Sunday, August 1, 2010

Penghuni 'reban ayam' dapat rumah PPRT





DALI Husin menyampaikan kunci rumah PPRT kepada Yusuf Wahab (dua dari kiri) pada Program Juara Rakyat, Ekonomi dan Keusahawanan Parlimen Pangkalan Chepa di Kampung Tanjung Baru, Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 31 Julai - Penghuni 'reban ayam', Yusuf Wahab, 35, antara empat keluarga miskin dari mukim Jaya Setia dalam Parlimen Pengkalan Chepa yang menerima bantuan bernilai RM132,000 daripada RISDA di sini hari ini.
Melalui sumbangan tersebut, setiap keluarga mendapat peruntukan membina rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bernilai RM33,000.
Kedaifan Yusuf yang tinggal bersama isteri, Butima Jalim, 36, dan tiga anaknya di bawah rumah yang sudah reput mendapat perhatian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang melawat mereka awal bulan ini.
Sumbangan disampaikan Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Dali Husin dalam Program Juara Rakyat, Ekonomi dan Keusahawanan Parlimen Pengkalan Chepa di Jaya Setia di sini hari ini.
Program bulanan anjuran UMNO bahagian tersebut turut dihadiri Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Kewangan Kedua, Shamsul Zairul Kamaruddin; Ketua Wanita UMNO bahagian itu, Zarina Md. Eusope dan hampir 1,000 penduduk dari lima kampung berhampiran.
Dali turut menyerahkan sumbangan kepada tiga keluarga mangsa kebakaran yang mendapat sumbangan RM3,000 setiap orang daripada Jabatan Pembangunan Persekutuan negeri.
Selain itu, 11 orang menerima cek pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) berjumlah antara RM3,000 dan RM15,000 setiap seorang.
Beliau yang ditemui selepas majlis itu berkata, lebih 100 keluarga di bahagian tersebut memohon bantuan di bawah PPRT dan nama mereka telah disenaraikan di dalam e-Kasih bagi melayakkan permohonan diproses.
"Bantuan diberikan mengikut keperluan keluarga yang paling mendesak dan secara berperingkat-peringkat mengikut peruntukan sedia ada.
"Keluarga Yusuf yang tidak mempunyai rumah didahulukan dan sebelum hari raya ini rumah baru mereka dijangka siap untuk diduduki," katanya.

UMNO tidak lemah benarkan guru berpolitik



BACHOK 31 Julai - Langkah kerajaan membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah gred DG41 hingga DG48 berkecimpung dalam politik tidak mencerminkan UMNO khususnya di Kelantan lemah.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Awang Adek Hussin (gambar) berkata, langkah yang diputuskan itu bagi meningkatkan daya kepimpinan di peringkat akar umbi.
Menurutnya, penyertaan guru dalam politik akan menguntungkan negara dan perlu dilihat dari aspek yang positif iaitu pembabitan lebih ramai cerdik pandai yang memiliki banyak idea baru.
"Lazimnya, guru memikul tanggungjawab memimpin dengan penuh keikhlasan sebagaimana tanggungjawab mendidik anak bangsa yang dipikul mereka di sekolah.
"Malah, guru sangat dihormati dalam masyarakat dan ada jati diri untuk menerapkan prinsip patriotisme dalam perjuangan," katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan kursus kecemerlangan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Villa Daniala di sini, hari ini.
Lebih 300 pelajar dari sekolah-sekolah menengah di daerah ini menyertai program sehari yang turut dihadiri oleh Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan mengulas dakwaan sesetengah pihak terutama parti pembangkang bahawa kerajaan Pusat terpaksa membenarkan guru menyertai politik disebabkan UMNO negeri ini kini semakin lemah.
Awang Adek berkata, UMNO negeri semakin kukuh berasaskan perkembangan semasa terutama kegagalan kerajaan negeri di bawah pimpinan Pas membangunkan Kelantan walaupun diberi peluang memerintah sejak lebih 20 tahun.

Ketua Pesuruhjaya SPRM sedia letak jawatan jika aduan tidak disiasat



KUALA LUMPUR 31 Julai - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata beliau akan meletakkan jawatan jika mana-mana aduan kepada suruhanjaya itu termasuk terhadap menteri Kabinet tidak disiasat.
"Jika tidak ada siasatan dijalankan mengenai mana-mana laporan, walaupun terhadap menteri Kabinet, saya sedia meletak jawatan," katanya semasa sesi soal jawab pada hari terakhir Persidangan Undang-Undang Malaysia selama tiga hari di sini hari ini.
Katanya beliau bersedia menerima aduan terus daripada orang ramai atau melalui Jawatankuasa Aduan SPRM yang diketuai oleh bekas seorang hakim.
Terdapat 119 aduan diterima oleh jawatankuasa itu pada tahun lepas sahaja, kata beliau.
"Kita tidak akan menyembunyikan apa-apa. Jika kita salah, kita salah, atau jika kita tidak bagus bagi tugas tersebut, kita akan bekerja keras untuk memperbaiki diri kita," kata Abu Kassim yang dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Januari tahun ini.
Beliau berkata sejak SPRM ditubuhkan pada Januari tahun lepas, kira-kira 10,000 orang telah ditangkap, antara mereka menteri, anggota Parlimen dan pegawai kanan kerajaan, tanpa mengira pendirian politiknya.
SPRM juga terbabit dalam menangani kes politik wang dalam UMNO, di mana 12 anggota parti itu didakwa, katanya.
"Tindakan SPRM telah mengakibatkan satu demonstrasi yang ditaja oleh Pemuda UMNO yang mendakwa bahawa kita tidak berhak menyiasat politik wang parti itu," kata Abu Kassim di hadapan kira-kira 300 peguam pada persidangan tersebut.
Beliau berkata salah satu cabaran utama yang dihadapi SPRM kini ialah mengubah persepsi masyarakat terhadap suruhanjaya itu bahawa ia hanya menyiasat"ikan bilis dan bukan yang besar". "Pada amnya, kita hanya sebuah agensi penyiasat dan tidak ada kuasa untuk mendakwa terhadap suspek terbabit dalam amalan rasuah," tegas Abu Kassim.
Katanya harapan orang ramai terhadap suruhanjaya itu kian meningkat, dan beliau bekerja keras dengan pegawainya dalam memperbaiki persepsi orang ramai kepada SPRM.
Terdahulu dalam ucapannya, Abu Kassim berkata selain persepsi daripada orang ramai, SPRM menghadapi cabaran daripada media yang melaporkan sebarang pergerakan suruhanjaya tersebut. "Ia hampir seperti siaran langsung, di mana orang ramai mula menanyakan siapa pula akan ditangkap oleh SPRM; di mana ia sangat telus...yang mendesak pada keadilan kepada semua yang sedang disiasat oleh kita," kata beliau. Beliau juga berkata bahawa rasuah merupakan satu jenayah yang paling sukar untuk dibuktikan, di mana kadang-kadang ia membabitkan siasatan terhadap kawan atau saudara suspek.
Abu Kassim juga berkongsi pengalaman dalam mengendalikan aktiviti perlombongan pasir haram di Perak, Selangor, Johor dan Pahang, dengan mengatakan bahawa beliau secara peribadi memberikan taklimat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai seriusnya masalah itu dan sambil menambah bahawa 49 orang telah ditangkap mengenai kes ini.
Ditanya pemberita kemudian sama ada beliau akan memohon agar SPRM diberikan kuasa untuk mendakwa, Abu Kassim berkata beliau tidak mengadu mengenai perkara itu. "Lebih baik saya tidak mengulas perkara ini. Saya hanya mahu orang ramai memahami tugas kita untuk membuat siasatan, dan itu sahaja," kata beliau. - BERNAMA

Tindakan terhadap PKFZ atas arahan Tee Keat



KUALA LUMPUR 31 Julai - Siasatan berhubung skandal penyelewengan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) telah dimulakan atas arahan Datuk Seri Ong Tee Keat semasa beliau memegang jawatan Menteri Pengangkutan.
Tee Keat yang juga bekas Presiden MCA ketika menjelaskan perkara itu berkata, beliau turut melantik panel bebas iaitu Price Waterhouse Coopers Advisory Services Sdn. Bhd. (PwC) untuk menyiasat perkara tersebut demi menjaga kepentingan pembayar cukai dan orang ramai.
"Semasa saya menjadi Menteri Pengangkutan, penyiasatan yang dibuat adalah atas arahan saya dan pelantikan Price Waterhouse dibuat secara bebas.
"Kita tidak pandang kepada latar belakang politik, tak pandang apa sekali pun. Yang penting saya kata penyiasatan kena bebas," katanya.
Tee Keat ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada warga emas ahli-ahli Persatuan Bekas Polis cawangan Ampang di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kes pendakwaan ke atas bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik yang dituduh menipu kerajaan Malaysia dengan memperdaya Jemaah Menteri untuk memberi persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah untuk projek Mega Distribution Hub di Pelabuhan Klang.
Tee Keat menegaskan, semua hasil siasatan oleh badan yang dilantik dan panel yang ditubuhkan oleh beliau untuk menyiasat skandal PKFZ pada tahun lalu telah pun diserahkan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Saya hanya menjalankan tugas dan sebarang tanggungjawab terhadap penyiasatan dan dakwaan bukan di bawah bidang kuasa saya.
"Lagipun saya bukan lagi menteri. Tanyalah menteri sekarang kerana beliau lebih sesuai untuk menjawabnya," katanya.
Hasil siasatan berhubung projek PKFZ telah didedahkan kepada orang ramai melalui laporan PwC pada 28 Mei lalu.
Tee Keat juga enggan mengulas ketika ditanya sama ada beliau tahu mengenai khabar angin mengatakan ada lagi individu yang akan diheret ke mahkamah berhubung skandal tersebut.
Selain Liong Sik, empat individu lain termasuk bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Datin Paduka Oi Choo Phang telah didakwa melakukan pecah amanah dan menipu dengan membuat tuntutan palsu akhir tahun lepas.
Dalam pada itu, Tee Keat yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, pihaknya kini sedang mencari mekanisme terbaik menyelesaikan masalah berkaitan isu bil air tertunggak di kawasan perumahan rumah pangsa kos rendah dan kos sederhana rendah di sekitar Lembah Klang.
Menurutnya, beliau sudah mengadakan rundingan dengan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) sejak minggu lalu untuk menyelesaikan masalah tersebut.
"Ini termasuk usaha menukar meter pukal kepada meter individu selain mengubah kadar bayaran bil komersial yang terpaksa ditanggung oleh penghuni dan pemilik rumah.
"Saya sedang berusaha menyelesaikan masalah-masalah ini dan mungkin dalam minggu depan kita akan menerima satu berita baik," katanya.
Tee Keat berkata, antara kawasan perumahan yang teruk menghadapi masalah berhubung tunggakan air sehingga ada yang terpaksa dipotong bekalannya ialah di Lembah Maju dekat sini.

Cadangan mahasiswa berpolitik tidak wajar - Khaled



JOHOR BAHRU 31 Julai - Cadangan Pemuda UMNO supaya kerajaan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bagi membolehkan golongan mahasiswa aktif berpolitik adalah langkah yang kurang wajar.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, walaupun saranan itu bersyarat iaitu pensyarah perlu menumpukan kepada pengajaran manakala pelajar memberi perhatian terhadap pelajaran namun pelbagai masalah akan timbul.
Katanya, jika warga universiti dibenarkan berpolitik, proses mempengaruhi akan berlaku termasuk pensyarah berjawatan politik berusaha agar pemikiran dan pendiriannya menjadi ikutan dan disokong oleh semua pihak.
Beliau mempersoalkan apakah akan terjadi kepada universiti yang merupakan institusi tamadun sesebuah negara apabila warganya lebih sibuk kepada soal politik.
"Kalau kita hendak benarkan pelajar berpolitik dalam universiti, pensyarah pun hendak berpolitik juga.
"Kalau kita benarkan kedua-duanya berpolitik, bayangkan kalau pelajar itu orang UMNO dan pensyarahnya daripada Pas, apabila tidak lulus dia akan salahkan pensyarah," katanya.
Beliau ditemui selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Golf Amal Mayang di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled menyarankan Pemuda UMNO supaya mengemukakan cadangan yang sama kepada Majlis Tertinggi (MT).
"Kalau MT buat keputusan, saya sebagai ahli UMNO akan patuh tanpa banyak soal. Jangan berkokok di luar, bawa dalam mesyuarat MT dan tengok apa keputusannya," katanya.

Nik Aziz setuju guru berpolitik



KOTA BHARU 31 Julai - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju dengan keputusan kerajaan Pusat untuk membenarkan guru bergiat aktif dalam politik.
Beliau bagaimanapun berkata, keputusan itu sepatutnya dibuat sejak dahulu lagi kerana mereka yang terlibat dalam sektor pendidikan adalah golongan yang berilmu yang harus diberi kebebasan untuk berpolitik.
Dalam masa sama katanya, tidak timbul soal aktif berpolitik akan mengganggu tugas hakiki untuk mendidik anak bangsa kerana ia bergantung kepada kebijaksanaan golongan tersebut untuk membahagikan masa.
"Itu atas dia, saya orang politik tak mengganggu apa. Saya mengajar tanpa berhenti sejak dari hari pertama balik ke Malaysia pada 1962 (selepas tamat pengajian di Mesir) sampailah pagi ini.
"Mana boleh seorang cikgu yang ada ilmu kita tidak benar berpolitik. Ini kerja salah, kerja orang amal ilmu salah. Sepatutnya sejak awal lagi dibenarkan kerana cikgu ini orang reti (berilmu), jadi macam mana orang yang reti kita tak benar politik, ini satu kerja salah UMNO, kenapa dia sekat cikgu, sekat tok guru, adakah kerana takut orang tahu keburukan dia?
"Sepatutnya awal-awal lagi akta ini tidak ada atas dunia, kerana politik ini menyentuh segala benda, menyentuh akidah, ibadah, ekonomi, rumahtangga, ini satu benda pelik UMNO buat," katanya kepada pemberita selepas kuliah pagi Jumaat di perkarangan Pejabat Badan Perhubungan Pas negeri Kelantan di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman kerajaan baru-baru ini mengenai pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang membenarkan Pegawai Pendidikan Perkhidmatan Siswazah Gred DG41 hingga DG48 melibatkan diri dalam politik mulai 1 Ogos ini.

Pemimpin MCA ditemui mati



Oleh Mohd Idris Sulaiman
bhperak@bharian.com.my
2010/08/01

Lim Ting Teng
Lim Ting Teng
Mayat mangsa dibuang dalam telaga berhampiran ladang ayam 

MANJUNG: Misteri kehilangan seorang pemimpin MCA yang baru empat hari bergelar Ahli Majlis Perbandaran Manjung (MPM) terjawab apabila mayatnya ditemui dalam telaga berhampiran ladang ternakan ayam dalam kawasan kebun kelapa sawit miliknya di Changkat Keruing, Ayer Tawar, dekat sini, awal pagi semalam.
Mayat Lim Ting Teng, 49, dengan kesan tompokan darah itu ditemui rakannya kira-kira jam 7.30 pagi yang melancarkan gerakan mencari mangsa dengan dibantu penduduk kampung selepas semalaman dia hilang dan tidak pulang ke rumah.
Seorang rakan mangsa yang enggan namanya disiarkan, berkata gerakan mencari Ketua Cawangan MCA Keruing yang juga seorang ahli perniagaan itu bermula jam 6 pagi di sekitar kebun kelapa sawit mangsa selepas dia kali terakhir dilihat berada di kawasan itu. 

“Kira-kira jam 7.30 pagi, kami menemui sebelah kasut dipercayai milik mangsa berada kira-kira 20 meter dari telaga di ladang ternakan ayam berkenaan dan tidak lama kemudian, anak mangsa tiba-tiba menjerit apabila melihat sebelah kaki manusia terjuntai dari dalam telaga sedalam kira-kira lima meter itu. 

“Selepas diperiksa, kami mendapati ia adalah kaki manusia dan usaha mengeluarkan mangsa terus dilakukan. Selepas berjaya dibawa naik, kami mendapati ia adalah mayat mangsa dengan terdapat kesan luka di kepalanya. 

“Kami kemudian membuat laporan polis mengenai penemuan mayat mangsa itu bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan bagi mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya. 
Sementara itu Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung penemuan satu mayat lelaki berusia lingkungan 40-an kira-kira jam 8 pagi. 

“Isteri mangsa membuat laporan polis mengenai kehilangannya kira-kira jam 4 pagi dan satu pasukan mencari ditubuhkan. Bagaimanapun kira-kira jam 8 pagi, kami menerima laporan mayatnya ditemui dalam telaga. 

“Siasatan awal polis mendapati kejadian dipercayai berlaku antara jam 4 hingga 8 pagi. Hasil pemeriksaan di kawasan kejadian polis menemui sedikit kesan tompokan darah berhampiran pondok di ladang ternakan ayam. 

“Polis juga mendapati dua warga Myanmar yang bekerja di ladang kelapa sawit mangsa menghilangkan diri. Selain itu, kereta mangsa juga didapati hilang,” katanya. 

Polis mengklasifikasikan kes ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati,” katanya.

Bayi nyaris dimakan anjing liar



Oleh Mohamad Danial Mohd Saad
bhnews@bharian.com.my 
2010/08/01

SHAFIEN (kanan) berkata sesuatu kepada jururawat di Hospital Sungai Bakap mengenai keadaan bayi perempuan yang ditemui di depan sebuah kedai di Taman Cegar, semalam.
SHAFIEN (kanan) berkata sesuatu kepada jururawat di Hospital Sungai Bakap mengenai keadaan bayi perempuan yang ditemui di depan sebuah kedai di Taman Cegar, semalam.
Pemilik kedai terkejut temui budak perempuan kesejukan dalam balutan kertas

NIBONG TEBAL: Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat hampir menjadi habuan sekumpulan anjing apabila ditinggalkan di depan sebuah kedai di Taman Cegar, Simpang Ampat di sini, pagi semalam.
“Kasihan... ketika saya jumpa, bayi ini menangis dan menggigil kesejukan walaupun dibalut kain dan kertas.
“Saya sangkakan bunyi anjing tetapi apabila memeriksa bungkusan itu, saya dapati seorang bayi. Nasib baik saya jumpa lebih awal, kalau tidak mungkin dimakan anjing yang sering berkeliaran,” kata pemilik kedai itu, Ng Song Huat.

Bayi yang cukup sifat seberat 2.58 kilogram itu, ditemui kira-kira jam 7.56 pagi dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk pemeriksaan lanjut.

Ng ketika ditemui berkata, dia terkejut apabila melihat satu bungkusan di depan kedainya sebaik membuka premis itu untuk pergi membeli barangan dapur.

Dia yang pada awalnya menyangkakan bunyi anjing dalam bungkusan yang dimasukkan ke dalam plastik, terkejut apabila mendapati seorang bayi menangis dan menggigil kesejukan. 
Berikutan itu, dia memanggil isterinya untuk memberi bantuan. Pasangan itu kemudian menghubungi polis sebelum membawa bayi itu ke hospital.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan, Superintendan Shafien Mamat, berkata bayi berkenaan dipercayai dilahirkan di tempat lain sebelum dibersihkan dan ditinggalkan di kaki lima itu.

Katanya, pihaknya sedang menyiasat untuk mengesan ibu bayi berkenaan dan setakat ini belum dapat mengenal pasti keturunan bayi itu.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu dan mana-mana klinik serta hospital yang merawat wanita baru bersalin dalam keadaan mencurigakan, diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Pelajar terbabit kumpulan gengster





KUALA LUMPUR 31 Julai - Majlis Permuafakatan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menyarankan pelaksanaan program pemutihan ke atas para pelajar sekolah yang terlibat dalam kegiatan kumpulan gengster supaya masalah itu dapat dibanteras sepenuhnya.
Presiden PIBGN, Profesor Madya Datuk Mohd. Ali Hassan berkata, program itu boleh dilaksanakan kerana ketika ini pihak polis sudah mempunyai maklumat dan mengenal pasti sekolah-sekolah yang pelajarnya terlibat dalam kegiatan tersebut.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat tersebut, program pemutihan yang meliputi kaunseling, kelas bimbingan, kursus bina diri dan pelbagai aktiviti positif boleh diadakan bagi memulihkan para pelajar berkenaan.
"Program pemutihan ini bertujuan mengembalikan jati diri pelajar terbabit agar menjadi manusia berguna kepada keluarga dan negara di masa hadapan.
"Malah pihak masjid dan surau juga boleh membantu menyediakan program agama kepada pelajar terutamanya pada waktu lepas sekolah supaya mereka tidak membuang masa sehingga terjebak dalam gejala sosial," katanya kepada ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai trend peningkatan pelajar yang menjadi mangsa keganasan kumpulan gengster.
Muhyiddin berkata, peningkatan itu mengganggu proses pembelajaran serta mendatangkan ancaman kepada keselamatan pelajar apabila kumpulan gengster berkenaan cuba merekrut ahli baru di kalangan pelajar.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, semua pihak termasuk ibu bapa, pihak sekolah dan polis perlu bekerjasama secara berterusan dalam memantau kegiatan kumpulan gengster di sekolah.
Katanya, pihak sekolah wajar bekerjasama secara aktif dengan pihak polis seperti mengadakan ceramah berkaitan salah laku jenayah sebanyak dua kali sebulan bagi memastikan pelajar yang terlibat dalam kumpulan gengster merasakan sentiasa dipantau dan diperhatikan oleh pihak polis.
"Ibu bapa juga perlu memantau kegiatan anak mereka terutamanya selepas waktu sekolah sama ada mereka terlibat dengan aktiviti sekolah atau kegiatan jenayah.
"Sekiranya mereka pergi ke kelas tuisyen, hubungi pengajar mereka sekurang-kurangnya dua kali seminggu untuk memastikan kehadiran anak mereka,'' katanya.
Dalam pada itu, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan ahli masyarakat perlu melaksanakan program pendidikan dan penerapan budaya antijenayah secara berterusan.
Beliau berkata, program tersebut merupakan keperluan penting kepada pelajar untuk mencapai keseimbangan pembangunan ekonomi, sosial dan moral negara ketika ini dan pada masa depan.
"Pelajar perlu dididik supaya saling menghormati, patuh kepada undang-undang, yakin pada diri sendiri dan terbuka terhadap perbezaan agama, adat, budaya dan kepercayaan orang lain.
"Semua pihak harus mengambil berat masalah gengster ini walaupun hanya bilangan kecil pelajar yang terlibat dalam kegiatan jenayah ini," katanya.