Tuesday, July 22, 2014

KKM, PDRM ambil sampel DNA waris penumpang MH17


  • Ahli keluarga mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Ukraine, Mohd Ali Md Salim sedang menunggu sebelum diambil sampel DNA di Hotel Marriot di Putrajaya, hari ini. - Foto BernamaAhli keluarga mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Ukraine, Mohd Ali Md Salim sedang menunggu sebelum diambil sampel DNA di Hotel Marriot di Putrajaya, hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Waris dan anggota keluarga penumpang rakyat Malaysia dalam pesawat Malaysia Airline (MAS) MH17 yang terhempas di Ukraine Khamis lepas memberikan sampel Asid Deoksiribonukliek (DNA) kepada pihak berkuasa hari ini.
  
Kementerian Kesihatan (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengambil 29 sampel DNA daripada waris penumpang yang berada di Hotel Marriot di sini.
  
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Forensik/DNA) Senior Asisten Komisioner T.Narenasagaran berkata 16 kumpulan petugas terlibat dalam proses pengambilan sampel darah atau 'buccal swap' daripada anggota keluarga.
  
Katanya sampel DNA melibatkan waris mangsa di negeri-negeri lain yang tidak dapat hadir ke Putrajaya akan diuruskan wakil KKM dan PDRM di negeri-negeri.
  
"Kita menjangkakan proses pengambilan DNA ini selesai selewat-lewatnya Khamis ini supaya analisis sampel berkenaan dapat dihantar segera ke Amsterdam, Belanda," katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai proses pengambilan DNA di sini hari ini.
  
Sementara itu adik kepada penumpang pesawat malang itu, Noor Rahimah Mohd Noor, yang hanya ingin dikenali sebagai Akma, 55, berkata setakat ini pihak KKM hanya mengambil sampel DNA beliau sahaja.
  
"Mereka hanya mengambil sampel kulit pipi serta darah saya sahaja dan mereka kata itu telah mencukupi. Tambahan lagi hanya saya anggota keluarga terdekat yang berada di sini," katanya.
 
Akma sekeluarga turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana hasil rundingan Perdana Menteri akan membolehkan mayat-mayat insiden nahas dibawa pulang.   

Sementara itu, sepupu Ariza Ghazalee, Zulrusdi Mohamad, 46, berkata pengambilan sampel DNA akan dilakukan terhadap ibu Ariza, Jamilah Noriah Abang Anuar, 72, di rumahnya di Kuching esok.
  
Beliau juga difahamkan kakitangan KKM akan mengambil sampel DNA milik adik beradik suami Ariza, Tambi Jiee yang berada di Goebilt, Kuching esok, katanya ketika dihubungi.
  
Anak saudara penumpang Puan Sri Siti Amirah Prawira Kesuma, Shahadat Edid Bey, 56, berkata beliau akan menghantar sampel rambut yang terdapat pada sikat yang digunakan ibu saudaranya ke Jabatan Forensik dalam masa terdekat.
  
Shahadat yang berada di Kuala Lumpur berkata untuk sampel darah mereka perlu mengambilnya daripada anak kandung Siti Amirah yang kini berada di Belanda.
  
Najib dalam sidang akhbar di Seri Perdana, Putrajaya lewat malam Isnin berkata beliau telah bercakap dengan Alexander Borodai, yang menguasai wilayah tempat tragedi itu berlaku, dan telah mencapai persetujuan berkaitan pengurusan mayat mangsa-mangsa MH17, hak penjagaan kotak hitam dan akses kepada para penyiasat bebas antarabangsa ke kawasan lokasi nahas.
  
Antara yang dipersetujui ialah 282 mayat, yang ketika ini berada di Torez akan dipindahkan dengan kereta api ke Kharkiv sebelum diterbangkan ke Amsterdam dengan pesawat C130 Hercules Belanda. Setelah selesai semua kerja forensik, mayat warganegara Malaysia akan dibawa pulang ke Malaysia.
  
Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk 15 anak kapal itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Belanda) Khamis lepas dan sepatutnya tiba di Kuala Lumpur pada 6.10 pagi (waktu Malaysia) Jumaat.   

Pesawat Boeing 777 itu dipercayai ditembak jatuh namun sehingga kini belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab. - Bernama

MB Kelantan: 100% rakyat negeri mahu hudud


  • Datuk Ahmad YakubDatuk Ahmad Yakub

KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub mendakwa seratus peratus rakyat di negeri itu bersetuju menerima pelaksanaan hukum hudud.
  
Beliau berkata 95 peratus rakyat Kelantan merupakan beragama Islam telah faham dan sedia menerima hukum tersebut.
  
"Lima peratus lagi yang terdiri daripada bukan beragama Islam telah diberi penerangan mengenai pelaksanaan hukum tersebut dan mereka sudah bersedia," katanya kepada pemberita selepas melawat pesakit di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, hari ini.
  
Ahmad diminta mengulas kaji selidik dilakukan Merdeka Centre melibatkan pengundi di Semenanjung dan mendapati 58 peratus daripada orang Melayu, 59 peratus daripada orang Cina dan 61 peratus daripada kaum India merasakan bahawa negara ini belum bersedia untuk melaksanakan undang-undang hudud.
 
Pesuruhjaya PAS Kelantan itu berkata negeri lain perlu kepada usaha yang lebih untuk memberi penjelasan dan kefahaman tentang undang-undang Islam itu.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mementingkan kesihatan memandangkan peningkatan kes demam denggi di negeri ini.
  
"Kita sudah adakan usaha untuk menangani wabak ini melalui kerjasama dengan pihak hospital dan berharap ia berterusan untuk sama-sama menangani wabak ini," katanya.
  
Sementara itu, Pengarah HRPZII Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan berkata sehingga pagi ini seramai 131 pesakit denggi masih dirawat di hospital berkenaan dengan 19 pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU).
  
"Kes wabak denggi ini masih lagi serius tetapi sudah reda sedikit dan kes kematian masih kekal iaitu seramai empat kematian," katanya.
  
Sebanyak 100 pesakit di hospital itu menerima sumbangan hamper daripada kerajaan negeri Kelantan sempena Aidilfitri ini. - Bernama

Istana: Khalid tidak beri surat mohon maaf


  • Laporan Sinar Harian 18 Julai lalu.Laporan Sinar Harian 18 Julai lalu.

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak menerima sebarang surat permohonan maaf daripada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad sebaliknya hanya surat permohonan untuk memberi penjelasan dikemukakan pemimpin itu.

Baginda bagaimanapun belum menetapkan sebarang tarikh terima menghadap permohonan itu

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, surat yang dikirimkan Khalid telah dipersembahkan kepada Tuanku pada Jumaat lalu, untuk menjelaskan berhubung kenyataannya berkaitan isu Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Menurut Mohamad Munir, Sultan Sharafuddin memberi reaksi bahawa seluruh dunia sudah maklum dengan maksud kenyataan Khalid yang mencadangkan supaya kuasa eksekutif Mais dihapuskan.

Justeru itu katanya, Tuanku menitahkan Khalid perjelaskan kepada seluruh masyarakat bukan kepada baginda seorang sahaja.

“Selepas sahaja Tuanku membaca surat yang dipersembahkan, apa reaksi yang perlu dijelaskan lagi? Semua sudah jelas.

“Elok terangkan kepada masyarakat..., jelas kepada Sultan seorang sahaja untuk apa," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ketika ditanya tarikh pertemuan Khalid dengan Sultan Sharafuddin, Mohamad Munir berkata, buat masa ini baginda sibuk dan tidak ada kelapangan untuk berbuat demikian.

Terdahulu, Khalid pada 17 Jun lalu yang mencadangkan kuasa Mais dihapuskan telah mengundang pelbagai spekulasi dan kontroversi kerana dikatakan mencabar institusi raja serta menidakkan kuasa agensi agama berkenaan.

Susulan kenyataan itu, 16 Julai lalu, Sultan Sharafuddin menyuarakan kemurkaan baginda terhadap ahli parlimen itu.

Kemudian, bermulalah episod Khalid didakwa menderhaka sehingga timbul desakan bertubi-tubi agar beliau meminta maaf secara terbuka sebelum menghadap Sultan Sharafuddin.

17 Jun lalu, Khalid di hadapan media menyatakan rasa terkejutnya dengan kemurkaan yang dizahirkan Sultan Sharafuddin. Sambil meminta ampun beliau menyatakan satu surat penjelasan telah dikemukakan kepada baginda sultan untuk mohon menghadap.

Data memori kad kotak hitam tak boleh diubah


  • MH17

KUALA LUMPUR - Data dalam kad memori kotak hitam pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang terhempas di Ukraine pada Khamis, tidak boleh diubah atau ditambah.

Ketua Penyelidikan dan Inovasi Pesawat Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Prof Madya Kapten Dr Mohd Harridon Mohd Suffian berkata data hanya boleh disembunyikan dengan mengasingkan beberapa data tertentu, namun ia masih boleh dikesan jika perkara itu berlaku.

"Sembunyikan data bukan bermaksud memadam maklumat di dalam memori kad tersebut, bagaimanapun apa yang boleh berlaku ialah sebahagian data telah diasingkan, disembunyikan.

"Kad memori juga tidak boleh ditukar kerana ia mempunyai nombor siri tersendiri yang sama dengan nombor pada kotak hitam tersebut dan boleh dikenal pasti melalui kilang yang mengeluarkannya," katanya kepada Bernama.

Mohd Harridon berkata kotak hitam diletakkan dalam satu perkakasan khas iaitu 'Crash Survivability Memory Unit (CSMU) yang mempunyai beberapa lapisan daripada aluminium tipis, silika dan titanium yang kuat dan tahan terhadap letupan pesawat.

Mengulas lanjut beliau turut memberitahu walaupun maklumat analisis daripada kotak hitam diperoleh, namun ia hanya akan memberikan 50 peratus gambaran untuk merungkai nahas pesawat MH17, manakala separuh lagi melalui analisis serpihan  kapal terbang.

"Kita perlu analisis dua perkara, kotak hitam dan serpihan kapal terbang yang jatuh ke tanah perlu dikumpul, diukur dan laporan juga perlu dibua...proses analisis akan menjadi sukar jika serpihan-serpihan kapal terbang MH17 yang jatuh mempunyai banyak saiz kecil dan besar berselerakan, diubah dan dipindahkan daripada tempat asalnya.

Sementara itu, Pensyarah Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Kamarul Arifin Ahmad berkata kotak hitam  mempunyai dua komponen penting iaitu Voice Data Recorder (VDR) yang merupakan rakaman suara antara juruterbang dan pembantu juruterbang dan Flight Data Recorder (FDR) iaitu rakaman data-data pesawat.

"VDR dapat merakam perbualan juruterbang bersama pembantu juruterbang selama dua jam sebelum ia terhempas dan data FDR pula direkodkan sejak pesawat tersebut berlepas", katanya.

Kamarul Arifin berkata kemungkinan bunyi impak peluru jika betul MH17 ditembak pasti dapat dirakam oleh kotak hitam pesawat tersebut.

Beliau berkata Malaysia wajar mendapatkan kepakaran dari luar negara untuk mengendalikan siasatan terhadap kotak hitam pesawat MH17 kerana memerlukan instrumen serta orang berpengalaman dalam bidang tersebut.

Data kotak hitam berkemungkinan akan rosak jika komponen elektronik itu disalahgunakan, katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata di Putrajaya pada Isnin malam bahawa kotak hitam itu akan diserahkan kepada pasukan Malaysia pada jam 9 malam (2 pagi di Malaysia) selepas beliau berhubung dengan Alexander Borodai, yang menguasai wilayah bergolak tempat pesawat itu terhempas.

Pesawat MAS, MH17, sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di Donetsk, utara Ukraine, dekat sempadan Rusia pada Khamis malam.

Pesawat Boeing 777 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal itu dipercayai telah ditembak jatuh. - Bernama

Rusia puji Malaysia ambil sikap berkecuali


  • Duta Besar Russia, Lyudmila Vorobyeva pada sidang media berhubung insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17, yang membawa 295 orang termasuk 15 anak kapal terhempas di Ukraine, Khamis lepas di kediaman rasminya di sini, Isnin. - Foto BernamaDuta Besar Russia, Lyudmila Vorobyeva pada sidang media berhubung insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17, yang membawa 295 orang termasuk 15 anak kapal terhempas di Ukraine, Khamis lepas di kediaman rasminya di sini, Isnin. - Foto Bernama
 1 / 1 
KUALA LUMPUR - Kerajaan Rusia hari ini mengucapkan terima kasih dan memuji kerajaan Malaysia kerana bersikap berkecuali sementara menunggu sehingga selesai siasatan berhubung insiden pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 yang dipercayai ditembak jatuh.
  
Duta Rusia di Malaysia Lyudmila Vorobyeva berkata, ketika banyak negara saling menuding jari dan menyalahkan Rusia berikutan insiden berkenaan, Malaysia terus bersikap tidak memihak dan memberi tumpuan kepada keputusan akhir siasatan itu.
  
"Kami amat menghargai pendirian berkecuali kerajaan Malaysia, tidak menyalahkan sesiapa sebelum sebarang bukti nyata dapat dikemukakan hasil keputusan siasatan antarabangsa.
 
"Kami sangat menghargai, kami sangat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia," katanya pada sidang akhbar di kedutaan itu di sini hari ini.
  
Penerbangan MH17 MAS sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada Khamis.

Pesawat Boeing 777-200 itu membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 kru.
  
Pesawat itu dipercayai ditembak jatuh namun sehingga hari ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.
  
Menjelaskan lebih lanjut tentang hubungan antara Rusia dan Malaysia, Vorobyeva berkata insiden tragik itu tidak menjejaskan hubungan itu yang diwujudkan dalam cara yang positif selama bertahun-tahun.
  
"Banyak bidang, daripada dialog politik sehinggalah perdagangan, mencatatkan peningkatan sebanyak 60 peratus tahun lepas. Di Rusia juga terdapat kira-kira 6,000 pelajar Malaysia.
  
"Harapan ikhlas kami adalah kita akan kekalkan hubungan dua hala yang positif dan dinamik ini," katanya.

Vorobyeva berkata tidak adil untuk terus menyalahkan Rusia atau puak pemisah yang didakwa disokong Rusia di Ukraine yang menembak jatuh jet berkenaan memandangkan sehingga kini belum ada bukti dikemukakan bagi menyokong dakwaan itu.
  
Beliau berkata dakwaan itu tidak berasas sama sekali disebabkan bukti yang didakwa itu dalam bentuk rakaman audio dan gambar yang disediakan Ukraine adalah palsu dan pita itu mengemukakan kompilasi dalam tempoh berlainan.
  
"Ia telah dianalisis pakar, ia adalah kompilasi rakaman, ada yang dibuat sebelum nahas... gambar, rakaman, adalah palsu," katanya.
  
Vorobyeva berkata pemberontak hanya mempunyai sistem pertahanan udara mudah alih, dengan keupayaan sekitar 5 kilometer, dan ia ditawan daripada tentera Ukraine.
  
"Tentera Ukraine, bagaimanapun, memang ada sistem peluru berpandu yang diatur kedudukannya di wilayah itu, menurut angkatan tentera Rusia. Pemberontak (malah) tidak mempunyai kapal terbang atau jet pejuang.

"Jika anda tanya saya, saya yakin tiada cara untuk mereka melakukannya. Mereka tidak mempunyai sumber untuk melakukannya. Pemberontak tidak mempunyai kemahiran atau kelayakan untuk mengendalikannya (sistem peluru berpandu Buk), tetapi tentera Ukraine memilikinya," katanya.
  
Bagaimanapun, Vorobyeva menegaskan kerajaan Rusia tidak mahu membuat tuduhan tanpa bukti kukuh.
  
Oleh itu, beliau berkata kerajaan Rusia berulang kali menggesa supaya siasatan menyeluruh dilakukan sehingga membawa kepada bukti pihak yang bertanggungjawab terhadap insiden itu. - Bernama

MH17: Di saat pemimpin lain sibuk menuding jari...


  • MH17

SHAH ALAM - Ketika semua pemimpin sibuk menuding jari berhubung nahas MH17, Malaysia berjaya mendapatkan dua kotak hitam MH17 dan mayat penumpang melalui rundingan sulit dengan kumpulan pemisah Ukraine.

Melalui laporan media Australia, Sydney Morning Herald (SMH), Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan begitu berhati-hati mengelak untuk menuduh kumpulan pemisah Ukraine menembak jatuh MH17.

Malah melalui rundingan sulit itu, Malaysia bukan saja berjaya mendapatkan dua kotak hitam MH17 malah mendapat jaminan bahawa penyiasat antarabangsa boleh memasuki kawasan nahas dengan selamat.

“Melalui persetujuan dengan ketua kumpulan pemisah Ukraine, Alexander Borodai, mayat penumpang akan diterbangkan oleh pesawat Dutch C-130 Hercules dengan wakil Malayisa ke Belanda untuk pengecaman.

“Persetujuan itu juga membolehkan penyiasat antarabangsa memasuki kawasan nahas dengan selamat,” lapor portal itu.

SMH juga menyebut tentang kritikan yang diterima Najib ekoran gagal menyalahkan kumpulan pemisah Ukraine secara langsung.

“Tetapi, sebaliknya dia membuat beberapa siri panggilan telefon secara sulit dengan Borodai  yang dipercayai berkata hanya akan menyerahkan mayat dan kotak hitam kepada Malaysia,” lapor portal itu lagi.

Sementara itu, sebuah lagi media Australia, The Austalian melaporkan tentang penyerahan dua kotak hitam tersebut yang berlaku selepas perbincangan lebih sejam.

“Dua kotak hitam diserahkan selepas dua jam perbincangan di mana percubaan sebelum itu gagal. Ia tidak jelas mengapa mereka tidak lulus lebih awal.

“Pasukan pakar Malaysia dan wakil kumpulan pemisah kemudian menandatangani protokol sebelum kotak tersebut diserahkan,” lapor portal itu.

Sebelum ini, Najib dilaporkan tetap dengan pendirian bahawa Malaysia tidak akan menyalahkan mana-mana pihak walau pesawat MH17 dipercayai ditembak jatuh.

“Sekalipun ia dipercayai ditembak jatuh namun buat masa ini kita tidak menuding jari pada mana-mana pihak atas perbuatan itu sehinggalah bukti benar-benar sahih dapat disahkan.

“Walau apa pun kita mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berhati perut, tidak bertamadun, perbuatan ganas dan tidak bertanggungjawab itu,” katanya.

Seramai 43 warganegara Malaysia merupakan antara 298 penumpang penerbangan MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur bila ia dipercayai ditembak jatuh di wilayah Donetsk.
 
Pesawat itu meninggalkan Amsterdam pada Khamis 12.15 tengah hari (waktu Netherlands) dan sepatutnya tiba di Kuala Lumpur pada 6.10 pagi (waktu Malaysia) hari Jumaat.

MH17: Kamu bunuh anak tunggal saya, Putin!


  • MH17: Kamu bunuh anak tunggal saya, Putin!

NEW YORK – AMERIKA SYARIKAT. Susulan nahas MH17 yang mengorbankan 298 nyawa, Khamis lalu, seorang bapa kepada salah seorang mangsa menzahirkan kekecewaannya menerusi satu surat terbuka yang ditulis kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin, lapor portal CBS News.

Hans de Borst merupakan warga Berlanda secara sinis mengucapkan ‘terima kasih’ kepada Putin yang didakwa telah menghancurkan hidupnya dengan kehilangan anak perempuan tunggalnya, Elsemiek de Borst, 17.

Elsemiek dalam perjalanan ke Malaysia untuk bercuti dengan ibu dan bapa tiri serta adik lelakinya.

Menurut Borst, anaknya tunggalnya itu mahu menamatkan sekolah tinggi dan bercita-cita menjadi seorang jurutera.

"Terima kasih banyak, Putin dan pemimpin pemisah Ukraine kerana membunuh satu-satunya anak saya yang tersayang, Elsemiek!

“Dia berusia 17 tahun dan merupakan pelajar di Segbroek College di Den Haag. Dia akan menduduki peperiksaan akhir bersama sahabat karibnya Julia dan Marina, tahun depan. Mereka cemerlang di sekolah. Dia hendak belajar kejuruteraan di Universiti Delft.

"Tetapi dalam sekelip mata dia sudah tiada lagi, ditembak di langit sebuah negara asing yang sedang berperang!,” tulisnya yang dipetik dari laman sosial Facebooknya, hari ini.

Pesawat malang yang membawa 283 penumpang dan 15 kru itu didakwa ditembak kumpulan pemberontak pro-Rusia di Donetsk iaitu wilayah pemberontak Ukaraine.

Sejurus kejadian itu, Ukraine dan Rusia saling menuding jari menuduh antara satu sama lain untuk bertanggungjawab terhadap kejadian itu.

Penggantian Dan Pelantikan Menteri Besar Perlu Patuhi Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri

Abdul Khalid Ibrahim





Saya menghormati keputusan politik Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) yang mencalonkan Presiden Keadilan, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar yang baharu.

Namun begitu, saya berpegang teguh kepada enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri yang menetapkan tatacara yang khusus bagi pelantikan atau penggantian Menteri Besar.

Saya percaya mereka yang terlibat dalam usaha ini perlu melalui proses-proses tersebut untuk mencapai matlamat yang mereka inginkan.

Sehingga proses tersebut berlaku dan selesai, saya akan terus menjalankan tugas sebagai Menteri Besar dengan penuh tanggungjawab, tekun dan amanah seperti yang telah diamanahkan oleh rakyat Selangor yang telah memilih saya melalui proses pemilihan yang sah.

Saya berharap rakyat Selangor tidak mudah terpengaruh dengan berita-berita fitnah, bersifat provokasi dan kontroversi kerana Negeri Selangor mempunyai tatacara pelantikan Menteri Besar secara tertib dan beradab seperti yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Pada masa yang sama, saya ingin menegaskan kepada seluruh rakyat Selangor dan para pelabur bahawa isu ini tidak sedikit pun menjejaskan sistem pentadbiran negeri.

YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
22 JULAI 2014

Komen haid bukti diskriminasi wanita


WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Julai 2014


PASIR GUDANG - Kenyataan penasihat undang-undang Umno, Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mendakwa Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tidak sesuai menjadi Menteri Besar Selangor kerana mengalami uzur syarie adalah satu diskriminasi terhadap wanita.

Ketua Wanita PKR Johor, Natrah Ismail berkata, jantina tidak sepatutnya menjadi ukuran untuk menjadi seseorang pemimpin, sebaliknya kebolehan dan kepentingannya kepada kebajikan rakyat yang seharusnya diutamakan.

Menurutnya, tugas seorang Menteri Besar bukan semata-mata untuk mengiringi Sultan atau pembesar, tetapi khidmat yang boleh diberikan kepada rakyat sepatutnya dipersoalkan.

“Kita bantah kenyataan yang dikeluarkan oleh Mohd Hafarizam. Kenyataan sedemikian melambangkan diskriminasi yang cuba dibuktikan oleh Umno terhadap wanita.
“Pendapat itu terlalu kuno kerana bukan soal uzur syarie yang sepatutnya diperbesarkan, tapi lihat peranan yang boleh dimainkan oleh wanita dalam masyarakat dan negara,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung PKR, Steven Choong berkata, peluang untuk wanita dan golongan muda dalam PR tanpa sebarang diskriminasi menjadi punca ramai orang muda menyertai pembangkang.

Katanya, tindakan wakil Umno mengeluarkan kenyataan sedemikian melambangkan rasa tidak hormat terhadap kaum wanita.

“Wanita dalam Barisan Nasional (BN) jangan fikir atau bermimpi untuk menjadi Menteri Besar atau Perdana Menteri kerana mereka tak akan diberi peluang sama rata.

“Sedangkan dalam PR kita memberi peluang yang cukup luas kepada wanita dan orang muda yang berkebolehan untuk memegang jawatan penting dalam parti,” katanya.

Akhirnya nama Wan Azizah diumum sebagai MB


  • Wan Azizah Wan IsmailWan Azizah Wan Ismail

SHAH ALAM - PKR menamakan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

PKR mencapai keputusan itu selepas selesai mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Pusat (MPP) lewat malam tadi, lapor sebuah portal.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Wan Azizah yang juga Presiden PKR mampu memberi kestabilan kepada PR di Selangor.

"Nama yang dicadangkan adalah Wan Azizah selaku Presiden parti dan saya percayai ia mampu beri gambaran kestabilan kepada PKR dan PR," kata Anwar pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, semalam.

Laporan itu dipetik, Anwar mengakui mesyuarat diadakan bagi membincangkan mengenai isu Menteri Besar Selangor dan keputusan yang diperoleh adalah mengemukakan Wan Azizah sebagai calonnya.

"Jadi konsensus tadi (semalam) ialah untuk terus dengan keputusan awal (Langkah Kajang) dengan kemukakan satu nama kepada Majlis Pakatan Rakyat.

"Proses itu akan dibawa kepada Majlis Pakatan Rakyat," katanya.

Anwar menjelaskan pengumuman tersebut bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu di negeri Selangor yang semakin meruncing.

"Tapi kita rasa kena ada langkah tambahan untuk selesaikan isu panas dan legakan kegelisahan rakyat dan menarik kembali keyakinan kepada PR," katanya.

Anwar bagaimanapun dilaporkan tetap memuji pentadbiran Abdul Khalid yang dilantik menteri besar untuk penggal kedua tetapi menegaskan perubahan perlu dilakukan.

"Pertama kita akui, prestasi itu membanggakan dan menghargai jasa Abdul Khalid mentadbir serta banyak rekod yang boleh dibanggakan," katanya.

Menurut Anwar, pertemuan malam tadi juga bagi menjelaskan mengenai perkembangan terakhir "Langkah Kajang" yang pada awalnya diambil untuk menukar kepimpinan di Selangor.

"Jadi malam ini, kita teruskan pertemuan dengan ahli pimpinan baru, ketua cabang baru serta pemimpin PKR lain.

"Kita adakan pertemuan ini bagi beri ruang untuk dapatkan penjelasan dan maklumat terakhir mengenai Langkah Kajang," katanya.

Isu Menteri Besar Selangor panas sejak selepas PRU13 dan tidak selesai sehingga kini.

Abdul Khalid kehilangan sokongan daripada partinya sendiri selepas dilantik semula menjawat jawatan nombor satu itu untuk penggal kedua.

Anwar minggu lepas juga memberi isyarat PKR sudah memiliki pengganti menteri besar baharu.

Nama Dr Wan Azizah sebelum ini juga dikatakan akan mengisi jawatan tersebut.

Sementara itu, isu jawatan Menteri Besar Selangor juga dikatakan menjadi salah satu punca populariti PR jatuh merudum di Selangor setahun selepas PRU13.

Ketua pemisah serah sendiri kotak hitam MH17


  • Wartawan merakam gambar dua kotak hitam MH17 selepas diserahkan kepada Kolonel Mohamed Sakri (dua, kiri) dari Majlis Keselamatan Negara Malaysia semasa sidang akhbar yang dianjurkan di Donestk, Ukraine, hari ini.  - Foto EPAWartawan merakam gambar dua kotak hitam MH17 selepas diserahkan kepada Kolonel Mohamed Sakri (dua, kiri) dari Majlis Keselamatan Negara Malaysia semasa sidang akhbar yang dianjurkan di Donestk, Ukraine, hari ini. - Foto EPA

DONETSK - Kumpulan pemisah Ukraine dilaporkan telah menyerahkan dua kotak hitam MH17 kepada pakar Malaysia sebentar tadi, lapor ABC.

Penyerahan dua kotak hitam itu  dibuat sendiri oleh ketua pemisah Ukraine, Alexander Borodai.

Turut berlaku ketika penyerahan, gencatan senjata di zon 10 kilometer sekeliling itu bagi membolehkan pasukan penyiasat antarabangsa masuk dengan selamat ke lokasi nahas MH17 di timur Ukraine.

Dalam pada itu, dalam satu sidang media lewat malam tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan, di bawah persetujuan kedua, dua kotak hitam MH17 akan diserahkan kepada pasukan Malaysia.

"Kita akan mengambil alih hak ke atas dua kotak hitam ini," katanya.

Beliau berkata, hasil persetujuan dengan Borodai juga, pasukan penyiasat bebas antarabangsa diberi jaminan untuk memasuki kawasan nahas untuk melakukan siasatan penuh terhadap tragedi MH17.

Najib berkata, sebelum ini, Malaysia telah berusaha sedaya upaya untuk menghubungi pihak terbabit di kawasan nahas MH17.

"Dalam keadaan yang sukar, kita telah berbincang mengenai masalah bersama yang wujud, melindungi bukti-bukti penting dari pesawat.

"Siasatan bebas telah dilancarkan untuk mencari penumpang-penumpang yang terkorban," katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, beliau berharap perjanjian yang dicapai malam tadi akan dapat membantu mencari jalan penyelesaian kemelut yang melanda dalam tragedi MH17.

MH17: Pemindahan mayat perlu secara profesional


  • PBBPBB

KUALA LUMPUR - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 'dengan kerasnya' mengutuk serangan ke atas pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17 di timur Ukraine minggu lepas yang telah menyebabkan 298 nyawa terkorban.
  
Menggesa agar siasatan antarabangsa mengenai kejadian itu dijalankan, Majlis berkenaan menuntut kumpulan bersenjata di kawasan itu membenarkan akses penuh ke lokasi kemalangan dan memastikan integriti itu dikekalkan.
  
Dalam resolusi yang diterima sebulat suara, badan antarabangsa itu menyokong usaha untuk menubuhkan siasatan antarabangsa yang lengkap, menyeluruh dan bebas mengenai nahas berkenaan mengikut garis panduan penerbangan awam antarabangsa.
  
Ahli-ahli Majlis juga berkeras agar pemindahan mayat-mayat mangsa nahas diperlakukan secara "bermaruah, dihormati dan profesional' menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Berita PBB.
  
Di samping itu, mereka menuntut bahawa semua aktiviti ketenteraan, termasuk kumpulan bersenjata dihentikan segera di kawasan sekitar lokasi kemalangan untuk menjamin keselamatan penyiasatan antarabangsa.

Majlis Keselamatan PBB juga menekankan keperluan agar kumpulan bersenjata yang berkawal di lokasi kemalangan dan kawasan sekitarnya agar tidak membuat sebarang tindakan yang boleh menjejaskan sebarang bukti di lokasi nahas.
  
Pihak bertanggungjawab menyebabkan kemalangan itu mesti dibawa ke muka pengadilan dan semua negara mesti bekerjasama sepenuhnya dan berusaha untuk mewujudkan akauntabiliti, tambahnya.
  
Pesawat Boeing 777-200 Malaysia Airlines penerbangan MH17, sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia dipercayai ditembak jatuh dengan peluru berpandu darat ke udara pada Khamis.
  
Pesawat malang itu ditembak jatuh di Donetsk, timur Ukraine.  - Bernama

Kereta api bawa mayat mangsa MH17 menuju Donetsk


  •  Kereta api bawa mayat mangsa MH17 menuju Donetsk

MOSCOW - RUSIA. Kereta api yang membawa mayat mangsa nahas MH17 dilaporkan telah bertolak dari stesyen di bandar Torez yang terletak berhampiran timur Ukraine menuju Ilovaisk di wilayah Donetsk, lapor media Ria Novosti.

Bagaimanapun, wakil-wakil daripada puak pemisah pro-Rusia berkata, mereka tidak tahu siapa yang mengarahkan kereta api itu bertolak sedangkan banyak barang-barang peribadi mangsa dibiarkan di platform.

Sementara itu, delegasi Malaysia sedang menunggu ketibaan keretapi berkenaan di Donetsk sebelum meneruskan perjalanan ke wilayah yang dikuasai oleh kerajaan Ukraine dan kemudian ke Amsterdam.

Pesawat itu dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dipercayai ditembak jatuh oleh misil pada Khamis lepas ketika terbang di ruang udara wilayah Donetsk di timur Ukraine.
 
Pesawat Malaysia itu membawa 298 penumpang dan anak kapal.

Tiga penyiasat akan tiba di lokasi nahas MH17


  • MH17

KIEV - Selepas kelewatan tiga hari, tiga penyiasat bertauliah dari Malaysia dijangka tiba di kawasan nahas pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 di Torez, timur Ukraine pada Selasa.
  
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ketiga-tiga wira itu terdiri daripada dua jurutera kanan dan seorang bekas juruterbang.
  
Tiong Lai berkata, mereka ialah pengarah kanan bantuan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Kapten Philip Joseph Selvaraju (bekas juruterbang), 42, pengarah kanan bantuan DCA Mohd Naemy Fahmy Mustapa, 38, dan pengarah Kejuruteraan dan penyelenggaraan MAS, Azhari Mohd Dahlan, 53.
  
Beliau berkata, Azhari mempunyai pengalaman kerja selama 32 tahun dalam bidang kejuruteraan, Kapt Philip mempunyai pengalaman kerja selama 16 tahun dalam bidang aero angkasa dan Mohd Naemy, yang juga bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia mempunyai pengalaman selama enam tahun dalam bidang kejuruteraan.
  
"Kejayaan Malaysia menghantar penyiasatnya ke kawasan nahas dicapai selepas kerajaan berunding dengan Pertubuhan bagi Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE) dan beberapa kumpulan pemisah," kata beliau kepada wartawan Malaysia di sini semalam.

Pesawat Malaysia Airline penerbangan MH17, sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia ditembak jatuh di Donetsk, di timur Ukraine dekat sempadan Rusia pada Khamis.
  
Pesawat Boeing 777-200 itu membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 kru.
  
Laporan media asing menyebut bahawa pesawat ditembak jatuh tetapi sehingga sekarang, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap insiden itu.
  
Tiong Lai berkata, ketiga-tiga mereka akan diterbangkan ke Kharkev, sebuah daerah dekat Donetsk, pada pukul 8 malam dan mereka akan bermalam di sana.
  
Pada keesokan hari, beberapa pegawai OSCA akan datang untuk mengiringi mereka dengan menaiki kereta perisai ke Usim, satu lagi lokasi sebelum mereka diserahkan kepada kumpulan pemisah, kata beliau.

Tiong Lai berkata, dari sana, satu kumpulan pemisah akan membawa mereka dengan menaiki kereta perisai untuk masuk ke Donetsk dan kemudian satu lagi kumpulan pemisah akan mengiringi mereka ke kawasan nahas di Torez.
  
"Perjalanan dalam kereta perisai itu akan mengambil masa lima jam. Walaupun diiringi, ia tidak menjamin 100 peratus keselamatan mereka," kata beliau.
  
Mengenai usaha mengumpul 233 mayat penumpang MH17, Liow berkata Presiden Ukraine Petro Poroshenko memberi jaminan untuk mempercepatkan proses dan memindahkan semua mayat ke dalam gerabak peti sejuk untuk dibawa ke Kiev.
  
"Tetapi beliau tidak menyatakan tempoh masa bila gerabak kereta api yang membawa mayat itu akan tiba," kata beliau. - Bernama

Putin janji bantu apa sahaja


  • Vladimir Putin

MOSCOW - RUSIA . Presiden Rusia, Vladimir Putin berjanji akan melakukan apa sahaja untuk memastikan keselamatan pasukan penyiasat antarabangsa bagi nahas MH17 dan untuk menjamin koridor kemanusiaan yang diperlukan bagi pasukan itu menjalankan kerja-kerja mereka.

Dalam kenyataan video yang dikeluarkan oleh  Rusia awal pagi semalam, Putin menegaskan penting untuk penyiasat antarabangsa diberikan akses selamat ke tapak nahas pesawat MH17 di Ukraine.

Beliau turut berjanji Rusia akan melakukan segala yang mungkin untuk menyelesaikan konflik Ukraine susulan tembakan pesawat MAS itu, minggu lalu.

"Rusia akan melakukan segala-galanya dalam kuasa kami supaya konflik di timur Ukraine bertukar daripada fasa ketenteraan sekarang ini kepada fasa rundingan melalui cara aman dan diplomatik," menurutnya.

Putin kemudian mengulangi dakwaannya bahawa nahas itu tidak mungkin berlaku jika Kiev tidak menggunakan operasi ketenteraan terhadap puak pemisah pro-Rusia di timur Ukraine.

"Kita boleh katakan dengan kepastian bahawa jika serangan ketenteraan di timur Ukraine tidak disambung semula pada 28 Jun, tragedi ini besar kemungkinan tidak akan berlaku.

"Dengan itu, tiada siapa yang mempunyai hak untuk menggunakan tragedi ini untuk matlamat politik sempit dan pentingkan diri mereka," katanya.

Dalam pada itu, pemimpin Barat sebelum ini menuntut Putin menggunakan pengaruhnya untuk memujuk pemberontak yang mengawal tapak nahas di timur Ukraine supaya menyerahkan mayat 298 mangsa nahas itu dan memberikan penyiasat antarabangsa akses penuh ke tapak nahas.

Tanpa menjanjikan sebarang langkah konkrit daripada Moscow, Putin berkata apa sahaja perlu dilakukan untuk memastikan keselamatan pasukan penyiasat dan untuk menjamin koridor kemanusiaan yang diperlukan bagi pasukan itu menjalankan kerja-kerja mereka.

Ukraine sebelum ini mendakwa pesawat Boeing 777 itu ditembak jatuh menggunakan peluru darat ke udara menggunakan sistem yang dibawa ke timur Ukraine dari Rusia, manakala Amerika Syarikat juga turut menuding jari kepada Rusia.

Sementara itu, Presiden Ukraine, Petro Poroshenko semalam berkata, beliau telah mengarahkan pasukan keselamatan negara itu untuk menghentikan serangan dalam lingkungan 40 kilometer daripada kawasan nahas itu.

"Saya telah memberikan arahan, askar Ukraine tidak boleh melakukan apa-apa operasi atau membuat serangan dalam lingkungan 40 kilometer dari kawasan nahas secara serta-merta," katanya.

Namun, selepas arahan itu dikeluarkan, serangan ke atas bandar Donetsk kira-kira 70 kilometer dari kawasan nahas dilaporkan berterusan.

Jurucakap Majlis Keselematan Ukraine Andrey Lysenko bagaimanapun mendakwa askar Ukraine sama sekali tidak bertanggungjawab terhadap letupan yang berlaku di bandar itu.

Anwar umum Azizah sebagai calon MB Selangor yang baru..



PKR mencapai keputusan untuk meletakkan Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai pengganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor selepas selesai mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Pusat (MPP) malam tadi.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Dr Wan Azizah yang juga presiden PKR mampu memberi kestabilan kepada Pakatan Rakyat (PR) di Selangor.

"Nama yang dicadangkan adalah Wan Azizah selaku presiden parti dan saya percayai ia mampu beri gambaran kestabilan kepada PKR dan Pakatan," kata Anwar pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, malam tadi.

Anwar mengakui mesyuarat diadakan bagi membincangkan mengenai isu menteri besar Selangor dan keputusan yang diperoleh adalah mengemukakan Dr Wan Azizah sebagai calonnya.

"Jadi konsensus tadi ialah untuk terus dengan keputusan awal (Langkah Kajang) dengan kemukakan satu nama kepada Majlis Pakatan Rakyat.

"Proses itu akan dibawa kepada Majlis Pakatan Rakyat," katanya. Anwar menjelaskan pengumuman tersebut bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu di negeri Selangor yang semakin meruncing.

"Tapi kita rasa kena ada langkah tambahan untuk selesaikan isu panas dan legakan kegelisahan rakyat dan menarik kembali keyakinan kepada Pakatan," katanya.

Anwar memberi pujian kepada pentadbiran Khalid yang dilantik menteri besar untuk penggal kedua tetapi menegaskan perubahan perlu dilakukan.

"Pertama kita akui, prestasi itu membanggakan dan menghargai jasa Khalid mentadbir serta banyak rekod yang boleh dibanggakan," katanya.

Menurut Anwar, pertemuan malam ini juga bagi menjelaskan mengenai perkembangan terakhir "Langkah Kajang" yang pada awalnya diambil untuk menukar kepimpinan di Selangor.

"Jadi malam ini, kita teruskan pertemuan dengan ahli pimpinan baru, ketua cabang baru serta pemimpin PKR lain.

"Kita adakan pertemuan ini bagi beri ruang untuk dapatkan penjelasan dan maklumat terakhir mengenai Langkah Kajang," katanya.

Isu menteri besar Selangor panas sejak selepas Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) dan tidak selesai sehingga kini.

Daripada isu kalimah Allah, isu Bible berbahasa Melayu dan Iban yang dirampas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), kontroversi Lebuhraya Kinrara-Damansara dan pertembungan politik dalaman PKR mengganggu pentadbiran negeri terkaya itu.

Khalid kehilangan sokongan daripada partinya sendiri selepas dilantik menteri besar untuk penggal kedua.

Anwar minggu lepas juga memberi isyarat PKR sudah memiliki pengganti menteri besar baru.

Nama Dr Wan Azizah sebelum ini juga dikatakan akan mengisi jawatan tersebut, bagaimanapun pembangkang Barisan Nasional (BN) mengkritik usaha tersebut.

Anwar pada sidang media itu juga berkata tidak kisah mengenai kritikan susulan keputusan tersebut.

"Itu adalah perkara biasa kritikan yang diterima," katanya.

Menurut Anwar perkara itu akan diselesaikan secepat mungkin.

Isu menteri besar Selangor juga dikatakan menjadi salah satu punca populariti PR jatuh merudum di Selangor setahun selepas PRU13.

Kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel) setahun selepas PRU13 mendapati sokongan kepada PR jatuh kepada 35% berbanding 50% enam bulan sebelum pilihan raya lapor The Malaysian Insider

Bencana MH17: Mari muhasabah diri pemimpinku


HAMBALI AKRAM | .
BELUMPUN kesedihan rakyat Malaysia kehilangan pesawat MH370, kini rakyat Malaysia diuji lagi sekali dengan bencana yang menimpa pesawat MH17.

Bencana yang menimpa ini merupakan sebahagian daripada rentetan lain termasuk pencerobohan Pantai Timur Sabah yang masih belum menunjukkan tanda-tanda berakhir. Bermula daripada kemasukan segerombolan pihak bersenjata dan berterusan dengan siri penculikan.

Kita kehilangan beberapa orang anggota keselamatan – isteri menjadi balu, anak menjadi yatim, ibu kehilangan anak dan sebagainya – semua insiden ini memberikan kesedihan bukan sahaja kepada keluarga yang terbabit, malah rakyat Malaysia secara amnya.

Jauh sebelum itu, negara kita juga dilanda musibah yang sehingga kini masih tiada jawapan – kematian misteri yang membabitkan Altantuya, Teoh Beng Hock, Ahmad Sarbani Mohamed, Norita Samsuddin dan mungkin banyak lagi. Kesemuanya memberi kesan yang mendalam terhadap keluarga terbabit.

Sehingga kini terlalu banyak persoalan daripada jawapan dalam kesemua kejadian dan kes di atas.

Oleh hal yang demikian, wajarlah rakyat Malaysia terutama para pemimpin bermuhasabah diri dan memohon keampunan daripada Allah. Kadangkala secara kita tidak sedar kita telah melakukan kezaliman dan doa orang yang dizalmi itu tidak hijab – tidak kira sama ada mereka Muslim atau tidak. Untuk menyedarkan kita maka Allah akan hantar peringatan demi peringatan.

Kepada keluarga yang terbabit, takziah dan bersabarlah.

MH17: Ringkasan urusan jenazah hancur bercampur non-muslim


http://kerabubersuara.blogspot.com | .
Jika telah bercampur dan tidak boleh dikenali di antara Muslim dan non-Muslim, maka menurut ijtihad Imam Syafie disolatkan semuanya walau bercampur dan tidak dapat dipastikan lagi, walaupun jumlah yang muslim kurang berbanding non-muslim. Dengan hujjah solat ke atas jenazah muslim itu wajib. Oleh kerana solat ke atas orang bukan Islam itu ditegah di dalam Islam, mazhab Syafie menyarankan niat solat ke atas mayat bercampur itu dengan mengikat iaitu :-

“Aku solatkan ke atas jenazah ini JIKA dia seorang Islam”

Berikut adalah teks dari kitab fiqh silam:-

قال الشافعي ) رحمه الله تعالى( : وإذا غرق الرجال أو أصابهم هدم أو حريق وفيهم مشركون كانوا أكثر أو أقل من المسلمين صلى عليهم ، وينوي بالصلاة المسلمين دون المشركين ، وقال بعض الناس : إذا كان المسلمون أكثر صلى عليهم ، ونوى بالصلاة المسلمين دون المشركين ، وإن كان المشركون أكثر لم يصل على واحد منهم ( قال الشافعي ( لئن جازت الصلاة على مائة مسلم فيهم مشرك بالنية لتجوزن على مائة مشرك فيهم مسلم

Ertinya: Imam Syafi'i berkata: Ketika beberapa lelaki tenggelam atau tertimpa runtuhan bangunan atau kebakaran dan di sana bercampur baur dengan orang kafir sama ada lebih ramai atau kurang dibandingkan dengan orang-orang muslim, maka boleh solat ke atas orang-orang tersebut dengan niat solat ke atas orang Islam. Ada sebahagian berpendapat: “Boleh menyolatkan hanya jika orang muslim lebih banyak dari pada orang kafir, tetapi kalau orang kafir lebih banyak hukum mensolatkannya tidak boleh”.

Imam Syafi'i berkata: “Kalau boleh menyolatkan seratus orang Islam yang di dalamnya terdapat satu orang musyrik dengan niat, maka diperbolehkan pula mensolatkan satu orang muslim yang di dalamnya terdapat seratus orang musyrik dengan niat. Itu kalau orang kafir atau orang musyrik tersebut tidak bisa dikenali lagi. (Imam al-Muzanni, Mukhtasar al-Muzanni ‘ala al -Umm)

Bagi yang tidak berada di sana, boleh dilaksanakan solat ghaib.

Adakah Perlu Mandikan Anggota Bercampur?

Imam Syafie juga berpendapat bahawa mayat yang tidak lengkap tubuhnya, termasuk mayat yang telah terpotong anggota tetap wajib dimandikan, dikafankan, dan disolatkan. Tiada bezanya di antara mayat yang lengkap dengan yang tidak. Justeru, wajib memandikan anggota tubuh si mayat yang terdapat itu seperti wajibnya memandikan mayat yang lengkap anggota badannya. Pendapat yang serupa juga disebutkan oleh Imam Ahmad bin Hambal, dan Ibnu Hazm. Imam Syaf’i berkata: “kami mendapat berita bahawa di waktu perang berunta(Jamal), seekor burung menggugurkan sepotong tangan manusia di Mekah (tangan itu adalah tangan Abd Rahman Bin ‘Itab bin Asid).

Tangan itu dapat mereka kenali dengan cincin. Maka tangan itu mereka mandikan dan shalatkan, dan hal itu adalah di depan para sahabat”

Imam Ahmad, berkata: “Abu Ayyub mensolatkan sepotong kaki, sedang Umar mensolatkan tulang-belulang”

Justeru, sekiranya didapati mana-mana satu anggota dan tidak menjadi luruh atau tanggal dengan sebab dimandikan maka wajiblah dimandi dan disolatkan. Dan jika ianya menjadi luruh sedangkan anggota-anggota itu adalah sebahagian daripada anggota tayammum maka wajiblah ditayammumkan anggota itu dan disembahyangkan keatasnya.

Sekiranya tiada kemampuan atas sebab terlalu ramai atau wujud halangan undang-undang dan sebagainya seperti orang yang terbakar sehingga menjadi debu atau yang dimakan binatang buas, tenggelam di dalam laut atau lubang yang tidak dapat dikeluarkan atau ditemukan. tidak perlu dimandikan lagi. Menurut pendapat para ulama silam, orang Islam yang mati dalam kebakaran yang habis seluruh tubuhnya menjadi debu tidaklah wajib dimandikan, dan mengikut pendapat yang muktamad namun boleh disolatkan.

Saya mengucapan setinggi-tinggi takziah kepada ahli keluarga mereka yang terlibat, semoga tuan puan dikurniakan kesabaran berpanjangan. ٍSama-sama berdoa untuk keampunan dan rahmat buat mangsa beragama Islam.

اللهم اغفر له وارحمه، وعافه ،واعف عنه ،وأكرم نُزُله ، ووسع مُدخلهُ ، واغسله بالماء والثلج والبرد ، ونقه من الخطايا كما ينقى الثوب الأبيض من الدنس ، وأبدله داراً خيراً من داره ، وأهلاً خيراً من أهله وزوجاً خيراً من زوجه، وأدخله الجنة ،وأعذه من عذاب القبر ( ومن عذاب النار )

Dr. Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
FB: DrZaharuddi

Fakta peluru berpandu darat ke udara BUK


http://www.amenoworld.net | .

Fakta Mengenai Peluru Berpandu Darat Ke Udara BUK Yang Anda Perlu Tahu

Baru2 ini kita dikejutkan dengan kejadian #MH17 yang dipercayai ditembak menggunakan peluru berpandu dari kumpulan senjata BUK-missile. Apa itu BUK-Missile? Yang neh ramai yang kurang jelas. Apa kata kita ambil tahu dulu sedikit info mengenai teknologi senjata tersebut.

Apa itu BUK?

BUK ialah satu sistem peluru berpandu darat ke udara. Sistem ini juga dikenali sebagai SA6 ataupun ataupun SA-17s oleh pihak USA. Dan bagi NATO mereka mengelarnya sebagai GRIZZLYS.

Peluru berpandu-BUK (surface to air missile SAM) ialah sejenis kumpulan senjata berjarak serdahana yang bergerak sendiri (dengan sistem radar khusus) selepas sasaran ditetapkan oleh sistem sokongan. Bergerak sangat laju sehingga sukar dikesan dan mampu mengejar sasaran pada altitude sehingga 22,000 meter. Ataupun lebih kurang 72,000 kaki atas udara.

Bersaiz = 16'
Berat = 680.4 KG (kenderaan)
Kelajuan = 2684 MPH (Miles Per Hour)
Berat peluru berpandu = 70 KG

Nota ** Pesawat jenis komersil seperti #MH71 biasanya bergerak pada kelajuan 500-600 miles per hour.  

Bagaimana rupa bentuk BUK-missile?

Siapakah yang layak mengendalikan BUK-Missile?


Sistem ini perlu dikendalikan oleh 4 orang yang mahir dan pakar dalam mengendalikan BUK-missile. Bagi mereka yang tidak terlatih, mereka tidak boleh mengoperasikan sistem ini disebabkan tidak tahu bagaimana pengoperasian sistem dijalankan.

Macam kita guna komputer la. Kalau tak pandai guna komputer, boleh ke kita menaip, buka email dan sebagainya? Maka sistem ini hanya boleh dikendalikan oleh mereka yang benar2 terlatih dan terbukti pakar.

Bagaimana ia beroperasi?

Sistem ini mempunyai 4 komponen utama (kenderaan yang berbeza).

Radar navigasi dan sasaran : bertugas mengenalpasti dan mengesan sasaran. Juga berperanan untuk menentukan pelbagai sasaran dan masa pelancaran misil.

Komponen perintah : Memberikan arahan berdasarkan kepada maklumat yang diterima dari radar sasaran. Menyampaikan arahan selanjutnya kepada pelancar peluru berpandu.

Pelancar peluru berpandu : Membawa peluru berpandu. 

Komponen logistik : Membawa peluru berpandu tambahan dan alat-alatan perang yang berkaitan dengan tujuan melancarkan (menyokong) operasi perang.

Secara umumnya, sistem radar akan mengenalpasti sasaran yang berpotensi dan melaporkan kepada unit arahan. Unit arahan akan bertindak untuk meletakkan sasaran tertentu dan unit peluru berpandu akan melancarkan misil tepat ke arah sasaran yang telah dikenalpasti dan logistik akan membekalkan peralatan tambahan seperti peluru berpandu setelah ia habis dilancarkan.  

Keupayaan radar peluru berpandu BUK membolehkan ia mensasarkan pelbagai sasaran dari sudut yang berbeza dalam satu masa yang sama. Maksudnya dia boleh mensasarkan sehingga 4 jenis sasaran yang berbeza sebelum lancarkan peluru berpandu pada sudut yang berbeza dengan jarak sasaran yang berbeza.

Siapa yang membangunkan sistem senjata ini?

Dibangunkan pada era Soviet Union pada tahun 1972 dan diterima masuk sebagai sebahagian dari alatan perang moden pada tahun 1980. Sistem ini sentiasa diperbaharui dari segi kapasiti, kelajuan, saiz dan keupayaan secara berterusan dan ia mempunyai lebih dari satu jenis model yang direka mengikut kesesuaian dan permintaan dari negara-negara lain.

Siapa yang memiliki sistem BUK ini?

Rusia sudah tentu. Sebagai pengeluar dan pencipta. Ia juga dijual kepada negara lain samada secara terbuka atau sulit. Namun Rusia hanya menjualnya kepada proksi yang mahu bersekutu dengannya seperti Syria. Ukraine juga memiliki peluru berpandu BUK ini. Ukraine adalah bekas Soviet Union. Maka tidak hairan la kenapa Ukraine memiliki sistem persenjataan ini.

Kenapa sistem ini dicipta?

Bertujuan untuk melancarkan (mengelak/mempertahankan) serangan dari jet pejuang pemandu atau tanpa pemandu dan juga bom pintar (bersasaran).

Jika, satu2 misil dilancarkan, ia akan mengeluarkan bunyi dan menghasilkan asap yang sangat tebal ketika pelancaran. Pelancaran bersasaran bermaksud sekali target sudah ditetapkan dia akan kejar sampai dapat. 3 kali lebih laju dari kelajuan udara dan setakat pesawat komersil, MAS bukan siapa2 untuk lawan peluru berpandu BUK ini. Apatah lagi radar MAS juga tidak boleh (tidak sempat) mengesan kehadiran misil itu disebabkan kelajuan peluru tersebut. 

Jika ia terkena di hadapan pesawat, berbanding di bahagian ekor maka tidak aneh la kenapa tiada mana2 pilot mampu memberikan panggilan kecemasan kerana ianya telah termusnah dalam serangan tersebut.

BUK misil hanyalah salah satu dari keluarga kumpulan persenjataan darat ke udara. Selain dari BUK, Rusia juga membangunkan pelbagai lagi jenis persenjataan darat ke udara (SURFACE TO AIR MISSILE = SAM).

Rajah menunjukkan bahawa ;

1. Pesawat tentera Ukrainian AN-26 ditembak jatuh dengan misil pada Julai 14.

2. Sekali lagi pesawat tentera Ukrainian SU-25 (Sukhoi) ditembak, kali ini dengan menggunakan jet pejuang kumpulan pemisah. Pada 16 Julai.

3. Kehadiran pesawat ketenteraan di atas ruang udara di kawasan yang bergolak memberikan gambaran kepada kumpulan pemisah bahawa Ukraine mungkin mahu melancarkan serangan dan ini penyebab kenapa pesawat2 tersebut diserang.

4. Dan pada julai 17, #MH17 ditembak jatuh menggunakan misil jenis BUK. Misil ini dipercayai dilancarkan oleh kumpulan pemisah seperti yang diwar2kan oleh presiden Ukraine selepas berlakunya insiden. Namun pihak Rusia dan kumpulan pemisah menafikan penglibatan mereka dalam hal ini sebaliknya menuduh Ukraine adalah dalang. 

5. Untuk rekod, ketiga2 kumpulan yang bertelagah dalam insiden ini (Rusia, Ukraine dan kumpulan pemisah pro Ukraine) mempunyai senjata jenis ini.

Rujukan : http://www.news.com.au/world/europe/what-is-a-buk-missile-that-reportedly-shot-down-malaysia-airlines-flight-17-over-ukraine/

http://www.mediaite.com/online/reports-say-buk-missile-shot-down-mh17-so-what-is-a-buk-missile/

http://www.stuff.co.nz/world/10289031/Operating-Buk-missile-system-took-training

http://www.youtube.com/watch?v=DDXScnEKaP0
# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.

MH17: PBB digesa keluar akses bebas, selamat


BERNAMA | .
KUALA LUMPUR: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) digesa mengeluarkan resolusi bagi akses bebas, terbuka dan selamat di kawasan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine.

Geostrategis Prof Dr Azmi Hassan berkata Majlis Keselamatan hanya membuat kenyataan yang disifatkannya longgar dan tidak spesifik tentang perkara berkenaan pada satu mesyuarat tergempar baru-baru ini.
  
"Kenyataan itu antara lain menyeru supaya badan penyiasat antarabangsa ditubuhkan untuk menyiasat, tetapi setakat ini tidak memberi penekanan supaya Rusia mengawal pihak pemisah pro negara itu yang menguasai wilayah berkenaan.
  
"Jadi Majlis Keselamatan harus mengeluarkan resolusi secara spesifik untuk memaksa pihak pemisah membuka laluan di kawasan terhempas yang terletak dekat sempadan Rusia," katanya ketika dihubungi Bernama.
  
Beliau berkata sukar bagi Majlis Keselamatan mengeluarkan resolusi yang lebih tegas kerana khuatir pihak yang berkepentingan seperti Rusia dan Amerika Syarikat akan menggunakan kuasa veto mereka.
      
Azmi berkata mengikut peraturan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), kerajaan di negara kemalangan itu berlaku mempunyai bidang kuasa ke atas bangkai pesawat dan akan mengetuai siasatan.
  
"Tetapi, Ukraine adalah pihak yang berkepentingan kerana mereka mempunyai agenda politik dalam krisis ini, jadi saya risau Ukraine tidak boleh jadi ketua penyiasat yang tidak 'bias' (berat sebelah).
  
"Kita perlukan ketua penyiasat yang berkecuali, dalam hal ini jika Ukraine dibiarkan menjadi ketua penyiasat, negara lain perlu turut serta untuk mengimbangi pengaruh Ukraine," katanya.
  
MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, dipercayai ditembak jatuh oleh kumpulan pemisah di wilayah Donetsk, bahagian timur Ukraine, ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
  
Pesawat Boeing 777-200ER itu berlepas dari Amsterdam pada pukul 12.15 tengah hari (waktu Belanda) Khamis dan dijadual mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 6.10 pagi (waktu Malaysia) hari berikutnya. 
  
Setakat ini, pasukan siasatan khas Malaysia belum diberi laluan untuk memasuki kawasan pesawat terhempas.  
  
Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib berkata Majlis Keselamatan perlu menggunakan pengaruh dan kedudukannya untuk membolehkan pasukan penyiasat terutamanya dari Malaysia untuk masuk ke kawasan terlibat, bukan sahaja untuk mengumpul bahan bukti, tetapi untuk menguruskan mayat mangsa.
  
"Kita minta Rusia mendesak kepada pihak yang pro kepadanya di Donetsk itu menghormati Malaysia sebagai pemilik  MH17," tegasnya.
  
Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM Mohamad Faisol Keling pula berkata Malaysia harus mengetuai siasatan sambil dibantu oleh badan-badan antarabangsa yang diiktiraf dan berkecuali bagi mengelak siasatan berat sebelah dan masalah kehilangan bukti nahas.
  
"Kita hendak elak dari berlakunya bias (berat sebalah), sembunyikan fakta dan bukti kerana Malaysia perlukan keadilan, dalam konteks ini Malaysia dan negara lain menjadi mangsa," katanya.
  
Mohamad Faisol berkata Ukraine dan Rusia mempunyai kepentingan terhadap insiden ini kerana mereka saling tidak mengaku bertanggungjawab terhadap kejadian yang dikatakan pesawat itu ditembak jatuh oleh kumpulan pemberontak.  
  
"PBB mungkin boleh arahkan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk memberi jaminan keselamatan terhadap pasukan penyiasat berbanding menunggu kata putus dari kedua-dua negara yang main tarik tali, dalam masa yang sama bahan bukti semakin terhapus," katanya.
  
Mengenai impak hubungan dua hala antara Malaysia dengan Ukraine dan Rusia, beliau berkata Malaysia boleh mengguna pakai konsep 'balance of power' yang diperkenalkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 90-an.
  
Pensyarah Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Universiti Malaya (UM) Prof Datuk Dr Mohamad Abu Bakar pula berkata laluan masuk yang digunakan pasukan siasatan melalui Kiev, Ukraine adalah sukar kerana pemberontak proRusia melihat mereka seperti musuh.
  
Katanya sekiranya PBB mengenakan tekanan kepada semua pihak termasuk Rusia untuk memberi kerjasama kepada pasukan penyiasat termasuk dari Malaysia dan Belanda, mungkin kerumitan menjalankan siasatan dapat dipermudahkan.
  
"Mereka ini (puak pemisah) sensitif, pertama kerana mereka ingin menjelaskan kepada dunia bahawa kawasan itu kepunyaan mereka dan mahu diiktiraf.  
  
"Kedua, mereka juga sensitif seandainya kawasan mereka dimasuki, mungkin kehadiran mereka dengan kelengkapan pertahanan diketahui pihak lain dan pada masa yang sama mereka juga ingin mempopularkan perjuangan mereka," kata Mohamad.
  
Sementara itu, Felo Kanan S.Rajaratnam School of International Studies di Singapura, Dr Oh Ei Sun berkata untuk pergi ke tapak nahas dan mengumpulkan bukti, Malaysia tidak boleh melakukannya secara sendirian tetapi perlu bekerjasama dengan negara yang turut terjejas seperti Belanda dan badan berkecuali.
  
"Jika terbukti bahawa ada antara pihak atau negara yang disyaki itu sebenarnya terlibat dalam menembak jatuh MH17, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, sudah tentu hubungan Malaysia dengan negara terbabit akan terjejas, mungkin ke tahap memanggil balik dutanya," kata Dr Oh yang merupakan warga Malaysia.
  
Beliau berkata sudah tiba masanya untuk Malaysia menimbangkan semula dasar berkecualinya dalam hal ehwal global.
  
"Kita (Malaysia) telah cuba menjadi rakan kepada semua orang, tetapi apabila insiden seperti ini berlaku, kita tidak dapat mengelak bahawa ada kalanya kita perlu bijak menilai siapa rakan kita dan siapa yang kita boleh harapkan," katanya. - Bernama