Tuesday, November 30, 2010

Tak perlu menara 100 tingkat



KUALA LUMPUR – Cadangan membina bangunan Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat hanya akan meningkatkan lambakan hartanah dan ruang pejabat seperti yang sedang berlaku di Lembah Klang pada masa ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ketika Malaysia sedang berusaha menuju Wawasan 2020, adalah lebih baik menyalurkan peruntukan ke arah perkara yang lebih penting.

“Kalau anda bertanya pendapat saya, saya ingin biarkan Menara Berkembar Petronas kekal sebagai yang tertinggi di Malaysia. Kita tak perlukan menara lain yang lebih tinggi daripada itu.

“Lagipun, kita sudah ada banyak kemudahan dan ruang pejabat. Ia mencukupi. Kita patut bina menara 100 tingkat tapi mungkin kemudian. Mungkin selepas saya tiada lagi,” katanya dalam nada bergurau ketika menjawab soalan daripada hadirin pada persidangan ‘Revisiting Vision 2020’ di Hotel Nikko, di sini, semalam.

Menurutnya, pandangan tersebut berbeza dan mungkin berat sebelah kerana Menara Berkembar Petronas adalah projek yang dibina semasa pemerintahannya.

Terdahulu, Mahathir menggesa kerajaan merujuk pandangan rakyat berhubung cadangan projek pembinaan bangunan Warisan Merdeka.

“Mereka boleh bina, tetapi bukan sekarang, mungkin kemudian... apabila saya tiada lagi,” katanya dalam nada bergurau.

Katanya, rancangan pembinaan menara itu merupakan projek yang baik untuk negara kerana boleh menambahkan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf ekonomi rakyat.

"Selain itu ia akan mencetuskan peluang-peluang perniagaan di kalangan syarikat-syarikat yang terdapat di negara ini," katanya.

Kes Ling Liong Sik dipindah ke Mahkamah Tinggi KL



BEKAS Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik, 67, keluar selepas Mahkamah Sesyen Putrajaya, hari ini membenarkan permohonan pihak pembelaan supaya kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

2010/11/30

PUTRAJAYA: Mahkamah Sesyen Putrajaya di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pembelaan supaya kes membabitkan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik, 67, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk perbicaraan.

Dr Ling dihadapkan di mahkamah pada 29 Julai lalu atas tuduhan menipu kerajaan Malaysia untuk memberi persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah, Pelabuhan Klang bagi pembinaan projek Mega Distribution Hub yang kini dikenali sebagai Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) pada 2002.

Rakyat miskin tak terbela nak buat bangunan 100 tingkat pulak!


Warisan Merdeka diteruskan selagi berdaya maju: Najib


KUALA LUMPUR: Cadangan Permodalan Nasional Bhd untuk membina menara Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat akan diteruskan hanya jika ia berdaya maju dari segi komersial, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.


2010/11/30


Beliau berkata, projek itu juga mesti menyumbang ke arah pembangunan ekonomi yang lebih besar dalam bidang tertentu dan menyediakan peluang perniagaan.
"Projek itu mesti memenuhi keperluan itu dan jika syarat ini dipenuhi, ia boleh diteruskan.
"Ia mesti menyediakan dorongan dan pemangkin untuk Kuala Lumpur yang lebih luas," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada seminar Pelabur Menteri-menteri Kewangan Asean ke-7 bertema "Discovering Tomorrow's Asean", di sini.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata menara tinggi tidak diperlukan di negara ini keana terdapat tanda-tanda lebihan hartanah.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, terpulang kepada Permodalan Nasional untuk membuat perkiraan kewangan.

Mengenai persepsi bahawa Warisan Merdeka akan menenggelamkan Menara Berkembar Petronas setinggi 88 tingkat, yang diilhamkan oleh Dr Mahathir, Najib berkata: 
"Ia adalah kenyataan semberono. Kita bercakap mengenai kesinambungan. Apa yang sudah dilakukan oleh Tun Mahathir disanjung tinggi, namun kita perlu meneruskan kejayaan beliau dan bergerak dan memajukan Malaysia."

Selain itu, beliau berkata, Warisan Merdeka adalah 10 tahun dan melepasinya dan kawasan di sekitar Stadium Merdeka, lokasi projek itu, adalah kawasan strategik.

"Ia projek jangka panjang. Ia bukan untuk 2-3 tahun. Jika anda lihat latar langit Kuala Lumpur pada 2020, ia tidak boleh sama seperti hari ini. Pudong di Shanghai mempunyai banyak bangunan pencakar langit. Pastinya lebih banyak lagi.

"Baik kita bayangkan KL pada tahun 2020. Cuba lihat perspektif jangka panjang. Lebih-lebih lagi jika wawasan 2020 direalisasikan, ia adalah wawasan yang diilhamkan sendiri oleh Tun Mahathir," katanya. - BERNAMA

. Dr Mahathir yakin BN boleh menang dengan majoriti lebih baik





2010/11/30

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, meramalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) akan menang dengan majoriti lebih baik pada pilihan raya umum akan datang berbanding dengan pilihan raya umum 2008. 

Beliau berkata, ini kerana kerajaan kini masih kuat dan mungkin marjin kemenangan adalah sesuatu yang baik.
"Saya benci untuk meramal perkara ini kerana ia mungkin tidak diterima dengan sangat baik, tetapi saya fikir menang kuat adalah sangat penting...dalam pilihan raya umum akan datang, kerajaan akan masih menang dan majoriti mungkin lebih baik daripada 2008," katanya ketika ditanya mengenai ramalan beliau bagi pilihan raya umum akan datang.
Dr Mahathir berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama bertajuk "Lanskap Politik Malaysia - Pengalaman, Perspektif dan Pemikiran" pada Dialog Forum Malaysia-Eropah (MEF) Kuala Lumpur ketiga 2010 di sini hari ini. 

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata pilihan raya umum 2008 menyaksikan pencapaian BN terlalu teruk kerana tewas di lima negeri dan Kuala Lumpur, serta gagal memperoleh majoriti dua pertiga bagi memerlukan untuk membentuk sebuah kerajaan yang kuat. 

"Pilihan raya 2008 jelas menunjukkan bahawa BN telah kehilangan sokongan bukan hanya daripada mereka yang bersimpati tetapi juga anggota parti komponen. Malah kubu kuat BN juga tewas," kata Dr Mahathir yang memegang tampuk kepimpinan kerajaan selama 22 tahun. 

Beliau berkata, hanya beberapa orang sahaja yang berani mengkritik pemimpin atau kerajaan perdana menteri kelima (penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi), tetapi selepas pilihan raya umum 2008, mereka merasakan kepimpinanlah yang paling dikutuk kerana kekalahan itu dan mereka meminta untuk satu perubahan dalam kepimpinan negara. 
"Pengkritik dihalang daripada berucap pada perjumpaan anjuran parti politik, pertubuhan bukan kerajaan atau individu kerana menyedari bahawa kerajaan bimbang dengan kritikan dengan pembangkang sentiasa menyerang," katanya. 

Bercakap mengenai demokrasi, Dr Mahathir berkata Malaysia bukan satu demokrasi yang liberal kerana ada hadnya mengenai apa yang dipanggil kebebasan demokrasi, tetapi Malaysia telah menunjukkan demokrasinya adalah bebas sepenuhnya bagi mereka yang membangkang kerajaan untuk memenangi pilihan raya dan malah untuk menewaskan parti kerajaan dan mengambil alih pentadbiran negeri. 

"Demokrasi mungkin sistem politik yang paling baik yang pernah dicipta oleh manusia, seperti benda lain yang dicipta oleh manusia, ia bukan sempurna. Pastinya demokrasi liberal tidak boleh dilakukan dengan mereka yang hanya tahu mengenai pemerintahan kuku besi atau rasuah. 

"Malaysia bukan model demokrasi yang sempurna tetapi pengundi boleh, jika mereka ingin berbuat demikian, tukar kerajaan hanya dengan pengundian dalam pilihan raya bebas, itulah intipati demokrasi," katanya. - BERNAMA

Rafidah nafi hubungan dengan Dr. Mahathir terjejas



30/11/2010 6:53pm

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz menegaskan bahawa hubungan erat antara beliau dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak pernah terjejas di sebalik percanggahan pendapat mereka berhubung isu Permit Import (AP) lima tahun lepas.
Rafidah sebaliknya menafikan laporan media yang mengatakan beliau dan Dr. Mahathir sudah tidak sehaluan lagi dan beliau masih menghormati tokoh negara itu serta masih menghubunginya seperti biasa untuk membincangkan isu-isu yang berkaitan.
"Seperti anda boleh lihat, memang (kemesraan) tak pernah luntur atau terjejas. Cuma kita bukan dalam kabinet dah...tak ada la mesyuarat hari hari.
"Saya dengan Tun masih seperti biasa, saya masih menghubungi beliau, masih ke pejabat beliau, dan masih berjumpa dengan beliau dalam majlis-majlis sebegini,” katanya kepada Bernama selepas mengendalikan Forum Malaysia-Eropah (MEF) Kuala Lumpur ketiga di sini hari ini.
Dalam forum berkenaan, Dr. Mahathir menyampaikan ucaptama dan turut meluangkan masa menjawab beberapa soalan daripada perwakilan berhubung suasana politik, isu-isu semasa, dan sejarah kecemerlangan beliau semasa menjadi Perdana Menteri. - Bernama

Sujud dakap jenazah suami

PILU...Hayati mengiringi jenazah suaminya ke HKL untuk dibedah siasat. Gambar kecil, Helmi.

PILU...Hayati mengiringi jenazah suaminya ke HKL untuk dibedah siasat. Gambar kecil, Helmi.



ALIH...kakitangan DBKL mengalihkan tunggul pokok yang tumbang.

ALIH...kakitangan DBKL mengalihkan tunggul pokok yang tumbang.


KUALA LUMPUR: Hanya deraian air mata pilu dapat menggambarkan kesedihan seorang isteri ketika mencium mayat suaminya yang berlumuran darah akibat dihempap tunggul pokok tumbang secara tiba-tiba berhampiran Hutan Simpan Bukit Nanas, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, Hayati Husin, 30-an hanya mampu bersujud sambil mendakap kepala suaminya yang ditimpa batang pokok sebesar dua pemeluk.

Sumber polis trafik berkata, kemalangan ngeri itu berlaku apabila Mohd Helmi Hussin, 37, sedang menunggang motosikal bersendirian arah Jalan Raja Chulan, di sini.

Menurutnya, sebatang tunggul pokok setinggi kira-kira 10 meter tiba-tiba tumbang lalu menimpa mangsa yang dipercayai tidak sempat mengelak.

“Difahamkan, mangsa baru saja menghantar isterinya Hayati yang bekerja di sebuah bank tidak jauh dari lokasi kejadian sebelum menaiki motosikal untuk ke tempat kerjanya di sebuah bank berhampiran Jalan Raja Chulan, di sini.

“Namun, selepas beberapa minit menghantar isterinya, mangsa dihempap tunggul pokok yang rebah menyilang di jalan berkenaan. Kejadian itu menyebabkan kepala dan tubuh mangsa cedera parah dan dia mati di lokasi kejadian,” katanya.

Isteri mangsa yang dimaklumkan berhubung kejadian itu oleh rakan sekerja bergegas ke lokasi kejadian.

Suasana di tempat kejadian menjadi pilu apabila Hayati dipapah rakan tidak dapat menahan sebak dan kemudian bersujud sambil mencium kepala suaminya sebagai tanda kasih.

Episod sedih itu turut meruntun hati beberapa anggota polis trafik dan orang ramai yang mengerumuni lokasi kejadian.

Anggota polis trafik bersama anggota bomba dan penyelamat serta kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berusaha memindahkan mayat mangsa selain mengalihkan batang pokok terbabit yang menghalang laluan.

Hayati kemudian turut menaiki kenderaan polis menghantar jenazah suaminya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

Bapa saudara Hayati yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Ngah berkata, dia menerima panggilan telefon daripada anak buahnya memberitahu mengenai kemalangan kira-kira jam 9 pagi.

Dia yang dalam perjalanan ke Port Dickson, Negeri Sembilan, bergegas pulang ke ibu kota dan terus ke HKL.

Menurutnya, melalui gambar dirakam kawan arwah di tempat kejadian, dia mendapati pokok itu sudah reput. Katanya, kejadian malang itu mungkin dapat dielak jika pihak bertanggungjawab melakukan pemantauan dan menebang pokok yang boleh membahayakan nyawa.

“Namun, kami reda dengan apa yang berlaku dan berharap perkara seumpama itu tidak berulang,” katanya.

Jenazah mangsa disembahyangkan di Masjid HKL sebelum dibawa ke kampung halaman mangsa di Ipoh, Perak untuk dikebumikan.

Kes Aminulrasyid: Saksi kejar mangsa tuntut ganti rugi



Oleh Rafidah Mat Ruzki
fidahruzki@bharian.com.my
2010/11/30

Kereta Aminulrasyid langgar kenderaan lain sebelum dipecut laju 

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini semalam diberitahu, kereta yang dipandu Aminulrasyid Amzah, 15, pada hari dia mati ditembak, bukan saja dikejar kereta peronda polis, malah oleh beberapa penunggang motosikal.
Saksi ke-32 pendakwaan, R Lokman Hakim R Daly, 23, berkata beliau dan dua rakannya mengejar kereta itu selepas ia melanggar kereta milik seorang rakannya bernama Syafiq.
“Saya dan dua lagi rakan bernama Abdul Hadi dan Sufian, mengejar kereta Iswara itu untuk meminta ganti rugi,” katanya pada perbicaraan Koperal Jenain Subi yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini, antara jam 1.10 pagi hingga 2 pagi, pada 26 April lalu. 

Jenain, 48, didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman maksimum penjara 30 tahun dan denda. 
Aminulrasyid disahkan meninggal dunia akibat luka tembakan di kepalanya. 

Lokman Hakim berkata, pada jam 11.30 malam 25 April lalu, dia dan rakannya ke restoran Ali’s Corner di Seksyen 7, menaiki kereta Toyota Celica berwarna biru gelap. 
Katanya, pada jam 12.15 pagi, dia terdengar bunyi dentuman pelanggaran kereta Proton Iswara Aeroback putih bernombor BET 5023 dengan kereta Toyota Celica berkenaan. 

Menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya, Adilla Ahmad, beliau berkata, bumper depan kereta Toyota Celica itu terjatuh sedikit menyebabkan dia dan rakannya mengejar kereta dipandu Aminulrasyid. 

“Saya dan dua lagi rakan mengejar kereta Iswara itu bermula dari Seksyen 8 terus ke Seksyen 9 hingga ke Bulatan Kayangan dan ke Persiaran Dato Menteri di mana saya terjatuh di tepi jalan,” katanya sambil menambah kereta Iswara itu dipandu laju dan melanggar enam lampu isyarat. 

Ditanya bagaimana boleh terjatuh, Lokman Hakim berkata selepas memasuki Persiaran Dato' Menteri, kereta Iswara itu dipandu perlahan berikutan jalan berbukit dan ketika cuba memotong kereta itu, beliau dihimpit ke kanan jalan menyebabkannya terpaksa menjatuhkan badan bagi mengelak daripada terlanggar pembahagi jalan. 

“Saya tidak dapat kenal wajah pemandu tetapi berdasarkan tangan dan tubuhnya yang kecil, saya lihat pemandu kereta itu seorang budak lelaki lingkungan 17 tahun dan penumpang di sebelahnya juga seorang budak lelaki kurus, kecil dan sebaya dengan pemandu itu,” katanya. 

Terdahulu pada sebelah pagi, saksi pendakwaan ke-30, penjaga stor persenjataan di Balai Polis Seksyen 6, Lans Koperal Madi Samsuddin, memberitahu mahkamah, Konstabel Percubaan Izham Mahayaddin ketika memulangkan senjata HK MP5 yang diperoleh pada 26 April lalu, hanya menyerahkan 90 butir peluru bersama empat kelopak peluru. 

“Izham memaklumkan, dia melepaskan beberapa tembakan. Saya mengira pelurunya dan mendapati ia kurang 10 butir,” katanya. 

Perbicaraan bersambung hari ini.

Bapa Nurin batal saman, selesai kes luar mahkamah





2010/11/30

KUALA LUMPUR: Bapa kanak-kanak, Nurin Jazlin yang mati dibunuh kejam tiga tahun lalu, semalam menarik balik samannya terhadap Ketua Polis Negara dan tiga pihak lain atas dakwaan cuai berikutan gambar bedah siasat anaknya disebar melalui internet selepas kedua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah. 

Peguam Kanan Persekutuan, Zureen Elina Mohd Dom, berkata selepas melalui proses perantaraan, Jazimin Abdul Jalil bersetuju menarik balik saman itu tanpa kebebasan memfailkan semula.
Beliau berkata, saman itu juga ditarik balik tanpa sebarang perintah berhubung kos, bagaimanapun enggan dedahkan syarat penyelesaian dipersetujui kedua-dua pihak.
Penyelesaian itu direkodkan Hakim Harmindar Singh Dhaliwal dalam kamar beliau semalam yang turut dihadiri peguam Siti Natasha Basheer Hassan yang mewakili Jazimin. 

Jazimin, 35, pekerja sebuah syarikat keselamatan memfail saman terhadap Ketua Polis Negara, Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Petaling Jaya dan Kerajaan Malaysia pada 21 Ogos 2008 atas dakwaan cuai sehingga menyebabkan gambar bedah siasat anaknya disebar di internet. 

Beliau menuntut daripada defendan antaranya ganti rugi am, teladan dan ganti rugi teruk kerana mendakwa gambar itu sulit dan peribadi serta bukan bagi tatapan umum.

PAS tak rela kerajaan ditadbir bukan Islam



Oleh Haspaizi Mohd Zain
haspaizi@bharian.com.my
2010/11/30

Pemimpin parti tidak gadai prinsip perjuangan 

KUALA LUMPUR: PAS tidak akan menggadai prinsip perjuangannya iaitu untuk menegakkan sebuah kerajaan Islam dengan membiarkan negara ditadbir oleh bukan Islam yang tidak mengamalkan sistem pemerintahan Islam.
Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasruddin Hassan, berkata perjuangan PAS adalah untuk membentuk sebuah kerajaan Islam dan bukannya untuk menukar kerajaan supaya dipimpin oleh bukan Islam.
“Kita mahu sistem pentadbiran diislahkan (diperbaharui) dan saya yakin akan meminimumkan segala apa yang berlaku (rasuah dan salah guna kuasa) itu sewajarnya. 

“Kita tidak mahu duduk di bawah sistem perjuangan bukan Islam, walaupun pemerintahan itu tidak mengamalkan rasuah. Kita boleh menerima kerajaan itu sama ada kerajaan Melayu ataupun Cina sekiranya Islam,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Kelmarin, ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Kongres Nasional PKR ketujuh, Anwar yang kini berdepan dengan tuduhan liwat berkata, beliau lebih rela hidup di bawah pemerintahan bukan Islam berbanding pemerintah orang Islam yang penuh rasuah serta salah laku. 

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menjelaskan asas kepada sebuah kepemimpinan ataupun keadilan adalah kemampuan manusia hidup aman di bawah satu pemerintahan. 
“Persoalannya, apakah kezaliman yang berlaku di negara ini tidak ada ruang langsung untuk manusia berfikir dan bercakap. Juga apakah ada jaminan (pemerintah) bukan Islam boleh berlaku adil. 

“Saya setuju pemerintah hendaklah tegakkan keadilan untuk rakyat, untuk Islam keadilan hendaklah berasaskan Islam, jadi kita memerlukan pemimpin Muslim yang adil berbanding bukan Islam,” katanya. 

Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar mendesak Anwar supaya meninggalkan negara ini sekiranya beliau tidak boleh menghormati Perlembagaan dan Raja Melayu sehingga sanggup berkompromi dengan bukan Islam. 

“Jika tidak ada kesetiaan terhadap Raja Melayu dan Perlembagaan Negara tinggalkan saja Malaysia, cari negara lain. Biar orang Melayu memimpin negara untuk semua kaum seperti sebelum kemerdekaan dulu,” katanya. 

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar, berkata jika negara dipimpin bukan Islam apakah mereka akan mempertahankan kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan.

Rumah Putih sifatkan WikiLeaks 'penjenayah'





2010/11/30

WASHINGTON: Rumah Putih hari ini berkata laman web pembocor maklumat, WikiLeaks dan mereka bersekongkol dengan membocorkan ratusan ribu maklumat sulit diplomatik adalah 'penjenayah dan ia tidak disenangi Presiden, Barack Obama. 

Setiausaha Akhbarnya, Robert Gibbs, berkata mereka yang bertindak membocorkan lebih 250,000 maklumat sulit Jabatan Negara adalah 'penjenayah paling utama' dan terbabit dalam kesalahan yang serius.
“Ini adalah satu pelanggaran undang-undang yang serius, ia satu ancaman kepada individu yang memikul tugas dan menegakkan polisi luar negara," katanya kepada pemberita.
Gibbs bagaimanapun berkata kebocoran maklumat sulit itu bagaimanapun tidak menjejaskan usaha global bagi mencegah kegiatan pengganas atau mempengaruhi polisi luar negara Amerika. 

Katanya, beliau difahamkan Obama tidak begitu menggemari tindakan laman web pembocor maklumat itu yang mendedahkan secara terperinci mengenai negara dan pemimpin yang dianggap tumpuan dunia. 

Beliau berkata, pegawai Amerika Syarikat kini sedang menjejaki indivisu atau kumpulan yang bertanggungjawab membocorkan maklumat rahsia diplomatik itu. 

“Ketika ini memang ada siasatan mengenai kegiatan mencuri dan menyeludup maklumat sensitif dan rahsia," katanya. - AFP

500,000 murid Tahun Satu sesi 2011 diajar pendidikan seks



Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my
2010/11/30

Datu Dr Julaihi Bujang
Datu Dr Julaihi Bujang
PUTRAJAYA: Kira-kira 500,000 murid Tahun Satu sesi persekolahan 2011 bakal menjadi kumpulan pertama diajar pendidikan seks yang diperkenalkan menerusi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), mulai Januari depan.

Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran, Datu Dr Julaihi Bujang, berkata pendedahan pendidikan seks itu akan diajar menerusi subjek Pendidikan Kesihatan, di bawah Modul Teras Asas bagi Tahap Satu membabitkan murid Tahun Satu hingga Tiga.
“Pengetahuan mengenai pendidikan seks itu mewakili 75 peratus daripada keseluruhan pengisian kurikulum baru subjek berkenaan,” katanya.
Julaihi berkata, enam tunjang menjadi teras pengisian pendidikan seks yang akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Tahun Satu hingga Enam mencakupi perkembangan manusia, perhubungan, perkahwinan dan kekeluargaan, kemahiran kendiri, kesihatan dan tingkah laku seksual serta masyarakat dan budaya.

“Perkembangan manusia mendedahkan murid mengenai pengetahuan sistem reproduktif manusia, manakala perhubungan pula menjurus mengenai kasih sayang dan persahabatan. Murid turut didedahkan mengenai perkahwinan dan kekeluargaan yang merangkumi tanggungjawab sepanjang hayat sebagai ibu bapa, manakala kebolehan dalam membuat keputusan menjadi pengisian kepada tunjang kemahiran kendiri.

“Turut diberi penekanan adalah kesihatan dan tingkah laku seksual yang membicarakan amalan seks sepanjang kehidupan, kaedah mengelakkan hubungan seksual, fantasi, kehamilan, penyakit seksual berjangkit, HIV dan Aids, manakala masyarakat dan budaya pula menyentuh mengenai isu seks dan masyarakat dan perundangan,” katanya kepada Berita Harian di pejabatnya di sini.

Julaihi berkata, keputusan menjadikan pendidikan seks sebagai pengisian utama subjek Pendidikan Kesihatan diambil selepas mengambil kira maklum balas dan pandangan pelbagai pihak termasuk Persatuan Aids Malaysia menerusi perbincangan meja bulat yang diadakan bagi memastikan kurikulum yang dibentuk memenuhi keperluan semasa pendidikan negara. 
Beliau berkata, guru yang terbabit dengan pengajaran subjek berkenaan sudah diberi kursus, manakala bahan pengajaran turut disediakan bagi memudahkan murid mengikutinya, tahun depan.

“Kita amat berharap ibu bapa tidak bimbang dengan perkembangan terbaru ini, malah kita sendiri akui apa saja perkara baru membabitkan dasar atau kurikulum pasti ada yang sukar menerima dan memahaminya.

“Apapun, kita yakin jika pelaksanaannya (pendidikan seks) dapat dijalankan dengan baik dan lancar, masyarakat khususnya ibu bapa pasti memberi sokongan dan kerjasama terhadap pembaharuan ini,” katanya.

Julaihi menjelaskan, selain Pendidikan Kesihatan, subjek lain di bawah Modul Teras Asas murid Tahap Satu termasuk subjek Pendidikan Jasmani, Bahasa Malaysia (BM), Bahasa Inggeris (BI), Bahasa Cina (BC), Bahasa Tamil (BT), Matematik serta Pendidikan Islam/Moral.

Di bawah Modul Teras Tema pula, katanya, dua subjek baru turut diperkenalkan kepada murid Tahun Satu iaitu Dunia Kesenian serta Dunia Sains dan Teknologi, masing-masing mendedahkan kemahiran berkaitan seni visual dan muzik serta Teknologi Komunikasi dan Maklumat. 

Katanya, murid Sekolah Kebangsaan juga diberi peluang memilih subjek tambahan di bawah Modul Elektif yang menyediakan subjek Bahasa Arab, BC Sekolah Kebangsaan, BT Sekolah Kebangsaan, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun.

“Bagi kurikulum Tahap Dua pula membabitkan murid Tahun Empat, Lima dan Enam, kurikulum diorganisasikan dalam bentuk subjek teras dan elektif dan dilaksanakan mulai 2014.

“Antara subjek baru yang bakal diperkenalkan adalah Reka Bentuk dan Teknologi Maklumat/ICT dan Sejarah, manakala subjek sedia ada seperti BM, BI, BC, BT, Pendidikan Kesihatan, Pendidikan Jasmani, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam/Moral,” katanya.

“Pelaksanaan KSSR adalah usaha kita untuk mentransformasikan pendidikan sekolah dengan menyatupadukan pelbagai disiplin ilmu bagi menjadikan pengajaran dan pembelajaran (P&P) lebih menarik, menyeronokkan dan bermakna.

“Enam tunjang menjadi teras pelaksanaan KSSR mencakupi komunikasi, perkembangan fizikal dan estetika, kemanusiaan, keterampilan diri, sains dan teknologi serta kerohanian, sikap dan nilai,” katanya.

Mengenai penyediaan guru, beliau menjelaskan, Kementerian Pelajaran sudah melatih lebih 2,000 Jurulatih Utama (JU) setiap mata pelajaran di peringkat kebangsaan yang bertanggungjawab melatih guru di negeri masing-masing.

“JU bertanggungjawab mendedahkan pendekatan P&P yang terbaik dan sesuai diterjemahkan guru di dalam kelas seperti dihasratkan dalam KSSR,” katanya.

25 kes dera budak di Terengganu





SETIU 29 Nov. - Sejumlah 25 kes penderaan kanak-kanak pelbagai peringkat usia dilaporkan berlaku di negeri ini dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Zakaria Abu Bakar memberitahu, ia mencatatkan penurunan berbanding 38 kes tahun lalu.
Menurut beliau, ia membabitkan lima kes penderaan fizikal, 18 kes seksual, satu kes emosi dan satu lagi kes pembuangan bayi.
Beliau berkata, penurunan kes memperlihatkan perkembangan memberangsangkan yang mungkin mempunyai kaitan dengan tahap kesedaran meluas masyarakat.
''Melalui pelbagai program yang dijalankan termasuk oleh JKM di seluruh negeri ini, masyarakat disedarkan bahawa perbuatan itu suatu jenayah dan mereka yang bersalah akan dihukum.
''Kita berharap trend penurunan ini akan berterusan agar ia tidak menjadi gejala dalam masyarakat, apatah lagi mangsa dianiaya oleh keluarga sendiri atau mereka yang mempunyai hubungan," katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita di Program Kami Prihatin di Dewan Sivik Kampung Chalok Kedai dekat sini baru-baru ini.
Program berkenaan anjuran JKM Daerah Setiu itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Asha'ari Idris.
Beliau berharap kerjasama daripada orang ramai agar dapat melaporkan kepada JKM dan polis sekiranya terdapat kes penderaan kanak-kanak yang diketahui berlaku di kawasan mereka.
''Ia tidak boleh didiamkan. Tindakan mereka berbuat demikian supaya kejadian yang tidak diingini itu akan dapat diatasi," katanya.
Zakaria berkata, program seumpama itu yang dianjurkan oleh JKM bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya fungsi, peranan serta tanggungjawab mereka.
''Tanpa kerjasama mereka, gejala ini mungkin menular dalam senyap dan ramai lagi kanak-kanak akan teraniaya," katanya.

Norzulaika perlukan bantuan segera





Zawani Ismail membelai Norzulaika Zakaria di rumahnya Kampung Dusun Langgar, semalam.


TUMPAT 29 Nov. - Nilai RM4,500 bukanlah jumlah yang banyak kepada sesetengah orang. Namun bagi bayi yang menghidap jantung berlubang, Norzulaika Zakaria, 2, wang itu amat diperlukan untuk menyelamatkan nyawanya.
Ibu bapa bayi tersebut, Zawani Ismail, 32, dan Zakaria Mohd. Yusof, 59, sehingga kini masih gagal menyediakan wang tersebut untuk kos pembedahan Norzulaika kerana kedua-dua mereka tidak bekerja, justeru bantuan daripada orang ramai sangat diperlukan.
Zawani ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dusun Langgar di sini berkata, kesusahan yang dihadapi semakin bertambah apabila suaminya yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kuala Lumpur telah diberhentikan kerja.
Katanya, ia disebabkan suaminya kerap mengambil cuti untuk menjaga Norzulaika.
"Anak saya perlu dibedah segera pada 1 Februari tahun depan kerana masalah jantungnya semakin kronik tetapi saya dan suami tidak mempunyai wang sebanyak itu.
"Saya memohon simpati daripada orang ramai untuk membantu menyelamatkan nyawa anak bongsu saya ini," katanya.
Menurut Zawani, dia tidak pernah menyangka anaknya menghadapi masalah jantung kerana dilahirkan dalam keadaan sihat dan membesar dengan sempurna serta aktif seperti kanak-kanak lain.
Bagaimanapun Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) mendapati Norzulaika menghadapi masalah jantung berlubang selepas dia dimasukkan ke hospital berkenaan pada Ramadan lalu akibat demam.
Zawani berkata, anaknya telah ditahan di wad selama dua minggu dan selepas itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama seminggu.
"Semasa Norzulaika menjalani rawatan di HPRZ II, doktor mendapati jantungnya berlubang sebesar 2.5 sentimeter dan perlu menjalani pembedahan pertama di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
"Kemungkinan selepas pembedahan pertama, Norzulaika akan menjalani pembedahan susulan pula. Macam mana saya nak mencari wang tersebut kerana yang pertama pun kami tidak dapat menyediakannya," ujarnya.
Tambahnya, dia juga turut bimbang kerana tidak dapat menyediakan keperluan pakaian sekolah untuk anak sulungnya yang akan memasuki darjah dua pada tahun depan.
Bantuan boleh disampaikan atas nama Zawani Ismail melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) nombor akaun: 0311829-84367668-0 atau menghubunginya di talian 019-3428129 dan 017-2932968.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam HRPZ II, Zaid Ahmad ketika dihubungi mengesahkan bayi berkenaan telah dirawat di hospital tersebut baru-baru ini dan dikesan menghadapi masalah jantung berlubang.
"Doktor yang merawatnya mengesahkan bayi ini bukan sahaja mempunyai masalah jantung tetapi juga beberapa penyakit lain," katanya.