Showing posts with label jenayah. Show all posts
Showing posts with label jenayah. Show all posts

Wednesday, September 26, 2012

Kes khalwat jenayah syariah paling tinggi dicatat

KUANTAN – Sebanyak 1,797 kesalahan jenayah syariah dicatat di Pahang dalam tempoh hampir sembilan bulan pertama tahun ini.
Kesalahan khalwat dicatat paling tinggi dengan jumlah sebanyak 948 kes, diikuti berjudi (677 kes), tidak menghormati bulan Ramadan (62), kesalahan meminum minuman memabukkan (39), perbuatan tidak sopan di tempat awam (11) dan kesalahan-kesalahan lain (60).
Menurut Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Pahang (MUIP), Datuk Seri Wan Wahid Wan Hassan, MUIP akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan bagi membanteras gejala sosial daripada terus menular.
"MUIP akan mempertingkatkan kerjasama bersama Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dalam membanteras kesalahan jenayah syariah membabitkan penganut agama Islam di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Pemahaman Undang-undang Kesalahan dan Tatacara Jenayah Syariah Pahang di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang melantik pegawai-pegawai masjid di sebagai penguatkuasa dalam usaha memantapkan lagi penguatkuasaan kesalahan jenayah syariah. – BERNAMA

Sunday, October 3, 2010

Bapa tiada di rumah punca jenayah meningkat



SHAHRIZAT Abdul Jalil melihat slogan yang dibawa oleh kanak-kanak pada Seminar Kebangsaan Undang-Undang Kanak-Kanak Kali Kedua 2010 di Institut Sosial Malaysia, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 2 Okt. - Ketiadaan bapa di rumah kerana sibuk dengan tuntutan kerja dan hal lain menjadi antara faktor utama peningkatan kadar jenayah melibatkan kanak-kanak sejak kebelakangan ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, keadaan itu menyebabkan generasi muda merasakan diri mereka tidak mendapat perhatian daripada bapa masing-masing.
Menurutnya, keadaan ini berbeza dengan zaman dahulu apabila ibu, bapa, datuk, nenek dan sanak saudara sentiasa berada di sekeliling untuk mengawasi pergerakan mereka.
"Jaringan keselamatan pada masa dahulu sangat mantap kerana setiap ahli keluarga akan mendidik dan mengawasi kanak-kanak pada setiap masa kerana kebanyakan ibu menjadi suri rumah dan bapa pula akan balik dari kerja sebelum pukul 5 petang.
"Situasi sekarang adalah sebaliknya kerana setiap ibu bapa termasuk datuk dan nenek sangat sibuk mencari sumber pendapatan.
"Oleh itu, jaringan keselamatan terhadap kanak-kanak makin terhakis dari hari ke hari,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Undang-Undang Kanak-Kanak Kali Kedua 2010 bertemakan isu-isu terkini dan cabaran masa depan di sini hari ini.
Tambah Shahrizat, kementeriannya juga akan mengemaskinikan Dasar Sosial Negara (DSN) bagi membendung masalah sosial negara yang semakin parah secara lebih strategik

Thursday, August 12, 2010

Jangan tinggal anak dalam kereta



KUALA LUMPUR 11 Ogos – Ibu bapa perlu mengambil berat aspek penjagaan anak-anak dengan tidak memberi ruang dan peluang kepada penjenayah untuk melakukan perlakuan yang boleh mengancam keselamatan anak-anak mereka.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan tersebut supaya sebarang bentuk jenayah membabitkan kanak-kanak dapat dibanteras.
“Penjenayah sering mencari ruang bagi melakukan jenayah walaupun dalam tempoh yang singkat dan tidak mustahil mereka mempunyai pelbagai motif bagi melakukannya.
“Pada awalnya, mungkin niat penjenayah ingin merompak atau mencuri tetapi terdapat peluang lain seperti kanak-kanak berada di dalam kenderaan atau rumah yang terlibat menyebabkan penjenayah cenderung untuk menculik pula,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pasangan ibu bapa yang berjaya menggagalkan niat sekumpulan empat lelaki yang menaiki sebuah kereta jenis Toyota Harrier semalam untuk melakukan cubaan menculik salah seorang anak perempuan mereka yang berusia 11 tahun.
Dalam pada itu Mohd. Bakri mengingatkan ibu bapa supaya jangan sekali-kali meninggalkan anak mereka walau hanya seketika di dalam kenderaan.
‘‘Ini kerana ia tetap memberi ruang kepada penjenayah melakukan kegiatan jenayah seperti culik, rogol dan bunuh,’’ katanya.
Bagi menangani jenayah membabitkan kanak-kanak, katanya, masyarakat juga perlu mempunyai sikap menjaga tepi kain orang lain untuk membantu pihak polis membasmi jenayah.
“Pihak polis amat mengalu-alukan aduan daripada orang ramai bagi membantu kita menjalankan tugas dan menangani masalah sosial dan jenayah di negara ini,” katanya.
Sementara itu, penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, terdapat tiga elemen berlakunya jenayah iaitu penjenayah, mangsa dan ruang yang diberi.
“Ibu bapa mampu mengelak berlakunya kejadian jenayah dengan mengecilkan risiko dan jangan memberi peluang yang boleh mendedahkan anak-anak sebagai mangsa kepada penjenayah.
“Jangan biarkan anak-anak berada di luar lingkungan pengawasan kita walaupun hanya seketika kerana ia mampu memberi ruang dan peluang berlakunya perkara yang kita tidak ingini,” katanya.
Katanya, kejadian culik juga boleh mendorong penjenayah melakukan kekerasan terhadap mangsa termasuk rogol.

Sunday, August 8, 2010

Indeks jenayah turun 14.2 peratus - KPN



MUAR 7 Ogos - Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, indeks jenayah di negara ini telah menunjukkan penurunan ketara sebanyak 14.2 peratus dalam tempoh bermula Januari sehingga Jun lalu.
Beliau berkata, sebanyak 88,350 kes dicatatkan dalam tempoh tersebut pada tahun ini berbanding 103,414 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.
"Kadar kes jenayah jalanan pula turun kepada 12,233 kes enam bulan pertama tahun ini berbanding 19,349 kes pada tempoh yang sama tahun lepas, iaitu penurunan sebanyak 36.6 peratus," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Murni Cegah Jenayah Peringkat Kebangsaan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pagoh di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye dan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff.
Menurut Musa, pada mulanya, pihaknya menyasarkan penurunan kes sebanyak 10,000 kes tetapi hasil usaha gigih dijalankan telah berjaya mencatatkan 14,644 kes dalam tempoh berkenaan.
Dalam kes jenayah jalanan pula, polis berjaya mengurangkan sebanyak 7,607 kes berbanding sasaran 7,033 kes.
"Jika kita dapat mengekalkan momentum ini, kes-kes jenayah akan terus dikurangkan dalam tempoh tahun ini dan mencapai sasaran ditetapkan," jelasnya.