Tuesday, October 11, 2011

1,000 penagih kunjungi Klinik Care & Cure 1Malaysia




1,000 penagih kunjungi Klinik Care & Cure 1Malaysia

GEORGETOWN - Kira-kira 1,000 penagih menerima rawatan di Klinik Care & Cure 1 Malaysia, kendalian Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sejak dibuka Julai lalu.

Pengarah AADK Pulau Pinang, Siti Rohani Ahmad berkata, semua penagih yang datang secara sukarela itu diberi rawatan mengikut kesesuaian waktu masing-masing melalui pendekatan baru ‘bebas keluar masuk’ dan tidak lagi berpagar seperti pusat serenti.

Beliau berkata, klinik itu menggantikan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Bukit Mertajam berfungsi sebagai hab untuk rawatan dan pusat rujukan bagi memenuhi keperluan penagih.

“Konsepnya juga lebih bebas, tiada pagar besi yang tinggi seperti yang selalu kita lihat di pusat serenti malah pengawal keselamatannya juga tidak memakai pakaian seragam.

“Klinik ini dibuka tujuh hari seminggu dan beroperasi 24 jam. Ia dikunjungi pesakit secara sukarela iaitu kepada mereka yang ingin membaiki kehidupan baru setelah terjebak dengan dadah. Ia menyediakan beberapa pakej rawatan untuk pilihan penagih,” katanya selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada media di pejabatnya semalam.

AADK turut mengendalikan Cure & Care Service Centre yang terletak di Teluk Bahang, Balik Pulau dan Kampung Selamat manakala Caring Community House di Jalan Scotland dan Pinang Tunggal.

“Semua pusat khidmat ini berperanan membantu memulihkan penagih menerusi pelbagai program antaranya ceramah serta memujuk agar meninggalkan tabiat lama,” katanya.

Datuk Ahmad Jais meninggal dunia





2011/10/11

Datuk Ahmad Jais
Datuk Ahmad Jais
KUALA LUMPUR: Seniman Datuk Ahmad Jais meninggal dunia di Pusat Perubatan Darul Ehsan Shah Alam pada 9.19 pagi tadi.

Polis Singapura siasat Forum ISA SDP



SINGAPURA 10 Okt. - Polis sedang menyiasat sama ada penganjuran forum Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) oleh Parti Demokratik Singapura (SDP) Sabtu lalu melanggar undang-undang negara ini.
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri berkata, penganjur forum itu telah mengundang dua bekas tahanan ISA, Francis Seow dan Tang Fong Har untuk menyertai perbincangan mengenai politik domestik.
Menurut kementerian itu, penganjur menguruskan penglibatan Seow dan Fong Har dari luar kuasa kehakiman Singapura dan membenarkan mereka terlibat dalam politik domestik di perhimpunan awam di negara ini tanpa kehadiran sebanar mereka, lapor Channel News Asia.
Seow dan Fong Har menerusi telepersidangan forum yang dihadiri kira-kira 150 orang itu menggesa Singapura memansuhkan ISA, seperti langkah Malaysia yang bercadang memansuhkannya.
Ini merupakan kali pertama penentang kerajaan yang kini hidup dalam buangan berkomunikasi dengan penduduk Singapura secara terbuka.
Seow, 83, yang kini tinggal di Amerika Syarikat (AS), telah ditahan pada 1988 selepas dituduh menerima dana daripada AS untuk menjadi pembangkang yang lebih efektif di Parlimen.
Fong Har, yang dituduh menjadi anggota dalam konspirasi Marxist dan ditahan pada 1987, berkata undang-undang itu patut dimansuh kan tetapi bukan digantikan dengan yang lebih teruk.
Seow dan Fong Har mahu kembali ke Singapura. Dipercayai Seow masih warganegara Singapura, manakala Fong Har telah melepaskan kewarganegaraannya pada 2003.
Malaysia telah mengumumkan ISA, undang-undang penahanan pencegahan, akan dimansuhkan pada Mac tahun depan selepas dua undang-undang baru bagi menggantikannya digubal. - AGENSI

Ananda nafi berlaku salah laku pembelian Aircel di India



KUALA LUMPUR 10 Okt. - Maxis Communications Bhd. (Maxis) yang dimiliki oleh tokoh korporat terkemuka T. Ananda Krishnan menafikan sekeras-kerasnya berlaku sebarang salah laku dalam pembelian Aircel Ltd. di India pada tahun 2006.
Maxis dikaitkan dengan tindakan oleh pihak berkuasa India, Biro Penyiasatan Pusat (CBI) mendakwa bekas Menteri Persekutuan, Dayandhi Maran dengan konspirasi jenayah, penyelewengan dan rasuah berhubung dakwaan membantu memberikan lesen telekomunikasi semasa beliau menjadi Menteri Telekomunikasi antara Februari 2004 dan Mei 2007.
Maxis dalam kenyataan di sini berkata, pengambilan alih Aircel adalah transaksi komersial, transaksi setaraf antara penjual dan pembeli yang sanggup, malah Maxis telah membayar pada harga yang dituntut oleh penjual, Siva Ventures Limited (Siva).
Selain itu, Maxis baru-baru ini telah berjaya mempertahankan prosiding timbang tara antarabangsa terhadapnya oleh bekas pemilik Aircel, Siva, di mana tuntutan terhadap Maxis ditolak secara keseluruhannya.
Maxis berkata, pihaknya masih belum menerima Laporan Maklumat Awal (FIR) tersebut tetapi memahami bahawa syarikat tersebut bersama beberapa pihak yang lain telah dituduh atas dakwaan paksaan dan rasuah.
"Maxis maklum mengenai siasatan yang sedang dijalankan oleh Biro Siasatan India (CBI).
"Walaupun kecewa terhadap FIR yang difailkan namun kami tetap memberi kerjasama penuh kepada CBO kerana yakin dakwaan tersebut tidak berasas dan tidak benar," katanya.
Tambahnya, Maxis kekal komited terhadap pasaran telekomunikasi di India yang mana sejumlah lebih AS$8 bilion telah dilaburkan sejak mengambilalih Aircel.Ia kini mempunyai pelanggan seramai lebih daripada 50 juta orang.
Sementara itu Dow Jones dalam laporannya memetik jurucakap CBI, Dharini Misra sebagai berkata, selain mendakwa Maran, CBI semalam turut menfailkan FIR untuk memulakan siasatan rasmi terhadap abang Dayanidhi Maran yang merupakan Pengerusi Sun TV Network Ltd. (Sun TV), Kalanidhi serta T. Ananda Krishnan.
Dakwaan yang sama juga difailkan terhadap Sun TV, Astro All Asia Networks PLC, dan Maxis serta eksekutif kanan Maxis, Ralph Marshall, katanya.
Dakwaan itu membawa hukuman penjara minimum selama enam bulan sehingga lima tahun dengan dikenakan denda.
Maran merupakan menteri persekutuan kedua yang meletakkan jawatan dalam tempoh kurang setahun selepas bekas Menteri Telekomunikasi, Andimuthu Raja didakwa mengenai peranan mereka terhadap peruntukan lesen dan khidmat telekomunikasi generasi kedua.
Maran menjadi tumpuan selepas media tempatan melaporkan bahawa beliau memberi kelebihan kepada syarikat telekomunikasi tidak disenaraikan iaitu Aircel Ltd. semasa menjadi menteri.
CBI sejak itu telah memberitahu Mahkamah Agung, Maran telah memainkan peranan dalam memaksa pemilik Aircel untuk menjual kepada Maxis pada 2006.
Aircel pada waktu itu dimiliki oleh pelabur C. Sivasankaran, yang tidak dapat dihubungi untuk memberi komen.