Showing posts with label politik. Show all posts
Showing posts with label politik. Show all posts

Wednesday, November 21, 2012

Politik syaitan dan politik ulama

FIRMAN ALLAH SWT bermaksud: “Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam supaya kamu jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu.” (Yasin: 60). Demikian perintah ALLAH kepada umat manusia.
Perintah ALLAH itu ditujukan kepada umum, terutama kepada golongan yang berilmu pengetahuan atau disebut ulama. Oleh kerana tingginya kedudukan ulama tersebut sehingga ALLAH membicarakan mengenainya dalam urusan keagamaan. Disebabkan manusia itu sangat fanatik (taklid) menuruti para ulama, maka syaitan berusaha sedaya upaya untuk masuk ke dalam darah daging ulama-ulama, akhirnya ulama-ulama itu banyak yang tidak sedar, telah menjadi kaki tangan dan tali barut syaitan untuk menyesatkan manusia.
Perdayaan syaitan yang telah bertempat dalam tubuh badan ulama-ulama itu, amatlah susah bagi kita melepaskan diri dari perdayaannya, sebab tidak adanya garis pemisah yang terang antara perdayaan ulama dan perdayaan syaitan. Laksana kita berhadapan dengan serigala berbaju kambing atau musang berbaju ayam. Sabda Nabi SAW bermaksud: “Akan keluar beberapa kaum nanti, muka mereka seperti muka manusia, akan tetapi hati mereka seperti hati syaitan.”
Untuk mengetahui tanda-tanda bahawa ulama itu telah diperkudakan syaitan iblis, lihatlah kepada pekerjaan-pekerjaan mereka, apabila mereka berusaha dengan sedar atau tidak sedar untuk menyalahi ajaran agama yang sebenarnya, bercanggah dengan ajaran  dibawa para Rasul.
Mereka memutar belitkan kenyataan-kenyataan ajaran agama dan itulah tanda-tanda mereka diperdayakan oleh syaitan dan kunco-kunconya.
Perhatikan sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Lihatlah oleh kamu akan orang-orang yang kamu temani duduk bersama-sama mereka itu, kenalilah siapa mereka itu, dan perhatikanlah dari siapa guru yang kamu mengambil pelajaran daripadanya, kerana pada akhir zaman syaitan iblis menjelma menyerupai lelaki (ulama).”

Demikianlah politik percaturan syaitan iblis memperdayakan umat manusia. Semua perkara dunia dijadikan alat untuk memperdayakan manusia.
Syaitan iblis telah membukakan tirai rahsianya secara terang-terangan bahawasanya mereka itu tidak mempunyai kesanggupan untuk memperdayakan manusia-manusia yang ikhlas menjadi hamba ALLAH.
Firman ALLAH bermaksud: “Berkatalah iblis: Demi kebesaran Engkau ya ALLAH, sesungguhnya aku akan memperdayakan dan menipu sekalian anak Adam selain hamba Engkau yang berbuat ibadat kepada Engkau dengan ikhlas.”
Agar tidak diperdayakan oleh syaitan iblis itu, maka hendaklah kita beramal sepenuh keikhlasan kerana ALLAH, seperti firman-Nya yang bermaksud: “Maka perhambakan dirimu akan ALLAH dengan keadaan tulus ikhlas bagi ALLAH semata-mata.”
Orang-orang yang ikhlas dalam mengerjakan amalnya untuk ALLAH, bangsa, agama dan negara, pasti disanjung tinggi oleh kawan dan lawan serta menjadi kepercayaan orang ramai yang tidak menangguk di air keruh atau ada udang di sebalik batu, yang mana menjadi hilang kepercayaan bagi masyarakat awam.

Oleh kerana itu jadikanlah keikhlasan itu pedoman kita dalam mengerjakan segala perkara khususnya yang bersangkutan dalam agama.
Saidina Ali berkata dalam suatu pidato: “Janganlah kamu ambil syaitan menjadi pemimpin pekerjaan kamu, kalau kamu mengambil syaitan menjadi pemimpin kamu, maka bertelurlah syaitan itu dan beranak pinak di dalam dada kamu, merangkaklah syaitan itu dalam darah daging kamu, dia memandang dengan mata kamu, dia mendengar dengan telinga kamu, dia berkata dengan lidah kamu, maka dikenderainya tubuh kamu, dia menjatuhkan diri kamu mengerjakan segala larangan ALLAH.”
Sabda Rasulullah SAW bemaksud : “Semua manusia itu mati yakni mati perasaan, mati semangat, mati fikiran dan mati hati,sedang yang tidak mati ialah mereka yang berilmu pengetahuan, orang yang berilmu pengetahuan itupun tertidur dan yang tidak tidur hanyalah orang yang bekerja, orang yang bekerja pun semuanya tertipu dan terpedaya, hanyalah yang tidak tertipu itu ialah orang yang ikhlas.”

Friday, August 13, 2010

'Kaji semula sekatan berpolitik'



Oleh Syuhada Choo Abdullah

2010/08/12

KUALA LUMPUR: Sebahagian besar pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara mahu mahasiswa diberi kebebasan berpolitik dan menyertai mana-mana parti politik. 

Mereka berpendapat dasar itu akan mematangkan lagi politik tanah air serta melahirkan pemimpin pelapis yang peka terhadap isu semasa.
Selain itu, mereka menegaskan pembabitan politik tidak akan menjejaskan tumpuan utama terhadap pengajian kerana yakin mahasiswa sebagai golongan intelektual mampu mengimbangi perhatian antara kedua-dua aktiviti berkenaan.
Pengerusi Jemaah Yang Dipertua (YDP)/Presiden MPP IPTA Sidang 2009/2010, Ahmad Wafi Sahedan, berkata hasil kaji selidik ringkas di kalangan 335 perwakilan kepemimpinan tertinggi MPP yang menghadiri Konvensyen MPP IPTA di Bangi selama tiga hari sehingga Ahad lalu, menunjukkan 57 peratus bersetuju mereka dibenarkan menyertai parti politik dengan memberi justifikasi bahawa ia penting untuk kelangsungan politik negara. 

Namun, 38 peratus lagi tidak bersetuju atas alasan enggan ekosistem dalam kampus terganggu akibat rencah politik di luar kampus, terutama dari segi penekanan terhadap kepentingan pengajian, selain mengelakkan mahasiswa diperkudakan oleh parti politik. Baki lima peratus perwakilan berbelah-bahagi dan belum pasti. 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin berkata kerajaan tetap mengekalkan larangan berpolitik kepada pelajar IPTA walaupun ada gesaan mereka dibenarkan terbabit secara aktif dalam parti politik. 

Bagaimanapun, Ahmad Wafi berkata, pendapat kepemimpinan tertinggi MPP tidak boleh dianggap sebagai pendirian rasmi, sebaliknya perlu dikaji secara serius kerana membabitkan pelbagai implikasi jangka pendek dan panjang. 
Dalam konteks ini, beliau berkata, isu mahasiswa berpolitik perlu dibincangkan dengan lebih mendalam kerana ia bukan saja membabitkan perubahan besar dalam landskap universiti, malah masa depan negara. 

Kita tidak harus terburu-buru membuat keputusan. Kami percaya pandangan pelbagai pihak, termasuk mahasiswa, pensyarah dan pengurusan universiti perlu diambil kira. Justeru, semua MPP dalam proses mendapatkan maklum balas peringkat akar umbi di universiti masing-masing, katanya.

Wednesday, August 11, 2010

Mahasiswa tidak sesuai berpolitik: Dr M

KUALA LUMPUR: Cadangan membabitkan golongan mahasiswa di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dalam bidang politik mendapat reaksi negatif daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar).
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang mahu mempertimbangkan untuk membenarkan mahasiswa di IPTA terbabit dalam parti politik. Katanya, kini masyarakat terutama ibu bapa perlu memperuntukkan dan membayar wang bagi membolehkan mahasiswa menimba ilmu.
“Mereka (mahasiswa) sepatutnya menggunakan kesempatan yang ada itu untuk menuntut ilmu, sebaliknya jika terbabit dalam politik, itu boleh dianggap perbuatan tidak bertanggungjawab. “Malah, mereka akan mempunyai banyak masa untuk terbabit dalam politik sebaik menamatkan pengajian. Apabila mereka sudah bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, itulah masa yang sesuai,” katanya selepas Syarahan Umum mengenai Kesan Teknologi Kepada Masa Depan Pendidikan Tinggi anjuran Open University Malaysia (OUM) di sini, semalam.

Terdahulu, Dr Mahathir turut menyempurnakan pelancaran ‘e-Learning Innovations’ dan menyampaikan syarahan kepada kira-kira 500 kakitangan OUM bertajuk Kesan Teknologi Kepada Masa Depan Pendidikan Tinggi. Semalam, sebuah akhbar melaporkan KPT akan mempertimbang untuk membenarkan mahasiswa di IPTA terbabit dalam parti politik. Sehubungan itu, Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata pihaknya akan menyertai perbincangan meja bulat anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) yang turut dihadiri pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin mahasiswa.

Ahad lalu, Saifuddin menerima resolusi daripada wakil pemimpin mahasiswa mewakili 20 IPTA pada Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang bersetuju membenarkan penuntut terbabit dalam parti politik dengan bersyarat. Sementara itu, Dr Mahathir juga meminta masyarakat negara ini menguasai teknologi yang semakin berkembang jika enggan ketinggalan dalam arus pemodenan.

Sunday, August 1, 2010

Nik Aziz setuju guru berpolitik



KOTA BHARU 31 Julai - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju dengan keputusan kerajaan Pusat untuk membenarkan guru bergiat aktif dalam politik.
Beliau bagaimanapun berkata, keputusan itu sepatutnya dibuat sejak dahulu lagi kerana mereka yang terlibat dalam sektor pendidikan adalah golongan yang berilmu yang harus diberi kebebasan untuk berpolitik.
Dalam masa sama katanya, tidak timbul soal aktif berpolitik akan mengganggu tugas hakiki untuk mendidik anak bangsa kerana ia bergantung kepada kebijaksanaan golongan tersebut untuk membahagikan masa.
"Itu atas dia, saya orang politik tak mengganggu apa. Saya mengajar tanpa berhenti sejak dari hari pertama balik ke Malaysia pada 1962 (selepas tamat pengajian di Mesir) sampailah pagi ini.
"Mana boleh seorang cikgu yang ada ilmu kita tidak benar berpolitik. Ini kerja salah, kerja orang amal ilmu salah. Sepatutnya sejak awal lagi dibenarkan kerana cikgu ini orang reti (berilmu), jadi macam mana orang yang reti kita tak benar politik, ini satu kerja salah UMNO, kenapa dia sekat cikgu, sekat tok guru, adakah kerana takut orang tahu keburukan dia?
"Sepatutnya awal-awal lagi akta ini tidak ada atas dunia, kerana politik ini menyentuh segala benda, menyentuh akidah, ibadah, ekonomi, rumahtangga, ini satu benda pelik UMNO buat," katanya kepada pemberita selepas kuliah pagi Jumaat di perkarangan Pejabat Badan Perhubungan Pas negeri Kelantan di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman kerajaan baru-baru ini mengenai pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang membenarkan Pegawai Pendidikan Perkhidmatan Siswazah Gred DG41 hingga DG48 melibatkan diri dalam politik mulai 1 Ogos ini.

Wednesday, May 19, 2010

UMNO P. Pinang tetap adakan ceramah



PULAU PINANG 18 Mei - Badan Perhubungan UMNO negeri akan terus menganjurkan ceramah untuk mendedahkan perkara sebenar yang dilakukan kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng walaupun berhadapan pelbagai cabaran.
Ketua Penerangannya, Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, pihaknya akan menggunakan segala kesempatan dan kemudahan yang ada untuk membongkar kelemahan kerajaan negeri ini.
Menurutnya, UMNO akan memperhebatkan penganjuran ceramah di seluruh negeri mengikut cara yang betul iaitu dengan memohon permit daripada pihak polis kerana mereka juga berhak untuk bersuara.
Beliau yang kesal dengan tindakan kerajaan negeri membatalkan kebenaran menggunakan Dewan Balora Mastika di Pekan Kongsi, Balik Pulau Sabtu lalu untuk penganjuran ceramah, menyifatkan tindakan itu sebagai bacul.
''Kerajaan negeri takut kita bongkar cerita mereka sebab itu mereka double standard dengan batalkan program kita tiba-tiba, mereka ini memang tidak layak cakap pasal kebebasan media.
''Tidak mengapalah, tidak kira macam mana hebat tekanan yang kerajaan negeri beri, UMNO tetap akan anjurkan ceramah ini secara berterusan, tak boleh guna dewan kita guna cara lain," katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis Sambutan Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas Peringkat Negeri Pulau Pinang yang disempurnakan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Azhar Ibrahim di sini hari ini.
Akhbar ini pada 16 Mei lalu melaporkan, kerajaan negeri pada saat-saat akhir telah membatalkan kebenaran menggunakan Dewan Balora Mastika di Pekan Kongsi bagi penganjuran program Pentas Pemuda UMNO.
Akibat tindakan itu, penganjur terpaksa meneruskan program dengan menjadikan sebuah lori sebagai pentas serta kawasan lapang di depan dewan yang dikunci dan bergelap itu sebagai lokasi baru ceramah.
Ceramah disampaikan oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Lokman Noor Adam.
Polis turut merekodkan kenyataan Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Teluk Bahang, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya dan Ketua Pemuda UMNO bahagian, Aziaan Ariffin, semalam.

Azhar tidak takut digantung



PULAU PINANG 18 Mei - Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim sudah bersedia malah tidak takut menghadapi kemungkinan digantung oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijangka membincangkan kesnya Julai ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga itu berkata, beliau tidak akan patah semangat hanya kerana perkara itu disebabkan masih boleh membuat kenyataan dan bersuara menerusi saluran yang betul di luar.
Beliau menyifatkan tindakan kerajaan pakatan pembangkang terhadap dirinya sebagai tidak betul kerana menurutnya apabila seseorang hendak dirujuk ke jawatankuasa itu, ia perlu dibuat serta- merta.
''Bukan seperti mereka buat, bila dah habis bahas kemudian keluar minum lepas itu bila masuk balik baru nak buat usul, ini memang tidak betul, malah usul tersebut pun tidak dibahas tapi tiba-tiba bangun sokong usul dan habis.
''Kerajaan negeri tak perlu cakap pasal cekap, akauntabiliti dan telus (CAT), pasal kebebasan, CAT 'tahi kucing', kerajaan negeri ini memang macam itu, siapa kritik tak puji mereka mesti kena tindakan.
''Jadi, kalau nak rujuk, silalah rujuk, mereka yang buat tuduhan dan bukan rujuk saya, mereka buat keputusan dan majoriti hakim juga mereka kerana kita hanya ada tiga berbanding mereka lima," katanya di sini hari ini.
Azhar berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Speaker DUN, Datuk Halim Hussain bahawa beliau dijangka dirujuk Jawatankuasa Hak dan Kebebasan pada Julai ini.
Beliau sebelum itu merasmikan Sambutan Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas Peringkat Pulau Pinang yang diadakan di Kompleks Tabung Haji, Bayan Lepas.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri itu akan dirujuk ke jawatankuasa tersebut kerana didakwa melanggar peraturan berikutan mengeluarkan kata-kata berbau hasutan ketika hari terakhir persidangan pada 6 Mei lalu.
Beliau dikatakan menggunakan perkataan '13 Mei' ketika berlaku pertikaman lidah dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng semasa sesi penggulungan Usul Terima Kasih Ucapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.
Mengulas lanjut, Azhar berkata, tindakan ke atas dirinya itu adalah kerana mahu menutup mulutnya ekoran kelantangan beliau mengkritik dan mencungkil kelemahan pentadbiran Guan Eng
''Lebih 20 tahun menjadi wakil rakyat di negeri ini, Barisan Nasional (BN) tidak pernah merujuk mana-mana ADUN pakatan pembangkang ke jawatankuasa itu sedangkan kritikan dan kutukan mereka lebih dahsyat," katanya.

Tuesday, May 18, 2010

BN tewas tipis

BN tewas tipis
SESAK...pengundi memenuhi halaman 
pusat mengundi, semalam.
Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Ho Leng, 50, meraih 18,845 undi manakala Hui Yew, 45, memperoleh 18,447 undi dengan Narawi hanya memperoleh 232 undi dan sekali gus hilang wang pertaruhan.Pengumuman keputusan pilihan raya kecil Parlimen Sibu dilakukan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu, Wong See Meng, kira-kira jam 10.55 malam tadi.
Pilihan raya parlimen Sibu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Robert Lau Hoi Chew yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 9 April lalu.

Parlimen Sibu memiliki 54,695 pengundi berdaftar dengan 2,537 daripadanya adalah pengundi pos. Peratusan keluar mengundi adalah sekitar 70 peratus.
Mengikut pecahan peratus pengundi, 66 peratus adalah pengundi Cina diikuti Melayu, 17 peratus, Iban (15 peratus), Orang Ulu (0.11 peratus), Bidayuh (0.5 peratus) manakala lain-lain pengundi, 0.14 peratus.
Ho Leng adalah Pengerusi DAP Sarawak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Assek, di sini.
Beliau berkelulusan undang-undang dari Inner Temple, Inns of Court, School of Law, London manakala Narawi pula adalah bekas tentera yang kini seorang ahli perniagaan.

Hui Yew pula adalah Penolong Bendahari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Sibu dan sepupu kepada penyandang kerusi berkenaan, mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew dan adalah lepasan undang-undang dari Hull University, London.

Belum baligh lagi


Syed Ali tempelak Nik Aziz

KUALA LUMPUR 17 Mei - Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee menganggap Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat "meludah ke langit dan terkena muka sendiri" kerana tidak tahu membezakan antara kebenaran dan kemungkaran di dalam politik.
Menurutnya, Menteri Besar Kelantan itu boleh disifatkan sebagai pemimpin politik yang cemas melihatkan sokongan kepada parti pembangkang ketika ini semakin terhakis.
"Beliau hanya mahu wakil rakyat pembangkang dijadikan seperti kerbau dicucuk hidung dan boleh ditarik ke kiri atau ke kanan tanpa banyak bantahan.
"Mujurlah sekarang ini sudah ramai wakil rakyat pembangkang keluar parti kerana sedar dengan penyelewengan dan penipuan oleh pemimpin mereka," ujar Syed Ali dalam blog UMNO Bahagian Cheras, http://umnobahagiancheras.blogspot.com/.
Menurut beliau lagi, jika ada wakil rakyat daripada parti menyokong kerajaan menyertai pembangkang khususnya Pas, sudah tentu Nik Abdul Aziz memberi gelaran yang baik kepada mereka.
Bagaimanapun katanya, apabila pembangkang keluar parti, Nik Abdul Aziz akan memberi gelaran buruk termasuk terbaru menganggap ahli Parlimen yang melompat parti sebagai "belum baligh".
Kata Syed Ali lagi, soal keluar parti bukan bermakna seseorang itu belum matang tetapi berlaku kerana seseorang itu tahu akan parti yang diwakilinya tidak amanah kepada rakyat.
"Beliau bercakap tanpa menggunakan akal fikiran yang matang malah mahu setiap percakapannya dijadikan fatwa walaupun bercanggah dengan kebenaran,'' katanya.
Menurut Syed Ali, jika Nik Abdul Aziz amanah dengan tanggungjawab yang diberi, beliau tidak sepatutnya mengeluarkan pelbagai kenyataan yang mengeliru dan menyesatkan fikiran rakyat.
"Pemimpin pembangkang yang berada dalam keadaan jahil berpolitik seperti Nik Aziz sebenarnya menjadi beban kepada parti sehingga menimbulkan kekecewaan kepada wakil rakyat mereka," ujarnya.
Tambah Syed Ali, ahli Pas turut keliru dengan pendirian Nik Aziz, apakah beliau bercakap itu dalam keadaan sedar atau sekadar melepaskan geram kerana kecewa dengan kemerosotan pengaruh politik partinya.

Bedah siasat kekalahan di Sibu - Hishammuddin



PADANG BESAR 17 Mei - Barisan Nasional (BN) perlu melakukan bedah siasat segera bagi mengenal pasti punca utama calonnya tewas dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu semalam.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, bedah siasat itu mesti dilakukan secara telus untuk mengetahui faktor yang menyumbang terhadap kekalahan tersebut.
"UMNO memang kecewa dengan kekalahan itu, tetapi kita menerima keputusan berkenaan secara terbuka. Walaupun kalah tipis, BN perlu melakukan bedah siasat yang boleh dijadikan panduan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas merasmikan Program Juara Rakyat Bersama Veteran UMNO dan Perasmian Berkelompok Persidangan Tahunan Cawangan UMNO Bahagian Padang Besar di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Jaafar Hassan di sini hari ini.
Hishammuddin berkata, kekalahan di Sibu secara tidak langsung memberi panduan kepada BN untuk lebih menjurus terhadap empat perkara utama sebelum pilihan raya umum nanti.
"Perkara pertama ialah memastikan jentera parti benar-benar kuat. Kedua, kita hendaklah memulihkan semangat jentera parti sendiri supaya sentiasa kuat.
"Perkara ketiga dan yang paling mustahak ialah semua jentera BN mesti disatukan, sementara yang keempat pula jentera BN wajar 'turun padang' untuk lebih rapat dengan pengundi," ujarnya.

Saturday, May 15, 2010

Baik sungguh kerajaan UMNO bila nak pilihanraya

RM1.12j untuk enam projek

Oleh Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my
2010/05/15

SIBU: Konsep Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan berjaya dibuktikan sekali lagi apabila Kerajaan Pusat bersetuju menyalurkan peruntukan sejumlah RM1.12 juta bagi membangunkan enam projek di Sarawak khususnya di Sibu.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, yang dalam lawatan ke Sibu selama dua hari bermula kelmarin mengumumkan kerajaan begitu komited membantu menyalurkan bantuan kepada projek berkenaan termasuk pembinaan sekolah agama di daerah ini.
Beliau berkata, daripada jumlah peruntukan itu, sejumlah RM500,000 akan disalurkan bagi tujuan membina blok tambahan Sekolah Agama Lembaga Kebajikan Islam Sibu.

“Di samping itu, kerajaan meluluskan RM300,000 untuk membina tadika di Kampung Datu Baru selain menaik taraf Masjid Al-Kadim berjumlah RM200,000,” katanya.

Daripada agihan peruntukan itu, Kerajaan Pusat turut bersetuju memberikan bantuan berjumlah RM80,000 bagi pembinaan jalan pintas bersimen dari Kampung Surau Jannah selain peruntukan pada jumlah sama diberikan untuk aktiviti tahun Pertubuhan Kebajikan Islam Cawangan Sibu.

Beliau berkata, kerajaan turut bersetuju untuk menyalurkan peruntukan sejumlah RM40,000 bagi kerja pembinaan pagar surau Darul Ukhwah Taman Kenari.

“Kerajaan begitu komited untuk menyalurkan bantuan kepada umat Islam di seluruh negara kerana ada antara mereka masih ketinggalan daripada aspek pendidikan, ekonomi serta sosial jika dibandingkan kaum lain yang lama maju.

“Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai kadar pertumbuhan ekonomi negara mencecah 10.1 peratus adalah satu khabar baik kepada semua pihak namun umat Islam jangan leka kerana banyak lagi perkara yang harus dilakukan.

“Penerokaan dalam bidang-bidang baru berkaitan pembangunan ekonomi, pendidikan dan bidang keselamatan perlu diberi perhatian jika umat Islam mahu dilihat setanding kaum lain di negara ini,” katanya ketika menyampaikan Bantuan Sekolah dan Masjid Sibu, di sini, semalam.

Turut menerima sumbangan berjumlah RM365,000 ialah lapan sekolah sekitar kawasan Sibu. Terdahulu, Muhyiddin bersama hampir 1,000 penduduk Islam sekitar Sibu menunaikan solat Jumaat di Masjid An-Nur sambil ditemani Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar, Datuk Amar Abang Johari Openg.

Tuesday, May 11, 2010

Rasuah lagi ....almaklumlah nak pilihanraya


RM1 bilion atasi banjir – TPM





Muhyiddin Yassin bersalaman dengan murid-murid Sekolah Agama Sibu semasa menghadiri majlis perjumpaan dengan PIBG di sekolah tersebut, semalam.



SIBU 10 Mei – Penduduk Sibu diberi jaminan yang kerajaan akan melaksanakan projek perparitan dan tebatan banjir bernilai lebih RM1 bilion sehingga masalah itu selesai, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, kerja-kerja untuk fasa pertama projek itu yang membabitkan peruntukan RM300 juta telah berjalan dan dijangka siap dalam masa dua tahun.
Katanya, usaha mengurangkan masalah banjir di Sibu akan dilaksanakan melalui satu pelan menyeluruh yang telah disediakan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dengan anggaran kos RM1 bilion.
“Saya hendak beri jaminan yang projek ini akan berterusan sehingga siap tetapi ia mungkin menjangkau ke dalam Rancangan Malaysia kesepuluh (RMK-10) dan RMK-11 kerana ia melibatkan kawasan bandar dan pinggir bandar,” katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Kebangsaan Agama Sibu, dekat sini, hari ini.
Masalah banjir merupakan antara isu utama yang diperkatakan oleh pembangkang menjelang Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu Ahad ini, selain isu pendidikan dan kemudahan prasarana asas di pedalaman.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan bersimpati dengan masalah banjir yang melanda bandar ini sejak lebih 50 tahun lalu kerana kawasan ini terletak di kawasan rendah tanah gambut.
“Kita memberi keutamaan paling tinggi mengenai isu banjir di Sibu dan berharap penduduk bersabar sementara kerajaan berusaha menanganinya,” katanya.
Muhyiddin berkata, kerajaan menyedari isu banjir dieksploitasi pembangkang pada kempen pilihan raya untuk meraih pengundi kerana mereka sendiri mengetahui ia bukanlah satu isu yang mudah untuk ditangani.
Dalam pertemuan hari ini, beberapa wakil sekolah sekitar bandar ini mengambil peluang mengemukakan masalah sekolah masing-masing dan Muhyiddin berjanji kerajaan akan memberi keutamaan kepada sekolah yang sangat memerlukan bantuan.
Beliau juga sebelum itu mengumumkan peruntukan RM500,000 untuk meningkat prasarana SK Agama Sibu yang disifatkannya antara sekolah terbaik di negeri ini.

Sunday, May 9, 2010

Melayu berasal dari Nabi Adam


Melayu perlu kenal asal usul: Rais
Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
2010/05/09

RAIS (dua dari kiri) melihat keranda bersadur emas yang diguna pakai oleh golongan hartawan 
di Pameran Keranda di Muzium Negara, semalam.
RAIS (dua dari kiri) melihat keranda bersadur emas yang diguna pakai oleh golongan hartawan di Pameran Keranda di Muzium Negara, semalam.
Elak pertikaian institusi diraja, istana 

KUALA LUMPUR: Orang Melayu perlu menyedari asal usul mereka dan sentiasa merujuk kepada Perlembagaan negara bagi mengelak tercetusnya pertikaian terhadap institusi diraja dan istana.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, sebaliknya, apa yang berlaku sekarang, orang Melayu sudah lupa asal usul mereka.
“Pokoknya orang Melayu sudah lupa asal usul dan dahan bergantungnya. Orang Melayu sendiri harus sedar, penjelmaan sejarah harus kita pegang dengan kukuh,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian sijil penghargaan kepada agensi yang terbabit dalam Pameran Keranda: Tradisi dan Misteri di sini, semalam. 

Hadir sama, Ketua Pengarah Muzium Negara, Datuk Ibrahim Ismail. 

Beliau mengulas perkembangan semasa, termasuk tindakan segelintir rakyat yang semakin berani mempertikaikan titah Sultan dan Raja serta konflik dalam sistem beraja itu sendiri, seperti yang berlaku di Kelantan. 

Rais turut menegaskan, pihak istana bukanlah tidak boleh ditegur tetapi biarlah teguran itu dibuat secara berhemah. Malah, katanya, penguatkuasa undang-undang juga perlu mengambil tindakan segera terhadap pihak-pihak yang cuba mencabul dan mencaci institusi Raja-Raja. 
“Selama ini bukan tiada tindakan diambil jika institusi Raja, tetapi jarang tindakan segera diambil. Selalunya kes istana ini memerlukan dua penyelesaian iaitu di peringkat Persekutuan dan Negeri. Contohnya, seperti di Kelantan, kerajaan persekutuan tidak boleh campur tangan kerana ia ada undang-undang negeri. 

“Yang timbul sekarang adalah bagaimana kita dapat menjamin supaya Perkara 181, 153, 152 dan lain-lain (dalam Perlembagaan) yang berkaitan dengan kuasa Diraja termasuk Perkara 38 dan 43 di mana Yang di-Pertuan Agong mempunyai kedudukan tertinggi dalam sistem beraja di negara ini,” katanya. 

“"Harus ditetapkan penguatkuasaan undang-undang itu kalau dicabul saja institusi itu menerusi hasutan maka tindakan harus lekas diambil, ini pun satu hal yang seharusnya ditegur dan dijalankan tindakannya,” katanya. 

Rais berkata, imej istana juga mesti kental dan boleh dicontohi bagi mengelak rakyat kecewa dengan cara pentadbiran dalam institusi itu. 

Selain itu, Rais berkata, kerajaan akan memberi ganjaran sewajarnya termasuk pemotongan cukai kepada individu atau tokoh yang menyerahkan artifak atau dokumen penting dan bersejarah milik mereka kepada muzium bagi membolehkannya dikongsi bersama rakyat negara ini. 

“Nilai sebenar artifak atau dokumen yang diserahkan itu akan ditentukan oleh badan bebas dan ganjaran diberi menurut nilai yang ditetapkan. Muzium adalah milik orang awam dan sewajarnya artifak dan dokumen penting dipamerkan di sini untuk dikongsi bersama. Saya mengalu-alukan sesiapa yang mempunyai dokumen bersejarah untuk menyerahkannya kepada pihak muzium,” katanya. 

Beliau mengulas tindakan dua anak bekas Menteri Kewangan pertama, Tun H S Lee, yang menyerahkan dokumen penting milik pengasas MCA itu kepada Institut Kajian Asia Tenggara (ISEAS) di Singapura. 

Rais berkata, kerajaan tidak menentang tindakan itu walaupun mengaku agak kecewa kerana kehilangan dokumen penting yang mempunyai nilai sejarah tinggi. 

“Memang sedih mengenangkan dokumen yang begitu berharga terlepas daripada tangan kita tetapi mungkin disebabkan tiada institusi dalam negara yang mendekati mereka untuk mendapatkan bahan berharga berkenaan,” katanya. 

Terdahulu, Rais memuji kejayaan pameran keranda berkenaan yang setakat ini sudah menarik kunjungan 50,600 pelawat sejak dibuka 1 April lalu dan angka itu dijangka meningkat menjelang tarikh akhir pameran berkenaan pada 20 Jun ini iaitu hari terakhir cuti persekolahan. 

Rais berkata, kementeriannya juga akan menerbitkan sebuah buka mengenai keranda yang menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat negara ini.

Rasuah politik sudah bermula


PM lulus RM500,000 naik taraf jalan di Teku


2010/05/09

SIBU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, meluluskan RM500,000 untuk menaik taraf empat jalan di Kampung Bahagia Jaya di Teku, di sini, semalam.
Empat jalan itu ialah Lorong Bahagia Tengah 2 sebanyak RM100,000; Lorong Bahagia Tengah 4 (RM100,000); naik taraf Lorong Tengah Bahagia 9A dan Lorong Tengah Bahagia 9B ( RM300,000).
Pengumuman peruntukan itu dibuat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Bahagia Jaya di sini. “Perdana Menteri baru luluskan peruntukan RM500,000 untuk Kampung Bahagia Jaya hari ini. Perdana Menteri minta saya umumkan perkara ini,” katanya sambil menegaskan kerajaan cuba melaksanakan projek itu secepat mungkin.

Mengenai masalah SK Bahagia Jaya, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, penting untuk memastikan sekolah itu selamat.

Pengarah Pelajaran Sarawak, Datuk Dr Julaihi Bujang diminta meneliti keadaan sekolah berkenaan.

Katanya, tapak sekolah itu semakin mendap dan masalah patut dikenal pasti sebelum langkah perlu dilaksanakan.
Terdahulu ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Rakyat di SK Abang Ali, Kampung Baru di sini, Muhyiddin mengingatkan pengundi membuat keputusan berdasarkan siapa dan parti mana yang mereka yakin mampu memikul tugas menguruskan nasib generasi sekarang dan akan datang.

Katanya, tidak kurang penting ialah parti dan bendera dibawa calon serta kemampuan memenuhi janji dibuat.

Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan RM1.2 juta untuk pelbagai projek di kawasan itu termasuk untuk SK Abang Ali.

Ini termasuk RM300,000 untuk memperbaiki perparitan dan simpang jalan; menggantikan parit terbuka kepada parit konkrit (RM200,000); membina tandas baru SK Abang Ali (RM300,000), menurap Jalan Nanas (RM107,000), menurap Jalan IIsau (121,000) dan menurap Jalan Masjid sebanyak RM94,500.

Kenapa sekarang baru nak salur kenapa tidak sebelum ini.


BN salur peruntukan, bukan tabur duit - Shafie

SIBU 8 Mei - Barisan Nasional (BN) menyalurkan peruntukan yang telah diluluskan oleh kerajaan untuk pembangunan kepada rakyat dan bukan menabur duit semasa berkempen pada pilihan raya.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, peruntukan-peruntukan yang diumumkan di Sibu ketika ini sebenarnya telah diluluskan oleh kerajaan di dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, peruntukan-peruntukan itu juga memang telah sedia ada dan ia bukan semata-mata untuk Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu.
''Peruntukan yang diumumkan bukan hari ini sahaja dan saya sendiri telah banyak kali datang ke negeri ini untuk menyalurkan peruntukan kepada rakyat yang memerlukan pembangunan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Jeriah di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas dakwaan pihak pembangkang yang menuduh BN menggunakan taktik kotor iaitu menabur wang untuk menang pada pilihan raya.
Hadir sama Ketua Pemuda BN Sarawak yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusuf.
Dalam pada itu, Mohd. Shafie memberitahu, beliau yakin dengan sokongan masyarakat di Sibu meskipun bukan sesuatu perkara yang mudah bagi BN untuk mengekalkan kerusi Parlimen Sibu.
Katanya, jentera parti harus bekerja keras bagi memastikan BN mampu menambat hati semua kaum termasuk Cina, Melayu, Iban, Orang Ulu dan sebagainya.
Sementara itu, pada majlis berkenaan, Mohd. Shafie mengumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 untuk menaiktaraf jalan raya di Kampung Jeriah dan RM30,000 lagi bagi pembinaan dewan, manakala sejumlah RM5,000 sumbangan peribadi beliau kepada masjid di kampung terbabit.

Tuesday, March 30, 2010

KUASA POLITIK & KUASA AGAMA



Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin

Ada yang menyatakan kepada saya bahawa dia bimbang negara ini menjadi negara mullah (clergy state) yang akan melarang kebebasan bersuara seperti yang saya dan beberapa pendakwah lain alami. Kata mereka, apabila kuasa agama mencengkam, ramai yang akan terhalang haknya seperti apa yang berlaku di Eropah sebelum Revolusi Perancis.

Saya jawab, saya tidak bimbang dengan pengaruh Islam terhadap negara, bahkan itulah harapan saya sebagai Muslim. Islam dibina atas keadilan dan rahmat. Apa yang saya bimbang adalah cengkaman sesetengah kelompok bernama agama yang berfikiran sempit, fanatik atau berkepentingan sehingga meminggirkan prinsip-prinsip keadilan seperti yang berlaku di Afghanistan dan Nigeria. Bukan salah Islam, tapi salah guna kuasa.

Kita hendaklah mengenal pasti kerjasama antara golongan politik dan agama itu sama ada demi kepentingan kuasa atau kepentingan Islam yang berasaskan keadilan dan kerahmatan.

Begini...

Sepanjang sejarah kita lihat bukan sedikit pemimpin yang cuba mendakwa dirinya adalah jelmaan Tuhan, atau dia merupakan Tuhan. Jika tidak pun, ramai pemimpin tanpa mengira jenis agama, bangsa dan negara cuba menguasai upacara agama, atau menguasai orang agama. Mengapakah hal ini berlaku?

Sebenarnya, politik adalah penguasaan terhadap rakyat. Penguasaan yang paling kuat adalah apabila seseorang pemimpin berjaya menguasai kepercayaan, jiwa dan perasaan rakyat. Sehinggalah apabila 'iman rakyat' dikuasai olehnya, dia bererti benar-benar menguasai rakyat. Mengaitkan diri pemimpin dengan 'Tuhan' atau 'pegangan agama' adalah faktor terkuat untuk rakyat taat dan setia tanpa berbelah bahagi terhadap seseorang pemimpin.

Sebab itu, ramai pemimpin tanpa mengira agama akan mengaitkan dirinya dengan agama tertentu apabila dia dapati pengaruhi agama tersebut kuat menguasai rakyatnya. Dakwaan diri sebagai 'tuhan' atau 'jelmaan Tuhan' adalah termasuk dalam usaha menguasai jiwa dan perasaan rakyat atau menguasai 'iman rakyat'.

Begitulah juga penonjolan ciri-ciri agama seperti membawa orang agama menyokong atau berdoa atau berdampingan dengan sesebuah kepimpinan politik itu kadangkala atas tujuan sedemikian. Maka, sikap pemimpin atau raja menonjolkan unsur-unsur agama atau hubungannya dengan ahli-ahli agama mempunyai berbagai andaian; boleh jadi atas kesedaran dan kecintaan serta ikhlas kepada agama atau 'Tuhan', tetapi boleh jadi juga ada tujuan yang membabitkan agenda penguasaan politiknya.

Orang Agama

Rentetan dari itu, kita hendaklah sedar bahawa seseorang yang diberikan kepercayaan oleh orang ramai disebabkan faktor agama, dia sebenarnya telah memiliki sebahagian daripada kuasa penguasaan terhadap orang lain. Ertinya, dia mempunyai sebahagian 'penguasaan politik' atau kuasa yang menyebabkan orang lain hormat, patuh dan menurut arahannya.

Maka jangan hairan jika ada orang agama yang bersaing antara satu sama lain seperti mana orang politik bersaing. Jangan hairan jika ada imam yang 'senior' tidak mahu memberi laluan kepada 'imam junior' di sesebuah masjid yang hanya berada di hulu kampung. Walaupun kadangkala tiada elaun yang tinggi yang dibayar, namun 'pengaruh politik agama' amat besar harganya bagi seseorang yang terbiasa dengan kuasa penguasaan ke atas orang lain. Itu jika di hulu kampung, bagaimana pulak jika membabitkan tempat, atau wilayah yang lebih besar?

Maka janganlah hairan, jika tanpa keikhlasan iman golongan agama juga akan bertarung dan jatuh menjatuh sama seperti orang politik. Bukan kerana perbezaan idea, tetapi kerana 'kemaruk kuasa' seperti mana yang berlaku kepada ramai orang politik yang tidak bersandarkan wahyu. Mereka pun akan menghapuskan apa sahaja yang boleh mengikis penguasaan mereka. Kata Sufyan al-Thauri (meninggal 161H): "Aku tidak melihat kezuhudan itu paling kurang melainkan dalam perkara kepimpinan (kuasa). Engkau akan dapati seseorang yang zuhud dalam makanan, minuman, harta dan pakaian tetapi apabila tiba soal kuasa maka dia akan mempertahan dan bermusuhan kerananya" (al-Zahabi, Siyar A'lam al-Nubala, 7/262).

Justeru itu juga, kita melihat bukan sedikit golongan agama yang cuba mendampingi pemerintah atau raja. Perdampingan mereka itu boleh jadi kerana keikhlasan untuk menerapkan nilai-nilai agama dan keadilan demi kebaikan rakyat, tetapi boleh jadi juga kerana tujuan untuk menguatkan penguasaan mereka terhadap masyarakat dan rakyat.

Perkongsian dan pertarungan kuasa

Sepertimana politik boleh menjadi saluran mendapat kemegahan, sanjungan, kekuasaaan dan harta, demikianlah agama. Maka sepanjang sejarah, bukan sedikit kita melihat dua kelompok ini berpakat untuk menguatkan antara satu sama lain. Tujuannya; sama ada demi mematuhi perintah agama, ataupun demi mengukuhkan cengkaman mereka ke atas orang lain.

Begitulah juga kita melihat kedua kuasa ini; kuasa politik dan kuasa agama kadangkala bersaing dan bertarung antara satu sama lain. Boleh jadi pertarungan itu disebabkan kuasa politik merasakan kuasa agama bersaing pengaruh terhadap rakyat, ataupun kuasa agama merasakan kuasa politik telah berperanan merentasi sempadan yang sepatutnya dikawal oleh pengaruh agama.

Maka kerja sama atau pertarungan antara dua kuasa ini boleh jadi atas asas menegakkan kebenaran dan keadilan di mana kuasa agama cuba mencegah kezaliman kuasa politik seperti para nabi menentang pemerintah yang zalim di zaman mereka.

Ataupun, kuasa politik cuba mencegah kezaliman atas nama agama seperti kebangkitan Eropah menentang kuasa gereja atau Pemerintah Inggeris yang menghapuskan beberapa amalan agama yang zalim di India seperti sati yang membakar hidup-hidup isteri bersama suami yang mati.

Islam Dan Pemerintah

Islam juga menyatakan pemerintah adalah khalifah yang bertanggungjawab terhadap menegakkan agama dan bersiasah dengan panduan agama. Namun, Islam menjadikan keadilan dan kebenaran yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah sebagai asas.

Pemerintah tiada kuasa mutlak atau dianggap maksum (infallible). Pemerintah sentiasa terdedah kepada kritikan dan pembetulan. Ini terbukti dalam teksal-Quran dan al-Sunnah serta amalan Khulafa al-Rasyidin yang menegaskan prinsip ini.

Membetulkan pemerintah apabila salah adalah satu tanggungjawab. Islam tidak menyatakan semua perbuatan pemerintah itu divine atau diredhai Allah. Islam tidak menyatakan taatlah apa sahaja yang disuruh oleh pemerintah. Sebaliknya, Allah menyebut: (maksudnya) "Wahai mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan uli al-Amr (pemimpin) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya" (Surah al-Nisa' 59).

Ertinya, jika berlaku perselisahan, asasnya bukan pendapat pemerintah tetapi kembali kepada prinsip-prinsip yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah. Selepas ayat ini, Allah menegaskan tanggungjawab rakyat melantik pemerintah yang berkualiti dan layak, dan tanggungjawab pemerintah yang dilantik melaksanakan keadilan: (maksudnya) "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum dalam kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat". (Surah al-Nisa: 58).

Terlalu banyak nas-nas yang melarang mentaati pemimpin secara 'membabi buta' (blind imitation). Antaranya, sabda Nabi s.a.w: "Dengar dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu Muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar dan taat".
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Islam dan ulama

Islam tidak pernah memaksumkan ulama. Seperti mana orang lain, ulama terdedah kepada salah dan silap. Sebab itu adanya istilah ulama al-suk atau ulama jahat yang menggunakan ilmu untuk kepentingan diri sehingga menggadaikan kebenaran. Bahkan al-Quran mensifatkan ulama jahat seperti anjing dalam Surah al-'Araf ayat 75-76.

Ulama dilarang mengampu pemerintah atas kesalahan atau bersekongkol dengan mereka atas kezaliman. Sehingga Nabi s.a.w memberi amaran: "Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)". Riwayat Ahmad, al-Nasai dan al-Tirmizi, ia dinilai sahih oleh al-Albani).

Pemerintah dan ulama

Pemerintah dalam Islam tunduk kepada prinsip-prinsip keadilan dan kemaslahatan rakyat. Bukan kepentingan diri ataupun puak tertentu semata sehingga meminggirkan prinsip kepentingan umum. Pemerintah di suruh bersama ulama jujur demi memastikan mereka sentiasa berada atas landasan yang redhai Allah bukan untuk menguatkan cengkaman kuasa kedua kelompok itu. Sabda Nabi s.a.w: "Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat). (Pertama) Bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan serta menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan serta menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang diselamatkan Allah". (Riwayat al-Bukhari dan al-Nasai).

Inilah Perbezaannya...

Jika gabungan pemerintah dan golongan agama itu jujur, maka natijahnya akan ditegakkan kebenaran, keadilan dan kerahmatan kepada rakyat. Pemerintah akan tunduk kepada agama dan ulama akan bebas daripada kepentingan lantas rakyat menikmati keadilan. Sebaliknya, jika tujuannya untuk cengkaman kuasa, kita akan mendapati kedudukan kedua golongan bertambah selesa sedangkan rakyat bertambah resah.

Di dunia Islam, ada mufti-mufti yang berjenama besar, tetapi gagal untuk menasihati pemerintah mereka dengan tegas agar jangan bersekongkol dengan Israel yang menzalimi rakyat Palestin. Lihat apa yang Mesir, Jordan dan negara-negara lain lakukan terhadap nasib rakyat Palestin yang terkepung di sempadan mereka. Ketika golongan agamawan makan mewah di meja bersama penguasa, rakyat Palestin di sempadan mati kebuluran!!

Di negara kita juga mesti dilihat keadaan mana yang berlaku. Umpamanya, jika peraturan agama pencetakan atau selainnya dibuat dengan ditegaskan 'tidak boleh mengkritik mufti' atau sultan atau majlis agama, maka itu untuk cengkaman kuasa. Jika dimasukkan 'tidak boleh menghina Allah dan Rasulullah, itu untuk Islam dan kebenaran!!! Setiap pihak terdedahkan kepada kesilapan dan penilaian, sehingga Abu Bakr dan Umar membenarkan diri mereka dikritik, bagaimana ada kelompok yang tidak boleh dikritik!!

Apabila sesebuah buku diharamkan tanpa alasan melainkan 'panel kurang selesa' atau 'panel agama merasa keliru' maka itu ke arah negara primitive dan kepentingan kuasa. Namun jika dilarang dengan asas-asas ilmiah yang dibahas secara ilmu dan adil, maka itu prinsip Islam!!

Jika yoga diharamkan kerana ada unsur bagai menyembah, tetapi dalam masa yang sama 'adat menyembah raja sehingga merangkak' direstui golongan agamawan, maka itu kepentingan! Jika doa dibaca buat pemimpin dan sultan dimasukkan unsur mengampu dipuja sultan dan raja dalam doa sehingga hilang rasa rendah diri di hadapan Allah maka itu kepentingan 'sambungan jawatan'! Demikianlah seterusnya..

Kita tidak takutkan prinsip Islam ditegakkan, kita takut nama agama digunakan untuk cengkaman kuasa dan kerjasama 'pintar dan putar' antara kedua kelompok ini untuk kepentingan masing-masing! Marilah kita nilai dengan teliti apa sebenarnya yang sedang berlaku...

Nota pengarang: Dr Mohd Asri - bekas mufti Perlis - adalah lulusan sarjana mudanya Universiti Jordan dalam bidang bahasa Arab dan syariah, sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang pengajian Islam. Beliau seterusnya mengikuti pengajian di peringkat doktor falsafahnya di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dengan tesisnya berhubung sebab wurud (terbitnya) hadis