Thursday, March 27, 2014

Satelit Thailand kesan 300 objek terapung

MH370
BANGKOK - Imej satelit Thailand telah mengesan sebanyak 300 objek terapung di selatan Lautan Hindi ketika operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, kata seorang pegawai pada Khamis.

Menurut Agensi Teknologi Angkasa Lepas dan Geo-Teknologi, objek-objek yang berukuran di antara dua hingga 15 meter itu bertebaran di sekitar 2,700 barat daya Perth.

"Bagaimanapun kita tidak... tidak berani mengesahkan yang ianya serpihan dari pesawat," kata pengarah agensi tersebut, Anond Snidvongs kepada AFP seperti dipetik Astro Awani.

Beliau memberitahu, maklumat-maklumat tersebut telah pun diserahkan kepada Malaysia.

Jelasnya, imej-imej itu telah diambil oleh satu-satunya satelit pemerhati bumi Thailand, Isnin lalu, tetapi memerlukan beberapa hari untuk diproses.

Katanya objek-objek tersebut telah dikesan kira-kira 200 kilometer dari kawasan tumpuan satelit Perancis sebelum ini dalam usaha mereka mencari pesawat Boeing 777-200 yang hilang sejak 8 Mac lalu itu.

Pesawat tersebut telah dikatakan terhempas di lokasi terpencil di Lautan Hindi selepas berpatah balik dalam perjalanannya dari Kuala Lumpur ke Beijing, dan dilaporkan terbang beberapa jam dalam arah yang bertentangan.

Pas yakin MH370 dirampas

MH370
YAN - Pas yakin bahawa MH370 yang dilaporkan hilang sejak 8 Mac lalu kemungkinan dirampas oleh individu tertentu.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tanda-tanda mengenai rampasan itu sudah ada.

“Kerajaan mesti mengesahkan bahawa MH370 telah dirampas, cuma kita belum tahu siapa yang lakukan perkara itu.

“Tanda-tanda terjadi itu ada sebab dia pesawat itu dibawa ke tempat yang sukar dan tidak pernah berlaku dalam sejarah dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Ijtimak Ulama Pas Kedah di Markas Pas Kawasan Jerai, di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau turut mendoakan supaya semua penumpang dan anak kapal MH370 selamat.

“Saya doakan mudah-mudahan ada harapan untuk mereka selamat dan takziah kepada keluarga penumpang.

“Takziah bukan bermaksud kematian saja, tetapi bencana yang menimpa ahli keluarga berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Nik Mohd Zawawi Saleh mengharapkan supaya ahli keluarga mangsa tabah dan kuatkan semangat.

“Sekiranya ditakdirkan penumpang pesawat MH370 mati, kita harap ALLAH SWT mengampunkan dosa-dosa mereka.

“Dalam situasi ini juga, penumpang-penumpang dan anak kapal itu dikira sebagai syahid akhirat,” katanya.

Papagomo: Mahkamah kurangkan jumlah ganti rugi

Papa Gomo
PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengurangkan jumlah ganti rugi daripada RM500,000 kepada RM300,000 untuk dibayar Wan Muhammad Azri Wan Deris kepada seorang ahli perniagaan berhubung artikel berunsur fitnah yang dimuatkan dalam blognya dikenali sebagai Papagomo.
  
Hakim Datuk Mohamad Ariff Md Yusof yang mempengerusikan panel tiga hakim membenarkan sebahagian daripada rayuan Wan Muhammad Azri mengenai jumlah ganti rugi tetapi menolak rayuannya tentang liabiliti.
  
Panel itu yang turut dianggotai Hakim Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dengan sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Wan Muhammad Azri disabitkan memfitnah Abdul Razak Mohd Noor.
  
Pada 13 September tahun lepas, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur mengenal pasti   Wan Muhammad Azri sebagai blogger Papagomo dan memerintahkan dia (Papagomo) membayar RM200,000 sebagai ganti rugi am dan RM300,000 sebagai ganti rugi teladan kepada Abdul Razak.
  
Mahkamah Rayuan di sini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi memerintahkan Papagomo membayar RM200,000 sebagai ganti rugi am kepada Abdul Razak tetapi mengurangkan jumlah ganti rugi teladan kepada RM100,000.
 
Hakim Ariff juga memerintahkan Wan Muhammad Azri, 31, membayar RM15,000 sebagai kos perundangan kepada Abdul Razak.
  
Abdul Razak, 60, menyaman Wan Muhammad Azri, menuntut RM10 juta sebagai ganti rugi berhubung artikel berunsur fitnah dimuatkan dalam blognya pada 11 Disember, yang secara tersirat membawa maksud beliau (Abdul Razak) seorang penipu yang memperoleh jutaan ringgit melalui kontrak pada Sukan Komanwel.
  
Wan Muhammad Azri diwakili oleh peguam Mohd Arief Emran Arifin dan Wan Muhammad Amin Wan Yahya sementara Abdul Razak diwakili peguam Reuben Netto. - Bernama

Korea Utara tingkatkan provokasi

Korea Utara tingkatkan provokasi
Peluru berpandu jenis Radong dilepaskan ke laut Jepun, semalam.
27 Mac 2014  SEOUL - KOREA UTARA. Korea Utara sekali lagi melakukan provokasi dengan melancarkan dua ujian peluru berpandu balistik jarak sederhana,  semalam.

Ujian itu dilakukan ketika Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mempengerusikan sidang kemuncak Japun-Korea Selatan berkaitan kebimbangan keselamatan di Seoul dalam menghadapi ancaman nuklear Pyongyang.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Korea Selatan berkata, peluru berpandu dilepaskan sejauh 650 kilometer (km) ke dalam laut Jepun.

"Peluru berpandu jenis Rodong itu mampu membedil pada jarak maksimum antara 1,000 dan 1,500 km. Korea Utara secara terang-terangan melanggar perjanjian Majlis Keselamatan PBB," katanya, laporan dipetik dari Reuters.

Ukraine mahu latihan tentera


Permintaan Oleksandr Turchynov itu dibuat selepas ketua turus tentera Russia mengumumkan di Moscow bahawa Kremlin kini menguasai keseluruhan 193 pangkalan tentera Ukraine di rantau Laut Hitam itu. 
Turchynov berkata, Ukraine mahu melaksanakan dua set latihan ketenteraan dengan AS pada musim panas ini dikenali sebagai Rapid Trident dan Sea Breeze yang sebelum ini tidak menyenangkan Russia terutama Sea Breeze yang sebelum ini diadakan di Crimea - pangkalan bagi Armada Laut Hitam Russia. 

Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini latihan berkenaan dilakukan di sebuah lagi pangkalan tentera Ukraine di Odessa.
Foto
TENTERA Ukraine berkereta kebal berhampiran sempadan Russia di perkampungan Volnovaha di timur Ukraine.

Ukraine turut merancang dua latihan tambahan dengan anggota NATO, Poland, selain operasi darat bersama Moldova dan Romania.

AS sebelum ini mencadangkan pemotongan perbelanjaan sebanyak 28 peratus bagi inisiatif Pentagon yang menyokong pemodenan tentera Ukraine dan negara bekas Soviet lain. 

Namun jurucakap Pentagon berkata, latihan Rapid Trident dan Sea Breeze dijangka tetap diteruskan seperti dijadualkan.- AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/27

Lancar ujian peluru berpandu


2014/03/27 - 05:32:18

Seoul: Korea Utara melancarkan ujian dua peluru berpandu balistik jarak sederhana semalam, mendorong reaksi keras Amerika Syarikat selepas Presiden Barack Obama menjadi hos persidangan bersejarah Jepun dan Korea Selatan bagi menyatukan tiga negara itu berdepan ancaman nuklear Pyongyang.

Washington mengecam ujian itu sebagai mengganggu dan provokatif, dengan Jabatan Negara Amerika mengancam melancarkan tindakan bersesuaian kerana melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang melarang Korea Utara daripada melancarkan ujian peluru berpandu balistik.


Kementerian Pertahanan Korea Selatan berkata, kedua-dua peluru berpandu boleh sampai pada jarak 650 kilometer ke dalam Laut Jepun, meninggikan risiko selepas siri pelancaran peluru berpandu jarak dekat sejak beberapa minggu lalu.

Jurucakap kementerian, Kim Min-Seok, mengenal pasti ia sebagai peluru berpandu kelas Rodong dengan jarak maksimum 1,000 hingga 1,500 kilometer.

Sampai Russia dan China

Peluru berpandu ini mampu sampai bukan hanya ke Jepun tetapi juga Russia dan China, kata Kim, sambil menambah ia dilancarkan dari pelancar bergerak berhampiran Pyongyang.

Kali terakhir Korea Utara menguji peluru berpandu Rodong pada Julai 2009, berikutan kecaman PBB ke atas ujian nuklear keduanya pada Mei.
Kim berkata, ujian sengaja ditetapkan bertepatan dengan persidangan kelmarin di The Hague antara Obama, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dan Presiden Korea Selatan, Park Geun-Hye.

Korea Utara mempertingkatkan kemampuan ketenteraannya untuk menarik perhatian antarabangsa, kata Kim.
AFP

Bendera Rusia berkibar di seluruh pangkalan tentera di Crimea



SEBUAH kapal tentera laut Rusia, Aleksandrovets berada di Pelabuhan Sevastopol, dalam wilayah Crimea di Ukraine kelmarin.- REUTERS


MOSCOW - Bendera Rusia kini berkibar di semua fasiliti tentera di Crimea susulan tindakan Moscow merampas wilayah berkenaan daripada Ukraine, kata seorang jeneral Rusia semalam.
Pengumuman oleh ketua staf tentera, Jeneral Valery Gerasimov itu dibuat selepas askar-askar Rusia menyerbu pangkalan tentera laut terakhir yang masih mengibarkan bendera Ukraine di Crimea kelmarin.
"Bendera Persekutuan Rusia telah dikibarkan di semua 193 kemudahan tentera di Crimea," kata Gerasimov seperti yang dipetik oleh agensi berita RIA Novosti.
"Anggota-anggota keselamatan Ukraine yang mahu meninggalkan Crimea bebas berbuat demikian dengan menaiki kereta api," tambahnya.
Menurutnya, sekitar 1,500 askar Ukraine yang berkhidmat di Crimea telah mendaftarkan diri di sebuah pusat pendaftaran di ibu negeri Crimea, Simferopol untuk meninggalkan wilayah berkenaan.
Pada bulan ini, Rusia menawan Crimea daripada Ukraine tanpa mengira kemarahan masyarakat antarabangsa dan menjadikannya sebahagian daripada wilayah negara itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0327&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2x72DQSQV 
Hakcipta terpelihara 

Boeing, MAS berdepan saman hampir AS$1 bilion



SEBUAH model pesawat Boeing 777 diletakkan di atas meja ketika satu sidang akhbar oleh Ketua litigasi penerbangan global Ribbeck Law, Monica Kelly di Kuala Lumpur semalam. - AFP


KUALA LUMPUR - Sebuah firma guaman di Amerika Syarikat (AS) mahu mewakili keluarga mangsa penumpang pesawat MH370 bagi mengemukakan saman terhadap Boeing dan syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).
Firma Ribbeck Law berkata, pihaknya mahu mengemukakan saman kerana mengesyaki pesawat itu terhempas selepas mengalami masalah mekanikal.
Pesawat yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing itu hilang pada 8 Mac lalu sebelum diumumkan terhempas di Lautan Hindi.
Seramai 239 penumpang termasuk anak kapal yang menaiki pesawat jenis Boeing 777-200 itu dipercayai terbunuh dalam kejadian tersebut.
Ketua litigasi penerbangan global Ribbeck Law, Monica Kelly berkata, syarikat itu telah memfailkan satu petisyen terhadap Boeing dan MAS di sebuah mahkamah di Illinois, AS.
Petisyen itu dipohon bagi mendapatkan bukti termasuk kecacatan reka bentuk dan pembuatan yang mungkin menyumbang kepada bencana berkenaan.
"Fokus kes ini adalah pada Boeing kerana kami percaya kemalangan itu berpunca daripada kerosakan mekanikal.
"Teori kami, peralatan di kokpit mengalami kegagalan dan terbakar serta menyebabkan kru pesawat pengsan akibat asap.
"Kami juga mengesyaki ada kecacatan pada badan pesawat yang menyebabkan tekanan kabin hilang dan menyebabkan kru tidak sedarkan diri," katanya dalam satu sidang akhbar di sini semalam.
Menurutnya, syarikat itu percaya pesawat tersebut terbang selama beberapa jam sebelum terhempas akibat kehabisan minyak.
"Kami membuat rumusan ini berdasarkan kemalangan terdahulu dan menolak teori berlakunya rampasan atau juruterbang membunuh diri," tambahnya.
Ketika ini syarikat itu mewakili Chrisman Siregar bapa kepada seorang penumpang dari Indonesia, Firman Siregar.
Sekiranya saman itu difailkan syarikat berkenaan menuntut pampasan berjumlah hampir 1 bilion dolar AS dan meminta Boeing membaiki keseluruhan pesawat jenis 777.
Ribbeck Law juga mewakili 115 penumpang sebuah pesawat Penerbangan Asiana yang terhempas di San Francisco pada Julai tahun lalu. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0327&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2x71mUzza 
Hakcipta terpelihara 

Rabung Hindi Selatan lokasi MH370



KAPAL HMAS Success milik tentera laut Australia berada di Lautan Hindi bagi mencari serpihan pesawat MH370. - AFP


SYDNEY - Pakar geologi marin percaya bangkai pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) tenggelam di satu kawasan rantaian gunung berapi dasar laut yang sangat besar di Lautan Hindi, lapor akhbar The Sydney Morning Herald semalam.
Seorang pakar geologi marin dari Universiti James Cook Australia, Dr. Robin Beaman berkata, beberapa objek dipercayai serpihan pesawat MH370 tersebut dikesan di satu kawasan gunung berapi dasar laut yang tidak pernah dipetakan sebelum ini.
Katanya, hanya sedikit diketahui mengenai dasar laut di selatan Lautan Hindi dan usaha untuk mencari bangkai pesawat jenis Boeing 777-200 itu memerlukan teknik pemetaan tiga dimensi dengan menggunakan peralatan yang canggih.
"Bagaimanapun, Australia tidak lagi mempunyai kemampuan untuk membuat carta dasar laut sedalam lebih 3,000 meter kerana satu-satunya kapal yang mampu melakukan kajian itu, RV Southern Surveyor telah ditamatkan perkhidmatannya pada Disember tahun lalu.
"Sebuah kapal baharu bagi menggantikan kapal berkenaan kini sedang dibina di Singapura," katanya.
Menurutnya, untuk membuat carta dasar laut dalam mereka memerlukan sejenis alat yang dikenali sebagai Pemancar Berbilang Gema Bunyi yang menghantar denyutan bunyi ke dasar laut sebelum bunyi itu dipantulkan semula untuk dianalisis.
Pesawat berkenaan yang terbang dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang pada 8 Mac lalu.
Ia membawa 239 orang manakala 153 orang merupakan warga China.
Misi mencari pesawat itu dilakukan di kawasan lebih 2,000 kilometer dari Perth.
Beaman berkata, objek pertama yang dikesan oleh satelit milik DigitalGlobe pada 16 Mac lalu terletak kira-kira 60 kilometer (km) dari barat daya zon aktif satu rantaian gunung berapi bawah laut yang dikenali sebagai Rabung Hindi Selatan.
Rabung Hindi Selatan yang mempunyai panjang lebih 1,700km bermula di barat daya Australia hingga ke New Zealand.
Satu lagi objek yang dipercayai serpihan MH370 di kesan oleh sebuah kapal terbang China di satu lokasi kira-kira 180km barat daya rabung tersebut.
Sebuah kapal terbang peninjau Australia pada Isnin lalu mengesan satu lagi objek kira-kira 200km timur laut rabung berkenaan.
"Berdasarkan penemuan tersebut kemungkinan pesawat ini terhempas di rusuk rabung itu dan di kawasan ini tiada carta dasar laut pernah dibuat," jelasnya.
Tambahnya, rabung itu mempunyai muka bumi yang kompleks dengan puncak setinggi berpuluh-puluh meter.
"Sangat sukar untuk mengesan bangkai pesawat di dasar lautan ini tanpa carta yang bagus dan pasukan mencari juga memerlukan kapal selam kawalan jauh.
"Tiada keraguan lagi kita perlu membuat peta dasar laut yang baharu di kawasan ini," jelasnya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0327&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2x71M6kDr 
Hakcipta terpelihara