Wednesday, November 5, 2014

Polis Siasat Lokasi Dua Video Klip Buli Pelajar Sekolah


Diterbitkan: Rabu, 5 November 2014 8:01 PM
Dua video klip aksi buli membabitkan pelajar sekolah berasrama tersebar di laman sosial.

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengenal pasti lokasi dua video klip aksi buli dipercayai membabitkan pelajar sekolah berasrama yang tersebar di laman sosial baru-baru ini.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan pada Rabu berkata arahan telah dikeluarkan kepada semua Pesuruhjaya Polis dan Ketua Polis Negeri untuk mengesan sekolah serta remaja yang terbabit dalam dua klip video berkenaan.

"Pihak polis merayu kepada orang ramai, pihak sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar terlibat yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu untuk tampil ke hadapan membantu siasatan," katanya.

Baru-baru ini, satu klip video berdurasi empat minit 37 saat dimuat naik di laman sosial memaparkan aksi sekumpulan remaja lelaki membelasah sembilan remaja di dalam sebuah bilik dipercayai asrama sebuah sekolah.

Manakala sebuah lagi klip video berdurasi enam minit 51 saat memaparkan seorang remaja lelaki dipukul oleh beberapa remaja lelaki di dalam sebuah bilik dipercayai asrama sebuah sekolah.

Saya Mangsa, Bukan Saiful - Anwar


Diterbitkan: Selasa, 4 November 2014 5:56 PM
Anwar ditemani isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menemui penyokong selepas prosiding rayuan kes liwat pada hari keenam, Selasa.

PUTRAJAYA: "Saya adalah mangsa, bukan Saiful," demikian luahan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas pasukan pendakwaan selesai menyampaikan hujah penggulungan terhadap rayuannya di Mahkamah persekutuan pada Selasa.

Tambah Anwar, beliau terus dibebankan dengan isu DNA yang dibangkitkan pihak pendakwaan untuk dipadankan dengan profil 'Lelaki Y' yang ditemui pada tubuh pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

"Kenapa pula saya yang kena (beri DNA). Beban pembuktian adalah di pihak pendakwa. Saya adalah mangsa. Selama ini anda kata Saiful adalah mangsa, tapi tidak...sayalah mangsa," katanya kepada pemberita di Kompleks Istana Kehakiman di sini, Selasa.

Selain itu, Anwar turut mempersoalkan hujah pihak pendakwaan berhubung profil DNA asing yang ditemui pada dubur Mohd Saiful Bukhari yang dikatakan berkemungkinan milik bekas doktor Pusrawi, Dr Mohd Osman Abdul Hamid.

Menurut Anwar, pihak pendakwaan sepatutnya memanggil Dr Osman untuk dilakukan ujian DNA untuk dipadankan dengan profil asing tersebut.

"Saya nak tekankan pandangan saya, ini perbicaraan jenayah bukan pidato politik. Kalau betul dianggap begitu (DNA asing milik Dr Osman), mengapa pendakwa tak panggil beliau beri keterangan.

"Kenapa tak ambil dan siasat DNA beliau. Sekarang jadi fitnah pula terhadap Dr Osman," katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau yakin pasukan pembelaan mampu untuk mematahkan hujan pasukan pendakwaan pada prosiding yang akan disambung pada Khamis ini.

Kes Hasutan Pensyarah UM Dirujuk Ke Mahkamah Persekutuan


Diterbitkan: Rabu, 5 November 2014 8:21 PM
Dr Azmi Sharom.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu memutuskan supaya dua isu perundangan dalam kes hasutan yang dihadapi pensyarah undang-undang Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Azmi Sharom dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

Dalam keputusannya, Hakim Kamardin Hashim berkata setelah meneliti hujahan bertulis pemohon (Azmi) dan responden (pendakwaan), beliau berpandangan bahawa kes terhadap pemohon adalah sesuatu kes yang wajar untuk dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan sebagai suatu kes yang khas.

Kamardin berkata beliau percaya keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap dua persoalan undang-undang itu dapat diputuskan secara muktamad, cepat dan berekonomi.

"Kes membabitkan Azmi dan beberapa individu yang lain membabitkan Akta Hasutan dan isu yang dibangkitkan melibatkan suatu persoalan yang serius terhadap keabsahan Seksyen 4(1) Akta Hasutan yang akan menentukan pertuduhan terhadap pemohon," katanya.

Dalam membenarkan permohonan Azmi untuk merujuk dua isu itu ke Mahkamah Persekutuan, beliau berkata mahkamah mengguna pakai peruntukan di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Persoalan pertama itu adalah sama ada Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 bercanggah dengan Perkara 10(2) Perlembagaan Persekutuan dan dengan itu terbatal menurut Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan.

Persoalan kedua, sama ada Akta Hasutan 1948 suatu Akta yang sah dan berkuat kuasa menurut Perlembagaan Persekutuan.

Kamardin juga memerintahkan semua prosiding kes itu di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen digantung sementara menunggu Mahkamah Persekutuan membuat keputusan mengenai kedua-dua isu berkenaan.

Pada 17 September lepas, Azmi memfailkan permohonan bagi mendapat perintah agar Mahkamah Tinggi merujuk dua persoalan undang-undang itu kepada Mahkamah Persekutuan bagi menentukan sama ada Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 berpelembagaan atau tidak.

Azmi juga memohon perintah agar pertuduhan yang dihadapinya digantung dan/atau dibatalkan.

Sebelum itu pada 2 September, Azmi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan menyebut perkataan menghasut berhubung krisis kerajaan negeri Perak 2009.

Dia dituduh menyebut perkataan menghasut itu di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), Jalan Hang Tuah di sini pada 12.30 tengah hari, 15 Ogos lepas.

Azmi, yang juga Presiden Persatuan Kakitangan Akademik UM, turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan iaitu menerbitkan perkataan menghasut berhubung krisis sama, pada masa dan di tempat yang sama.

Kedua-dua pertuduhan dibuat masing-masing mengikut Seksyen 4(1)(b) dan Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam Gobind Singh Deo.

Sesat: Dewan Ulamak PAS serah memo kepada Ku Nan


HARAKAHDAILY | .

PUTRAJAYA: Dewan Ulamak PAS Pusat  hari ini menyerahkan satu memorandum bantahan kepada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku mansor berhubung kenyataan beliau yang menuh PAS sebagai parti ajaran sesat.

Penyerahan itu diketuai Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali kepada wakil Tengku Adanan di Pejabat Kementerian Wilayah Persekutuan, di sini tengah hari ini.

Turut hadir pada penyerahan itu Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Perak Ustaz Norazli Musa, Exco Dewan Pemuda Pas Pusat Nurul Islam Mohamed Yusof dan beberapa ahli parlimen PAS.

Mereka termasuk Idris Ahmad (Bukit Gantang), Nasrudin Hassan (Temerloh), Nik Abduh Nik Aziz (Pasir Mas),  Marzuk Shaary (Bachok), Dr.Izani Husin (Pengkalan Chepa).

Antara lain, kandungan memorandum itu mendesak Tengku Adnan memohon maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataan yang disifatkan tersasar itu.

"DUPP sekali lagi mendesak Datuk Seri Tengku Adnan menarik kembali tuduhan tersebut atau berdepan dengan tindakan undang-undang daripada PAS.

"DUPP bersedia untuk bermuzakarah untuk Datuk Seri mendapat pencerahan perjuangan PAS dalam menegakkan aqidah, syariat dan akhlak Islam di dalam negara ini," kenyataan itu dipetik.

Ahad lalu, Tengku Adnan yang juga selaku Setiausaha Agong Umno ketika berucap di Multaqa Kebangsaan Biro Agama parti itu  menuduh PAS parti ajaran sesat yang memesongkan akidah.

Menteri Wilayah itu juga mendakwa ajaran PAS hanya tahu memecah belah.

Sebaliknya kata Tengku Adnan, hanya Umno lah parti Melayu yang memastikan akidah umat Islam di Malaysia tetap terpelihara.

Sementara itu, Mohd Khairuddin ketika mengulas perkara itu berkata dakwaan Tengku Adnan bahawa Umno sebagai parti Melayu yang boleh memastikan akidah umat Islam terpelihara adalah tersasar dari realiti yang sebenar.

Sepanjang merdeka sejak 1951 katanya, Umno sebagai parti pemerintah yang berkuasa telah membiarkan pemikiran dan aqidah yang rosak berkembang seperti sekular, pluralisma dan liberalisma.

"Malah usaha menegakkan syariat Islam seperti undang-undang jenayah Islam masih gagal dinobatkan dan tidak dipandang serius oleh Umno selaku pemerintah yang mengaku Islam," tegasnya.-HARAKAHDAILY 5/11/2014

Hati ibarat rumah enam pintu


TUAN IBRAHIM TUAN MAN | .
Wahai sahabatku,

Aku sangat tertarik dengan kenyataan hukama'
مثل القلب مثل البيت له ستة ابواب، فاحذر ان لا يدخل عليك احد من هذه الابواب شيأ فيفسد عليك البيت ،
فالقلب هو البيت والابواب العين واللسان واللشفتان واليدان والرجلان والشم فمتى فتح باب من هذه الابواب الستة بغير علم ، ضاع البيت

Maksudnya:
"Perumpamaan seketul hati itu ibarat sebuah rumah yang mempunyai enam pintu, berhati-hatilah supaya tidak dimasuki oleh sesiapa pun melalui pintu-pintu tersebut kerana ia akan merosakkan rumah tersebut. Maka hati itu adalah rumah, maka pintu-pintunya ialah mata, lidah, dua bibir, dua tangan, dua kaki dan hidung. Apabila dibuka pintu-pintu yang enam itu tanpa ilmu, maka hancurlah rumah tersebut.”

Ilmu adalah pengawal yang paling ampuh bagi mengawal dirimu dari elemen yang akan merosakkan dirimu. Seandainya kamu tidak memelihara matamu, kedua tanganmu, lidah, kaki, hidungmu ia akan merosakkan terus dirimu.

Wahai sahabatku,
Kerana itu awasilah matamu dari melihat perkara yang diharamkan Allah, kerana pintu utama ialah matamu. Ia akan membangkitkan kemarahanmu, jua ketenanganmu. Ia mampu membangkitkan nafsumu atau menundukkan nafsumu, matamu akan menambah kasih sayangmu atau menambah kebencianmu, bahkan ia jua akan menundukkan jiwamu atau menambah egomu.

Pandulah matamu dengan ilmu, wahai sahabatku, agar engkau bukan hanya melihat dengan matamu yang zahir, bahkan kamu akan nampak dengan mata hatimu.

Demikianlah segala anggotamu yang lain. Ia hanya akan dapat memelihara segala pintu-pintumu dengan bimbingan ilmu.

Senyum

Persempadanan pilihan raya mestilah sekata


ANIS NAZRI | .
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat menyeru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mematuhi prinsip  Persempadanan Adil, Parlimen Efektif dalam merangka persempadanan semula akhir tahun ini.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusoff Rawa, berkata persempadanan semula kawasan pilihan raya perlu mengambilkira wajaran kawasan luar bandar dan juga memenuhi prinsip 'satu orang, satu undi'.

Berkata pada sidang media di parlimen, hari ini, Mujahid berkata prinsip tersebut bersesuaian dengan syor ke-20 Jawatankuasa Pilihan khas Parlimen berhubung penambahbaikan Proses Pilihan Raya.

"SPR mesti akur kepada syor parlimen ini dan menghapuskan gejala pembahagian tidak sekata (malapportionment) dan persempadanan tidak adil (gerrymandering)," kata beliau.

Manakala, di bawah prinsip parlimen efektif, SPR perlu meyakinkan rakyat bagaimanakah parlimen akan menjadi efektif dengan pertambahan kerusi dengan suara wakil rakyat menjadi terbatas di Dewan Rakyat.

Tambah beliau, jika parlimen menjadi terlalu besar, peranan dan fungsi wakil rakyat berkurangan, di samping kesukaran menuntut peruntukan bagi kawasan diwakili mereka.

Sementara itu, Mujahid yang dilantik kerajaan negeri Pulau Pinang bagi mewakili negeri itu dalam urusan persempadanan semula menegaskan pihaknya akan menasihati kerajaan negeri dalam menilai cadangan  persempadanan kerusi parlimen dan Dun berasaskan dua prinsip di atas.

Selain Mujahid, kerajaan negeri Pulau Pinang turut melantik Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik bagi mewakili DAP dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin bagi pihak PKR. – HARAKAHDAILY 5/11/2014

PAS sokong Himpunan Rakyat 7 November


MUHAMMAD FAIZAL | .
KUALA LUMPUR: PAS hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran Himpunan Rakyat di KLCC, 7 November ini bagi membantah dasar kerajaan yang menekan rakyat.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu memberitahu pemimpin PAS akan turun bersama NGO dan aktivis mahasiswa bagi menjayakan himpunan tersebut.

"Kita akan bersama-sama dengan NGO serta mahasiswa sebagai sokongan kita sebagai membantah dasar kerajaan yang menekan hidup rakyat," katanya.

Sementara itu Ketua Pemuda PAS Malaysia Suhaizan Kaiat pula menyeru agar Pemuda PAS seluruh negara dan anak muda turut hadir bersama menyertai himpunan itu nanti.

"Ia amat penting bagi kita mengekalkan momentun rakyat untuk terus memprotes tindakan kerajaan yang berterusan menindas rakyat serta tidak mempeduli kesusahan rakyat di bawah," jelas beliau.

Dalam pada itu, Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN) selaku penganjur bersama memaklumkan himpunan tersebut akan bermula sejurus selesai solat Jumaat di Masjid Assyakirin dan kemudian berarak ke KLCC.

Jurucakapnya, Azan Safar berkata setakat ini lebih 30 NGO dan parti politik, antaranya Gamis, PMUM, SAMM, SUARAM, Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak), Pertubuhan Anak muda Bersama Ulama atau Panglima, Bantah GST dan Pemuda Pakatan Rakyat sudah menyatakan komitmen untuk bersama.

"Himpunan ini memberi fokus kepada protes kenaikan harga minyak, bantah GST dan solidariti buat penduduk Kampung Chubadak Tambahan yang diroboh sebelum ini.

"Kita mengharapkan sokongan padu diberikan seluruh rakyat terhadap himpunan ini sebagai tanda sokongan kita atas keperitan yang dihadapi rakyat," katanya.-HARAKAHDAILY 5/11/2014

SIS wajar diharamkan - Pemuda PAS


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) berpendirian tegas bahawa usaha yang giat dikembangkan SIS dengan menyebarkan fahaman liberal atas nama Islam adalah satu kesesatan terang lagi nyata.

Timbalan Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan ia sama sekali tidak mencapai tujuan Islam diturunkan untuk manusia akhir zaman serta membuka kewenangan kepercayaan, pegangan dan amalan, yakni penyimpangan dari syariat dan manhaj Islam sebenar.

Malah, katanya SIS adalah kewujudan baru atau penyelewengan agama di mana diasaskan oleh tokoh yang disepakati hampir semua ulama sebagai sesat iaitu Amina Wadud.

Menurutnya, asas Islam yang disesatkan Amina kepada umum dan pernah menimbulkan kontroversi seluruh dunia rupanya disambung di negara ini menerusi wadah SIS.

"Dari bertunjang isu feminisme yang diperjuangkan SIS, golongan ini dilihat semakin berani menyanggah asas-asas Islam pegangan masyarakat negara ini iaitulah mensepakati pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah," ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, selain mempermain-main dan menyindir usaha-usaha penegasan syariat Islam kepada masyarakat Muslim negara ini seperti isu tudung wanita di Kelantan, SIS juga mencabar fatwa pengharamannya oleh Jawatankuasa Fatwa MAIS sebelum ini kerana berpegang kepada pluralisme dan liberalisme agama.

"Secara terang nyata juga, SIS telah mencabar akidah Islamiyah apabila turut mempromosikan pemikiran Yahudi dan Nasrani dengan menyatakan manusia sebagai anak-anak Allah. Bermakna SIS menolak keesaan Allah SWT sebagaimana Surah al-Ikhlas," jelasnya.

Tambahnya, DPPM kesal, SIS bersikap mencabar pihak-pihak berkuasa agama negara ini dan kontradik dengan keterbukaan yang diperjuangkan sendiri apabila gagal menjawab atau menjelaskan segala dakwaan atas mereka terutama berkaitan kesesatan pegangan SIS.

Beliau berkata, SIS hanya berselindung dan beralasan dengan kebebasan bersuara dan hak memberikan pandangan.

"Kesemua tindak tanduk dan pendirian SIS mewajarkan ia diharamkan serta merta tanpa kompromi lagi setelah barah ini berpanjangan dan kedegilan SIS mencetus pelbagai polemik fahaman dan pegangan umat Islam negara ini," katanya.

Tegasnya, atas itulah DPPM berdiri bersama dengan keputusan pihak Jawatankuasa Fatwa MAIS. - HARAKAHDAILY 5/11/2014

Karikatur hina Erdogan


Karikatur tersebut telah diambil daripada artikel akhbar Frankfurter Allgemeine Zeitung.
Karikatur tersebut telah diambil daripada artikel akhbar Frankfurter Allgemeine Zeitung.
ANKARA - TURKI. Karikatur yang memaparkan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan sebagai anjing telah mencetuskan kemarahan kerajaan.

Gambar kontroversi tersebut didakwa telah dicetak dalam buku teks sekolah untuk subjek pengajian sosial di Baden Wuerttemberg, selatan Jerman.

Menurut beberapa laporan, karikatur itu telah diambil dari sebuah artikel edisi Ahad, akhbar Frankfurter Allgemeine Zeitung pada 2011 yang turut disertakan kapsyen 'Erdogan' dan tajuk sarkastik, 'Warga Turki di Jerman-- sebuah kisah kejayaan'.

Susulan daripada itu, kerajaan telah memanggil Duta Jerman, Eberhard Pohl bagi menuntut penjelasan berhubung perkara tersebut.

"Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja mahu menghina beliau.

Ia dilihat sebagai satu bentuk ancaman Islamophobia," menurut kenyataan Kementerian Luar Turki.

Difahamkan, laporan dipetik dari Al-Arabiya, pemimpin tersebut juga pernah menjadi mangsa beberapa pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan perbuatan sama sebelum ini.

Larang guna model wanita


5 November 2014
KABUL - AFGHANISTAN. Afghanistan semalam membantah penggunaan model wanita sebagai hiasan dalam kempen iklan dan mendedahkan iklan tidak bermoral semakin berleluasa di kalangan golongan muda.

Banyak iklan menampilkan wanita muda untuk menarik perhatian pengguna, dan kerajaan berpendapat model wanita tidak boleh dieksploitasi untuk tujuan komersial.

Kementerian Penerangan dan Kebudayaan berkata, iklan menggunakana wanita sebagai hiasan, fesyen dan alat untuk mendapatkan wang sebenarnya merendahkan kedudukan wanita Afghanistan, laporan dipetik dari CNW.

Dua kali cuba rempuh pagar

Putrajaya: Lebih 30 penyokong Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan dua cubaan merempuh pagar penghadang besi untuk masuk ke pekarangan Istana Kehakiman, di sini semalam.
Provokasi itu dibuat dalam dua kejadian berasingan, iaitu pada jam 1.35 petang dengan menggunakan alasan hujan bakal turun sedangkan cuaca panas terik ketika itu manakala satu lagi kejadian berlaku pada jam 3.15 petang dengan menggunakan alasan cuaca panas.
Biarpun amaran sudah diberikan oleh anggota polis supaya tidak menimbulkan kekecohan, mereka tetap menjerit dan mendesak pihak polis supaya membuka penghadang besi untuk berlindung di bawah khemah di Dataran Putrajaya, Presint 3.
Dalam kejadian itu, sepasukan anggota polis yang diketuai Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid terus berkawal dan menahan pagar berkenaan daripada terus dirempuh penyokong Anwar.
Bagaimanapun, provokasi rempuhan yang kedua itu hanya berlarutan beberapa minit sebelum keadaan kembali tenang.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 5:15 AM


PENYOKONG Anwar cuba merempuh halangan yang dipasang pihak polis.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/6672#sthash.4I8E8Lho.dpuf

Republikan diramal kuasai Senat


Barack Obama (kiri) bersalaman dengan calon Gabenor Maine, Mike
Barack Obama (kiri) bersalaman dengan calon Gabenor Maine, Mike Michaud dari Parti Demokrat dalam satu kempen di Portland, Maine, pada 30 Oktober lalu. – AP
WASHINGTON 4 Nov. – Parti Republikan bersedia menawan semula Dewan Senat Amerika Syarikat (AS) daripada Parti Demokrat dalam pilihan raya umum yang berlangsung hari ini, yang juga dilihat sebagai referendum rakyat terhadap hasil kerja Presiden, Barack Obama.
Berjuta-juta rakyat AS keluar mengundi bagi memilih 36 senator, 36 gabenor dan 435 anggota Dewan Perwakilan dalam kempen yang dibayangi kegagalan Obama menyediakan banyak peluang pekerjaan dan keadaan ekonomi yang tidak berkembang pesat bagi membantu rakyat kelas pertengahan.
Parti Republikan dijangka tidak mempunyai masalah untuk memenangi banyak kerusi di Dewan Senat, namun tinjauan mendapati kedua-dua parti mempunyai peluang sama untuk merebut lapan hingga 10 kerusi.
Parti Republikan perlu memenangi enam kerusi untuk kembali menguasai Dewan Senat yang dianggotai 100 perwakilan buat kali pertama sejak 2006.
Bagi sesetengah negeri yang disertai lebih daripada satu calon untuk jawatan senator seperti di Louisiana dan Georgia yang memerlukan calon meraih lebih 50 peratus undian, pusingan kedua pilihan raya mungkin akan diadakan bulan depan sehingga Januari.
Kejayaan menguasai Dewan Senat membolehkan Parti Republikan memiliki undi majoriti di Dewan Perwakilan, sekali gus menyebabkan berlakunya perubahan politik drastik yang bakal menyukarkan pentadbiran Obama yang masih lagi berbaki dua tahun.
Jurucakap White House, Josh Earnest berkata, kebanyakan calon Dewan Senat dari Parti Demokrat berdepan banyak masalah di negeri yang menyaksikan Obama tewas dalam Pilihan Raya Presiden 2012. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/republikan-diramal-kuasai-senat-1.20821#sthash.SDxs6gm1.dpuf

Gambar Halloween persenda MH370, MH17


Aksi tiga orang wanita berpakaian seperti pramugari dan bersolek
Aksi tiga orang wanita berpakaian seperti pramugari dan bersolek seperti zombie (kiri) serta dua lelaki mengenakan pakaian seragam juruterbang yang berdarah sempena sambutan Halloween, mendatangkan kritikan banyak pihak mengenai rasa tidak sensitif sesetengah pihak. – AGENSI
KUALA LUMPUR 4 Nov. - Tindakan ‘tidak sensitif’ se­gelintir pihak menggunakan kostum berkaitan tragedi MH370 dan MH17 pada sambutan Halloween baru-baru ini, mendapat kritikan ramai pengguna laman sosial termasuk anak kepada Ketua Pramugara MH370.
Mail Online melaporkan, tahun ini ramai pengguna laman sosial sama ada Facebook, Twitter atau Instagram memuat naik gambar ‘menjelikkan’ sempena perayaan Halloween dengan menggunakan hashtag #Malaysia, #terlaluawal dan #MH370, seolah-olah ‘mengejek’ ahli keluarga mangsa.
Antara gambar yang dimuat naik adalah aksi tiga orang wanita berpakaian seperti pramugari dan bersolek seperti zombie sambil minum dengan menggunakan cawan tertera nama Malaysia, sementara satu lagi foto menunjukkan dua lelaki memakai pakaian seragam juruterbang yang compang-camping dan mempunyai kesan warna merah menyerupai darah.
Rakyat Malaysia yang kecewa dengan perbuatan sedemikian mengutuk tindakan tersebut dan menggesa individu berkaitan supaya segera memadam gambar berkenaan.
“Jenaka atau sindiran seperti itu akan menyebabkan ahli keluarga mangsa yang kehilangan orang tersayang terluka. Menganjurkan pesta Halloween yang menggambarkan tragedi MH370 dan MH17 tidak memberikan sebarang mesej positif.
“Jangan cuba menambah luka kepada keluarga mangsa,” kata Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM), Ismail Nasaruddin kepada Malay Mail.
Sementara itu, anak kepada Ketua Pramugara MH370, Andrew Nari iaitu Maira Elizabeth Nari, menya­makan tindakan tidak sensitif itu dengan ‘rakyat Malaysia cuba berlawak jenaka dengan tragedi sera­ngan di World Trade Centre’.
“Sesetengah orang fikir perbuatan mereka adalah satu lawak tapi sebenarnya tidak. Nahas berkenaan bukanlah satu bahan jenaka dan jika ada yang fikir sedemikian, saya rasa mereka tidak waras,” jelas Nari.
Nahas udara MH370 dan MH17 mengakibatkan 537 orang penum­pang dan anak kapal dari 19 buah negara terkorban.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/gambar-halloween-persenda-mh370-mh17-1.20889#sthash.k8pJb2qf.dpuf

Erdogan herdik perokok di kafeteria


RECEP TAYYIP ERDOGAN sempat mengherdik seorang pengunjung kafeteria
RECEP TAYYIP ERDOGAN sempat mengherdik seorang pengunjung kafeteria yang merokok ketika mengadakan kunjungan ke kawasan perniagaan di Esenler di Istanbul, kelmarin. – Agensi
ISTANBUL 4 Nov. – Sebuah kafe di sini didenda sebanyak 6,000 lira (RM8,889), semalam selepas Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengherdik seorang daripada pelanggan kedai itu dari jalan raya kerana merokok serta mahu premis itu dihukum.
Gambar Erdogan sedang memarahi perokok itu, mengundang reaksi hangat di media sosial dengan pihak pembangkang menganggap aksi tersebut sebagai bukti kepada sifat-sifat kuku besi pemimpin berkenaan yang semakin meningkat.
Perbuatan merokok di tempat awam adalah dilarang di Turki.
“Perlu ada hukuman untuk ini! Lelaki biadab itu, lihat padanya. Presiden sedang memberitahunya supaya tidak merokok, namun dia masih terus merokok,’’ teriak Erdogan sambil memberitahu pembantunya sebelum beliau terus berjalan melalui kawasan perniagaan di Esenler selepas hadir pada satu majlis kerajaan, kelmarin.
Mengulas insiden itu, seorang pengguna Twitter menulis: ‘Me­rokok lebih sihat daripada fahaman fasis’ sambil menggunakan hashtag ‘#merokok tidak sama bahaya seperti anda’ yang ditujukan kepada Erdogan.
Perbuatan merokok masih meluas di Istanbul berbanding bandar-bandar raya lain di Eropah dengan parti pemerintah, Parti Keadilan dan Pembangunan mengambil langkah drastik untuk mencegahnya iaitu memperkenalkan larangan merokok di dalam bangunan serta mengkaburkan imej rokok pada iklan televisyen termasuk mengenakan cukai yang tinggi. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/erdogan-herdik-perokok-di-kafeteria-1.20815#sthash.L8gQd7TH.dpuf