Tuesday, September 6, 2016

Saudi lebih berjaga



SUASANA di Masjidilharam, Makkah, malam kelmarin. - EPA

Reuters
Riyadh: Setahun selepas peristiwa yang dianggap antara paling teruk dalam sejarah haji, Arab Saudi tahun ini memperkenalkan gelang elektronik dan memasang lebih banyak kamera pengawasan untuk mengelak berulangnya kejadian rempuhan yang membunuh ratusan jemaah.

Ibadah haji yang menghimpunkan kira-kira dua juta umat Islam di kota suci Makkah tahun ini turut dibelenggu kebimbangan mengenai serangan militan selepas pengebom berani mati membunuh empat askar Saudi di Madinah awal Julai lalu.

Saudi selaku tuan rumah bandar paling suci umat Islam memandang serius peranannya setiap kali musim haji yang tercemar selepas kejadian rempuhan tahun lalu.

Riyadh mendakwa 769 jemaah terbunuh - jumlah tertinggi kematian haji sejak satu lagi kejadian rempuhan pada 1990.

Bagaimanapun, kiraan negara lain yang kehilangan rakyat mereka dalam kejadian itu membayangkan lebih 2,000 orang sebenarnya mungkin terkorban, dengan lebih 400 daripadanya warga Iran.

Iran mendakwa kejadian berlaku akibat kecuaian pihak berkuasa Saudi.

Tahun ini lebih banyak usaha dilakukan untuk mengawal kesesakan.

Puluhan ribu kakitangan awam, keselamatan dan perubatan menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi ibadah haji yang bermula minggu ini.

Riyadh berkata, ia mengerahkan kakitangan tambahan selain meningkatkan penyelarasan dengan misi haji negara lain untuk memastikan jemaah mematuhi jadual ditetapkan untuk setiap ibadah.

Ratusan kamera pengawasan turut dipasang di Masjidilharam.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Mansour Turki berkata: “Jadual ditetapkan amat penting dan kami perlu memastikan jemaah mematuhinya sebaik tiba di sini.”

Akhbar Asharq al-Awsat bulan lalu melaporkan Pihak Berkuasa Pembangunan Makkah membuka laluan serta pintu pagar elektronik untuk membantu pengurusan jemaah yang mahu melontar jamrah - lokasi yang banyak melihat pelbagai kejadian tidak diingini berlaku sebelum ini.

Jemaah turut diberi gelang elektronik untuk membolehkan pihak berkuasa menjejak aliran orang ramai seterusnya tahu jika terlalu ramai orang berada di tempat tertentu pada satu masa. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2016 @ 11:57 AM