Showing posts with label RPK. Show all posts
Showing posts with label RPK. Show all posts

Tuesday, November 2, 2010

Perintah pembebasan Raja Petra kekal



PUTRAJAYA 1 Nov. - Perintah pembebasan Raja Petra Kamaruddin daripada tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kekal berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria ketika memutuskan demikian berpuas hati bahawa rayuan tersebut kini bersifat akademik kerana perintah tahanan dua tahun itu telah tamat.
Perintah yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri di bawah Seksyen 73(1)ISA itu bermula pada 22 September 2008 dan tamat pada 21 September lalu.
Keputusan sebulat suara yang turut dicapai oleh Hakim Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan Hakim Datuk Seri Md. Raus Sharif itu sekali gus mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskannya.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah yang mewakili kerajaan Malaysia berhujah, notis rayuan agar pengendali dan editor laman blog Malaysia Today itu hadir ke mahkamah tidak dapat diserahkan.
Beliau menyatakan, pendirian kerajaan adalah untuk tidak menarik balik rayuan walaupun tempoh tahanan selama dua tahun itu telah tamat.
Tun Abdul Majid menjelaskan, ini kerana rayuan tersebut turut menyentuh beberapa isu perundangan penting antaranya termasuk isu agama di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, beliau berhujah, pihaknya menyedari peruntukan Seksyen 314 Kanun Tatacara Jenayah yang menyebut bahawa Raja Petra perlu berada di sini jika panel hari ini membuat keputusan sebaliknya.
''Berdasarkan atas faktor-faktor tersebut, saya tidak merasakan bahawa kami boleh meneruskannya (walaupun arahan terhadap kami agar rayuan tidak ditarik balik). Saya menyerahkan kepada mahkamah,'' ujar Tun Abdul Majid

Monday, November 1, 2010

HARI INI RPK BEBAS DARI ISA ! ESOK BOLEH KE PRK GALAS?


http://pascawanganbukitsentosa2.blogspot.com


PUTRAJAYA 1 NOV : Pengendali blog Malaysia Today Raja Petra Raja Kamarudin kini bebas selepas Mahkamah Persekutuan pagi ini menolak rayuan Kementerian Dalam Negeri berhubung pembebasan beliau daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri ISA yang diputuskan ekoran permohonan habeas corpus dua tahun lalu.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah dimaklumkan bahawa perintah tahanan ISA selama dua tahun sudah pun tamat.

Kementerian Dalam Negeri merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 November 2008 membebaskan Raja Petra yang ditahan selama dua tahun di bawah ISA.

Awal September lalu,Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah memberitahu tiga panel hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria bahawa pihak pendakwaan masih belum menyerahkan notis rayuan kepada Raja Petra.

Oleh itu ,Arifin yang bersidang bersama hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusof dan Tan Sri James Foong Cheng Yuen membenarkan permohonan pendakwaan untuk menangguhkan rayuan itu kerana mereka masih belum menyerahkan notis rayuan itu kepada Raja Petra.

Apabila ditanya oleh Hashim tentang peluang untuk menyerahkan notis rayuan itu kepada Raja Petra Tun Majid menjawab "Alamat Raja Petra masih tidak diketahui " .

Ketika itu peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Raja Petra memberitahu mahkamah rayuan itu bersifat akademik kerana perintah menteri untuk menahan anak guamnya selama dua tahun telah pun tamat.

"Perkara itu bersifat akademik tetapi tiada apa yang boleh menghalang menteri untuk mengeluarkan perintah baru selepas dua tahun " katanya.

Tun Majid berkata perintah menteri itu akan bersifat akademik selepas 21 September 2010 Pada 7 November 2008 Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan pembebasan Raja Petra daripada ISA selepas memutuskan penahanannya selama dua tahun di Kem Tahanan Kamunting di Taiping Perak adalah tidak sah.

Raja Petra ditangkap pada 12 September 2008 kerana beliau disifatkan sebagai satu ancaman terhadap keselamatan negara dan perintah untuk menahan beliau di bawah ISA dikeluarkan pada 22 September 2008 .

Wednesday, July 7, 2010

Kegagalan bawa pulang Raja Petra cemar kewibawaan polis - Nallakaruppan



KUALA LUMPUR 6 Julai - Kegagalan polis membawa pulang Raja Petra Kamaruddin ke tanah air untuk dihadapkan ke mahkamah boleh menimbulkan kesan yang amat negatif terhadap kemampuan pasukan itu menangani kes melibatkan pengendali portal antikerajaan Malaysia Today itu.
Sehubungan itu, Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Datuk S. Nallakaruppan mahu pihak polis lebih serius dalam menangani kes tersebut termasuk meminta bantuan segera daripada Interpol serta pihak polis di London untuk memberkas Raja Petra.
Beliau berkata, selain memberi impak negatif kepada polis, kes itu jika dibiarkan akan menjadi ikutan kepada penjenayah lain iaitu melarikan diri ke luar negara sebagai jalan mudah untuk mengelakkan diri daripada diberkas.
''Secara peribadi saya bimbang dengan perkembangan kes Raja Petra. Walaupun mempunyai dua waran tangkap, sehingga kini pasukan polis gagal membawa pulang Raja Petra ke tanah air. Mustahil pihak polis tidak mengetahui lokasi Raja Petra.
"Kes ini sebenarnya menarik perhatian rakyat dan sudah tentu rakyat akan membuat penilaian terhadap kewibawaan polis. Jangan biarkan rakyat membuat penilaian tidak adil kepada pasukan polis kita,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas gambar yang memaparkan dua individu dikehendaki oleh pihak berkuasa negara ini iaitu Raja Petra dan P. Balasubramaniam seperti yang disiarkan di muka depanUtusan Malaysia hari ini.
Bersama mereka dalam gambar yang dipetik daripada laman web Malaysia-instinct.com itu ialah tiga individu lain iaitu Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim, peguam Amarjit Singh Sidhu dan seorang individu tidak dikenali.
Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari ketika mengulas gambar tersebut meminta kerajaan mengambil tindakan terhadap pemimpin PKR kerana terbukti parti itu melindungi dan dipercayai menaja Raja Petra dan Balasubramaniam di United Kingdom.
Nallakaruppan yakin pihak polis mampu menyelesaikan kes tersebut dengan baik kerana polis Malaysia merupakan antara pasukan yang terbaik di dunia.
"Polis kita berjaya menyelesaikan banyak kes termasuk yang rumit. Oleh itu saya yakin polis kita mampu membawa pulang Raja Petra supaya dia dapat dihadapkan ke muka pengadilan dengan segera,'' ujarnya.
Ketika ditanya sama ada perlu atau tidak tindakan diambil terhadap pemimpin-pemimpin PKR atas dakwaan melindungi Raja Petra, beliau berkata, tidak adil baginya untuk mengaitkan PKR dalam kes tersebut.
"Tidak adil bagi saya untuk membuat sebarang kesimpulan, namun saya percaya polis mempunyai maklumat mengenainya,'' katanya lagi.
Nallakaruppan mendakwa Anwar mempunyai keupayaan kewangan yang amat besar dan mampu membiayai apa jua kegiatan demi masa depan politiknya.
''Anwar mampu membiayai 1,000 lagi Raja Petra kerana dia mempunyai keupayaan kewangan yang amat besar. Anwar sebenarnya pandai berpura-pura dengan mengatakan yang dia tidak berduit.
''Akibatnya ramai pengikutnya menghabiskan duit kerana terpedaya dengan lakonannya itu,'' katanya lagi.

Siapa taja RPK? Siapa taja Bala?


Anwar berdolak-dalikisu Raja Petra

KUALA LUMPUR 6 Julai - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat cuba berdolak-dalik mengenai dakwaan penglibatan parti itu dalam menaja kehidupan pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin di London.
Ditanya mengenai tuduhan itu, Anwar tidak menjawabnya secara langsung sebaliknya mempersoalkan kredibiliti individu-individu yang membuat dakwaan tersebut seperti bekas Setiausaha Sulitnya, Anuar Shaari.
Seperti mencabar pihak berkuasa, Anwar memperlekehkan keupayaan pihak polis dengan mengatakan beliau sendiri akan berjumpa dengan Raja Petra sekiranya berkesempatan ke London pada masa depan.
"Apa masalahnya, kita (PKR) lindungi (Raja Petra) di mana? Orang yang bercakap ini (Anuar) berapa banyak upah yang dia terima?" soalnya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Semalam, Anuar meminta kerajaan menyiasat kaitan PKR dalam menaja kehidupan Raja Petra yang kini bersembunyi di London ekoran pertemuan beberapa pemimpin parti itu dengan pengendali portal berkenaan baru-baru ini.
Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz pada Sabtu lalu menyatakan kerajaan mempunyai bukti Raja Petra dibiayai oleh PKR.
Anwar menambah, polis sepatutnya menumpukan perhatian kepada usaha membanteras aktiviti jenayah dalam negara.
"Satu Malaysia tahu dia (Raja Petra) di mana, dia muncul di tempat awam di London (selama) berbulan-bulan, polis masih cari," ujarnya.