Saturday, October 12, 2013

IMF beri amaran kepada AS


12 Oktober 2013
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF),  kelmarin memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS).

Christine Lagarde berkata kegagalan AS menaikkan syiling hutang akibat kebuntuan politik di negara itu akan memberi kesan serius kepada penduduk AS dan ekonomi global.

Beliau membuat jangkaan tersebut selepas mendapati pemulihan ekonomi global kini perlahan dan tidak seimbang.

"Eropah perlu memainkan peranan menyelesaikan masalah perbankan mereka bagi mengelakkan situasi ini menjadi lebih buruk," katanya kepada AP.

Sementara itu, Mahkamah Persekutuan AS memberitahu bahawa perkhidmatan mereka terpaksa dihentikan sementara jika Washington gagal membuka semula operasi agensi kerajaan pada minggu depan.

Difahamkan, jika Kongres masih  tidak membuat sebarang kata putus, institusi kehakiman itu bakal berhadapan masalah kekurangan dana bermula 18 Oktober ini. 

Negara hamba abdi saman Britain, Belanda, Perancis


2013/10/12
 
London: Britain bersama Perancis dan Belanda menghadapi saman 14 negara Carribbean yang menuntut pampasan berbilion pound sterling kerana menjadikan penduduk mereka sebagai hamba.

Selepas 175 tahun Britain membebaskan hamba di West Indies, negara Caribbean berkenaan menuntut pampasan itu kerana menjadi mangsa urus niaga perhambaan.
Caricom, kumpulan 12 bekas jajahan Britain bersama bekas jajahan Perancis - Haiti, dan bekas jajahan Belanda, Suriname, percaya kerajaan Eropah perlu membayar pampasan, terutamanya Britain.

Mereka mendapatkan khidmat firma guaman Britain, Leigh Day, yang baru-baru ini menang pampasan untuk beratus-ratus warga Kenya yang diseksa kerajaan imperialis Britain ketika pemberontakan Mau Mau pada 1950-an.

Caricom tidak menyatakan berapa banyak pampasan yang mereka mahu tuntut tetapi pegawai kanan merujuk kepada £20 juta (RM100 juta) yang diberi Britain kepada pemilik hamba apabila ia memansuhkan perdagangan itu pada 1834.

Angka itu sama nilai dengan £200 bilion (RM1 trilion) pada hari ini.

Di Amerika Syarikat, idea mengenai bayaran pampasan kepada mangsa perhambaan beberapa kali ditimbulkan sejak bertahun lalu tetapi tidak pernah menjadi kenyataan.

Obama tolak pampasan

Pada akhir Perang Saudara, 400,000 ekar (161,700 hektar) tanah di Florida, Georgia dan Carolina Selatan diambil daripada bekas pemilik hamba untuk diberi kepada hamba yang bebas.

Tetapi, keputusan itu ditarik balik Presiden Andrew Johnson selepas Presiden Abraham Lincoln dibunuh pada 1865, lapor Al Jazeera America.

Pada 2008, Barack Obama berkata, beliau tidak menyokong pampasan diberi kepada pewaris hamba, pendirian yang berbeza daripada 24 anggota Kongres yang menaja rang undang-undang untuk membentuk suruhanjaya mengenai perhambaan.


Pada tahun sama, Kongres meminta maaf kepada mangsa perhambaan disusuli dengan Senat pada 2009 tetapi kedua-duanya tidak menyebut mengenai pampasan. - AGENSI

Penganjur Ratu Universe mohon maaf

Penganjur Ratu Universe mohon maaf
Olivia Culpo


 New Delhi: Penganjur Ratu Universe, mengemukakan permohonan maaf kepada India berikutan sesi penggambaran pemenang Ratu Universe 2013, Olivia Culpo, di Taj Mahal yang menjadi kes polis dan dakwaan bahawa beliau tidak menghormati makam diraja itu.

Culpo, 21, dari Rhode Island, Amerika Syarikat, melawat makam berkenaan Ahad lalu sempena kunjungannya selama 10 hari ke India.
Ketika berada di Taj Mahal, beliau menjalani sesi penggambaran dengan memakai kasut berjenama dan duduk di atas tebing marmar dikenali Diana Seat, sempena nama mendiang Putera Diana yang melawat makam berkenaan pada 1992.


Polis yang menerima aduan daripada pentadbir Taj Mahal memfailkan kes ke atas beliau, kerana sebarang bentuk kerja iklan atau promosi di lokasi terbabit adalah diharamkan.


Penganjur mohon maaf

“Pihak penganjur dengan ini memohon maaf kepada rakyat India berikutan insiden membabitkan Ratu Universe,” kata satu kenyataan yang dihantar ke pejabat AFP semalam.
Kenyataan itu menyebut, Culpo sedang membuat penggambaran video untuk peminat ketika insiden berlaku.

“Sebagai sebahagian daripada rakaman, kami kadangkala memasukkan penaja di dalam penggambaran ini,” kata kenyataan itu lagi yang menambah bahawa rakaman itu bukan untuk tujuan komersial.

“Kami dengan rendah hati memohon maaf di atas sebarang perkara sensitif yang tidak di sengaja, sehingga mencetuskan rasa kurang senang sesetengah pihak,” kata kenyataan itu lagi.

Pereka fesyen Sanjana Jon, yang mengiringi Culpo juga dikenakan dakwaan melanggar Akta Lokasi Arkeologi dan Monumen Purba. Culpo dan Jon mungkin didenda jika sabit kesalahan.

Taj Mahal yang menerima kunjungan berjuta-juta pelawat setiap tahun, dibina Maharaja Shah Jehan menempatkan makam beliau dan permaisurinya Mumtaz Mahal yang meninggal dunia ketika melahirkan anak pada 1631.

Pelawat dikehendaki membuka kasut ketika berada di kawasan makam, tetapi dibenarkan memakainya di kawasan sekitar bangunan dan taman di situ.

AFP

Aerosmith hadiahkan gitar kepada Presiden Uruguay


MUJICA bergambar bersama gitar elektrik dan Tyler di pejabat Presiden di Montevideo, Uruguay pada Selasa lalu.


MONTEVIDEO, Uruguay - Anggota-anggota kumpulan rock Amerika syarikat, Aerosmith telah bertemu dengan Presiden Uruguay, Jose Mujica, 78, di pejabat pemimpin tersebut pada Selasa lalu.
Kumpulan itu kemudian menghadiahkan gitar elektrik kepada Presiden tersebut.
Penyanyi utama kumpulan itu, Steven Tyler memberitahu anggota-anggota kumpulan itu menganggap Mujica sebagai salah seorang pemimpin yang terbaik di benua Amerika.
"Pemimpin kamu berjuang untuk kebebasan dan kami juga berjuang untuk kebebasan melalui muzik," kata Tyler.
Setelah selesai sesi pertemuan selama tiga jam, Mujica bergambar bersama gitar elektrik pemberian Aerosmith itu.
Mujica sebelum ini tidak pernah mendengar lagu-lagu kumpulan rock itu.
Beliau merupakan bekas pejuang gerila berhaluan kiri dan pernah dipenjarakan selama 14 tahun di penjara dan diseksa kerana memperjuangkan kepentingan penduduk.
Mujica memang dikenali kerana hidup dengan penuh kesederhanaan.
Ketika memegang jawatan pada tahun 2010, dia mengisytiharkan hartanya adalah sebuah kereta Volkswagen Beetle.
Ekoran itu, dia dikenali sebagai seorang Presiden yang paling miskin di dunia. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1012&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2hT9nOPjT 
Hakcipta terpelihara