Monday, September 30, 2013

Memandu boleh rosakkan ovari?

Memandu boleh rosakkan ovari?Memandu didakwa boleh beri kesan sampingan kepada golongan wanita.

RIYADH - ARAB SAUDI. Seorang ulama terkemuka di Arab Saudi mendakwa bahawa memandu boleh memberi kesan sampingan kepada golongan wanita termasuk merosakkan ovari selain menyebabkan kanak-kanak mengalami masalah klinikal.

Jumaat lalu, dalam satu wawancara yang dipaparkan di dalam laman sesawang sabq.org, Sheikh Saleh al-Lohaidan turut menyokong hujahnya itu bersama dengan kajian perubatan yang menunjukkan perbuatan memandu sebenarnya memberi kesan secara terus kepada ovari selain menolak pelvis ke atas.

"Perkara ini dapat dilihat dengan jelas kerana wanita yang memandu secara kerap biasanya akan mempunyai anak yang mengalami pelbagai masalah klinikal," jelasnya menurut laporan Reuters.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu susulan daripada tindakan beberapa aktivis yang mengadakan kempen baru untuk membantah larangan tersebut pada 26 Oktober depan.

India gelar Pakistan pusat keganasan


 
New York: Pakistan perlu menghentikan aktiviti keganasan di wilayahnya, kata Perdana Menteri India, Manmohan Singh ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), kelmarin.

Sambil menyifatkan Pakistan sebagai 'pusat keganasan', Manmohan juga menegaskan, India tidak akan sekali-kali bertolak ansur dalam isu Kashmir.
Tolak desakan Nawaz

Ucapan berkenaan dianggap menolak sama sekali desakan Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif menyelesaikan isu Kashmir mengikut resolusi Majlis Keselamatan PBB.

Sebaliknya, beliau menyokong penyelesaian semua isu berdasarkan Perjanjian Simla.

“India sedia menyelesaikan semua isu dengan Pakistan termasuk Jammu Kashmir menerusi dialog dua hala mengikut Perjanjian Simla Agreement,” katanya kerana India menganggap resolusi PBB tidak lagi berguna.

Singh berkata, keganasan masih ancaman terbesar kepada keselamatan dan kestabilan ialah keganasan yang mengorbankan ramai mangsa tidak berdosa.
“Dari Afrika ke Asia, kita lihat bukti ancaman ini sejak beberapa hari lalu saja,” katanya merujuk kepada serangan dekat Jammu, Khamis lalu, dan di Nairobi, Kenya.

Keganasan tajaan

“Keganasan tajaan kerajaan di seberang sempadan paling membimbangkan India dan kenyataannya, pusat keganasan di rantau kami ialah negara Pakistan,” katanya.

Singh, bagaimanapun, sedia menyelesaikan semua isu termasuk Jammu Kashmir menerusi dialog dua hala.

“Bagaimanapun, jika kemajuan dicapai, adalah penting wilayah Pakistan tidak digunakan untuk membantu keganasan terhadap India. - AGENSI

Pertempuran baru tercetus di Filipina

Pertempuran baru tercetus di FilipinaBeberapa anggota tentera berkawal berhampiran sebuah rumah yang musnah akibat pertempuran di bandar Zamboanga, kelmarin.

MANILLA - FILIPINA.Pertempuran di bandar selatan Zamboanga dilaporkan kembali tercetus, semalam selepas tentera meneruskan operasi memburu saki-baki anggota kumpulan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF).

Operasi itu turut menyebabkan tiga anggota puak pemisah tersebut maut manakala enam askar cedera.

"Apa yang berlaku adalah di luar jangkaan kami kerana mereka cuba melarikan diri selepas ditangkap. Bagaimanapun, kami berjaya mengawal ancaman tersebut," kata jurucakap tentera, Ramon Zagala kepada AFP.

Susulan daripada insiden itu, seramai 189 anggota MNLF dilaporkan terkorban manakala 292 ditahan atau menyerah diri.

Kelmarin, tentera mengisytiharkan krisis selama tiga minggu itu sudah berakhir selepas 195 tebusan berjaya dibebaskan.

7 lagi pemberontak MNLF dibunuh


PASUKAN tentera melambai tangan kepada penduduk dari bumbung sebuah masjid selepas berjaya menawannya semula di bandar pelabuhan Zamboanga, Filipina semalam.


MANILA - Pasukan tentera dan polis khas Filipina semalam membunuh tujuh lagi pemberontak Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) dalam beberapa pertempuran di bandar pelabuhan Zamboanga yang menyaksikan krisis tebusan berlanjutan selama hampir tiga minggu.
Enam pemberontak dibunuh ketika bersembunyi di dalam sebuah rumah di kejiranan Santa Barbara dan enggan menyerah diri.
Seorang lagi dibunuh dalam satu pertempuran yang tercetus di Rio Hondo, satu daripada lima komuniti yang ditawan oleh hampir 500 orang anggota MNLF sejak 9 September lalu.
Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Ra- mon Zagala memberitahu, pihaknya juga menemui tujuh laras senapang dan satu pelancar bom tangan.
Walaupun konflik di Zamboanga sudah berakhir, Zagala bagaimanapun menegaskan bahawa keadaan masih lagi berbahaya untuk penduduk pulang ke rumah masing-masing, sehinggalah pasukan tentera selesai menjalankan operasi pembersihan.
Kelmarin, pegawai Kementerian Pertahanan Filipina dan tentera mengumumkan bahawa konflik itu sudah berakhir. Ia juga menyatakan, 195 penduduk kampung yang dijadikan perisai manusia telah diselamatkan.
Dianggarkan seramai 4,000 anggota tentera dan polis berjaya membunuh 190 orang pemberontak manakala 292 yang lain ditangkap atau menyerah diri selepas mereka kepenatan, selain kehabisan makanan dan peluru.
Datuk Bandar Zamboanga, Isabelle Climaco-Salazar memberitahu, dewan bandar raya dibuka semula pada hari ini. Pihaknya juga sedang merancang untuk membina semula komuniti yang terjejas teruk selepas hampir 10,000 buah rumah dibakar oleh pemberontak atau musnah dalam pertempu- ran.
Pemberontakan paling berdarah itu berlaku berikutan MNLF menuduh Manila mungkir janji kerana mengadakan rundingan dengan kumpulan pemisah terbesar di Mindanao, Barisan Pembebasan Islam Moro. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0930&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2gJmbKRB2 
Hakcipta terpelihara