Sunday, March 9, 2014

Rusia alu-alukan Crimea, Sevastopol


Sebahagian penunjuk perasaan, memegang papan tanda membantah kerajaan Ukraine di Simferopol, semalam. - REUTERS
MOSCOW 8 Mac - Rusia semalam menyatakan sokongan terhadap Crimea yang mahu keluar dari Ukraine dan menyertai Moscow ketika Parlimen negara ini menyambut baik ketibaan delegasi dari wilayah autonomi itu, di sini.
Perkembangan itu menyusul walaupun kerajaan Rusia menjelaskan bahawa meskipun terdapat jurang perbezaan besar dengan negara Barat berhubung krisis tersebut, mereka berharap satu titik persamaan akan dicapai bagi mengelak Perang Dingin baharu.
Speaker Dewan Tinggi Parlimen Rusia, Valentina Matvienko memberi jaminan kepada Speaker Parlimen Crimea, Vladimir Konstantinov bahawa wilayah itu akan 'dialu-alukan dengan terma kesamarataan dengan Rusia jika pungutan suara 16 Mac ini mencapai persetujuan untuk Crimea keluar dari Ukraine'.
Speaker Dewan Rendah Rusia, Sergei Naryshkin turut senada dengan kenyataan Matvienko.
"Kami akan menghormati pilihan bersejarah rakyat Crimea,'' katanya seperti yang dilapor Al-Jazeera.
Konstantinov selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin politik tertinggi di Moscow menyertai satu perhimpunan di Dataran Merah yang disertai kira-kira 65,000 orang yang kebanyakannya mengebarkan bendera Rusia dan melaungkan slogan, 'Crimea adalah Rusia!'.
Pegawai kawalan sempadan Ukraine melaporkan, kira-kira 30,000 tentera Rusia berada di Crimea, mengenepikan dakwaan seorang pemimpin tempatan bahawa hanya 11,000 askar Rusia berada di wilayah tersebut.
Dalam perkembangan berasingan, Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov memberi amaran kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry terhadap tindakan 'terburu-buru' atau sekatan ke atas Ukraine yang akan meningkatkan krisis Timur-Barat sejak Perang Dingin.
"Lavrov memberi amaran terhadap tindakan terburu-buru dan langkah kurang bijak yang berkemungkinan menjejaskan hubungan Rusia-AS, terutamanya sekatan yang mungkin memberi kesan berbalik kepada AS sendiri,'' katanya.
Dalam satu perbualan telefon, kedua-dua pemimpin itu menyambung semula perbincangan mereka di Paris dan Rom yang gagal mencapai satu perjanjian bagaimana menyelesaikan situasi di Ukraine terutamanya apabila tentera Rusia memasuki Crimea. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140309/lu_04/Rusia-alu-alukan-Crimea-Sevastopol#ixzz2vPVuy6NH
© Utusan Melayu (M) Bhd