Showing posts with label sakit Jantung. Show all posts
Showing posts with label sakit Jantung. Show all posts

Thursday, August 11, 2011

Kanak-kanak hidap sakit jantung rayu bantuan



PU Cheng Hong menunjukkan parut kesan pembedahan jantung di dada Claire Wong sambil diperhatikan Sebastian Ting di Miri, baru-baru ini.


MIRI 10 Ogos - Sekali pandang, Claire Wong, kanak-kanak berusia 18 bulan kelihatan sihat dan normal, namun tiada siapa yang menduga dia sebenarnya mengalami masalah jantung.
Menurut ibunya, Pu Cheng Hong, Claire disahkan menghadapi masalah kedudukan jantung tidak normal, iaitu mengarah ke kanan bukannya seperti biasa ke arah kiri.
''Pihak hospital memeriksa dan mengesahkan anak saya mengalami jantung yang tidak normal semasa dia berusia empat bulan.
''Ketika itu, dia diserang demam yang teruk sehingga jari telunjuknya bertukar warna hitam dan dirujuk ke hospital pakar di Kuala Lumpur," katanya kepada Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di sini, kelmarin.
Cheng Hong yang tinggal di Taman Tunku memaklumkan masalah yang dihadapi anaknya itu ketika menemui Naib Presiden SUPP cawangan Piasau, Datuk Sebastian Ting dan Pengerusi Biro Aduan dan Perkhidmatan SUPP, Koh Ek Chong.
Bapa Claire, Wong Seng Chong pula tidak dapat menghadirkan diri pada pertemuan berkenaan kerana bekerja sebagai tukang masak di Teluk Intan, Perak.
Chen Hong berkata, selepas disahkan mengalami masalah jantung, Claire dirujuk ke pakar perubatan di Beijing, China dan kemudiannya menjalani pembedahan dengan kos sebanyak RM50,000 pada 9 Jun lalu.
''Claire dijangka menjalani pembedahan kali kedua di Bejing pada Oktober ini membabitkan kos RM75,000.
''Bagaimanapun, kami sekeluarga tidak mampu kerana suami saya hanya bekerja sebagai tukang masak dengan gaji yang tidak seberapa manakala saya sendiri tidak bekerja kerana menjaga Claire dan abangnya Eric," ujarnya.
Justeru, Chen Hong merayu orang ramai dan badan korporat supaya menghulurkan bantuan bagi memboleh Claire menjalani pembedahan menerusi Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam SUPP cawangan Piasau atau menghubungi talian 085-423399 untuk maklumat lanjut.-utusan

Friday, January 14, 2011

ADUN Merlimau diserang sakit jantung


MELAKA 13 Jan. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan dimasukkan ke Hospital Putra di sini hari ini akibat serangan jantung.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Pemandu peribadinya, Hassan Rahim berkata, Mohamad Hidhir mengadu sakit dada ketika berada di Japerun Merlimau kira-kira pukul 1 tengah hari ini.
''Saya terus membawanya ke Hospital Putra untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, Mohamad Hidhir sering mengadu sakit dada sejak pulang dari Taiwan baru-baru ini.
Sementara itu jurucakap Hospital Putra memberitahu, keadaan wakil rakyat itu stabil sejak dimasukkan ke ICU.
Turut melawat beliau di Hospital Putra malam ini ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Omar Kaseh.
Omar ketika ditanya mengenai keadaan Mohamad Hidhir enggan mengulas mengenainya.

Monday, September 6, 2010

Bayi perempuan derita sakit jantung perlu bantuan



Rizaimi Mohd. Saad (kanan) berkata sesuatu kepada Ahmad Maslan yang mengunjungi rumah beliau di Taman Seri Limau, Lunas, Kulim, baru-baru ini.


KULIM 5 Sept. - Sejak dilahirkan lapan bulan lepas, Alnuraqleesya Rizaimi terpaksa menjadikan hospital antara 'destinasi tetapnya' bagi mendapatkan rawatan susulan kerana kanak-kanak itu mengalami sakit jantung Pulmonary Atresia.
Bapa kanak-kanak itu, Rizaimi Mohd Saad, 29, berkata, dia dimaklumkan oleh doktor yang merawat Alnuraqleesya bahawa anak ketiganya itu mengalami masalah saluran darah yang sempit daripada jantung dan sukar mengepam untuk sampai ke paru-paru menyebabkan dia kurang aktif dan pergerakannya agak terhad.
Menurutnya, pada peringkat awal pihak Hospital Pulau Pinang berhasrat untuk menjalankan pembedahan mengatasi masalah itu tetapi doktor-doktor pakar mendapati terdapat beberapa saluran kecil pada saluran darah itu menyebabkan pembedahan terpaksa ditangguh.
Rizaimi berkata demikian ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Limau, Lunas di sini semalam. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan mengunjungi beliau baru-baru ini dan menyumbangkan RM3,000 kepada Rizaimi sebagai bantuan untuk rawatan Alnuraqleesya.
''Sekarang mereka mahu memerhatikan perkembangan itu dan jika saluran tersebut boleh digunakan maka pembedahan membetulkan saluran darah yang akan menelan kos antara RM30,000 hingga RM40,000 tidak perlu dilakukan," kata Rizaimi.
Beliau yang bekerja sebagai pemandu lori di sebuah syarikat swasta dengan gaji hari berkata, beliau terpaksa berulang-alik sekurang-kurangnya tujuh hari dalam sebulan untuk meraih pendapatan bulanan RM600.
Rizaimi berkata, jika dulu selain memandu lori dia juga melakukan kerja sampingan tetapi setelah menjalani pembedahan appendicitist dan usus pada 2009, dia dinasihatkan doktor supaya tidak melakukan kerja berat.
Beliau berkata, isterinya, Rohana Hashim, 29, adalah suri rumah sepenuh masa yang terpaksa menjaga dua orang anak lelaki mereka iaitu Mohd Amirul Akmar, 7, dan Mohd Aqrobin, 5.
"Mujurlah juga rumah tempat kami sekeluarga tinggal ini tak perlu bayar sewa kerana milik arwah bapa saya," kata Rizaimi.
Bersimpati dengan masalah yang dialami keluarga Rizaimi, Ketua UMNO Bahagian Padang Serai yang juga Pengerusi Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri Merbau Pulas Abdul Rahman Mahamud berusaha mendapatkan bantuan untuk keluarga itu.
Orang ramai yang bersimpati dengan kesukaran hidup yang dialami kanak-kanak perempuan itu dan keluarganya boleh memasukkan sumbangan mereka ke Nombor Akaun: 07016020612782 Bank Islam Malaysia Berhad Cawangan Kulim atau hubungi 0194769632 (Rizaimi Mohd Saad).
- BERNAMA