Rose hamid (dalam bulatan) bersama penonton lain, berdiri sebagai tanda bantahan terhadap kempen Donald Trump yang diadakan di Rock Hill Carolina Selatan, kelmarin. AGENSI
ROCK HILL, Carolina Selatan 9 Jan. – Seorang wanita Islam yang memakai tudung diusir keluar daripada kempen yang dihadiri calon Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam selepas dia berdiri sebagai tanda bantahan semasa jutawan selebriti tersebut berucap dalam majlis itu.
Rose Hamid, 56, seorang kru penerbangan berdiri betul-betul di tempat duduk di belakang kedudukan Trump apabila calon pendahulu Presiden AS dari Parti Republikan itu mendakwa pelarian Syria yang datang dari negara tersebut terlibat dengan militan Negara Islam (IS).
Meskipun Rose hanya berdiam diri, penyokong-penyokong Trump di sekeliling wanita itu mula menyebut-nyebut namanya seperti mana yang diarahkan oleh jentera pilihan raya jutawan berkenaan sebelum kempen tersebut sekiranya berlaku bantahan.
Penyokong Trump kemudiannya menunding jari ke arah Rose dan Marty Rosenbluth, lelaki yang berada di sebelah wanita itu, yang turut berdiri.
Ketika mereka diiring keluar oleh polis, penyokong Trump bersorak dan mengejek sambil menjerit ke arah pasangan itu supaya mereka keluar dengan ada di antara hadirin menjerit, ‘Anda memiliki bom, anda memiliki bom’.
Rose berhubung insiden itu memberitahu CNN, dia terkejut dengan reaksi spontan yang diterimanya.
“Keadaan berubah sekelip mata. Secara tiba-tiba saya menjadi tumpuan negatif hadirin pada hari itu,” katanya menerusi perbualan telefon sejurus diusir.
Sementara itu, Jabatan Polis Rock Hill, Major Steven Thompson berkata, Rose diusir daripada majlis berkenaan kerana pihak penganjur terlebih dahulu memaklumkan sekiranya ada individu yang membuat gangguan, mereka perlu dibawa keluar.
Pihak jentera pilihan raya Trump bagaimanapun tidak dapat dihubungi bagi mengulas pengusiran Rose daripada dewan tersebut.