Showing posts with label Kecoh. Show all posts
Showing posts with label Kecoh. Show all posts

Wednesday, October 3, 2012

Lima ditahan cetus kekecohan di bangunan Masjid al-Aqsa



03/10/2012 3:20am

BAITULMAQDIS – Polis Israel semalam, menahan lima orang termasuk tiga keturunan Arab dan dua keturunan Yahudi selepas didakwa mencetuskan kekecohan dan menyerang pihak berkuasa di kawasan bangunan Masjid al-Aqsa.
Penahanan itu dibuat selepas sekumpulan aktivis sayap kanan Israel-Yahudi melawat Temple Mount atau dikenali sebagai Haram al-Sharif oleh umat Islam.
"Seramai lima orang ditahan kerana didapati cuba menimbulkan kekecohan di dalam kawasan bangunan tersebut," kata jurucakap polis, Luba Samri. – AFP

Wednesday, May 4, 2011

Kecoh depan DUN Pulau Pinang


MOHAMED GHANI bersama tiga ahli Pertubuhan Suara Anak Malaysia Pulau Pinang dibawa ke balai polis selepas enggan bersurai di hadapan Bangunan DUN Pulau Pinang semalam.


GEORGE TOWN - Usaha kira-kira 40 ahli sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkumpul di depan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menyerahkan memorandum ketika persidangan berlangsung menjadi kecoh apabila empat daripada mereka ditahan polis.
Perhimpunan selama setengah jam bermula pukul 12.45 tengah hari itu diketuai oleh Pengerusi Pertubuhan Suara Anak Malaysia Pulau Pinang, Mohamed Ghani Abdul Jiman bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada kerajaan negeri.
Mereka telah diarahkan bersurai oleh anggota polis yang berkawal tetapi berdegil menyebabkan Mohamed Ghani dan tiga yang lain dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.
Abdul Ghani sebelum itu dilihat cuba bertindak memanjat pagar di hadapan pondok pengawal DUN sambil meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
"Kami hanya ingin serahkan tiga memorandum kepada Yang Dipertua Negeri, Speaker DUN (Datuk Abdul Halim Hussain) dan Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan 10 isu mengenai orang Melayu.
"Kenapa kami tidak dibenarkan masuk sedangkan kami juga rakyat Pulau Pinang," katanya sambil menunjukkan kad pengenalan kepada pengawal keselamatan di situ.-kosmo

Thursday, December 16, 2010

Dua penyokong PKR ditahan cetus kekecohan depan Parlimen


16/12/2010 8:49pm

KUALA LUMPUR 16 Dis. — Seramai 30 penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencetuskan kekecohan di hadapan bangunan Parlimen di sini hari ini dan cuba mengadakan perarakan tanpa permit menyebabkan dua daripada mereka ditahan polis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, polis telah memberi amaran kepada kumpulan itu supaya bersurai kerana mereka berarak tanpa permit tetapi mereka enggan menyebabkan daripada mereka ditahan.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata perhimpunan bermula tengah hari apabila kumpulan itu cuba mengadakan perarakan untuk menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sebagai bantahan terhadap penggantungan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga anggota Parlimen pembangkang yang lain daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat.
Polis kemudian memberi amaran kepada kumpulan itu supaya bersurai dan hanya membenarkan dua atau tiga orang sahaja untuk ke Suhakam tanpa mengganggu lalu lintas.
Memorandum itu kemudian dihantar oleh Anggota Parlimen Balik Pulau daripada PKR, Yusmadi Yussof, Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin serta Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Khairul Anuar Ahmad Zainuddin ke pejabat Suhakam di Jalan Raja Laut di sini pada 2.30 petang.
Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul untuk menggantung Anwar daripada menghadiri persidangan dewan selama enam bulan kerana mengelirukan dewan berhubung isu berkaitan firma perunding antarabangsa Apco Worldwide Bhd, manakala tiga lagi anggota Parlimen pembangkang juga digantung enam bulan kerana menghina dewan. — Bernama

Kecoh gara-gara wakil pembangkang berdebat dengan Speaker


KUALA LUMPUR 15 Dis. - Persidangan Dewan Rakyat hari ini kecoh gara-gara tindakan wakil pembangkang berdebat dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung usul yang dikemukakan oleh mereka mahupun kerajaan.
Keadaan itu memaksa Pandikar Amin menggunakan kuasanya di bawah Peraturan Mesyuarat 44 bagi menggantung sehari R. Sivarasa (PKR-Subang) manakala Azmin Ali (PKR-Gombak), separuh hari hingga pukul 2.30 petang daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat.
Kekecohan bermula apabila Pandikar Amin menolak usul berkaitan pendedahan WikiLeaksyang dikemukakan Sivarasa atas alasan ia tidak perlu disegerakan memandangkan masih banyak perkara yang perlu didahulukan seperti termaktub dalam Aturan Urusan Mesyuarat.
Sivarasa yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu, bangun mempersoalkan tindakan Pandikar Amin membenarkan pula usul yang dibawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, mencadangkan agar beliau, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) dan Azmin, digantung selama enam bulan.
Pandikar Amin kemudiannya menjelaskan bahawa usul berkenaan dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) yang jelas memperuntukkan bahawa menteri mempunyai kuasa untuk mengemukakan usul dalam masa 24 jam tanpa perlu tujuh hari notis seperti dipersoalkan.
"Saya mengikut Peraturan Mesyuarat dan peraturan ini bukan saya yang buat, Yang Berhormat semua yang buat. Dalam kes ini Bukit Gelugur (Karpal), Subang (Sivarasa) dan Gombak (Azmin) yang membuat kenyataan di luar dewan berkenaan prosiding Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
"Usul yang dikemukakan menteri itu berpendapat ia satu perbuatan menghina dewan, terpulanglah kepada Yang Berhormat semua untuk membahas dan memutuskan nasib ketiga-tiga mereka. Saya tidak boleh mengundi, Yang Berhormat yang mempertikai sebenarnya yang mempunyai kepentingan politik," katanya.
Ahli-ahli Parlimen pembangkang bagaimanapun masih tidak berpuas hati dengan penjelasan Pandikar Amin.
Ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) bangkit dan menuduh Pandikar Amin melebihkan Barisan Nasional (BN).
Keadaan semakin tidak terkawal apabila beberapa wakil pembangkang lain termasuk Azmin; Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur); Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang); Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian); Nasharuddin Mat Isa (Pas-Bachok); Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena); Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli (Pas-Kuala Krai) serta beberapa penyokong kerajaan turut mencelah.
"Tan Sri (Pandikar Amin), apa yang kami bangkitkan adalah persoalan mengenai hak demokrasi, mana hak ketiga-tiga wakil rakyat ini untuk membela diri jika usul ini diterima tanpa notis tujuh hari. Jangan kita hanya mementingkan pihak yang mempunyai majoriti lebih bagi menekan kami di sebelah sini (pembangkang).
"Saya digantung tak apa, saya terima walaupun sebelum ini pernah berjanji untuk memberi peluang kepada saya membela diri tetapi akhirnya tidak berbuat demikian, tetapi ini soal tiga wakil rakyat ini (pembangkang) macam mana? Macam mana dengan hak mereka?," soal Anwar dalam nada tinggi.
Bagaimanapun, Anwar terdiam apabila Pandikar Amin secara sinis bertanya apakah itu standard ketua pembangkang yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri selain pernah menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri sewaktu dalam kerajaan.
"Keputusan saya ini muktamad dan tidak ada ruang dalam Peraturan Mesyuarat untuk mempersoalkannya. Permatang Pauh bercakap mengikut persepsi politik tetapi tugas saya mengikut Peraturan Mesyuarat. Yang Berhormat selaku ketua pembangkang yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri patut tunjuk sikap yang lebih baik," katanya.
"Inikah standard yang Permatang Pauh mahu tunjukkan, sepatutnya sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri, Yang Berhormat lebih memahami peraturan dan bukan sekadar mengikut persepsi politik, dewan ini ada peraturan tetapi jika Yang Berhormat semua enggan patuh, sebaliknya, ingin meneruskan 'permainan', saya tiada masalah," tegasnya.