Friday, August 17, 2012

Nasharudin nafi mahu keluar PAS

pix_gal0Sepang: Ahli Parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa, menegaskan beliau tidak pernah berhasrat untuk meninggalkan PAS atau menyertai UMNO dan mencabar sesiapa yang membuat dakwaan itu mengemukakan bukti.

Katanya, beliau mengaturkan pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dengan ulama di Makkah bersempena dengan mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di sebuah villa bersebelahan dengan Masjidil Haram.



Jemputan khas
“Saya dijemput jemput ke Makkah dengan visa khas selepas Perdana Menteri bersetuju untuk bertemu ulama terbabit.

“Antara lain, mereka membincangkan isu di Syria dan etnik Rohingya di Myanmar. Mereka turut berpesan kepada Perdana Menteri supaya memastikan Malaysia terus mengangkat pegangan ahli Sunnah Wal Jamaah dalam memelihara kesucian Islam.

“Pertemuan ini sedikit pun tidak berbincang mengenai PAS atau UMNO, sebaliknya jauh lebih besar daripada parti, kami membicarakan keadaan semasa ummah,” katanya kepada pemberita sekembali dari Jeddah, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Beliau mengulas kecaman pihak tertentu berikutan tersiar gambarnya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bersama beberapa ulama di Makkah sempena Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Gambar itu juga menjadi punca spekulasi, termasuk dalam kalangan pucuk pimpinan PAS, bahawa bekas Timbalan Presiden PAS itu mungkin meninggalkan partinya.



Umat Islam bersaudara

“Saya anggap semua yang mengucap kalimah syahadah sebagai saudara saya satu iman termasuk pemimpin dan ahli UMNO dan mereka yang bukan Islam sebagai saudara seinsan saya. Perbezaan pandangan politik tidak seharusnya dijadikan sebab untuk kita tidak memikirkan masalah ummah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nasharudin menegaskan beliau kekal dengan pandangan bahawa Pengerusi DAP, Karpal Singh, bukan hanya sekadar anti-hudud tetapi anti-Islam dan menolak undang-undang itu semata-mata kerana ia undang-undang Islam.

“Karpal sudah beberapa kali mengungkapkan bahawa pelaksanaan sistem perundangan Islam ‘perlu langkah mayatnya’ terlebih dulu, maka saya juga sanggup melakukan apa saja untuk pertahankan agama saya.

“Dalam isu hudud yang diserang dan dikecam oleh Karpal ini, masih ramai yang tertunggu-tunggu apa sikap PAS terhadap beliau,” katanya.