Showing posts with label pencen. Show all posts
Showing posts with label pencen. Show all posts

Monday, December 24, 2012

Pencen swasta boleh keluar usia 55 tahun


pix_gal0
Kuala Lumpur: Pencarum Skim Persaraan Swasta (PRS) masih boleh mengeluarkan simpanan mereka apabila berumur 55 tahun, meskipun kerajaan sudah melanjutkan umur persaraan swasta kepada 60 tahun.

Pengerusi Pentadbir Pencen Swasta Malaysia (PPA), Datin Zaiton Mohd Hassan, berkata semua caruman yang dibuat kepada PRS terbahagi kepada dua sub-akaun dan pencarum boleh mengeluarkan 70 peratus simpanan apabila mencapai umur persaraan manakala 30 peratus boleh dikeluarkan setahun sekali selepas itu. Katanya, PRS yang dilancarkan Julai lalu adalah caruman sukarela yang memberi pilihan kepada orang ramai untuk menambah simpanan persaraan mereka menerusi sumbangan jangka panjang dalam persekitaran yang dikawal selia.
“Buat masa ini, Suruhanjaya Sekuriti (SC) menetapkan pencarum PRS boleh mengeluarkan sebanyak 70 peratus simpanan mereka apabila berumur 55 tahun, walaupun kerajaan melanjutkan umur persaraan swasta kepada 60 tahun bermula tahun depan. Bagaimanapun, perkara ini akan dikaji dengan lebih lanjut,” katanya dalam satu temubual di sini, baru-baru ini.

Sebelum ini kerajaan mengumumkan umur persaraan sektor swasta dilanjutkan kepada 60 tahun daripada 55 tahun yang berkuat kuasa mulai 1 Julai tahun depan, seperti yang ditetapkan di bawah Akta Umur Persaraan Minimum 2012.

Menerusi akta berkenaan, umur persaraan minimum pekerja sektor swasta ialah 60 tahun dan majikan tidak boleh memaksa pekerja bersara sebelum mencapai usia itu.

Mengenai PRS, ia ditawarkan oleh tujuh firma pengurus dana dan sebuah syarikat insurans kepada individu yang terdiri daripada pelabur runcit, bekerja sendiri, pekerja serta majikan.
Setakat ini, empat syarikat telah melancarkan skim persaraan mereka iaitu CIMB-Principal Asset Management Bhd, Public Mutual Bhd, Manulife Unit Trust Bhd dan Hwang Investment Management Bhd.

PPA ditubuhkan Julai lalu bagi mentadbir, memantau dan menggalakkan pertumbuhan dan operasi industri PRS.

Mengenai cadangan untuk meningkatkan bilangan penyedia skim PRS, Zaiton berkata: “Buat masa ini, jumlah itu sudah mencukupi kerana masih ada syarikat yang masih belum melancarkan skim persaraan swasta mereka. Mungkin kerana menantikan waktu yang sesuai serta melihat kepada kehendak pasaran,” katanya.

Beliau berkata, dana PRS dijangka mencecah RM30.9 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang walaupun bilangan pencarum masih lagi rendah pada masa ini berikutan masih kurangnya kesedaran terhadap skim persaraan alternatif itu.

“Jika dibandingkan dengan jumlah simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akhir tahun lalu mencatatkan sebanyak RM469 bilion dan dalam tempoh 10 tahun ia mungkin meningkat kepada RM600 bilion. Saiz sasaran PRS ini hanya lima peratus daripada jumlah berkenaan,” katanya.

Bagi menggalakkan penyertaan , Zaiton berkata pencarum akan menikmati pelepasan cukai sehingga RM3,000 bagi 10 tahun pertama dari tahun taksiran 2012 manakala majikan yang menyumbang kepada skim itu untuk pekerja mereka pula akan diberikan potongan cukai sehingga 19 peratus.

Tuesday, September 6, 2011

Balu polis mohon pencen suami



SHARIFAH Aminah menunjukkan gambar arwah suaminya, Syed Omar (kanan) yang pernah berkhidmat di Balai Polis Bukit Kepong ketika ditemui di Alor Setar semalam.


ALOR SETAR - Sharifah Aminah Syed Ali, 83, balu kepada seorang anggota polis yang pernah berkhidmat di Balai Polis Bukit Kepong selepas berlakunya tragedi serangan komunis, memohon supaya dipertimbangkan untuk menerima pencen suaminya yang meninggal dunia semasa bertugas di Balai Polis Kulim pada 1962.
Sharifah Aminah yang kematian suami Syed Omar Syed Yasin hampir 50 tahun lepas, memohon agar dipertimbangkan bayaran pencen kerana sepanjang kematian suaminya, dia tidak pernah menerima imbuhan itu.
"Selepas kematian suami, saya hanya menerima duit sagu hati sebanyak RM1,800 dan selepas itu sudah tidak dapat apa-apa duit. Duit pencen pun tidak dapat juga sampai hari ini," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Katanya, selepas berkahwin dengan Syed Omar, mereka menetap di Kota Tinggi, Johor sebelum berhijrah ke Johor Bahru dan kemudiannya ditukarkan ke Bukit Kepong.
"Masa mula-mula sampai di Bukit Kepong, rusuhan memang sudah reda tetapi keadaan ketika itu sangat menakutkan. Selepas pukul 6 petang, kami kena tutup semua pintu dan tingkap dan tidak boleh keluar rumah. Hendak ambil air daripada telaga pun tidak boleh sebab komunis humban mayat-mayat dalam telaga.
"Kami terpaksa menggunakan air Sungai Bukit Kepong untuk kegunaan seharian," katanya.

Saturday, September 18, 2010

Mohon pencen

MELAKA: Bagi mengenang pengorbanan besar mereka berjuang memerangi ancaman komunis pada zaman darurat, kira-kira 30,000 ahli Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) meminta kerajaan agar mempertimbangkan permintaan untuk menerima bayaran pencen bulanan.
Presidennya, Shafie Bakri berkata, daripada 250,000 anggota polis tambahan diambil berkhidmat ketika zaman darurat dari 1948 hingga 1972, kini hanya kira-kira 30,000 anggota yang masih hidup dengan usia rata-rata sudah menjangkau 70 tahun.
Beliau berkata, semua anggota polis tambahan zaman darurat termasuk anggota pengawal kampung (home guard) hanya diberi elaun khas selepas diberhentikan dan kebanyakannya kini hidup miskin dan menanggung pelbagai penyakit.

“Kami berasa permintaan PBPM wajar dipertimbangkan kerana 250,000 anggota polis tambahan zaman darurat yang diambil di bawah Peraturan Darurat menggadai nyawa selain berperanan membantu beberapa batalion tentera melawan ancaman komunis.

“Malah, ada anggota pasukan polis tambahan itu berdepan dengan pertempuran (ketika darurat) dan hidup mereka masih dibayangi ketakutan apabila terus dijejaki ejen komunis selepas era darurat berakhir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pemberian sumbangan Aidilfitri kepada 100 bekas anggota polis itu oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam di Masjid Tun Syed Ahmad Al-Haj, di Bukit Beruang, dekat sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Bekas Polis Negeri Melaka, Datuk Md Idris Hameem Marikar. Shafie berkata, setakat ini, pihaknya sudah menyerahkan kertas kerja mengenai cadangan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Jun lalu termasuk memanjangkannya kepada Bahagian Pencen Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Wednesday, September 15, 2010

Tak payah pencenlah kerja sampai tua

Mahu pencen usia 60 tahun





KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menaikkan umur persaraan daripada 58 kepada 60 tahun bagi 1.2 juta penjawat awam di Malaysia supaya seragam dengan amalan negara lain di rantau ini.
Presidennya, Omar Osman berkata sehingga kini, Malaysia masih ketinggalan di belakang negara jiran yang mempunyai umur persaraan antara 60 dan 62 tahun.
Beliau berkata, sehubungan itu, Cuepacs berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan, akan meluluskan cadangan itu dan mengumumkannya ketika pembentangan Bajet 2011 bulan depan.

“Kami telah meminta supaya umur persaraan dinaikkan kepada 60 tahun sejak beberapa tahun lepas, dan pada 2006, kami menyerahkan satu memorandum berhubung perkara itu, namun kerajaan hanya bersetuju menaikkannya sehingga 58 tahun.

“Justeru, kami harap kerajaan boleh mempertimbangkannya kerana ia satu opsyen dan bukan wajib, seperti juga apabila umur persaraan dinaikkan daripada 56 kepada 58 tahun, ia satu opsyen, bukannya automatik,” katanya kepada Bernama dalam satu temubual.

Kerajaan juga, katanya, perlu memastikan bahawa umur persaraan di Malaysia seragam dengan apa yang diamalkan di negara jiran seperti Brunei, Singapura, Thailand dan Indonesia.

Umur persaraan bagi Thailand, Brunei dan Indonesia ialah 60 tahun, manakala di Singapura 62 tahun.

Kali terakhir isu mengenai umur persaraan dibangkitkan di negara ini pada 2008, iaitu sebelum ia dinaikkan kepada 58 tahun.

Omar berkata, baru-baru ini, pemain industri perbankan tempatan bersetuju menaikkan umur persaraan pekerjanya dan ini membuktikan rakyat Malaysia masih mampu menyumbang kepada ekonomi negara meskipun umur persaraan dinaikkan kepada 60 tahun.

“Graduan baru atau mereka yang masih mempunyai tahun perkhidmatan yang panjang sebagai penjawat awam tidak perlu bimbang. Kita perlu bersikap terbuka kerana ia satu opsyen dan bukannya wajib,” katanya.

Beliau berkata, ini kerana kepakaran serta pengalaman penjawat awam masih diperlukan, dan dengan menaikkan umur persaraan, ia mampu memberi pilihan kepada mereka yang berpengalaman untuk terus berkhidmat kepada negara.
“Kami tidak pasti jika kerajaan akan menerima cadangan ini, namun kami berharap ia akan dipertimbang dan diputuskan secepat mungkin,” katanya. - Bernama.