Thursday, December 23, 2010

14 keluarga peneroka diusir



PUSING – Seramai 14 penduduk asal Kampung Pinang di sini, menuntut agar Kerajaan Negeri campur tangan dan memberikan hak kepada mereka terhadap tanah yang diterokai nenek moyang mereka sejak 90 tahun lalu.

Kumpulan itu mendakwa mereka adalah peneroka tanah di kawasan itu sejak 1920 lalu, merayu agar Kerajaan Negeri dapat menyelesaikan masalah yang timbul selain memberi peluang mendapatkan hak sebagai peneroka.

Wakil jurucakap penduduk, Timbalan Pengerusi Nasional, Parti Sosialis Malaysia (PSM), M Saras berkata, penduduk kecewa apabila mendakwa Rabu lalu mereka dipaksa ejen pemaju untuk menerima pampasan dan jika tidak tindakan undang-undang akan dikenakan ke atas mereka.

Menurutnya, penduduk mendakwa beberapa ejen pemaju dilihat memasuki kawasan perumahan mereka selain memantau kawasan itu bagi meneruskan projek yang bakal dibangunkan.

“Jadi, kami hadir ke Balai Polis Pusing untuk membuat laporan kerana bimbang berlaku apa-apa kerosakan terhadap harta serta kediaman.

“Penduduk mahu pihak polis melakukan siasatan dan mengambil tindakan terhadap individu yang mengugut selain mencerobohi kawasan rumah tanpa kebenaran mereka,” katanya kepada Sinar Harian selepas membuat laporan polis.

Saras berkata, penduduk memohon jasa baik dan ketegasan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk mengekalkan kawasan perumahan Kampung Pinang serta mengeluarkan hak milik tanah kepada mereka.

“Nenek moyang mereka ini adalah antara golongan terawal membuka perkampungan ini sebagai pendulang bijih timah malah pendudukan mereka diperakui Town Council Pusing pada 1976 dan Home Guard Headquarters Pusing turut mengeluarkan sijil Register of Occupants.

“Mereka juga mendapat Letter of Naturalization yang memperakui pendudukan mereka pada 1956 dan pada 1976 pihak Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Batu Gajah pernah membuat bancian untuk memberi hak milik,” katanya.

Beliau berkata, demi memastikan nasib penduduk terbela, jawatankuasa penduduk menyerahkan memorandum dan beberapa surat kepada pihak menteri besar, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Menteri Besar, Datuk Chang Ko Youn pada 23 Jun lalu.

Anak tiada sijil lahir




TELUK INTAN - Gara-gara ibunya tiada kad pengenalan diri, lima beradik yang berusia 8 hingga 13 tahun, di sini tiada sijil kelahiran.

L Kaniamal, 29, berkata, kesemua anaknya masih bersekolah.

Menurutnya, dia hanya bekerja mengambil upah meracun di ladang kelapa sawit dan pendapatan itu hanya cukup untuk menampung kos hidup mereka.

"Sebelum ini, saya pernah meminta bantuan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuat kad pengenalan diri, namun gagal," katanya.

Kaniamal yang tinggal di Batu 3 � Changkat Jong berkata, kini dia bimbang dengan keadaan anaknya yang masih tidak mempunyai sijil kelahiran sekali gus menyukarkan mereka untuk membuat kad pengenalan diri nanti.

"Diharap ada mana-mana pihak sudi membantu kami sekeluarga dalam mendapatkan kad pengenalan diri dan sijil kelahiran," katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Wanita India Hilir Perak, A Dewi dan Ketua Pemuda MIC Teluk Intan, R Gopi.

Sementara itu, Gopi berkata, pihaknya akan membawa masalah Kaniamal kepada pihak JPN Teluk Intan.

Katanya, masalah Kaniamal sangat serius dan perlu diselesaikan secepat mungkin.

Kerja orang blog tak reti dosa pahala - Nik Aziz



KOTA BHARU 22 Dis. - "Kerja orang blog ini tak reti dosa pahala," demikian kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai pendedahan sebuah blog berhubung dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Selising, Drs. Saipul Bahrin Mohamad ditangkap kerana berzina dengan isteri seorang guru di atas kereta api.
Beliau berkata, blog juga yang telah membuat laporan tidak betul dan mengarut bahawa rumah menantunya, Abdul Ariffhami Ab. Rahman diserbu oleh anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada waktu malam dan anak perempuannya pula bertindak memaki-hamun anggota suruhanjaya berkenaan.
Katanya, SPRM kemudiannya membuat keputusan menutup fail kes berkenaan setelah mendapati tiada kes untuk pertuduhan membabitkan Nik Abdul Aziz dan menantunya itu yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
"Malaysia ini suasana dia, suasana tak reti dosa pahala. Inilah yang menyebabkan hakim syarie ditangkap rasuah.
"Hakim syarie ini belajar syariah dan dia bertugas di mahkamah syariah, adakah masuk akal orang macam ini ditangkap rasuah.
"Inilah suasana Malaysia, macam tak ada agama, baik sikit daripada komunis, komunis tak ada tuhan langsung, tapi kita ada tuhan, buat apa," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.
Nik Abdul Aziz diminta mengulas pendedahan blog papa gomo menerusi klip video di mana seorang lelaki dikenali sebagai Ustaz Saidi Hussin mendakwa telah menangkap Saipul Bahrin di dalam koc orang kenamaan (VIP) kereta api bersama seorang wanita yang didakwa isteri seorang guru ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tumpat.
-utusan

'Dakwaan saya berzina fitnah besar, khianat'



PASIR PUTEH 22 Dis. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Selising, Drs. Saipul Bahrin Mohamad menyifatkan dakwaan perlakuan zina membabitkan dirinya dengan isteri seorang guru dalam blog papa gomo, merupakan perbuatan khianat dan fitnah besar untuk menamatkan karier politiknya.
Beliau mendakwa, fitnah tersebut sengaja dilakukan oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan maruah diri dan seluruh keluarganya di mata masyarakat.
"Fitnah ini bukan baru. Kalau tidak silap saya ia telah dicetuskan sejak 10 tahun lalu iaitu pada tahun 2000. Tapi, mungkin kali ini nampaknya agak lebih sensasi. Kalau dulu keluar cerita ADUN Selising berkhalwat. Tapi kini berzina dengan bini orang.
"Kalau betul saya lakukan perbuatan terkutuk itu, malah saksi utama sendiri kata menangkap saya dan perempuan itu, tapi apa tindakan dia (saksi), kenapa tidak dakwa? Dakwalah," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, malam tadi.
Saipul Bahrin diminta mengulas pendedahan klip video dalam blog berkenaan mengenai dakwaan beliau ditahan dengan seorang wanita yang juga isteri seorang guru dalam koc orang kenamaan (VIP), semasa menaiki kereta api dari Kuala Lumpur ke Tumpat.
Mengulas lanjut, pendedahan tersebut, Saipul Bahrin yang menafikan tuduhan itu dengan tegas berkata, tidak halal ke atas mereka terbabit dari dunia sampai akhirat kerana memburukkan namanya dengan menabur fitnah yang amat mengaibkan itu.
"Ini satu tuduhan berat ke atas saya dan saya tidak halal, tidak rela, tidak maafkan perbuatan ini dari dunia sampai akhirat kepada semua yang terlibat dalam perbuatan ini sama ada secara langsung atau tidak langsung.
"Saya tidak akan maaf selagi mereka tidak minta maaf secara terbuka dengan saya," tegasnya yang baru empat hari pulang dari Tanah Suci Mekah selepas menunaikan ibadat haji.
Ketika menjawab sebarang kemungkinan tindakan akan diambil ekoran tuduhan itu, wakil rakyat Pas itu berkata, beliau terlebih dahulu akan berbincang dengan pihak berkenaan sebelum membuat apa-apa keputusan.
-utusan

Kabel ancam keselamatan





AHMAD Sabri Abd. Rani menunjukkan kabel elektrik yang mengendur dan membahayakan penduduk di Kampung Tanjung Kubu, Temerloh, semalam.


TEMERLOH 22 Dis. - Penduduk Kampung Tanjung Kubu di sini bimbang dengan keadaan kabel elektrik yang semakin mengendur hingga hampir mencecah tanah di kampung tersebut.
Mereka khuatir keadaan kabel yang terletak di belakang Sekolah Menengah Agama Darun Naim, di sini boleh membahayakan orang ramai terutama kanak-kanak dan pelajar sekolah yang melalui kawasan tersebut.
Sehubungan itu, mereka meminta pihak yang bertanggungjawab menegangkan semula kabel itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Tinjauan Utusan Malaysia ke kampung itu mendapati kabel berkenaan terlalu rendah dan boleh dicapai dengan tangan oleh orang dewasa.
Seorang penduduk, Ahmad Sabri Abd. Rani, 41, berkata, kabel elektrik itu boleh dicapai oleh kanak-kanak dan mereka mungkin bergayut pada kabel yang mengendur itu jika tidak diawasi ibu bapa.
Katanya, masalah itu telah berlarutan sejak setahun lalu dan laporan telah dibuat kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) namun hingga kini tiada sebarang tindakan diambil.
"Jika dibiarkan, kabel itu menjadi semakin mengendur dan akhirnya akan jatuh ke tanah dan ia akan lebih membahayakan keselamatan penduduk di sini.
"Kami minta TNB mengambil tindakan segera dengan menegangkan kembali kabel itu demi keselamatan penduduk. Kami bimbang kanak-kanak bergayut pada kabel itu sekali gus menyebabkan berlaku renjatan elektrik.
"Sebab itu kami harap perkara ini segera diambil tindakan supaya tiada kejadian tidak diingini berlaku," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Ahmad Sabri, selain masalah itu, penduduk kampung juga meminta TNB membaiki tiang elektrik yang condong di kampung tersebut kerana dikhuatiri akan menghempap rumah penduduk.
Katanya, musim tengkujuh ini menyebabkan banyak tiang semakin condong dan penduduk berasa bimbang kerana ia boleh tumbang pada bila-bila masa.
"Kita berharap TNB dapat memantau keadaan kabel dan tiang elektrik di kampung ini dan membaikinya segera," tegasnya.
-utusan

Jalan Serampang Indah rosak teruk





SEORANG penduduk menunjukkan jalan utama yang berlubang dan ditakungi air di laluan masuk Jalan Serampang Indah, dekat Jempol, baru-baru ini.


JEMPOL 22 Dis. – Apa cerita di kawasan Serampang Indah, dekat sini sehingga penduduknya marah-marah dan tidak puas hati?
‘‘Bila naik kereta atau motosikal, kami seperti mengelak ‘bom jangka’, bila-bila masa sahaja boleh terbabas masuk lubang. Sudah lama jalan di sini rosak teruk,” kata penduduk.
Memang ada sebab mengapa penduduk di situ melenting, apatah lagi dengan kedudukannya yang sedikit terpencil, Serampang Indah rupanya tidak seindah nama yang diberikan.
Tinjauan Utusan Malaysia di jalan utama ke Serampang Indah, penuh dengan ‘berliku’, apa tidaknya lubang-lubang besar menanti untuk membenamkan tayar kereta anda.
Menurut penduduk, J. Satianadan, 56, dia sudah tidak berdaya membuat aduan lagi kerana dakwanya tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.
‘‘Sudah berlaku sejak enam tahun lalu. Oleh kerana Serampang Indah ini terpencil, maka tiada siapa pun ingin ambil tahu,” katanya di sini hari ini.
Kawasan penempatan penduduk di Serampang Indah ini terletak kira-kira 20 kilometer dari sini dan majoriti penduduknya kaum India dan selebihnya 20 peratus merupakan orang Melayu dan Cina.
Rata-rata penduduk di situ merupakan penoreh getah dan laluan utama ke situ ketika ini 60 peratus mengalami kerosakan teruk dipercayai berpunca akibat kenderaan berat yang berulang-alik di situ.
‘‘Inilah laluan utama kami setiap hari dan semuanya terpaksa kami harungi.
‘‘Keadaan lebih teruk apabila berlaku hujan dan lubang yang dalam itu mula dipenuhi air,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Chong Kai Ming, 28, amat berharap agar pihak berkuasa datang melihat keadaan di situ dan segera membantu penduduk di sini.
‘‘Ada yang tidak sanggup datang sini selepas mengetahui masalah jalan di sini.
‘‘Jalan ini hanya untuk kegunaan lori yang beratnya lima tan ke bawah.
‘‘Kita amat berharap supaya ada satu arahan, mahupun penghadang yang melarang lori melebihi berat berkenaan menggunakan laluan ini kerana ia akan menjadikan kawasan itu bertambah parah,” katanya.
-utusan