Monday, August 22, 2011

Cemburu motif lelaki disimbah asid di Wisma Bumi Raya

KUALA LUMPUR: Polis mengenal pasti unsur cemburu sebagai motif seorang lelaki disimbah asid di Wisma Bumi Raya, Jalan Raja Laut, 8 Ogos lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, berkata perkara itu dirumuskan hasil soal siasat terhadap rakan mangsa yang ditahan Sabtu lalu dan kini direman lima hari sejak semalam.
"Tangkapan membabitkan rakan mangsa yang turut berada di dalam kereta terbabit. Motif dipercayai ada kaitan dengan cemburu dengan kekasih," katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Ops Sikap ke-24 dan Kempen Rumah Selamat, di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, penahanan lelaki berusia 28 tahun yang mengenali mangsa itu dapat membantu pihak polis menyelesaikan kes simbah asid yang berlaku di Jalan Raja Laut terbabit.

Dalam kejadian itu, mangsa Mohd Rafie Abdul Latif, 27, disimbah asid oleh seorang lelaki ketika berada dalam kereta berhampiran tandas awam berdekatan Wisma Bumi Raya di sini.

Lelaki itu dikatakan membuka pintu kereta mangsa dan menyimbah mangsa dengan asid yang menyebabkan kulit muka mangsa melecur, sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta bersama dua lagi lelaki.

Mengulas kejadian simbah asid yang banyak dilapor kebelakangan ini, Khalid berkata, polis memerlukan masa untuk menyelesaikan kes yang tidak mempunyai motif tertentu.
"Dalam lebih 20 kes penyimbahan cecair yang sedikit masa dahulu gemparkan kita...orang macam itu tak betul, ikut suka hati dia nak simbah sesiapa. Itu makan masa sedikit kita nak kenal pasti suspek," katanya.

Sementara itu, Khalid berkata, polis sentiasa mengalu-alukan langkah pihak berkuasa tempatan untuk memasang kamera di di kawasan tertentu bagi mencegah jenayah, contohnya seperti kes simbah asid itu. - BERNAMA bharian

Anwar nafi lakukan seks dengan Mohd Saiful

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menafikan beliau melakukan seks dengan bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

"Saya secara mutlak menafikan dakwaan terhadap saya. Saya ingin menyatakan bahawa dengan sejelas-jelasnya bahawa saya tidak pernah mempunyai hubungan seksual dengan pengadu Mohd Saiful. Dakwaannya penipuan secara terang-terangan dan kejam dan akan dibuktikan sedemikian," kata Anwar.
Anwar, 64, yang membacakan kenyataan 32 muka dari kandang tertuduh, berkata tiada keterangan mengenai sebarang percubaannya untuk menyelak pintu unit kondomominium itu dari dalam.
Beliau berkata, berdasarkan testimoni Mohd Saiful, pengadu mempunyai kesempatan meninggalkan bilik itu tetapi beliau tidak berbuat demikian.

"Pengadu mempunyai peluang terbuka luas untuk lari tetapi beliau tidak berbuat demikian. Alasannya bahawa beliau terpaku ketakutan," kata Anwar.

Anwar, yang membaca kenyataan itu hampir dua jam, berkata Mohd Saiful sendiri telah mengaku bahawa beliau telah membawa bersama pelincir dan telah bersedia secara sukarela.

Selepas aksi yang didakwa, tertuduh menjelaskan mengenai testimoni pengadu bahawa Mohd Saiful telah minum dan berbual mesra dengannya.
Anwar berkata, tiada percubaan dibuat untuk mendapatkan rawatan dengan segera.

Bagaimanapun, Mohd Saiful menghadiri satu majlis Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menghadiri perjumpaan Kelab Anwar Ibrahim di rumahnya keesokannya tanpa menunjukkan sebarang tanda ketidakselesaan sama ada dari segi emosi dan fizikal.

"Oleh itu, sikapnya benar-benar tidak konsisten dengan telah dicabuli, pengadu bohong bulat-bulat," dakwa Anwar.

Anwar, 63, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008 terhadap tuduhan melakukan hubungan bertentangan hukum alam di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun sama.

Pada 16 Mei, Hakim Mohamad Zabidin memerintahkan Anwar untuk membela diri selepas memutuskan bahawa Mohd Saiful, ialah seorang saksi yang boleh dipercayai dan berwibawa.

Sambil membacakan kenyataan, Anwar juga mendakwa bahawa pihak pendakwa gagal melaksanakan tugas secara profesional.

Beliau mendakwa bahawa pihak pendakwaan secara konsisten enggan mendedahkan material penting kapada pasukan pembelanya termasuk senarai saksi pendakwa, nota klinikal doktor-doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL), kenyataan saksi termasuk kenyataan Mohd Saiful dan sampel forensik dan eksibit bagi pemeriksaan dan pengesahan bebas.

"Semua ini telah menyebabkan prejudis yang agak banyak kepada pembelaan saya dan ketidakadilan yang serius," kata Anwar.

Beliau juga menyentuh mengenai penghakiman panjang lebar oleh hakim perbicaraan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah di akhir kes pendakwaan.

Anwar berkata, mengikut Seksyen 182A(1) Kanun Prosedur Jenayah, hakim sepatutnya memutuskan sama ada seorang saksi itu boleh dipercayai atau tidak di akhir kes pembelaan.

"Saya telah dinafikan keperluan untuk membuat membuat pembelaan saya secra bersumpah. Itu bermakna menafikan hak untuk satu perbicaraan yang adil dan saksama," kata Anwar.

Pemimpin pembangkang itu juga berkata, keputusan Hakim Mohamad Zabidin berhubung isu menemu bual saksi pembelaan, telah memberikan satu perhubungan dengan menyatakan bahawa mereka enggan ditemu bual.

Anwar menjelaskan bahawa dia akan bersedia dan sedia memberikan keterangan dengan mengangkat sumpah tetapi "terhalang" oleh pendakwaan dan dengan cara Hakim Mohamad Zabidin menjalankan perbicaraan itu.

Beliau menjelaskan bahawa saksi alibinya juga diganggu polis di mana kenyataan pemilik dua unit kondominium, Hasanuddin Abd Hamid dirakamkan dalam video oleh polis selama hampir 30 jam.

Beliau mengakhiri kenyataannya dengan menuduh bahawa dakwaan terhadapnya tidak lebih daripada satu konspirasi untuk memenjarakannya.

Perbicaraan di depan Hakim Mohamad Zabidin bersambung esok dengan pihak pembelaa memanggil pakar DNA dari Australia, Dr Brian Leslie McDonald dan Profesor Madya David Lawrence Noel Wells. - BERNAMA bharian

Pasukan peguam bela Anwar sapina PM, isteri

KUALA LUMPUR: Tujuh saksi termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor disapina pasukan peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi saksi pihak pembelaan dalam kes liwat Anwar.

Peguam Karpal Singh yang mengetuai pasukan pembelaan Anwar, memberitahu Mahkamah Tinggi yang mereka telah mensapina tujuh saksi yang ditawarkan oleh pasukan pendakwaan pada akhir kes mereka untuk menjadi saksi pihak pembelaan.
Karpal memaklumkan demikian kepada mahkamah selepas Anwar selesai memberikan kenyataan pembelaannya dari kandang saksi, untuk menjawab pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26. Saksi berkenaan ialah Najib, Rosmah, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof; doktor PUSRAWI yang memeriksa Mohd Saiful, Dr Mohammad Osman Abdul Hamid, jururawat PUSRAWI, Yazihan Jusoh dan pembantu rumah Indonesia, Suliati. - BERNAMA , bharian

Ulat bulu ‘serang’ bazar



KUALA TERENGGANU – Pelik, biarpun setiap kali Ramadan, negeri ini diserang ulat bulu namun orang ramai bagaikan tidak mengendahkan fenomena itu.

Malah mereka menjalani kehidupan seperti biasa bagaikan tidak ada apa yang berlaku. Lebih menghairankan ulat bulu ini hanya muncul pada bulan puasa di bazar Ramadan.

Bagi mendapat penjela-san mengenai perkara ini, Sinar Harian menemubual seorang peniaga, Shuhada Harun, 23 di Bazar Ramadan Pekan Batu Enam, di sini.

Katanya, ulat bulu turut dikenal sebagai tukir merupakan sejenis kuih yang dibuat daripada tepung beras pulut biasa dan pulut hitam.

“Tepung beras dicampur sedikit air bagi membentuk doh dan dibentuk seperti ulat bulu, kemudian dimasukkan dalam air mendidih.

“Apabila tepung tadi timbul maka ia menandakan telah masak, proses ini sama seperti membuat kuih buah melaka dan puteri mandi,” katanya.

Selepas masak, kata Shuhada, kuih ini digaul dengan kelapa parut yang telah dicampur gula dan garam.

“Sebagai hiasan bolehlah ditabur beras goreng di atasnya, rupanya yang mirip ulat bulu inilah maka kuih ini dipanggil sebagai ulat bulu,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Safinah Saari, 24 berkata, kuih ulat bulu memang laris dijual pada bulan puasa kerana keunikan dan keenakan rasanya.

Katanya, kuih itu boleh didapati dalam pelbagai warna seperti hijau, hitam dan coklat dan warna aslinya, iaitu putih.

“Kuih tradisional ini digemari oleh pelbagai lapisan masyarakat dan hanya didapati pada Ramadan sahaja, jika pada hari biasa ia tidak dijual,” katanya.SH

Israel semakin terpinggir



BAITULMAQDIS - Rejim Israel sebelum ini menjangkakan krisis diplomatik besar akan berlaku September depan, iaitu apabila Palestin memohon pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk membentuk negara merdeka tetapi nampaknya masalah datang lebih awal, menjadikan rejim itu lebih terpinggir di Timur Tengah.

Keputusan Mesir kelmarin untuk memanggil pulang dutanya ke Israel menandakan rejim Zionis kehilangan wakil negara Arab terakhir di Tel Aviv sekali gus memburukkan hubungan kedua negara yang sudah mula goyah sejak penggulingan Presiden Mesir, Hosni Mubarak pada Februari lalu.

Ketegangan tercetus awal minggu lalu selepas tentera Israel bertindak biadap menembak mati lima tentera Mesir semasa askar rejim bertempur dengan pejuang Palestin yang didakwa membunuh lapan rakyat Israel di sempadan Gaza-Mesir.

Mesir akan mengadakan penyiasatan bersama mengenai insiden itu dengan Israel selepas rejim itu menyuarakan kekesalan terhadap insiden tersebut, respons yang dianggap Kaherah sebagai tidak mencukupi kerana pembunuhan pasukan keselamatan Mesir itu mencabuli perjanjian damai 1979 antara kedua negara.

Pertelingkahan Mesir-Israel berlaku hanya beberapa hari selepas Israel dan bekas sekutu kuatnya, Turki sekali lagi bertengkar berikutan kedegilan Tel Aviv enggan memohon maaf selepas membunuh sembilan rakyat Turki dalam serangan ganas terhadap konvoi kemanusiaan ke Gaza, Mei tahun lalu.

“Mesir cuba mengajar Israel dengan mengikut langkah sama seperti Turki dan Israel perlu belajar bahawa ia kini berhadapan dengan kerajaan Timur Tengah yang berlainan dengan kerajaan sebelum ini,” menurut Uzi Rabi, pakar Timur Tengah di Tel Aviv.SH

UMNO Selangor bakal saman fitnah Mustafa Ali RM10 juta

SHAH ALAM - UMNO Selangor akan memulakan proses saman fitnah RM10 juta terhadap Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang menuduh parti itu mendalangi pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada 3 Ogos lepas.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata tindakan itu diambil selepas Mustafa enggan memohon maaf secara terbuka seperti yang diminta UMNO Selangor dalam kenyataan yang dikeluarkan 16 Ogos lepas.

"Sempena dengan semangat Ramadan, kami bersedia memaafkan namun Mustafa angkuh malah mendakwa mempunyai dokumen membuktikan UMNO Selangor menjadi perancang pemeriksaan gereja terbabit. Jadi, tindakan saman adalah yang terbaik bagi mempertahan maruah UMNO Selangor yang difitnah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohd Zin berkata UMNO Selangor melantik Tetuan Hafarizam Wan dan Aisha Mubarak untuk menjalankan proses perundangan itu.

Peguam Abu Bakar Isa Ramat berkata notis peguam akan dihantar kepada pihak berkenaan dalam masa terdekat dan saman akan difailkan selepas tempoh tujuh hari bekerja di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Mohd Zin berkata selain Mustafa, pihaknya dan peguam yang dilantik juga sedang meneliti untuk menamakan beberapa pihak lain dalam notis saman itu nanti.

Beliau berkata pemeriksaan yang dilakukan di DUMC merupakan perkara yang melibatkan penguatkuasaan agama dan tidak sepatutnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

Menurutnya Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sepatutnya mendedahkan perkembangan siasatan berhubung pemeriksaan JAIS di gereja berkenaan dari semasa ke semasa kepada umum kerana rakyat berhak untuk mengetahuinya.

Pada 15 Ogos lepas, Harakah melaporkan Mustafa menyeru pemimpin dan anggota PAS supaya tidak terjebak dalam 'perangkap' UMNO dalam isu JAIS dan gereja.

Beliau mendakwa mendapat maklumat 'dalaman' JAIS bahawa UMNO ada peranan dalam operasi JAIS di Gereja Methodist, Damansara Utama, Petaling Jaya pada 3 Ogos lepas.- Bernama, SH

Gerakan murtad semakin berani



KUALA LUMPUR - Dulu senyap-senyap, kini semakin terbuka. Itulah modus operandi gerakan murtad yang semakin membimbangkan umat Islam negara ini.

Mereka yang melakukannya tidak lagi menghiraukan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang melarang agama lain disebarkan kepada orang Islam.

Dari semasa ke semasa, kita boleh perhatikan usaha itu dilakukan dengan semakin berani. Jika dahulu, kita hanya biasa mendengar risalah dakwah bukan Islam ditinggal lari dalam bekas barang motosikal, diselit pada pengelap cermin kereta atau dalam peti surat, namun apa yang berlaku kini lebih daripada itu lagi.

Sebelum ini, kita dihadapkan dengan tuntutan penggunaan kalimah ALLAH oleh orang Kristian, kemudiannya al-Kitab (Bible) dalam bahasa Melayu yang menyaksikan pemimpin Islam bercakaran sesama sendiri apabila isu itu turut diheret dalam perbalahan politik.

Apa yang lebih membimbangkan apabila timbul isu anak-anak orang Islam diajar menyanyi lagu Kristian siap dengan simbolnya sedangkan mereka mempelajari semua itu di bawah program tuisyen atau tadika amal yang diberi percuma untuk keluarga miskin.

Cuba kita bayangkan apa akan jadi kepada zuriat Melayu/ Islam ini pada masa depan andainya tidak diselamatkan dengan segera?

Ramadan tahun ini amat memilukan apabila seawal hari ketiga umat Islam berpuasa, tercetus kontroversi sekumpulan orang Islam diundang berbuka puasa dalam majlis yang diadakan di premis Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) sehingga mendorong Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memeriksa majlis itu apabila terdapat aduan bahawa ada usaha untuk memurtadkan orang Islam berlaku di majlis berkenaan.

Apa yang berlaku di DUMC seharusnya menyedarkan kan semua orang Islam, terutama pemimpin bahawa sesuatu yang tegas dan serius perlu dilakukan untuk menghadapi gejala yang semakin mencemaskan ini.

Namun malangnya, perbalahan politik sekali lagi tidak dapat dielakkan apabila pemimpin Islam bercakaran, saling tuduh menuduh malah ada yang mengecam Jais atas tindakannya itu.

Melihat apa berlaku satu persatu, gerakan memurtadkan orang Islam yang semakin berani ini dipercayai ada kaitan dengan tindakan terancang diatur sama ada di dalam mahupun luar gelanggang politik.

Ini dipercayai setelah mereka melihat ada kelemahan dalam kepimpinan Melayu/Islam daripada perpecahan yang berlaku, selain ruang yang terbuka apabila ada pemimpin yang menguasai negeri tertentu tidak bersikap tegas dalam hal ini demi untuk menjaga hati pengundi dan rakan parti bukan Islam.

Bagaimanapun perlu diingat, meskipun undang-undang diwujudkan termasuk cadangan Akta Murtad seperti yang dihebohkan, iman yang sebenar adalah pada hati.

Tiada guna undang-undang menghalang jika hati seseorang Islam itu sudah berpaling tadah.

Bagi gerakan misioner, meskipun undang-undang (Perlembagaan) menghalang, apa yang dilakukan adalah tanggungjawab agama mereka. Sama ada mereka bermatlamat syurga, ataupun istana (politik), mereka tetap akan melakukannya meskipun ditegah oleh undang-undang.

Maka apa yang perlu ialah mengatasi semua kelemahan yang ada.

Jika miskin punca orang Islam semakin ramai murtad, usaha membantu mereka dari segi ekonomi, terutama menerusi tabung zakat atau Baitul Mal perlu ditingkatkan.

Lihat semula Bicara Isnin Sinar Harian minggu lalu di bawah tajuk muka depan ‘SUSAHNYA DAPAT ZAKAT’ bagaimana kerenah birokrasi dalam agensi pengurus zakat menjadi halangan bagi ramai orang yang memerlukan mendapat bantuan.

Begitu juga jika cinta menjadi ‘senjata’ gerakan murtad sebagaimana yang selalu disebut-sebut, sesuatu perlu dilakukan untuk memantapkan lagi akidah muda mudi Islam sebagai perisai yang boleh menegah mereka hanyut dalam gelora nafsu remaja.

Begitu juga dengan pengaruh persekitaran, usaha yang lebih jelas perlu dilakukan untuk menanganinya termasuk mengawal apa sahaja medium yang mengancam terutama yang berkaitan dengan hiburan, maksiat dan pergaulan.

Pertubuhan bukan kerajaan perlu mengetepikan motif politik, lebih ikhlas berjuang membantu golongan terpinggir,

Pemimpin politik Melayu/Islam pula dirayu supaya tahu batas berpolitik, tidak menjadikan isu agama sebagai senjata memancing undi. Apabila timbul isu seperti ini, mereka perlu kembali bersatu untuk membina bentang yang kukuh supaya Islam di tanah air tercinta ini tidak mudah runtuh.-SH

Wakil PBB tiba di Syria



BEIRUT 21 Ogos - Satu pasukan kemanusiaan tiba di Syria bagi menilai krisis yang melanda negara itu, ketika satu temu bual bersama Presiden, Bashar al-Assad mengenai masa depan negara itu yang dijangka disiar melalui televisyen, hari ini.
Televisyen rasmi mengumumkan Assad akan mengulas mengenai situasi di Syria, meneruskan proses perubahan, selain kesan tekanan politik dan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan Barat, dalam satu temu bual,
Temu bual itu merupakan penampilan pertama Assad di khalayak ramai sejak 20 Jun lalu dan yang keempat sejak pemberontakan bermula pada pertengahan Mac lalu.
Menurut peguam hak asasi manusia, sekurang-kurangnya 1,860 orang awam dan 422 kakitangan keselamatan maut dalam pemberontakan sejak empat bulan lalu.
Radio Lebanon yang memetik jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amanda Pitt semalam berkata, satu pasukan kemanusiaan badan dunia itu telah berada di Syria sekarang.
''Ia diketuai Ketua Biro Geneva, Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan PBB, Rashid Khalikov,'' ujarnya.
Ketua Pemerhati Hak Kemanusiaan (HRW) di Asia Barat, Sarah Leah Whitson meminta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mengambil tindakan ke atas Syria kerana didakwa melanggar undang-undang dengan menindas penunjuk perasaan secara aman.
Semalam, kereta kebal memasuki bandar Homs, sehari selepas 34 penunjuk perasaan dibunuh, kata aktivis. - dpa

Tembakan punca perlawanan bola terhenti





2011/08/22

PEMAIN Santos dan Monarcas Morelia lari selepas mendengar tembakan dilepaskan.
PEMAIN Santos dan Monarcas Morelia lari selepas mendengar tembakan dilepaskan.
BANDAR RAYA MEXICO: Tembak menembak di luar sebuah stadium di bandar Torreon, utara Mexico, menyebabkan satu perlawanan bola sepak divisyen pertama negara itu dihentikan selain memaksa pemain dan penonton bertempiaran lari mencari tempat selamat. 

Pemain berlari ke bilik persalinan manakala penonton merebahkan diri apabila tembakan kedengaran pada akhir separuh masa perlawanan antara Santos dan Monarcas Morelia masih terikat tanpa jaringan.
Pegawai perlawanan segera menghentikan permainan pada minit ke-40.
Peguam Negeri Coahuila, Jesus Torres, berkata tembak menembak itu berlaku selepas tiga kenderaan membawa sekumpulan lelaki bersenjata melanggar pos kawalan tentera di luar stadium itu menyebabkan tembak menembak meletus. 

Kementerian Pertahanan Mexico kemudian mengeluarkan kenyataan memaklumkan anggota tentera tidak terbabit dalam kejadian dan hanya tiba selepas beberapa lama di tempat kejadian. 

Seorang anggota polis cedera dalam kejadian itu dan tiada yang cedera dalam stadium. Kira-kira 20,000 penonton hadir untuk menyaksikan perlawanan itu. 

Belum ada orang ditahan atas kejadian tembak menembak itu, kata pihak berkuasa. Keganasan yang ada kaitan dengan pengedaran dadah di utara Mexico menyebabkan beribu-ribu orang terkoban sejak beberapa tahun lalu dan tidak jelas sama ada ia ada kena mengena dengan jenayah terancang. 

Kira-kira 42,000 orang maut dalam apa yang dikatakan sebagai pembunuhan berpunca daripada sindiket dadah di Mexico sejak Presiden Felipe Calderon melancarkan usaha membanteras dadah selepas mengambil alih pada lewat 2006. 
Insiden kelmarin adalah kali pertama kejadian seumpama itu berlaku dekat stadium. – Reuters , bharian

Derita di Peru berakhir



pix_gal0
Bekas keldai dadah, Rosna Shariff bersiap untuk pulang sambut aidilfitri
bersama keluarga.
-bharian

Kompas mohon maaf kepada Najib




HARIANTO (kiri) memohon maaf kepada Najib mengenai tiga berita tidak benar yang disiarkan oleh akhbar Kompas baru-baru ini.


JAKARTA – Akhbar Kompas semalam memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarganya atas satu laporan yang disiarkan pada 4 Ogos lalu yang berunsur fitnah.
Permohonan maaf itu adalah berkaitan dengan tulisan yang mengaitkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dengan sebuah syarikat perniagaan yang telah dinafikan kebenarannya dan juga cincin berlian berharga AS$24 juta (RM71.5 juta) yang sebenarnya tidak pernah dipesan oleh Rosmah.
Permohonan maaf itu juga merujuk kepada laporan tentang bakal besan Perdana Menteri yang dikatakan kononnya mempunyai hubungan dengan mafia Rusia.
“Atas berita tersebut, Pemimpin Redaksi Kompas, Rikard Bagun pada Sabtu (20 Ogos) di Jakarta, secara khusus menyatakan permintaan maafnya kepada ketua kerajaan dan keluarga,” kata Rikard dalam Kompas Minggu semalam.-kosmo

Hanks bayar balik duit tiket wayang peminat




SALAH satu adegan yang terdapat dalam filem Larry Crowne lakonan Tom Hanks (kiri) dan Julia Roberts.


LOS ANGELES - Pelakon terkenal, Tom Hanks memberikan wang sebanyak AS$25 (RM74.56) kepada satu pasangan yang benci filem lakonan terbaharunya, lapor sebuah akhbar semalam.
Pasangan itu memberitahu Hanks, mereka tidak menyukai filem komedi Larry Crowne yang dibintanginya bersama aktres Julia Roberts.
Dia membayar pasangan itu selepas berbual dengan mereka semasa mengisi petrol ke dalam tangki minyak keretanya dekat Pacific Palisades, California, baru-baru ini. Hanks dikatakan berkata: "Saya meminta maaf kerana anda kecewa tetapi bagaimana jika saya membayar semula tiket wayang anda.?"
Menurut majalah National Enquirer, Hanks dilaporkan menyeluk sakunya dan menyerahkan wang AS$25 kepada pasangan itu. - Agensi

16 warga China ditahan ISA

 

SUBANG JAYA – Seramai 16 warga China yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan manusia, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Semua suspek terbabit ditahan dalam operasi berasingan yang dijalankan serentak di Kuala Lumpur dan Johor Bahru pada 6 Ogos lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, polis turut merampas 10 keping pasport palsu (tujuh pasport Turki dan tiga pasport Malaysia), tiga Mykad palsu serta tunai pelbagai matawang asing berjumlah RM268,523.

Beliau berkata, hasil soal siasat yang dijalankan mendapati semua suspek terlibat secara aktif dalam sindiket penyeludupan manusia yang beroperasi di China.

“Anggota sindiket (suspek) dikesan menjalankan kegiatan itu di China, Thailand termasuk Malaysia sejak 2009.

“Mereka berperanan bawa masuk individu warga China ke Thailand, sebelum menyeludup masuk individu itu ke Malaysia untuk mendapatkan dokumen palsu,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran ‘Kempen Balik Kampung, Rumah Selamat’ anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Selangor, semalam.

Menurutnya, selepas memperoleh dokumen palsu, suspek kemudian akan menyeludup masuk individu terbabit ke negara ketiga.

Khalid berkata, siasatan lanjut menunjukkan suspek masuk ke negara ini dengan menggunakan pasport sah.

“Bagaimanapun modus operandi mereka sangat licik kerana setelah sampai di Malaysia, pasport itu akan dibuang dan mereka akan mendapatkan kad Suruhanjaya Tinggi Pelarian Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR),” katanya.

Beliau berkata, dengan adanya kad UNHCR itu, suspek dapat menjustifikasikan kehadiran mereka di negara ini dan tidak dihantar balik.

Menurutnya, taktik itu dilihat menjadi trend pendatang asing sejak kebelakangan ini, terutamanya pendatang dari Myanmar.

Khalid berkata, 11 daripada suspek ditahan diserahkan kepada pihak berkuasa negara asal mereka kelmarin, untuk tindakan selanjutnya.

“Tiga lagi suspek yang mendakwa memegang kad UNHCR tetapi memiliki pasport dan Mykad palsu sedang disiasat mengikut Akta Imigresen dan Akta Pendaftaran.

“Manakala, baki dua suspek yang mempunyai kad UNHCR sah, disiasat di bawah Akta Imigresen,” katanya.

Ketika ditanya sama ada terdapat penglibatan rakyat tempatan dalam sindiket itu, Khalid berkata, siasatan menunjukkan sindiket itu dikendalikan sepenuhnya oleh suspek warga asing.