Thursday, July 17, 2014

Suka sebarkan keburukan orang di media sosial dianggap 'sakit jiwa'


KUALA LUMPUR 17 Julai - Mereka yang suka melakukan 'troll' atau mengeluarkan kenyataan bernada menyindir dengan tujuan provokasi dan menyebarkan keburukan orang lain menerusi media sosial, merupakan golongan 'sakit jiwa.'
Pakar motivasi, Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah berkata, golongan ini boleh dikenali menerusi empat ciri dengan yang pertama orang yang 'sakit dari segi rohani.'
"Jiwa atau rohani mereka tidak sihat. Orang yang sakit dari segi jiwa memang tidak mempunyai perasaan malu atau rasa bersalah untuk menyebarkan keburukan orang lain walaupun dengan niat berjenaka," katanya kepada Bernama di sini.
Beliau berkata, ciri kedua ialah jahil agama kerana secara jelas agama menghalang mana-mana pihak menyampai atau menghebah keburukan orang lain.
Yang ketiga, katanya, mungkin dipengaruhi oleh rakan-rakan atau persekitaran.
"Kalau semua geng dia kongsi atau sampaikan keburukan, keaiban dan perkara yang negatif maka dia akan terbawa-bawa sifat itu serta melakukan perbuatan yang sama.
"Yang keempat ialah orang yang sewenang-wenangnya menyampaikan sesuatu perkara tanpa mengetahui kesahihan dan kebenaran keseluruhan cerita itu. Ini akan menjurus kepada perlakuan memfitnah dan mengumpat serta sangat berbahaya," katanya.
Menurut Mohd. Fadzilah, pelaku 'troll' sebenarnya terlupa perbuatan mereka itu adalah suatu sabotaj terhadap diri sendiri.
Orang terlepas pandang apabila mereka memberi komen bersifat negatif terhadap sesuatu isu, secara tidak langsung akan mencerminkan sifat peribadi pelaku 'troll' dan menjatuhkan maruah diri mereka sendiri, katanya.
"Apabila mereka menyampaikan keaiban orang lain dalam media sosial, dosa pelaku kesalahan itu mungkin terhenti setakat itu namun dosa orang yang menyebarkan cerita tersebut akan berterusan selagi isu itu masih dibincangkan," katanya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140717/dn_39/Suka-sebarkan-keburukan-orang-di-media-sosial-dianggap-sakit-jiwa#ixzz37jz6Tjng
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tanpa kuasa politik Muslim jadi mangsa


ASLANI M | .
PASIR MAS: Tanpa ada kuasa politik umat Islam dianggap belum mampu untuk membela nasib penganutnya sehingga sering menjadi mangsa kezaliman pihak lain.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, Islam tidak boleh tegak dalam sesebuah negara tanpa memiliki kuasa politik yang kuat.

“Tanpa ada kekuatan kuasa politik kita tidak mampu untuk membela nasib penduduk Islam seperti mana yang berlaku di Palestin sekarang.

“Setiap kali Ramadan penduduk Islam di Gaza dan daerah lain di Palestin menjadi mangsa kerangkusan tentera Israel,” katanya pada ceramah Ghazratul Badar Qubra di Masjid Kampung Kasa di sini malam tadi.

Hadir sama pada program anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Seranta, Datuk Nassurudin Daud, anggota-anggota Exco dan wakil-wakil rakyat.

Turut hadir warga Palestin, Syeikh Mahmod al Ghazin, kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat PhD di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Program tersebut diadakan sempena Nurul al Quran. Pada sebelah petang diadakan tadarus perdana yang turut dihadiri Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Orang ramai berbuka puasa dengan Menteri Besar dan anggota Exco dengan juadah ala kadar disediakan jawatankuasa Masjid Kasa dan PAS Pasir Mas.

Lebih 100 hidang disediakan. Masjid Kasa setinggi tiga tingkat dibina hasil sumbangan orang ramai dianggap terbesar di Kelantan, membabitkan kos kira-kira RM3 juta.

Mohd Amar juga berkata, kehidupan umat Islam masih belum terbela biar pun memiliki kuasa politik sekiranya al Quran tidak dijadikan sebagai panduan.

“Tuan puan tentunya masih ingat ribuan penduduk Islam dibunuh dengan kejam di Sabra dan Shatila kerana umat Islam tidak mempunyai kuasa politik,” ujarnya.

Penyembelihan orang Islam di Sabra dan Shatila dilakukan Nasrani Lubnan berlaku pada September 1982, di Beirut di kawasan yang berada di bawah kawalan Israel.

Oleh itu kata Mohd Amar menegak negara Islam adalah wajib bagi setiap Muslim bagi memastikan nasib mereka lebih terbela. -HARAKAHDAILY16/7/2014

Harga ujian memandu naik hingga 30 peratus





KUALA LUMPUR - Persekutuan Persatuan Institut dan Sekolah Memandu Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) secara dasarnya telah bersetuju dengan cadangan harga baharu bagi ujian lesen memandu kereta (Kelas D) dan motosikal (Kelas B2) dengan kenaikan antara 20 hingga 30 peratus.
Presidennya, Harun Shafiee bagaimanapun berkata, kadar baharu tersebut masih dalam perbincangan dan menunggu kelulusan daripada kerajaan.
"Kadar baharu itu dipersetujui setelah perbincangan dilakukan antara pihak JPJ dengan wakil pengusaha-pengusaha institut memandu," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0717&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz37fx9qlgX 
Hakcipta terpelihara