan. Lagipun tiada tanda-tanda dia terlibat dengan latihan ataupun mengerakkan pertubuhan militan.

“Saya tidak percaya suami saya anggota militan sebab dia seorang yang amat bertanggungjawab terhadap keluarga,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di rumahnya di Kota Damansara, di sini semalam.

Menurut wanita berusia dalam lingkungan 30an itu lagi, suaminya  seorang yang warak dan tidak pernah berkasar terhadap anak-anak serta rapat dengan jiran dan rakan.

“Kehidupannya  seperti orang biasa, keluar pagi dan pulang bekerja pada waktu petang setiap hari,” katanya yang mempunyai lima anak berusia dua hingga sebelas tahun.

Tambah Nur, keluarga mentuanya juga tidak mengetahui apa-apa tentang isu berkenaan dan turut terkejut dengan berita yang disiarkan.

Katanya lagi, sehingga kini dia langsung tidak mengetahui apa-apa perkembangan tentang suaminya kerana gagal dihubungi.

“Apa yang saya harap abah (suami) cepat pulang agar isu ini tidak diperbesarkan dan keadaan kembali terkawal.

Bila anak-anak tanya mana abah, saya hanya jawab abah pergi kerja dan nanti abah baliklah,” katanya dalam sebak.

Najib yang juga pemilik kedai fotostat dan alat tulis di Universiti Malaya (UM) dipercayai terlibat dalam merekrut dan mengatur pemergian anggota militan dari Malaysia bagi menyertai Kumpulan Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL).

“Sekarang saya hanya berserah, saya harapkan dia pulang. Saya hanya berserah pada Tuhan,” katanya.

Sementara itu, salah seorang jiran Najib ketika ditemui turut terkejut apabila mendapat khabar bahawa jirannya itu terlibat dalam kegiatan militan.

“Saya tidak percaya dia terlibat dalam kegiatan militan kerana sepanjang saya mengenalinya, dia sangat baik dan ramah dengan jiran-jiran yang lain. Dia juga seorang yang beragama dan selalu ke masjid untuk berjemaah,” katanya.

China nafi larang umat Islam Xinjiang berpuasa


  • Huang HuikangHuang Huikang

KUALA LUMPUR - Duta China di Malaysia Dr Huang Huikang menafikan laporan media asing pada Rabu kononnya umat Islam di wilayah Xinjiang di China dilarang daripada berpuasa pada bulan Ramadan.

"Saya tidak fikir berita itu benar. Media China mana yang melaporkan berita ini? Ini bukan media China, betul?," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perundingan Meja Bulat Korporat Malaysia anjuran Istitut Kepimpinan dan Strategi Asia di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan kementerian berkaitan di China akan memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Media asing melaporkan pada Rabu beberapa jabatan kerajaan di Xinjiang melarang petugas beragama Islam daripada berpuasa pada bulan Ramadan.

Media terbabit menyiarkan arahan yang didakwa daripada jabatan kerajaan di China melarang anggota Parti Komunis yang memerintah, guru dan golongan muda daripada berpuasa atau menyertai aktiviti keagamaan dalam bulan Ramadan.

Sebahagian besar wilayah Xinjiang dihuni kaum minoriti Uighur yang beragama Islam. Selama bertahun-tahun parti Komunis China yang memerintah melarang umat Islam di wilayah itu daripada berpuasa, dan seringkali berakhir dengan pertempuran antara kaum minoriti Uighur dan anggota pasukan keselamatan yang membawa kepada kematian. - Bernama

Muhammad Joraimee sekeluarga tidak mesra jiran


  • Muka depan Sinar Harian 3 Julai 2014.Muka depan Sinar Harian 3 Julai 2014.

KUALA LUMPUR - Seorang daripada lima individu yang diburu polis kerana dipercayai terbabit dengan kegiatan militan, Muhammad Joraimee Awang Raime disifatkan sebagai dingin dan tidak bergaul dengan jiran tetangga.
  
Beberapa jiran Muhammad Joraimee, 39, atau lebih dikenali sebagai Abu Nur, yang tinggal di rumah ibunya bersama anak dan isteri di Taman Selayang Baru, Batu Caves di sini dilihat sering pulang lewat malam.
 
Zalikha M. Hassan, 44, berkata, Muhammad Joraimee dan kesemua anggota keluarganya juga tidak pernah keluar untuk bergaul dengan masyarakat sekeliling.
  
"Dia satu keluarga memang tidak bergaul sangat...Kalau mereka ada di rumah pun cuma duduk di dalam rumah dan tidak keluar dan kalau keluar untuk kerja dan pergi sembahyang.
  
"Tingkap rumahnya memang sentiasa bertutup macam tidak ada orang di rumah dan pintu rumah hanya dibuka untuk orang tertentu sahaja," katanya ketika ditemui dekat sini, hari ini.

Zalikha berkata, sikap dingin Muhammad Joraimee itu pernah membawa kepada satu kejadian pertengkaran kecil ketika jirannya mengadakan kenduri.
  
"Tempat letak kereta yang terhad menyebabkan orang ramai yang datang tepaksa meletak kenderaan di hadapan rumahnya... Tetapi ia tidak disenangi Joraimee dan keluarga sehingga Joraimee bertindak mengarahkan kenderaan itu dialihkan," katanya.
  
Katanya, Muhammad Joraimee sudah hampir empat bulan tidak kelihatan pulang ke rumah.
  
Ali Arsyad, 49, yang berjiran dengan Muhammad Joraimee sejak 30 tahun berkata walaupun mereka kenal sejak kecil namun dia agak pendiam.
  
"Selepas SPM dia pernah bekerja sekejap dengan saya sebelum dia ke Mesir menyambung pengajiannya...waktu kerja dia bekerja seperti biasa tetapi selepas waktu kerja memang tidak pernah lepak bersama sampailah sekarang," katanya.

Tinjauan Bernama di rumah Muhammad Joraimee, kakitangan Jabatan Urusetia Majlis Perbandaran Selayang (MPS), mendapati rumah itu kosong dan sebuah kereta jenis Toyota Avanza di hadapan rumahnya berhabuk.
  
Sementara itu, seorang pengawal keselamatan MPS yang hanya dikenali sebagai Zulkifli, 46, berkata, dia mengenali suspek sebagai seorang yang kuat agama namun jarang bertegur.
  
"Kadang-kadang dia lalu ada juga tegur dan melalui keterampilan dan cara dia bercakap memang kuat juga agamanya.
  
"Tapi dia tidak pernah cerita atau berkongsi sebarang aktivitinya di luar apatah lagi mengajak sebarang aktiviti bersama...Sejak tiga ke empat bulan lepas memang saya tidak nampak dia memasuki perkarangan MPS ini," katanya.
  
Sementara itu, usaha untuk menemui ibu seorang lagi suspek, Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) Dr Mahmud Ahmad, 36, gagal selepas hampir sejam menunggu di hadapan rumahnya di Taman Selayang Baru, Batu Caves.

Sepanjang tempoh sejam berada di pekarangan rumah suspek, kelihatan dua lelaki difahamkan adik-beradik suspek memasuki rumah berkenaan namun enggan ditemui.
  
Pada 12.45 tengah hari, dipercayai sepasukan anggota polis keluar dari rumah suspek selepas menjalankan siasatan.
  
Di TAWAU, usaha untuk bertemu anggota keluarga seorang lagi suspek, Mohd Amin Baco, 31, gagal apabila rata-rata penduduk di Kampung Titingan mendakwa tidak mengenali ataupun pernah mendengar nama suspek.
  
Ketua Kampung Titingan, Ismail Amoo, 65, berkata beliau tidak mengenali Mohd Amin dan tidak pernah mengetahui bahawa suspek menetap di kampung itu.
  
"Saya tidak tahu suspek tinggal di sini dan saya juga tidak pernah mendengar ada nama seperti itu di sini...tetapi saya tidak pasti sekiranya dia (suspek) menggunakan nama lain kerana kebanyakan penduduk di sini menggunakan nama samaran," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Usaha untuk menjejaki anggota keluarga seorang lagi suspek yang dikenali sebagai Jeknal Adil, 30, juga gagal kerana alamat terakhir suspek di Kampung Kurnia Jaya Batu Empat Jalan Apas, Tawau kini, sudah tidak dihuni penduduk.
  
Kebanyakan penduduk di situ telah berpindah ke tempat lain setelah terlibat dalam kebakaran yang memusnahkan lebih 80 rumah setinggan di kampung itu pada 17 Disember tahun lepas.
 
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengeluarkan senarai nama lima individu yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung kegiatan militan di negara ini.
  
Mereka ialah Mahmud atau Abu Hanzalah, Muhammad Joraimee atau Abu Nur, pemilik kedai fotostat dan alat tulis UM Mohd Najib Husen atau Abraham, 36, yang tinggal di Pangsapuri Tainia, Kota Damansara, Mohd Amin dan Jeknal Adil atau Jek.  - Bernama

Lola rindu Firdaus tapi...


  • NorfitriNorfitri

SEREMBAN – “Lola rindu nak jumpa anak, tapi malu nak keluar kerana takut dicemuh orang." Itu kata Lolanopita Sadi, 40, ketika menghubungi bekas pengasuh Muhammad Firdaus Dullah, Norfitri Radius, 42.

Menurut Norfitri, setiap dua hari sekali, Lolanopita atau Lola akan menghubunginya untuk bertanya khabar serta bercerita mengenai dirinya yang kini tinggal di suatu tempat tidak diketahui.

Katanya, Lola memberitahu bahawa dia kini berada di sebuah rumah perlindungan yang jauh lebih selamat jika berada di rumahnya di Taman Semarak, Nilai.

“Kali terakhir Lola telefon saya pada malam kelmarin melalui telefon awam, ketika itu saya bertanyakan di mana dia tinggal sekarang ini, namun Lola hanya memberitahu dia tinggal di sebuah tempat perlindungan di sekitar Seremban, dan berada dalam keadaan sihat.

“Lola juga meluahkan hasrat hatinya ingin bertemu serta melihat Firdaus serta anak keduanya itu, namun belum berkesempatan berbuat demikian kerana bimbang dicemuh masyarakat, memandangkan Firdaus kini masih berada di hospital,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Norfitri berkata, Lola mungkin akan bertemu dengan anak-anaknya setelah Firdaus dibenarkan keluar wad serta berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) nanti.

“Lola memberitahu, sebaik sahaja dia dibebaskan pada 30 Jun lalu, dia memang berhasrat untuk melihat Firdaus, namun tidak berani kerana takut dihalang. Lagipun hospital adalah tempat awam sudah tentu ramai yang kenal dengannya akan bertindak menghinanya.

“Lola juga adalah manusia biasa yang lemah dan naif, jadi tidak hairanlah jika dia masih belum mampu berdepan dengan masyarakat, sedangkan hendak pulang ke rumah sendiri pun Lola tidak berani,” katanya.
Sehubungan itu, Norfitri berharap supaya kejadian menimpa Lola dapat dijadikan pengajaran buat dirinya, sekali gus memaafkan atas setiap kesilapan dilakukan.

"Lola mungkin ada jawapan serta sebab tertentu mengapa dia bertindak sedemikian, memandangkan sebelum ini dia merupakan seorang ibu yang penyayang," katanya.

Awie didakwa sebabkan kecederaan parah isteri


  • AwieAwie

VOKALIS Kumpulan Wings, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman didakwa di Mahkamah Majistret di Ampang, hari ini terhadap tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, dua minggu lalu.

Awie, 46, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Ayuni Izzati Sulaiman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pelakon utama Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Zombie Kampung Pisang itu didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Rozana Misbun, 36 di Jalan 9 USB 5, Taman Ukay Bestari, kira-kira jam 1.30 petang 2 Jun lalu.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 11 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Buruan berada dalam negara


Oleh Mohd Rizal Abdullah
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan lima suspek militan warganegara ini termasuk seorang pensyarah Universiti Malaya (UM) yang diburu polis berada di Malaysia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya sentiasa berjaga-jaga dan memberikan perhatian serius malah meningkatkan kawalan sedia ada di dalam negara terhadap sebarang kemungkinan.

“Mereka ini (militan) adalah berbahaya dan orang ramai dinasihatkan tidak cuba mendekati mereka ini.



Ada kemungkinan mereka berada di Malaysia kini,” katanya semasa sidang media selepas majlis penyampaian sijil proctor Ujian Integriti Malaysia (MIT) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, semalam.

Katanya, polis akan terus mengesan mereka yang terbabit dalam aktiviti militan ini kerana ia boleh mengancam keselamatan negara.

“Kemungkinan akan ada lagi tangkapan selepas ini hasil maklumat dan risikan oleh pasukan polis,” katanya.

Dalam kenyataannya kelmarin, Khalid mendedahkan identiti lima individu rakyat Malaysia yang didapati terbabit dalam kegiatan militan antaranya pensyarah UM iaitu Dr Mahmud Ahmad, 36, Mohd Najib Husen, 36, Muhammad Joraimee Awang Raimee, 39, Mohd Amin Baco, 31, dan Jeknal Adil, 30.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/04

Rebut juadah buka


Kuala Lumpur: Masjid Jamek Kuala Lumpur di sini, diserbu tidak kurang 400 golongan gelandangan terutama dalam kalangan kutu rayau, penagih dadah, pesakit mental dan golongan tidak bekerja bagi mendapatkan makanan apabila setiap kali tiba waktu berbuka puasa sejak 1 Ramadan lalu.
Malah, terdapat juga golongan bukan beragama Islam turut memasuki masjid menjelang jam 5 petang bagi mendapatkan makanan pihak masjid mula mengedarkan bubur lambuk.
Tinjauan Harian Metro di kawasan berkenaan mendapati golongan itu juga mula berkumpul dan menunggu di luar perkarangan masjid sejak jam 3 petang bagi memastikan mereka mendapat bungkusan makanan yang bakal diagihkan.
Malah, keadaan menjadi sesak apabila ramai antara mereka duduk memenuhi tangga laluan ke kawasan kaunter pembayaran stesen Transit Aliran Ringan (LRT) berdekatan.
Kebanyakan gelandangan itu dikesan datang dari beberapa kawasan utama di sekitar ibu negara termasuk Chow Kit, Masjid Jamek dan Pasar Seni berikutan akses ke masjid itu lebih mudah berbanding masjid lain yang dikawal ketat oleh pihak pengurusan masjid.
Selepas mengambil bungkusan bubur lambuk, mereka dilihat berkumpul dan berbual kosong di luar pekarangan masjid manakala sebahagian yang lain mula mengambil tempat di dalam dewan masjid sementara menunggu nasi bungkus diedarkan 15 minit sebelum masuk waktu berbuka puasa.
Jika sebelum ini, mereka sering berebut dan berbuat bising ketika mengambil makanan namun pihak pengurusan masjid termasuk kumpulan sukarelawan berjaya mengawal keadaan dan memastikan golongan ini berdisiplin ketika berbaris.
Manakala bagi golongan gelandangan bukan Islam mereka perlu menunggu proses pengagihan bubur lambuk kepada gelandangan beragama Islam selesai terlebih dahulu sebelum dibenarkan beratur mengambil makanan.
Setengah jam sebelum masuk waktu berbuka, pihak masjid mengadakan sesi tazkirah ringkas yang menekankan aspek kebersihan serta adab ketika berhadapan dengan makanan.
Bagaimanapun agak mendukacitakan apabila kebanyakan golongan gelandangan itu dilihat mula bergerak meninggalkan masjid tanpa menunaikan solat sebaik selesai mengisi perut masing-masing.
Seorang kutu rayau yang hanya mahu dikenali sebagai Amin, 48, menyifatkan kedatangan bulan Ramadan adalah rahmat baginya berikutan dapat mengisi perut secara percuma setiap hari tanpa perlu berlapar.

Dia yang mengemis dan tidur di kaki lima sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, mendakwa mengemis selepas dibuang ahli keluarga kerana terbabit dengan penyalahgunaan dadah.
Namun ketika ditanya wartawan sama ada dia berpuasa atau sebaliknya, lelaki itu memberi alasan tidak sihat dan terpaksa tidak berpuasa.
Foto
GELANDANGAN memenuhi pekarangan Masjid Jamek Kuala Lumpur bagi mendapatkan juadah berbuka puasa, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/04

Soup Kitchen berdepan tindakan


Kuala Lumpur: Badan bukan kerajaan (NGO) Soup Kitchen bakal berdepan hukuman denda jika masih memberi bantuan makanan kepada golongan gelandangan di kawasan Bukit Bintang bermula Isnin depan.
Tindakan itu selaras hasrat kerajaan bagi membersihkan imej bandar raya daripada jumlah gelandangan yang semakin membimbangkan.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pihaknya memandang serius mengenai isu gelandangan berikutan timbul masalah lain seperti kebersihan dan pembawaan penyakit berjangkit yang dipercayai turut berpunca daripada golongan itu.
“Soup Kitchen kini hanya dibenarkan memberi bantuan makanan sejauh dua kilometer (km) dari lingkungan kawasan Bukit Bintang.
“Jika mereka (Soup Kitchen) mahu beri bantuan, lakukannya di luar kawasan ditetapkan atau kita denda terus,” katanya ketika ditemui di majlis pelantikan Ahli Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam, di sini, semalam.
Tengku Adnan berkata, beliau turut menerima laporan daripada agensi kerajaan yang mendapati terdapat gelandangan di ibu negara yang mampu menginap di hotel tiga bintang dengan wang yang disumbangkan orang ramai.
“Kebanyakan gelandangan mampu bekerja dan memiliki kediaman selesa, tetapi mereka malas bekerja kerana ada pihak tidak putus membantu.
“Bukan kita tak pernah bagi kerja tetap kepada mereka, tapi selepas dua hari mereka lari dan kembali bergelandangan kerana selesa dengan bantuan diberikan,” katanya.
Selain itu, usaha kementerian mewujudkan pusat perlindungan untuk golongan itu didapati menyebabkan mereka rasa selamat seterusnya tidak mahu bekerja lagi.
“Imej bandar raya ini menjadi buruk dan jika tidak diambil tindakan ini, masyarakat menjadi degil dan tidak berdisiplin,” katanya.
Foto
TENGKU Adnan menyerahkan sijil pelantikan kepada Presiden Persekutuan Pertubuhan Agama Tao Malaysia Daozhang Tan Hoe Chieow pada majlis pelantikan Ahli Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/04

Felixia peluk agama Islam pada tarikh kelahirannya




KUALA LUMPUR - Model dan pelakon, Felixia Yeap (gambar), 28, mengesahkan dia telah memeluk agama Islam dengan mengucap syahadah di sini semalam.
Menurutnya, dia memilih tarikh 3 Julai untuk mengucapkan syahadah kerana tarikh itu merupakan tarikh kelahirannya.
Dia mengucapkan syahadah itu di sebuah masjid di Taman Tun Dr. Ismail di sini pukul 6.30 petang.
"Hari ini, bukan saja hari lahir saya tetapi juga hari kelahiran 'semula' saya. Hari saya 'kembali' akhirnya, selepas 28 tahun mencari jalan pulang. Hari ini, hari bersejarah dalam hidup saya kerana akan menjadi seorang Islam secara rasmi," tulisnya di dalam blog rasminya felixiayeap.blogspot.com.
Meskipun telah memeluk Islam, Felixia memberitahu, dia akan kekal menggunakan nama Cina dan hanya menambah nama Islam yang diperoleh daripada mimpi di hadapan nama asalnya. Nama Islam yang diberitahu pada media sebelum ini ialah Rania.
"Saya masih berbangsa Cina dan akan berkeras mengekalkan nama Cina yang diberi ibu saya. Nama Cina saya membawa maksud, ketenangan, keanggunan," tulisnya lagi.
Sementara itu, Felixia dalam kiriman aplikasi WhatsApp kepada wartawan Kosmo! pula berkata, dia enggan berkongsi detik bersejarah itu bersama pihak media kerana menyifatkan proses mengucap syahadah itu adalah urusannya dengan Tuhan.
"Ini hal saya dengan Tuhan, kenapa perlu masuk berita," katanya.
Model yang pernah muncul dalam majalah Alia itu menjadi popular apabila dia mengambil keputusan untuk memakai hijab sekitar Januari lalu walaupun dia belum memeluk Islam.
Sejak popular, Felixia melebarkan kerjaya seni dalam bidang lakonan dan pernah berlakon dalam dua drama bersiri iaitu Nikah Kita Bercinta dan Sarafina.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0704&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz36Rl6EuYt 
Hakcipta terpelihara 

Kelantan terus tuntut hak royalti minyak


KOTA BHARU 3 Julai - Kerajaan Pas Kelantan akan meneruskan usaha menuntut hak royalti minyak di negeri ini walaupun gagal mendapatkan dokumen tertentu di bawah milik dan jagaan syarikat minyak negara, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas).
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, walaupun tidak berjaya memperoleh dokumen itu, pihaknya optimis rakyat di negeri ini masih mempunyai peluang untuk mendapatkan hak royalti tersebut.
"Kita mahu mendapatkan hak ke atas dokumen itu kerana ia mempunyai kaitan dengan kes royalti ini. Jika memperoleh dokumen terbabit, lebih mudah untuk pihak kita berhujah dalam mahkamah.
"Walaupun permohonan tersebut telah ditolak semalam, kita masih belum putus asa. Itu tidak menjadi masalah, kerana bukan kes ini (tuntutan hak royalti) yang ditolak," katanya di sini hari ini.
Semalam, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Tan Sri Abdull Hamid Embong memutuskan kes saman kerajaan Pas Kelantan terhadap Petronas berhubung tuntutan tunggakan royalti minyak tidak perlu diputuskan melalui perbicaraan penuh sebaliknya ditentukan menerusi isu-isu perundangan.
Sehubungan itu, kes saman tersebut akan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk diputuskan melalui prinsip undang-undang seperti yang diperuntukkan di bawah Perintah 14A Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Dalam pada itu, mahkamah turut memerintahkan kerajaan Pas Kelantan membayar kos RM150,000 dan pengurusan kes ditetapkan pada 22 Julai ini di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140704/ma_02/Kelantan-terus-tuntut-hak-royalti-minyak#ixzz36Rihg5QN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

2 wanita gantung kain rentang kecam teman lelaki


Kerana rasa kecewa selepas ditipu teman lelaki yang sama, Nicola Morland dan Angela Illingworth bertindak membalas dendam dengan meninggalkan teman lelaki tersebut serentak secara terbuka melalui sebidang kain rentang yang dipamerkan di sebatang lebuh raya dari Newcastle ke Gateshead di sini, kelmarin. - Agensi
NEWCASTLE 3 Julai - Dua wanita bertindak menggantung kain rentang di sebatang lebuh raya menghubungkan Newcastle dan Gateshead, di sini semalam bagi membalas dendam terhadap seorang lelaki yang menipu mereka dengan menjadi teman lelaki mereka secara serentak, sehingga menarik perhatian ramai.
Kedua-dua wanita itu, Nicola Morland dan Angela Illingworth berkata, mereka bertindak demikian kerana kecewa apabila Steve Frazer menipu mereka kerana keluar dengan kedua-dua wanita itu secara serentak.
Akhbar Daily Mail melaporkan, kedua-dua wanita itu bertindak menggantung kain rentang besar dengan tulisan berwarna merah dan kuning beserta beberapa gambar mereka bersama Frazer.
Pada poster itu tertera perkataan; ‘Steve Frazer awak ditinggalkan oleh dua teman wanita anda,’ dan kain rentang tersebut menarik perhatian beribu-ribu pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.
Morland yang berasal dari Washington berkata, dia terkejut dengan reaksi orang ramai ke atas kain rentang tersebut.
"Cukuplah. Kami telah buktikan perkara sebenar dan perkara ini sangat menyakitkan hati," katanya.
Ibu kepada Illingworth, Beatrice, yang berasal dari Birtley, Gateshead berkata, anaknya itu telah pergi bercuti ke Sepanyol.
"Dia menghadapi saat sukar dan mahu menenangkan dirinya ketika ini," kata Beatrice.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140704/lu_06/2-wanita-gantung-kain-rentang-kecam-teman-lelaki#ixzz36Rgp7KBB
© Utusan Melayu (M) Bhd