Sunday, October 10, 2010

Bomoh kejar lembaga

JERTIH: Rumah gadis misteri di Kampung Gong Nangka, Apal, dekat sini, yang kerap ghaib menjelang senja dan tengah malam diserbu ratusan penduduk apabila dua bomoh yang merawat gadis itu mendakwa berjaya menangkap sembilan jin dan makhluk halus, malam tadi.


TERTARIK... orang ramai berebut-rebut mengambil gambar jin dan makhluk halus yang dimasukkan ke dalam tabung khas sebelum ia dihanyutkan ke laut oleh bomoh malam tadi.
TERTARIK... orang ramai berebut-rebut mengambil gambar jin dan makhluk halus yang dimasukkan ke dalam tabung khas sebelum ia dihanyutkan ke laut oleh bomoh malam tadi.

Dua bomoh itu yang datang untuk menawarkan khidmat percuma selepas mengetahui kisah gadis itu menerusi akhbar sejak Selasa lalu, berpecah ketika sesi merawat, dengan seorang mengerjakan solat di dalam rumah dan seorang lagi menggunakan jampi di luar rumah.

Selepas 15 minit kedua-dua bomoh itu merawatnya, rakan bomoh di luar rumah ternampak satu lembaga dan terus mengejar lalu berjaya menangkap makhluk berkenaan.

Kerja menangkap berkenaan berlangsung satu demi satu sebelum sembilan jin atau makhluk halus berjaya ditangkap, menyebabkan beratus-ratus penduduk setempat menyerbu rumah gadis itu dan melihat usaha bomoh menangkap makhluk itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Ramlan Ali serta isteri turut hadir untuk melihat peristiwa yang menggemparkan penduduk daerah ini.

Ramlan berkata, selepas menangkap sembilan jin dan makhluk itu, bomoh terbabit memasukkannya ke dalam bekas khas yang bertutup bagi mengelak ia keluar.
Orang ramai yang menyaksikannya tidak melepaskan peluang mengambil gambar dan video, kebanyakannya menggunakan telefon bimbit, untuk dijadikan kenangan dan bahan bukti kejayaan bomoh berkenaan.

Ibu gadis itu, Norizan Said, 47, ketika ditemui berkata, sejak kisah anaknya disiarkan media ini, Selasa lalu, seramai 17 bomoh datang menawarkan diri untuk merawat Siti Balqis secara percuma, tetapi kejadian malam tadi paling kemuncak apabila bomoh berkenaan menunjukkan kepakaran berjaya menangkap makhluk yang sebelum ini didakwa menjadi punca anaknya ghaib.

Usaha wartawan Berita Minggu untuk mendapatkan komen dan mengambil gambar dua bomoh itu gagal kerana mereka tidak mahu menonjolkan diri, sebaliknya memberitahu makhluk halus yang ditangkap akan dihanyutkan ke laut.

Dr Sheikh Muszaphar selamat diijabkabulkan

 


2010/10/10

PUTRAJAYA: Angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan pasangannya, Dr Halina Mohd Yunos selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz tepat jam 11.40 pagi tadi, di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, hari ini. 

Pasangan dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Mohd Yunus Mohd Ali dengan bersaksikan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali.

Kelantan pembangkang, bukan musuh: Nik Aziz


PASIR PUTEH - Kelantan adalah negeri pembangkang, bukan musuh Kerajaan Pusat sehingga dinafikan pelbagai hak termasuk menafikan 118 projek pembangunan di negeri ini. 

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Kerajaan Pusat menghentikan begitu banyak projek yang sepatutnya diperolehi negeri itu semata-mata ditadbir parti pembangkang. 

Ketika mula memerintah Kelantan, katanya, Kerajaan Negeri memohon beberapa projek pembangunan termasuk membina pelabuhan dan lapangan terbang namun ditolak. 

“Perdana Menteri ketika itu memberi alasan laut kita cetek, sedangkan manusia boleh menyelesaikan masalah sedemikian termasuk dengan cara mendalamkannya. 

“Lapangan terbang pula, baru sekarang kita mendapat yang baru, terlalu lambat kerana kita membuat permohonan sejak hampir 20 tahun lalu,” katanya ketika merasmikan Program Cakna Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak, semalam. 

Mursyidul Am Pas itu berkata, pemimpin Kerajaan Pusat juga telah memberi pelbagai tanggapan negatif kepada pelabur luar yang mahu memasuki negeri itu kerana mahu membiarkan Kelantan terus ketinggalan dari segi ekonominya. 

Nik Aziz berkata, itulah salah satu faktor Pas melawan Barisan Nasional (BN) kerana diskriminasi yang diamalkan selain fahaman politik yang ternyata berbeza. 

”Siapa pun yang berada di pihak mereka (BN) kita terpaksa lawan kerana kita bukan melawan batang tubuh tetapi kita melawan kerana ideologi mereka tidak berdasarkan Islam. 

”Siapa pun kita lawan kerana lawan kita ini bermaksud untuk membetulkan, menyedarkan mereka agar tidak terpesong dengan ajaran Islam,” katanya. 

Ketika ditanya isu yang akan dibangkitkan Pas pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Nik Aziz berkata, beliau hanya menekankan ajaran Islam dan menyerahkan soal membangkitkan isu kepada pemimpin lain. 

Sementara itu pada majlis berasingan di KOTA BHARU, Nik Aziz berkata, Pas akan mengumumkan calon mereka yang akan bertanding di Galas bila tiba masanya. 

“Itu dia ada program dia. Akan sampai masanya. Bila tiba masanya..tak apa...saya akan beritahu. Tak payah risau,” katanya 

Mengenai keputusan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang menyatakan persetujuan menerima tawaran sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya BN, beliau berkata: 

“Hak tu ikut dia (Tengku Razaleigh)...dia punya fasal. Kita lawan tetap akan lawan. Dia nak terima tak nak itu dia punya fasal. Saya kenal dia lama. Saya rasa dia tak layak jadi calon. Masa dia jadi ketua perhubungan pun di Kelantan tetapi dia sendiri tak calon diri dia untuk DUN. 

“Apa ertinya masa dia sendiri jadi ketua perhubungan dia tak calon diri dia sebagai ADUN...tiba-tiba sekarang ini dia jadi Ahli Parlimen kita suruh dia turun ke bawah. Ini tak betul.”

Sultan Ismail Petra semakin pulih



IBRAHIM (kanan) berbual dengan Sultan Ismail Petra di Istana Mahkota Kubang Kerian, Kota Bharu kelmarin.


KOTA BHARU – Bekas Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra yang masih menjalani rawatan fisioterapi sejak kembali dari Singapura kini semakin menunjukkan perkembangan positif.
Presiden Persatuan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang berkesempatan menghadap baginda di Istana Mahkota di sini kira-kira pukul 5 petang kelmarin berkata, perkembangan kesihatan Sultan Ismail kini bertambah baik berbanding sebelum ini.
“Saya rasa gembira dan hiba, bila saya masuk dan duduk di hadapan baginda, baginda masih ingat dan kenal dengan saya.
“Saya bersyukur apabila mendengar kata-kata baginda itu,” katanya ketika ditemui selepas menghadap Sultan Ismail di Istana Mahkota di sini.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu membuat kunjungan selama kira-kira sejam ke atas Sultan Ismail Petra untuk bertanya khabar selain melihat sendiri perkembangan terkini kesihatan baginda.

Jadi pelajar demi anak


ZAIDAH melihat sijil diploma Siti Hawa pada Majlis Konvokesyen Kelima UMP di Kuantan semalam.


KUANTAN – Pengorbanan seorang ibu yang sanggup menjalani kehidupan seperti pelajar semata-mata untuk membantu anaknya yang lumpuh melanjutkan pelajaran ke universiti membuahkan hasil lebih daripada sekadar sekeping ijazah.
Berkat kesabaran Zaidah Tamjis, 47, anaknya itu, Siti Hawa Apandi, 21, muncul antara graduan cemerlang jurusan Diploma Sains Komputer di Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan memperoleh Purata Gred Nilai Kumulatif (PGNK) 3.79.
Zaidah sedar Siti Hawa yang berkerusi roda kerana menghidap penyakit astrofi muskular spina (SMA) iaitu penyakit berkaitan saraf motor sejak kecil, tidak mampu menguruskan dirinya sendiri.
Siti Hawa sekadar boleh memegang nota kuliah dan buku seberat tidak melebihi 500 gram.
Bagi memastikan anaknya berjaya seperti insan normal lain, suri rumah dari Taman Mahkota, Gambang, Kuantan itu bertekad membantu anaknya
“Selama tiga tahun saya jadi macam pelajar, duduk dengan dia di asrama, masuk dewan kuliah dan ikut sesi perbincangan dengan pelajar lain.

Derita 11 tahun berakhir


Tan Swee Lan jelas gembira apabila mendapat semula bekalan air paip.


ULU YAM 8 Okt. - Sejak 11 tahun lalu, seorang ibu tunggal, Tan Swee Lan, 44, hidup tanpa bekalan air bersih.
Dalam tempoh tersebut, dia yang mempunyai lapan orang anak terpaksa menggunakan sumber dari perigi berdekatan rumahnya untuk mandi, memasak dan sebagainya.
Bekalan ke rumahnya di Kampung Asam Kumbang di sini dipotong kerana dia tidak mampu melunaskan bayaran bil berjumlah RM895 yang telah tertunggak sejak 1999.
Dia tidak mengeluh kerana tahu dia tidak mampu membayar bil air dan setelah sekian lama bergantung kepada air perigi, dia juga sudah biasa dengan keadaan itu.
Namun, kepayahan yang ditempuhinya itu mendapat perhatian daripada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) dan kakitangannya serta kakitangan Puncak Niaga Sdn. Bhd.
Walaupun tahu Swee Lan berhutang tetapi atas rasa prihatin, Syabas turun padang untuk menghulurkan sumbangan bagi membolehkan keluarga itu mendapat semula bekalan air bersih.
Langkah Syabas itu adalah untuk membantu golongan tidak berkemampuan agar turut mendapat bekalan air bersih seperti orang lain dan menjalani kehidupan harian dengan lebih selesa.
Menerusi program itu, Swee Lan mendapat bantuan berupa bekalan air percuma selama enam bulan dan bil airnya yang tertunggak akan dilupus kira.
Ketua Pegawai Operasi Syabas, Datuk Lee Miang Koi berkata, program tersebut merupakan inisiatif kakitangan Syabas dan Puncak Niaga bagi membantu pengguna-pengguna daif di Selangor.
Katanya, kakitangan Syabas dan Puncak Niaga yang tinggal di Selangor dengan rela hati akan menyerahkan kelayakan air percuma kepada golongan kurang berkemampuan itu.
"Pemilihan penerima ini telah ditentukan oleh Jawatankuasa Pemilihan Syabas yang melakukan siasatan bagi membolehkan mereka memilih calon-calon yang layak untuk menerima air percuma .
"Antara kriteria pemilihan tersebut adalah mereka yang berpendapatan rendah, bil tunggakan yang diandaikan tidak akan mampu dibayar dan bekalan air sudah dihentikan," katanya.
Beliau berkata demikian pada pemberita selepas majlis sumbangan bekalan air percuma kepada keluarga yang memerlukan itu di sini semalam.
Turut menerima sumbangan itu ialah Wong Siew Keah, 41, yang tinggal bersama seorang adiknya yang mempunyai masalah mental.
Dia yang tidak berkerja serta menghidap penyakit kencing manis meneruskan kehidupan dengan bergantung kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan jiran-jiran berhampiran.
Kesusahan hidupnya itu menyebabkan dia tidak mampu untuk menjelaskan bil air yang tertunggak sejak sekian lama yang berjumlah RM198.
"Saya berterima kasih kepada Syabas atas usaha murni mereka ini. Mereka benar-benar prihatin dan tidak lupa kepada golongan seperti kami.
"Sudah lama rumah saya tidak mendapat bekalan air bersih akibat tidak mampu menjelaskan bil yang tertunggak," katanya.
Ujarnya, kini dia mampu menggunakan air seperti biasa dan selepas tempoh enam bulan ini, dia akan berusaha untuk tidak membiarkan bilnya tertunggak lagi.

Kata dua untuk AS


SIRTE, Libya 9 Okt. - Menteri-Menteri Liga Arab semalam memberikan masa sebulan kepada Amerika Syarikat (AS) untuk menyelamatkan rundingan damai Asia Barat, yang dikatakan akan gagal kecuali Israel menghentikan pembinaan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.
Jawatankuasa Susulan Liga Arab dalam satu kenyataan memberitahu, ia akan bersidang dalam masa sebulan lagi bagi meneliti semula alternatif yang dicadangkan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan menetapkan langkah-langkah seterusnya yang perlu diambil.
Jawatankuasa proses damai Asia Barat yang dianggotai 13 menteri luar Arab itu, turut menggesa Washington mendesak Israel menghentikan aktiviti pembinaan penempatan haram Yahudi.
"Jawatankuasa menyokong pendirian Abbas yang menuntut pembinaan penempatan haram Yahudi dihentikan sepenuhnya bagi membolehkan rundingan damai disambung semula," jelas kenyataan tersebut.
Jurucakap Abbas, Nabil Abu Rudeina berkata, kenyataan itu menyatakan sokongan padu terhadap pendirian Presiden Palestin tersebut.
Kenyataan Liga Arab itu disambut baik AS yang berjanji akan menjalankan pelbagai usaha bagi membolehkan rundingan damai diteruskan.
Sementara itu, Abbas semalam dilapor telah memberitahu pemimpin-pemimpin Arab bahawa beliau akan meminta AS mengiktiraf negara Palestin.
Langkah beliau itu akan meletakkan tekanan baru ke atas Israel untuk melanjutkan tempoh pembekuan pembinaan rumah haram Yahudi di Tebing Barat, tanpa Abbas menyebut rundingan damai tidak akan diteruskan.
Perunding kanan Palestin, Saeb Erekat berkata, 'alternatif' kepada rundingan secara langsung yang dilancarkan lima bulan lalu itu telah dibicangkan, antaranya meminta AS mengiktiraf sempadan Palestin 1967. - AFP/Reuters

Kisah Sosilawati difilemkan


KUALA LUMPUR 9 Okt. - Pengarah filem, Dr. Mahadi J Murat akan menerbitkan filem cereka berjudul "Sosilawati, Cerita Seorang Wanita" dipadankan daripada kisah hidup jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya yang mati dibunuh pada Ogos lalu.
Filem yang mengisahkan kegigihan perjuangan seorang wanita dalam mengharungi cabaran hidup ini yang juga membawa tema "cinta, benci dan tragedi" itu, menggandingkan pelakon-pelakon popular pujaan ramai.
Anak sulung Allahyarham, Erni Dekritawati Yuliana Borhan, 25, mengesahkan persetujuan telah dicapai antara pihaknya dengan Mahadi mengenai perkara itu.
"Saya dan adik-adik yang lain bersetuju dengan idea penerbitan filem ini oleh Mahadi selagi ia berkisar kepada perkara positif.
"Barangkali melalui penghasilan filem ini, boleh menjadi iktibar dan tauladan kepada masyarakat akan perjuangan Allahyarham ibu kami," kata Rita kepada Mingguan Malaysia.
Menurutnya, perjuangan Allahyarham ibunya sebagai anak orang susah, tetapi dengan kerja keras, usaha bersungguh-sungguh akhirnya telah berjaya merubah kehidupannya.
"Ini kisah menarik yang perlu dikongsi dengan masyarakat," tegas Rita lagi.
Difahamkan, Mahadi yang juga Timbalan Dekan (Akademik dan Penyelidikan) Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik UiTM kini sedang dalam peringkat akhir menyiapkan skrip filem berkenaan yang dijangka menjalankan penggambaran di lokasi utama di Kuala Lumpur, Johor dan Selangor.
Mahadi juga memilih London dan Bandung sebagai lokasi penggambaran filem tersebut.
Menurut Rita, majlis pengumuman pelakon akan dibuat tidak lama lagi dan penggambaran dijangka bermula Disember depan.
Mahadi ialah pemenang Anugerah Pengarah Terbaik dan Penulis Skrip Terbaik Festival Filem Malaysia ke 12. Filem arahannya Sayang Salmah pernah menerima anugerah Best For Humanity di Festival Filem Dunia di Kuala Lumpur yang bertemakan keamanan sejagat pada tahun 2004