Showing posts with label mendap. Show all posts
Showing posts with label mendap. Show all posts

Tuesday, February 1, 2011

Menanti mangsa



Oleh Johary Indan
bhnews@bharian.com.my
2011/02/01

 
PENDUDUK Jalan Kampung Bunga, Tenghilan meninjau laluan   runtuh yang  belum dibaiki.
PENDUDUK Jalan Kampung Bunga, Tenghilan meninjau laluan runtuh yang belum dibaiki.
Jalan Kampung Bunga, Tenghilan runtuh tidak dibaiki 

TAMPARULI: Seminggu sudah berlalu, namun belum ada tindakan diambil Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membaiki jalan Kampung Bunga dan Kampung Lapai, Tenghilan di sini, yang runtuh disebabkan hujan lebat minggu lalu.
Kejadian itu mengakibatkan lebih 100 penduduk dari dua kampung terbabit terpaksa berjalan kira-kira tiga kilometer ke jalan besar untuk ke pekan ini kerana tidak boleh dilalui kenderaan.
Seorang penduduk, Albert Johnny, 39, berkata penduduk terpaksa meredah kawasan berselut, licin dan berbahaya setiap hari kerana tiada pilihan lain. 

"Langkah penduduk membina jalan sementara itu sedikit sebanyak mengurangkan masalah mereka untuk keluar masuk kampung setiap hari. 

"Bagaimanapun, mereka berharap kerosakan jalan itu segera dibaiki JKR demi kemudahan semua pihak," katanya yang membawa wakil Berita Harian meninjau keadaan jalan berkenaan, semalam. 

Difahamkan, jalan itu runtuh berikutan saluran air yang dibina tidak berupaya menampung jumlah air berlebihan ketika hujan lebat. 
Kampung Bunga dan Kampung Lapai yang berada dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli, dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat berterusan lebih 12 jam seminggu lalu. 

Kejadian itu turut menyebabkan lebih 20 rumah penduduk dan kira-kira 200 hektar sawah di dua kampung itu yang sedang dituai petani musnah. 

Selain jalan runtuh, beberapa kerosakan lain turut berlaku di kampung itu seperti hakisan tebing sungai dan jambatan dihanyutkan arus deras. 

Sehubungan itu, Albert berharap JKR dapat menyegerakan pembaikan kemudahan itu berikutan kepentingannya kepada masyarakat setempat. 

Pemaju Mukim Tamparuli, Ah Hill Atub, berkata Jahid yang juga Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri, sudah meminta JKR membaiki segera kemudahan itu. 

Sunday, September 19, 2010

Tanah mendap di Bukit Antarabangsa



FAUZIAH Jamaluddin menunjukkan tanah jerlus di belakang bahagian dapur rumahnya di Kampung Sungai Sering, Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 18 Sept. - Empat sekeluarga terkejut apabila mendapati bahagian dapur rumah mereka mendap sedalam kira-kira empat meter yang membentuk seakan-akan sebuah kolam.
Mereka yang baru pulang dari menyambut sambutan Aidilfitri di Langkawi menyedari kejadian itu pada pukul 2.30 pagi sebaik tiba di rumah yang terletak di Kampung Sungai Sering, Bukit Antarabangsa, di sini.
Menurut mangsa, Fauziah Jamaluddin, 31, kejadian itu dimaklumkan oleh anak lelakinya yang berusia tujuh tahun yang pada awalnya menyangka ibunya mahu membina kolam di bahagian dapur terbabit.
"Saya terus meluru ke bahagian dapur dan terkejut melihat tanah mendap yang turut menenggelamkan bahagian dapur dan peralatan memasak ke dalam lubang itu.
"Suami saya terus menghubungi pihak bomba dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi memaklumkan kejadian itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, malam ini.
Fauziah memberitahu, kejadian itu kali pertama berlaku di kawasan rumah yang dihuni sejak 11 tahun lalu dan dia percaya ia berpunca akibat longkang bawah tanah yang pecah dan menyebabkan tanah mendap.
Jelasnya, jiran-jirannya mendakwa tidak menyedari bila kejadian itu berlaku kerana tidak mendengar apa-apa bunyi yang mencurigakan sepanjang peninggalan mereka sejak seminggu lalu.
"Pihak MPAJ menasihatkan kami sekeluarga tidak tinggal di sini buat sementara kerana bimbangkan keselamatan kami.
"Kontraktor yang ditugaskan MPAJ akan menambak bahagian tanah mendap berkenaan esok, manakala pada hari Isnin kerja-kerja membaiki longkang bawah tanah yang pecah akan dijalankan," katanya.
Dalam pada itu, dia bersyukur kerana ketika kejadian itu berlaku mereka sekeluarga tidak berada di rumah.
Kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pernah menjadi perhatian ramai apabila 14 buah rumah musnah dan lima nyawa terkorban dalam kejadian di Taman Bukit Mewah pada 6 Disember 2008.