Showing posts with label Cabar. Show all posts
Showing posts with label Cabar. Show all posts

Sunday, December 18, 2011

Tun Mahathir Cabar Anwar Tunjuk Surat Pinjaman Bank Dunia



BUTTERWORTH: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sabtu mencabar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tunjukkan surat yang ditulis beliau kepada Bank Dunia untuk bantuan dana semasa krisis kewangan 1999.

Dr Mahathir berkata beliau adalah orang yang menolak pinjaman daripada Bank Dunia pada masa itu tetapi, sekiranya apa yang didakwa oleh Anwar itu benar, sila tunjukkan surat itu.

"Saya tahu kalau kita terima pinjaman daripada Bank Dunia, kita akan menjadi hamba kepada mereka yang tolong kita dan disebabkan itu kita tidak berbuat demikian.

"Kalau apa yang dikatakan oleh Anwar itu benar, saya cabar dia bersumpah laknat di Masjid dengan al-Quran. Saya sanggup berbuat demikian sekiranya diperlukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Multaqa Wehdatul Ummah ke tiga di sini Sabtu.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah berita online (Malaysiakini) pada Sabtu, yang melaporkan bahawa Anwar telah membuat dakwaan mengejutkan terhadap 'bekas mentornya' Dr Mahathir bahawa bekas perdana menteri itu pernah menulis kepada Bank Dunia untuk bantuan dana semasa krisis kewangan 1999.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata Anwar terkenal sebagai orang yang memperkenalkan cara-cara Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada masa itu.

"Saya biasa cakap kepada dia (Anwar), kalau kita buat pinjaman kepada bank dunia, kita tidak akan ada gaji yang cukup untuk bayar kepada pegawai-pegawai kita. Tetapi dia telah ikut cara-cara bank dunia sampai rosak fikirannya," katanya.

Sementara itu, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang turut bersama berkata beliau boleh menjadi saksi bahawa Dr Mahathir adalah orang yang menolak pertolongan bank dunia dan apa yang didakwa oleh Anwar itu tidak benar.

Nor Mohamed yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata beliau masih ingat ada satu ketika wakil daripada bank dunia dan IMF telah datang untuk mencari Dr Mahathir untuk membincang tentang cara untuk elakkan krisis pada 1999.

"Wakil bank dunia itu telah mencadangkan kepada Dr Mahathir untuk menambah kadar faedah rumah, kerajaan pula tidak boleh belanja dan bank negara harus tarik balik semua pinjaman untuk elakkan krisis ekonomi.

"Namun Dr Mahathir memberitahu mereka bahawa cadangan itu akan membawa kepada 'bloods in the street' dan mereka berkata 'let it be bloods in the streets' tetapi cadangan itu telah dibantah keras oleh Dr Mahathir yang kemudiannya menghalau wakil bank dunia itu keluar dari pejabatnya pada ketika itu," katanya. - BERNAMA


Dr. M cabar Anwar bersumpah




DR. Mahathir Mohamad bersalaman dengan orang ramai selepas majlis perasmian Multaqa Wedatul Ummah di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, semalam.


TASEK GELUGOR 17 Dis. - Tun Dr. Mahathir Mohamad mencabar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersumpah dengan memegang al-Quran bagi membuktikan bekas Perdana Menteri itu pernah menulis surat kepada Bank Dunia untuk meminta bantuan semasa krisis kewangan pada 1999 seperti yang didakwa.
Dr. Mahathir berkata, beliau tidak pernah berbuat demikian sebaliknya menolak permintaan daripada Bank Dunia yang datang untuk menawarkan bantuan.
"Saya minta dia (Anwar) tunjukkan surat itu kalau ada. Saya yang menolak semasa wakil Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) datang nak tawarkan bantuan dana.
"Saya nak suruh dia bersumpah menjunjung al-Quran bersama saya jika benar saya menulis surat itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Multaqa Wedatul Ummah Ketiga anjuran Persatuan Kariah-Kariah Masjid Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.
Hadir sama Yang Dipertua Persatuan Kariah-Kariah Masjid Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Mohd. Yussof Latiff.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop memberitahu, beliau ada bersama Dr. Mahathir ketika wakil IMF tersebut datang menemui mereka.
"Tun (Dr. Mahathir) menghalau mereka keluar dari pejabatnya," katanya yang ketika itu merupakan Timbalan Gabenor Bank Negara.
Laman portal propembangkang semalam melaporkan, kelmarin ketika berucap pada majlis makan malam membincangkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang turut dihadiri wakil kedutaan asing, Anwar mendakwa Dr. Mahathir ada menulis kepada Bank Dunia untuk bantuan dana semasa krisis kewangan 1999.
Anwar berkata, pada tahun 1993, beliau juga pernah menulis kepada Bank Dunia atas kapasitinya sebagai menteri kewangan ketika itu untuk menolak bantuan kewangan.
Katanya, walaupun beliau mempengerusikan jawatankuasa pembangunan IMF dan Bank Dunia, beliau berpendapat Malaysia tidak memerlukan dana itu.
Bagaimanapun, dakwanya lagi, pada 1999, Mahathir menulis kembali kepada Presiden Bank Dunia dan merayu untuk dana dan pinjaman.

Tuesday, March 29, 2011

Blogger cabar Beijing ditahan





2011/03/29

Aktivis dituduh cuba lumpuh Parti Komunis 

BEIJING: Polis China menahan penulis blog terkenal negara itu, Ran Yunfei kerana didakwa mencabar Parti Komunis, kata rakan rapat blogger itu, tindakan keras terbaru menyasarkan golongan berbeza pendapat dengan kerajaan dengan menyekat mereka daripada terus memberi pandangan anti pemerintah.
Seorang aktivis yang juga rakan Ran, Wang Yi, berkata penulis dan pengarah majalah sastera dari wilayah Sichuan itu sebelum ini ditahan selama sebulan tanpa dakwaan. Beliau kemudian ditangkap secara rasmi atas tuduhan menghasut dan memecah-belahkan rakyat.
Ran, 46, ditahan polis di Chengdu 20 Februari lalu, ketika tunjuk perasaan dan bantahan besar-besaran berlaku di Asia Barat, mencetuskan gesaan online agar satu ‘Revolusi Bunga Melur’ yang sama dilakukan di China. 

Dakwaan sama juga dikenakan ke atas Liu Xiaobo, seorang pembangkang yang menerima Anugerah Keamanan Nobel, tetapi menimbulkan kemarahan Beijing. 
“Pada dasarnya, mereka didakwa melakukan jenayah kerana menyuarakan pendapat. Di dalam kes ini juga, pendakwa akan menggunakan rencana yang disiarkan Ran di internet sebagai alasan,” kata Wang yang juga seorang pakar perundangan. 

Liu pula dihukum penjara 11 tahun sejak 2009 kerana menjadi penulis bersama menifesto Piagam 08 yang menggesa pembaharuan politik di China. Beliau dilihat sebagai pencabar Parti Komunis yang paling lantang pernah diketahui. 
Pihak berkuasa China dilaporkan meningkatkan usaha melumpuhkan sebarang bentuk cabaran ke atas Parti Komunis menjelang penyerahan kepemimpinan parti itu pada akhir 2012. 

Wang berkata, isteri Ran menerima notis penahanan semalam, walaupun tarikhnya berkuat kuasa Jumaat lalu, hari yang sama mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas pembangkang dari Sichuan, Liu Xianbin, kerana menggesa pembaharuan demokratik dilakukan. 

Penahanan Ran juga disahkan seorang lagi rakan karib beliau yang namanya tidak didedahkan berikutan bimbang dengan tindakan pihak berkuasa. – Reuters 

Wednesday, March 2, 2011

Mahkamah Persekutuan izin peribumi cabar kerajaan Sarawak

ISU PENGAMBILAN TANAH HAK ADAT BUMIPUTERA
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan, buat julung-julung kalinya, memutuskan untuk membenarkan kaum peribumi Sarawak mencabar kerajaan negeri itu berhubung isu pengambilan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).
Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi, yang mengetuai panel tiga hakim, mencapai keputusan untuk mendengar dua saman sivil secara serentak pada 28 April ini, lapor laman berita The Malaysian Insider, semalam.Encik Bato Bagan dan Encik Jalang Paran membawa kerajaan negeri Sarawak ke mahkamah berhubung pengambilan NCR.Sebelum ini, mereka gagal berbuat demikian melalui Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.Encik Bato mahu menyaman kerajaan negeri Sarawak mengenai isu kehilangan tanahnya berhubung rancangan melaksanakan projek haidroelektrik Empangan Bakun pada 1997.Saman Encik Jalang pula ialah terhadap penjualan tanah nenek moyangnya oleh kerajaan negeri itu kepada sebuah syarikat swasta atas alasan membolehkan pembinaan sebuah kilang pulpa kayu, sekitar 1990-an.Bagaimanapun, Tun Zaki berkata Mahkamah Persekutuan hanya akan memberi tumpuan pada satu persoalan - iaitu, sama ada Seksyen 5(3) dan (4) Kanun Tanah Sarawak bercanggah dengan Artikel 5, yang dibaca bersama Artikel 13, Perlembagaan Persekutuan.Hakim itu menegaskan bahawa terdapat banyak kes NCR yang dibawa ke mahkamah sejak beberapa tahun lalu tetapi masih belum diselesaikan.Tun Zaki berkata beliau percaya soalan ke atas sama ada Seksyen 5(3) dan (4) Kanun Tanah Sarawak telah bercanggah dengan Artikel 5 dan 13 Perlembagaan Persekutuan - undang-undang tertinggi di Malaysia - mencukupi untuk menangani asas isu NCR itu.Peguam bela dua anggota peribumi Sarawak itu, Encik Baru Bian, memberitahu wartawan bahawa keputusan semalam itu adalah yang kali pertama dilakukan ke atas undang-undang statut tertentu itu dalam Mahkamah Persekutuan, dan akan menentukan bagaimana tanah milik peribumi di Sarawak ditangani mulai sekarang.'Seksyen 5 memberi kerajaan negeri kuasa mengambil tanah-tanah mereka,' katanya.Beliau berkata kira-kira 200 kes NCR telah difailkan di mahkamah sejauh ini dan menambah bahawa beliau secara peribadi menangani sekitar setengah daripada jumlah itu.Encik Baru, yang juga ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, berkata bagaimana Mahkamah Persekutuan menangani kes ini akan mempunyai kesan politik yang besar kerana ia ada kaitan dengan cara hidup kaum peribumi Sarawak itu.Semasa memberi hujahnya mengenai hak kaum peribumi membuat rayuan sebelum itu, rakan Encik Baru, Encik Sulaiman Abdullah, berkata tanah NCR itu tidak boleh dilihat daripada konteks yang sama dengan kes pengambilalihan tanah biasa di Semenanjung Malaysia.Menurutnya, ini kerana kaum peribumi melihat tanah sebagai sumber kehidupan mereka dan bukan setakat tempat membina rumah.Justeru, kerajaan negeri harus menawarkan pilihan yang wajar, melebihi pampasan kewangan, jika ia mahu mengambil tanah berkenaan bagi tujuan pembangunan, tambah beliau.

Thursday, December 30, 2010

Chavez cabar Amerika putus hubungan diplomatik



CARACAS 29 Dis. - Presiden Venezuela, Hugo Chavez mencabar Amerika Syarikat (AS) supaya 'memutuskan hubungan diplomatik' berikutan bantahannya berhubung pemilihan duta baru AS ke negara ini oleh Presiden Barack Obama.
"Jika AS mahu mengusir duta kami di negara itu dan memutuskan hubungan diplomatik, biar mereka lakukan," kata Chavez melalui televisyen milik negara, semalam.
Minggu lalu, Menteri Luar Venezuela menyuarakan harapan agar kedua-dua negara menyelesaikan isu berhubung pemilihan diplomat Larry Palmer sebagai Duta AS ke negara ini, yang dicalonkan oleh Obama tetapi belum disahkan oleh Senat AS.
Chavez, bagaimanapun menegaskan bahawa Palmer tidak dialu-alukan di negara ini, selepas diplomat veteran AS itu mengkritik kerajaan sosialis Venezuela ketika pengesahan di Senat AS pada bulan lalu.
"Kami menolak untuk mengiktiraf Palmer dan AS kini mengancam untuk bertindak balas. Mereka boleh lakukan apa yang mereka mahukan, tetapi lelaki ini (Palmer) tetap tidak dialu-alukan.
"Untuk datang ke sini, seorang duta itu perlu menghormati negara ini. Ia amat memalukan jika saya membenarkan lelaki ini (Palmer) datang ke Venezuela," tegas Chavez.
Hubungan AS dan Venezuela tegang sejak beberapa tahun lalu ekoran Chavez berulang kali mengutuk 'imperialisme AS' dan berusaha menjalin hubungan diplomatik dengan negara-negara seteru AS termasuk dengan Cuba, Syria dan Iran.
Penggubal undang-undang AS pada minggu lalu menyuarakan tentangan ke atas undang-undang baru yang diluluskan oleh badan perundangan pro-Chavez yang memberikan Presiden itu kuasa diktator sementara waktu untuk mengekang kebebasan media dan menghukum penggubal undang-undang yang bertukar parti.
Undang-undang diluluskan melalui tekanan parti pemerintah, Parti Sosialis yang dijadual diadakan hanya beberapa minggu sebelum perhimpunan baru pada 5 Januari ini, di mana penggubal undang-undang pro-Chavez kehilangan majoriti besar. - AFP

Saturday, December 25, 2010

Muhyiddin cabar Anwar





KUALA LUMPUR 24 Dis. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mencabar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menaikkan gaji sebanyak RM500 kepada kakitangan awam di negeri-negeri yang ditadbir oleh pakatan pembangkang.
Beliau berkata, langkah itu wajar demi membuktikan keikhlasan kerajaan negeri di bawah pakatan pembangkang membela nasib kakitangan awam serta pegawai-pegawainya.
Persoalannya kata beliau, adakah Anwar sanggup berbuat demikian?
‘‘Saya cabar Anwar yang kebetulan mempunyai kedudukan dalam kerajaan pakatan pembangkang supaya menaikkan gaji kakitangan awam mereka seperti di Selangor atau Pulau Pinang.
‘‘Kita tengok dahulu sama ada Anwar sanggup menambah gaji pegawai-pegawai dan kakitangan awam mereka. Jika Anwar mahu naikkan gaji RM500 kepada guru mengapa beliau tidak tawarkan inisiatif yang sama kepada sektor awam mereka terlebih dahulu?’’ soalnya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan program ‘Mendidik Demi Malaysia’ di sini hari ini.
Muhyiddin berkata demikian ketika mengulas dakwaan Anwar yang kesal dengan kenyataannya sebelum ini apabila menyebut bahawa tindakan pakatan pembangkang memperkenalkan imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 seorang setiap bulan akan menyebabkan Malaysia muflis.
Mengulas isu itu Muhyiddin berkata, setiap rancangan pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dibuat secara holistik iaitu turut mengambil kira kesannya kepada semua pihak.
‘‘Bukan tidak boleh buat, boleh, tetapi kita perlu mengambil kira implikasinya kepada pihak lain. Sebagai contoh sekiranya kerajaan membuat tawaran kepada satu pihak dalam perkhidmatan awam, apa pula kata pegawai kerajaan yang lain.
‘‘Mereka akan kata kami tidak layakkah? Mengapa guru sahaja yang dilayan, kami mengapa tidak diberikan. Maksud saya tadi bukan kerajaan tidak menilai tetapi ia melibatkan konteks secara keseluruhan sektor awam yang kakitangannya berjumlah 1.2 juta orang,’’ katanya.
Muhyiddin secara sinis berkata, Anwar yang pakar dan bijaksana itu tahu kedudukan tersebut, tetapi disebabkan muslihat politik dan pilihan raya, beliau sanggup melakukan apa sahaja.
‘‘Tidak apalah kalau bankrap, tidak apalah kalau negara terpaksa tanggung lebih belanja asalkan menang dan Anwar akan jadi Perdana Menteri. Itu tujuan sebenar Anwar,’’ katanya lagi.
Menjawab soalan mengenai tuduhan Anwar bahawa kenyataannya itu seolah-olah tidak menghargai peranan guru, Muhyiddin berkata, dakwaan tersebut hanya menunjukkan betapa terdesak Ketua Pembangkang itu untuk meraih sokongan rakyat.
‘‘Hanya Menteri Pelajaran tidak berhati perut yang tidak menghargai guru. Begitulah terdesaknya Anwar meraih sokongan rakyat,’’ ujarnya.

Thursday, July 1, 2010

Nik Aziz cabar Karpal buktikan dasar Islam Pas salah


KOTA BHARU 30 Jun - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat mencabar Karpal Singh supaya membuktikan konsep negara Islam acuan Pas yang telah dilaksanakan di Kelantan selama 20 tahun adalah salah.
Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan, menganggap kenyataan Pengerusi DAP, Kar pal Singh yang menolak gagasan pembentukan konsep negara Islam Pas jika pakatan pembangkang dapat menguasai pentadbiran negara sebagai kenyataan peribadi.
Nik Aziz berkata, Pas akan terus melaksanakan Islam yang diperjuangkan sejak sekian lama walaupun ada bangkangan daripada beberapa pemimpin parti rakan sekutu dalam pakatan pembangkang termasuk DAP.
Katanya, jika terdapat suara-suara sumbang yang lahir daripada pemimpin parti pakatan pembangkang yang mencurigai hasrat Pas itu, ia merupakan pendapat peribadi.
"Selagi mereka (yang tidak bersetuju dengan dasar Pas itu) tidak dapat membuktikan dasar Islam yang kami laksanakan ini salah, kami akan terus perjuangkan dasar ke arah pembentukan negara Islam," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini, hari ini.
Nik Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Karpal Singh dalam temu bual bersama sebuah portal berita yang mengulangi pendiriannya menolak untuk berkompromi terhadap konsep negara Islam yang diperjuangkan Pas sekiranya pembangkang mengambil alih negara.
Ia merupakan pendapat peribadi Karpal sendiri bukannya daripada DAP dan setakat ini tidak ada pihak yang dapat membuktikan konsep perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas itu salah, kata Nik Aziz.
Bagaimanapun setakat ini Nik Aziz berkata, beliau tidak nampak DAP secara terus-terang menolak dasar Islam yang diperjuangkan oleh Pas, cuma yang ada suara-suara sumbang beberapa kerat pemimpinnya dari luar.
Mengenai pengeluaran lesen minuman keras di negeri ini, beliau mengakui kerajaan negeri ada mengeluarkan lesen premis perniagaan untuk menjual minuman keras di kalangan bukan Islam di negeri ini.
"Kerajaan hanya mengurus atur lesen premis penjualan minuman arak kepada bukan Islam, tetapi tetap tidak membenarkan orang Islam minum minuman keras itu.
"Kita juga tetap tidak mengeluarkan lesen untuk premis perjudian kerana judi diharamkan oleh semua agama," katanya. - Bernama

Friday, April 2, 2010

cabar jangan tak cabar


Jangan cabar saya berlebihan - MB Perak

02/04/2010 5:39pm

IPOH 2 April - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir memberi amaran kepada pakatan pembangkang terutama anggota Parlimen supaya tidak mencabarnya secara berlebihan.
Beliau menyifatkan anggota Parlimen pembangkang melampau apabila menuduh beliau dengan pelbagai dakwaan seperti ”penipu besar” apabila mendedahkan menerima tawaran jawatan itu sekiranya melompat parti.
Beliau berkata, banyak lagi keburukan mengenai pembangkang yang boleh didedahkan sekiranya mereka khususnya pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berterusan mencabarnya dengan pelbagai dakwaan berlebihan.
"Beritahu Ngeh supaya diam dan jangan cabar saya berlebihan. Tanyalah ”bos” dia sendiri yang mengatakan tidak menelefon saya dan keesokan hari pula kata ada menelefon saya.
“Itu sudah cukup membuktikan siapa yang bercakap benar dan siapa yang bercakap bohong...jangan nanti saya memanggil dia (Anwar) sebagai ”bankrupt politician” pula kerana mengaku tidak pernah menelefon saya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Ngeh bahawa tawaran jawatan itu adalah pembohongan serta pengakuan Anwar di Dewan Rakyat semalam bahawa memang wujud pelawaan untuk Zambry menyertai PKR selepas pilihan raya umum ke-12.
Katanya, dengan pengakuan Anwar semalam, ia jelas membuktikan siapa sebenarnya ”pembohong besar” dan sering berdolak-dalik melakukan pembohongan. - Bernama

Anwar Cabar Najib Jawab Pasal APCO, Shin Bet




KUALA LUMPUR 1 Apr - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menjelaskan kepada Parlimen berhubung beberapa persoalan yang timbul daripada isu APCO Worldwide sebelum mengambil tindakan terhadap beliau.  
"Suruh dia (Perdana Menteri) jawab dulu soal APCO, jawab soal 'Israel intelligence', Shin Bet. Jawab itu dulu apakah sudah dijawab atau belum, apa nak serang saya lagi?
"Saya dah diserang banyak, sekarang ini Umno ataupun Perdana Menteri perlu jawab mengapa pilih APCO, pertahankan APCO mati-matian, ini aneh dong," kata Anwar kepada media di lobi Parlimen petang tadi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata hari ini kerajaan membuat keputusan untuk merujuk Anwar ke Jawatankuasa Mengenai Hak dan Kebebasan berhubung isu APCO, Satu Israel dan hubungkait dengan 1 Malaysia.