Sunday, January 8, 2012

Pengawal peribadi Wan Azizah cedera




2012/01/08

BUKIT MERTAJAM: Pengawal peribadi Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, cedera di tangan kiri dipercayai dicucuk dengan objek tajam dalam satu ceramah di Cheruk Tok Kun, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Azman Abd Lah, berkata Fayyadh Afiq Albakry Jaafar Sidek, 26, kini dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini dan berada dalam keadaan stabil.
"Mangsa mendakwa tangannya dicucuk benda tajam ketika mengiringi Wan Azizah ke pentas untuk memberi ceramah di Galeri Pejuang di situ, pada kira-kira 10 malam tadi," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob, dalam sidang akhbar berasingan selepas melawat Fayyadh Afiq di HSJ, berkata polis sudah menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes berkenaan.

Katanya, HSJ turut menubuhkan pasukan khas perubatan bagi mengetahui punca sebenar dan tahap kecederaan yang dialami mangsa.

Pasukan itu yang diketuai Pengarah HSJ, Dr Azlina Mohd Radzi; Pakar Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Zahari Noor; dan Pakar Perubatan Dalaman HSJ, Dr Teoh Guik Lee, turut hadir pada sidang akhbar itu.

Ayub berkata: "Pemeriksaan (oleh pasukan perubatan) hari ini mendapati terdapat calaran sepanjang 0.4 sentimeter pada tapak tangan kiri, bagaimanapun tiada sebarang kesan sampingan daripada calaran itu pada organ lain...keadaan beliau stabil.
"Pihak hospital sudah mengambil (sampel) darah dan air kencing beliau untuk ujian di Jabatan Kimia, keputusannya akan diketahui esok".

Ayub berkata, pemeriksaan perubatan mendapati tiada kesan atau tanda-tanda mangsa diracun atau disuntik dengan dadah sepertimana yang dilaporkan dalam beberapa blog.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan agar tampil membantu siasatan polis.

Fayyadh Afiq yang berasal dari Seberang Jaya, di sini, ketika ditemui di HSJ, berkata beliau tidak pasti bagaimana tapak tangannya dicederakan kerana ketika kejadian orang sangat ramai dan keadaan kelam kabut. - BERNAMA Berita Harian Online | Pengawal peribadi Wan Azizah cedera:

'via Blog this'

Anwar: Kita berada di sebelah yang benar dalam sejarah!

Meskipun mengalami penderitaan lantaran hukuman penjara yang dilaluinya pada tahun 1998, namun Anwar Ibrahim tetap bersyukur kerana dirinya masih hidup (survive) setelah mengharungi pengalaman tersebut. Berdepan dengan keputusan kes liwat 2 yang bakal diumumkan mahkamah tinggi pada 9 Januari 2012, beliau dengan yakin berkata, "We are on the right side of the history!"

Dalam ucapan lebih daripada sejam itu, Anwar Ibrahim (gambar kiri) lebih menekankan isu kebangkitan mahasiswa, mengimbas pengalaman dirinya ketika menyandang jawatan Menteri Kewangan dalam kerajaan, mengkritik sistem negara yang semakin bobrok di depan mata. Beliau hanya menyentuh tentang 9 Januari ketika menyimpul ucapannya, bagaimanapun menegaskan bahawa adalah lebih penting untuk rakyat menumbangkan kerajaan Barisan Nasional dalam PRU akan datang.

Anwar Ibrahim, 65, berucap di depan lebih 2,500 orang di dalam dan di luar Dewan Gasing Indah, Lembah Pantai semalam, menyatakan keyakinan dirinya bahawa masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia ini mampu mencipta sejarah untuk menjatuhkan kerajaan yang korup dalam PRU 13. Malah, kumpulan-kumpulan seperti PERKASA bakal difailkan ke dalam muzium sejarah Malaysia selepas itu.

Jangan hanya cakap pasal penderitaan

Anwar pernah dipenjarakan selama enam tahun, sebelum dibebaskan pada 2 September 2004. Ketua Umum Parti Keadilan ini berkongsi hikmah di sebalik itu, mendakwa bahawa pengalaman yang dilaluinya menjadikan dirinya lebih matang ketika membincangkan soal kaum. Malah beliau berkongsi nasihat Tok Guru kepadanya, jangan hanya lihat kepada penderitaan, tetapi pengalaman tersebut menjadikan dirinya lebih sedar masalah rakyat sebagai seorang pemimpin.

Anwar berkata, dirinya pernah berucap di dalam masjid, mengambil contoh seorang anak Cina miskin bernama Swee Lin yang memperolehi 12 A tetapi tidak diberi biasiswa. Beliau berucap di depan umat Islam, bahawa Swee Lim perlu diangkat sebagai anak kita. "Kita Melayu, kita pertahankan hak Melayu, kita mengangkat martabat Islam, tapi kita mesti adil," katanya. Beliau berkata, orang boleh mempertikaikan bahawa dirinya membuat retorik politik, tetapi pengalaman enam tahun dalam penjara, membuatkan dirinya berkata dari dasar hatinya.

Anwar memulakan ucapannya dengan kebangkitan mahasiswa, yang seharusnya berperanan sebagai suara hati masyarakat. Dengan nada sinis, beliau menyindir bagaimana sesetengah siswa sekarang mencium tangan menteri korup yang menindas rakyat.

Kemudian beliau mengisahkan pengalamannya ketika menyandang jawatan Menteri Kewangan, berpeluang ke Kampung Kerinchi yang perjalanannya 10 minit dari pejabatnya di Jalan Duta, melihat sendiri betapa miskin dan robeknya keadaan di sana, tatkala dipuji dengan angka pertumbuhan ekonomi yang besar dan megah.

Beliau mendakwa dirinya cuba untuk memperbaiki keadaan, mengumpul dana dari bank untuk melancarkan Projek Perumahan Rakyat Termiskin. Beliau menyindir bahawa menteri sekarang tidak lagi berwibawa untuk berbuat demikian, kerana disogok oleh orang kaya. Anwar kemudiannya mengkritik bagaimana kroni UMNO mengaut keuntungan dengan perjanjian konsesi yang tidak adil, dan berakhir dengan rakyat yang menanggung beban tersebut.

Malah, mengambil contoh bagaimana seorang wanita dari keluarga miskin dihukum kerana meminum arak, tetapi Menteri yang menyalahgunakan wang zakat dipertahankan, Anwar berkata dirinya tidak menggalakkan orang minum arak, tetapi menganggap sistem ini tidak adil apabila mereka yang miskin dihukum, pada masa yang sama, orang yang kaya dan berkuasa dibiarkan bermaharajalela.

Beliau mengulangi tiga kemungkinan yang dihadapinya pada 9 Januari, pertama, tidak bersalah dan dibebaskan, kedua, dihukum tetapi diikat jamin dan ketiga, dipenjarakan terus. Beliau mendakwa dirinya tidak terusik dengan keputusan 9 Januari, menekankan bahawa beliau akan teruskan usahanya, malah menyeru rakyat bersamanya untuk menjatuhkan kerajaan yang korup dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Turut hadir memberi ucapan termasuk bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Abdul Aziz Bari, aktivis sosial Hishamuddin Rais, Setiausaha Menteri Besar Selangor Faekah Husin, selain ahli parlimen Lembah Pantai merangkap Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi Bahasa Malaysia.

MerdekaReview - Anwar: Kita berada di sebelah yang benar dalam sejarah!:

'via Blog this'

Surat terbuka dari PKR Selangor kepada Hasan Ali

Penerangan KEADILAN Selangor terpanggil untuk memberikan sedikit kenyataan terhadap Hasan Mohd.Ali dalam beberapa liputan media kebelakangan ini. Kenyataan ini pastinya adalah pendirian yang dilahirkan setelah sekian lamanya tersimpan hingga senak terasa di perut! Hendak dibuang "angin bimbang berbau busuk, hendak ditahan sakit sudah melata ke dada".

Saya percaya Hasan Ali (gambar kiri) adalah seorang yang istimewa. Saya sendiri, malah ramai rakan-rakan saya bersetuju bahawa Hasan Ali mempunyai kelebihan dan perwatakan yang menarik, petah dan tegas. Namun saya juga mempercayai bahawa Hasan Ali, dengan sesungguhnya tanpa ragu-ragu, mempercayai bahawa Hasan Ali sendiri terlebih-lebih istimewa. Perkara ini dapat disimpulkan dalam pelbagai tindakan, ulasan dan gaya Hasan Ali sehingga kini, erutamanya apabila melihat isu pertelagahan "dalam kain" antara pimpinan Parti Islam SeMalaysia (PAS) di Selangor.

Saya tidak begitu "berani" mempersoalkan pentadbiran dalaman sahabat seperjuangan PAS dalam menangani isu ini kerana "amat hormatkan saudara tua", namun apabila saya terlihat temubual Hasan Ali agar adik-adik siswa dan siswi menjauhkan diri daripada menghadiri hari "penultimate" Anwar Ibrahim, Penerangan KEADILAN Selangor tidak terdaya lagi menahan jari untuk menulis kenyataan ini dengan menyatakan "perasaan menyampah sangat" dengan tindakan Hasan Ali.

Apakah siswa dan siswi akan secara otomatisnya gagal dan mencapai CGPA yang rendah apabila memperjuangkan kebenaran dan keadilan? Apakah perjuangan hanya digalas oleh mereka yang berintelek dan berijazah daripada Universiti Pittsburgh?

Secara tidak langsungnya Hasan Ali telah menghina mereka yang turut merasakan kezaliman rejim UMNO dan BN dan mereka yang dianiaya tanpa pembelaan sewajarnya. Umum mengetahui bahawa di Malaysia ini "justice is only available to those who could afford it" dan sekiranya manusia Anwar Ibrahim ini dapat menyatukan rakyat untuk menyatakan tidak kepada kes fitnah 2 tanpa bukti kukuh, dan membelakangi undang-undang Syari’ah kepada kedudukan "second-tier", apakah salahnya mereka hadir untuk menyatakan dan menzahirkan sokongan mereka? Sekurang-kurangnya sebagai sokongan moral kepada Anwar Ibrahim: simbol kepada mangsa fitnah berterusan!

Pencapaian akademik tidak selama-lamanya merupakan pre-requisite kejayaan kerana "otak tanpa ruh Islam" akan menyebabkan keruntuhan akhlak para genius Melayu sepertimana berlaku sekarang di United Kingdom dan Eropah.

KEADILAN Selangor hairan, Hasan Ali seolah-olah terperangkap dengan hujah "counter-intelligence" UMNO bahawa isu ini hanyalah isu peribadi. Sebenarnya Hasan Ali, isu ini adalah isu nasional. Buktinya adalah perjuangan beliau dan rakan-rakan semuanya berlandaskan kepentingan rakyat. Polisi Pakatan Rakyat dimodelkan atas premis primer ini dan kini Rakyat dapat merasakan hasil titik peluh mereka sendiri walau dinafikan oleh UMNO selama ini.

Sedangkan UMNO dan PDRM sendiri menyatakan bahawa ini melibatkan keselamatan persekutuan! Bagaimana Hasan Ali boleh mengatakan ia peribadi?

Parti Keadilan Rakyat telah menunjukkan solidaritinya bersama PAS dan Pakatan Rakyat apabila mengheret ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin dan menyingkirkannya walaupun dalam keadaan genting. Namun tindakan Hasan Ali cuma menambahkan derita dengan tidak menggalakkan secara terbuka (melaluiRTM dan TV3 juga) agar tidak hadir ke Mahkamah. Apakah Hasan Ali sebegitu buta hati terhadap masalah Anwar Ibrahim (DSAI)? Apakah sebegitu gelap dan jijik pandangan Hasan Ali terhadap DSAI? Bukankah isu DSAI itu sendiri membantu Hasan Ali mendapat kemenangan dalam pilihanraya yang akhirnya menjayakan Hasan Ali menduduki kerusi empuk di Bangunan SSAAS Shah Alam? Inilah padahnya jika "terlalu kerap terlewat hadir di taklimat dan mesyuarat yang diadakan". Saya percaya Hasan Ali tertinggal semua taklimat penting hingga Hasan Ali tenggelam punca.

Tindakan Hasan Ali seolah-olahmenyatakan bahawa sesiapa sahaja boleh menuduh zina kepada mana-mana Rakyat dan kita harus mendiamkan diri. Tindakan ini adalah tindakan pengecut, pentingkan diri sendiri dan kebas terhadap penderitaan mereka yang difitnah.

Hasan Ali juga sebegitu pasif dan naif dalam membuat kenyataan. Hasan Ali sehingga hari ini gagal menjawab Harakah berkenaan dakwaan Hasan Ali bahawa pertemuan Hasan Ali bersama Tuan Guru Nik Aziz di Kelantan adalah berkenaan permohonan maaf. Apabila kes diumumkan tutup, Hasan Ali tanpa segan silu menggunakan media UMNO lagi untuk membuat serangan selanjutnya. Apakah sebegitu dendam Hasan Ali sehingga sanggup membakar rumah sendiri? KEADILAN Selangor yakin Hasan Ali sudah "terkena sesuatu".

Hasan Ali, sama ada setuju atau tidak Hasan Ali kini merupakan liabiliti kepada Pakatan Rakyat. Hasan Ali mungkin merasakan Hasan Ali berjuang berlandaskan jalan Allah SWT namun saya ingin Hasan Ali bermuhasabah diri sendiri dan bertanya sama ada Hasan Ali benar-benar di pihak yang benar atau benar-benar keliru. Kedua-duanya lain dan melihat tindakan Hasan Ali yang terkini, seolah-olah Hasan Ali menyatakan bahawa Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tersilap dan tersasar. Apakah Hasan Ali sebegitu fasih, qatam dalam agama sehingga sanggup menyatakan sedemikian?

Sejak bila Islam dan Melayu itu satu Hasan Ali? Islam tidak memerlukan Melayu malah Melayu dan manusia amnya yang memerlukan Islam. Menyatukan keduanya adalah sesuatu yang jahil melihatkan kepada kes perkahwinan jantina sejenis bersongkok dan keruntuhan moral anak bangsa di luar Negara kini.

Saya menyeru agar Hasan Ali jangan terlalu mengikut perasaan. Masa Hasan Ali untuk menjadi Menteri Besar masih ada. Jangan kita merajuk sampai terlupa kita sebenarnya membakar rumah kita sendiri. Masih ada ruang "untuk berjiwa besar" dengan menoleh sejenak ke belakang. Apakah langkah Hasan Ali sederap dengan pimpinan, atau ia semakin sumbang? Hasan Ali lebih mengerti dengan maksud "kura kura dalam perahu".

Saya memohon maaf sekiranya tulisan saya menyakiti hati dan perasaan Hasan Ali. Sesungguhnya tulisan, ucapan dan tindakan Hasan Ali telah melukakan hati saya dan ramai teman seperjuangan yang lain termasuk Anwar dan keluarganya. Dalam keadaan mereka memerlukan, sekurang-kurangnya janganlah kita merendahkan moral dan menjatuhkan lagi semangat mereka yang mungkin perlu dipaksa berpisah lagi sekali dan berhubung hanya melalui jeriji besi.

Sila bayangkan sekiranya perkara yang sama berlaku kepada Hasan Ali.

*Surat terbuka ini ditulis oleh Shuhaimi Haji Shafiei (gambar kanan) selaku Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, merangkap ADUN Sri Muda.

MerdekaReview - Surat terbuka dari PKR Selangor kepada Hasan Ali:

'via Blog this'

Aziz Bari: PAS lebih kuat tanpa Hasan Ali

PAS Pusat akhirnya membuat keputusan untuk memecat keahlian Hasan Ali dalam mesyuarat yang diadakan pada hari ini, tetapi tidak dimaklumkan kedudukan Hasan Ali sebagai EXCO kerajaan negeri Selangor dalam kenyataan media. Menurut laporan Harakah Daily, lidah parti versi internet, "PAS Pusat dalam mesyuarat yang diadakan pada hari ini, PAS Pusat telah membuat keputusan berdasarkan Fasal 82(9) iaitu memecat keahlian Hasan Mohd Ali sebagai ahli PAS berkuatkuasa serta merta."

Dalam satu kenyataan media daripada PAS, yang ditujukan untuk Harakah sebagaimana yang difahamkan MerdekaReview, berbunyi, "Setelah mempertimbangkan segala pandangan yang diberikan oleh ahli-ahli jawatankuasa PAS Pusat dalam mesyuarat yang diadakan pada hari ini, PAS Pusat telah membuat keputusan berdasarkan Fasal 82(9) iaitu memecat keahlian YB Dato’ Dr Hasan Mohd Ali (gambar kanan) sebagai ahli PAS berkuatkuasa serta merta.

Keputusan ini dibuat berdasarkan kepada tindakan-tindakan YB Dato’ Hasan Ali yang menyalahi dan merugikan kepentingan Parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan PAS
."

Hasan Ali terkejut dengan tindakan drastik

Pada jam 5 petang tadi, Hasan Ali melalui satu kenyataan ringkasnya berkata, "Alhamdulillah, segala puji bagi Allah s.w.t. sebentar tadi saya menerima berita pemecatan saya sebagai ahli PAS dengan serta merta. Saya amat terkejut dengan tindakan drastik yang di ambil oleh AJK PAS Pusat itu."

"Saya turut bersedih kerana perjuangan Islam saya selama ini dibalas sedemikian rupa. Saya akan merujuk kepada sahabat-sahabat dan meminta pandangan daripada teman-teman Ulama’ mengenai tindakan selanjutnya yang patut saya ambil. Saya akan memanggil sidang akhbar dalam masa yang terdekat untuk menjelaskan lagi kedudukan perkara ini," katanya.

Muslimat PAS menyambut baik

MerdekaReview cuba menghubungi beberapa orang pimpinan tertinggi, namun tidak dijawab panggilan. Bagaimanapun, Ketua Penerangan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al Jundi menyambut baik, mengucap "syabas dan tahniah" terhadap keputusan PAS Pusat, menyifatkannya sebagai tindakan yang "berani". Ketika dihubungi MerdekaReview, Aiman berkata, Hasan Ali telah menjadi liabiliti parti dengan kenyataan yang dikeluarkannya selama ini.

Terbaru, apabila beliau menggalakkan pelajar dan siswa tumpukan pelajaran dan tidak terlibat dalam perhimpunan pada 9 Januari, hari mahkamah tinggi membuat keputusan kes liwat II yang membabitkan Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim. Menurut Aiman, pendirian yang mahukan generasi muda hanya tumpu kepada pelajaran semata-mata bukan sikap PAS. PAS melihat golongan siswa sangat signifikan untuk memastikan negara berada dalam landasan terbaik dalam semua aspek.

Aiman menambah, kenyataan terbaru Hasan Ali menunjukkan beliau seolah-olah memusuhi kebangkitan anak muda yang mahukan negara ini ke arah yang lebih baik. Untuk Aiman, kenyataan yang tidak selari dengan PAS ini adalah klimaks beliau dipecat dari parti.

Dewan Pemuda mendokong keputusan

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia mendokong "keputusan yang dibuat secara musyawarah oleh PAS Pusat sebentar tadi bahawa Hassan Ali dibuang keahliannya berkuat kuasa serta merta dan menurut peruntukan perlembagaan parti, beliau masih boleh mengemukakan rayuan kepada Majlis Syura Ulama' selepas ini. Semoga Allah memberkati keputusan yang dibuat secara syura ini."

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin bin Hassan (gambar kanan) dalam Facebooknya berkata, "Kepada Hassan Ali, jika anda benar - benar ikhlas dengan perjuangan Islam, anda tidak lari meninggalkan perjuangan ini sebagaimana pernah berlaku kepada Abu Bakar Hamzah yg pernah dipecat kerana membuat kenyataan yg bercanggah dgn keputusan parti, tetapi beliau tidak lari meninggalkan perjuangan suci ini. Beliau berehat panjang dan akhirnya kembali semula kepangkuan PAS di penghujung karier dan usianya."

Aziz Bari: PAS lebih kuat tanpa Hasan Ali

Di samping itu, bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Abdul Aziz Bari menganggap PAS akan menjadi lebih kuat tanpa Hasan Ali . Beliau berkata, Hasan Ali tidak berdisiplin dan wajar dipecat.

Hasan Ali mencetus kontroversi dengan beberapa kenyataan dan tindakan beliau yang dilihat tidak selari dengan parti dan Pakatan Rakyat selepas menyandang jawatan EXCO dalam kerajaan negeri Selangor. Ditanya sama ada keputusan PAS Pusat ini telah "terlewat" dari segi masanya, Aziz Bari (gambar kiri) berkata, "Yang penting ia baik; PAS perlu masa untuk menimbang keputusan itu."

Ketika dihubungi MerdekaReview, Aziz Bari menjangka kesan keputusan ini adalah positif, dan Hasan Ali sebenarnya tiada penyokong seperti yang didakwanya.

MerdekaReview - Aziz Bari: PAS lebih kuat tanpa Hasan Ali:

'via Blog this'

Lagi sekoq nak kena pecat pasai dok keluaq tv3

Nasharudin Mat Isa

Hasan: Saya terkejut tindakan drastik Pas


G MANIMARAN
January 8, 2012

SHAH ALAM - Datuk Dr Hasan Ali terkejut dengan keputusan Pas memecat beliau dari parti itu dengan serta-merta sambil menyifatkannya sebagai tindakan "drastik."

"Saya amat terkejut dengan tindakan drastik yang diambil oleh ahli jawatankuasa kerja PAS pusat itu," kata beliau dalam satu kenyataan ringkas yang dihantar sekitar 5.30 petang ini.

Lebih dua jam lalu Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan keputusan pihaknya memecat Hasan berkuat kuasa serta-merta.

"Alhamdulillah, segala puji bagi Allah s.w.t. Sebentar tadi saya menerima berita pemecatan saya sebagai ahli PAS dengan serta-merta," katanya lagi.

Hasan, Exco Kerajaan Negeri Selangor berkata beliau turut bersedih kerana usahanya memperjuangan Islam selama ini dibalas sedemikian rupa.

"Saya akan merujuk kepada sahabat-sahabat dan meminta pandangan daripada teman-teman ulama mengenai tindakan selanjutnya yang patut saya ambil.

"Saya akan memanggil sidang akhbar dalam masa yang terdekat untuk menjelaskan lagi kedudukan perkara ini," kata Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Gombak Setia ini.Hasan: Saya terkejut tindakan drastik Pas - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

PAS pecat Hasan Ali




harakahdaily
KUALA LUMPUR, 8 Jan: PAS Pusat dalam mesyuarat yang diadakan pada hari ini, telah membuat keputusan berdasarkan Fasal 82(9) iaitu memecat keahlian YB Dato’ Dr Hasan Mohd Ali(gambar) sebagai ahli PAS berkuatkuasa serta merta.

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS


Setelah mempertimbangkan segala pandangan yang diberikan oleh ahli-ahli jawatankuasa PAS Pusat dalam mesyuarat yang diadakan pada hari ini, PAS Pusat telah membuat keputusan berdasarkan Fasal 82(9) iaitu memecat keahlian YB Dato’ Dr Hasan Mohd Ali sebagai ahli PAS berkuatkuasa serta merta.

Keputusan ini dibuat berdasarkan kepada tindakan-tindakan YB Dato’ Hasan Ali yang menyalahi dan merugikan kepentingan Parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan PAS.
Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS
PAS pecat Hasan Ali:

Tersasul sebut Anwar, pembaca berita TV3 minta maaf


WARTAWAN SINAR HARIAN
January 8, 2012
Nur Jamalina Jamali

SHAH ALAM - Sementara nama Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi sebutan banyak pihak menjelang hari penentuan kes liwat beliau esok, pembaca berita TV3, Nur Jamalina Jamali atau Jay memohon maaf kerana tersilap menyebut nama Ketua Pembangkang itu, seolah-olah merujuknya sebagai perdana menteri, ketika menyampaikan berita Buletin Utama, malam tadi.

"Saya ingin memohon maaf tersasul ketika Buletin Utama sebentar tadi. Tidak disengajakan," kata Jaya Jamalina yang mesra dikenali sebagai "Jay" menerusi mesej Twitter malam tadi.

Beliau memohon maaf ekoran kritikan beberapa pihak.

Bagaimanapun, sebahagian besar pengikut dan penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak kelihatan menerima permohonan maaf itu sambil menyifatkan ia bukan sesuatu yang disengajakan.

Misalnya, blog nescafeais menyebut, "perhatikan saat ke-50... bukan isu besar pun... cuma kelakar... sebut nama musuh kot...hahaha."

Blog muzammilarif dengan tajuk Maafkan Jay tertasul sebut Anwar pasal aktiviti PM" menulis, tengah sedap melayan Buletin TV3 malam tadi, pembaca berita yang bernama Nur Jamalina yang juga adalah calon dalam dua kategori iaitu Ulasan Berita Radio Terbaik dan Penyampai Berita Radio Terbaik bagi tahun 2010 membuat kejutan apabila tersasul menyebut nama Perdana Menteri sebagai Anwar Ibrahim. Beliau kemudian memohon maaf menerusi mikroblog twitter..."

Jay tersasul apabila berkata "wartawan TV3 di Johannesburg melaporkan, lawatan Datuk Seri Anwar itu... lawatan Datuk Seri Najib itu dijangka..."

Anwar pernah memegang jawatan timbalan perdana menteri sebelum dipecat pada September 1998.

Berita itu merujuk kepada lawatan Najib ke Afrika Selatan bermula semalam.

Jay merupakan salah seorang pembaca berita setiap jam dan laporan trafik terkini Hot FM.

Difahamkan, beliau membaca berita Buletin Utama secara sambilan.

Isu itu menjadi perhatian ketika tumpuan sema pihak beralih ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang akan mengumumkan keputusan kes liwat Anwar, yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat.

Selain itu perhatian juga tertumpu ke atas perhimpunan 901, di kawasan parkir Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, yang akan diadakan sempena pengumuman keputusan kes tersebut.Tersasul sebut Anwar, pembaca berita TV3 minta maaf - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Pengawal peribadi Wan Azizah pengsan, didakwa cuba diracuni


WARTAWAN SINAR HARIAN
January 8, 2012
Wan Azizah

SHAH ALAM - Fayyad Afiq Albakqry, pengawal peribadi kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail disyaki disuntik racun dan menyebabkannya pengsan sebelum dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya, tengah malam tadi.

Fayyad dipercayai diserang menerusi suntikan di telapak tangan kiri sewaktu mengiringi Wan Azizah meredah kesesakan orang ramai ke pentas ceramah di Kampung Cherok Tokkun.

Laporan laman web Keadilandaily menyebut, mangsa dikatakan ada meminta ais daripada wartawan PenangDaily, Zainulfaqar kerana tangannya berasa kebas, sebelum pengsan kira-kira 15 minit selepas terkena suntikan itu.

“Masa nak masuk sini, dia (Fayyad) dah minta ais sebab tangannya kebas. Masa bawa Kak Wan Azizah keluar tadi, dia dikejar ke hospital,” Zainulfaqar dipetik menulis dalam Twitternya.

Beliau juga memetik sumber dikenali sebagai Zul Saad yang menyatakan Wan Azizah menangis berikutan keadaan Fayyah ketika pengawal peribadi itu belum sedarkan diri.

Fayyad adalah pegawal peribadi Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang patah tulang pipi akibat terkena kelongsong gas pemedih mata ketika demonstrasi Bersih 2.0.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR, Najwan Halimi pula berkata, keadaan Fayyad stabil dan sudah sedarkan diri tetapi tangan kiri sehingga bahu dilapor kebas dan gagal digerakkan.Pengawal peribadi Wan Azizah pengsan, didakwa cuba diracuni - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Kes liwat Anwar: Hari penentuan esok


ANITA ABU HASAN
January 8, 2012
Kes liwat Anwar

KUALA LUMPUR – Sama ada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dipenjarakan atau bebas daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan diketahui esok.

Selepas hampir dua tahun dibicarakan dengan melalui pelbagai kontroversi, takdir dan nasib Anwar, 64, dalam genggaman keputusan akhir Mahkamah Tinggi yang difahamkan akan diumumkan Hakim, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah pada pagi esok.
Sekiranya barisan pe­guam Anwar diketuai Karpal Singh berjaya menimbulkan keraguan munasabah, maka Anwar dan penyokongnya boleh sahaja berteriak dan bergembira, tetapi sebaliknya jika keputusan mahkamah memihak kepada hujah pendakwaan diketuai Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, maka Anwar akan mengulangi sejarah kes liwat pertama pada 1998.
Bebas atau penjara, kedua-duanya membawa revolusi terhadap politik negara.
Sejak kes ini meletup selepas Mohd Saiful membuat laporan polis mendakwa diliwat orang kenamaan, kes berprofil tinggi ini mendapat perhatian luar biasa terutama penyokong Pembangkang yang menganggap kes sebagai komplot ‘membunuh’ karier politik Anwar.
Kes seks songsang ini diberi jolokan kes liwat II selepas kes liwat pertama di mana pada 2000, Anwar disabit kesalahan dan dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi setelah didapati bersalah meliwat bekas pemandu isterinya, Azizan Abu Bakar.
Bagaimanapun, selepas empat tahun, Mahkamah Persekutuan menolak sabitan itu, sekali gus mengetepikan hukuman penjara terhadapnya dan Anwar bersemuka kembali dengan dunia politik negara sebagai Ketua Pembangkang.
Mohd Saiful, 26, membuat laporan polis pada 28 Jun 2008 dan kes membuka tirai di Mahkamah Tinggi Jalan Duta selepas Anwar menghadapi tuduhan meliwat pemuda itu pada 7 Ogos 2008.
Selepas beliau gagal membatalkan pertuduhan liwat itu pada 1 Disember 2009, perbicaraan bermula 3 Februari 2010, seterusnya ditutup peringkat pembelaan pada 15 Disember lalu.
Sekiranya dicongak, perbicaraan mengambil masa cukup lama kerana banyak berlaku penangguhan akibat kontroversi tidak sudah-sudah dan pelbagai permohonan difailkan oleh Anwar.
Permohonan untuk menyingkir Hakim, Mohamad Zabidin sahaja berlangsung tiga kali. Seramai 26 saksi pendakwaan memberi keterangan sementara pihak pembelaan membawa lapan saksi, termasuk Anwar sendiri yang telah memilih untuk memberi keterangan tanpa bersumpah di kandang tertuduh pada 22 Ogos 2011.
Ketika perbicaraan, keterangan Mohd Saiful sebagai saksi pertama sememangnya ditunggu di mana dia mendakwa marah dan ketakutan selepas Anwar mengucapkan “can I f**k you today?”.
Antara yang hangat, seluar dalam bersama beberapa helai pakaian Mohd Saiful dibawa ke mahkamah. Malah Mohd Saiful mengaku, sehelai seluarnya dibelikan oleh Anwar dan menafikan ada mengadu kepada seorang doktor Hospital Pusrawi bahawa terdapat kemasukan objek plastik ke dalam duburnya.
Pengadu itu memberi keterangan, bahawa dia tidak mencuci dubur selepas dua hari kejadian dakwa diliwat pada 26 Jun 2008 kerana mahu menyimpan bukti.
Berkenaan air mani Lelaki Y dalam dubur Mohd Saiful, profil asid deoksiribonuleik (DNA) air mani Lelaki Y itu didapati berpadanan dengan profil DNA pada berus gigi, tuala kecil Good Morning dan botol plastik air mineral yang diambil dari lokap tempat Anwar ditahan semalaman pada malam 16 Julai 2008.
Ketua Unit Jenayah Berat, Bahagian DNA Divisyen Forensik Jabatan Kimia Malaysia (JKM), Dr Seah Lay Hong mengesahkan air mani mengandungi sperma diambil daripada dubur luar dan dalam Mohd Saiful, berasal daripada sumber sama.
Sementara Ketua Unit Paterniti DNA Divisyen Forensik JKM, Nor Aidora Saedon yang menjalankan ujian perbandingan mengesahkan profil DNA pada tiga barangan itu padan dengan profil DNA Lelaki Y.
Pendakwaan berhujah, walaupun ada dakwaan bahawa keterangan saksi-saksi pendakwaan bercanggah, tetapi pihak pembelaan tidak memanggil seorang pun saksi pakar untuk menyatakan atau menafikan bahawa DNA Lelaki Y bukan milik Anwar.
Pada 16 Mei lalu, Anwar diperintah membela diri selepas pendakwaan berjaya membuktikan prima facie dengan memutuskan Mohd Saiful saksi boleh dipercayai dan berkredibiliti.
Bagaimanapun pembe­laan mendesak mahkamah menyemak keputusan akhir kes pendakwaan itu kerana menurut pembelaan, Mohd Saiful berbohong dan kela­kuan pemuda itu juga tidak menunjukkan seperti dia diperlakukan seperti didakwa (liwat).
Pembelaan turut memohon mahkamah mengambil kira keterangan saksi pembelaan, bekas doktor Hospital Pusrawi, Dr Mohamad Osman Abdul Hamid iaitu doktor pertama memeriksa Mohd Saiful, selain mengenai keterangan tanpa bersumpah Anwar yang didakwa bersifat penafian oleh pendakwaan juga wajar diambil kira kerana ia merupakan penafian Anwar.
Menurut pembelaan, jika benar seperti didakwa, Mohd Saiful mempunyai peluang untuk melarikan diri dan meminta tolong. Dalam satu hujah seorang lagi peguam Anwar, Sankara Nair, bahawa siapa yang membawa masuk karipap dan kopi yang didakwa dimakan kedua-duanya , selepas kejadian itu.
Kes dikatakan bersifat konspirasi fitnah itu terus hangat kerana turut mengheret Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang dikenakan sepina, mengehendaki kedua-duanya memberi keterangan berikutan Mohd Saiful ada bertemu Najib pada 24 Jun 2008, iaitu dua hari sebelum kejadian. Bagaimanapun suami isteri itu berjaya mengetepikan sepina tersebut.Kes liwat Anwar: Hari penentuan esok - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

PKR jangan ajar kami, Pas tegur Azmin


NOOR AZURA SAHRIL
January 8, 2012
Harun Taib

SHAH ALAM – Pas mengingatkan parti komponen dalam Pakatan Rakyat khususnya PKR supaya menjaga keadaan rumah tangga masing-masing masing-masing, bukannya mencampuri urusan parti lain.

Sehubungan itu, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib mempersoalkan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali yang secara terbuka bertindak mencampuri urusan parti itu khususnya berkaitan isu Datuk Dr Hasan Ali.

Tegas Harun, Pas berupaya menyelesaikan masalah dalaman parti tanpa perlu pembabitkan pihak luar.

“Masalah dalaman Pas, biarlah kepimpinan parti yang menyelesaikannya.

"Pas tidak perlu diajar memandangkan ia perkara remeh yang boleh diselesaikan sendiri oleh parti,” kata beliau kepada Sinar Harian.

Kelmarin, Azmin mendesak kepimpinan Pas supaya bertindak terhadap Hasan yang juga Exco Kerajaan Selangor kerana didakwa celupar mengkritik kempen Bebaskan Anwar 901.

Azmin menggesa Pas mengambil tindakan keras terhadap Hasan kerana kenyataannya melanggar prinsip dan semangat yang ada dalam Pakatan Rakyat dan Hasan dikatakan tidak sewajarnya berkata demikian.

Harun juga berkata, Pas tidak menghalang ahlinya menyertai atau tidak perhimpunan Gerakan Bebas 901.

“Terserah kepada ahli untuk menyertainya atau tidak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan menegaskan beliau bimbang campur tangan pihak luar dalam masalah dalaman parti hanya akan mengeruhkan dan merumitkan lagi keadaan.

“Masalah dalaman parti, serahkan sahaja urusan kepada kepimpinan Pas. Pas bukanlah parti baru.

"Kami sudah banyak pengalaman menyelesaikan konflik dalaman parti dan tahu bagaimana untuk bertindak menyelesaikannya,” katanya

Jelasnya, Pas tidak mahu suasana seperti itu yang menyulitkan dan menyusutkan keadaan berlaku.

Jawatankuasa kerja Pas pusat yang mengadakan mesyuarat bulanan hari ini dijangka membincangkan kes Hasan.PKR jangan ajar kami, Pas tegur Azmin - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'

Pas buka semula kes Hasan Ali, bincang esok


G MANIMARAN
January 7, 2012
Hasan Ali: Jangan sertai kempen Bebas Anwar 901

SHAH ALAM - Pas akan melihat semula kes melibatkan Datuk Dr Hasan Ali pada mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja pusat parti, esok ekoran kenyataan terbaru Exco Kerajaan Negeri Selangor itu kelmarin.

Hasan, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor dilihat telah mengeluarkan kenyataan 'melawan arus' apabila meminta pengikut dan penyokong Pakatan Rakyat (PR) tidak menyertai perhimpunan 901, Isnin ini.

Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub dan Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan perkara tersebut akan disentuh pada mesyuarat bulanan parti di ibu negara esok.

Tuan Ibrahim berkata, pihaknya berpendirian bahawa isu melibatkan Hasan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Gombak Setia sudah selesai selepas mengadakan pertemuan dengan Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang bulan lalu.

"Kami beranggapan bahawa isu sebelum ini sudah selesai selepas pertemuan dengan Mursyidul Am dan Presiden (di Kota Bahru) baru-baru ini.

"Sebaliknya, beliau terus mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bertentangan dengan parti. Jadi, kami akan membincangkan isu ini esok," kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Semalam, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mendesak Pas mengambil tindakan sewajarnya terhadap Hasan ekoran kenyataanya meminta orang ramai khususnya pengikut dan penyokong PR tidak menyertai perhimpunan 901.

Azmin berkata, kenyataan Hasan telah melanggar prinsip dan semangat yang ada dalam PR dan beliau tidak sewajarnya berkata demikian.

Menjawab kenyataan Azmin itu, Salahuddin berkata, "apa pun, biar kami selesaikan hal rumah tangga kami."

Bagaimanapun jelas beliau, perkara tersebut akan dibawa ke mesyuarat untuk dibincangkan.

"Setakat ini, apa yang saya boleh katakan sekarang ialah dalam satu dua hari ini, kita akan memutuskan isu ini," kata beliau.

"Kita akan mengadakan mesyuarat bulanan, kami akan membincangkan isu ini. Itu saya boleh kata.

"Kita akan membincangkan, akan melakukan sesuatu. Hal rumah tangga Pas, serahkan kepada kami untuk selesaikan... kami akan bincang dalam mesyuarat nanti, perkara seperti ini," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian ini.

Kata Salahuddin, Pas merupakan parti politik yang sudah "terbiasa dengan isu-isu seperti ini."

"Dan, kami akan membincangkan dalam mesyuarat kami," kata beliau lagi.

Ketika mengulas lanjut, Tuan Ibrahim menjelaskan, terdapat dua pilihan sama ada jawatankuasa kerja pusat sendiri memutuskan sesuatu tindakan ataupun merujuk Hasan kepada lembaga tatatertib.

"Jadi, kami ada pilihan-pilihan ini. Mesyuarat akan putuskan salah satu pilihan," katanya lagi.

Jelas beliau, mesyuarat esok hanya akan memfokus ke atas kenyataan-kenyataan dibuat Hasan dan tidak membabitkan bekas Timbalan Presiden Nasharudi Mat Isa.

"Selepas pertemuan (28 Disember lalu), Nasharudin bertindak proaktif, tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan. Jadi, fokus esok adalah isu melibatkan Datuk Hasan Ali," kata Tuan Ibrahim lagi.

Laporan media sebelum ini menyebut Hasan dan Nasharudin telah mengadakan pertemuan dengan Nik Abdul Aziz, Abdul Hadi dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Haron Din pada 28 Disember lalu untuk meminta maaf dan menarik balik kenyataan negatifnya terhadap parti.

Pertemuan itu berlangsung di JKR 10 dan perkara itu disahkan sendiri oleh Nik Abdul Aziz, dan menurutnya, Hasan turut memohon maaf daripada pimpinan PAS.

“Saya melahirkan kesyukuran di atas rasa rendah diri Datuk Hasan Ali yang bersedia membuat permohonan maaf serta menarik balik kenyataan negatifnya terhadap parti sebelum ini.

“Bukan mudah orang nak mengaku salah selepas melakukannya, jadi tindakan beliau itu mengharukan saya. Saya juga berharap orang lain yang mempunyai masalah seperti ini berlapang dada seperti Hasan,” kata Nik Abdul Aziz.Pas buka semula kes Hasan Ali, bincang esok - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'