Lautan jemaah di Padang Arafah.
HARI ini lebih dua juta jemaah haji dijadualkan berhimpun di Padang Arafah untuk menunaikan wukuf, iaitu perkara kedua dalam Rukun Haji. Rukun Haji yang pertama ialah berniat ihram haji.
Empat lagi Rukun Haji ialah tawaf di Baitullah, saie antara Bukit Safa dengan Bukit Marwah, bercukur atau tahalul dan tertib pada kebanyakan rukun.
Dengan keluasan kira-kira 10 kilometer (km) persegi, Arafah menyediakan kawasan yang luas untuk seluruh jemaah haji berhimpun semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.
Dari segi istilah, wukuf bermaksud berhenti dan berada di bumi Arafah sebentar atau seketika meskipun untuk tempoh yang amat singkat dalam apa juga keadaan. Ia bermula dari gelincir matahari (masuk waktu Zohor di Arab Saudi) pada 9 Zulhijah hingga sebelum terbit fajar (masuk waktu Subuh) pada 10 Zulhijah.
Tiada seorang pun jemaah haji dikecualikan daripada hadir di bumi Arafah. Jika ada jemaah haji terlantar di hospital, Kerajaan Arab Saudi (KSA) akan menyediakan ambulans untuk membawa mereka ke Arafah.
Kemuncak ibadah haji
Wukuf adalah kemuncak ibadah haji dan yang membezakan antara ibadah haji dengan umrah. Rasulullah SAW bersabda: "Haji itu adalah wukuf di Arafah." Hari Arafah adalah hari Allah SWT membebaskan sesiapa yang hadir di padang Arafah daripada api neraka.
Berdasarkan pengalaman saya menunaikan ibadah haji tahun lalu bersama kira-kira 400 jemaah haji dari Maktab 97 di bawah kendalian Tabung Haji (TH) atau lebih dikenali sebagai 'muassasah,' jemaah mula bergerak ke Padang Arafah pada 8 Zulhijah.
Dengan menaiki bas masing-masing dari Kota Makkah ke Arafah, jemaah menempuh perjalanan kira-kira 20 kilometer. Ada kumpulan jemaah tiba di padang berkenaan mulai jam 12 tengah hari. Ada juga menjejakkan kaki menjelang Asar.
Dipenuhi ribuan khemah
Di kawasan itu tidak ada apa yang kelihatan kecuali padang tandus yang dipenuhi dengan ribuan khemah. Jemaah muassasah Malaysia disediakan khemah besar yang mampu memuatkan kira-kira 200 orang setiap khemah. Dengan suhu mencecah antara 38 hingga 40 darjah Celsius, jemaah terpaksa bersabar menjalani ujian Allah.
Di setiap tiang besi khemah itu ada senarai nama antara 10 hingga 15 jemaah haji yang lazimnya dihimpunkan berdasarkan perkongsian bilik yang sama ketika mereka berada di maktab.
Di kawasan berhampiran tiang itulah jemaah membentang tikar dibekalkan TH dengan setiap tikar hanya mampu memuatkan sekujur tubuh. Di situlah kesabaran jemaah haji diuji dengan keadaan ruang yang amat terhad mereka harus bertolak ansur dengan jemaah lain.
Setiap kali berbaring dalam keadaan berihram, kepala jemaah akan bertemu dengan hujung kaki jemaah yang lain dan begitu juga dengan kaki mereka akan menjamah kepala jemaah yang di bawah mereka.
Untuk mendapatkan makanan dan minuman, tukang masak negara asing yang mendapat kontrak penyediaan makanan daripada TH menyediakan bahan berkenaan di khemah khusus. Dari situ, ada petugas menghantar makanan dan minuman ke setiap khemah.
Di khemah, jemaah melakukan ibadah secara bersendirian. Ada yang berwirid, bertahmid, berzikir dan bermunajat kepada Allah. Apabila masuk waktu solat Asar, Maghrib dan Isyak, ada jemaah yang berhimpun di khemah yang dijadikan surau. Oleh sebab surau berkenaan terlalu kecil, kebanyakan jemaah terpaksa membentang sejadah dalam khemah masing-masing untuk mendirikan solat berjemaah.
Jemaah haji Malaysia bersabar dengan ujian bersesak-sesak dalam khemah di Padang Arafah.
Untuk menggunakan tandas, jemaah terpaksa beratur panjang. Dalam sederet tandas, ada lima pintu tandas yang setiap satu hanya mampu memuatkan sekujur tubuh. Di situlah jemaah membuang air besar, air kecil dan mandi. Jika ada jemaah yang mengambil masa terlalu lama untuk mandi, maka akan ada jemaah yang menunggu di luar mengingatkan mereka supaya bertimbang rasa terhadap jemaah lain.
Selepas solat Isyak, jemaah haji berpeluang melelapkan mata sebentar sebelum dikejutkan dengan suara mutawif melalui alat pembesar suara. Kira-kira jam 2 pagi pada 9 Zulhijjah, mutawif membimbing jemaah untuk mengikuti qiamullail yang diisi dengan solat sunat tahajud, hajat dan tasbih sebelum menunaikan solat Subuh.
Untuk bersarapan, jemaah haji hanya memakan biskut dan roti yang dibekalkan bersama air galian. Kebanyakan jemaah tidak mahu membuang masa. Waktu yang terluang itu dimanfaatkan untuk bermunajat kepada Allah hingga solat Zuhur.
Khutbah Arafah
Selepas selesai solat Zuhur, mutawif menyampaikan khutbah Arafah. Tiada apa yang dapat disaksikan ketika itu kecuali wajah kebanyakan jemaah yang menitiskan air mata ketika bermulanya waktu Wukuf selepas gelincir matahari atau selepas waktu Zuhur.
Menjelang solat Asar, jemaah meneruskan zikir masing-masing. Hanya selepas solat Asar, mutawif meminta jemaah haji mencari pasangan suami atau isteri masing-masing untuk berdoa di tengah padang pasir. Untuk memangil isteri di khemah wanita, si suami terpaksa melaungkan nama isteri dari luar pintu khemah.
Jika isteri terlalu jauh dalam khemah, maka akan ada jemaah haji wanita berdiri dan menyambut laungan nama itu dengan membantu melaungkannya semula untuk memberitahu bahawa suami jemaah wanita yang dipanggil itu sedang menanti di luar khemah.
Di bawah terik mentari petang, pasangan suami isteri membentang tikar di tengah padang dan mula berdoa. Air mata yang mencurah curah membasahi pipi mereka sudah cukup untuk menceritakan betapa mereka amat mengharapkan agar Allah SWT mengampunkan dosa mereka.
Padang pengampunan
Padang Arafah juga dikenali sebagai 'padang pengampunan.' Jemaah haji memanfaatkan peluang itu untuk memohon supaya Allah melimpahkan rahmat dan rahim-Nya bagi mengampuni dosa mereka. Ketika bermunajat kepada Allah di tengah padang itu, dapat dirasakan betapa Allah SWT benar-benar terlalu hampir dengan insan. Setiap doa yang dilafazkan bagaikan dapat disaksikan naik ke langit. Begitulah kehebatan dan kekuasaan Allah SWT menyambut tetamu-Nya di Arafah.
Menjelang solat Maghrib, jemaah diingatkan oleh mutawif supaya bersedia menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara Jamak Tammam berjemaah. Sejurus selepas solat, jemaah harus bersedia mengemaskan barang masing-masing dan beratur menaiki bas ke padang Muzdalifah untuk mengutip 72 butir batu.
Sesungguhnya, wukuf di Padang Arafah adalah kemuncak ibadah haji. Wukuf mendidik jemaah haji mengenai hari insan dibangkitkan semula di Padang Mahsyar. Kain ihram putih mendidik jemaah haji bahawa bukan pangkat, harta dan darjat yang membezakan insan. Yang membezakan mereka ialah iman dan takwa kepada Allah SWT.