Showing posts with label kelantan. Show all posts
Showing posts with label kelantan. Show all posts

Tuesday, June 5, 2012

tuntutan ROYALTI Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan


Alhamdulillah Tuanku Sultan Muhammad V berkenan menurunkan tandatangan baginda sebagai sokongan dalam usaha tuntutan ROYALTI, Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan. Tok Guru Nik Abdul Aziz juga diminta oleh Tuanku menurunkan tandatangan disebelah tandatangan Tuanku. ALLAHUAKBAR!!!
 

Thursday, August 4, 2011

Melayu Kelantan 60,000 tahun

Kajian USM dapati sub-etnik penduduk paling asal di Semenanjung 

KOTA BHARU: Sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) yang melakukan kajian berhubung asal usul bangsa Melayu melalui kaedah genetik menunjukkan Melayu Kelantan kemungkinan besar orang Melayu paling asal menetap di Semenanjung sejak lebih 60,000 tahun.
Kumpulan penyelidik diketuai Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Siswazah), Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, Prof Madya Dr Zafarina Zainuddin yang mendapat geran RM1.4 juta daripada Kementerian Pengajian Tinggi, melakukan kajian terhadap 10 sub-etnik Melayu di Semenanjung Malaysia bagi mengetahui asal usul Melayu.
Sub-etnik berkenaan adalah Melayu Jawa di Johor dan Selangor, Melayu Aceh (Perak), Melayu Minang (Negeri Sembilan), Melayu Banjar (Selangor dan Johor), Melayu Bugis (Selangor dan Johor), Melayu Rawa (Perak), Melayu Champa (Perak, Kedah dan Kelantan), Patani (Kelantan), Melayu Kelantan dan Kedah Langkasuka.bharian

Thursday, October 7, 2010

Pembantu peribadi buat laporan polis


GESA JALANKAN SIASATAN: Leftenan Kolonel Zahari menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Kubang Kerian, kelmarin. -- Foto BHM


DAKWAAN MANTAN SULTAN KELANTAN 'DIBAWA LARI' KE THAILAND



KOTA BHARU: Pembantu peribadi Sultan Ismail Petra kelmarin membuat laporan di Balai Polis Kubang Kerian, di sini, berhubung dakwaan mantan Sultan Kelantan itu akan dibawa lari ke Thailand secara sembunyi.
Leftenan Kolonel Zahari Bakri, 40 tahun, dalam laporan pada 10.50 pagi itu mahu siasatan dilakukan berhubung Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) diterimanya sekitar 9.21 pagi, 21 September lalu daripada individu tidak dikenali mendakwa terdapat pakatan jahat membawa lari Sultan Ismail Petra melalui jalan darat ke negara jiran.Leftenan Kolonel Zahari dalam laporan polisnya juga mahu siasatan dilakukan terhadap sebuah laman blog, The Kelantan Insider berhubung tulisan yang bertajuk 'Sultan Ismail Petra akan dibawa lari ke Thailand?' bertarikh 3 Oktober lalu.'Saya membuat laporan ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengenai dakwaan berkenaan kerana khuatir boleh mengganggu gugat ketenteraman awam dan menjejas nama baik institusi diraja Kelantan.'Penulis blog The Kelantan Insider perlu disiasat (dan juga bagaimana) sumber itu diperoleh oleh mereka ketika menulis berkaitan dakwaan berkenaan,' katanya selepas membuat laporan polis.Baru-baru ini, akhbar melaporkan terdapat khabar angin mengenai Sultan Ismail Petra akan dibawa secara rahsia ke Bangkok menggunakan pintu sempadan Kelantan-Thailand, menyebabkan pintu sempadan di Rantau Panjang-Sungai Golok dikawal ketat.Perkara itu bagaimanapun dinafikan Leftenan Kolonel Zahari menerusi kenyataannya kepada media pada 3 Oktober lalu yang menafikan khabar angin mendakwa ayah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, akan dibawa masuk ke negara jiran, Thailand, secara senyap.Sultan Ismail Petra sakit sejak Mei tahun lalu dan menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, sebelum mendapat rawatan lanjut di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.Beliau kembali ke Kelantan pada 4 Mac lalu dan menerima rawatan di HUSM, sebelum dibawa ke Istana Kubang Kerian bagi rawatan fisioterapi.Mengulas mengenai laman blog The Kelantan Insider, Leftenan Kolonel Zahari berkata beliau membaca blog berkenaan pada Isnin lalu, sekitar 11.30 malam sebelum membuat keputusan membuat laporan polis kelmarin. -- BHM.

Saturday, September 18, 2010

Sultan Kelantan terharu sokongan rakyat




2010/09/18

TUANKU Muhammad Faris Petra   berkenaan bersalaman dengan   jemaah selepas solat Jumaat di Masjid Muhammadi,  Kota Bharu, semalam. Turut sama  Tengku Bendahara, Tengku Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra (tengah) dan Menteri Besar, Datuk Nik  Aziz Nik Mat (kiri).
TUANKU Muhammad Faris Petra berkenaan bersalaman dengan jemaah selepas solat Jumaat di Masjid Muhammadi, Kota Bharu, semalam. Turut sama Tengku Bendahara, Tengku Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra (tengah) dan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat (kiri).
Pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris dapat ikrar taat setia, yakin kepemimpinan baginda 

KOTA BHARU: Pejabat Sultan Kelantan semalam menzahirkan rasa terharu dengan sokongan yang diberi seluruh rakyat ke atas pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru.
Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad, berkata banyak ucapan tahniah yang diterima bagi menyatakan rasa gembira dan taat setia kepada Sultan Kelantan serta yakin baginda dapat menjalankan tugas dengan lebih baik.
“Bagi pihak pejabat Sultan, saya terharu dan berterima kasih di atas sokongan dan taat setia rakyat kepada Tuanku Sultan,” katanya melalui satu kenyataan ringkas kepada BERNAMA di sini, semalam. 

Abdul Halim berkata, beliau yang dibenarkan keluar dari Hospital Pakar Perdana semalam selepas menerima rawatan akibat keletihan sejak dua hari lalu, membolehkan beliau menguruskan beberapa program lawatan tetamu baginda Sultan ke Kelantan. 

“Kita doakan Tuanku selamat sejahtera dan dapat terus memerintah dan menjaga kebajikan rakyat dengan sempurna,” katanya. – BERNAMA 

Habeas corpus bekas Sultan Kelantan, 21 Okt.


PUTRAJAYA 17 Sept. - Mahkamah Khas menetapkan 21 Oktober ini bagi mendengar permohonan habeas corpus bekas Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra bagi membawa baginda keluar dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.
Seminggu sebelumnya iaitu pada 14 Oktober pula ditetapkan pengurusan kes bagi membolehkan baginda selaku pemohon serta kelima-lima responden memfailkan afidavit dan dokumen berkaitan sebelum tarikh pendengaran.
Kedua-dua tarikh ditetapkan hari ini oleh Pendaftar Mahkamah Khas, Hamri Thamri Mohamad di kamar beliau di Istana Kehakiman di sini.
Sultan Ismail Petra diwakili peguam Gobind Singh Deo, Malik Imtiaz Sarwar dan Datuk Mohd. Haaziq Pillai manakala Adam Abdullah mewakili kedua-dua responden Pengarah HUSM dan Ketua Pengarah Kesihatan.
Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaludin Md. Said pula hadir bagi pihak tiga responden lain iaitu Ketua Polis Kelantan, Ketua Polis Negara (KPN) dan Kerajaan Malaysia.
Sementara itu, Gobind ketika ditanya sama ada Sultan Ismail Petra akan melakukan pindaan terhadap writ habeas corpus tersebut kerana baginda bukan lagi seorang sultan, beliau menyatakan, pihaknya tetap meneruskan permohonan tersebut.
Menurut Gobind, pemohon akan memfailkan afidavit balasan dengan memasukkan perkembangan terbaru yang berlaku agar mahkamah dapat meneliti dan memutuskannya.
Peguam itu turut menyatakan, permohonan habeas corpus itu akan didengar oleh panel lima hakim bersidang.
Ia selaras dengan Perkara 182(1) Perlembagaan Persekutuan bahawa mahkamah perlu dianggotai oleh panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, dua Ketua Hakim dan dua Hakim Mahkamah Persekutuan atau dua Hakim Mahkamah Tinggi yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja.
Mahkamah Khas ditubuhkan pada 1993 untuk mendengar sebarang prosiding oleh atau terhadap Yang di-Pertuan Agong atau pemerintah sesebuah negeri atas sifat peribadi baginda.
Pada 7 Mei lalu, Sultan Ismail Petra melalui peguamnya mengambil langkah yang julung-julung kali dibuat oleh seorang sultan dengan memfailkan permohonan habeas corpus untuk membawa baginda keluar dari HUSM dengan serta-merta.
Baginda dibawa ke HUSM secara mengejut oleh sepasukan anggota polis ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra pada 4 Mei lalu untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut di Hospital Mount Elizabeth di Singapura.
Bagaimanapun, baginda yang dirawat di HUSM selama lima hari dibenarkan keluar dan berangkat balik ke Istana Mahkota, Kota Bharu.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Wednesday, September 15, 2010

Pejabat Sultan buat 2 laporan

KOTA BHARU: Pejabat Sultan Kelantan membuat dua laporan polis berhubung kenyataan Tengku Merjan Sultan Yahya Petra dan Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra yang disiarkan media mengenai pemasyhuran Pemangku Raja, Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai cubaan rampasan kuasa dan satu penderhakaan.
Laporan polis pertama dibuat Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berhubung kenyataan kekanda sulung Tuanku Ismail Petra menerusi artikel akhbar Utusan Malaysia bertajuk ‘Penyingkiran Tuanku Ismail’ dan akhbar The Star bertajuk ‘MB: What proclamation’, kelmarin.
Sebaik selesai membuat laporan pertama pada jam 4 petang, laporan kedua dibuat seorang pegawai tadbir istana berusia 40 tahun terhadap kenyataan Tengku Muhammad Fakhry Petra yang disiarkan akhbar Mingguan Malaysia bertajuk ‘Istana Kelantan menyalahi undang-undang’.

Pegawai terbabit yang enggan mendedahkan namanya turut membuat laporan berhubung kenyataan Tengku Muhammad Fakhry Petra yang disiarkan akhbar Kosmo bertajuk ‘Tiada surat jemputan ke istana’ dan kedua-dua artikel berkenaan disiarkan pada 12 September lalu.

Abdul Halim berkata, tindakan membuat laporan polis itu dilakukan bagi membolehkan polis menyiasat kenyataan Tengku Merjan dan Tengku Muhammad Fakhry Petra yang dilihat seolah-olah pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai tidak sah.

“Berita disiarkan akhbar kelmarin melalui kenyataan dibuat Tengku Merjan dengan menyatakan wujud perkara luar biasa, tidak mengikut perlembagaan dan seolah-olah pemasyhuran Tuanku tidak sah.

“Ini kerana ia bertentangan dengan kehendak perlembagaan sedangkan perkara itu jelas. Sebab itu, kita mahu polis membuat siasatan,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu di sini, semalam.

Mengulas lanjut berhubung laporannya, beliau berkata, antara lain dinyatakan Tengku Merjan sebarang tindakan menyingkirkan Sultan di luar daripada cara ditetapkan Perlembagaan negeri adalah satu kudeta dan boleh dikategorikan sebagai penderhakaan mengikut Kanun Keseksaan.

“Pemasyhuran pelantikan Tengku Muhammad Faris Petra dibuat mengikut peruntukan Perkara 23A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Kedua) dan ia bukan satu tindakan penyingkiran.

“Tuduhan Tengku Merjan itu menggambarkan Majlis Penasihat Raja, Majlis Perajaan Negeri dan semua yang terbabit dengan pindaan Perlembagaan Negeri dan perisytiharan pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sudah melakukan satu penderhakaan,” katanya dalam laporan itu.

Katanya, tuduhan itu satu yang begitu berat dan fitnah sengaja diadakan. Perbuatan memfitnah adalah satu kesalahan jenayah mengikut Kanun Keseksaan.
Berkaitan laporan kedua pula, Tengku Muhammad Fakhry Petra antara lain berkata usaha memasyhurkan Tengku Muhammad Faris Petra adalah satu penderhakaan dan menyalahi undang-undang.

“Tuduhan Tengku Muhammad Fakhry Petra itu menggambarkan bahawa Majlis Penasihat Raja, Majlis Perajaan Negeri dan semua orang yang terbabit dengan pindaan Perlembagaan Negeri dan perisytiharan pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sudah melakukan satu penderhakaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan terbabit dan siasatan sedang dijalankan.

Tuesday, September 14, 2010

Kerabat dakwa Kelantan kini ada dua sultan



ISTANA Mahkota, Kubang Kerian merupakan tempat Sultan Ismail Petra bersemayam. Gambar kecil, Tengku Merjan.


KOTA BHARU - "Kelantan kini diperintah oleh dua sultan". Tengku Merjan Sultan Yahya Petra, kekanda Sultan Ismail Petra, membuat dakwaan itu ekoran pelantikan anak saudaranya, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru semalam.

Tengku Faris diisytihar Sultan baru




TENGKU Muhammad Faris bersalam dengan para pegawai kerajaan selepas 
diisytiharkan sebagai Sultan Kelantan yang baru di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Tuanku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru berkuat kuasa semalam. Pengisytiharan pemasyhuran itu diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Balai Rong Seri Istana Balai Besar di sini pada pukul 12.30 tengah hari.
"Maka dengan ini diisytiharkan mengikut perkara 29A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan melantik dan mengesahkan Pemangku Raja Kelantan menaiki takhta menggantikan ayahanda baginda berkuat kuasa hari ini (semalam)," katanya

Tengku Muhammad Faris dimasyhur



Tengku Muhammad Faris Petra menerima watikah pemasyhuran Raja Kelantan daripada Nik Abdul Aziz Nik Mat (tengah) di Balairung Seri Istana Balai Besar di Kota Bharu, semalam.




KOTA BHARU 13 Sept. - Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru berkuat kuasa hari ini.
Pengisytiharan pemasyhuran itu diumumkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Balairung Seri Istana Balai Besar di sini pada pukul 12.30 tengah hari ini.
"Maka dengan ini diisytiharkan mengikut perkara 29 A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan melantik dan mengesahkan Pemangku Raja Kelantan menaiki takhta menggantikan ayahanda baginda berkuat kuasa hari ini," katanya ketika mengumumkan pemasyhuran itu.
Turut hadir Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra, Pengerusi Majlis Perajaan Negeri Kelantan yang juga Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Almarhum Sultan Ibrahim, Pengelola dan Ketua Istiadat Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad, pembesar-pembesar negeri dan semua anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri Kelantan.
Nik Abdul Aziz berkata, Majlis Perajaan Negeri Kelantan yang dipengerusikan Tengku Abdul Halim telah bermesyuarat pada pukul 9 pagi ini di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Kota Darul Naim di sini bagi membuat keputusan itu.
Sebagai mewakili rakyat jelata, Nik Abdul Aziz melafazkan taat setia yang tidak berbelah-bahagi terhadap Sultan Kelantan.
"Sekian hamba rakyat mengaku taat setia dan kepada Allah SWT dipohonkan taufik dan hidayat semoga Tuanku Muhammad Faris Petra dapat memerintah dan memandu negeri agar aman, mewah dan makmur dan semoga Allah SWT menyelamatkan Tuanku di dunia dan di akhirat," katanya sebelum mengakhiri pengisytiharan itu dengan laungan takbir Allahuakbar sebanyak tiga kali.
Menurut sumber, seramai 15 anggota MPN hadir pada mesyuarat pagi ini kecuali dua anggotanya iaitu Ahli Parlimen Gua Musang yang juga kerabat diraja Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah dan adinda bongsu Sultan Kelantan Tengku Amalin A'Ishah Putri.
Tuanku Muhammad Faris Petra diputerakan pada 6 Oktober 1969 telah dianugerahkan gelaran Tengku Mahkota Kelantan pada Oktober 1985.
Baginda juga mempunyai tiga adinda iaitu Tengku Bendahara, Tengku Muhammad Faiz Petra, Tengku Temenggong Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Tengku Amalin A'Ishah Putri. - Bernama

Tuanku Ismail masih Sultan Kelantan


KOTA BHARU 13 Sept. - Kekanda Tuanku Ismail Petra, Tengku Merjan Sultan Yahya Petra mendakwa adindanya itu masih merupakan Sultan Kelantan yang sah kerana baginda tidak melepaskan takhta.
Beliau sebaliknya mendakwa, pelantikan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru tidak memenuhi syarat dan melanggar Perlembagaan negeri yang menyatakan pemerintah Kelantan hanya boleh digantikan dengan tiga cara sahaja.
"Sultan hanya boleh digantikan sekiranya baginda mangkat, menghilangkan diri dari negeri tanpa alasan yang munasabah dan ataupun jika sultan turun takhta.
"Kesemua syarat tersebut tidak dipenuhi untuk melantik Tengku Muhammad Faris sebagai sultan kerana Sultan Ismail Petra masih ada dan tidak melanggar syarat-syarat yang ada sehingga membolehkan baginda disingkirkan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau mengulas pemasyhuran Tengku Muhammad Faris sebagai Sultan Kelantan yang baru menggantikan ayahandanya berkuat kuasa hari ini.
Perisytiharan pemasyhuran Tengku Muhammad Faris itu diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Istana Balai Besar di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini.
Ia turut dihadiri oleh Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Fa'iz Petra.
Upacara tersebut yang diadakan secara tertutup dan ringkas dihadiri oleh lebih 1,000 tetamu jemputan dengan kawalan ketat oleh pihak polis.
Menurut Tengku Merjan, beliau hanya mengetahui upacara pemasyhuran tersebut melalui berita yang disiarkan di televisyen dan tidak menyangka pihak berkenaan sanggup dan berani memperlakukan Tuanku Ismail Petra sedemikian.
Jelasnya, beliau tetap mempertahankan kenyataannya yang dikeluarkan sebelum ini bahawa mereka yang terlibat dalam usaha menyingkirkan adindanya sebagai penderhaka.
"Sebarang usaha yang dijalankan untuk menyingkirkan sultan daripada takhta adalah suatu penderhakaan dan menyalahi undang-undang.
"Saya akan mendapatkan khidmat nasihat perundangan daripada peguam dan akan membawa perkara ini ke tengah agar segala kekeliruan ini akan terungkai," ujarnya.
Sementara itu, bekas Pengerusi Majlis Perajaan Negeri, Tengku Sri Utama Raja Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd. Hamzah berkata, peristiwa yang berlaku merupakan sejarah baru kesultanan Kelantan.
Jelasnya, tidak pernah berlaku dalam sejarah sebelum ini seorang sultan baru dilantik ketika sultan yang sah masih hidup.
"Ini adalah satu sejarah kerana sebelum ini pelantikan sultan yang baru hanya dibuat selepas baginda sultan mangkat," jelasnya.

Sunday, September 12, 2010

Pemasyhuran sultan jadi tanda tanya


TUANKU Ismail Petra yang masih berkerusi roda bersama Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid menerima kunjungan rakyat jelata pada majlis rumah terbuka di Istana Mahkota, Kubang Kerian, Kota Bharu, kelmarin.


KOTA BHARU 11 Sept. – Majlis pemasyhuran Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang dipercayai akan diadakan Isnin ini masih menimbulkan tanda tanya.
Ini ekoran Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad enggan mengesahkan atau menafikan wujudnya istiadat tersebut pada hari berkenaan.
Pada masa yang sama beliau menjelaskan, istana Kelantan belum mengeluarkan sebarang surat berhubung perkara tersebut.
‘‘Pihak istana setakat ini tidak mengeluarkan apa-apa surat jemputan untuk memanggil mana-mana pihak ke Istana Balai Besar.
‘‘Saya juga tidak boleh mengesahkan laporan majlis pemasyhuran itu benar atau tidak kerana setakat ini memang tidak ada surat yang dikeluarkan untuk tujuan tersebut,” katanya,
Bagaimanapun Mingguan Malaysia dimaklumkan, program khas yang bakal diadakan di Istana Balai Besar pada pukul 11.30 pagi Isnin itu diteruskan.
Sumber berkata, jemputan rasmi hanya akan dikeluarkan kepada media pada pagi Isnin termasuk penjelasan secara terperinci mengenainya
‘‘Sehingga kini program khas tersebut masih menjadi rahsia sehinggalah ia berlangsung,” katanya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra dipercayai akan dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan Isnin ini bagi menggantikan ayahandanya, Tuanku Ismail Petra yang gering sejak setahun lalu.
Istiadat pemasyhuran itu dikatakan bakal dilangsungkan di Balairung Seri Istana Balai Besar di sini bermula pada pukul 11.30 pagi.
Institusi Diraja Kelantan dilanda krisis yang berpanjangan sejak Tuanku Ismail Petra gering dan mendapatkan rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada 14 Mei 2009.
Ekoran itu, Tengku Muhammad Faris yang juga anakanda sulung baginda telah dilantik sebagai Pemangku Raja sebelum baginda berangkat ke Hospital Mount Elizabeth.
Bagaimanapun, konflik istana mula kelihatan apabila Tuanku Ismail Petra diberitakan oleh doktor pakar peribadi baginda, Kolonel Dr. Amir Ramli, semakin sihat selepas pulang daripada menjalani rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura Julai lalu malah mampu menunaikan solat sunat tarawih.
Dalam pada itu, Abdul Halim berkata, beliau juga tidak menerima apa-apa arahan daripada Pemangku Raja mengenai majlis pemasyhuran tersebut.
‘‘Setakat ini saya tidak dititahkan oleh Pemangku Raja untuk mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara tersebut dan selagi tidak dititahkan, saya tidak boleh beritahu media apa-apa komen mengenainya,” katanya.
Sementara itu sumber mendakwa, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tergempar akan diadakan pada sebelah pagi dan diikuti dengan majlis pemasyhuran Pemangku Raja sebagai Sultan Kelantan pada sebelah petangnya.
Bagaimanapun, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Aiseri Alias ketika dihubungi enggan mengulas perkara itu.

Sunday, May 9, 2010

Kereta Sultan diserbu kumpulan bersenjata



TENGKU MUHAMMAD FAKHRY: Tengku Temenggong Kelantan ini berkata senjata diacu ke arah Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Hamid. - Foto THE STAR
Mudah cetak
E-mel

9 Mei 2010

LUAR NEGARA

Kereta Sultan diserbu kumpulan bersenjata

Soalan: Apakah yang menghalang Sultan Ismail Petra dirawat seterusnya di Singapura?


KUALA LUMPUR: Kereta yang membawa Sultan dan Raja Perempuan Kelantan telah diserbu oleh sekumpulan lelaki bersenjata hanya beberapa meter dari istana diraja negeri itu, dengan senjata-senjata itu diacu ke arah kepala pemandunya, demikian lapor sebuah akhbar Malaysia semalam.
Dalam satu dakwaan yang memeranjatkan melalui afidavit yang difailkan di mahkamah kelmarin, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, dipetik oleh akhbar The Star sebagai berkata pemandu itu telah dipaksa dan diheret keluar dari kereta oleh sekumpulan lelaki itu, yang memakai balaclava dan bersenjatakan senjata separuh automatik.Melalui afidavit yang difailkan bagi menyokong permohonan habeas corpus, atau hak bersuara atau membela diri, Tengku Muhd Fakhry berkata senjata-senjata itu juga telah diacu ke arah Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Hamid, dan para penumpang kereta-kereta lain dalam rombongan pengiringnya yang mahu bertolak ke lapangan terbang pada kira-kira 7.20 petang Selasa lalu.'Apabila Raja Perempuan enggan meninggalkan Duli Yang Maha Mulia (Sultan Ismail Petra ibni Almarhum Al-Sultan Yahya Petra) dalam kenderaan itu sendirian, beberapa lelaki bersenjata itu cuba menarik beliau keluar dari kereta itu tetapi beliau enggan berganjak,' dakwa Tengku Fakhry dalam afidavitnya itu.Mendedahkan versinya mengenai apa yang terjadi sebaik sahaja Sultan Ismail Petra mahu berangkat untuk menaiki penerbangan komersial ke Singapura bagi mendapatkan rawatan susulannya, beliau berkata kereta itu telah ditahan kira-kira 30 meter dari istana oleh beberapa kenderaan yang membawa anggota polis bersenjata dari Unit Tindakan Khas (UTK).'Kira-kira 30 hingga 40 lelaki berpakaian balaclava, kebanyakannya bersenjatakan senapang separuh automatik, kemudian menyerbu ke arah kereta Duli Yang Maha Mulia,' kata beliau, sambil menambah bahawa selepas pemandunya dipaksa keluar, pasangan diraja itu kemudian dipandu oleh salah seorang lelaki bersenjata itu ke hospital di Kubang Kerian.Sambil memberikan maklumat yang dikatakan telah diberikan kepada beliau oleh Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid, putera ketiga Sultan Kelantan itu berkata ayahnya 'takut dan enggan dipandu' oleh lelaki bersenjata itu.'Duli Yang Mulia tidak, pada sebarang masa, bersetuju dibawa ke Hospital Kubang Kerian. Beliau amat bersusah hati dengan tindakan lelaki bersejata itu,' katanya dalam afidavit setebal 15 muka surat itu.Tengku Muhd Fakhry juga mendakwa lelaki bersenjata itu menolak Tengku Anis keluar dari lif hospital apabila Raja Perempuan itu cuba mengikut suaminya tetapi beliau berupaya melepaskan diri selepas berlakunya pergelutan.Tengku Muhd Fakhry juga mendakwa bahawa ayahnya telah memberitahu ibunya dan beberapa anggota polis bahawa beliau tidak mahu tinggal di hospital dan mahu pulang ke istana tetapi mereka dicegah daripada meninggalkan hospital itu untuk mengikuti rawatan susulannya di Singapura.Sementara itu, Peguam Negara (A-G), Tan Sri Abdul Gani Patail, berjanji untuk memberi jawapan kepada kandungan afidavit yang difailkan oleh sekumpulan peguam dalam permohonan habeas corpus mereka bagi 'membebaskan' Sultan Kelantan dari Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) di Kelantan.Tan Sri Abdul Gani, bagaimanapun, enggan mengulas perkara tersebut ketika ini. 'Tetapi, saya akan menjawab kepada permohonan habeas corpus itu di mahkamah,' katanya.Ketua Polis, Tan Sri Musa Hassan, yang turut enggan mengulas kandungan afidavit itu, berkata beliau 'akan menyerahkannya kepada A-G untuk memutuskan tindakan selanjutnya'.


Apa dah jadi ni? Boleh siapa-siapa beritahu apa sebab nya jadi begini?

Di sebalik kemelut istana


Di sebalik kemelut istana

KEMELUT Istana Kelantan yang semakin memburuk perlu diselesaikan segera.


TERTANYA- tanya. Memang rakyat terus tertanya-tanya namun versi jawapan juga berbeza-beza mengikut siapa yang memberikan penjelasan dan media mana yang memberikan laporan.
Ia kisah konflik dalam keluarga, namun mereka bukanlah keluarga biasa, tetapi keluarga istana, keluarga yang ditempatkan tinggi, ditatang penuh kemuliaan dan penghormatan di sisi rakyat.
Konflik yang membahagi dua keluarga dan kerabat istana ketika hak pewarisan takhta dan kuasa, juga kedaulatan seakan saling cuba dinafikan.
Sukar untuk memendamkan sahaja laporan begini dalam keadaan dunia hari ini dan sukar pula untuk sentiasa menyatakan dengan jelas apa yang berlaku agar tidak mencemarkan institusi tonggak pemerintahan itu.
Konflik dalam keluarga istana Kelantan sudah lama berlarutan, dari satu episod ke satu episod yang lain dan bahang itu makin meruap-ruap yang mula turut terasa di kalangan rakyat.
Bermula dengan kegeringan Sultan Kelantan seiring dengan pelantikan Tengku Muhammad Faris Petra 24 Mei tahun lalu sebagai Pemangku Raja, hampir genap setahun segala sengketa.
Tempoh selepas 12 bulan ketika tahap kesihatan Tuanku Ismail Petra masih menjadi persoalan tentang keupayaan untuk baginda kembali memerintah mungkin menjadi perhitungan jika rentetan peristiwa sengaja dirancang.
Mungkinkah kerana tempoh itu makin hampir yang boleh menjadi penyelesaian pemutus kedudukan Tengku Muhamad Faris mengikut perlembagaan.
Justeru khabar angin dan khabar nyata kedengaran di mana-mana dengan pelbagai kisah termasuk saman menyaman di mahkamah, laporan-laporan polis dan penahanan oleh pihak berkuasa.
Peristiwa pengawal peribadi Pemangku Raja parah ditembak penyerang tidak dikenali awal bulan ini secara tidak langsung turut memberi gambaran lebih membimbang tentang keselamatan keluarga istana.
Langkah anggota keluarga untuk sekali lagi membawa Sultan Kelantan ke Hospital Mount Elizabeth Singapura Selasa lalu, begitu juga dengan tindakan tegas pihak berkuasa menghalang usaha itu yang agak menggemparkan mengundang lebih banyak tanda-tanya.
Pada masa yang sama ia mencetuskan lebih banyak persepi mereka berkait dengan rentetan insiden dalam konflik keluarga makin mendukacita dan membimbangkan itu yang terarah kepada soal kuasa dan kedudukan dalam pemerintahan.
Tahap kesihatan Tuanku Ismail Petra seolah-olah masih menjadi percaturan utama dan pastinya semakin berlarutan dengan penglibatan peranan para peguam untuk merujuk kepastian soal batas kuasa melalui mahkamah.
Apakah motif di sebalik usaha untuk menerbangkan baginda ke Singapura ketika baginda sebelum ini digambarkan semakin pulih dan sekadar memerlukan rawatan susulan fisioterapi di Istana Mahkota, Kubang Kerian?
Malah keadaan 'makin pulih' baginda itu turut cuba digambarkan melalui pertemuan dengan rakyat di samping mempelawa wakil-wakil media utama dari Kuala Lumpur dalam majlis minum teh di samping foto-foto baginda dibawa bersiar-siar mengelilingi bandar ini.
Pemeriksaan
Kalangan yang rapat dengan pihak istana mempersoalkan mengapa doktor-doktor dari Singapura yang pernah merawat baginda tidak diterbangkan ke sini jika sekadar memerlukan pemeriksaan susulan melainkan keadaan baginda kembali meruncing.
''Pasti ada suatu yang terus cuba disembunyikan dan dielak daripada terdedah sekembalinya baginda ke Kelantan pada 4 Mac lalu setelah menerima rawatan di negara itu sejak 24 Mei tahun lalu," ujar seorang yang mempunyai hubungan dengan pentadbiran istana.
Ada yang mengaitkannya dengan kehadiran Tan Sri Abdul Gani Patail yang menziarahi baginda 23 April lalu dengan andaian Peguam Negara itu mungkin menyampaikan sesuatu kepada pihak-pihak tertentu ekoran kegeringan tuanku yang berpanjangan dan tindak-tanduk mereka.
Telahan itu benar agaknya kerana Jumaat lalu Ghani dilaporkan telah meminta Raja Perempuan Kelantan untuk membenarkan panel doktor menjalankan pemeriksaan bagi mengelak tindakan perundangan.
Sepanjang dirawat di Singapura sejak 24 Mei tahun lalu, tiada sebarang pengesahan yang jelas mengenai status kesihatan baginda setelah panel perubatan yang dilantik oleh kerajaan negeri tidak dibenarkan menemui baginda.
Malah permohonan pihak berkuasa negeri awal tahun untuk mendapatkan laporan perubatan ditolak atas alasan baginda yang dikatakan berkeupayaan membuat keputusan sendiri, tidak memberi kebenaran.
Sekembalinya baginda ke tanah air, bagi menyakinkan lagi, Kementerian Kesihatan telah memasukkan empat lagi pakar perubatan dalam senarai panel yang dipersoalkan, namun mereka juga berhadapan halangan.
Bagi kalangan tertentu pula melihat pembentukan panel pakar perubatan ini tidak lebih daripada usaha untuk menyisihkan tuanku lebih awal dari tampuk kuasa.
Insiden yang berlaku petang Selasa lalu memperlihatkan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra mula bertindak tegas dengan kuasa yang ada setelah kesabaran yang berpanjangan walaupun terhadap anggota keluarganya.
Baginda mungkin mahu mengakhiri segera kemelut ini walaupun terpaksa agak keras berdepan keluarga sendiri apabila Tuanku Ismail Petra dihalang daripada dibawa ke Singapura setelah segala persiapan diatur, lalu dihalakan ke Hospital Universiti Sains (HUSM) Kubang Krian.
Ia sekali gus memberi ruang pemeriksaan dilakukan dan memastikan rawatan susulan terbaik buat baginda, khidmat guaman digunakan untuk mengeluarkan baginda dari hospital setelah didakwa ditegah daripada dibawa pulang.
Namun insiden itu boleh memberi persepsi tidak menyenangkan dengan ada yang menyifatkan baginda tidak sepatutnya berbuat sedemikian cara terhadap ayah dan bonda baginda, berdasarkan cara bertindak pasukan keselamatan.
Pejabat istana bagaimanapun telah memberi jawapannya bahawa ia seperti terpaksa dilakukan demi kerana kasih dan sayang baginda terhadap mereka bagi membetulkan keadaan yang kian menyimpang. Juga bagi menjamin kesihatan dan keselamatan Tuanku Ismail Petra diberi perhatian sebaik-baiknya.
Justeru peluang panel perubatan yang dilantik menjalankan pemeriksaan dan pemantauan dapat membantu memberikan jalan keluar yang lebih pasti.
Sultan sememangnya bukan sekadar milik istana, ia milik rakyat dan mereka harus mengetahui apa yang terbaik untuk baginda lalui dalam keadaan sebegini dan berhak mengharap sengketa keluarga ini dipadamkan segera.
Namun ramai yang yakin ada hikmah di sebalik semua ini yang akan memberikan rahmat kepada istana dan juga rakyat. Sampai bila mereka harus menunggu?

Tuesday, March 30, 2010

Nik Abdul Aziz Dahului Senarai Penerima Darjah Kebesaran Kelantan



KOTA BAHARU 30 Mac - Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendahului senarai  639 penerima Anugerah Gelaran Kebesaran, darjah,bintang, pingat, surat kepujian dan Jaksa Pendamai oleh Pemangku Raja Kelantan,Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra, esok.
Nik Abdul Aziz menerima Anugerah Gelaran Kebesaran Datuk Bentara Setia yang membawa gelaran Datuk.
Tiga lagi yang turut menerima Anugerah Gelaran Kebesaran ialah Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria (Datuk Lela Negara), Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Che Yusoff (Datuk Bentara Luar) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Aiseri Alias (Datuk Seri Setia Raja). Kesemua gelaran kebesaran itu membawa gelaran Datuk.
Seramai 70 yang lain akan turut menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk. Mereka ialah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi yang menerima  Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK).

Tengku Sri Jaya Raja, Datuk Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz pula penerima tunggal Ahli Yang  Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK).
Lima penerima Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia  (SJMK) ialah Datuk Tengku Salwani Almarhum Sultan Yahya Petra, Datuk Tengku Rozan Almarhum Sultan Yahya Petra,  Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Kapten Datuk Tengku Ahmad Farizanudean Datuk Khairi dan Datuk  Tan Kok Hwa.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan pula penerima tunggal Ahli Yang Kehormat Yang  Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK).
Peguam Datuk Sukri Mohamed dan Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad pula menerima  Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK) manakala dua lagi  menerima Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota   Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK) iaitu Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Rahim Hanafi dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam.
Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan adalah penerima tunggal Darjah Pahlawan Yang Amat Gagah  Perkasa (PYGP).
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Aiseri Alias berkata sebanyak 84 penerima akan menerima darjah dan pingat kebesaran pada majlis yang akan berlangsung di Istana Balai Besar esok manakala majlis penganugerahan bagi penerima lain akan diadakan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Beliau berkata pengurniaan darjah kebesaran itu tidak mempunyai kaitan dengan sambutan Hari Keputeraan Sultan Kelantan seperti kelaziman kerana sambutan itu pada kali ini hanya membabitkan majlis tahlil di semua masjid sahaja.
"Pemangku Raja Kelantan pada bila-bila masa berhak mengurniakan darjah kebesaran ini yang kebetulan  berlangsung pada hari esok," katanya.
Esok dan lusa adalah cuti umum di Kelantan sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan Ke-60.
-Bernama