Tuesday, March 3, 2015

Tak malu mencuri

Agensi
London: Seorang wanita dianggap sebagai pencuri tidak tahu malu apabila mengaku memperoleh pendapatan mencecah £2 juta (RM11.16 juta) dengan hanya mencuri.
Wanita berkenaan, Kim Farry, 44, memberitahu, dia bangga dengan kegiatannya itu kerana ia membolehkan dia boleh hidup mewah dan memakai pakaian berjenama.
Kim berkata, dia mula mencuri di pasar raya dan kedai ketika berusia sembilan tahun dan turut melatih sebahagian daripada enam anaknya mencuri.
Menurutnya, dengan hasil ‘pekerjaannya’ itu dia mampu menampung perbelanjaan makan malam mewah, melancong dan membuat tiga pembedahan membesarkan payudara.
Lebih menarik lagi Kim tinggal di rumah yang disediakan kerajaan dan turut menerima wang bantuan berjumlah £556 (RM3,103) sebulan.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 7:19 AM


KIM menunjukkan antara barangan yang dicurinya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/33987#sthash.QbjGAr3O.dpuf

Hayao Miyazaki pengarah animasi terhebat


Hayao Miyazaki pengarah animasi terhebat
Hayao Miyazaki pengarah animasi terhebat
DALAM dunia animasi, siapa yang tidak kenal Hayao Miyazaki. Dilahirkan pada 5 Januari 1941, Miyazaki adalah seorang pengarah filem, penulis skrip, artis manga dan juga penulis paling prolifik di Jepun.

Beliau juga merupakan pengasas bersama Studio Ghibli yang menghasilkan animasi berkualiti tinggi, iklan komersial serta permainan video.

Kebanyakan karyanya mengetengahkan tema hubungan manusia dengan alam dan teknologi, serta bagaimana untuk memelihara keamanan yang telah dicapai.

Miyazaki sering menampilkan gadis remaja sebagai watak protagonis dalam karya beliau.

Watak-watak tersebut sering digambarkan sebagai kuat, berkeyakinan tinggi dan mampu berdikari.

Antara karya beliau yang paling berjaya dan mendapat sambutan ialah Princess Mononoke dan Spirited Away.

Kehidupan awal

Miyazaki dilahirkan di bandar Akebono-cho di Bunkyo, Tokyo. Beliau adalah anak kedua daripada empat beradik lelaki.

Bapanya, Katsuji Miyazaki adalah pengarah syarikat Miyazaki Airplane yang menghasilkan pesawat tempur A6M Zero yang digunakan semasa Perang Dunia Kedua.

Ibunya, Dola Miyazaki pula seorang suri rumah yang gemar membaca.

Miyazaki mendapat pendidikan awal di sekolah rendah Utsunomiya pada 1947. Minatnya terhadap animasi tercetus selepas menonton tayangan filem animasi The Tale of the White Serpent ketika beliau menuntut di sekolah tinggi Toyotama.

Beliau kemudian menyambung pelajaran di Universiti Gakushuin dalam bidang ekonomi dan sains politik.

Di universiti, Miyazaki menjadi ahli kelab kajian kesusasteraan kanak-kanak. Miyazaki mengambarkan kelab tersebut seperti kelab persatuan komik yang ada pada hari ini.

Karier sebagai juru animasi

Pada April 1963, Miyazaki diterima bekerja di syarikat Toei Animation. Dalam tempoh setahun, beliau berjaya membina reputasi hebat di syarikat tersebut.

Paling diingati, beliau menukar babak akhir filem animasi Gulliver's Travels Beyond the Moon kerana tidak berpuas hati dengan skrip asal dan jalan cerita di penghujung filem berkenaan.

Pada 1968, beliau dinaikkan pangkat sebagai ketua juru animasi. Pada masa sama, beliau diberikan peranan sebagai artis konsep dan mereka plot untuk filem animasi Hols: Prince of the Sun.

Pada 1971, Miyazaki mengambil keputusan meninggalkan Toei Animation dan menyertai studio A Pro.

Bagaimanapun, bakat beliau sebagai pelukis dan juru animasi terserlah ketika bekerja dengan Nippon Animation pada 1973.

Beliau mengarahkan siri animasi TV pertamanya pada 1978 berjudul Conan, The Boy in Future.

Terima penghormatan

Miyazaki menjadi rakyat Jepun kedua selepas Akira Kurosawa diberi anugerah kehormat Oscar pada 2009.

Sebaik menerima anugerah tersebut, Miyazaki dengan merendah diri mengatakan bahawa dirinya hanya bernasib baik.

"Isteri saya berkata, saya seorang yang bernasib baik. Apa pun, saya sangat bertuah untuk hidup pada zaman perang dan menghasilkan filem menggunakan kertas dan pensil.

"Saya akan terus berkarya sehingga saya mati," katanya

Pada 2003, beliau memenangi Oscar selepas filemnya Spirited Away dijulang sebagai filem animasi terbaik.

Berhabis duit demi Madonna


Berhabis duit demi Madonna
SEORANG pemuda dari California sanggup membelanjakan sehingga 50,000 pound (RM297,000) bagi menjalani pembedahan kosmetik semata-mata mahu kelihatan seperti penyanyi pujaannya, Madonna.

Adam Daniel kini berbangga apabila hasratnya untuk memiliki bentuk wajah seperti Ratu Pop itu tercapai.

Daniel. 31, menyara kehidupannya dengan meniru lagak dan aksi Mandonna memberitahu, pendapatannya semakin bertambah apabila dia mula mengubah wajahnya.

Sehingga kini, Daniel melakukan puluhan pembedahan implan pada bahagian pipi serta rahang dan menganggap tindakannya itu berbaloi.

"Saya juga membuat pembedahan kosmetik pada bahagian dagu. Kosnya memanglah mahal, tapi tak kisahlah asalkan wajah saya menyerupai Madonna," katanya.

Menurut Daniel, dia menjadi obses terhadap Madonna sejak usianya 15 tahun selepas mendengar album penyanyi tersebut tanpa henti. - Mirror

Panjangnya bulu mata


SEORANG lelaki Ukraine yang mempunyai bulu mata panjang berharap namanya disenaraikan dalam buku rekod dunia Guiness.
Panjangnya bulu mata
Valey Smagliy, 58, berkata, dia menyedari bulu matanya bertambah panjang selepas menukar dietnya.

Bagaimanapun, Smagliy enggan berkongsi apa yang dimakannya.

"Saya mula memakan sesuatu dan menyedari bulu mata saya bertambah panjang.

"Saya tidak akan berkongsi apa yang telah saya makan. Biar wanita di luar sana cemburu," katanya.

Smagliy berkata, dia tidak berhasrat untuk menyimpan bulu matanya.

"Saya akan potong sebaik sahaja pihak Guiness mengesahkan bahawa saya adalah individu yang memiliki bulu mata terpanjang di dunia.

"Lagipun, bulu mata ini menyukarkan penglihatan. Saya juga sering ditahan wanita yang mahu berkongsi apa rahsia saya," katanya.

Menurut buku rekod Guiness, bulu mata terpanjang di dunia berukuran 6.99 sentimeter milik Stuart Muller dari Amerika Syarikat yang dicatat pada 2007. - Mirror

Loji nuklear tertua Perancis ditutup


Loji nuklear tertua Perancis ditutup
Aktivis Perancis dan antinuklear Jerman mengadakan bantahan terhadap loji nuklear Fessenheim di sempadan Jerman dan Perancis. Foto: AFP
PARIS - PERANCIS. Perancis menutup loji nuklear tertua di negara itu berikutan masalah teknikal dihadapi.

Menurut laporan PressTV,  syarikat utiliti elektrik Perancis dalam satu kenyataan berkata, pengeluaran tenaga di kilang Fessenheim itu terpaksa dihentikan selepas berlaku kerosakan paip di ruang mesin, Sabtu lalu.

"Kakitangan stesen sedang berusaha mencari punca sebenar kejadian. Kilang terletak di sempadan Jerman dan Switzerland itu bagaimanapun tidak menempatkan bahan nuklear," menurut syarikat itu.

Difahamkan, insiden itu berlaku dalam satu unit pengeluaran, seperti kejadian sama pada 9 April apabila kebocoran dikesan dalam paip bekalan air.

Sebelum ini, media tempatan meletakkan prestasi kilang berkenaan dalam perhatian selepas Presiden Perancis Francois Hollande berjanji untuk menutupnya tahun depan.

Jururawat berhati mulia


Jururawat berhati mulia
NASIB kanak-kanak lelaki yang menghidap penyakit jarang berlaku dalam dunia perubatan akhirnya terbela selepas seorang jururawat berhati mulia sudi mengambilnya sebagai anak angkat.

Sarah Ruane, 51, dari Britain membuat keputusan itu selepas pihak hospital gagal mendapatkan keluarga angkat untuk Joshua Burdell, 3, penghidap  sindrom Steinert yang menyebabkan budak tersebut tidak boleh menunjukkan sebarang ekspresi wajah.

"Joshua pernah diletakkan di bawah jagaan saya selepas dilahirkan di Hull Royal Infirmary. Dia mewarisi penyakit itu daripada ibunya dan keadaan tersebut menyebabkan wanita berkenaan tidak berupaya untuk menjaganya.
"Saya tidak sampai hati melihat kanak-kanak tersebut terus tinggal di hospital tanpa jagaan yang sempurna daripada sebuah keluarga," jelasnya.
Menurut ibu kepada enam anak itu lagi, suaminya, Alan, 43, yang bekerja sebagai jurutera awam juga mengalu-alukan kehadiran Joshua dalam keluarga mereka.
Ruane yang berpengalaman selama 32 tahun sebagai jururawat pediatrik itu turut berusaha mendapatkan bantuan daripada pakar.

Susulan daripada itu, Joshua bakal menyertai program klinikal pertama di Universiti Utah yang bertujuan untuk menghasilkan ubat baharu untuk kanak-kanak senasib dengannya.

"Saya berharap dia akan sembuh pada satu hari nanti untuk membolehkannya menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain," katanya. - DailyMail

Aksi ustaz terlampau

Kota Kendari, Sulawesi Tenggara: Tindakan seorang ustaz berkhutbah secara melampau - sehingga memanjat mimbar - mengundang kritikan ramai, termasuk di media sosial.
Aksi Nur Maulana yang terkenal dengan gimik “jemaah, oh jemaah” itu dianggap keterlaluan dan tidak sesuai dengan situasi semasa.
Melalui gambar yang disebar di media sosial, Nur Maulana dilihat sedang berceramah di Masjid Agung Khairah Ummah di Kolaka.
Berdasarkan keterangan pada gambar, kejadian berlaku pada 26 Februari lalu.
Seorang pengguna Facebook yang memuat naik gambar Nur Maulana berkata, ketika itu ustaz terbabit menyeru pendengar supaya beristighfar.
Namun pengguna lain dikenali dengan nama Yayuk Hannan memberi komen di bawah gambar itu: “Ya Tuhan, ini terlalu berlebihan dan seolah-olah ahli sarkas.”
Siti Fatimah pula menulis: “Tiada lain kehidupan di dunia ini melainkan kesenangan yang menipu. Semoga Tuhan memberikan petunjuk dan taufik hidayah kepada ustaz, serta menghilangkan segala keburukannya. Semoga ustaz kembali ke jalan lurus dan diredai.”
Nur Maulana, 40, adalah pendakwah kelahiran Makassar yang disenangi ramai kerana sering menggunakan bahasa biasa ketika berceramah.
Dia mendapat pendudukan di Pondok Pesantren an-Nahdah di Makassar pada 1994.
Selain berceramah, dia juga mengajar di sebuah sekolah rendah Islam di situ.
Sementara itu, seorang ustaz pula menegur Nur Maulana secara sindiran.
Abduh Zulfidar Akaha berkata, aksi itu sangat bahaya dan berharap tiada mana-mana pihak menirunya.
“Itu aksi khusus untuk pelaku lagak ngeri profesional,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 7:21 AM


AKSI luar biasa Nur Maulana berceramah sehingga memanjat tangga mimbar masjid.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/34247#sthash.SxOkFVpU.dpuf

Korea Utara beri amaran


TENTERA Korea Selatan kelihatan bersama kenderaan perisai ketika menyertai latihan ketenteraan di Paju kelmarin.


SEOUL – Korea Utara menembak dua peluru berpandu ke laut semalam dan berikrar tindak balas ‘tanpa belas kasihan’ selepas Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan memulakan latihan ketenteraan yang dilihat Pyongyang sebagai satu konfrontasi melulu.
Latihan tahunan itu sering menyebabkan ke­tegangan ketenteraan dan retorik peperangan di semenanjung ini, manakala penganalisis melihat ujian peluru berpandu Pyongyang itu sebagai permulaan kempen ‘bunyi pe­dang’.
Penganalisis Institut Penyatuan Kebangsaan Korea di sini, Jeung Young-Tae menjelaskan jika ketegangan meningkat dengan mendadak, Pyongyang mungkin akan mendalangi satu bentuk pertembungan di sempadan maritim.
Ketegangan dilihat semakin meningkat selepas laman web kerajaan Korea Utara, Uriminzokkiri semalam mengeluarkan amaran bertindak balas keras jika aktivis Korea Selatan menyebarkan risalah anti-Pyongyang menggunakan belon untuk menyeberangi sempadan.
“Tindak balas mungkin bukan menggunakan beberapa das tembakan sahaja tetapi menggunakan bedilan peluru berpandu,” jelas laman web tersebut.
Kementerian Pertahanan Korea Selatan berkata, dua peluru berpandu itu ditembak dari pelabuhan barat bandar Nampo dan jatuh ke laut di pantai timur pada jarak kira-kira 500 kilometer.
Ujian peluru berpandu menjadi kaedah pilihan Korea Utara untuk menunjukkan kemarahan atau rasa tidak puas hati terhadap tindakan Korea Selatan dan sekutu-sekutunya.
Seoul dan Washington menegaskan latihan tersebut cuma untuk mempertahankan diri tetapi kerap dikecam Pyongyang sebagai latihan provokasi untuk menceroboh wilayahnya.
Pyongyang juga pernah mengancam sera­ngan, termasuk serangan nuklear ke atas AS sebelum ini tetapi negara itu tidak pernah menampilkan kemampuan melancarkan sebuah peluru berpandu yang mampu mencecah sempadan AS.
Januari lalu, Pyongyang pernah menawarkan untuk menghentikan ujian nuklearnya jika latihan ketenteraan bersama AS dan Korea Selatan dibatalkan tahun ini tetapi ditolak Washington yang ‘mencabar’ Korea Utara agar meneruskan ujian nuklear buat kali keempat. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0303&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3TH1IpBJM 
Hakcipta terpelihara 

Ribuan sertai perarakan bantah pembunuhan Nemtsov



LAUTAN manusia memenuhi jalan di sekitar tengah Moscow kelmarin dalam satu tunjuk perasaan bagi mengutuk pembunuhan pemimpin pembangkang, Nemtsov.


MOSCOW – Berpuluh-puluh ribu orang memenuhi tengah Moscow kelmarin bagi mengingati kematian pemimpin pembangkang, Boris Nemtsov yang ditembak mati berhampiran Kremlin dalam satu pembunuhan berprofil tinggi di bawah pemerintahan Presiden Vladimir Putin.
Lautan manusia dengan wajah suram memegang bendera Rusia dan potret Nemtsov berarak dalam keadaan hujan renyai-renyai dari arah jambatan menghala ke Moskva iaitu lokasi pemimpin pembangkang berusia 55 tahun itu ditembak pada Jumaat lalu.
Dalam perhimpunan terbesar pernah disertai penyokong pembangkang negara itu sejak perhimpunan anti-Kremlin pada tahun 2011 dan 2012, mereka turut mengutuk pendirian Moscow terhadap Ukraine.
Sementara itu, kira-kira 6,000 orang hadir di Saint Petersburg untuk menyuarakan sokongan terhadap Nemtsov kerana memperjuangkan kepentingan rakyat Ukraine.
“Saya membawa bendera Ukraine kerana beliau (Nemstov) berjuang supaya peperangan di negara itu dihentikan serta-merta tetapi mereka membunuhnya disebabkan perjuangannya itu,” kata seorang penyokong, Vsevolod Nelayev.
Pada masa sama, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry menggesa Rusia supaya menjalankan siasatan yang adil dan menyeluruh untuk menangkap bukan sahaja pembunuh tetapi juga individu yang menjadi dalang dalam insiden ini.
Beberapa jam sebelum insiden pembunuhan itu berlaku, Nemstov melalui radio menyeru penyokongnya supaya menyertai perhimpunan di Moscow bersamanya pada Ahad lalu untuk protes mengenai peperangan di Ukraine dan kepimpinan Putin. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0303&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3TH0F6ULC 
Hakcipta terpelihara 

Bayi 10 bulan mempunyai berat badan 19 kilogram


Aliya (kanan) bersama seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun
Aliya (kanan) bersama seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun di kampungnya. – AGENSI
NEW DELHI 2 Mac – Seorang bayi perempuan berusia 10 bulan di India dilaporkan mempunyai berat badan sehingga 19 kilogram, menjadikannya satu-satunya kanak-kanak terberat di dunia sebaya umurnya.
Aliya Saleem dari negeri Jharkhand dilahirkan dengan berat 4 kilogram sebelum berat badannya naik mendadak ketika dia berumur empat bulan dan beratnya kini, menyamai berat purata seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun.
Keadaan Aliya membuatkan ibu bapanya bimbang akan kesihatannya selepas seorang daripada anak mereka meninggal dunia pada usia setahun setengah selepas mengalami simptom sama yang dialami Aliya.
Ibu kepada bayi perempuan itu, Shabana Parveen, 25, berkata, beberapa bulan selepas Aliya dilahirkan, berat badannya mula bertambah selepas makan tiga kali ganda melebihi apa yang sepatutnya dimakan oleh kanak-kanak yang sama baya dengannya.
“Kami terpaksa membelikan sepasang baju baharu setiap dua minggu untuk Aliya selepas baju yang lama sudah tidak lagi muat untuknya,’’ kata Shabana sebagaimana dilaporkan Mail Online.
Berat Aliya mengakibatkan nyawanya kini dalam bahaya, apatah lagi keluarganya kekurangan wang untuk membiayai kos perubatannya.
Bagaimanapun di sebalik faktor fizikalnya itu, Aliya merupakan antara bayi kesayangan di kampungnya.
“Setiap penduduk kampung menyayanginya. Kanak-kanak juga datang dan mahu bermain dengannya. Namun hanya segelintir sahaja yang mampu mengangkatnya,’’ katanya.
Sementara itu, Ketua Pediatrik Hospital Fortis di sini, Dr. Krishan Chugh berkata, Aliya adalah bayi paling berat pada usia 10 bulan yang pernah dilihatnya dan dipercayai mengalamai berat badan berlebihan atau ketidakseimbangan hormon.
“Namun, kami perlu melakukan beberapa pemeriksaan ke atasnya sebelum mengesahkan apakah penyakit yang dihidapinya dan memberi rawatan kepadanya,’’ katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/bayi-10-bulan-mempunyai-berat-badan-19-kilogram-1.65511#sthash.LjaUsV6F.dpuf