Wednesday, April 13, 2011

Ameng bersalah


BERSALAH...Ameng bertemu isterinya sebelum dibawa masuk ke lokap.
BERSALAH...Ameng bertemu isterinya sebelum dibawa masuk ke lokap.

MELAKA: Vokalis kumpulan Spring, Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 43, dijatuhi hukuman penjara 11 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan memiliki dan memasukkan dadah dalam badan di sebuah hotel di Taman Melaka Raya, di sini, Februari lalu.
Isteri Ameng, Sabariah Zakariah, 41, yang menghadapi dua tuduhan bersama suaminya, bagaimanapun dibebaskan selepas pertuduhan terhadapnya digugurkan.

Mengikut pertuduhan, Ameng dan isterinya didapati memiliki kanabis seberat 105.90 gram di bilik nombor 1, Hotel Senyum Mesra, nombor 346 A&B, Jalan Melaka Raya 3, Taman Melaka Raya, dekat sini, pada 1 Februari lalu.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta sama, dibaca sekali dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan membabitkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan 10 sebatan jika sabit kesalahan Bagi pertuduhan kedua, pasangan itu dituduh memiliki dadah methamphetamine seberat 0.22 gram di tempat, masa dan tarikh sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman didenda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Ameng turut menghadapi pertuduhan tambahan iaitu memasukkan dadah dalam badan kira-kira jam 6 petang hari sama di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) akta sama (pindaan 2003) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) (b) dibaca bersama Seksyen 38 ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan dua tahun pengawasan.

Hakim Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama, dua tahun penjara bagi pertuduhan kedua, manakala untuk pertuduhan ketiga, Ameng dijatuhkan hukuman penjara setahun berserta pengawasan selama dua tahun.
Abu Bakar, bagaimanapun mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bagi ketiga-tiga pertuduhan itu secara serentak bermula tarikh ditangkap iaitu 1 Februari lalu. Berikutan itu, Ameng hanya perlu menjalani hukuman penjara selama lapan tahun berserta sebatan.

Ameng yang mengenakan kemeja-T berwarna biru dan berseluar jeans kelihatan tenang ketika hukuman dijatuhkan terhadapnya.

Dia sebelum ini mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki dadah ketika dihadapkan ke mahkamah pada 14 Februari lalu, manakala isterinya mengaku tidak bersalah.

Terdahulu, peguam bela Azrul Zulkifli Strok yang mewakili Ameng dan isterinya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman paling minimum terhadap anak guamnya memandangkan itu kesalahan pertamanya memiliki dadah.

“Saya merayu mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana tertuduh dalam kes ini adalah penanggung keluarga yang mempunyai seorang isteri dan tiga anak berusia antara tiga hingga 15 tahun selain ibunya yang sakit tua.

Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin, bagaimanapun meminta mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum terhadap tertuduh kerana kesalahan dilakukannya serius.

Menurutnya, masalah dadah menjadi punca perpecahan dalam masyarakat sekarang dan beliau meminta mahkamah mengutamakan kepentingan awam ketika menjatuhkan hukuman.

Beberapa ahli keluarga pasangan berkenaan dilihat hadir di mahkamah untuk mengikuti perbicaraan itu.

Wanita campak cucu dalam perigi kerana bintang


BEIJING: Seorang wanita membunuh cucunya dengan mencampakkan bayi terbabit ke dalam perigi selepas tukang telek meramalkan mangsa membawa sial kepada keluarga mereka.
Menurut Jiangxi News semalam, wanita itu - dikenali sebagai Ao - nekad mahu membunuh selepas diberitahu, bintang kelahiran bayi terbabit ‘bertembung’ dengan ahli keluarganya yang lain.

Ao pernah mencadangkan seorang cucunya yang lain menendang perut menantunya ketika dia mengandungkan bayi terbabit bagi memaksakan keguguran.

Ao memberitahu polis Nanchang, bayi itu lahir Januari lalu.

Akhirnya bayi terbabit dibunuh ketika ibunya berada dalam tandas pada 6 April lalu. - AFP

Mahkamah batal saman fitnah Ummi Hafilda terhadap rakanya dan Malaysiakini



KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini membatalkan saman fitnah dengan tuntutan ganti rugi RM100 juta yang difailkan ahli perniagaan Umi Hafilda Ali terhadap bekas rakan perniagaannya dan portal berita Malaysiakini.
Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof membuat keputusan itu dalam kamar berikutan peguam kedua-dua pihak tidak hadir ke mahkamah.
Saman itu, yang difailkan pada 17 Mac lalu, dijadualkan untuk sebutan hari ini.
Ummi Hafilda, 43, memfailkan saman itu melalui Tetuan Sahrihan & Hamdan di kaunter Mahkamah Sivil dengan menamakan Nor Azman Abdullah @ Baginda Minda sebagai defendan pertama dan Mkini Dotcom Sdn Bhd yang menyelenggarakan laman berita Malaysiakini sebagai defendan kedua.
Ummi Hafilda dalam saman pemula itu mendakwa defendan dalam satu temu ramah di lobi Bangunan Parlimen telah mengeluarkan kenyataan bersifat fitnah dan menyerangnya secara peribadi.

Beliau mendakwa kenyataan yang dikeluarkan oleh Nor Azman adalah semata-mata untuk memalukannya dan bermotifkan niat jahat.
Ummi Hafilda juga mendakwa kenyataan Nor Azman seolah-olah beliau seorang wanita yang mempunyai banyak skandal dan amat tidak jujur, serta terlibat dengan bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Beliau mendakwa defendan kedua pula telah secara cuai membenarkan penerbitan, penulisan dan penyiaran artikel bersifat fitnah tersebut di web portal www.malaysiakini.com pada 15 Mac lalu.
Selain menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta, plaintif memohon satu injunksi untuk melarang kedua-dua defendan daripada terus membuat kenyataan-kenyataan berbaur fitnah terhadapnya.

Ummi Hafilda juga turut memohon ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk, serta lain-lain relif yang difikirkan adil dan sesuai oleh mahkamah. - Bernama

Terima takdir bapa peluk Islam



DUNGUN - Jenazah Muhammad Gaberial Peter, bapa Francisca, penyanyi evergreen era 80-an yang popular dengan lagu Sekadar di Pinggiran yang ditemui mati di rumahnya dekat Taman Sri Dungun kira-kira jam 10 malam kelmarin selamat disolatkankan di Unit Forensik Hospital Dungun sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sura, jam 2.30 petang semalam.

Penemuan dokumen memeluk agama Islam oleh sepasukan polis yang melakukan siasatan di rumah Peter mengungkai tanda tanya bahawa dia kini berstatus beragama Islam.

Biarpun perkara terbabit difahamkan tidak diketahui sebahagian ahli keluarganya yang beragama Kristian, namun dokumen yang menjadi status identiti agama Islam itu menjawab segala pertanyaan seterusnya membuka jalan untuk pihak berkaitan menyelesaikan segala kerumitan dihadapi.

Pegawai Agama Daerah Dungun, Mohd Adnan Abdullah mengesahkan, selepas merujuk kepada pihak Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), Peter disahkan memeluk agama Islam pada 10 April 2007 lalu.

“Sehubungan itu ia menjadi tanggungjawab pihak Pejabat Agama Daerah Dungun untuk menguruskan jenazah berkenaan sebelum dikebumikan mengikut cara orang Islam,” katanya.

Anak lelaki arwah, John Joseph Peter, 40-an yang beragama Kristian ketika ditemui selepas upacara pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Sura berkata, arwah bapanya itu tinggal bersamanya sejak dua tahun lalu.

Katanya, biarpun tidak sempat menemui arwah pada saat akhir, namun dia menerima kehendak takdir dengan pemergian bapanya itu dengan hati yang terbuka bahawa bapanya itu meninggal dalam Islam.

Sementara itu, solat jenazah Muhammad Peter diimamkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hassan Mohd Ramli.

Wan Hassan yang ditemui berkata, urusan menguruskan jenazah itu dilakukan pihaknya bukan atas dasar untuk mencari publisiti demi kepentingan politik, sebaliknya ia merupakan satu tanggungjawab yang perlu dipikul masyarakat Islam, apatah lagi arwah merupakan saudara baru yang tidak mempunyai ahli keluarga terdekat yang beragama Islam bagi melaksanakan tanggungjawab tersebut.

“Kita melihat kepada kepentingan menjaga rakyat, apabila rakyat yang ada dalam keadaan kesulitan melibatkan kematian, kita perlu bantu apatah lagi dia merupakan saudara baru,” katanya.

Ikan berkepala buaya



SEGAMAT - Seorang penjaring ikan di sini terkejut apabila menemui seekor ikan berkepala seakan buaya ketika menarik jaring yang dipasangnya di Sungai Segamat untuk menangkap ikan air tawar.

:Md Sailan Serian, 54, berkata, dia memang selalu memasang jaring di Sungai Segamat lebih-lebih lagi selepas musim banjir tempoh hari memandangkan banyak ikan yang diternak di kolam mungkin dihanyutkan air.

Menurutnya, ketika sedang mengutip beberapa ikan air tawar yang tersangkut di jaringnya, dia terkejut kerana melihat haiwan pelik yang disangkakan anak buaya.

“Saya amat takut sewaktu pertama kali melihatnya kerana muncung dan bentuknya betul-betul menyerupai seperti anak buaya. Apabila saya amati dengan teliti, ianya adalah seekor anak ikan pelik yang masih lagi hidup,” katanya.

Sailan berkata, dia membawa anak ikan tersebut pulang ke rumah untuk menyimpannya di dalam akuarium.

“Selepas meletakkan ikan tersebut bersama ikan lain, saya dapati bilangan ikan di dalam akuarium itu semakin berkurangan.

“Hajat untuk menyimpannya lebih lama berkecai kerana ikan tersebut mati selepas saya terlupa memasang gas oksigen bagi membantu pernafasannya,” katanya.

Nizar persoal sikap polis



IPOH – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mempersoalkan tindakan tiga anggota polis yang melakukan imbasan ke atas setiap individu memasuki dewan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang itu mendakwa, ia berlaku ketika beliau hendak memasuki ke Dewan Mesyuarat pagi semalam, sedangkan perbuatan itu tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Beliau yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis berkenaan, kemudian bertanyakan kepada Pegawai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang kebetulan berada di hadapan pintu masuk dewan.

“Pegawai berkenaan memaklumkan, pihaknya tidak mengeluarkan sebarang arahan untuk mengadakan imbasan ke atas ADUN yang memasuki dewan untuk bersidang.

“Jadi, saya tidak membenarkan pihak berkenaan melakukan imbasan ke atas semua ADUN Pakatan Rakyat (PR),” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas menghadiri istiadat pembukaan rasmi Penggal Keempat Dewan Negeri Yang Ke-12 Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, semalam.

Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak I, turut mempersoalkan pemasangan sebuah alat elektronik yang berfungsi untuk merakamkan suara sepanjang sidang DUN berlangsung.

Beliau mendakwa alat yang dipercayai dipasang polis itu adalah satu daripada teknologi gajet terkini.

Bagaimanapun, katanya, gajet elektronik yang difahamkan dipasang dalam Dewan Mesyuarat itu sudah pun diturunkan.

“Saya hairan kenapa ada anggota polis berkeliaran dalam dan luar dewan, seolah-olah tidak percaya dengan kelancaran perjalanan sidang DUN,” katanya yang tidak berpuas hati dengan kehadiran anggota polis sepanjang sidang itu.

Sementara itu, beliau turut tidak berpuas hati dengan sidang DUN kali ini kerana diadakan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

“PR kecewa kerana tidak dapat membantu berkempen bagi menggerakkan jentera pilihan raya pembangkang di Sarawak. Jika tarikh asal sidang DUN 5 April lalu tidak diubah hari ini, sudah tentu kami akan ke Sarawak untuk membantu PR,” katanya.

Bakal pengantin pasrah bala bertimpa



KUALA TERENGGANU - Ibarat jatuh ditimpa tangga, itulah nasib yang terpaksa dilalui bakal pengantin, Noor Akma Edayu Othman, 26, apabila terpaksa menanggung musibah berganda dalam masa seminggu.

Pada 4 April lalu, rumahnya musnah terbakar dalam kejadian kebakaran kira-kira jaml 8.45 pagi, menyebabkan dia bersama enam lagi anggota keluarganya tinggal sehelai sepinggang.

Berikutan tragedi itu, segala persiapan perkahwi-nannya termasuk barang hantaran bernilai RM10,000 musnah dan mereka kini terpaksa tinggal menumpang di rumah jiran.

Belum sempat kesedihan itu hilang, dia sekeluarga sekali lagi diuji apabila kehilangan bapa tersayang, Othman Said, 56, yang meninggal dunia pada jam 4 petang kelmarin akibat kanser paru-paru yang dihidapinya sejak setahun yang lalu.

Noor Akma Edayu, anak ketiga daripada lima beradik ketika ditemui berkata, walaupun hiba dengan dua ujian yang menimpanya itu, namun dia tetap reda dengan keten-tuan Ilahi malah percaya ada hikmah di sebaliknya.

Dia yang juga kakitangan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) di bawah Skim Latihan Graduan (SLG) itu mengakui terkilan kerana arwah bapanya tidak sempat menyaksikan majlis perkahwinannya yang dijadualkan berlangsung pada 22 April ini.

“Pada tengah hari semalam (kelmarin), arwah meminta saya supaya segera mengadakan majlis perkahwinan hari ini juga (Selasa), seolah-olah dia tahu dia akan `pergi’ tinggalkan kami.

“Beberapa jam selepas dia cakap begitu, arwah menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 4 petang semalam (kelmarin),” katanya ketika ditemui di kampung Mengabang Tengah Masjid, selepas menerima kunjungan daripada Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, di sini kelmarin.

Akma berkata, bapanya, seorang pengawal keselamatan di bengkel Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Chendering mula dikesan menghidap kanser paru-paru sejak setahun lalu dan semakin serius sejak beberapa bulan belakangan ini.

Katanya, majlis pernikahannya tetap akan diteruskan pada 22 April ini dan segala persiapan sudah dibuat termasuk mengedarkan kad jemputan.

Sementara itu, dia dan keluarganya mengucapkan setinggi terima kasih kepada jirannya di atas kesudian menerima mereka menumpang teduh, sementara menunggu kediaman baru dibina atas bantuan Kerajaan Negeri.

Difahamkan, Kerajaan Negeri bersetuju membina kediaman baru Allahyarham Osman melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk membantu meringankan beban keluarga terbabit dan perbinca-ngan perlu dilakukan antara keluarga mangsa dan Jawantankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) terlebih dahulu.

Kanak-kanak hidap Hidrosefalus meninggal dunia

KANGAR — Kanak-kanak yang menghidap penyakit berkepala besar atau, ‘hidrosefalus’, Mohd. Irfan Mohd. Iswadi, sembilan bulan, meninggal dunia hari ini dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini selepas menderita penyakit itu sejak dilahirkan.
Ibu kanak-kanak itu, Norzana Zainon, 25, berkata, anak tunggalnya itu menghembuskan nafas terakhirnya pukul 7.20 pagi setelah tiga hari mengalami demam selsema dan sukar tidur.
"Saya dan suami membawa Mohd. Irfan ke hospital setelah dia kelihatan penat namun doktor mengesahkan anak saya meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital,” katanya ketika ditemui di HTF di sini.
Menurutnya, pada 14 Mac lalu, anaknya dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) kerana tiub yang dipasang di kepalanya yang disambung ke perut telah tersumbat dan memerlukan pembedahan tetapi tarikh pembedahan itu belum ditetapkan.
Allahyarham juga dijadualkan menerima rawatan susulan di HPP, 12 Mei ini.
Jenazah kanak-kanak itu dibawa pulang ke Kampung Padang Benta dekat sini dan dikebumikan selepas waktu zohor. — Bernama

Filipina arah rakyat tinggalkan kawasan Fukushima

MANILA: Filipina mewajibkan kira-kira 2,000 warganya yang berada dalam lingkungan 50 kilometer dari loji nuklear Fukushima Daiichi supaya meninggalkan kawasan itu, semalam.
Arahan itu dikeluarkan selaras dengan amaran Agensi Nuklear dan Keselamatan Perindustrian Jepun yang dinaikkan kepada tahap tujuh.

Sebelum ini ancaman radiasi di situ berada pada tahap lima.

Tahap tujuh adalah peringkat tertinggi dan sama dengan bahaya disebabkan bencana loji nuklear Chernobyl pada 1986.

Setiausaha Luar Filipina, Albert del Rosario, berkata arahan itu tidak termasuk rakyat negara itu yang berkahwin dengan warga Jepun.

“Bagi rakyat Filipina yang berada dalam lingkungan 50 hingga 100 kilometer, Filipina menawarkan pengunduran sukarela,” katanya.

Del Rosario berkata, kumpulan pertama warga Filipina yang pulang akan berlepas dari Lapangan Terbang Niigata pada Ahad ini dan akan menjalani pemeriksaan kesihatan sewajarnya.

Pada Februari lalu, Filipina mula menguruskan kepulangan pekerjanya di Libya tetapi dianggarkan hanya separuh daripada 26,000 orang yang bekerja di situ kembali. - Reuters

RM31j duit judi ditanam di kebun bawang putih


SEOUL: Polis Korea Selatan merampas wang tunai bernilai hampir RM30.6 juta ditanam dalam kebun bawang putih di kawasan terpencil, kata pegawai keselamatan semalam.
Menurut pegawai itu, wang berkenaan adalah perolehan daripada aktiviti perjudian tanpa lesen di Internet dikendalikan dua beradik.

Katanya, wang berkenaan disembunyikan di kawasan pertanian di bandar Gimje, selatan Seoul.

“Apabila menyedari aktiviti mereka dikesan polis, suspek mengarahkan ipar mereka - dikenali sebagai Lee - menyembunyikan wang berkenaan di ladang itu,” katanya.

Seorang daripada mereka kemudian ditahan polis dan dipenjara, manakala seorang lagi bebas.

Menggunakan wang itu, Lee, 53, membeli kebun bawang putih dan menanam wang tunai berkenaan ketika subuh atau senja dengan berpura-pura bercucuk-tanam di situ.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, Lee menggunakan kira-kira RM1 juta daripada wang itu tanpa pengetahuan iparnya.

Apabila seorang daripada iparnya akan dibebaskan, Lee menyalahkan seorang pekerja jengkaut di kebun berkenaan.
Pekerja itu kemudian melaporkan kejadian itu kepada polis. Polis berkata, mereka kini cuba mendapatkan waran tangkap ke atas Lee.

Sementara itu, laporan media mengenai isu itu meningkatkan desakan kepada kerajaan supaya lebih giat membasmi kegiatan perjudian tanpa lesen melalui Internet.

Biasanya, aktiviti itu dijalankan dalam laman sesawang yang berpangkalan di luar pesisir pantai. - AFP

Kate makin kurus


KATE  menghadiri acara pembukaan sekolah di Darwen, semalam.
KATE menghadiri acara pembukaan sekolah di Darwen, semalam.

LONDON: Kate Middleton tampil lebih langsing daripada sebelumnya semalam - dia mengakui dia diselubungi kegelisahan sebelum majlis perkahwinannya berlangsung.
Bakal anggota diraja itu mengejutkan khalayak ramai dengan tubuh rampingnya ketika dia dan Putera William muncul buat kali terakhir bersama sebelum hari perkahwinan mereka. Pasangan itu mengunjungi Darwen, Lancashire untuk melancarkan pembukaan sekolah sebelum melawat pusat sukan dekat Blackburn.

Sebagaimana bakal pengantin lain, Kate kelihatan langsing dan sesuai untuk gambar perkahwinan kelak. Penduduk, Sue Blair, 32, berkata: “Dia amat, amat cantik tetapi jelas berat badannya menyusut.

“Saya tidak salahkan dia - saya juga tidak makan roti selama enam minggu sebelum hari perkahwinan saya.” Amanda Wood, 46, bertanya kepada Kate adakah dia gementar pada detik-detik akhir ini.

Bakal puteri itu menjawab: “Ya, sudah tentu.” Bagaimanapun, William, 28, cuba menenangkan kebimbangan tunangnya itu ketika memberi ucapan di Akademi Komuniti Darwen Aldridge. Dia memberitahu hadirin: “Saya tahu saya memang bertuah. Saya mempunyai sokongan keluarga dan rakan, saya lakukan kerja yang saya suka - dan saya juga mempunyai Catherine.” Beratus-ratus orang meredah hujan untuk menghadiri acara itu - di mana Kate memakai sut biru yang berpadanan dengan cincin tunangnya.

Selepas melancarkan pembukaan sekolah berkenaan, pasangan itu menuju ke pusat sukan Witton Country Park.

Niat ‘suci’ Berlusconi


ROME: Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi, mengaku dia membayar RM261,727 kepada seorang gadis bawah umur yang terbabit dalam skandal seks dengannya. Kata Berlusconi, 74, bayaran itu dibuat bagi mengelak gadis terbabit - yang bekerja sebagai penari gelek - menjadi pelacur.
Katanya, Karima el-Mahroug, 18, menjadi tetamunya dalam parti tertutup Bunga Bunga yang diadakan di kediaman mewahnya pada tahun lalu.

“Karima mahu membuka salun kecantikan,” katanya.

Pemimpin Itali yang terkenal dengan sifat kaki perempuan itu bercakap kepada media di luar mahkamah selepas satu daripada syarikatnya dibicarakan atas tuduhan menipu.

Perbicaraan kes skandal seks dengan Karima dan salah guna kuasanya dijadual bermula Mei ini.

Berlusconi berkata, dia menawarkan RM197,540 kepada Karima - juga dikenali sebagai Ruby Si Pencuri Hati tetapi ia tidak mencukupi.

Justeru, katanya, dia menyerahkan wang seperti diminta Karima - �53,000 (RM261,727) bagi mengelakkan perempuan itu melacurkan dirinya.

Sebelum ini, perempuan Maghribi itu pernah mengaku mempersembahkan tarian gelek untuk Berlusconi sebelum mereka berbual mengenai politik. - DM

‘Demi Allah, tak benar!’


KUANTAN: “Demi Allah saya berani bersumpah semua itu tidak benar dan saya tidak pernah buang ayah kandung sendiri,” kata Rabiah Ramlan, 37, anak sulung kepada Ramlan Ahmad Salleh, 88, yang mendakwa dirinya dibuang selain dimaki hamun dengan perkataan babi serta anjing.
Menurutnya, dia mendapat tahu mengenai kedaifan ibu bapanya selepas membaca laporan disiarkan akhbar pada 8 April lalu.

Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang diceritakan bapanya dan hampir menitis air mata kerana tergamak memburukkan maruah anak kandung sendiri sedangkan semua cerita berkenaan tidak benar sama sekali. Rabiah mendakwa dirinya cukup menderita ketika tinggal bersama bapa 10 tahun lalu Kampung Bukit Segantang Lada di sini, sebelum dihalau walaupun tiada kesalahan.

“Saya berani bersumpah tidak pernah menghalau ayah dan tidak menyangka dia sanggup berkata sedemikian.

“Saya sendiri tidak tahu apa masalah sebenar ayah sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan sebegitu serta memburukkan anak-anak,” katanya yang ditemui di rumahnya di Bukit Setongkol, di sini, semalam.

Sementara itu, adiknya, Zurani, 36, berkata tiga minggu lalu ibunya, Razman Dee, 61, tinggal bersamanya, tetapi bapa keluar ke rumah anak isteri pertama di Chini Timur, dekat Pekan.

Beliau mendakwa, bapanya kemudian datang semula dan mengambil ibu pada jam 10.30 pagi sebelum pulang ke rumahnya dengan rela hati.

“Dakwaan ayah menyatakan dia dihalau adalah tidak benar.
“Saya kecewa kerana ayah sanggup mengeluarkan kenyataan tidak berasas sehingga saya tidak dapat menahan kesedihan selain dipandang serong oleh masyarakat, “Ayah memang mendapat bantuan rumah di Taman Singa Emas, Bukit Setongkol, di sini, tetapi tidak didudukinya kerana mendakwa keadaan rumah itu seperti reban ayam.

“Saya ubah suai rumah itu sehingga cantik, tetapi ayah tetap mendakwa saya menghalaunya,” katanya.

Menurutnya, ayahnya tidak berjalan sejauh lebih dua kilometer dari rumah untuk ke pasar raya di Bukit Setongkol bagi membeli keperluan harian sebaliknya mempunyai sebuah van yang diuruskannya ketika proses jual beli.

Menurutnya, van berkenaan dibeli hasil wang pampasan insurans kemalangan adik bongsunya sebanyak RM22,000 dan sehingga kini kenderaan itu masih elok untuk digunakan.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan seorang warga emas berusia 88 tahun mendakwa dirinya dimaki hamun dengan perkataan babi serta anjing sebelum dihalau oleh anaknya.

Pasangan warga emas itu kini menetap di Kampung Bukit Segantang Lada, Kuantan. Isterinya, Razmah Dee, 61, bisu dan lumpuh sejak 16 tahun lalu dan Ramlan mendakwa faktor itulah dijadikan alasan oleh anak-anaknya untuk menghalau pasangan itu keluar dari rumah.

Zurani berkata, dia amat berharap bapanya kembali ke pangkal jalan dan berhenti membuat tohmahan yang memburukkan nama baik anak-anak selain bertaubat.

Warisbudakdicari


KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Petaling Jaya mengesan waris seorang kanak-kanak yang ditinggalkan ibunya sejak dua tahun lalu.
Pegawai Pelindung Pejabat JKM Daerah Petaling Jaya, Rusman Jamhari, berkata kanak-kanak itu, Taufik Hidayat, 2 (gambar) ditinggalkan ibunya yang dikenali sebagai Suparni, warga Indonesia pada 18 Mac 2009 ketika dilahirkan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Katanya, pihaknya yang dirujuk PPUM menempatkan kanak-kanak itu di Institusi Kebajikan selepas mendapat Perintah Mahkamah Bagi Kanak-Kanak.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mengenali ibu bapa atau waris kanak-kanak berkenaan untuk memberi maklumat dengan menghubunginya di talian 03-78422584 atau 03- 78422587.

Cari ibu anak angkat


KUANTAN: Seorang guru wanita putus asa selepas usaha mengesan ibu kepada anak angkatnya menemui jalan buntu apabila wanita terbabit menghilang diri sehingga kini.
Guru itu yang dikenali sebagai Fidah, 35, berkata, dia mengambil bayi yang kini berusia tujuh bulan pada Jun 2010 daripada seorang gadis berusia 19 tahun di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur.

“Ketika itu gadis terbabit gelisah dan menangis sebelum saya bersama suami menghampirinya bagi mengetahui masalahnya.

“Gadis itu mendukung bayi yang berada dalam keadaan serba daif selain seluruh tubuhnya berbintik kemerahan digigit nyamuk,” katanya yang mengajar di sebuah sekolah rendah, di sini.

Menurutnya, gadis itu menyerahkan bayi kepadanya dan meminta dijaga dengan baik serta menganggapnya seperti anak sendiri.

Katanya, gadis terbabit menghilangkan diri tanpa meninggalkan sebarang dokumen atau pengenalan mengenai bayi itu.

“Bayi itu yang saya panggil Ika masih dalam jagaan saya dan ingin sangat bertemu ibunya bagi membantu proses mengambilnya sebagai anak angkat,” katanya.

Katanya, dia dan suaminya sudah merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhubung perkara itu dan berharap ibu bayi terbabit menghubunginya segera.

Anggaran kerugian Kastam hanya RM2.2 bilion


PETALING JAYA: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) hari ini menjelaskan bahawa pihaknya hanya mengalami anggaran kerugian RM2.2 bilion daripada RM10 bilion duti import yang sepatutnya dikutip setiap tahun. 

Ketua Pengarah KDRM, Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf, berkata ini bertentangan dengan laporan akhbar tertentu yang mengaitkan RM108 bilion dengan siasatan terhadap KDRM. 
Beliau berkata perkara sebenar ialah jumlah RM108 bilion itu adalah anggaran kerugian setiap tahun kepada kerajaan akibat penipuan, pengisytiharan cukai, penyelewengan serta salah laku pelbagai agensi penguat kuasa kerajaan.
"Kami (kastam) hanya dapat mengutip sejumlah RM7.8 bilion tahun lepas yang mana kami kerugian lebih kurang RM2.2 bilion lagi. Jadi tidak tepatlah bahawa kerugian RM108 bilion itu hanya daripada kastam, tapi ia juga libatkan pelbagai agensi penguatkuasa kerajaan yang lain," katanya selepas menghadiri seminar kerjasama kastam-sektor swasta di sini hari. Beliau berkata kehilangan RM2.2 bilion atau 23 peratus duti kastam itu bagaimanapun masih dianggap rendah dan pada tahap normal serta biasa dialami oleh negara maju lain, yang menetapkan 25 peratus untuk kerugian maksimum. Mohamed Khalid berkata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim Mohamed dijangka mengumumkan minggu depan mengenai laporan media yang salah melaporkan bahawa wang berselerak di rumah pegawai kanan KDRM yang ditahan pada 28 Mac lepas, sebaliknya wang itu ditemui di beberapa lokasi berlainan.
"Kami (kastam) perlu membersihkan nama baik penguatkuasa ini kerana jelas laporan (wang berselerak) itu memburukkan nama kami," katanya. 
Khalid dalam pada itu memaklumkan bahawa 20 pegawai kastam turut terlibat dalam Operasi 3B (3 bilion) yang bertujuan memastikan kutipan kerajaan melalui aktiviti pengimportan dapat memberikan hasil sejumlah tiga bilion. 
"Ada enam agensi turut terlibat dalam operasi ini, iaitu Peguam Negara, Ketua Setiausaha Negara, Kastam, Ketua Polis Negara, Ketua Pegawai Eksekutif Cukai Pendapatan dan SPRM sendiri. 
"Dengan penglibatan semua agensi ini, ia membuktikan bahawa kita tidak ''compromise'' dan telus dengan mana-mana pihak dan tahan atau siasat siapa sahaja yang terlibat dalam sebarang penyelewengan," katanya. 
Beliau berkata 20 pegawai kastam yang terlibat dalam operasi itu mempunyai kepakaran dalam bidang import-eksport, program komputer dan forensik. 
Dalam operasi 3B baru-baru ini, seramai 62 pegawai kastam ditahan SPRM dan pada 6 April, Penolong Pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbani Mohamed, 56, yang turut ditahan bagi membantu siasatan kes itu, ditemui mati di Tingkat Satu, pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane di sini. - BERNAMA 

Bekas pengurus katering bebas tuduhan bunuh





SHAH ALAM 12 April - Kegagalan pihak pendakwaan memanggil seorang pembantu rumah warga Indonesia menyebabkan Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan bekas pengurus syarikat katering, Mohafri Mohamed (gambar) daripada tuduhan membunuh isterinya, Fazlina Ahmad, dua tahun lalu.
Dalam kejadian itu, mayat Fazlina dijumpai dalam keadaan berbungkus dengan selimut dan mulut serta hidungnya ditampal dengan pita pelekat, di dalam almari pakaian di rumah mereka di Ampang.
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki dalam penghakimannya menyatakan, mahkamah kesal dengan kegagalan pihak pendakwaan memanggil pembantu rumah bernama 'Yayok' itu untuk memberikan keterangan kerana dia adalah antara tiga orang dewasa yang berada di tempat kejadian termasuk mangsa dan tertuduh.
Kata beliau, selepas kejadian, Yayok ditahan dan disabitkan bersalah sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), dipenjara dan dihantar pulang ke negara asalnya serta semua maklumat itu di bawah kawalan pegawai penyiasat, Asisten Supritendan Siti Nathiroh Abu Bakar.
Menurut beliau, keterangan percakapan Yayok terhadap polis tidak memberi sebarang nilai kepada kes pendakwaan memandangkan ia hanyalah keterangan cakap mulut (hearsay) tanpa pemeriksaan balas.
''Kegagalan itu menyebabkan berlakunya kelompangan dalam kes dan saya mendapati adalah tidak selamat untuk memanggil pembelaan sekiranya tertuduh memilih untuk berdiam diri kerana hanya ada satu hukuman iaitu mati.
''Oleh itu, mahkamah memutuskan tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri,'' kata Hakim Mohtarudin.
Mohafri, 38, yang diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh Fazlina, 39, di rumah No. 70, Jalan Pinggiran 2, Taman Pinggiran Ukay, Ampang antara pukul 5 pagi dan 10.30 pagi, 30 Disember 2009.
Sebanyak 16 saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang kes pendakwaan berlangsung termasuk bekas teman wanita Mohafri, Nazratul Annis Zainal Abidin, 23, yang mendakwa dia dan tertuduh merancang untuk berkahwin di sempadan Thailand setelah tertuduh mengaku dia sudah bercerai.
Selepas mendengar keputusan itu, seluruh ahli keluarga Mohafri di galeri awam dilihat saling berpelukan dan mengalirkan air mata. Mereka terus mengerumuni dan memeluk Mohafri yang kelihatan tergamam sebaik sahaja mahkamah selesai bersidang.
Anak sulung Mohafri, Nurin Irdina, 9, juga dilihat tidak melepaskan peluang memeluk bapanya dengan erat.
Mohafri ketika ditemu pemberita mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua ahli keluarga serta petugas-petugas di Penjara Sungai Buloh kerana melayannya dengan baik sepanjang hampir dua tahun ditahan di situ.

Keluarga kemuka bukti Sarbani bukan bunuh diri




 GHAZALI dan Awtar Singh Gill (kanan) dilantik  wakil keluarga Allahyarham Ahmad Sarbani adakan sidang media di Ipoh, semalam.
GHAZALI dan Awtar Singh Gill (kanan) dilantik wakil keluarga Allahyarham Ahmad Sarbani adakan sidang media di Ipoh, semalam.
IPOH: Keluarga Penolong Pengarah Cawangan Import, Eksport dan Kawalan Sempadan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed, 56, yang ditemui mati di tingkat satu, pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Jalan Cochrane, 6 April lalu, mengemukakan beberapa maklumat baru bagi membuktikan Allahyarham tidak membunuh diri. 


Maklumat itu diberi kepada firma guaman iaitu Tetuan Awtar Ghazali Augustine & Co beroperasi di sini yang dilantik sebagai wakil keluarga Allahyarham sebelum diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.
Wakil firma guaman berkenaan, Ghazali Mohd Ramli, berkata keluarga Allahyarham menemui beberapa maklumat baru yang dipercayai boleh membantu siasatan polis bagi membuktikan kematian itu bukan membunuh diri, sebaliknya didakwa berunsurkan jenayah.
“Keluarga Allahyarham jelas tertekan dengan pelbagai spekulasi yang dibuat berhubung kematian Ahmad Sarbani terutama yang dilaporkan menerusi media cetak dan elektronik. 


“Laporan berkenaan berbaur spekulasi kerana tiada sesiapa pun yang tahu apa sebenarnya berlaku pada hari kejadian berkaitan dengan diri dan kematian Allahyarham,” katanya pada sidang media di sini, semalam. 


Ghazali berkata, isteri Allahyarham pernah memberitahu mengenai pengakuan suaminya sebelum kejadian sama ada terbabit dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram. 


“Ketika ditanya sama ada Ahmad Sarbani terbabit dalam kes berkenaan, Allahyarham menidakkan dakwaan itu. 
“Justeru, keluarga mereka meminta semua pihak berhenti membuat sebarang spekulasi termasuk laporan media yang menggambarkan seolah-olah Allahyarham terbabit dalam kegiatan rasuah dan hidup dalam kemewahan serta mempunyai banyak aset,” katanya. 


Pada sidang media sama, Ghazali turut melampirkan kenyataan media yang menyenaraikan aset dimiliki Allahyarham dan keluarganya iaitu: 


– Tiga kereta iaitu Perodua Kancil yang dibeli pada 2001, Honda CRV terpakai (2004), Proton Pesona yang dibeli beberapa bulan lalu dan sebuah motosikal Modenas Kriss yang dibeli pada 1998. 


– Tiga rumah iaitu dua apartmen masing-masing di Bukit Tinggi, Klang yang dibeli pada 17 April 2003 dengan harga RM65,872 dan di Puncak Alam, Mukim Ijok, Kuala Selangor yang dibeli pada 1998 bernilai RM68,988 serta rumah berkembar kluster di Saujana Impian, Sungai Buluh yang dibeli pada 2005 dengan harga RM230,000 menggunakan pinjaman perumahan kerajaan. 


– Wang simpanan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) berjumlah RM35,000 iaitu wang dikeluarkan isteri Ahmad Sarbani daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja selepas mencapai usia 50 tahun. -bharian

Langgar syarat parol




SEORANG  bekas tahanan penjara yang  mengikuti program parol  menjalankan kerja di ladang ternakan lembu.
SEORANG bekas tahanan penjara yang mengikuti program parol menjalankan kerja di ladang ternakan lembu.


3 peratus terpaksa kembali jalani baki hukuman dalam penjara 


KLUANG: Peluang kembali ke pangkuan masyarakat lebih awal menerusi pelaksanaan sistem parol masih gagal dimanfaatkan kira-kira tiga peratus banduan yang dipilih menyertai program terbabit di seluruh negeri ini sejak 2008, apabila mereka dikesan melanggar syarat yang ditetapkan.
Kegagalan mematuhi syarat parol menyebabkan banduan terbabit terpaksa kembali menjalani baki hukuman dalam penjara, berbanding status sebagai Orang Diparol (ODP) yang membolehkan mereka hidup di kalangan masyarakat sambil melakukan pelbagai pekerjaan halal yang sesuai bagi menyara kehidupan.
Sejak dilaksanakan mulai 2008, seramai 289 banduan dipilih sebagai ODP, tetapi kira-kira tiga peratus daripada mereka dikesan melanggar syarat parol seperti kegagalan ujian kencing kerana kembali terbabit dengan penyalahgunaan dadah serta mematuhi arahan berada dalam rumah mengikut masa yang ditetapkan. 


Pengarah Parol Johor di Jabatan Penjara Malaysia, Raha Jawahir, berkata berdasarkan jumlah kecil banduan yang gagal mematuhi syarat parol ditetapkan, secara umumnya Johor adalah antara negeri yang berjaya dalam melaksanakan program itu. 


“Setakat ini, 249 ODP berjaya menjalani tempoh parol seperti ditetapkan Lembaga Parol. Ketika ini, ada 21 ODP sedang menjalani program terbabit di seluruh negeri di bawah pemantauan lima Pejabat Parol Daerah. 


“Secara umumnya, seramai 12 banduan menamatkan parol pada 2008, meningkat kepada 79 pada 2009 dan 146 orang pada tahun lalu. Sehingga 29 Mac tahun ini, seramai 12 orang ODP bebas sepenuhnya," katanya dalam pertemuan dengan Berita Harian di sini, semalam. Turut hadir Timbalannya, Murad Daud. 
Parol antara lain bermaksud pelepasan seseorang banduan untuk menjalani sebahagian daripada hukuman yang dijatuhi terhadapnya di luar penjara mengikut tempoh yang ditetapkan oleh Lembaga Parol yang terdiri daripada sekumpulan pegawai yang dilantik Yang Di Pertuan Agong. 


Raha berkata, antara syarat banduan yang layak dipertimbangkan menjalani parol adalah mereka yang dijatuhi hukuman lebih daripada setahun dan sudah menjalani sekurang-kurangnya separuh daripada hukuman di penjara melalui fasa pemulihan. 


“Contohnya, banduan yang jika dikenakan hukuman penjara tiga tahun, layak menjalani perintah parol selama enam bulan sekiranya sudah memenuhi syarat ditetapkan," katanya. 


Raha berkata, pesalah kes jenayah berat seperti bunuh, rogol, culik, pengedaran dadah serta tahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri tidak layak mendapat peluang menyertai sistem parol yang dilaksanakan itu. 


Beliau berkata, penyeliaan dan pemantauan ODP dilakukan Pegawai Parol Daerah yang berkaitan menerusi panggilan telefon, lawatan ke rumah dan tempat kerja secara mengejut pada bila-bila masa termasuk pada waktu malam. 


“Malah, ODP juga boleh diarah menjalani ujian kencing terutama bagi pesalah dadah serta menjalani program pemulihan lanjutan yang ditetapkan selain dirujuk kepada agensi berkaitan seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Agama serta lain-lain agensi," katanya. 

Sita motosikal




PENGUAT KUASA DBKL menyita motosikal dalam operasi di PPR Taman Muhibah, Puchong.
PENGUAT KUASA DBKL menyita motosikal dalam operasi di PPR Taman Muhibah, Puchong.


Pemilik degil guna lif bawa kenderaan ke tingkat atas 


PUCHONG: Tujuh pemilik motosikal di Blok A, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah di sini, yang sering membawa kenderaan masing-masing ke tingkat atas menggunakan lif, terkejut apabila motosikal mereka disita Jabatan Pengurusan Perumahan (JPP) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), malam kelmarin.
Penolong Pengarah JPP, Kamal Idham Ibrahim, berkata operasi membabitkan 40 anggota penguat kuasa termasuk dari Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan (JKP) DBKL selama dua jam mulai jam 12 tengah malam itu, dilakukan selepas beberapa notis dikeluarkan kepada pemilik motosikal supaya tidak membawa kenderaan masing-masing ke tingkat atas.
Penolong Pengarah JPP, Kamal Idham Ibrahim, berkata tindakan sita itu untuk memindahkan halangan selaras dengan peruntukan mengikut Seksyen 46, Akta Jalan, Parit dan Bangunan (1974). 


“Operasi itu juga dijalankan selepas menerima aduan penduduk mengenai kerosakan lif disebabkan kedegilan pemilik motosikal membawa kenderaan masing-masing menggunakan kemudahan itu ke tingkat atas,” katanya yang mengetuai operasi itu, malam kelmarin. 


Kamal Idham berkata, motosikal yang disita akan dihantar ke Depoh Tunda Jinjang dan pemilik dikenakan bayaran kompaun RM155 merangkumi bayaran notis, upah simpan sehari dan upah tunda. 


“Pemilik yang menuntut semula kenderaan harus membawa geran atau dokumen insurans. 
“DBKL juga dalam perancangan mengadakan operasi ini secara berperingkat bagi mengatasi masalah yang berlaku berikutan sikap tidak prihatin penduduk. 


“Kami juga akan terus memantau PPR lain yang turut menghadapi masalah sama dan tindakan bakal diambil dalam masa terdekat ini,” katanya. 


Beliau berkata, DBKL memandang serius kedegilan pemilik motosikal yang membawa kenderaan masing-masing menggunakan lif sehingga kemudahan itu sering rosak kerana terlebih bebanan. 


“Apabila lif rosak, banyak aduan kita terima, sama ada melalui borang aduan atau laman facebook Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar. 
“Masalah ini juga akan menyukarkan orang kurang upaya (OKU) dan warga tua,” katanya. 


Sementara itu, Ketua Inspektor JKP, Julia Thamby, berkata pemilik motosikal yang disita boleh mendapatkan maklumat berkenaan kenderaan mereka melalui Pejabat Kecil Perumahan di PPR itu atau dengan menghubungi talian 24 jam JKP 03-40267222. -bharian

Ibu bantah jadi juruterbang


JENAZAH Sahaimi (gambar kecil) dibawa keluar dari rumah mayat Hospital Sibu untuk diterbangkan pulang ke Kota Bharu, Kelantan bagi  dikebumikan di kampung halamannya, semalam.
JENAZAH Sahaimi (gambar kecil) dibawa keluar dari rumah mayat Hospital Sibu untuk diterbangkan pulang ke Kota Bharu, Kelantan bagi dikebumikan di kampung halamannya, semalam.


Sahaimi ketepi cita-cita kemudi jet pejuang, sertai Unit Udara PDRM 
KOTA BHARU: Kapten Sahaimi Ghazali, 38, pernah bercita-cita untuk menjadi juruterbang jet pejuang tetapi impian beliau itu dibantah ibunya, Mek Som Mustafa atas alasan kerjaya itu berbahaya dan mahu Allahyarham mencari pekerjaan lain.Bagi menjaga hati ibunya, Sahaimi kemudian memilih kerjaya juruterbang Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mendapat restu bapanya, Ghazali Murad dengan menandatangani permohonan membenarkan mengikuti kursus penerbangan di Australia pada 2000.
Mek Som, 68, berkata, kali terakhir berjumpa Sahaimi bulan lalu ketika singgah menghantar seorang kenamaan ke Kelantan dan sempat bermalam di rumah. 


“Arwah selalu bermalam di rumah setiap kali singgah di sini, tidak pernah menginap di hotel dan setiap kali hendak kembali bertugas, saya selalu menasihatinya supaya berhati-hati. Ibu mana yang tidak risau setiap kali melihat anak berada di udara. 


“Saya mengetahui mengenai kematian arwah malam kelmarin dan reda dengan pemergiannya kerana Tuhan lebih menyayanginya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Wakaf Mek Zainab, di sini, semalam. 


Sahaimi bertugas sebagai juruterbang helikopter Bell 206B Jet Ranger, Sabah Air Aviation terbunuh selepas terhempas di Dataran Sanyan, Sibu, Sarawak petang kelmarin selepas menurunkan pegawai Timbalan Perdana Menteri. 
Allahyarham yang parah bahagian rusuk kanan, meninggal dunia jam 8.36 malam kelmarin selepas menjalani pembedahan di Hospital Sibu, Sarawak. Beliau meninggalkan seorang isteri, Suriani Shafie, 38, dan empat anak berusia antara empat hingga 13 tahun. 


Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pohon Tanjong, di sini, bersebelahan kubur arwah ayahnya, petang semalam. 


Sementara itu, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) semalam melancarkan siasatan nahas berkenaan dan difahamkan, sekumpulan pegawai DCA sudah dihantar ke tempat kejadian bagi mengumpul bahan bukti. 
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Shafie Ismail ketika mengesahkan perkara itu, berkata pihaknya juga sudah membuka kertas siasatan berhubung kes berkenaan, malah sedia bekerjasama dengan DCA bagi menyegerakan proses siasatan. 


“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat angin kencang, namun punca sebenar akan dapat diketahui selepas siasatan DCA selesai,” katanya yang ditemui ketika meninjau proses membawa pulang jenazah allahyarham Sahaimi ke kampung halamannya di Kota Bharu, Kelantan di Hospital Sibu, semalam. 

Datuk bandar protes ditahan


WASHINGTON: Datuk Bandar Washington, Vincent Gray, ditahan kelmarin di Capitol Hill ketika menyertai bantahan terhadap kemungkinan tidak lagi mendapat dana bagi khidmat pengguguran selepas ahli politik menyetujui belanjawan persekutuan yang menghalang kerajaan Amerika Syarikat berhenti operasi. 


Gray berkata, persetujuan berkenaan akan mengurangkan sejumlah AS$38 bilion (RM114 bilion) dalam perbelanjaan persekutuan bagi tahun kewangan 2011 dan melanggar hak penduduk Washington yang sebahagian besarnya berada dalam bidang kuasa Kongres.
Antara persetujuan berkenaan termasuk satu larangan terhadap penggunaan dana persekutuan dan tempatan bagi pengguguran di Washington.
“Ini sesuatu yang amat memalukan. Kawasan saya sepatutnya dikecualikan,” kata Gray ketika bantahan. – Reuters 

Petani sorok wang RM30 juta di ladang


SEOUL: Polis Korea Selatan semalam menahan seorang petani kerana menyembunyikan wang tunai AS$10 juta (RM30 juta) di sebuah ladang bawang putih. 


Saudara petani terbabit memperoleh wang itu dengan mengendali laman judi haram di internet. Polis merampas wang petani itu yang ditanam di ladangnya di Gimje, kira-kira 260 kilometer selatan ibu kota ini.
Petani dengan nama keluarga Lee itu ditahan kelmarin. Dua abang ipar Lee, seorang dalam penjara dan seorang lagi dalam buruan polis, memintanya menyembunyikan wang itu. – AP

Inisiatif Kesatuan Afrika untuk wujudkan perdamaian ditolak

BENGHAZI (Libya): Pemberontak Libya menolak satu inisiatif Kesatuan Afrika (AU) untuk mewujudkan perdamaian sementara yang telah diterima Presiden Muammar Gaddafi.
Mereka menuntut penyingkiran orang kuat Libya itu sebagai satu-satunya jalan penyelesaian - idea yang dikatakan anaknya 'tidak munasabah'.Sementara itu mantan Menteri Luar Libya, Encik Mussa Kussa, yang kini berada di Britain setelah berpaling tadah, kelmarin berkata negara yang sedang bergolak itu boleh menjadi 'satu lagi Somalia' andainya terjadi perang saudara.Pemberontak menolak inisiatif tersebut selepas ketua-ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) memberi amaran bahawa sebarang perjanjian mestilah 'boleh dipercayai dan dapat ditentusahkan'.Satu delegasi pemimpin yang diberi mandat AU untuk menghentikan pertempuran di Libya kelmarin tiba di ibu kota Algeria bagi mengadakan rundingan dua hari dengan ketua negara itu, Presiden Abdelaziz Bouteflika, lapor agensi berita APS.'Kami sedang mencari penyelesaian bagi persoalan rumit ini dan kami akan berusaha mencari jalan keluar daripada krisis ini,' kata Presiden Mauritania, Encik Mohamed Ould Abdel Aziz.Beliau datang bersama Presiden Congo, Encik Denis Sassou Nguesso, Pengerusi Suruhanjaya AU, Encik Jean Ping, dan Menteri Luar Uganda, Encik Henry Oryem Okello, kata APS.Encik Gaddafi menerima usul 'peta jalan' yang menyeru agar gencatan senjata segera diwujudkan, bantuan kemanusiaan dipertingkatkan dan rundingan antara kedua-dua pihak, namun pemberontak menolak usul itu dan berkata Encik Gaddafi harus meletakkan jawatan.Anak Encik Gaddafi, Encik Seif al-Islam, mengakui sudah tiba masanya bagi mendapatkan pemimpin baru di Libya, namun berkata seruan agar ayahnya meletakkan jawatan 'tidak munasabah'.'Pemimpin Libya (Encik Gaddafi) tidak mahu mengawal semuanya. Beliau sudah lanjut usia. Kami ingin membawa satu golongan elit muda baru untuk memimpin negara ini dan mentadbir ehwal setempat,' katanya kepada BFM TV Perancis.Sementara itu, Encik Kussa memberitahu BBC kelmarin bahawa Libya boleh menjadi 'satu lagi Somalia' jika terjadi perang saudara.'Kami tidak mahu memecahbelahkan Libya. Kesepakatan Libya amat penting bagi sebarang resolusi dan penyelesaian,' katanya.Encik Kussa tiba di Britain pada 30 Mac lalu dan lantas meletak jawatan sebagai menteri luar. -- AFP, cyberita

Pemberontak digesa beri kerjasama penuh

PENENTANG Gaddafi tetap mahu pemimpin Libya dan anaknya mengundur diri.


BENGHAZI (Libya): Kesatuan Afrika (AU) semalam menggesa pemberontak Libya agar 'bekerjasama sepenuhnya' sedang ia berjuang menyelamatkan rancangan gencatan senjatanya yang goyah.
Perancis pula menuduh sekutu-sekutunya dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) tidak memberikan kerjasama secukupnya.AU cepat bertindak terhadap keputusan pemberontak menolak satu rancangan gencatan senjata yang dikemukakan oleh badan di benua Afrika itu kelmarin.'Disebabkan satu tuntutan politik yang dijadikan satu prasyarat oleh Majlis Nasional Peralihan (TNC) untuk melancarkan rundinganrundingan penting mengenai pelaksanaan satu gencatan senjata, satu persetujuan mengenai isu utama iaitu menamatkan permusuhan belum boleh dicapai ketika ini,' kata satu kenyataan AU mengenai lawatan ke Libya oleh satu delegasi pegawai tinggi Afrika.Delegasi itu 'membuat seruan genting kepada TNC agar bekerjasama sepenuhnya demi kepentingan awam Libya, dan membantu dalam pencarian dan pelaksanaan satu penyelesaian politik yang adil dan berkekalan', kata kenyataan itu.Orang kuat Libya, Encik Muammar Gaddafi, telah menerima rancangan AU itu tetapi pemimpin pemberontak di bandar Benghazi berhujah bahawa usaha damai itu sudah lapuk, dan berkeras mendesak agar Encik Gaddafi disingkirkan.Selain itu, pemberontak juga meragui keupayaan pemimpin Libya itu memenuhi rancangan perdamaian sementara itu.Sementara itu, Menteri Luar Perancis, Encik Alain Juppe, semalam berkata sekutu-sekutunya dalam Nato tidak memberikan kerjasama sepenuhnya di Libya dan tentera-tentera pakatan itu seharusnya lebih melibatkan diri dalam membantu memusnahkan senjata berat pasukan Gaddafi.Perancis, yang bersama-sama Britain dan Amerika Syarikat mengetuai serangan udara di Libya, masih ragu mengenai penyerahan kawalan politik operasi itu kepada perikatan Barat Nato.Setiausaha Negara Amerika, Cik Hillary Clinton, yang mahukan Encik Gaddafi berundur sebagai sebahagian daripada proses perdamaian, enggan mengulas mengenai perjanjian yang diusulkan AU itu sebelum diberi taklimat sepenuhnya.Beliau memberitahu satu sidang akhbar di Washington tentang 'peri perlunya peralihan yang mencerminkan kehendak rakyat Libya dan pengunduran Encik Gaddafi daripada tampuk pemerintahan dan dari Libya'.Di Benghazi, pemimpin pembangkang, Encik Mustafa Abdul Jalil, berkata inisiatif Afrika itu belum mencukupi.'Sejak hari pertama tuntutan rakyat ialah agar Gaddafi dan rejimnya disingkirkan. Gaddafi dan anak-anak lelakinya harus segera pergi jika mereka mahu selamat... Sebarang inisiatif yang tidak mengambil kira tuntutan rakyat, tuntutan popular, tuntutan asas, tidak mungkin kami dapat menerimanya,' kata beliau. -- AP. cyberita

Laman berpendirian menentang Taib dakwa kena serangan siber

KUALA LUMPUR: Laman web Sarawak Report, yang sering berpendirian menentang Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, terpaksa menukar alamatnya dan akan sering berbuat demikian jika ia terus menghadapi serangan Internet, yang berlaku sejak seminggu lalu, lapor sebuah laman berita tempatan.
Pengendali laman itu, Cik Clare Rewcastle Brown, berkata 'setelah menghadapi serangan siber bertubi-tubi selama tiga hari kami menerima hakikatnya bahawa Sarawak Report akan berpindah-pindah buat beberapa hari akan datang sehingga pilihan raya' di Sarawak Sabtu ini.'Ada kemungkinan kami tidak akan kekal lama dalam alamat tertentu, jadi tolong muat turun dan sampaikan bahan kami dan sebarkan alamat-alamat e-mel terkini kami,' katanya dalam e-mel kepada laman berita The Malaysian Insider semalam.Adik ipar mantan perdana menteri Britain, Encik Gordon Brown, itu mengesahkan awal dari itu kepada The Malaysian Insider bahawa lamannya mengalami serangan siber Distributed Denial of Service (DDoS) hujung minggu lalu.Dalam serangan itu, pelbagai permintaan oleh bots, atau program yang menjalankan pelbagai tugasan pada server atau komputer peribadi, menyerang server laman yang mempunyai 18,000 kunjungan sehari itu dengan permintaan data hingga menjejas keupayaannya memberi respons kepada pengguna sebenar.Cik Rewcastle Brown mendedahkan Februari lalu bahawa beliau di sebalik Sarawak Report dan stesen Radio Free Sarawak, yang sejak Oktober lalu menyiarkan laporan mendakwa Tan Sri Abdul Taib mengamalkan rasuah secara meluas dalam pertadbirannya selama 30 tahun itu.Dalam e-mel kepada The Malaysian Insider beliau menuduh Barisan Nasional (BN) menyelaraskan serangan-serangan itu.'BN jelas takut apa yang mungkin kami lapor dalam beberapa hari terakhir kempen itu - kerana kami mendedahkan taktik mereka menggunakan rasuah dan membuli pengundi dengan beberapa cara tidak sah,' ujarnya.Namun Cik Rewcastle Brown mengakui beliau tiada bukti walaupun 'terdapat banyak wang dan peralatan canggih dilontar kepada kami'.'Mereka boleh menafikannya. Mungkin kami ada musuh besar yang dibiaya dengan baik di sana, yang berminat menumbangkan kami pada minggu pilihan raya itu,' katanya sambil mendedahkan alamat baru lamannya ialah www1.sarawakreport.org.

Jepun naikkan tahap krisis nuklear Fukushima setara bencana Chernobyl

TOKYO: Jepun semalam menaikkan tahap krisis di loji nuklearnya yang rosak menjadi setara teruknya dengan bencana nuklear Chernobyl, dari segi keseluruhan kebocoran radiasi yang tinggi dan mencemari udara, air paip, sayursayuran dan air laut.
Para pengawal nuklear Jepun berkata mereka telah menaikkan tahap krisis itu daripada 5 kepada 7, iaitu tahap tertinggi pada satu skala antarabangsa bagi kemalangan nuklear yang diseliakan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).Ini selepas penilaian-penilaian baru ke atas kebocoran radiasi dari loji Fukushima Dai-ichi itu sejak ia dilumpuhkan akibat dipukul tsunami pada 11 Mac lalu.Kedudukan baru itu menandakan satu 'kemalangan besar' yang melibatkan kesan meluas ke atas sekitaran dan kesihatan, menurut IAEA, yang berpangkalan di Vienna.Namun para pegawai Jepun berkata sebarang kesan ke atas kesihatan hanya sedikit, dan kemudaratan akibat Chernobyl jauh melebihi kesan daripada loji Fukushima itu.Semakan itu dibuat sehari selepas Jepun meletak lima lagi kawasan dalam senarai tempat yang harus dijauhi bagi mengelakkan pendedahan jangka panjang kepada radiasi.Kawasan dalam lingkungan 20 kilometer di luar loji itu sudah dikosongkan.Berita itu dikesali penduduk di Iitate, salah sebuah kawasan yang paras radiasi dalam tanahnya dikesan sebagai tinggi. Desa dengan 6,200 penduduk itu terletak sekitar 40 kilometer dari loji Fukushima itu.Pegawai Jepun berkata paras radiasi yang bocor dari loji Fukushima itu sejauh ini 10 peratus daripada paras bencana Chernobyl, di bekas Soviet Union pada 1986, tetapi ia akhirnya akan melebihi paras Chernobyl jika krisis itu berterusan.'Ini mengesahkan semula bahawa bencana ini amat besar. Kami meminta maaf kepada orang awam, penduduk berhampiran loji dan masyarakat dunia kerana kami telah menyebabkan satu kemalangan sebegitu serius,' kata Ketua Setiausaha Kabinet, Encik Yukio Edano.Namun beliau berkata tiada 'risiko kesihatan secara langsung'.Perdana Menteri Naoto Kan dalam satu ucapan di televisyen menggesa masyarakat awam supaya jangan cemas, dan meminta mereka menumpukan perhatian pada pemulihan daripada bencana itu.'Sekarang keadaan reaktorreaktor nuklear di loji Fukushima semakin stabil selangkah demi selangkah. Kebocoran radiasi makin berkurang. Namun kita harus terus berjaga-jaga,' katanya.Para pegawai Agensi Keselamatan Nuklear dan Perusahaan berkata jumlah terkumpul debu beradioaktif yang keluar ke udara sejak kejadian itu telah mencapai paras insiden Tahap 7.Faktor-faktor lain termasuk kerosakan pada bangunan loji itu dan radiasi dalam tubuh pekerja.Loji Fukushima itu rosak apabila tsunami tersebut, yang menyusuli gempa bumi kuat, merosakkan sistem penyejukan dan penjana dieselnya hingga mengakibatkan letupan di tiga reaktor dan kebakaran di reaktor keempat. -- AP.

Juruterbang rombongan Muhyiddin maut


REMUK TERUK: Helikopter yang terhempas hingga meragut nyawa Kapten Sahaimi. Tan Sri Muhyiddin (ketiga dari kanan dalam gambar sisipan) turut menyaksikan pembedahan yang dijalankan ke atas juruterbang itu di bilik pembedahan Hospital Sibu. -- Foto BHM


SIBU (Sarawak): Juruterbang helikopter yang membawa rombongan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dari Bintangor di Sarikei, dekat sini, maut apabila pesawat itu terhempas di Dataran Sibu selepas menurunkan tiga penumpangnya, termasuk setiausaha akhbar Tan Sri Muhyiddin, Encik Hafiz Abdul Halim.
Kapten Sahaimi Ghazali, 38 tahun, yang berasal dari Selangor, meninggal dunia di Hospital Sibu pada 8.36 malam kelmarin akibat kecederaan parah pada paru-paru dan hatinya.Kejadian di depan Wisma Sanyan pada 1.50 petang itu berlaku ketika helikopter milik Sabah Air itu mahu berlepas ke Lapangan Terbang Sibu.Ia menyebabkan helikopter pesawat itu remuk teruk, terutama di bahagian kipas.Tan Sri Muhyiddin menaiki helikopter berasingan dan mendarat di dataran sama, sebelum kejadian tersebut, bagi memulakan programnya di sini selepas melakukan lawatan kerja ke Kanowit dan Bintangor.Beliau dan isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman, kemudian meluangkan masa melawat juruterbang itu di hospital.Ketua Polis Sibu, Penolong Pesuruhjaya (ACP) Shafie Ismail, berkata Allahyarham Sahaimi menjalani pembedahan dan dibantu alat sokongan pernafasan tetapi gagal diselamatkan kerana kecederaan serius.Menurut beliau, siasatan awal menunjukkan helikopter itu terhempas sebaik saja berada pada ketinggian kira-kira dua meter.Allahyarham tersepit sebelum dikeluarkan orang ramai. Beliau meninggal dunia kira-kira tujuh jam selepas kejadian.Tan Sri Muhyiddin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.'Allahyarham meninggal dunia ketika berkhidmat untuk negara. Kita akan melihat bantuan yang boleh disalurkan kepada keluarganya,' kata beliau sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur selepas lawatan kerja seharinya itu ke Sibu dan Sarikei malam kelmarin.Tan Sri Muhyiddin, yang menghabiskan kira-kira 15 minit di luar dewan pembedahan hospital, turut menyaksikan proses pembedahan yang dijalankan ke atas Allahyarham.'Saya rasa dukacita dengan kemalangan yang berlaku ke atas Kapten Sahaimi. Saya telah menyaksikan pembedahan yang sedang dilakukan,' kata beliau.Tan Sri Muhyiddin turut menyalurkan bantuan peribadi bagi membiayai belanja pengurusan jenazah Allahyarham. -- BHM, mStar Online,cyberita