IPOH 31 Mac - Pembangkang di Perak terus memperlihatkan sikap kebudak-budakan apabila hari ini mempamerkan poster 'pencuri' 'penyamun' 'perompak' dan 'world is watching' (dunia sedang memerhati) ketika Dewan sedang bersidang.
Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jalung, Leong Mee Meng bertindak lebih berani dan angkuh dengan menunjukkan logo menghina UMNO.
Tindakan itu telah menaikkan kemarahan ADUN Pengkalan Hulu, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali yang meminta Speaker, Datuk R. Ganesan mengusir wakil rakyat terbabit keluar Dewan.
''Saya beri amaran jangan tunjukkan gambar UMNO dalam Dewan ini, jangan biadab. Saya minta Speaker ambil tindakan. 'Kick out' (usir) Jalong dari Dewan," tegasnya.
Bagaimanapun tiada tindakan diambil ke atas wakil rakyat tersebut.
Terdahulu, kekecohan berlaku apabila ADUN Pantai Remis, Nga Kor Ming mempertikaikan pelantikan Ganesan sebagai Speaker yang sah sebaik sahaja doa dibacakan pada pukul 10 pagi.
Kor Ming dengan lantang menuduh Ganesan sebagai Speaker ciplak dan tindakannya itu mendapat sokongan terutama ADUN Setiawan,
Datuk Ngeh Koo Ham; ADUN Pasir Panjang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan ADUN Tronoh (V. Sivakumar).
Bagaimanapun, kesemua 31 ADUN BN termasuk tiga wakil rakyat Bebas serentak menyatakan kepercayaan mereka kepada Ganesan dengan berdiri dan mengangkat tangan.
Tanpa mempedulikan tindakan Kor Ming dan ADUN pembangkang lain, Ganesan terus mengumumkan sidang bermula dan membacakan peraturan-peraturan serta larangan untuk dipatuhi di dalam Dewan.
Keadaan bertambah kecoh apabila barisan wakil rakyat pembangkang terus membuat bising dan bangun mempertikaikan kedudukan Ganesan.
Kekecohan berlanjutan pada sesi soalan lisan bermula namun, wakil rakyat BN tetap di tempat masing-masing dan meneruskan sidang.
Menteri Besar Perak yang juga ADUN Pangkor, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir tenang menjawab soalan-soalan dikemukakan.
Ketika ini, pembangkang terus membuat bising sambil mengangkat buku Perintah-perintah Tetap dan menunjukkannya ke arah Zambry.
Pada masa sama, wakil pembangkang Tai Sing Ng
(PKR-Kuala Sepetang) dan Chang Lih Kang
(PKR-Teja) pula enggan bangun mengemukakan soalan lisan apabila tiba giliran mereka.
Dalam pada itu, Yee Seu Kai
(DAP-Pokok Assam) bangun tetapi menyentuh perkara yang tiada kaitan dengan soalan bertulis, menyebabkan Ganesan mengarahkan ADUN BN mengemukakan soalan seterusnya.
Melihat reaksi bersahaja wakil rakyat BN, mendorong Sivakumar bangun menunjukkan karikatur ular ketika tiba giliran Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman menjawab soalan.
Mohd. Tajol menarik perhatian apabila menyindir tingkah laku pembangkang tersebut mampu memajukan industri pelancongan Perak.
Pembangkang terus menganggu perjalanan sidang ketika sesi pembentangan usul Rang Undang-undang Enakmen Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak (pindaan 2010) oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri, Datuk Ramly Zahari.
Kemuncak kekecohan sidang DUN Perak ialah apabila kesemua 28 wakil rakyat pembangkang berlegar-legar di dalam Dewan sebelum keluar pada pukul 11 pagi.
Sidang kemudiannya diteruskan dengan meluluskan Rang Undang- undang Enakmen Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak (pindaan 2010) dan lima usul tanpa penglibatan wakil pembangkang.
Usul tersebut ialah pelantikan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri Perak, Jawatankuasa Perintah-perintah Tetap Negeri Perak, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Negeri Perak, pembelian saham Axiata Group Berhad dan usul ucapan tahniah serta menjunjung kasih atas titah Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.