Sunday, December 19, 2010

Kaki penoreh berlubang digigit beruang





2010/12/19

TANAH MERAH: Kaki kanan seorang penoreh getah berlubang apabila seekor beruang tiba-tiba menyerang lalu mengigit kakinya dalam satu kejadian di ladang rakyat di Bukit Jong, Jeli, lima hari lalu. 

Mangsa, Osman Salleh, 35, yang masih dirawat di Hospital Tanah Merah (HTM) berkata kejadian itu berlaku kira-kira 4 petang Selasa lalu ketika dia dalam perjalanan dari ladang ke jeti untuk ke pekan berhampiran bagi membeli bekalan makanan.
"Sudah menjadi kebiasaan buat saya dan ayah, Salleh Mahmud, 72 tahun, untuk masuk ke kebun yang boleh dihubungi melalui bot dan berada di sana selama beberapa hari. Saya akan keluar ke pekan berhampiran apabila bekalan makanan kami habis.
"Bagaimanapun, Selasa lalu ketika saya dalam perjalanan ke jeti menaiki motosikal, enjin motosikal saya rosak menyebabkan saya terpaksa berhenti di tengah hutan. Tiba-tiba saya terdengar bunyi dengusan sebelum berpaling dan melihat seekor beruang setinggi tiga kaki sedang menuju ke arah saya," katanya yang menetap di Kuala Balah, Jeli kepada pemberita di HTM hari ini. 

Katanya melihat kehadiran beruang yang menyinga seperti sedang marah, dia segera turun daripada motosikal. 

"Beruang itu mengejar saya, lalu saya berlari mengelilingi motosikal. Bagaimanapun nasib malang menimpa apabila motor yang telah ditongkat sempurna terbalik menyebabkan beruang itu berjaya menerkam saya lalu menggigit kaki kanan saya," katanya. 

Osman berkata dalam keadaan cemas itu, dia sempat mengambil sebilah parang yang disisip di pingganggnya dan berusaha menghayun ke leher beruang berwarna hitam dan berkepala putih itu. 
"Mujurlah parang yang dihayun itu berjaya mengenai beruang menyebabkan dia melepaskan kaki saya lalu terus melarikan diri," katanya. 

Bimbang beruang berkenaan muncul kembali, Osman sambil menahan kesakitan segera berlari ke jeti berhampiran dan menaiki bot ke pekan berhampiran. 

Katanya seorang rakan yang dikenali sebagai Halim kemudian membawanya ke klinik berhampiran sebelum dihantar ke HTM untuk rawatan lanjut. 

Osman berkata dia kerapkali terserempak dengan beruang di kebun berkenaan bagaimanapun tidak menyangka kejadian itu akan berlaku kerana beranggapan beruang hanya menyerang manusia apabila dalam keadaan terancam dan marah atau ketika membawa anak. - BERNAMA

Mayat nelayan dibaham buaya ditemui di tebing Sungai Samarahan





2010/12/19

KUCHING: Mayat seorang nelayan berusia 66 tahun yang dibaham buaya, telah ditemui hari ini dalam keadaan bercerai-cerai hari ini di tebing Sungai Samarahan, tempat haiwan itu dilihat semalam. 

Bahagian perut dan tangan kiri Sidi Samat ditemui pasukan mencari yang terdiri daripada polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Perbadanan Perhutanan Sarawak dan RELA pada jam 8.45 pagi.
Anak mangsa, Musa berkata ibunya menjadi bimbang selepas warga emas itu tidak pulang-pulang selepas keluar menjala udang awal pagi semalam, kira-kira 25 meter dari rumah mereka.
Sekitar 11 pagi itu, seorang penduduk kampung dilaporkan ternampak kelibat seekor buaya berukuran 18 kaki berhampiran kawasan itu. 

Mayat Sidi kemudian dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Reban. - BERNAMA

Mazlan dan Felda bergema di Dewan Millenium



Isu Felda sekali bergema di persada politik negara apabila Pengerusi Anak, Mazlan Aliman menjadikan peneroka Felda dan anak cucu mereka sebagai pihak yang perlu diperjuangkan.

Apa yang dikatakan oleh Mazlan penting kerana selain mempersiapkan Pakatan Rakyat menghadapi pilihan raya umum, konvensyen kali ini juga perlu mempersiapkan Pakatan Rakyat menghadapi pilihan raya kecil Dun Tenang, Labis, Johor.

Pilihan raya kecil ini perlu diadakan ekoran kematian Adunnya, Datuk Sulaiman Taha baru-baru ini.

Ucapan Mazlan penting kerana di Dun Tenang, lebih 3,000 pengundinya adalah peneroka dan penghuni tiga kawasan Felda di dalam Dun tersebut.

Pelbagai cadangan dikemukakan Mazlan dalam ucapannya kali ini. Ada yang lama dan banyak juga cadangan baru yang dikemukakan beliau.

Yang terbaru adalah cadangan beliau agar sebuah universiti Felda ditubuhkan sebagaimana lain-lain agensi dan badan kerajaan yang mempunyai universiti sendiri termasuklah TNB dan Petronas.

Felda, kata Mazlan, mempunyai kelebihan tersendiri sehingga melayakkannya untuk dibina sebuah universiti. Antaranya mempunyai tanah yang banyak.

"Saya cadang, apa salahnya Felda dibina di bandar pusat Jengka misalnya," kata Mazlan dalam ucapannya itu.

Atas ucapan itulah, nama Mazlan disebut-sebut bakal menjadi calon pilihan Pakatan Rakyat untuk mewakili mereka dalam pilihan raya kecil Tenang tidak lama lagi.

Ketika konvensyen berlangsung, pemimpin utama Pakatan Rakyat mengadakan mesyuarat khas yang jarang-jarang mereka adakan ketika majlis berlangsung.

Mesyuarat yang disertai oleh semua pemimpin PAS, PKR dan DAP dikatakan telah membincangkan beberapa isu penting. Antaranya calon Tenang, kedudukan ketua pembangkang berikutan penggantungan Anwar dan beberapa isu penting lagi.

Nampak jelas, selepas mesyuarat berakhir, wajah mereka berseri-seri tanda kesepakatan dicapai dengan penuh toleransi. Ia diakui sendiri oleh Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail yaang ditemui selepas mesyuarat khas itu.

Kata Saifudin, para pemimpin Pakatan akan mengumumkan beberapa perkara penting ketika ucapan penggulungan mereka penting ini.

Tunggulah nanti pengumuman itu.
http://wargamarhaen.blogspot.com

UMNO TERUS DICABAR TENTANG APCO



PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalahkan Apco Worldwide, syarikat perhubungan kontroversi yang diupah kerajaan Barisan Nasional yang menyebabkan penggantungan empat ahli parlimen termasuk dirinya yang menurutnya dibuat secara ‘tidak adil’.
"Kerana Apco, empat ahli parlimen telah digantung tanpa prosedur. Kita memerlukan penjelasan, bukan sahaja dari Umno tetapi juga dari Apco," katanya kepada wartawan pada hari ini.
Ahli parlimen Permatang Pauh dan Ketua Umum PKR itu berkata jika Apco sebenarnya badan profesional sebagaimana yang didakwa, ia tidak boleh bersekongkol melakukan kesalahan yang dibuat oleh rejim Umno".
"Saya ingin tujukan ini khas kepada Apco. Anda mendakwa yang anda merupakan badan yang bebas, jadi mengapa melibatkan diri dalam politik Malaysia?
"Saya desak mereka (Apco) agar hentikan kempen politik. Bagaimana mereka boleh jadi syarikat berwibawa apabila mereka mempertahankan sistem korup dan tindakan kejam (kerajaan BN)?
"Apco patut turut bertanggungjawab terhadap apa yang terjadi," kata Anwar.
Anwar bersama dengan MP Karpal Singh (Bukit Gelugor), R Sivarasa (Subang) dan Mohd Azmin Ali (Gombak) digantung semalam selama enam bulan dari Parlimen.
Penggantungan dibuat berikutan kenyataan Anwar dilihat sebagai ‘berbohong’.
Ketika perbahasan parlimen dalam bulan Mac tahun ini, Anwar mendakwa Apco terlibat dengan kempen One Israel Ehud Barak.
Beliau turut mengemukakan bukti untuk menyokong dakwaannya bahawa 1Malaysia berasal dari One Israel. Apco telah menafikan dakwaan ini.
Hipokrasi
Menurut Anwar, tujuan beliau mengungkitkan isu Apco ialah untuk mendedahkan hipokrasi Umno.
"Selama lebih sedekad, ketika pilihan raya, saya digambarkan sebagai pro-Yahudi, agen atau alat Yahudi, kerana mempunyai rakan Yahudi.
"Saya tiada masalah dengan itu kerana saya konsisten dalam menyatakan bahawa tak kira Yahudi atau Islam. Hindu atau Sikh, semua rakan saya. Saya memilih untuk bersetuju dan tidak bersetuju dengan mereka dalam isu tertentu.
"Saya mahu menunjukkan hipokrasi kerajaan BN. Mereka pergi ke perkampungan Islam dan mengutuk dengan dakwaan bahawa pro-Yahudi dan memalukan saya.
"Tapi mereka sendiri yang membuat perjanjian dengan syarikat yang saya buktikan mempunyai hubungan dengan Israel.
"Tambahan lagi syarikat ini juga mempunyai hubungan dengan mereka yang terlibat dengan Shin Bet Israel (jabatan pertahanan), perisikan Israel dan pasukan tentera Israel," katanya.
Walau bagaimanapun Anwar menjelaskan bahawa beliau tidak menentang sesiapa yang mempunyai hubungan kerja dengan syarikat Yahudi.
"Saya tiada masalah dengan itu. Saya cuma mahu kontradiksi dan hipokrasi pemimpin Umno.
Anwar turut mendakwa Apco telah berbohong beberapa kali ketika menjawab. Beliau menambah Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan tidak sepatutnya mengambil kira kenyataan sebuah syarikat berdasarkan satu surat semata-mata.
Kes lepas
Anwar berkata bahawa beliau membuat tuduhan terhadap Apco berdasarkan bukti dokumen dan siasatan.
"Di dalam beberapa kenyataan Apco, mereka pada awalnya menafikan hubungan dengan Israel. Tapi kemudian mereka menarik balik kenyataan itu.
"Selepas itu terdapat surat baru yang cuba menerangkan bahawa kenyataan pertama dibuat kerana ia merupakan rakan niaga Asero Worldwide.
"Tapi hari ini saya kemukakan dokumen perjanjian di antara kerajaan Israel dan Apco."
Anwar berkata bahawa bukti di tangannya membuktikan kesnya dan kerajaan "tidak boleh berbohong" mengenai penglibatan Apco.
"Apa isunya? Mereka tiada isu sebenarnya, Saya tiada isu, Saya hanya mahu membuktikan bahawa Umno menuduh kita sebagai jahat kerana bekerja dengan Yahudi tetapi mereka sendiri bekerja dengan syarikat yang berkait rapat dengan Israel dan ia bukan urusan sembarangan," kata beliau.
Menjawab dakwaan bahawa beliau diberi masa yang lebih dari mencukupi untuk mempertahankan diri dari digantung, Anwar berkata bahawa beliau langsung tidak diberi peluang untuk mempertahankan diri.
Sementara itu, Karpal Singh berkata bahawa beliau serius untuk membawa perkara ini ke mahkamah dan berharap dapat berjumpa Speaker Parlimen Tan Sri Pandikar Amin Mulia di sana.
"Tindakan terhadap Speaker akan difailkan secepat mungkin. Saya berharap untuk berjumpa Speaker di mahkamah.
"Saya hairan Nazri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz) berkata bahawa keputusan di Dewan Rakyat tidak boleh dipertikai. Tapi ada kes lalu dalam kes Zambry dan Gobind Singh.
Keputusan Dewan Rakyat boleh dipertikaikan di mahkamah. Nazri menggelar saya peguam kelas ketiga… saya mungkin kelas ketiga tapi orang itu tiada kelas," katanya.
Tiada bidang kuasa
Karpal berkata adalah perkara asas untuk memberi peluang didengari. Beliau merujuk kepada kes Pakistan.
Beliau berkata hak sebegitu berasal dari undang-undang Islam yang diakui di dalam Al-Quran. Satu lagi isu, katanya, ialah usul yang diluluskan Parlimen untuk menggantung keempat-empat mereka semalam mengandungi perkataan "ditamatkan tugas sebagai ahli Parlimen."
"Saya tidak rasa Parlimen mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian. Kita hanya boleh digantung dari tugas di Dewan dan apa yang tertulis di sini melangkaui keadilan semulajadi. Kami akan pertikaikan perkara penggantungan dari tugas di mahkamah," katanya.
Sementara itu, ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata apa yang berlaku di Parlimen menyerupai watak dalam filem P Ramlee, Ali Baba Bujang Lapok.
"Ada watak yang digelar ketua dan ada ‘"sarjan pendek" yang menuruti arahan "ketua".
"Dia mempunyai dadu yang hanya ada nombor dua. Ia sama dengan apa yang berlaku semalam. Tidak kira apa yang kita kata, dia (Speaker) sudah pun buat keputusan.
"Semalam, dia buat keputusan spontan tanpa memanggil apa-apa untuk pembelaan. Dia juga tidak bahaskan perkara lain kerana "dadu nombor duanya" akan terdedah," katanya.
Mahfuz berkata ekoran penggantungan ini, rakyat akan hilang kepercayaan terhadap Parlimen dan memberi kesan terhadap ekonomi negara.
Beliau berkata bahawa beliau akan membawa isu ini dan Kesatuan Antara Parlimen dan Kesatuan Eropah./Marhaen

ASP KELABU ASAP ! NGAKU SILAP



Tangkapan terhadap Mohamad Sabu tanpa waran tangkap yang sah - Saksi
Harakahdaily
BUTTERWORTH, 16 Dis: Saksi kes dakwaan menghalang pejawat awam menjalankan tugas terhadap Haji Mohamad Sabu mengaku di mahkamah majistret hari ini bahawa waran tangkap yang diserahkan kepada Mohamad Sabu bukan yang dipohonnya.

Pegawai penyiasat kes perhimpunan Bersih, ASP Idris Rejab berkata, beliau memohon mahkamah majistret mengeluarkan saman untuk satu kes jenayah kepada Mohamad Sabu namun yang dikeluarkan oleh majistret adalah waran tangkap.

Waran tangkap itu pula, katanya, tanpa tarikh dan nama majistret yang mengeluarkannya.Idris memberikan keterangan di Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang sebagai saksi pihak pendakwa terhadap Mohamas Sabu dan sembilan yang lain atas dakwaan menghalang tugas pejawat awam.

Mereka didakwa berbuat demikian pada 7 Disember 2007 di Tol Bukit Tambun, Pulau Pinang ketika Mohamad sabu dan keluarganya dalam perjalanan pulang di majlis perkahwinan anaknya.

Ketika itu, polis dikatakan mahu menyerahkan waran tangkap kepada Mohamad Sabu kerana terlibat dengan perhimpunan Bersih di Kuala Lumpur namun Mohamad enggan bekerjasama sehingga pintu keretanya dipecahkan.

Dalam keterangan di mahkamah hari ini, ASP Idris Idrus mengaku kesilapan itu bermakna penyerahan dan tangkapan pada 7 Disember 2007 itu menghadapi risiko tidak sah kerana ia bukan berdasarkan waran tangkap yang sah.Waran tangkap yang diserahkan kepada Mohamad Sabu pada 7 Disember itu adalah waran tangkap yang lain, bukan waran tangkap yang diperolehi oleh ASP Idris kerana salinan asalnya kekal bersama beliau.

Waran tangkap itu bertarikh 4 Disember sedangkan waran tangkap yang dipohon beliau adalah tanpa tarikh dan tanpa nama majistret yang mengeluarkan waran itu.

Mohamad Sabu dan sembilan yang lain di dakwa di bawah seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang pejawat awam menjalankan tugasnya.

Beliau dan sembilan yang lain diwakili oleh Mohamed Hanipa Maidin bersama Amirudin Zulkifli dan Yusnita Yusof manakala pendakwaan dibuat oleh ketua pendakwa Pulau Pinang.

Ia dibicara didepan Majistret Mohd Izham Ali.
http://pascawanganbukitsentosa2.blogspot.com

Remaja berbadan dua ditikam 19 kali sebelum disimbah asid


NUR AIN memberi reaksi positif selepas sedar dari koma di HSI, semalam.

NUR AIN memberi reaksi positif selepas sedar dari koma di HSI, semalam.


NURAIN ASHIKIN yang menjadi mangsa   tikaman 19 kali dan melecur disimbah asid.
NURAIN ASHIKIN yang menjadi mangsa tikaman 19 kali dan melecur disimbah asid.

Lelaki berusia 44 tahun ditahan polis untuk siasatan, mangsa serangan kini bergelut dengan maut di hospital
KOTA TINGGI (Johor): Seorang remaja berusia 17 tahun dan sedang hamil, kini bertarung dengan maut di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat ditikam 19 kali serta disimbah asid oleh seorang lelaki yang dikenalinya di rumahnya di Kampung Baru Sungai Redan, Ulu Tiram, di sini pagi kelmarin.
Mangsa berkenaan, Nur Ain Ashikin Jemedi, dilaporkan sedang bersama adik perempuannya, Nurrehan Jemadi, 13 tahun, dan seorang anak saudaranya, apabila pintu rumah ditendang penyerang lalu berlaku pertengkaran sebelum mangsa ditikam bertubi-tubi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Timbalan Superintenden (DSP) Muhammad Shamsuddin, berkata sebahagian besar tikaman mengenai perut mangsa dan pihak hospital mengesahkan kandungan mangsa berusia enam bulan sudah meninggal dunia, namun mangsa terselamat.
Menurutnya, selepas menikam mangsa, lelaki itu keluar dan mengambil asid yang dipercayai ditinggalkan di belakang pokok berhampiran, sebelum dia masuk semula rumah mangsa dan mengisi cecair itu ke dalam gayung.
'Dia masuk semula ke dalam rumah lalu menyimbah asid ke kepala dan tubuh mangsa. Mangsa menyelamatkan diri dengan berlari ke bilik air, tetapi lelaki itu mengekorinya dan menikam mangsa di kaki serta tangan pula.
'Lelaki itu meninggalkan rumah mangsa dan menyerah diri di Balai Polis Ulu Tiram,' kata DSP Muhammad pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, kelmarin.
Menurutnya, suspek yang berumur 44 tahun itu ditahan untuk siasatan dan pihaknya sudah menemui pisau yang dipercayai digunakan menikam mangsa.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati motif serangan itu sebagai cemburu, dan polis sudah mengambil keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan.
'Dua jam sebelum kejadian, suspek datang ke rumah mangsa dan berlaku pertengkaran sebelum lelaki terbabit pulang ke rumahnya yang terletak berdekatan. Tidak lama kemudian, suspek kembali ke rumah mangsa lalu menyerang wanita berkenaan,' kata DSP Muhammad.
Beliau berkata, mangsa yang dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru, kini kritikal kerana hampir 70 peratus badannya melecur selain kecederaan akibat tikaman.
'Suspek yang bekerja sendiri dan berasal dari Kampung Air Puteh, Nam Heng, kini direman hingga 23 Disember ini. Polis masih meneruskan siasatan berkaitan kematian janin mangsa memandangkan tiada kesan tikaman mengenainya,' kata DSP Muhammad lagi. -- Harian Metro.

Imam masjid mati dibaham buaya





Seorang penduduk (kanan) melaungkan azan di kawasan imam Sidi Samad dibaham buaya semasa usaha mencari mayat mangsa di Sungai Batang Samarahan, di Kampung Reban, Serian, Sarawak, semalam. - mingguan malaysia/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN


SAMARAHAN 18 Dis. - ''Itu kaki bapa saya, minta tolong pulangkan," luah Musa Sidi, 40, selepas melihat rahang seekor buaya berukuran panjang kira-kira 5 meter dan lebar 1.5 meter membawa kaki bapanya dalam satu kejadian yang berlaku di Sungai Batang Samarahan di Kampung Reban dekat Serian pagi ini.
Mangsa, Sidi Samad, 66, yang juga imam ketiga Masjid Darul Ihsan kampung berkenaan maut dibaham buaya kira-kira pukul 6.30 pagi ketika sedang menjala udang galah secara bersendirian di sungai berkenaan yang dikenali sebagai habitat reptilia berkenaan.
Musa anak kedua daripada enam beradik itu berkata, dia menerima panggilan daripada salah seorang adiknya mengenai kehilangan bapanya yang tidak pulang-pulang ke rumah pada pukul 10.30 pagi.
Katanya yang baru selesai mengambil bas sekolah yang dipandunya dari bengkel kemudiannya terus bergegas pulang ke rumah dan terus menuju ke lokasi kejadian yang terletak betul-betul di hadapan rumah.
Katanya lagi, pada ketika itu dia bersama dua lagi penduduk melihat seekor buaya sebesar perahu berada kira-kira 30 meter dari tebing sedang timbul dan bergerak mengikuti arus sungai dengan di rahangnya terdapat sesuatu benda yang disahkan kaki bapanya.
''Kali kedua buaya itu timbul di tengah sungai, saya dapati, kedua-dua kaki bapa saya ada di dalam mulut buaya berkenaan.
''Lantas saya memanggil buaya berkenaan dengan harapan haiwan itu akan menyerahkan bapa saya namun buaya itu ia terus hilang dengan mengibas-ngibas ekornya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, penduduk kampung berusaha memburu buaya berkenaan dengan menggunakan perahu. Mereka turut melaungkan azan dan membaca surah Yasin sebagai usaha membantu mengesan Sidi.
Setakat pukul 4 petang ini, usaha mencari imam berkenaan masih diteruskan. Sungai Batang Samarahan juga pernah meragut nyawa kanak-kanak akibat dibaham buaya 10 tahun lalu.
Dalam pada itu, isteri kepada Sidi, Dayang Salhah Awang Sahrul, 64, memberitahu, suaminya sempat bersarapan pagi dengan hanya meminum kopi bersama tiga yang lain kira-kira pukul 6.30 pagi sebelum keluar rumah.
Ujarnya yang telah 45 tahun berkahwin, suaminya langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian itu berlaku malah mereka sempat menghadiri majlis kenduri arwah jirannya malam tadi.
''Menyedari suami saya tidak pulang lagi ke rumah, saya bertekad untuk mencarinya bersama anak yang lain namun diberitahu bahawa kakinya ditemui berada di mulut buaya berkenaan," katanya yang redha dengan pemergian suaminya itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Supritendan Jamali Umi ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Konvensyen Pakatan Rakyat Kebangsaan Dewan Milenium, Kepala Batas


DARI kiri; Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama-sama mengangkat tangan selepas selesai perasmian Konvensyen Pakatan Rakyat Kebangsaan di Dewan Milenium, Kepala Batas, hari ini. - Foto Ramdzan Maisam


PRU 13 pada suku kedua 2011 atau tahun selepas itu?



19/12/2010 4:08pm

JOHOR BAHRU 19 Dis. – Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 diramal diadakan pada suku kedua tahun depan atau tahun selepas itu, menurut ramalan veteran UMNO, Datuk Shahrir Samad.
Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, PRU tidak akan diadakan pada Mac tahun depan seperti yang dijangkakan oleh parti pembangkang.
Beliau berpendapat, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih mahu melihat lebih banyak hasil diperoleh daripada semua dasar yang diperkenalkan sejak menjawat jawatan pada 3 April tahun lepas.
"Jadi, pilihan raya tidak akan diadakan secepat mungkin, mungkin akan diadakan pada akhir 2011 atau selepas itu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program kesedaran kesihatan di Kampung Sulaiman Menteri di sini hari ini.
Shahrir berkata, pakatan pembangkang hendaklah menumpukan perhatian untuk memberikan khidmat kepada rakyat dan bukan terlalu tertumpu pada pilihan raya umum. – Bernama

Bekas Mufti Dr Asri akan umum parti pilihannya apabila PRU-13



Mohd Asri Zainul Abidin (kiri) bersama Mohd Nizar Jamaluddin selepas majlis perasmian Konvensyen Pakatan Rakyat Kedua di Kepala Batas pagi tadi.


KEPALA BATAS, 19 Dis — Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin akan membuat keputusan parti politik yang beliau hendak sokong apabila pilihan raya umum ke-13 dipanggil, yang disebut-sebut akan diadakan awal tahun depan.
“Pilihan raya umum pun belum dipanggil, dan apabila pilihan raya umum diadakan, saya akan menyatakan parti yang saya akan sokong nanti,” kata beliau kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di sisi Konvensyen Pakatan Rakyat Kedua di sini hari ini.
Mohd Asri menghadiri majlis perasmian Konvensyen Pakatan Rakyat yang diadakan Dewan Millenium di sini dan dilihat menghabiskan masa sehingga tengah hari tadi mengikuti perjalanan konvensyen.
Ketika ditanya sama ada keputusan itu bermakna akan menyertai mana-mana parti kelak, Mohd Asri berkata, “tengok dulu. Saya sedang melihat..”
“Perkara itu saya masih memikirkan, saya sedang melihat perkembangan politik, iklim dan cuaca politik negara ini,” kata pensyarah Universiti Sains Malaysia ini dengan senyuman.
Ini kali pertama beliau menghadiri konvensyen Pakatan Rakyat.
Bagaimanapun Mohd Asri bukan asing dalam majlis-majlis anjuran Umno dan PAS. Beliau pernah menghadiri muktamar agung tahunan PAS yang diadakan di Kota Baru Jun lalu. Akhir Jun lalu, Mohd Asri menegaskan, beliau tidak menyertai mana-mana parti politik buat masa sekarang dan “tidak bercadang untuk memilih jalan itu” walaupun disebut-sebut akan memasuki Umno.
“Ingin saya tegaskan kepada rakyat Malaysia bahawa saya sehingga kini tidak menyertai mana-mana parti politik,” kata beliau ketika itu. Ulama yang dilihat sebagai aliran pemikiran ‘progresif’ ini menjadi tumpuan aktif Umno dan PAS sejak lebih setahun lalu.
Beliau telah memberi bayangan sedang memikirkan perkara tersebut sejak akhir tahun lalu. Bagaimanapun pada pertemuan hari ini, Mohd Asri memberitahu The Malaysian Insider, beliau masih berharap Kelantan akan kekal ditadbir oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada pilihan raya umum ke-13.
“Kelantan mesti ditadbir oleh Datuk Nik Aziz, PAS sebab beliau sudah membuktikan pentadbiran Kelantan sebagai pentadbiran contoh, yang harus diamalkan oleh mana-mana parti yang memerintah negara ini,” katanya.
Nik Aziz genap 20 tahun memimpin Kelantan, yang jatuh ke tangan PAS pada pilihan raya umum 1999. “Malah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri sudah membersihkan beliau daripada dakwaan rasuah... beliau telah memberikan kita satu kerajaan contoh,” kata Mohd Asri sambil menambah, Nik Aziz selaku Menteri Besar Kelantan telah menunjukkan sikap bersopan santun.
Mengenai kehadiran pada konvensyen Pakatan Rakyat hari ini, Mohd Asri berkata, beliau memutuskan untuk melihat perkembangan perikatan tiga parti itu dari dekat. “Urus setia konvensyen menjemput saya datang, jadi menerima jemputan untuk melihat dengan dekat, memahami secara langsung selepas hampir tiga tahun (Pakatan) bergerak,” katanya.
Sehubungan itu kata Mohd Asri, beliau melihat beberapa idea yang dibangkitkan dalam Buku Jingga, antaranya isu rasuah dan ketirisan memang sesuatu yang baik. Buku Jingga adalag agenda Pakatan yang menggariskan perincian dasar dan langkah yang berlandaskan Dasar Bersama untuk merealisasikan cita-cita Pakatan Rakyat membina sebuah negara yang makmur dan adil.
Intipati Buku Jingga dibentangkan oleh Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa, Ketua Pemuda DAP Anthony Loke dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.
“Ada banyak idea menarik yang dibangkitkan, macam yang dikatakan oleh YB Anthony Loke, tetapi persoalannya adakah Pakatan Rakyat boleh melaksanakannya.
“Oleh itu, Pakatan Rakyat perlu menyakinkan bahawa ia boleh melaksanakan apa yang disebutkan, contoh isu ketirisan dan rasuah... perkara ini semua orang cakap dan sudah tahu, tetapi apakah Pakatan Rakyat boleh meyakinkan orang ramai dengan melaksanakannya. Ini persoalan yang perlu dijawab oleh Pakatan Rakyat.
“Orang ramai akan tertarik dengan parti yang boleh meyakinkan mereka dengan program pelaksanaan,” kata beliau lagi.- minsider

JAKIM pantau seks songsang

PENGAMAL  seks songsang yang mempromosikan  gaya hidup yang  secara terbuka di alam siber.
PENGAMAL seks songsang yang mempromosikan gaya hidup yang secara terbuka di alam siber.


Kumpulan gay makin berani promosi gaya hidup secara terbuka

ALOR SETAR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memantau kegiatan kumpulan pengamal seks songsang, termasuk gay yang kini semakin berani mempromosikan gaya hidup itu secara terbuka di alam siber.
Beliau berkata, kegiatan tidak sihat itu perlu dipantau dan diambil tindakan tegas kerana perbuatan kumpulan terbabit boleh mencemarkan kesucian agama Islam dan dikhuatiri ramai yang lemah pegangan agama mudah terpengaruh.
"Kita mahu kegiatan itu dipantau rapi oleh pihak berkuasa dan tindakan sewajarnya diambil bagi membendung ia daripada berleluasa kerana ia boleh menjejaskan imej agama Islam," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Antarabangsa HR Marketing dan Jom Cegah Dadah di sini, semalam.

HR Marketing adalah syarikat jualan langsung terbesar milik Bumiputera di utara Semenanjung dan mengeluarkan pelbagai produk pengguna serta kosmetik berasaskan susu kambing.

Jamil Khir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan seorang lelaki yang mengaku berketurunan Melayu dan beragama Islam berusia 32 membuat pendedahan berani melalui blognya bahawa dia seorang gay.

Lelaki terbabit yang memperkenalkan dirinya sebagai Azwan Ismail dan bekerja sebagai jurutera selain penyair dan penulis dalam pengakuannya melalui laman web `Youtube' mendakwa dia rela membuat pengakuan terbuka itu kerana percaya seseorang itu perlu mengenali siapa dirinya yang sebenar dan berhak memberitahunya kepada orang lain.
Dalam video klip pengakuannya sepanjang dua minit 41 saat itu lelaki terbabit juga mendakwa dia mengambil masa yang lama untuk mengenali dirinya sebelum yakin dengan apa yang diamalkan itu serta masa depan kehidupannya menyebabkan ia mendorongnya membuat pengakuan terbuka berkenaan.

Pengakuan lelaki itu turut boleh dilawati melalui pautan laman sesawang ‘ohbulan' yang turut menyebut jurutera itu terpilih sebagai seorang daripada peserta kem-pen Seksualiti Merdeka yang mendapat sokongan pergerakan It's Get Better Project.

Keberanian lelaki itu membuat pengakuan terbuka turut mengundang pelbagai kecaman daripada orang ramai yang turut mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap perbuatan itu yang melanggar norma manusia dan ajaran Islam.

Sementara itu, Jamil Khir berkata, kerajaan juga sedang memantau kegiatan pihak tertentu yang mempromosikan fahaman pluralisme dalam agama kerana ia boleh menjejaskan akidah seseorang.

Taib, wanita Lubnan selamat diijab kabul





2010/12/19


  • Foto
    Abdul Taib Mahmud
  • Foto
    TAIB dinikahkan Kipli dalam majlis tertutup di kediaman rasmi Ketua Menteri Sarawak, di Kuching, malam tadi.
  • Foto
    WANITA Lubnan berusia 28 tahun yang dinikahi Taib.
  • Foto
Foto
TAIB dinikahkan Kipli dalam majlis tertutup di kediaman rasmi Ketua Menteri Sarawak, di Kuching, malam tadi.



KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, selamat dinikahkan dengan seorang wanita Lubnan berusia 28 tahun dalam majlis tertutup yang diadakan di kediaman rasminya, di sini, malam tadi.

Terdahulu, anggota keselamatan yang bertugas di kediaman Taib memaklumkan satu majlis tertutup diadakan dengan pihak media tidak dibenarkan memasuki kawasan berkenaan.
Majlis itu hanya dihadiri orang kenamaan dan ahli keluarga terdekat bermula dengan majlis tahlil dan doa selamat yang turut dihadiri kira-kira 200 tetamu khas.
Antara orang kenamaan yang dilihat masuk seawal jam 6 petang ialah Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar, Datuk Amar Abang Johari Openg; Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan; Penasihat Khas Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem; Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Mohd Naroden Majais dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi.

Taib dan isteri, seorang wanita Lubnan dinikahkan Mufti Sarawak, Kipli Yassin, kira-kira jam 9.30 malam dengan satu majlis persandingan sederhana turut diadakan di ruang utama kediaman rasmi beliau. Antara saksinya, anak kedua Taib, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir. 

Majlis tepung tawar mempelai dan persembahan hadrah dan berzanji turut diadakan ketika Taib dan isteri bersanding dengan kenalan dan keluarga terdekat diberi peluang menepung tawar pasangan.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Ketua Menteri, Amin Sahmat yang ditemui pihak media, memaklumkan majlis itu adalah tertutup dengan hanya jemputan khas dibenar memasuki kediaman Ketua Menteri. 
“Ini hanya majlis doa selamat, pengumuman lanjut akan dibuat kemudian dengan majlis kepada umum akan diadakan pada Januari,” katanya.

Bagaimanapun, Amin enggan mengulas lanjut mengenai majlis yang sebelum itu dipercayai adalah bagi meraikan pasangan Taib dan pilihan hatinya itu.

Anak kacukan Melayu, Maghribi

KUALA LUMPUR: Beralis tebal, berambut ikal, berkulit putih dan berhidung mancung. Sekali pandang ramai menyangka ia kanak-kanak perempuan tetapi, wajah comel si ‘cilik’ itu sebenarnya lelaki.
Itulah hasil anak ‘kacukan’ Melayu dan Maghribi, Saifullah Ali, 3, yang dimiliki Mohd Fairudz Mohd Yusoff, 34.

Menyifatkan ia anugerah Allah SWT, Mohd Fairudz berkata, berdasarkan pengalamannya, perkahwinan campur biasanya akan mendapat anak yang bijak, lebih berani apabila bergaul dengan rakan sebaya dan senang berkawan.

“Ciri-ciri itu ada pada Saifullah. Alhamdulillah, rezeki Allah. Sebagai contoh, pada usia dua tahun dia sudah mula suka mencuba menggunakan tetikus untuk melayari Internet dan pada usia itu juga dia sudah boleh bermain PlayStation bersama isteri dan saya.

“Kelebihan daripada segi bahasa pula, isteri saya bercakap Arab dengan anak, saya pula bercakap bahasa Inggeris dan anak akan belajar bahasa Melayu secara automatik kerana bahasa Melayu sangat mudah untuk difahami.

“Apatah lagi keadaan sekeliling di negara ini, ramai bercakap bahasa Melayu,” katanya.

Mohd Fairudz mengakui sering ditegur orang ramai ketika membawa anaknya bersiar-siar.

“Ke mana saja, orang ramai akan menegur dan bertanya mengenai anak saya. “Ada yang tanya lelaki ke perempuan. Justeru, ia membuatkan anak saya mudah bergaul dan mendapat rakan baru,” katanya.
Dalam pada itu Mohd Fairudz mendedahkan dia sudah ‘mengecewakan’ ramai lelaki tempatan yang cuba mencari jodoh di kalangan gadis Maghribi.

“Sepanjang menguar-uarkan khidmat membantu mencari jodoh di kalangan gadis Maghribi di Internet sejak awal 2010, ada sekurang-kurangnya 40 orang yang bercita-cita kahwin dengan gadis Maghribi terpaksa saya ‘reject’ (tolak) permintaan mereka. “Antara sebabnya mereka hanya mahu mengambil kesempatan, tak serius dan mempunyai pendapatan yang bakal memberi kesusahan kepada isteri. Jika pendapatan kecil bagaimana hendak menjaga isteri, faktor kewangan pun penting juga, nanti wanita dikahwini teraniaya,” katanya.

Menurut Mohd Fairudz, soal perkahwinan bukan perkara yang boleh dibuat main-main kerana ia membabitkan perkongsian hidup sehingga ke akhir hayat.

“Saya bukan agensi mencari jodoh kerana saya hanya membantu. Setiap lelaki yang berasa hendak mencari jodoh di kalangan gadis Maghribi akan saya teliti latar belakangnya. “Yang tidak serius dan ada agenda tersembunyi, lupakan sajalah,” katanya.

Mohd Fairudz mengakui sejak kisahnya tersiar di akhbar ini, dia tidak menang tangan melayan kiriman e-mel, SMS dan panggilan telefon daripada individu yang berminat untuk mencari jodoh di kalangan gadis Maghribi.

“Secara purata saya dapat puluhan e-mel, SMS dan panggilan telefon setiap hari. Ternyata ramai yang berminat mencari jodoh di kalangan gadis Maghribi.

“Kerana sambutan di luar jangkaan, saya minta maaf kepada sesiapa yang lewat menerima jawapan. Saya pun ada kerja lain dan lagipun saya hanya membantu secara percuma,” katanya.

Sementara itu, Mohd Fairudz menegaskan dia tidak berniat menyinggung perasaan gadis tempatan.

“Mencari jodoh di kalangan gadis Maghribi hanyalah alternatif kepada lelaki tempatan. “Gadis tempatan pun ada keistimewaan. Saya bercakap berdasarkan reaksi lelaki tempatan sendiri,” katanya.