Tuesday, March 4, 2014

Biasiswa khas untuk bangsamoro, BR1M rm500 untuk malaysian.. bangsamoro ni rakyat Malaysia ke?

Azmin, Khalid bincang lepas PRK


FATHIN ATHIRAH HASLI
4 Mac 2014

Abdul Khalid dan Azmin
Abdul Khalid dan Azmin



KAJANG - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mengambil kata putus untuk tidak membincangkan mengenai perebutan kerusi Timbalan Presiden PKR sehingga PRK Dun Kajang selesai.

"Kami tidak mahu membincangkan dengan lebih lanjut tentang perkara ini, tunggu PRK selesai.

"Buat masa sekarang, kami sedang fokus pada PRK, perkara ini akan dibangkitkan semula selepas pilihan raya berakhir nanti," kata Abdul Khalid selepas perasmian Bilik Gerakan Utama PKR bagi PRK Dun Kajang, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihak kepimpinan telah membincangkan perkara ini secara terbuka dan ianya satu salah satu proses demokrasi yang tidak menyalahi undang-undang parti.

"Parti beri ruang kepada mereka yang mahu bertanding.

"Keputusan mereka (Azmin dan Abdul Khalid) tidak mendapat apa-apa tentangan dari saya," katanya.

Jelasnya, kedua-dua mereka berhak untuk bertanding dan ia merupakan pilihan masing-masing untuk berkhidmat pada parti.

Pada awal Mac lalu, Abdul Khalid yang juga Adun Port Klang itu mengumumkan kesediaannya untuk bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR yang disandang oleh Azmin.

Pengumuman tersebut sekaligus didakwa sesetengah pihak bakal menggugat kredibiliti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon kerusi di PRK Kajang.

Karzai marah dengan pentadbiran AS


KABUL - Presiden Afghanistan, Hamid Karzai menyuarakan kemarahannya kepada pentadbiran Amerika Syarikat (AS) berhubung peranan Washington di tanah airnya.
Kemarahan itu dibuat ketika Karzai akan melepaskan jawatannya selepas pilihan raya Presiden diadakan di negaranya pada 5 April depan.
Presiden Afghanistan itu membidas AS dalam wawancaranya dengan akhbar Washington Post.
Akhbar tersebut menyiarkan wawancara itu kelmarin.
"Penduduk Afghanistan mati dalam peperangan yang bukan disebabkan oleh warga kami," katanya.
Menurutnya, beliau berasa pasti bahawa peperangan di Afghanistan yang berlanjutan selama 12 tahun itu dilancarkan AS untuk keselamatan Washington dan kepentingan Barat.
Peperangan AS di Afghanistan bermula selepas serangan pengganas di New York pada 11 September 2001.
Karzai enggan menandatangani satu perjanjian keselamatan dengan Washington.
Perjanjian itu akan membolehkan askar-askar asing kekal berada di Afghanistan pada tahun 2015.
Keengganan Karzai itu menyebabkan Presiden Barack Obama mengarahkan Jabatan Pertahanan di negaranya untuk melakukan persediaan supaya askar-askar AS meninggalkan Afghanistan selepas tahun 2014. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0304&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2uwJ5B4NT 
Hakcipta terpelihara 

Rusia tambah askar di Crimea


BEBERAPA anggota tentera dipercayai dari Rusia berjalan di kampung Perevalnoye, Semenanjung Crimea, Ukraine semalam.
Rusia tambah askar di Crimea


KIEV - Kerajaan Ukraine semalam menuduh Rusia menambahkan bilangan askar dan pesawat perang di Semenanjung Crimea.
Semenanjung Crimea yang merupakan wilayah Ukraine diceroboh Rusia sejak minggu lalu ekoran konflik politik yang berlaku di negara ini.
Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov menyatakan, askar-askar tersebut diperlukan di semenanjung tersebut sehingga kestabilan wujud di Ukraine.
Crimea merupakan semenanjung yang berada di lokasi strategik di Laut Hitam.
Ia mempunyai jumlah penduduk Rusia yang ramai walaupun berada di dalam wilayah Ukraine.
Presiden Rusia, Vladimir Putin diberikan kebenaran oleh anggota-anggota Parlimen di negaranya pada Sabtu lalu untuk menceroboh Crimea.
Ekoran pencerobohan itu, Setiausaha Luar Britain, William Hague memberi amaran kepada Rusia akibat yang bakal dihadapinya ekoran pencerobohan tersebut.
Beberapa buah negara kaya turut mengancam untuk menggugurkan keanggotaan Rusia dalam Kumpulan Lapan ekoran tindakan Putin tersebut.
Menteri Luar Jerman, Frank-Walter Steinmeier menyatakan, situasi di Ukraine bertambah buruk pada setiap hari.
Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama telah menghubungi Putin dan berbual dengannya pada Sabtu lalu bagi memberitahunya tentang padah yang perlu diterimanya jika Rusia masih kekal di dalam wilayah Ukraine tersebut.
OBAMA menghubungi Putin di White House, Washington pada Sabtu lalu.


Konflik di Ukraine dengan Rusia berlaku selepas anggota-anggota Parlimen memilih Oleksandr Turchynov sebagai Presiden sementara bagi menggantikan Viktor Yanukovych yang melarikan diri dari Kiev pada bulan lalu.
Yanukovych melarikan diri selepas beliau menandatangani satu perjanjian damai tajaan Barat bagi meredakan situasi politik selepas hampir 100 orang mati akibat pertempuran antara anggota-anggota polis dengan penunjuk perasaan.
Para penunjuk perasaan itu menuntut Yanukovych meletakkan jawatan selepas beliau enggan menandatangani satu perjanjian perdagangan dengan Kesatuan Eropah.
Jika perjanjian itu ditandatangani, barangan Ukraine akan menembusi pasaran di Eropah.
Namun, Rusia kemudian tidak mengiktiraf Turchnov sebagai Presiden sementara.
Sebaliknya, Rusia masih mengiktiraf Yanukovych sebagai Presiden Ukraine kerana beliau mempunyai hubungan amat rapat dengan Moscow. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0304&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2uwHoem59 
Hakcipta terpelihara 

Rakyat Thai mahu rundingan


Penunjuk perasaan antikerajaan beredar dari tengah ibu kota Bangkok dan berkumpul semula di tengah Taman Lumpini di Bangkok, kelmarin. Thailand mengadakan semula pilihan raya bagi lima wilayah, kelmarin setelah proses pengundian di lima wilayah itu pada 2 Februari lalu diganggu penunjuk perasaan bertujuan menjatuhkan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra. - REUTERS
BANGKOK 3 Mac - Majoriti rakyat Thailand mahu pemimpin bantahan antikerajaan, Suthep Thaugsuban dan Perdana Menteri sementara, Yingluck Shinawatra mengadakan rundingan secara terbuka bagi mengakhiri krisis politik negara ini, lapor satu tinjauan hari ini.
Keputusan tinjauan tersebut yang dijalankan oleh Suan Dusit disiarkan ketika kumpulan penunjuk perasaan mula berundur dari kawasan tengah Bangkok yang sebelum ini menjadi lokasi tumpuan dan penyebab kesesakan trafik.
Sebanyak 71 peratus responden bersetuju bahawa Yingluck dan Suthep perlu mengadakan perbincangan yang disiarkan melalui siaran langsung bagi menamatkan konflik politik Thailand.
Namun, hanya enam peratus sahaja tidak bersetuju dengan langkah tersebut kerana dikhuatiri akan merumitkan lagi krisis politik negara ini.
Dalam pada itu, penduduk Bangkok berasa lega untuk ke tempat kerja selepas beberapa jalan utama tidak lagi dikuasai kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan.
Bagaimanapun kumpulan yang diketuai Suthep itu mula tertumpu di kawasan mahkamah bagi memberi tekanan kepada Jabatan Kehakiman untuk menggesa Yingluck berundur.
Penganalisis politik dari Universiti Chulalongkorn, Siripan Nogsuan Sawasdee berkata, Suthep menukar strategi untuk menggulingkan Yingluck melalui mahkamah dan Suruhanjaya Pilihan Raya.
"Beliau (Suthep) sedar nasib kerajaan tidak bergantung kepada demonstrasi jalanan yang diusahakan oleh penyokongnya,
sebaliknya masa depan Yingluck bergantung kepada Jabatan Kehakiman dan Suruhanjaya Pilihan Raya," katanya. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140304/lu_04/Rakyat-Thai-mahu-rundingan#ixzz2uwBRwUeD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tentera Rusia atur kedudukan


Sebahagian kenderaan perisai dipercayai milik tentera Rusia, dilihat berada di dalam kawasan unit tentera Ukraine di Kampung Perevalnoye, di luar Simferopol, Crimea, semalam. - REUTERS
KIEV 3 Mac - Tentera Rusia mula mengatur kedudukan kenderaan berperisai di kawasan sempadan wilayah autonomi Crimea, sekali gus memberi bayangan perang antara Ukraine dan Moscow boleh tercetus pada bila-bila masa.
Seorang pengawal sempadan Ukraine yang enggan dikenali berkata, kapal-kapal tentera laut Rusia juga telah tiba di perairan Sevastopol yang merupakan bandar pelabuhan utama Crimea.
Bandar tersebut juga adalah merupakan pangkalan utama Armada Tentera Laut Rusia di Laut Hitam.
Menurut pengawal tersebut, tentera Rusia menyekat perkhidmatan telekomunikasi di beberapa kawasan di wilayah berkenaan.
Bagaimanapun, pengawal itu tidak pasti jumlah kenderaan tentera Rusia yang dikerah ke sempadan tersebut yang terletak di sepanjang 4.5 kilometer di Selat Kerch.
Semalam, kerajaan sementara Ukraine mengarahkan semua anggota tentera simpanannya diaktifkan bagi menghadapi konfrontasi dengan Rusia.
Dalam perkembangan lain, berpuluh-puluh orang dilaporkan cedera dalam keganasan yang tercetus di bandar Kharkiv, timur Ukraine apabila aktivis pro-Rusia bertindak menyerbu ibu pejabat kerajaan wilayah itu, kelmarin.
Keganasan terbaharu itu membayangkan kerajaan sementara Ukraine berdepan masalah untuk mengukuhkan cengkaman di bandar utama yang dikuasai penduduk pro-Rusia selepas wilayah autonomi Crimea ketika ini dikuasai oleh kumpulan lelaki bersenjata yang berpihak kepada Moscow.
Bandar Kharkiv terletak kira-kira 658 kilometer di utara wilayah Crimea yang menjadi tumpuan dunia ekoran konfrontasi antara Rusia dan Ukraine.
Beribu-ribu penduduk mengadakan bantahan terhadap kerajaan pimpinan Presiden sementara, Oleksandr Turchynov di beberapa bandar utama termasuk di Donetsk, bandar kelahiran bekas Presiden Viktor Yanukovych, yang digulingkan pada minggu lalu.
Mereka mendesak pengunduran kerajaan sementara Ukraine dan menggesa penyatuan dengan Rusia.
Sementara itu, Ketua Tentera Laut Ukraine, Laksamana Muda Denis Berezovsky belot apabila menyatakan pendirian untuk berpihak kepada kerajaan Crimea yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Sergey Aksenov.
Tindakannya itu bakal meningkatkan lagi ketegangan antara Rusia dan Ukraine yang masing-masing mahu mempertahankan Crimea, terutamanya Moscow kerana wilayah tersebut merupakan pangkalan utama tentera lautnya yang ditempatkan di Laut Hitam. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140304/lu_03/Tentera-Rusia-atur-kedudukan#ixzz2uwBDokqY
© Utusan Melayu (M) Bhd