Tuesday, November 22, 2011

SPICE: 4 individu saman kerajaan P. Pinang, Guan Eng



PEMIMPIN parti komponen Barisan Nasional Pulau Pinang berkumpul di luar mahkamah sebelum memfailkan saman terhadap kerajaan DAP Pulau Pinang di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, semalam.


PULAU PINANG 21 Nov. - Empat individu memfailkan saman terhadap 14 defendan termasuk Kerajaan DAP Pulau Pinang dan Ketua Menterinya, Lim Guan Eng bagi menuntut perjanjian projek pembinaan pusat konvensyen dan pameran antarabangsa bawah tanah dikenali sebagai SPICE bernilai RM300 juta diisytiharkan batal dan tidak sah.

Saman yang difailkan oleh Khoo Yen Her, R. Rama Krishnan, Abd. Manan Abd. Manap dan K. Sathiasilan itu juga bertujuan mencabar kesahihan perjanjian antara Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dengan pemaju, Eco Meridian Sdn. Bhd. (EMSB) yang merupakan anak syarikat SP Setia Bhd.

Writ saman tersebut difailkan oleh keempat-empat mereka selaku pihak plaintif melalui firma guaman Tetuan Thayalan & Associates di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Sebelum saman itu difailkan, kira-kira 50 ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri berarak sejauh hampir lima meter ke Mahkamah Tinggi sebagai tanda sokongan kepada pihak plaintif.

Pihak plaintif menamakan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang sebagai defendan pertama manakala Guan Eng dan 10 lagi ahli MMK sebagai defendan kedua hingga ke-12. Turut dinamakan sebagai defendan ialah MPPP sebagai defendan ke-13 dan EMSB defendan ke-14.

Pihak plaintif mengemukakan tuntutan saman itu bagi pihak diri mereka sendiri dan wakil kepada semua pembayar cukai pintu dan cukai tanah di negeri ini.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, pihak plaintif menyatakan, pada 19 Ogos lalu, MPPP telah memasuki satu perjanjian dengan EMSB untuk syarikat itu membangunkan projek SPICE dengan kos RM300 juta di atas tanah milik MPPP di tapak Pusat Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang (PISA).

Bagaimanapun, dakwa plaintif, laporan yang dibuat pihak media mengenai projek itu telah menimbulkan kebimbangan sesetengah pihak mengenai beberapa aspek perjanjian yang telah ditandatangani tersebut.

Pihak Plaintif pada 24 Oktober lalu telah menghantar surat kepada MPPP untuk memohon mendapatkan salinan perjanjian itu tetapi jawapan yang diterima pada 2 November lalu menyatakan MPPP tidak boleh membekalkan perjanjian tersebut dan butir-butir mengenainya kerana tidak mempunyai 'locus standi' (hak di sisi undang-undang).

Sehubungan itu, pihak plaintif menuntut satu perisytiharan bahawa arahan yang diberikan Pihak Berkuasa Negeri DAP Pulau Pinang kepada MPPP untuk memasuki perjanjian tersebut adalah bercanggah dengan Seksyen 9(1) Akta Kerajaan Tempatan, 1976.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

Masalah dalaman boleh jadi punca kekalahan - Syed Ali


KUALA LUMPUR 21 Nov. – Masalah dalaman parti yang tidak diselesaikan dengan segera boleh menyebabkan UMNO dan Barisan Nasional tewas kepada diri sendiri dan bukannya terhadap pihak lawan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, peluang untuk menang lebih besar di dalam pilihan raya akan datang tidak akan menjadi kenyataan jika pemimpin tidak mengambil kesempatan dalam keadaan pakatan pembangkang yang semakin lemah.

Beliau berkata, UMNO harus menerima hakikat bahawa musuh yang ditentang tidak sekuat mana tetapi penyakit dalaman yang ditanggung seumpama barah yang boleh meleburkan parti.

“Pembangkang pada hakikatnya langsung tidak ada kekuatan dalaman dan tidak mendapat sokongan sebahagian besar rakyat Malaysia.

“Pembangkang hanya nampak ‘hidup’ kerana mereka menggunakan isu atau persekitaran yang berlaku berlandaskan budaya fitnah dan provokasi,” katanya melalui blognya www.umnobahagiancheras.blogspot.com, hari ini.

Syed Ali berkata demikian bagi mengulas teguran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung masalah dalaman parti yang masih tidak diselesaikan di dalam Mingguan Malaysia, semalam.

Di dalam siaran bertajuk ‘Tanggungjawab pemimpin UMNO bersihkan sampah-sarap fitnah pembangkang’ itu, Syed Ali menyifatkan masalah yang ditanggung parti sebagai penyakit dalaman yang jika tidak diubati akan mengundang kekalahan yang tidak sepatutnya.

“Secara terus-terang dan sejujurnya, jika UMNO mahu kemenangan besar pada pilihan raya akan datang, penyakit dalaman itu perlu diubat segera,” katanya.

Antara masalah yang paling ketara pada masa ini adalah kegagalan para pemimpin utama turun padang dan bersama-sama menangkis tohmahan dan tuduhan yang dilemparkan pembangkang.

Katanya, para pemimpin tidak seharusnya mengharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan, Tan Sri Muhyiddin Yassin semata-mata untuk mempertahankan parti daripada menjadi mangsa serangan fitnah pembangkang.

“Seingat saya sewaktu era Mahathir, panglima-panglima UMNO terutama barisan Majlis Tertinggi akan bingkas bangun mempertahankan maruah parti.

“Sampai bila sindrom bisu ini akan berlanjutan? Hanya rakyat di peringkat akar umbi yang lebih arif menilai betapa kuat atau lemahnya UMNO,” ujarnya.

Utusan Malaysia Online - Parlimen:

'via Blog this'

Tipudaya UMNO diteruskan lagi

Akta baru: Tahan tanpa bicara kekal


HISHAMMUDDIN Tun Hussein bersama pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri memegang buku Tujuh Komitmen Utama di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 21 Nov. - Akta baru yang bakal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Mac tahun depan tetap mempunyai ciri-ciri penahanan tanpa bicara bagi menangani aktiviti militan dan keganasan yang mengancam negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, berlainan dengan ISA, dua akta baru yang masih dikaji itu dijangka menerapkan beberapa perubahan seperti dalam soal tempoh tahanan, notis kepada keluarga yang ditahan dan keperluan untuk mereka membuat rayuan.

Menurutnya, dua akta itu akan mempunyai persamaan dengan pendekatan dalam Akta Patriot Amerika Syarikat, Akta Pencegahan Keganasan United Kingdom dan Akta Antikeganasan Australia yang dikuatkuasakan di negara-negara yang terkenal dengan perjuangan hak asasi manusia itu.

''Jadi, jangan sesekali mengajar saya tentang apa yang perlu dilakukan jika anda sendiri gagal melakukannya.

''Terdapat rakyat Malaysia yang ditahan oleh Amerika Syarikat di Guantanamo tanpa melalui perbicaraan, jangan bersikap pilih bulu dan hipokrit," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan dan sambutan hari inovasi kementeriannya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, pihaknya akan tetap menggunakan ISA untuk menangani aktiviti pengganas sehingga dua akta baru yang menggantikannya dikuatkuasakan.

''Sekiranya negara kita menjadi sasaran pengganas dan pengebom, rakyat akan marah kepada kerajaan.

''Segelintir orang bagaimanapun mempertikaikan tangkapan yang dilakukan, kita akan beri penjelasan lebih teliti apabila keadaan mengizinkan dan orang ramai akan tahu bahawa tangkapan dibuat bersandarkan kepentingan orang ramai," katanya.

Mengenai Rang Undang-undang Perhimpunan Aman, beliau berkata, proses penggubalannya oleh Jabatan Peguam Negara telah memasuki peringkat akhir dengan sumbangan input daripada polis dan Kementerian Dalam Negeri.

''Kita sedang lihat undang-undang baru mengenai perhimpunan aman, penerbitan dan berkenaan darurat. Kita ke arah membenarkan perhimpunan aman yang tidak menjejaskan keselamatan dan tidak menyusahkan orang ramai," katanya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

Ibu tunggal nafi kutip duit ubat anak



SIEW FAN (kiri) berkata sesuatu kepada pemberita sambil ditemani anaknya (dua dari kiri) dan Lau (dua dari kanan) di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Seorang ibu tunggal menafikan dia pernah memungut derma secara terbuka daripada orang ramai untuk tujuan membiayai kos rawatan anak dan perbelanjaan hariannya selepas mendapati ada pihak yang mempergunakan namanya untuk tujuan tersebut.

Lee Siew Fan, 43, mengakui pernah meminta bantuan untuk menampung perbelanjaan harian dan kos rawatan anaknya, Lee Zheng Wei, 15, yang menghidap penyakit cushing syndrome melalui siaran berita dalam sebuah akhbar tetapi menafikan dia meminta derma daripada orang awam secara terbuka.

"Saya diberitahu ada pihak menggunakan gambar saya bersama anak menagih simpati daripada orang ramai.

"Ingin saya jelaskan di sini bahawa selain daripada meminta bantuan melalui siaran akhbar, saya tidak pernah atau meminta pihak ketiga untuk memungut derma bagi pihak saya," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) di sini baru-baru ini.

Siew Fan yang bekerja sebagai pencuci kehilangan suami sejak 14 tahun lalu dan kini tinggal bersama anaknya di sebuah rumah kos rendah di Cheras.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'