JAM 2.30 pagi. Penggera di pusat pelindungan bayi, Yayasan OrphanCare, Petaling Jaya tiba-tiba berbunyi. Lampu terpasang dan penghawa dingin terus berfungsi serta merta dalam tempat pelindung bayi, atau baby hatch.
Tanpa pesanan, si kecil yang baharu berusia kurang seminggu ditinggalkan sendirian. Hanya tangisannya memecah hening pagi dan baby hatch menjadi tempat si kecil berlindung buat sementara waktu.
Bayi itu kemudian segera diselamatkan penjaga yang menetap di pusat perlindungan tersebut. Begitulah bermulanya kisah hidup bayi itu yang ditinggalkan tanpa identiti. Tidak diketahui siapa ibunya, siapa pula bapanya, di mana asal usulnya.
Identiti insan yang meletakkan bayi itu dalam ‘baby hatch’ juga tiada siapa yang tahu. Dengan peningkatan kes buang bayi yang dilaporkan sejak akhir-akhir ini, ruang kecil baby hatch itu boleh memberikan harapan baharu kepada bayi yang lahir akibat keterlanjuran ibu bapa, atau lahir dalam keluarga yang terlalu miskin.
Menurut Pegawai Komunikasi Yayasan OrphanCare, Siti Naquiah Fadzil, baby hatch atau pelindung bayi diwujudkan pada 29 Mei 2010 dengan tujuan mencegah pembuangan bayi.
“Kebanyakan mereka yang membuang bayi adalah yang kehilangan hala tuju dan terdesak kerana tiada sokongan dan bantuan,” katanya.
Mengikut perangkaan yayasan itu, sejak penubuhan baby hatch, hanya 11 bayi ditinggalkan di dalam baby hatch tanpa identiti, atau dengan kata lain, dibuang oleh ibu bapa.
“Kes pembuangan bayi masih berlaku, namun, jumlah bayi ditinggalkan di dalam baby hatch tidak ramai. Mungkin mereka tidak tahu atau takut ditangkap.
“Umum perlu tahu, kami di yayasan ini tidak menempatkan sebarang kamera litar tertutup di luar perkarangan pusat perlindungan. Kerana kami tidak mahu mendedahkan identiti mereka yang terlibat,” katanya.
Katanya, segala maklumat dirahsiakan dan tidak sesekali didedahkan, sama ada maklumat berkenaan ibu bapa angkat mahupun identiti si ibu kandung.
Tsunami pencetus idea baby hatchMenurut Siti Naquiah, Yayasan OrphanCare juga bukan semata-mata menerima bayi yang ditinggalkan di dalam baby hatch, tetapi lebih penting lagi, pusat itu memberi sesi kaunseling kepada wanita mengandung anak luar nikah yang datang meminta pertolongan dan nasihat.
Namun, katanya, ada juga wanita hamil yang datang ke yayasan itu untuk mendapatkan kaunseling membuat keputusan untuk tetap menyerahkan anak mereka kepada keluarga angkat selepas kelahiran.
Sehingga kini, seramai 103 bayi, termasuk bayi yang ditinggalkan dalam baby hatch diserahkan kepada keluarga angkat, manakala jumlah bayi yang diambil semula oleh ibu kandung selepas kaunseling adalah 63 orang.
Menurut Siti Naquiah, Yayasan OrphanCare menyediakan borang di baby hatch untuk diisi, tetapi kebiasaannya ia tidak diisi atau maklumat yang diberikan tidak lengkap.
"Rata-rata wanita yang terlibat dalam kes mengandung luar nikah pula dalam lingkungan umur antara 18 hingga 24 tahun terdiri daripada pelbagai kaum, dan bukan semua yang terbabit adalah warganegara," katanya.
Yayasan itu kini turut mempunyai 3,758 orang berdaftar sebagai bakal ibu bapa angkat, dan seramai 693 berada dalam senarai menunggu.
Sementara itu, menceritakan idea penubuhan Yayasan OrphanCare, Siti Naquiah pusat itu wujud setelah melihat penderitaan anak-anak yatim yang kehilangan keluarga akibat bencana tsunami di Acheh, Indonesia.
Impian membantu anak yatim memiliki sebuah keluarga sempurna akhirnya membawa kepada penubuhan Yayasan OrphanCare pada 2009 di bawah naungan Sultanah Pahang Sultanah Hajah Kalsom, dengan slogan ‘Setiap anak memerlukan keluarga’.
Misi mereka adalah menempatkan anak-anak yatim dalam sebuah keluarga bahagia memandangkan rumah kebajikan tidak mampu menggantikan suasana kekeluargaan.
Baby hatch bukan galak hamil luar nikahBaby hatch bukan diwujudkan untuk menggalakkan wanita hamil anak luar nikah tetapi untuk membantu ibu dan bayi mendapat perlindungan supaya wanita yang mengandung tanpa ikatan perkahwinan tidak melakukan tindakan di luar kewarasan seperti membuang bayi.
Eksekutif Pengurusan Yayasan OrphanCare, Zulkifli Mohd Aris berkata, kes pembuangan bayi tidak berlaku hanya selepas kewujudan badan bukan kerajaan seperti Yayasan OrphanCare, tetapi ia terjadi sejak berpuluh tahun dahulu.
“Kami wujud untuk membantu seperti membawa ke hospital dan mendapatkan rawatan, memberi panduan dan kaunseling. Kami mahu mereka buat keputusan terbaik. Alhamdulillah jika mereka bersedia menjaga sendiri anak itu.
“Tetapi jika sebaliknya, kami akan bantu mencari ibu bapa angkat terbaik untuk bayi tersebut,” katanya menjawab tohmahan sesetengah pihak bahawa kewujudan baby hatch hanya akan menggalakkan seks bebas dan kehamilan luar nikah.
Menurut Zulkifli, sebagai langkah awal pencegahan, Yayasan OrphanCare turut mengadakan seminar dan program kesedaran ke seluruh negara.
“Kami akan lancarkan Program Pencegahan Jenayah Sekata, Keselamatan Keluarga Tanggungjawab Kita, yang akan bermula akhir bulan ini. Golongan sasar merupakan remaja berumur 18 tahun ke atas dan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi.
“Bagaimanapun ibu bapa tetap memainkan peranan untuk memantau pergerakan anak-anak selain masyarakat juga harus mengambil tahu apa yang berlaku di sekeliling mereka,” katanya.
Trivia
Baby Hatch (pelindung bayi) pertama dirasmikan pada 29 Mei 2010. Pejabat operasi di Kampung Tunku, Petaling Jaya, Selangor. Mempunyai dua lagi cawangan di Kota Bharu dan Johor Bahru
Prosedur pengambilan anak angkat baby hatch
1. Bakal ibu bapa angkat perlu membuat permohonan kepada Yayasan OrphanCare
2. Penilaian dan temu duga akan dijalankan
3. Bakal ibu bapa angkat akan ditapis
4. Sebaik yayasan menerima bayi yang ditinggalkan dalam baby hatch, laporan polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dibuat dalam tempoh 24 jam.
5. Bayi dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
6. Bakal ibu bapa angkat akan dihubungi memaklumkan mengenai bayi yang bakal mereka terima.
7. Urusan dokumentasi dijalankan termasuk urusan mahkamah.
8. Sekiranya semua urusan berjalan lancar, bayi terus diserahkan kepada ibu bapa angkat (tempoh bergantung kepada urusan rawatan, dokumentasi dan kelulusan mahkamah).
Kriteria pemberian anak angkat di OrphanCare
1. Pendapatan isi rumah.
2. Keutamaan kepada pasangan yang tiada anak selepas 5 tahun berkahwin.
3. Seluruh keluarga besar menerima anak yang diangkatkan itu.
4. Lain-lain faktor seperti ekonomi, kesihatan, dan usia perkahwinan.