Monday, July 4, 2011

Suami dibelasah depan kakak ipar

BELIAU pernah ditumbuk, diterajang hingga bengkak mata dan berdarah mulutnya.

Maki hamun pula sering mengiringi penderaan ini.

Namun belum pernah Encik Karim (bukan nama sebenar) membuat aduan polis.

Sebabnya yang memukulnya bukanlah seorang lelaki, sebaliknya Encik Karim mendakwa beliau menjadi 'mangsa' penderaan oleh isterinya sendiri.

Ternyata tiap insan ada had kesabarannya.

Akhirnya selepas lebih dua tahun merana, jurutera berusia 30an tahun yang kini berpangkalan di Timur Tengah itu mengambil keputusan untuk melafazkan cerai talak satu ke atas isterinya itu.">

Menceritakan kisah pahitnya itu, kakak Encik Karim, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Kamisah, 54 tahun, berkata masalah adiknya itu bermula hanya selepas mendirikan rumahtangga.

'Kalau diingatkan, sudah ada tanda-tanda bahawa bekas isteri adik saya itu berani mendera suami.

'Adik saya pernah ceritakan yang beliau telah didera secara lisan semasa mula-mula keluar 'berdating'.

'Tapi beliau beri alasan bahawa masalah itu disebabkan salah faham dan mereka kemudian berbaik semula,' jelas suri rumah dan ibu tiga anak itu lagi.

Malangnya penderaan tersebut tidak berakhir di situ.

Menurut Cik Kamisah, kurang setahun adiknya bernikah, beliau perasan beberapa kali bahagian muka adiknya bengkak.

Menyangkakan adiknya itu terhantuk, beliau tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah beberapa kali perkara yang sama berlaku.

'Saya perasan setiap kali mukanya bengkak, beliau pulang ke rumah saya padahal pasangan itu ada rumah sendiri.

'Bila saya tanya adik saya dengan siapa beliau gaduh, beliau tidak menjawab dan hanya mendiamkan diri sahaja.

'Selepas beliau tidak pulang ke rumahnya selama beberapa hari, saya syak beliau bertengkar dengan isterinya,' jelasnya lagi.

Adik lelakinya itu akhirnya menceritakan kisah sebenar yang dialaminya sejak berkahwin dan bekerja dengan isterinya itu - seorang peniaga setempat.

'Adik saya ceritakan sejak berumah tangga, beliau dijadikan seperti budak suruhan dan bahan asakan.

'Beliau jadi pembantu di pejabat, pengirim surat dan barangan lain serta membantu mengangkut perkakas dan keperluan perniagaan isterinya.

'Setiap hari beliau hanya diberi wang yang cukup untuk membeli sebungkus nasi, sebotol air minuman dan sekotak rokok.

'Dan gaji bulanannya kurang $200. Wang lainnya disimpan dalam akaun bank si isteri,' jelasnya.

Perkahwinan adiknya, yang menghasilkan seorang anak perempuan, berakhir apabila si isteri mula 'menyerang' rumah Cik Kamisah sekitar empat tahun lalu.

Menurut Cik Kamisah, adik iparnya memekik lalu menyuruh suaminya segera pulang.

'Saya terpaksa jadi orang tengah, tapi saya pula dimaki adik ipar saya itu sendiri.

'Pada masa yang sama, saya saksikan adik saya dibantai isterinya.

'Tapi hairannya adik saya langsung diamkan diri sahaja dan hanya melindungi diri dengan kededua belah tangan,' cerita Cik Kamisah sedih.

Beliau berkata adiknya itu hanya mula memberanikan diri selepas mendapatkan nasihat daripada kenalan rapatnya.

'Kerana tidak tahan, beliau akhirnya menceraikan isterinya itu,' ujarnya lagi.

Kini Encik Karim dan bekas isterinya itu masing-masing sudah mendirikan rumah tangga baru.

Cyberita Online Istimewa

Thailand bakal rai PM wanita pertama

Abhisit mengaku kalah

BANGKOK: Parti yang menjadi proksi mantan perdana menteri Thailand yang hidup dalam buangan, Encik Thaksin Shinawatra, memenangi pilihan raya umum negara itu semalam, menurut perangkaan awal Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand (ECT).

Sehingga akhbar ini dicetak dan selepas 56 peratus undian dikira, keputusan awal EC menunjukkan Parti Puea Thai yang dipimpin oleh adik bongsu mantan perdana menteri Thai itu, Cik Yingluck Shinawatra, sedang mendahului dengan memenangi 251 daripada 500 kerusi di Parlimen Thai, melebihi jumlah kerusi majoriti yang diperlukan bagi membentuk sebuah kerajaan.

Parti Demokrat, yang dipimpin oleh Perdana Menteri Thai yang disokong pihak tentera, Encik Abhisit Vejjajiva, pula memenangi 167 kerusi.

Encik Abhisit mengaku kalah menerusi satu siaran televisyen malam tadi, selepas keputusan awal menunjukkan Parti Puea Thai memenangi kerusi majoriti dalam parlimen.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Cik Yingluck, 44 tahun, atas kemenangannya.

'Keputusannya jelas - Puea Thai telah memenangi pilihan raya ini dan pihak Demokrat telah dikalahkan,' kata Encik Abhisit dari ibu pejabat partinya di Bangkok.

'Saya akan memberi peluang kepada Yingluck, wanita pertama untuk membentuk sebuah pemerintah. Saya mahu melihat penyatuan dan perdamaian.

'Pihak Demokrat bersedia menjadi pembangkang,' tambahnya.

Selain memberi peluang Cik Yingluck menjadi perdana menteri wanita pertama Thailand, keputusan itu juga bermakna bahawa Encik Thaksin dan sekutu-sekutunya berpeluang muncul semula dalam arena politik Thailand, selepas penggulingannya dalam satu rampasan kuasa tentera pada 2006.

Awal daripada itu, tinjauan di kalangan pengundi semalam menunjukkan bahawa Parti Puea Thai mendahului Parti Demokrat dengan memenangi 313 daripada 500 kerusi di parlimen, melebihi majoriti 250 kerusi yang diperlukan baginya untuk membentuk sebuah kerajaan.

Satu mandat besar yang diberikan kepada Cik Yingluck bagi memerintah Thailand akan memudahkan beliau mencari jalan keluar daripada krisis politik yang telah membelenggui Thailand sejak 2006.

Namun, persoalannya ialah sama ada golongan elit, yang menjadi broker kuasa di Thailand, termasuk pihak dirajanya dan tentera, boleh menerima keputusan itu.

Dalam satu wawancara dengan stesen televisyen PBS semalam, Encik Thaksin, yang kini hidup dalam buangan di Dubai, menyifatkan keputusan awal itu 'satu langkah ke hadapan' dan rakyat Thai 'mahu melihat perubahan dilakukan secara aman'.

Encik Thaksin juga berkata bahawa beliau tidak mahu membalas dendam dan 'bersedia memaafkan semua'.

Tentera Thai menggulingkan Encik Thaksin pada 2006, dan keputusan mahkamah yang kontroversial selepas itu membantu menggulingkan dua perdana menteri pro-Thaksin, salah seorang daripadanya memenangi pilihan raya yang bertujuan memulihkan semula demokrasi di Thailand pada 2007.

Rentetan peristiwa itu membuka jalan bagi Encik Abhisit, yang disokong tentera, mengambil alih kerajaan Thailand - mencetuskan satu bantahan antikerajaan besar-besaran tahun lalu hingga menyebabkan 90 orang mati dan 1,800 lagi cedera. -- AP, AFP.

Cyberita Online Luar Negara

Pembangkang Libya tukar haluan terhadap pelan rundingan damai

MALABO (Equatoriak Guinea): Para pemimpin pembangkang Libya kini menukar haluan terhadap satu rancangan rundingan damai. Ini selepas negara-negara anggota Kesatuan Afrika (AU) berkata mereka tidak akan menghormati satu waran antarabangsa untuk menangkap pemimpin Libya, Encik Muammar Gaddafi.

Dalam satu wawancara dengan stesen berita Al Jazeera, Encik Abdel Hafiz Ghoga, naib presiden Majlis Peralihan Kebangsaaan Libya (LNTC), berkata majlis tersebut memutuskan menolak rancangan itu.

'Ia tidak memasukkan pelucutan Gaddafi daripada berkuasa,' kata Encik Ghoga dalam wawancara itu, yang disiarkan dalam rangkaian televisyen itu awal semalam.

Encik Ghoga menolak laporan-laporan bahawa rancangan itu pada awalnya dialu-alukan oleh majlis berkenaan.

Semasa pertemuannya di Equatorial Guinea, AU menggesa negara-negara anggotanya agar tidak menhiraukan satu waran bagi penangkapan Encik Gaddafi yang dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), lapor agensi berita The Associated Press (AP) kelmarin.

Pemerintah Libya mengalu-alukan tawaran AU untuk berunding bagi menamatkan konflik itu, lapor Al Jazeera sambil memetik jurucakap pemerintah Libya, Encik Moussa Ibrahim, semalam.

Tidak ada rancangan bagi Encik Gaddafi meninggalkan negaranya, kata beliau.

Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Cik Hillary Clinton, meminta Encik Gaddafi melaksanakan demokrasi, bukannya ancaman. Permintaan ini dibuat selepas pemimpin Libya itu memberi amaran akan menyerang Eropah kecuali Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) menghentikan serangan udaranya.

'Daripada mengeluarkan ancaman itu, Gaddafi seharusnya meletakkan kebajikan dan kepentingan rakyatnya terlebih dahulu. Beliau harus meletak jawatan dan membantu memudahkan satu peralihan ke arah demokrasi,' kata Cik Clinton kelmarin semasa melawat Sepanyol dalam rangka lawatannya ke Eropah. -- Agensi.

Cyberita Online Luar Negara

Polis serbu premis cetak logo 'Bersih'

BATU PAHAT: Polis kelmarin menyerbu sebuah premis kediaman di sini yang dipercayai dijadikan markas mencetak logo 'Bersih' pada kemeja-T bagi digunakan pada perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Sabtu ini.

Dalam serbuan kira-kira 12 tengah hari itu, polis menahan seorang pencetak sambilan dan menemui 252 helai kemeja-T berwarna kuning yang tertera logo Bersih, peralatan blok mencetak dan risalah berkaitan tuntutan perhimpunan tersebut.

Ketua Polis Daerah, Penolong Pesuruhjaya (ACP) Din Ahmad, berkata polis yang menerima maklumat tentang kegiatan itu menyerbu premis tersebut di Taman Bukit Flora, sejurus menerima waran geledah daripada Majistret Batu Pahat, kelmarin.

Menurutnya, suspek yang berusia 45 tahun itu ditahan kerana disyaki bergiat secara langsung dalam proses pencetakan baju perhimpunan haram itu.

'Ketika diserbu, suspek berada dalam premis tersebut dan polis turut menemui sejumlah kemeja-T berwarna kuning tertera logo Bersih dan tuntutan perhimpunan terbabit selain beberapa tong pewarna yang digunakan bagi tujuan itu.

'Kami percaya kemeja-T itu bakal digunakan bagi perhimpunan yang didakwa akan dilakukan di sekitar daerah ini dan juga bagi perhimpunan luar termasuk di ibu negara, namun kes masih dalam siasatan,' katanya di sini, kelmarin.

ACP berkata, pemeriksaan awal mendapati suspek sebelum ini bekerja di sebuah kilang di Batu Pahat dan menjadikan perkhidmatan pencetakan baju itu sebagai sumber mata pencarian sambilan.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 dan jika disabitkan kesalahan, suspek bakal berdepan dengan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun. -- Utusan Malaysia.

Cyberita Online Luar Negara

Anwar: Penahanan di bawah Ordinan Darurat bertentangan amalam demokrasi

KETUA pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengecam tindakan polis menahan Ahli Parlimen (AP) Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar, dan lima anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) di bawah Ordinan Darurat, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai satu penghinaan kepada amalan demokrasi di Malaysia.

Dalam satu kenyataannya yang diedarkan kepada pihak media termasuk akhbar Berita Harian di sini, semalam, Datuk Seri Anwar berkata penahanan Dr Jeyakumar, selaku wakil rakyat, bertentangan dengan amalan demokrasi dan institusi berparlimen di negara itu.

Selain Dr Jeyakumar, lima lagi yang turut ditahan di bawah Ordinan Darurat ialah: M. Saraswathy, Choo Chon Kai, M. Sukumaran, A. Letchumanan dan Sarat Babu.

Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam Dan Mencegah Jenayah) 1969, yang membolehkan pihak berkuasa menahan mereka selama 60 hari penahanan tanpa perbicaraan.

'Saya mengecam penahanan Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar Devaraj, bersama lima yang lain di bawah Seksyen 3 (1) dan Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat.

'Sebagai Ketua Pembangkang Dewan Rakyat Malaysia, saya menegaskan penahanan Dr Michael Jeyakumar di bawah Ordinan Darurat merupakan satu penghinaan terhadap amalan demokrasi dan institusi Parlimen negara ini.

'Beliau selaku ahli Parlimen yang dipilih berhak menyuarakan hasrat rakyat yang mahukan pilihan raya yang bersih dan adil,' kata Datuk Seri Anwar.

Beliau menegaskan bahawa Himpunan Bersih 2.0 anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) telah dikecam dan difitnah sebagai gerakan subversif.

'Sedangkan sudah beberapa kali sekretariat Bersih menegaskan perhimpunan yang bakal diadakan pada 9 Julai 2011 ini merupakan perhimpunan aman.

'Malah sekretariat Bersih sedaya upaya berbincang dengan kerajaan agar tuntutan berkaitan pilihan raya dapat dilaksanakan, akan tetapi gesaan dan tuntutan itu ditolak dengan penuh keangkuhan,' tegas belau sambil menambah bahawa Putrajaya sebaliknya harus melaksanakan semua tuntutan yang dikemukakan Bersih demi kebaikan rakyat dan negara.

Sementara itu, pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan, di Kuala Lumpur semalam dipetik oleh laman The Malaysian Insider sebagai berkata bahawa tindakan Kementerian Dalam Negeri memutuskan Bersih 2.0 tidak sah, yang berkuat kuasa kelmarin, tidak akan membawa kesan sebab pergerakan menuntut pembaharuan sistem pilihan raya itu berjaya dalam memikat 'hati dan minda rakyat'.

Bekas presiden Majlis Peguam itu juga tidak bersetuju dengan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak yang memutuskan Bersih 2.0 menyalahi undang-undang kerana gerakan itu adalah gabungan pertubuhan-pertubuhan didaftar, justeru, ia tidak memerlukan pendaftaran.

'Lebih penting lagi, di luar jangkauan, Bersih sekarang lebih daripada hanya satu kumpulan pertubuhan bagi rakyat Malaysia. Bersih kini satu konsep yang telah memikat hati dan minda rakyat,' kata beliau kepada laman berita itu.

Cyberita Online Luar Negara

14 ahli PKR ditahan menghasut



ALOR SETAR - Polis Kedah menahan 14 ahli PKR ketika cuba mengadakan sidang media dipercayai ada kaitan dengan isu perhimpunan Bersih 2.0 berdekatan Pasar Koboi, Jalan Telok Wanjah, semalam.

Kesemua yang ditahan didakwa bersubahat untuk menghasut orang ramai menyertai perhimpunan Bersih di ibu negara 9 Julai ini.

Antara yang ditahan ialah Timbalan Ketua Wanita PKR Kedah, Suraya Hashim; Timbalan Ketua Angkatan Muda PKR negeri, Gooi Hsiao Leung dan Ketua PKR Cabang Kulim Bandar Baharu, Saari Fadzil Hud, K Naidu, Asmalela Mohd Ghazali, Lee Kim Hock dan Leslie Daniel.

Mereka ditahan sekitar 9.30 pagi ketika cuba mengadakan sidang media untuk membantah tindakan polis menahan aktivis Bersih, selain dipercayai mengadakan kempen Bersih dengan menjual baju kuning logo Bersih.

Sebaik Hsiao Leung mengedarkan kenyataan akhbar kepada media, belum sempat dia berucap, polis terus menghampiri dan berlaku adegan tolak-menolak, hingga menyebabkan suasana tegang.

Kehadiran hampri 200 anggota polis berjaya mengawal keadaan, dan sejurus selepas itu, kelihatan beberapa pemimpin PKR dibawa menaiki trak dan van polis dibawa ke Pusat Latihan PDRM Mentaloon, Anak Bukit untuk diambil keterangan.

Ketika ditahan, Hsiao Leung yang sepatutnya membuat sidang media menjerit, “saya ditangkap atas dakwaan apa”, namun tidak dihiraukan pasukan polis, diketuai oleh Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, semua tahanan akan disiasat mengikut Seksyen 108 Kanun Keseksaan kerana didakwa bersubahat untuk mengadakan perhimpunan haram dan Seksyen 27 Akta Polis kerana berhimpun secara haram.

“Ingin saya ingatkan mana-mana pihak supaya tidak menyertai perhimpunan itu atau mana-mana majlis berkaitan Bersih kerana tidak mempunyai permit. Kita juga memantau semua ceramah di negeri ini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak akan bertolak ansur dan tidak teragak-agak menangkap sesiapa yang berani melanggar undang-undang.

“Polis menahan tiga perempuan dan sebelas lelaki yang akan didakwa kerana bersubahat adakan perhimpunan haram. Sesiapa yang cuba edar baju atau kempen Bersih juga akan ditangkap, ini amaran terakhir dan diharap pihak terbabit ikut peraturan,” katanya.

Ahmad berkata, dalam kekecohan itu, pihak polis turut merampas beberapa risalah kempen Bersih dan kain rentang.

“Ini adalah tangkapan pertama di Kedah, dan pemantauan dibuat secara berterusan untuk mengelak kejadian berulang,” katanya.
SH

Markas Pas Jasin diserbu



AYER KEROH - Seramai 17 ahli Pas termasuk seorang pemimpin ditahan polis dalam serbuan semasa perhimpunan di Markas Pas Jasin, Simpang Kemondor, Jasin, dekat sini, petang semalam.

Mereka ditahan berikutan tindakan menghasut orang ramai menyertai perhimpunan Bersih, 9 Julai ini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Chuah Ghee Lye yang mengesahkan perkara itu berkata, kesemua mereka ditangkap kira-kira 1.15 petang selepas bertindak mengedar risalah mempromosi perhimpunan haram itu, selain terdapat kemeja T kuning tertera logo Bersih.

“Serbuan dan tangkapan dilakukan kerana dua sebab iaitu berkaitan tindakan mengajak orang ramai untuk menghadiri perhimpunan itu nanti.

“Semasa serbuan polis turut menemui sebanyak 113 kameja T tertera logo Bersih serta tulisan tertera tuntutan pertubuhan haram itu di bahagian belakang, selain sebanyak 303 risalah mempelawa ahli untuk hadir bersama-sama ke perhimpunan itu nanti,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurut Ghee Lye, polis akan melakukan siasatan segera untuk diambil keterangan dan sekiranya tiada halangan, akan dibebaskan selepas siasatan selesai.

“Penangkapan ini selaras dengan tindakan diambil polis seluruh negara bagi menghalang perhimpunan haram berkenaan,” katanya.

Sementara itu, sehingga pukul 7.30 malam semalam, kesemua mereka masih lagi ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.

Sejumlah penyokong parti, termasuk Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka, Hairiz Nordin turut kelihatan menunggu di hadapan Balai Polis Jasin bagi mengetahui nasib mereka yang ditahan.

Bagaimanapun, kesemua mereka tidak dibenarkan masuk ke pekarangan balai.

Difahamkan, kesemua mereka ditahan akan didakwa di bawah Akta Persatuan dan berkemungkinan akan dihadapkan ke mahkamah pagi ini.
SH

Exco AMK terima VCD lucah



PUCHONG - Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Noor Azwan Ramli, 34, semalam terkejut menerima sampul surat mengandungi cakera padat video (VCD) lucah yang didakwa mirip Ketua Pembangkang.

Katanya, sampul berwarna coklat tertera nama penuhnya itu dihantar ke rumah yang pernah disewanya di Taman Bukit Kinrara lima tahun lalu.

Noor Azwan berkata, beliau tidak lagi menduduki rumah terbabit tetapi masih tinggal di kawasan yang berdekatan dengan rumah lamanya itu.

“Saya menerima VCD ini kira-kira jam 1 pagi semalam di peti surat pangsapuri diduduki selepas pulang dari ceramah di Pandan.

“Kulit sampul VCD tertera gambar Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya sudah melihat video lucah sepanjang 20 minit yang dikatakan mirip Anwar Ibrahim itu namun tidak menonton sehingga habis,” katanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Puchong jam 12.30 tengahari, semalam.

Katanya, beliau sudah melakukan siasatan rambang dan mendapati hanya rumahnya dari kira-kira 800 unit di kawasan pangsapuri menerima VCD itu dan perbuatan itu secara jelas berbaur politik.

“Motifnya mungkin kerana dendam dan psikologi untuk mengatakan kandungan VCD itu benar. Selepas menontonnya saya dapat katakan muka memang mirip Anwar tetapi dari tengkuk ke bawah... dari segi tenaga dan aksinya bukan dia.

“Harapan saya perkara ini dihentikan dan mohon jangan disebarkan kerana ia mengaibkan keluarga dan anak dia,” katanya memaklumkan bersama rakan Exco akan buat tindakan seterusnya dan mencadangkan sesiapa yang menerima VCD membuat laporan polis sebanyak mungkin kerana perkara itu memalukan dan mendakwa ia perbuatan kolot.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Superintenden Abd Razak Elias ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan itu.

Beliau berkata kes akan disiasat di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

“Kita akan menjalankan siasatan termasuk menggunakan khidmat forensik untuk mengenalpasti siapa yang melakukannya.

“Malah kes akan disiasat dari segenap aspek dan mengikut semua perundangan sedia ada,” katanya.
SH

Patuhi titah Agong: Mufti Kelantan


KOTA BHARU-Mufti Kelantan, Datuk Mohd Shukri Muhamad menasihatkan pemimpin dan masyarakat mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkaitan perhimpunan Bersih 2.0 yang dirancang Sabtu ini.

“Sudah tentu titah Yang di-Pertuan Agong perlu dipatuhi, apalagi hidup dalam sebuah negara yang mengamalkan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan,”katanya kepada Sinar Harian semalam.

Tuanku Mizan dalam satu kenyataan semalam bertitah mengingatkan agar sebahagian rakyat yang ghairah berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara hendaklah dipastikan tuntutan itu tidak membawa kemusnahan kepada negara.

Baginda turut mengingatkan agar rakyat tidak tidak-terikut-ikut dengan amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagai sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.

Mengulas mengenai perhimpunan tersebut, Mohd Syukri berkata, Islam mengajar umatnya menjaga keharmonian kestabilan dan keselamatan dalam kehidupan.

Katanya sekiranya, berlakunya pertembungan antara kebaikan dan keburukan dalam melaksanakan sesuatu amalan, masyarakat harus meninggalkan perkara yang membawa kemudaratan kepada umat Islam.

“Perkara yang mudarat ini bukan sahaja fizikal (tubuh badan), tetapi ia turut merangkumi ekonomi, keselamatan dan lain-lain lagi,”katanya.

Ditanya terdapat dakwaan perhimpunan itu berlandaskan demokrasi, Mohd Syukri berkata, demokrasi dan kebebasan itu tidak mutlak dan mempunyai ikatan tertentu sebagaimana sebuah kereta api yang bergerak mengikut laluan di relnya.

SH

Blogger jadi senjata politik

Proksi pihak tertentu atau pandangan peribadi rakyat dalam isu politik Malaysia?

Era pascamodenisme merupakan era lambakan maklumat dan pelbagai informasi. Jika sebelum ini ilmu atau sebarang maklumat hanya boleh diperoleh melalui sumber yang terhad, tetapi hari ini, segalanya berada di hujung jari.

Antara medium yang menawarkan maklumat ialah blog yang antara tujuannya supaya ia dilawati dan pelawat dapat menikmati karya serta idea blogger selain ia menjana pendapatan tambahan.

Dalam membina satu-satu blog, tidak ada sebarang syarat atau kelulusan minimum dalam bidang tertentu; asal sahaja individu berkenaan mempunyai kemahiran untuk menulis dan menterjemah pandangan serta apa yang dirasainya, ia boleh dihasilkan.

Apabila kebebasan sebegini wujud dalam dunia Internet, sesiapa sahaja boleh boleh menggunakannya untuk pelbagai tujuan. Di negara ini, selain digunakan untuk menyuarakan pendapat peribadi, blog juga digunakan dalam politik sebagai ‘senjata’ sama ada untuk menyerang ataupun bertahan.

Sebelum Pilihan Raya Umum 2008, senjata ini digunakan dengan begitu berjaya oleh penyokong dan pemimpin pembangkang untuk menyerang Barisan Nasional (BN) sehingga berjaya mewujudkan tsunami politik. Selepas 2008, taktik itu digunakan pula oleh penyokong dan pemimpin BN untuk menyerang kembali pembangkang.

Kini timbul apa yang digelar blogger proBN dan propembangkang apabila masing-masing menggunakan blog sebagai ‘senjata’ dalam peperangan politik. Antara yang blogger politik popular hari ini, termasuk Papa Gomo, RBF, Parpukari, Rockybru, Tukar Tiub, Unspinners, Kitagempur dan ramai lagi.

Wartawan Sinar Harian RISWANDI RAZAK berpeluang menemui enam blogger yang mewakili BN dan pembangkang baru-baru ini. Namun atas sebab-sebab tertentu, identiti mereka tidak dapat didedahkan. Ikuti wawancara itu.

Dalam laporan media baru-baru ini terdapat beberapa blogger didakwa menerima bayaran oleh individu tertentu?

RBF :: Saya tidak mengetahuinya. Blogger mana yang dimaksudkan juga saya tidak tahu. Saya jawab bagi pihak saya dan rakan-rakan saya sahaja. Kami semua tidak ada majikan. Apabila tidak ada majikan, sudah tentu tidak timbul soal gaji atau sebaliknya. Oleh kerana kami tidak ada majikan, atas sebab itulah kami bebas mengkritik mana-mana pihak. Dalam hal ini pihak anda boleh melihat sejarah penulisan di blog saya. Mana yang tak betul semuanya saya kritik. Begitu juga dengan blog rakan-rakan saya.

SHARPSHOOTER :: Itu kemungkinan besar blogger UMNO yang menerima upahan bulanan.


Bagaimana anda menerima respons atau kritikan yang diberikan oleh pembaca?

SAHABAT GUNUNG :: Sebagai bekas wartawan, saya rasa etika kewartawanan juga boleh diguna pakai dalam persoalan ini. Dalam hal ini, kita wajib menerima pandangan dan kritikan, tidak kurang juga yang memaki hamun namun sebagai seorang yang blogger, kita harus profesional dan matang terhadap segala kritikan dan pandangan pembaca blog. Saya sama sekali tidak akan membuang tulisan, pandangan dan komen yang negatif termasuk yang maki hamun, kerana itulah ‘pandangan’ pembaca yang membaca blog kita. Tidak semua pembaca yang akan menerima 100 peratus tulisan dan pandangan kita dalam blog kita.

MILO SUAM :: Bagi saya, ruangan komen memberikan saya gambaran penerimaan pembaca terhadap artikel-artikel yang saya keluarkan. Daripada itu saya dapat gambaran kasar secara ringkas apa yang mereka mahukan, dan artikel bagaimana yang perlu saya keluarkan. Saya cuba memuaskan hati semua pihak, tapi saya sedar saya tidak akan mampu berbuat demikian, maka apa yang saya lakukan adalah memuaskan hati seberapa banyak orang yang boleh. Saya menggalakkan kebebasan bersuara di ruangan komen, namun begitu terdapat sistem aduan automatik yang akan memadam sebarang komen melampau yang kurang menyenangkan majoriti pembaca.


Bagaimana seorang blogger menjadikan satu isu biasa bertukar menjadi sensasi sehingga mendapat perhatian pemimpin negara?

PAPA GOMO :: Ia terpulang kepada kreativiti seseorang blogger menjadikan isu tersebut hangat, sebagai contoh isu ADUN yang didakwa ditangkap khalwat dalam gerabak kereta api yang mana saksi telah meny:ebut penuh nama ADUN tersebut. Blogger memainkan isu ini serentak. Sebab itu topik tersebut menjadi hangat dan mendapat liputan daripada masyarakat. Ada juga isu, sebenarnya hangat namun apabila tidak ada kerjasama daripada blogger, ia tidak mendapat perhatian.

NOTA MERAH: :Blogger juga seperti wartawan, bukan sahaja bebas, malah mempunyai sumber maklumat eksklusif mengenai ‘kawan’ dan ‘lawan’. Yang berbeza, wartawan ada majikannya dan ada sesawang rasmi, blogger sebaliknya. Pun begitu, hampir tiada media yang bebas sebab media itu adalah alat propaganda, sama ada bias pada pemerintah, oposisi atau pelabur/pemegang saham. Blogger dalam hal ini lebih bebas melaporkan mengikut kehendaknya sendiri dan kebebasan ini mungkin menjadikan persembahan kewartawanannya lebih sensasi, kontroversi, kontemporari dan yang paling penting adalah eksklusif. Gaya penulisan yang longgar dari disiplin kewartawanan juga mungkin lebih menarik minat rakyat belakangan ini.


Benarkah blogger mengenali antara satu sama lain kerana identiti mereka tidak didedahkan?

SHARPSHOOTER :: Ia bergantung kepada di mana tempat tinggal blogger tersebut. Sekiranya blogger tersebut tinggal di Pulau Pinang sebagai contoh, sudah pasti blogger senegeri itu lebih rapat dan kerap bertemu jika mahu dibandingkan dengan blogger yang tinggal jauh
dari Pulau Pinang.

RBF :: Ada yang rapat dan selalu berjumpa atau membincangkan isu semasa. Contohnya jika di Lembah Klang, blogger dalam satu kumpulan yang selalu berjumpa ialah, saya
sebagai Ruang Bicara Faizal (RBF), House PK, Gerakan Anti PKR, Info Corner, Papa Gomo dan beberapa orang lagi. Manakala di Pulau Pinang, mereka mempunyai kumpulan mereka tersendiri. Contohnya, Pisau, Minda Intelek Melayu, Media Permatang Pauh dan beberapa
orang lagi.

Di Perak mereka ada kumpulan sendiri pula, begitu juga di negeri-negeri lain. Sekiranya ada sebarang majlis atau forum, kebiasaan kami semua akan bertemu di majlis tersebut. Ada juga yang berhubung menerusi Internet sahaja kerana berada jauh atau tidak mahu dikenali.

Contohnya blogger Unspinners, sehingga kini saya dan rakan-rakan blogger tidak mengenali
siapa mereka, cuma kami difahamkan mereka ada empat orang dalam satu kumpulan.


Untuk menjadi blogger dikenali, adakah memerlukan masa yang lama?

MILO SUAM: Saya ibaratkan membina sebuah blog seperti membuka sebuah warung menjual nasi lemak di dalam hutan. Perkara hampir mustahil untuk menjadikan warung ini laris kerana ia dibina di dalam hutan belantara, ditambah persaingan warung yang sudah lama bertapak dan dikenali serta lebih mudah dikunjungi. Promosi daripada akhbar dan laman web terkenal
banyak membantu saya menjadi blogger dikenali.

Jangka masa untuk menjadi blogger dikenali bergantung kepada promosi. Semakin hebat
promosi diterima, semakin singkat tempoh seseorang blogger itu dikenali ramai.

Memandangkan blog ‘Milo Suam’ sering kali menerima publisiti secara langsung dan tidak
langsung daripada laman web dan akhbar terkenal seperti Harakahdaily dan Malaysiakini,
barangkali ini telah membuatkan ‘Milo Suam’ dikenali ramai dalam masa singkat.

SAHABAT GUNUNG :: Saya sendiri membuat blog sahabatgunung. blogspot pada 2004, namun tujuan buat blog sekadar suka-suka Namun pada 2006, saya mula aktif, mahu jadi blogger dikenali. Dalam hal ini, bukan masa menjadi penentu tetapi isu dan penampilan blog
tersebut. Jika isu dan penampilan blog kita menarik, selain pandai mempromosikan blog kita dengan ‘menjengah’ ke blog-blog lain, komen di blog lain. Ianya sedikit sebanyak membantu mempromosikan blog kita. Dalam masa sama, kita juga harus bergantung kepada blog yang sudah ada nama atau dikenali kerana ia juga sedikit sebanyak dapat membantu.


Adakah wujud satu pertubuhan rasmi berdaftar dalam kalangan blogger?

PAPA GOMO :: Kami tidak berpersatuan, namun wujud dalam kumpulan tertentu seperti kita dapat lihat logo-logo di blog mempunyai maksud tersendiri. Blogger Pembela Negara, Blogger Nyamuk, yang sudah ada nama atau dikenali kerana ia juga sedikit sebanyak dapat
membantu.


Adakah wujud satu pertubuhan rasmi berdaftar dalam kalangan blogger?

PAPA GOMO :: Kami tidak berpersatuan, namun wujud dalam kumpulan tertentu seperti kita dapat lihat logo-logo di blog mempunyai maksud tersendiri. Blogger Pembela Negara, Blogger Nyamuk, Nadi Rakyat dan sebagainya. Walaupun berbeza kumpulan namun jika wujud sesuatu isu, kami akan bergabung membincangkan isu tersebut. Jika ditanya pada hari ini, blogger prokerajaan ataupun propembangkang tidak pernah bersatu di bawah satu bumbung melainkan kumpulan Blogger United diterajui oleh blogger-blogger awal sebelum kewujudan kami.

NOTA MERAH :: Dahulu tidak ada pun organisasi blogger propembangkang . Perang siber oleh blogger propembangkang tetap hebat terutama ketika menjelang ‘tsunami politik’ kerana waktu itu ada mood menolak UMNO-BN. Sekarang? Pemimpin pembangkang seakan hilang kreativiti untuk mencipta mood atau imaginasi yang mampu menggarap rakyat bersama arus perubahan, tetapi, blogger-blogger juga dipersalahkan. Sebab itu, blogger merasakan tidak
bersatu pun tak mengapa kerana yang penting adalah memainkan peranan masing-masing sebagai agen semak dan imbang bagi paksi kerajaan dan oposisi.


Adakah semua yang ditulis oleh blogger itu benar dan boleh diterima oleh pembaca?

NOTA MERAH :: Dunia media baru hari ini bukan lagi mempersoalkan mengenai kebenaran berita atau isu; dilihat benar sudah memadai sebenarnya, kerana rakyat di abad ke-21 berpegang dengan persepsi. Yang lebih penting bagi rakyat antaranya adalah soal persepsi atau sisi pandang kedua mengenai satusatu isu/perkara. Contoh yang baik, blog Tukar Tiub umpamanya tidak pun melaporkan berita mengikut kewartawanan formal, dengan “kah kah kah” di setiap berita media arus perdana yang di’copy & paste’ serta analisis spontan mengenai seseorang yang dekat dengan perdana menteri telah menjulang namanya ‘Tukar Tiub’ di persada siber.

PAPA GOMO :: Jika di tanya pada saya, maka saya adalah blogger prokerajaan yang menyatakan setiap isu yang dimainkan oleh kami, adalah benar dan sahih walaupun kadang
kala ianya tidak cukup bukti dan hanya berpandukan pada fakta yang ringkas. Kami kebiasaannya akan menyiasat sesuatu maklumat itu dan membincangkan hal tersebut
dalam kalangan blogger bagi mendapatkan hasil keputusannya. Sebagai contoh isu kes liwat Saiful Bukhari Azlan yang mana dinyatakan oleh pihak pembangkang adalah satu konspirasi semata-mata namun apabila kami mengadakan perjumpaan dengan beberapa pihak termasuk Saiful sendiri, kami mendapati tidak ada langsung unsur konspirasi malah jauh sama sekali dakwaan penglibatan Datin Seri Rosmah Mansur oleh pihak pembangkang.


Adakah kumpulan blogger ini mempunyai pemimpin tersendiri atau proksi tertentu untuk mengukuhkan atau menidakkan sesuatu isu politik di negara ini?

SHARPSHOOTER :: Katakan jika ianya benar walaupun pahit, rakyat negara ini perlu dipacu dan diarah dengan era politik baru yang berani berkata benar. Pemimpin politik wajib berani berkata benar jika ada ahli pimpinannya melakukan penyelewengan bukannya menyapu ke bawah permaidani indah. Rakyat sudah muak dengan amalan menyapu ke bawah permaidani kerana rakyat mahu pemimpin yang bersih dan besar harapan rakyat mahu melihat perubahan besar ini.

RBF :: Setakat hari ini saya tidak ada pemimpin tersendiri atau proksi, tetapi saya ada pemimpin- pemimpin tertentu yang saya minati. Untuk mengukuh atau menidakkan sesuatu
isu, pandai-pandailah cari sendiri sumbersumber tertentu yang berkaitan dengan isu. Ianya lebih kurang sama dengan cara wartawan bekerja. Namun perlu diingat, kebanyakan yang ditulis adalah pandangan peribadi. Blogger juga rakyat dan ada kalanya kita juga tidak bersetuju dengan sesetengah keputusan yang kerajaan lakukan. Mana yang kita rasa tak betul dan tidak puas hati kita akan kritik. Bukannya apabila saya selaku blogger prokerajaan maka saya akan bersetuju dengan apa sahaja yang kerajaan lakukan dan menyokongnya membuta tuli. Itulah bezanya antara blogger prokerajaan dengan blogger propembangkang.
Mengapakah blogger enggan identitinya diketahui? Adakah kerana artikel atau diri individu itu sendiri?


NOTA MERAH :: Blog tanpa identiti ini mungkin disebabkan mereka ini mahu memelihara keikhlasan mereka dalam berdakwah menerusi blog. Budaya ini memang wujud dalam orbit penulisan blog proPas, contohnya gelaran Penarik Beca, digunakan sebagai simbol perjuangan rakyat yang ikhlas dan bukannya populariti semata-mata. Blog tanpa identiti ini mungkin disebabkan penulis blog itu masih tidak ada nama atau tidak masyhur.


Maka, blogger tersebut bersandar pada suatu identiti lain yang masyhur. Sebagai contoh, usaha beberapa blogger proUMNO membangunkan sesawang Anwar Ibrahim Dot Com yang menumpang pada populariti Datuk Seri Anwar Ibrahim demi membunuh karakter Ketua Pembangkang itu serta PR yang dipimpinnya.

PAPA GOMO :: Ini adalah satu soalan yangpaling menarik. Kenapa ada blogger tidak mendedahkan identiti? Untuk makluman isu yang dibawa oleh kami adalah isu isu yang panas dan pastinya isu tersebut boleh mendatangkan masalah kepada yang terlibat dalam artikel kami. Atas faktor keselamatan diri dan keluarga maka profil diri kami tidak didedahkan.

Sebagi contoh isu ADUN yang dibongkar kumpulan Nadi Rakyat yang mana akhirnya Azmy Awang Kelana mendapat ugutan bunuh agar tidak memainkan isu tersebut. Satu lagi perkara pokok yang menyebabkan kami tidak menonjolkan diri adalah kerana kami bukan pemimpin ataupun ahli politik yang mempunyai kepentingan dalam karier politik. Ada yang kenal dan ada yang tidak namun matlamat kami tetap sama iaitu menangkis dakyah fitnah dan propaganda pembangkang dan menjelaskan kepada rakyat akan kepincangan pembangkang.


BERSAMBUNG SH

Prosiding Inkues Kematian Ahmad Sarbani Bermula


KUALA LUMPUR: Prosiding inkues untuk menyiasat punca kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbani Mohamed bermula di Mahkamah Majistret di sini, Isnin.
Prosiding itu yang didengar di hadapan koroner Aizatul Akmal Maharani, dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abas dan Hanim Mohd Rashid.
Turut serta peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah dan Fadzillah Mohd Osman yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta peguam Awtar Singh yang bertindak sebagai peguam pemerhati mewakili keluarga Allahyarham.
Selain itu, peguam Salim Bashir, Roger Than dan Halim Asghar daripada Majlis Peguam turut bertindak sebagai peguam pemerhati.
Seramai 30 saksi, termasuk isteri Allahyarham, pegawai penyiasat tempat kejadian, pegawai SPRM, pegawai Kastam, pakar forensik dan pakar patalogi akan dipanggil memberi keterangan. -BERNAMA
mStar Online
: Prosiding Inkues Kematian Ahmad Sarbani Bermula

Prosiding Inkues Kematian Ahmad Sarbani Bermula


KUALA LUMPUR: Prosiding inkues untuk menyiasat punca kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbani Mohamed bermula di Mahkamah Majistret di sini, Isnin.
Prosiding itu yang didengar di hadapan koroner Aizatul Akmal Maharani, dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abas dan Hanim Mohd Rashid.
Turut serta peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah dan Fadzillah Mohd Osman yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta peguam Awtar Singh yang bertindak sebagai peguam pemerhati mewakili keluarga Allahyarham.
Selain itu, peguam Salim Bashir, Roger Than dan Halim Asghar daripada Majlis Peguam turut bertindak sebagai peguam pemerhati.
Seramai 30 saksi, termasuk isteri Allahyarham, pegawai penyiasat tempat kejadian, pegawai SPRM, pegawai Kastam,
mStar Online
: Prosiding Inkues Kematian Ahmad Sarbani Bermula

Pembunuhan Banting: Pendakwaan Akan Kemuka Bukti DNA

SHAH ALAM: Pihak pendakwaan yang mengendalikan perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya akan mengemukakan bukti bahawa terdapat Asid Deoksiribonukleik (DNA) ditemui pada kayu kriket dan kepingan zink yang didakwa digunakan sebagai alas untuk membakar mayat-mayat mangsa.

Berdasarkan ucapan pembukaan yang dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff, saksi akan memberikan keterangan bahawa DNA pada kayu kriket berkenaan adalah kepunyaan pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, yang didakwa hilang bersama Sosilawati, 47.

Manakala, DNA pada zink-zink tersebut pula didakwa adalah sepadan dengan dua lagi individu yang turut didakwa dibunuh bersama Sosilawati, iaitu peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44, atau dikenali sebagai Kamal oleh pengasas produk Nouvelle Vissages tersebut.

Selain itu, tambah Mohd Ishak, pihaknya juga akan memanggil saksi-saksi yang telah melihat api yang 'besar tinggi' di tempat kejadian.

Ishak yang mengetuai barisan pendakwaan seterusnya memberitahu, saksi yang akan turut dipanggil ialah seorang juruselam Pasukan Gerakan Marin Pulau Pinang, Merzuki Shahrim yang telah menemui sebilah pisau berkarat di hulu beranggaran 37 sentimeter panjang, lapan gelung dawai dan tiga serpihan dawai.

Turut ditemui ialah serpihan tulang-tulang disyaki tulang manusia, beberapa keping logam, enam keping atap zink dalam keadaan berkarat dan ada kesan terbakar, telefon BlackBerry berwarna putih dan hitam serta sebatang anak kunci hitam tertulis BMW.

Seorang saksi, R. Vakasan akan dipanggil bagi mengesahkan bahawa dia ada melihat Sosilawati menaiki kereta BMW hitam dengan tiga lelaki Melayu pada kira-kira pukul 6.40 petang, 30 Ogos tahun lalu.

"Pihak pendakwaan akan memanggil lebih kurang 76 orang saksi yang akan mengemukakan tertuduh telah melakukan kesalahan bunuh pada tarikh dan masa seperti dalam pertuduhan," kata Ishak di Mahkamah Tinggi di sini, Isnin.

Dalam kes ini, seorang peguam N. Pathmanabhan, 42, dan tiga pekerja ladangnya, T. Thailayangan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, didakwa membunuh semua mangsa pada antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010 di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, dekat sini.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Selain Ishak, pendakwaan turut dibarisi oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainudin dan Idham Abd Ghani manakala barisan pembelaan diwakili oleh peguam-peguam Manjeet Singh Dhillon, Puspha Ratnam, Gurbachan Singh, Amer Hamzah Arshad, Ravi Nekoo dan Datuk Ng See Teong.

Berdasarkan ucapan pembukaan juga, Ishak memaklumkan bahawa dua pekerja ladang yang telah disabitkan bersalah atas tuduhan melupuskan bahan bukti pembunuhan berkenaan, A. Suresh, 27, dan K. Sarawanan, 20, akan turut dipanggil sebagai saksi pendakwaan. Kedua-dua mereka telah dihukum penjara selama 20 tahun dan kini sedang menunggu prosiding rayuan di Mahkamah Rayuan.

"Suresh dan Sarawanan akan dipanggil bagi membuktikan niat bersama dan bagaimana perancangan oleh Pathamanabhan dan Kathavarayan bersama yang lain untuk melakukan pembunuhan terhadap mangsa serta peranan yang dimainkan oleh setiap tertuduh serta bagaimana Thailayangan membunuh setiap mangsa," katanya.

Selain itu, pihak pendakwaan juga akan mengemukakan bukti berkaitan beberapa laporan polis yang dibuat oleh ahli keluarga mangsa mengenai kehilangan mangsa.

Antara laporan itu adalah laporan oleh anak Sosilawati, Erni Erinawati Sofia Buhari pada 31 ogos 2010 di Balai Polis Dang Wangi; isteri Ahmad Kamil, Sabrina Adnan pada 3 September 2010; isteri Noorhisham Mohammad, Suzana Radin Pangit manakala kakak kepada Kamaruddin, Zaidah Shamsuddin membuat laporan kehilangan adiknya pada 6 September 2010.

Bekas suami kepada Sosilawati, Buhari Mohamed pula akan dipanggil untuk memberi keterangan berkisar tentang urusan jual beli tanah di Pulau Pinang dan juga keterangan bahawa dia ada menghubungi Pathmanabhan pada 30 Ogos 2010 untuk bertanyakan sama ada Sosilawati ada berjumpanya atau tidak.

Turut akan dipanggil ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Abdul Rahman Palil yang akan mengesahkan bahawa Pathmanabhan adalah individu yang menguruskan pembelian tanah berharga RM29 juta dan 10 peratus daripada harga belian iaitu RM2.9 juta telah dibayar.

Sementara itu, petugas media telah mula berkumpul di hadapan perkarangan Mahkamah Tinggi di sini, seawal pukul 7.30 pagi dan bagi melancarkan perbicaraan, semua individu yang berhasrat mengikuti prosiding perlu mendaftarkan diri untuk mendapatkan pas masuk.

Pada pukul 9 pagi, beberapa anggota polis dilihat membawa masuk barang-barang kes yang dibungkus, termasuk beberapa kepingan zink.

Perbicaraan di hadapan Datuk Akhtar Tahir akan bersambung pada Selasa.

mStar Online
: Pembunuhan Banting: Pendakwaan Akan Kemuka Bukti DNA

Pembunuhan Banting: Sosilawati Diugut?

SHAH ALAM: Jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya yang dipercayai mati akibat dibunuh sebelum mayatnya dibakar didakwa menerima ugutan daripada pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin atau dikenali sebagai 'Kamal' yang mengugut mahu menyebarkan 'gambar tidak elok' berkaitan dirinya.

Perkara tersebut terkandung dalam ucapan pembukaan barisan pendakwaan yang dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff di Mahkamah Tinggi di sini pada hari pertama perbicaraan kes pembunuhan yang telah menggemparkan negara sewaktu umat Islam sedang membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.

Anak kepada pengasas produk kecantikan Nouvelle Vissages itu, Erni Erinawati Sofia Buhari yang membuat laporan polis berhubung kehilangan emaknya pada 31 Ogos 2010 juga didakwa sekali lagi berkunjung ke Balai Polis Dang Wangi pada pukul 1.32 petang, 2 September 2010 untuk membuat laporan setelah mengesyaki ahli perniagaan itu diugut, diculik dan dikurung oleh orang yang berkaitan.

Erni Erinawati Sofia dan kakak sulungnya, Erni Dekritawati Yuliana juga merupakan individu terakhir yang melihat Sosilawati sebelum beliau bertolak ke Banting, dekat sini untuk berjumpa dengan seorang peguam, N. Pathamanabhan untuk mempercepatkan tarikh dua keping cek daripada 9 September 2010 kepada 30 Ogos 2010 bagi urusan jual beli tanah di Batu Feringgi, Pulau Pinang.

Ishak juga memberitahu, Erni Dekritawati Yuliana akan memberi keterangan berhubung tujuan emaknya ke Banting, bersama dengan Kamaruddin, 44, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38.

Sosilawati dan Kamaruddin menaiki kereta BMW X5 bernombor pendaftaran WTL 11 manakala Ahmad Kamil dan Noorhisham mengikuti dari belakang dengan menaiki kereta BMW 5 series bernombor pendaftaran AAJ 5.

Sosilawati juga dikatakan ada menghubungi anaknya pada pukul 8.40 malam, hari yang sama tetapi tidak dijawab kerana Erni Dekritawati Yuliana tidak perasan panggilan tersebut sebelum menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) yang berbunyi "Jangan bagi Kamal masuk rumah jika datang hubungi Bisah (rakan Sosilawati) dia ambil gambar mak."

Selain itu, pihak pendakwaan juga akan memanggil rakan Sosilawati, Habishah Bahari bagi mengesahkan bahawa Sosilawati ada menghubunginya semasa dia sedang berbuka puasa pada pukul 7.30 malam, 30 Ogos 2010.

"Sosilawati mengubungi beliau dan memberitahu 'Wei! Aku tak percaya kat Kamal masuk dalam bilik aku, pergi kat bilik air, kau check (periksa) ada kamera tersorok tak?' sebelum talian terputus," kata Ishak semasa membacakan ucapan pembukaan setebal 20 halaman tersebut.

Selain itu, pihak pendakwaan juga akan memanggil isteri Noorhisham, Suzana Radin Pangit untuk memberi keterangan bahawa mangsa telah menghubunginya pada pukul 4 petang, 30 Ogos 2010 untuk memaklumkan bahawa dia akan ke Banting bersama Ahmad Kamil atas urusan kerja berkaitan Sosilawati.

"Pada pukul 8.15 malam, Suzana yang berada di rumah sekali lagi menerima panggilan telefon dan diberitahu suaminya tidak akan balik selama tiga hari kerana hendak menolong Sosilawati kerana Kamal ada mengambil gambarnya dan dikatakan Kamal ada mengugut Sosilawati.

"Dia minta maaf banyak-banyak dan minta Suzana faham," kata Ishak.

Sementara itu, isteri kepada Ahmad Kamil, Sabrina Adnan dimaklumkan akan memberi keterangan bahawa suaminya ada memberitahu bahawa beliau juga tidak akan pulang selama tiga hari dan diberitahu 'seorang orang kanan Sosilwati bernama Kamal mengugut hendak menyebarkan gambar Sosilawati, iaitu gambar tidak elok'.

"Suaminya juga memberitahu Sosilawati sedang menangis dan dia hendak menolong," tambah Ishak yang mengendalikan pendakwaan bersama Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainudin dan Idham Abd Ghani.

Selain itu, pihak pendakwaan juga akan memanggil seorang jurujual untuk mengesahkan bahawa seorang lelaki Melayu yang dipanggil oleh Kamal oleh Sosilawati telah berkunjung ke gerainya untuk membeli kerepek dan kuih raya yang bernilai lebih RM200.

Dalam kes ini, Pathmanabhan, 42, dan tiga perkerja ladangnya, T. Thailayangan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, dibicarakan atas tuduhan membunuh Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin antara pada pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010 di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, perbicaraan pada Isnin, juga menyaksikan empat jurufoto polis daripada Unit Forensik, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan dari Bahagian Bantuan Teknik, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman memberikan keterangan.

Secara keseluruhan, terhadap 618 keping gambar dirakamnkan oleh empat jurufoto terbabit, iaitu Detektif Koperal Mokhtar Hussain, 51: Lans Koperal, Abdul Aziz Ahmad, 47; Detektif Sarjan Mhd Rashdi Mhd Safien, 48, dan Detektif Koperal K. Velamal, 33.

Secara keseluruhan, terdapat 618 keping gambar yang dirakamkan termasuk di sekitar kawasan ladang, Sungai Panchau dan Sungai Kanchong Darat serta kawasan berhampiran Pekan Banting.

Sementara itu, kehadiran Erni Deriktawati Yuliana dan ayahnya, Buhari Mohamed di mahkamah menjadi perhatian wartawan dan nama kedua-dua mereka juga disenaraikan sebagai saksi pendakwaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung Selasa.

mStar Online
: Pembunuhan Banting: Sosilawati Diugut?

6 ahli DAP ditahan edar risalah 'gotong-royong' Bersih

Er Teck Hwa (dua dari kanan) bersama lima lagi anggota DAP ditahan polis berikutan penyebaran risalah di Pasar Taman Seri Tebrau, Johor Bahru, semalam.

Er Teck Hwa (dua dari kanan) bersama lima lagi anggota DAP ditahan polis berikutan penyebaran risalah di Pasar Taman Seri Tebrau, Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU 3 Julai - Taktik Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa dan lima lagi ahli DAP mengedar risalah untuk menyeru orang ramai menjaga 'kebersihan' tidak menjadi apabila mereka turut ditahan polis kerana didapati cuba mempromosi perhimpunan haram Bersih di Pasar Awam Taman Sri Tebrau, di sini hari ini.Ketika ditahan pukul 9.40 pagi, mereka memakai baju T berwarna kuning tertera perkataan 'negara BERSIH rakyat bertuah' dengan gambar penyapu dan penyodok.Malah mereka turut mengedarkan risalah dipercayai berkaitan perhimpunan Bersih.Antara kandungan risalah itu adalah 'membersihkan sampah-sarap negara' dan 'aktiviti ini tiada kaitan dengan perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai pukul 2 petang di KL' serta kononnya mengajak orang ramai bergotong-royong membersihkan rumah.Dalam setiap perkataan bersih yang digunakan, semuanya dicetak menggunakan huruf besar.Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, kes itu akan disiasat di bawah Akta Pertubuhan, Akta Mesin Cetak dan Akta Hasutan."Tiada seorangpun daripada yang ditahan mempunyai rekod jenayah, namun kami akan memfailkan permohonan reman ke atas mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.Katanya, antara barangan dirampas adalah kain rentang dan enam helai baju T serta 300 risalah Bersih.Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Dr. Boo Cheng Hau berkata, kesemua ahli DAP yang ditahan berada dalam keadaan baik.Ditanya tentang risalah itu yang secara tidak langsung mempromosi perhimpunan Bersih, beliau berkata, semua ditahan berhak menyampaikan mesej secara aman."Terpulang kepada interpretasi orang yang membaca risalah itu, bersih itu adalah perkataan bahasa Melayu. Kerajaan tidak boleh sensitif terhadap perkataan dan warna tertentu," katanya ketika ditemui di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan selepas menemui ahli DAP yang ditahan.Dalam perkembangan sama, satu perhimpunan mini Bersih yang dijadual oleh Pas negeri di Plaza Angsana pada pukul 2 petang gagal dijalankan hasil tindakan pantas polis menyekat rancangan itu.Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan, pihaknya menempatkan 14 anggota dan pegawai untuk mengadakan kawalan di lokasi bagi mengelak ia berlaku.Utusan Malaysia Online - Jenayah

Bersih jauh terpesong – Hishammuddin

SHAH ALAM 3 Julai – Tujuan asas penubuhan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) membabitkan lapan tuntutannya sudah jauh terpesong apabila terdapat unsur-unsur mahu menggulingkan kerajaan melalui perhimpunan haram anjurannya pada Sabtu ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, daripada maklumat yang diterima pihak berkuasa, perhimpunan haram tersebut tidak boleh diambil mudah.

“Apa yang kita lihat dalam konteks ancaman, gerakan yang dilakukan, keseriusan akibat perhimpunan kepada rakyat tidak kira agama dan kaum, 9 Julai ini adalah ujian kepada semua pihak (kerana) daripada maklumat kita terima jangan ambil mudah.

“Apa yang berlaku ini banyak perkara lain yang rakyat belum tahu tetapi akhirnya mereka akan tahu (juga). Saya harap kalau mereka tahu kemudian iaitu selepas mereka membuat tindakan, mungkin pada masa itu sudah terlewat dan ralat pada ketika itu tidak membawa makna,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menutup Seminar Memperkasakan Generasi Muda (SMGM) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Lapan tuntutan Bersih meliputi antaranya desakan supaya membersihkan senarai pengundi, memperbaharui sistem undi pos, penggunaan dakwat kekal, tempoh berkempen minimum 21 hari, akses media yang adil dan telus dan memperkukuhkan institusi awam.

Utusan Malaysia Online - Berita Utama

Tidak akan biarkan negara rosak - Ismail Omar



ISMAIL Omar (duduk) melihat sejenis senjata api yang dipamerkan semasa menghadiri majlis "Jom Cegah Jenayah" di Butterworth, semalam. Turut menghadiri majlis itu, Tajri Alwi dan Ayub Yaacob.


BUTTERWORTH 3 Julai - Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar hari ini berikrar tidak akan sesekali membiarkan mana-mana anasir pihak ketiga memporak-perandakan keamanan negara melalui penganjuran perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih (Bersih) yang dirancang 9 Julai ini.

Ismail menegaskan, sebagai ketua sebuah jabatan yang diamanahkan menjaga keselamatan negara, beliau akan menggunakan segala peruntukan undang-undang untuk memastikan keamanan yang dinikmati rakyat negara ini terus terpelihara.

Ia adalah kenyataan paling tegas daripada Ismail setakat ini selepas dilihat lebih berdiplomasi termasuk mengadakan beberapa siri pertemuan dengan pihak penganjur perhimpunan itu baru-baru ini.

"Saya sudah nyatakan, kalau diteruskan juga, (perhimpunan) akan merosakkan ketenteraman (maka) pihak ketiga campur tangan. Mereka eksploitasi perhimpunan ini dan menyebabkan huru-hara, sebelum itu berlaku saya kena bertindak untuk mencegah.

"Itu sebabnya kita buat tangkapan awal kerana kalau nasi sudah menjadi bubur dan huru-hara sudah berlaku, maka sudah tiada gunanya lagi. Kita tidak mahu ada harta benda yang rosak malah mungkin melibatkan nyawa, kita tidak mahu semua ini berlaku.

"Di atas jawatan sebagai KPN saya bertanggungjawab menjaga keamanan yang kita kecapi ini dan akan gunakan segala peruntukan undang-undang untuk mempertahankannya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Hari Kesedaran Jenayah yang dihadiri lebih 5,000 pengunjung di Kawasan Rehat dan Rawat Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan; Panglima 6 Briged Tentera Darat, Brigedier Jeneral Datuk Tajri Alwi; Timbalan Pengarah Risikan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah dan Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakub.

Ismail seterusnya mengingatkan setiap lapisan rakyat supaya tidak mencipta sebarang ruang yang boleh dimanipulasi pihak ketiga untuk menggugat keselamatan negara kerana hanya akan merugikan rakyat.

Ditanya mengenai gesaan pihak pembangkang yang mahu rundingan berhubung perhimpunan itu dibuka semula, Ismail berkata, pendirian pihaknya jelas bahawa perhimpunan tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya mendatangkan risiko buruk.

"Peluang apa lagi? Saya dah kata berulang kali jangan kita bermain dengan risiko. Banyak cara untuk kita mendapat dan memberi pandangan, bukan cara berhimpun dan mencabar undang-undang," tegasnya.

Menjawab mengenai tindakan yang akan dikenakan kepada penganjur demonstrasi menentang kepimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng baru-baru ini, Ismail berkata, beliau sudah mengarahkan satu unit khas ditubuhkan bagi menyiasat perkara itu.

"Kita akan bertindak mengikut undang-undang dan sampai masanya kita akan ambil tindakan sewajarnya. Tuduh menuduh ini tidak baik, kita kena duduk bersama-sama jaga keamanan. Jangan kita panas keadaan sehingga orang bergaduh," jelasnya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Korea Selatan tuntut wilayah maritim

SEOUL 3 Julai - Korea Selatan akan mengemukakan tuntutan terhadap sebahagian kawasan dasar laut yang melepasi Zon Ekonomi Eksklusifnya (EEZ) di Laut China Selatan kepada sebuah badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun ini, lapor media hari ini.

Tindakan itu dilihat boleh mencetuskan semula pertikaian wilayah maritim dengan China dan Jepun.

Agensi berita Yonhap yang memetik sumber kerajaan melaporkan, Korea Selatan akan menghantar dokumen rasmi untuk membuat tuntutan terhadap kawasan yang melebihi EEZ kepada Suruhanjaya PBB mengenai Batasan Pentas Benua (CLCS).

"Bagi membuat tuntutan, kerajaan kini sedang meneliti dan memproses data yang berkaitan," katanya.

Dalam tuntutan yang dibuat, Seoul mendakwa Semenanjung Korea melepasi pentas benua sehingga ke Okinawa melalui Laut China Selatan secara semula jadi.

Sumber kerajaan dipetik sebagai berkata, tindakan membuat tuntutan tersebut berkemungkinan akan turut dibuat Beijing dan Tokyo sekali gus mencetuskan perselisihan antara jiran-jiran Asia.

Kerajaan bagaimanapun tidak mengeluarkan sebarang ulasan mengenai perkara tersebut.

China sebelum ini pernah membuat tuntutan ke atas kawasan dasar laut Okinawa dengan memberi alasan ia meliputi pentas benuanya secara semula jadi.

Korea Selatan dijadual mengadakan pertemuan dengan China dan Jepun secara berasingan bagi berbincang mengenai isu sempadan perairan tahun ini. - Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Kapal Greenpeace hampir siap dibina



Ketua pereka bentuk Rainbow Warrior III, Uwe Lampe memerhatikan kapal Greenpeace yang dibina di limbungan kapal Fassmer di Berne-Motzen berhampiran Bremen, utara Jerman, 29 Jun lalu. - AFP


BERLIN 3 Julai - Di sebuah limbungan kapal Jerman, senjata terbaru kumpulan pemerhati alam sekitar, Greenpeace dikenali sebagai Rainbow Warrior III hampir siap dibina.

Jurucakap kumpulan itu, Mike Townsley berkata, kapal itu dijangka dilancarkan Isnin ini sempena sambutan ulang tahun Greenpeace ke-40 pada Oktober ini.

"Ia bukan sekadar kapal. Ia sangat moden dan boleh melaksanakan aplikasi nilai-nilai yang kami ingin terapkan,'' katanya.

Kapal Rainbow Warrior III dianggarkan bernilai 23 juta euro (RM100.5 juta) dan merupakan kapal pertama dibina mengikut spesifikasi mereka.

Kapal Rainbow Warrior I yang ditenggelamkan oleh ejen Perancis di New Zealand pada 1985 ketika ia cuba menghalang ujian nuklear di Lautan Pasfik, diubah suai daripada kapal pukat tunda Britain.

Rainbow Warrior II pula diubah suai daripada kapal nelayan dan kini ditamatkan perkhidmatannya selepas 50 tahun digunakan dalam pelbagai kempen termasuk ujian nuklear, tangkapan ikan berlebihan dan pembalakan haram.

Kontrak pembinaan kapal terbaru Greenpeace itu diberikan kepada pembina kapal Jerman, Fassmer pada 2009.

Ketua pereka bentuk kapal itu, Uwe Lampe berkata, keseluruhan konsep kapal berkenaan sukar diterangkan dan ia adalah seperti sebuah bandar kecil dengan alat penjana elektrik sendiri, alat penghawa dingin, rawatan bahan perkumuhan dan makmal.

"Kapal itu akan mampu mencapai kelajuan tertinggi 10 knot dengan motor elektrik dan 15 knot apabila menggunakan enjin diesel.

"Seramai 33 anak kapal boleh dimuatkan pada satu masa dan ia boleh membawa bekalan sehingga empat minggu. Ia turut dilengkapi tapak pendaratan helikopter,'' katanya. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Tunjuk perasaan bantah kerja cari gali minyak AS di Bangladesh



Aktivis Persatuan Perlindungan Minyak, Gas dan Pelabuhan Kebangsaan membawa rakan mereka yang cedera ke hospital selepas bertempur dengan polis dalam protes membantah pelaksanaan perjanjian cari gali minyak kerajaan dengan firma tenaga AS di Universiti Dhaka, semalam. - Reuters


DHAKA 3 Julai - Sebahagian besar ibu negara Bangladesh hari ini lumpuh apabila penduduknya melancarkan protes membantah pelaksanaan perjanjian cari gali minyak kerajaan dengan firma tenaga Amerika Syarikat (AS).

Kebanyakan kedai, perniagaan dan sekolah ditutup manakala jalan-jalan serta lebuh raya dikosongkan ketika mogok selama enam jam yang dianjurkan sebuah kumpulan berhaluan kiri, Persatuan Perlindungan Minyak, Gas dan Pelabuhan Kebangsaan.

Agensi berita Sheershanewsmelaporkan, pasukan polis terpaksa menggunakan belantan bagi mengawal kumpulan penunjuk perasaan di kampus universiti di tengah Dhaka selepas mereka merosakkan kereta dan berarak.

Sementara itu, tujuh penunjuk perasaan dihukum penjara dua bulan oleh majistret malam tadi selepas membakar dua bas ketika melancarkan protes.

Sehubungan itu, lebih 8,000 anggota polis dan tentera dari Pasukan Tindakan Pantas ditempatkan di jalan-jalan serta kawasan utama sebagai usaha untuk membendung keganasan.

"Setakat ini, kami masih belum menerima sebarang laporan berlakunya keganasan kecuali di Universiti Dhaka," kata jurucakap polis, Masud Ahmed sambil menambah pemimpin persatuan tersebut ditahan polis namun dibebaskan sejam kemudian.

Persatuan tersebut menuntut kerajaan membatalkan perjanjian cari gali minyak dengan firma tenaga gergasi AS, ConocoPhillips kerana menganggap tindakan itu sebagai mencuri.

Katanya, perjanjian tersebut membenarkan firma AS itu mengeksport 80 peratus minyak yang ditemui di negara ini ketika Bangladesh berhadapan krisis kekurangan sumber tenaga yang teruk.

Firma tenaga kerajaan, Petrobangla menandatangani perjanjian membenarkan ConocoPhillips menerokai dua blok kawasan minyak yang terletak di kawasan perairan Teluk Bengal pada bulan lepas. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Kunjungan Putera William disambut cacian republikan

MONTREAL 3 Julai - Lawatan rasmi pertama Putera William dan isterinya, Puteri Catherine ke Kanada semalam bertukar suram apabila mereka 'disambut' dengan cacian dan kutukan oleh penyokong republikan Quebec di Montreal.

"Runtuhkan monarki, Kami tidak sama sekali tunduk. Willy, Quebec Perancis dan Parasit berambus!," teriak sekumpulan 60 penunjuk perasaan yang berhimpun di luar hospital kanak-kanak Montreal yang dilawat oleh pasangan diraja itu.

Kumpulan itu mengetuk-getuk baldi ketika pasangan diraja tersebut memasuki hospital tanpa menghiraukan mereka.

Lawatan rasmi tersebut bagaimanapun berjaya menarik sejumlah besar peminat yang menyambut kedatangan pasangan diraja yang baru berkahwin itu dengan kebanyakan mereka menangis sambil berteriak 'Kami sukakan Kate'.

Di luar pusat pelancongan Quebec dan institut perniagaan hotel, barisan polis antirusuhan dengan perisai dan penembak hendap di bumbung memerhatikan satu lagi kumpulan penunjuk perasaan yang berhimpun di belakang sekatan ketika pasangan diraja itu tiba di satu kelas memasak.

Britain menguasai bekas koloni Perancis Quebec pada 1763, tetapi budaya dan bahasanya masih kekal sehingga kini dan menjadi kubu budaya Perancis di Amerika Utara.

Pemerintahan Britain bagaimanapun masih menimbulkan kemarahan di beberapa wilayah Kanada.

Protes pertama itu dianjurkan oleh kumpulan yang mempertahankan bahasa Perancis di Amerika Utara.

Presiden kumpulan itu, Mario Beaulieu memberitahu AFP lawatan itu 'membangkitkan isu asimilasi penutur bahasa Perancis' dan 'isu penyingkiran bahasa Quebec' di mana kerajaan Kanada turut terlibat.

"Monarki adalah institusi yang lapuk, anti demokrasi dan seksi, sesuatu yang tidak dimahukan oleh Quebec," katanya.

Sebagai negara anggota Komanwel, ketua rasmi negara Kanada ialah monarki Britain, Ratu Elizabeth II yang diwakili oleh Gabenor.

Namun tinjauan yang dikeluarkan menjelang lawatan William dan Kate mendapati, satu pertiga daripada rakyat Kanada mahu memutuskan hubungan dengan monarki Britain. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

7 polis, 3 orang awam terbunuh dalam 4 serangan

RAMADI 4 Julai - Tujuh polis dan tiga orang awam terbunuh dalam beberapa siri serangan di Iraq, semalam, kata polis dan kementerian dalam negeri.

"Sekumpulan lelaki bersenjata yang menaiki kereta dan membawa senjata automatik menembak mati lima polis yang berkawal di pos kawalan, sebelum kumpulan penyerang terbabit melarikan diri," kata pegawai polis di wilayah Anbar, selatan Baghdad.

Seorang lagi polis terbunuh selepas seorang lelaki bersenjata menembaknya di timur Baghdad manakala dua orang awam terbunuh dalam letupan sebuah kereta di bandar yang sama.

Sementara itu, sekumpulan lelaki bersenjata yang lain menembak mati seorang polis dan mencederakan seorang lagi dalam kejadian yang berlaku di bandar Mosul manakala serangan bom tepi jalan membunuh seorang individu dan mencederakan seorang yang lain di Kirkuk. - AFP

Utusan Malaysia Online - Terkini

Usah bawa kemusnahan

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah bahawa dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara perlu memastikan juga tuntutan demokrasi tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.

“Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan kumpulan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai bertujuan menyerahkan memorandum kepada beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi dan jabatan yang terbabit,” dalam Titah Khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai perhimpunan haram anjuran Bersih, pada 9 Julai ini.


Tuanku Mizan bertitah, baginda yakin kepemimpinan negara di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin.

“Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.


“Beta juga menyeru kepada kerajaan supaya melaksanakan semua amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri atau sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun,” titah Tuanku Mizan.


Baginda bertitah, setiap permasalahan yang timbul, sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu ‘Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran’.

“Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.


“Sebaliknya kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora,” tidak baginda.

Oleh itu, Tuanku Mizan bertitah, itulah pentingnya sifat kesederhanaan dan tolak ansur yang begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara. - Bernama

myMetro | Usah bawa kemusnahan